You are on page 1of 8

3.

Undang-Undang Yang Menghakis Perlembagaan Persekutuan Artikel 10(1)(a)

Hak kebebasan bersuara merupakan tiang asas bagi mana-mana masyarakat demokratik. Ianya juga tiang asas kewibaan dan pembangunan jiwa buat setiap insan. Tanpa aliran yang bebas, sukarlah sekali bagi rakyat memantau ketelusan tindak-tanduk kerajaan mahupun pihak perusahaan lalu mereka boleh melakukan sebarang kesalahan dan kebal daripada menerima hukuman. Ketiadaan laluan terhadap maklumat tepat menghindar keupayaan rakyat jelata termasuk golongan wanita membuat pilihan yang tepat dan bermaklumat bagi diri mereka. Malah wujud undang-undang menindas yang menghadkan hak ini dan keadaan bertambah buruk dengan sekatan kebebasan media. Di Malaysia, wujudnya beberapa undang-undang yang menyekat hak kebebasan maklumat orang awam. Antaranya adalah Akta Hasutan 1948, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Akta Universiti & Kolej Universiti 1971, dan Akta Polis Seksyen 27. Kebebasan akhbar adalah antara kebebasan yang kuat terkawal di Malaysia. Media terkongkong di bawah undang-undang menindas, penapisan-diri oleh peringkat atasan, kekuasaan kawalan polisi kepengarangan oleh Pihak Berkuasa Negeri serta wujud gangguan kepada wartawan yang berjiwa bebas. Hal ini terjadi kerana kekurangan ketelusan serta pertanggungjawaban. Tambahan pula, orang awam tidak dapat dengan berkesan melibatkan diri dalam pentadbiran berdemokratik. Biarpun orang awam cuba untuk terlibat, sebarang laporan mengenai kegiatan mereka telah digelapkan. Begitu juga dengan deraf undang-undang yang biasanya tidak ada kesempatan untuk orang awam menelitinya dan dengan tergopoh gapah diluluskan Dewan Rakyat. Apa-apa maklumat berkenaan dengannya diperolehi melalui media, itupun hanya apabila seseorang menteri atau pegawai rasmi menyebutnya dalam ucapan mereka atau membalas pertanyaan media. Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaaan) 2005 telah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara melalui proses di mana peluang amat terhad sekali bagi orang awam mengemukakan pandangan mereka terhadap undangundang yang dicadangkan itu. Turut mengejutkan, maklumat belanjawan dan kewangan kerajaan tempatan yang berjumlah RM13 bilion setahun tidak terbuka untuk diketahui umum (Jacqueline Ann Surin, 2003). Lebih teruk lagi tiadanya pemeriksaan atau tinjauan umum untuk mengukur persembahan dan keberkesanan perbelanjaan kerajaan.

Kebebasan adalah antara isu yang hangat diperkatakan sekarang. Di mana-mana saja kita mendengar orang membahaskan isu kebebasan dalam konteks kemanusiaan sesuai dengan peredaran zaman yang semakin canggih ini. Oleh itu, kita kerap mendengar suara yang menuntut kebebasan wanita, akhbar, bersuara, beragama dan tuntutan lain untuk kepentingan hidup mereka. Meninjau senario mutakhir umat Islam, ada umat masih lagi keliru dengan pengertian sebenar kebebasan menurut perspektif Islam. Ada umat Islam memahami kebebasan dalam erti kata boleh melakukan apa-apa saja, mengikut kehendak hati dan nafsu mereka, biarpun bercanggah dengan kehendak agama dan bertentangan dengan nilai kemanusiaan yang luhur. Oleh itu, kita mendapati ada umat Islam semakin lama semakin jauh meminggirkan agama dan ajarannya yang suci dalam kehidupan mereka atas alasan kebebasan yang dilaung-laungkan ini. Mereka bebas menerima apa saja yang datang dari Barat, padahal tidak semua di Barat itu adalah baik dan sesuai belaka. Ini bukan kebebasannya namanya, sebaliknya melampaui batasan kemanusiaan dan menodai fitrah semula jadi manusia. Di sinilah, terletaknya fungsi kerajaan dan ulama untuk menerangkan kepada masyarakat mengenai pengertian sebenar kebebasan mengikut perspektif Islam. Perlu ditegaskan bahawa isu kebebasan ini bukan hanya wujud dalam syariat Islam, malah dalam undang-undang tubuh negara, yang turut mengiktiraf kebebasan yang dimiliki oleh manusia dalam kehidupan mereka. Ini menunjukkan betapa kebebasan adalah isu sejagat untuk umat manusia tanpa sebarang pengecualian dan sempadan tempat serta masa. Salah satu jenis kebebasan yang menjadi perhatian umum ialah kebebasan bersuara. Apa yang dimaksudkan dengan kebebasan bersuara ialah kebebasan untuk menyatakan pendapat, buah fikiran, teguran dan kritikan yang membina kepada pihak bertanggungjawab. Ini termasuk kebebasan akhbar dalam menyalurkan maklumat tepat kepada masyarakat umum. Namun begitu, kebebasan itu masih terikat dengan garis panduan syarak iaitu berada di atas landasan amar makruf dan nahi mungkar. Pada ketika itu, lslam memerintahkan umatnya supaya menyatakan kebenaran Islam sebagaimana dapat difahami daripada sabda Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud:
Sesiapa ada melihat kemungkaran di hadapan kamu maka hendaklah kamu mengubah dan mencegahnya dengan tangan kamu (dengan kuasa yang ada pada kamu), sekiranya kamu tidak mampu (dengan tangan kamu) maka hendaklah kamu ubahnya dengan lidah kamu. Jika kamu masih lagi tidak mampu, maka hendaklah kamu ubahnya dengan hati kamu, itu adalah selemahlemah iman

Namun di Malaysia apa yang dapat diperhatikan adalah kebebasan bersuara itu seperti terbatas disebabkan wujudnya undang-undang yang menghakis kebebasan itu. Walaupun terdapat kebebasan seperti yang tertulis dalam Artikel 10(1)(a) Perlembagaan Persekutan yang menyatakan terdapat hak kebebasan bersuara, namun kebebasan yang diberikan itu seolah-olah terhad dan dengan terdapat beberapa undang-undang yang tertulis dalam akta-akta kerajaan itu telah menyebabkan sedikit penindasan terhadap kebebasan bersuara. Kebebasan bersuara di Malaysia tidak hanya tertumpu kepada bersuara sahaja tetapi ia melibatkan juga berpersatuan dan berhimpun. Itu juga boleh dikira sebagai kebebasan bersuara. Ini tertulis dalam Artikel 20(1) Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia (UDHR) yang menyebut setiap orang adalah berhak kepada kebebasan berhimpun secara aman dan menubuhkan persatuan. Namun bukan semua golongan yang boleh menikmatinya kerana disebalik kebebasan yang tertulis dalam UDHR ini ada pula undang-undang yang menghalang segala kebebasan yang diberikan ini. Sebagai contoh golongan mahasiswa universiti terikat dengan Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU) 1971. AUKU 1971 berleluasa dipakai bagi menanam budaya ketakutan dan menyekat demokrasi kampus. Sebuah rencana laman web Malaysiakini melaporkan pelajar-pelajar di sebuah universiti awam diberikan tiga notis oleh pejabat Hal Ehwal Pelajar. Notis-notis itu memberi amaran agar mereka menjauhi dari 'kegiatan yang tidak diingini', yang didakwa boleh menjejaskan nama baik universiti (Pauline Puah, 2005). Undang-undang sedemikian menghadkan keupayaan para mahasiswa bagi mendapatkan maklumat. Ketidakadilan ini telah banyak dilontarkan kepada pihak kerajaan agar melakukan pindaan terhadap AUKU 1971 namun sehingga kini kerajaan hanya mengambil sikap berdiam diri sahaja dan kesannya para mahasiswa tersepit dalam situasi ini. 3.1 Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA)

Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digunakan untuk membekukan kegiatan secara aman politik pembantah kerana ia membenarkan penahanan tanpa bicara, penafian hak terhadap proses pengadilan dan hak perbicaraan di mahkamah terbuka dan adil. Akta ini masih kekal dipakai untuk menakut-nakutkan orang awam dan menyekat hak sivil mereka. ISA merupakan undang-undang tahanan pencegahan yang sedang berkuatkuasa di Malaysia. Sesiapa pun boleh ditahan oleh polis selama 60 hari berturut-turut tanpa perbicaraan untuk tindak-tanduk yang dijangkakan mengancam keselamatan negara atau mana-mana bahagian daripadanya. Selepas 60 hari, seseorang tahanan itu boleh ditahan lagi selama tempoh dua tahun jika diluluskan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri

dan sekaligus membolehkan penahanan terus tanpa perbicaraan. Pada tahun 1989, kebolehan mahkamah untuk menyiasat kuasa Menteri di bawah peruntukan ini telah dihapuskan dengan beberapa pindaan kepada Akta ini. Pada masa kini, mahkamah boleh melihat semula hanya perkara-perkara teknikal sahaja berkenaan sebarang penahanan di bawah ISA. Disebabkan sifat ISA yang tidak berperikemanusiaan, beberapa pertubuhan hak asasi manusia dan parti pembangkang telah mengritik akta ini dan memanggil pemansuhannya. Kerajaan asing, terutama kerajaan Barat, juga telah menekan kerajaan untuk memansuhkan akta. Kerajaan Amerika Syarikat pernah mengritik kerajaan Malaysia kerana menggunakan ISA beberapa kali, paling terkini pada tahun 2001 apabila Presiden George W. Bush mengatakan bahawa:
"Akta Keselamatan Dalam Negeri adalah undang-undang jahat. Tidak wajar ada lagi negara yang punyai undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan."

Beberapa parti politik pembangkang termasuk Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah menyatakan bantahan mereka terhadap ISA. Ramai diantara pemimpin dan ahli terkenal mereka yang telah ditahan di bawah ISA termasuk Lim Kit Siang, Karpal Singh, Lim Guan Eng dan yang terbaru Teressa Kok dari DAP manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim dari PKR. Daripada segi Islam, alasan yang sering dikemukakan untuk menyokong undang-undang seperti akta ISA juga lebih kurang sama dengan hujah yang dikemukakan itu. Yang berbeza, cuma seseorang yang ditahan itu disyaki membahayakan Islam dan para penganutnya. bagaimanapun, tidak ada bukti jelas bahawa mereka yang ditahan di bawah akta ISA benar-benar mengancam keselamatan negara. Yang kita tahu, mereka yang ditahan di bawah akta ISA sama ada penggiat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau ahli politik pembangkang, mereka adalah golongan yanng kritikal terhadap kerajaan. Berbalik kepada kedudukan akta ISA di sisi Islam, mungkin relevan jika dikatakan bahawa di dalam Islam, bercakap benar khususnya mengkritik pemerintah yang zalim digolongkan sebagai perlakuan taqwa yang tinggi. Inilah di antara alasan yang menyebabkan kita merasa ragu bahawa akta ISA boleh dijustifikasikan di sisi Islam. Apatah lagi apabila kita menyedari bahawa ada pihak mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bercanggah dengan islam tidak pula ditangkap di bawah akta ISA .

3.2

Akta Hasutan 1948

Perlembagaan memperuntukkan bahawa undang-undang yang digubal demi keselamatan atau ketenteraman awam boleh menyekat kebebasan untuk bersuara. Misalnya, Akta Hasutan melarang ulasan awam terhadap isu yang ditakrifkan sebagai sensitif, seperti soal perkauman dan keagamaan. Kerajaan menggunakan Akta Hasutan untuk menyekat atau menakut-nakutkan usaha untuk menyampaikan sebarang ucapan politik. Calon pilihan raya yang menyebarkan niat jahat, rasatidak puas hati atau permusuhan dianggap menyalahi undang-undang pilihan raya. Pesalah boleh dibatalkan kelayakannya untuk bertanding. Mengikut Akta Hasutan 1948 (pindaan 1970), takrifan menghasut ialah apabila dipakai bagi atau digunakan berkenaan dengan apa-apa perbuatan, ucapan, perkataan, penerbitan atau apaapa benda lain menjadikan perbuatan, ucapan, perkataan, penerbitan atau benda lain itu sebagai yang mempunyai kecenderungan menghasut (Undang-Undang Malaysia, Akta Hasutan 1940, pindaan sehingga 2006). Manakala kecenderungan menghasut itu pula terkandung dalam seksyen 3(1) Akta Hasutan 1948 yang terdiri enam subseksyen yang setiap satunya memberikan takrifan yang berbeza terhadap kecenderungan menghasut. Oleh itu, setiap perkara yang disampaikan hendaklah diselidik dahulu kesahihannya. Seperti firman Allah SWT yang bermaksud:
"Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara Yang tidak diingin- Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya)sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan.." (Al-Qur'an,al-Hujurat ( 49 ):6 )

Namun, senario sekarang apa yang kita perhatikan bahawa Akta Hasutan 1940 ini telah digunakan sewenang-wenangnya oleh golongan pihak berkuasa untuk menahan golongangolongan awam yang dikatakan terlibat dengan kesalahan menghasut. Sebagai contoh terbaru ialah penulis blog Kickdefella, Syed Azidi yang telah ditahan selama tiga hari di bawah Akta Hasutan 1940 ini atas kesalahan menyiarkan gambar bendera Malaysia terbalik dalam blognya. Justeru, walaupun apa yang dilakukan oleh beliau memang salah dan memalukan, namun sebagai sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai kebebasan untuk bersuara telah disekat dengan wujudnya Akta Hasutan 1940 ini yang menghakis terus kebebasan menyatakan pendapat.

Dalam konteks lain pula, kes yang hangat juga diperkatakan ialah kes yang melibatkan Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail. Ahmad didakwa membuat kenyataan berunsur hasutan itu sewaktu berceramah di Kampung Belah Dua pada 25 Ogos 2008 lalu ketika pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh. Dalam konteks ini, walaupun kebebasan yang diberikan itu ada namun kebebasan untuk melontarkan kata-kata itu telah salah diertikan sehinggakan membangkitkan pula isu perkauman. Disebalik undang-undang yang menghakis hak kebebasan bersuara ini, ianya masih lagi relevan untuk mendakwa pihak-pihak yang menggunakan kebebasan ini untuk tujuan peribadi. 3.3 Akta Polis 1967 Seksyen 27

Perlembagaan menyatakan bahawa semua rakyat mempunyai hak untuk berhimpun secara aman tanpa senjata, namun kerajaan telah mengenakan sekatan yang nyata terhadap hak ini melalui penggunaan Ordinan Ketenteraman Awam dan Akta Polis 1967. Ordinan Ketenteraman Awam mengehadkan rapat umum yang boleh memusnahkan keselamatan dan ketenteraman awam, manakala Akta Polis 1967 mewajibkan permit polis diperoleh bagi semua perhimpunan awam kecuali bagi pekerja yang berpiket. Akta Polis 1967 mentakrifkan perhimpunan awam sebagai himpunan lima orang atau lebih. Jadi, apa yang boleh dikatakan di sini ialah seolah-olah ada satu diskriminasi dan penindasan kepada orang awam yang mana sekiranya mereka berkumpul hanya lima orang pada suatu tempat, maka pihak polis boleh menahan mereka di bawah akta yang telah digazetkan ini. Walaupun penangkapan ini adalah sah disisi undang-undang, namun apa yang ingin ditekankan di sini ialah dimana kebebasan untuk kita terutamanya orang awam untuk berkumpul di mana sahaja kita suka walaupun tanpa niat untuk mengadakan perhimpunan. Di Malaysia ini, sesuatu perhimpunan hendaklah melalui permit yang dikeluarkan oleh polis melalui Ketua Polis Daerah (OCPD). Seandainya permit itu telah diluluskan, maka perhimpunan boleh dijalankan dengan kawalan oleh pihak polis. Namun, pihak polis mempunyai kuasa untuk membatalkan atau menarik kembali permit yang telah diberi seandainya terdapat unsur-unsur yang boleh mendatangkan kepada ancaman ketenteraman awam. Semangat perlembagaan memberikan hak kepada rakyat untuk menyuarakan sebarang pandangan melalui saluran yang telah disediakan. Semangat perlembagaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi, kerajaan mengguna pakai peruntukan Akta Polis 1967 Seksyen 27 yang

meminta supaya sebarang perhimpunan yang hendak dibuat hendaklah dengan menyertakan permit pihak polis. Pelbagai pihak khususnya rakyat yang mahu demokrasi dan keamanan negara dipelihara seharusnya bimbang dengan fenomena mutakhir ini yang boleh menghakis kebebasan dan hak asasi manusia. Akta Polis Seksyen 27 memperuntukkan mana-mana pihak yang hendak mengadakan perhimpunan atau ceramah umum hendaklah mempunyai kelulusan daripada pegawai polis daerah yang berkenaan. Sebelum mengadakan perhimpunan sama ada di dalam premis atau di luar premis, kebenaran polis hendaklah diperolehi demi kepentingan ketenteraman awam dan keselamatan rakyat. OCPD boleh menimbang sesuatu permohonan permit perhimpunan dan ceramah umum itu tetapi ini bukan bermakna kumpulan atau mana-mana pihak boleh dengan sendiri mengadakan ceramah umum dan perkumpulan yang lebih dari bilangan lima orang. Kelulusan permohonan permit juga tertakluk kepada budi bicara polis dan perhimpunan biasa di dalam bangunan kebiasaanya dibenarkan. ( http://ms.wikipedia.org/wiki/Suhakam#Seksyen_27_Akta_Polis_1967 ) 3.4 Akta Universiti & Kolej Universiti 1971

Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 juga menyekat kebebasan untuk berpersatuan. Akta ini memberikan mandat kepada pihak universiti untuk meluluskan persatuan pelajar dan melarang persatuan pelajar dan ahli fakulti daripada melibatkan diri dalam kegiatan politik. Ramai pelajar, NGO dan parti politik pembangkang mendesak agar akta tersebut dimansuhkan atau dipinda. Beberapa pertubuhan dan ahli politik pemerintah juga menyokong agar akta tersebut dikaji semula, namun kerajaan tetap menyatakan bahawa akta ini masih diperlukan. AUKU 1971 merupakan satu akta yang digubal oleh kerajaan Malaysia yang diperkenankan oleh raja pada 27 April 1971. Ia juga merupakan suatu akta sebahagiannya di bawah kuasa Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia untuk mengadakan peruntukan bagi penubuhan, penyelenggaraan dan pentadbiran universiti-universiti dan kolej-kolej universiti awam dan bagi perkara-perkara lain yang berkenaan dengannya. Akta ini dipinda pada tahun 1975 dan 1995 menjadi Akta Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 1995. (http://ms.wikipedia.org/wiki/Akta_Universiti_dan_Kolej_Universiti_1971)

Antara beberapa peruntukan di dalam AUKU dan juga Kaedah-Kaedah Tatertib Pelajar dimana kaedah ini digubal oleh Lembaga Pengarah Universiti melalui perwakilan kuasa yang diberikan oleh Seksyen 16C (2/1) AUKU 1971, yang berlawanan dengan hak asasi manusia serta bersifat menindas dan perlu dipinda atau dimansuhkan segera ialah Kaedah-Kaedah Tatatertib Pelajar yang digunapakai di kesemua IPTA di negara ini dan juga praktis yang menjadi amalan kebanyakan IPTA, bidangkuasa berkenaan dengan hal-ehwal tatatertib pelajar adalah diwakilkan oleh oleh Naib Canselor/Rektor sesebuah universiti kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang kemudiannya akan membentuk Jawatankuasa Tatatertib Universiti/Pihak Berkuasa Tatatertib Universiti. Merujuk kepada AUKU 1971 sendiri dan juga Kaedah-Kaedah Tatatertib Universiti, kuasa Jawatankuasa Tatatertib ini adalah amat luas dengan meliputi kuasa menyiasat, menjalankan pendakwaan, mendengar kes tatatertib dan menghakimi kes tersebut dan membuat keputusan serta menjatuhkan hukuman sekiranya pelajar yang dipertuduh itu didapati bersalah. Dengan adanya AUKU 1971 ini, telah banyak menyekat kebebasan mahasiswa universiti untuk terlibat aktif dengan aktiviti-aktiviti persatuan luar kampus walaupun diperakui badan-badan persatuan itu bukanlah badan persatuan yang berunsurkan politik. Hak kebebasan bersuara mahasiswa telah disekat dengan adanya AUKU 1971 ini. Akta ini sekaligus melarang untuk mahasiswa bergerak aktif dan meluahkan perasaan terhadap pimpinan kerajaan walaupun menggunakan saluran yang betul. Mahasiswa juga dilarang untuk terlibat dengan politik sedangkan mereka inilah yang bakal menjadi pemimpin pada satu hari nanti. Jadi, kebebasan mereka ini telah dicabul dengan wujudnya akta yang dianggap kejam ini. Adalah tidak adil bagi mereka kebebasan mereka ini disekat sedangkan mereka juga mempunyai hak untuk bersuara. Lantaran itu, banyak pihak-pihak telah menyarankan agar AUKU 1971 ini dipinda bagi membolehkan golongan mahasiswa ini bebas bersuara. Barulah ianya mematuhi Artikel 20(1) UDHR yang memberi kebebasan kepada semua orang untuk bebas berpersatuan dan meluahkan pendapat masing-masing tanpa ada sekatan-sekatan undang-undang.

You might also like