You are on page 1of 4

Pengaruh teknologi maklumat dan kesibukan ibu bapa menyebabkan anakanak semakin pasif dalam berkomunikasi dan bersosial.

Huraikan bagaimanakah keluarga dapat memainkan peranan untuk menangani masalah ini. Kesan kemajuan teknologi begitu ketara dalam diri anak-anak pada zaman pascakemerdekaan ini. Anak-anak khasnya remaja pada hari ini yang asyik menghadap komputer ada yang begitu pasif dalam bersosial. Hal ini disebabkan oleh sesetengah remaja kini terlalu lama melayari kemajuan teknologi hingga menyebabkan mereka seperti janggal dan kekok apabila berhubungan dengan orang yang lebih tua. Hubungan melalui alam maya menyebabkan hubungan sesama manusia semakin renggang. Malahan, apabila anak-anak muda berada dalam suasana orang ramai, gelagat mereka seperti rusa masuk kampung. Senario ini sekiranya tidak diatasi akan menyebabkan keadaan yang lebih ruwet lagi. Semasa usia anak-anak ini masih mudalah maka sikap pasif bersosial ini perlu diperbaiki kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dalam hal ini, ibu bapa sememangnya memainkan peranan yang signifikan untuk membendung permasalahan yang semakin ketara ini. Ibu bapa perlu meluangkan masa untuk bersama dengan anak-anak setiap hari walaupun masa mereka terbatas sebagai akibat pekerjaan yang sentiasa menghambat mereka. Waktu sepuluh minit yang berkualiti dan penuh dengan keprihatinan dan kasih sayang sudahpun begitu bermakna berbanding dengan meluangkan masa seharian tetapi ibu bapa dan anak-anak masing-masing dengan hal sendiri lebih-lebih lagi jika ada gajet teknologi seperti ipad, ipod, tablet, telefon bimbit dan sebagainya di tangan masingmasing. Lebih baik lagi sekiranya waktu bersama dengan anak-anak dapat ditentukan oleh ibu bapa sendiri. Bagi yang beragama Islam misalnya, waktu malam antara solat Maghrib hingga Isyak, ibu bapa boleh meluangkan masa bersama dengan anak-anak untuk bercerita, mengaji al-Quran, berbincang tentang masalah agama dan sebagainya manakala yang bukan Islam pula, ibu bapa boleh mencari masa yang sesuai untuk berbincang tentang masalah anak-anak, tentang pengetahuan agama masing-masing dan menyelitkan nilai-nilai moral. Hal ini bertujuan supaya anak-anak berasakan bahawa mereka hidup dalam keluarga yang penuh dengan kasih sayang, berasa dipunyai dan pendapat mereka pula dihargai. Hubungan yang rapat ini akan membimbing anak-anak berinteraksi sekurang-kurangnya dengan ibu bapa dan adik-beradik. Malahan hubungan yang rapat ini akan menjalin suasana

berkomunikasi yang lebih harmoni. Ibu bapa sebenarnya mampu merungkaikan kebejatan sosial dalam kalangan anak muda. Jika keluarga berkenaan terdiri daripada keluarga yang lebih besar, iaitu datuk dan nenek serta saudara-mara yang lain pula, suasana komunikasi terjalin erat sekiranya ahli-ahli keluarga yang lain ini turut menerapkan suasana yang kondusif untuk berkomunikasi dan dianyam dengan tatasusila budaya timur yang penuh kesantunan. Pada masa yang sama, ibu bapa juga perlu memantau ataupun mengawal anak-anak yang leka dengan komputer, Internet ataupun sebarang gajet teknologi sahaja. Hadis ada menyatakan bahawa, anak-anak umpama kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya. Hala tuju anak-anak sebenarnya di bawah bimbingan keluarga khasnya ibu bapa dan ibu bapa perlu mencari ruang waktu untuk bersama dengan anak-anak mereka. Perkara lain yang boleh dilakukan adalah dengan menziarahi sanaksaudara dan ahli keluarga terutama ketika musim cuti sekolah dan musimmusim perayaan. Sebenarnya sudahpun menjadi sebahagian daripada budaya rakyat Malaysia untuk balik kampung pada musim-musim begini. Amalan seperti ini akan dapat menjalin hubungan yang rapat dengan ahli keluarga sama ada yang jauh mahupun yang dekat. Sekiranya anak-anak masih mempunyai datuk dan nenek sama ada di sebelah ibu atau bapa, sewajarnya anak-anak diberi peluang untuk berkunjung dan menziarahi mereka. Jika pada musim cuti sekolah, anak-anak dapat tinggal bersama dengan datuk dan nenek mereka di kampung dalam tempoh tertentu. Selain dapat merapatkan hubungan kekeluargaan, banyak impak yang positif dapat disuburkan dalam diri anak-anak. Misalnya, anak-anak akan terdidik dengan amalan menghormati orang tua dan yang lebih penting mereka akan belajar berinteraksi dengan orang yang lebih tua. Sekiranya anak-anak masih ada Mak Long, Pak Long, dan sebagainya pula, tentulah wajar anak-anak turut dibawa menziarahi mereka. Amalan menziarahi jiran tetangga juga dapat dilakukan kerana sudah menjadi sebahagian daripada budaya penduduk kampung di negara ini biasanya mereka saling mengenal, saling menolong sesama penduduk kampung dan saling bertanya khabar. Hubungan silaturahim sesama ahli keluarga dan sesama jiran tetangga dapat dipanjangkan dan sikap saling menghormati dapat dikekalkan. Dewasa ini hubungan kekeluargaan semakin luntur dan ramai yang tidak mengenali saudara-mara sendiri inikan pula jiran tetangga dan masyarakat setempat. Jadi, ibu bapa dan ahli keluargalah yang memainkan peranan agar pertalian kekeluargaan dan semangat rukun tetangga akan berkekalan dan seterusnya hubungan sosial anak-anak dapat diperluas.

Setelah lima hari menghabiskan masa di tempat kerja untuk mencari nafkah maka pada hujung minggu Sabtu dan Ahad wajar diluangkan untuk anak-anak dan ahli keluarga. Ibu bapa perlu merancang pelbagai aktiviti bersama dengan anak-anak semasa cuti hujung minggu tersebut. Misalnya, ibu bapa boleh mengadakan lawatan ke tempat-tempat menarik ataupun ke tempat-tempat yang bersejarah. Selain itu, aktiviti berkelah juga mampu menjadikan hujung minggu sebagai pengisian terbaik bersama dengan keluarga. Aktiviti seperti ini memberikan peluang kepada anak-anak untuk bergaul dengan orang ramai. Sebenarnya, dengan membawa anak-anak keluar ke tempat-tempat begini akan membiasakan anak-anak bergaul dalam kalangan masyarakat. Malah, terdapat ibu bapa yang turut melibatkan anakanak dalam aktiviti sukarelawan dan kebajikan seperti menyediakan hadiah dan makanan kepada anak-anak yatim, orang kelainan upaya, dan orang tua yang dianjurkan oleh individu mahupun oleh badan-badan bukan kerajaan. Tindakan ini membolehkan ibu bapa mencapai sasaran serampang dua mata, iaitu anak-anak menjadi lebih prihatin terhadap orang yang kurang bernasib baik dan pada masa yang sama mereka dapat bergaul dengan ahli sukarelawan yang lain dan orang ramai. Kalau hujung minggu hanya dihabiskan di rumah, tentulah anak-anak akan bersengkang mata berhadapan dengan komputer. Oleh itu, jalan penyelesaian terbaik ibu bapa adalah dengan membawa anak-anak bersantai ataupun menghabiskan masa dengan kerja-kerja amal yang berfaedah tersebut. Sebaik-baiknya anak-anak tidak dibenarkan membawa telefon bimbit kerana dikhuatiri anak-anak akan leka dengan telefon bimbit. Tegasnya, ibu bapa perlu memberikan peluang seluas-luas mungkin agar anak-anak bergaul dengan orang ramai. Ibu bapa juga boleh merancang untuk mengadakan aktiviti gotongroyong sama ada di rumah mahupun di kawasan tempat kediaman mereka. Jika aktiviti gotong-royong dilakukan di rumah, aktiviti seperti ini dapat merapatkan hubungan kekeluargaan. Anak-anak akan bersama dengan ibu bapa membersihkan kawasan rumah. Selain menyahut seruan kerajaan agar menjaga kebersihan terutama persekitaran rumah tentulah banyak manfaat lain yang diperoleh. Hubungan keluarga seperti air yang dicencang tidak akan putus akan dapat dilahirkan dan menunjukkan betapa utuhnya perhubungan itu. Jika aktiviti gotong-royong turut melibatkan jiran tetangga pula, maka semangat kejiranan di kawasan tempat tinggal sendiri dan hubungan sosial dengan masyarakat setempat dapat dieratkan. Keadaan ini akan mewujudkan semangat saling bertoleransi, saling menghormati dan saling bertegur sapa dengan jiran-jiran. Kemungkinan wujudnya keadaan

bermasam muka sesama jiran disebabkan perselisihan yang kecil juga dapat dielakkan kerana semangat persefahaman sudah terjalin. Jadi, ibu bapa wajar mengambil peluang untuk merapatkan hubungan seperti ini melalui aktiviti gotong-royong. Hal ini demikian kerana tentulah semasa melakukan kerjakerja pembersihan, ahli keluarga ataupun sesama jiran tetangga saling berinteraksi dan anak-anak tidaklah hanya terperap di hadapan skrin komputer. Malahan, ibu atau jiran tetangga boleh menyediakan masakan masing-masing lalu dikongsi dan makan bersama-sama sebaik sahaja selesai aktiviti gotong-royong dijalankan. Ringkasnya, aktiviti gotong-royong akan dapat mewujudkan jalinan hubungan ukhuwah yang luar biasa dalam kalangan ahli keluarga mahupun jiran tetangga. Ibu bapa juga boleh memainkan peranan dengan mengadakan Hari Keluarga. Langkah mengadakan Hari Keluarga ini bertepatan dengan seruan kerajaan bersempena dengan kempen Keluargaku Syurgaku. Hari Keluarga ini boleh diadakan dengan membabitkan kakitangan yang bekerja bersama-sama ataupun dalam kalangan ahli keluarga yang dikumpulkan. Tempat aktiviti Hari Keluarga boleh difikirkan sendiri sama ada di rumah, di pusat peranginan, mahupun di kawasan kediaman setempat. Aktiviti seperti ini tentulah akan mendorong anak-anak berinteraksi dalam lingkungan ahli keluarga yang hadir, mahupun dengan anak-anak rakan sekerja atau anakanak jiran tetangga. Anak-anak juga boleh diajak untuk pergi membeli-belah bersama-sama bagi menjayakan Hari Keluarga berkenaan. Dengan demikian, ibu bapa dapat mendedahkan anak-anak kepada suasana orang ramai dan menanamkan sikap kerjasama sesama ahli keluarga mahupun orang lain. Secara tidak langsung, anak-anak dapat membiasakan diri dengan hubungan sosial yang melibatkan ramai orang. Semua ini akan membentuk sikap interpersonal anak-anak dan mengelakkan anak-anak menjadi pasif dalam hubungan sosial. Malah, anak-anak menjadi tidak segan untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan semua ahli masyarakat. Anak-anak juga tidak akan hanya terperap di dalam rumah dan menghadap komputer atau hanya berkomunikasi dengan gajet teknologi yang sememangnya tidak sihat untuk mereka dalam jangka masa yang panjang. Penutup: 1 peranan keluarga khasnya ibu bapa sangat penting untuk memupuk anak-anak agar pandai berinteraksi dan bersosial 2 tanpa usaha yang jitu daripada ibu bapa, tentulah sukar untuk membentuk hubungan sosial anak-anak.

You might also like