You are on page 1of 13

1

1.0

Pengenalan

Kehebatan sesuatu bangsa yang bertamadun terletak kepada kesantunan berbahasa dan nilai-nilai murni yang dimiliki, bukannya terletak kepada kuasa dan harta kekayaannya. Kesantunan

berbahasa merupakan suatu cara dan bentuk bahasa yang digunakan oleh seseorang itu dengan penuh kesopanan dan bertatasusila dalam berkomunikasi secara lisan atau secara bertulis. Kesantunan berbahasa ini merangkumi aspek-aspek seperti pemilihan kata atau bahasa sapaan yang baik, nada yang sopan, gerak laku dan gaya yang beradab, memancarkan peribadi yang mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicaranya. Pada masa kini, komunikasi dalam bentuk tulisan telah menemukan kita dengan satu bentuk medium laman sosial untuk berinteraksi yang terkenal diseluruh pelosok dunia dan menjadi fenomena siber alaf baharu iaitu facebook. Melalui laman sosial ini, masyarakat dunia dapat saling berhubung antara satu sama lain untuk berkongsi maklumat dan pendapat serta menjadikan dunia lebih terbuka. Pengumpulan pelbagai latar belakang pengguna yang berbeza dalam satu medium telah menyajikan kepada kita dengan pelbagai variasi bahasa dari aspek dialek, laras bahasa dan ragam bahasa. Walaupun terdapat segelintir pengguna yang melakukan penyimpangan bahasa, namun masih terdapat pengguna yang mengutamakan penggunaan bahasa yang betul berlandaskan prinsip-prinsip kesantunan berbahasa semasa melayari laman facebook. Ismail Dahaman (seperti dipetik dalam Roslan Daud, 2011, hal.51) menyatakan agenda pemerkasaan bahasa media elektronik sedang dilakukan. Antara aktivitinya ialah aktiviti membersihkan kesalahan penggunaan bahasa kebangsaan yang menjadi bahasa penyiaran media elektronik untuk menimbulkan keyakinan dan komitmen pengguna supaya mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dan berkualiti tinggi, di samping menerapkan elemen-elemen kesantunan berbahasa.

2.0

Penggunaan Facebook

Laman sosial ini telah diperkenalkan oleh Mark Zuckerberg pada tahun 2004. Laman sosial ini merupakan laman yang semakin popular pada masa ini kerana penggunanya semakin bertambah dari sehari ke sehari sehingga laman ini menjadi perantara komunikasi yang paling berkesan untuk segala hal. Pengguna di Malaysia sahaja sehingga tahun 2011 sudah melebihi 13 juta orang berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh SocialBakers. Masyarakat daripada pelbagai latar belakang, umur dan jantina menggunakan laman sosial interaktif ini untuk pelbagai tujuan. Segelintir pengguna laman ini menggunakannya untuk mencari kenalan baharu, menjalankan perniagaan dan mengembangkan perniagaan melalui startegi pemasaran media baharu. Ada juga penggunanya berbincang dan bertukar-tukar pendapat mengenai pelbagai isu semasa dari aspek sosial, politik dan ekonomi. Adanya kemudahan internet di mana-mana, pengguna semakin mendekati globalisasi dan komunikasi tanpa sempadan.

3.0

Kesantunan Berbahasa.

Mengikut Noresah Baharom (2010) kesantunan didefinisikan sebagai perihal santun, kesopanan, kehalusan dari segi budi bahasa atau budi pekerti, baik dalam bahasa lisan ataupun tulisan, kesantunan itu sama pentingnya. Manakala menurut beliau juga, berbahasa didefinisikan sebagai menggunakan sesuatu bahasa semasa bercakap dan mempunyai budi bahasa yang baik. Oleh itu, kesantunan berbahasa boleh disimpulkan sebagai penggunaan sesuatu bahasa yang baik, dan memancarkan peribadi mulia. Menurut Asmah Haji Omar, Amat Juhari Moain, Awang Sariyan, dan Siti Hajar Abd. Aziz (seperti dipetik dalam Khairuddin Mohamad, Maridah Alias dan faiziah Hj. Shamsudin, 2012, hal.40-41) kesantunan berbahasa adalah kesopanan dan kehalusan dalam menggunakan

bahasa ketika berkomunikasi sama ada melalui lisan atau tulisan. Penggunaan bahasa ini mestilah berpandukan peraturan-peraturan seperti peraturan linguistik, peraturan sosiolinguistik dan peraturan pragmatik. Apabila berpandukan peraturan-peraturan ini, bahasa yang digunakan penuh dengan adab tertib, sopan santun dan mengandungi nilai-nilai hormat yang tinggi. Adanya kesantunan berbahasa secara lisan atau tulisan, akan memperlihatkan budi bahasa seseorang dan tingkah laku bertatasusila. Secara umumnya, apabila berkomunikasi terdapat empat prinsip kesantunan berbahasa yang perlu dipatuhi. Prinsip yang pertama ialah prinsip tersinggung dan prinsip sanjungan iaitu pertuturan seseorang perlu dinilai sama ada menyinggung perasaan ataupun memperoleh sanjungan. Prinsip yang kedua ialah prinsip perasaan iaitu prinsip yang memerlukan seseorang mengawal ekspresi muka, sebagaimana dia ingin melihat ekspresi muka orang lain ketika berkomunikasi . Seterusnya, prinsip tanggapan pertama iaitu aspek yang mula-mula dinilai terhadap tingkat kesantunan seseorang. Prinsip yang terakhir ialah prinsip lanjutan iaitu kesan komunikasi seseorang pada masa yang akan datang ditentukan oleh komunikasi kini.

4.0

Kesantunan Berbahasa dalam Penggunaan Facebook.

Setiap manusia dianugerahkan oleh Allah taala dengan akal fikiran yang berbeza antara manusia. Fikiran manusia ini sering berkaitan dengan hati dan jiwa serta mencerminkan keperibadian seseorang itu. Setiap manusia tidak akan tahu tentang apa-apa yang berlegar dalam fikiran manusia yang lain, apatah lagi jika perasaan atau fikiran itu diterjemahkan melalui tulisan. Dalam laman sosial ini, penggunanya akan menggunakan bahasa tulisan sebagai medium penyampaian maklumat. Tulisan yang memenuhi ruang akaun pengguna memberi persepsi yang

pelbagai daripada pengguna yang lain. Apabila tulisan mewakili pengguna dalam menyampaikan idea atau maksud, tulisan tersebut akan mencerminkan pemikiran, peribadi, emosi, latar belakang dan sebahagian kewujudan diri pengguna itu sendiri. Berdasarkan analisis kesantunan berbahasa ke atas pengguna facebook yang merangkumi pelbagai peringkat umur dan taraf pendidikan, terdapat kewujudan penggunaan variasi bahasa dari aspek laras bahasa, dialek dan ragam bahasa yang mengekalkan elemen kesantunan berbahasa.

4.1

Laras Bahasa Akademik

Laras bahasa ini menggunakan bahasa dalam bidang ilmiah yang mengungkapkan tentang disiplin akademik atau ilmiah. Antara ciri laras bahasa akademik adalah menggunakan nada formal dan objektif, serta menggunakan bahasa baku. Berdasarkan analisis yang dilakukan terdapat tiga laras bahasa akademik iaitu laras bahasa Melayu tinggi, laras bahasa khutbah dan laras bahasa berima.

4.1.1 Laras Bahasa Melayu Tinggi. Menurut Nik Safiah Hj. Karim (seperti dipetik dalam Darwis Harahap, 1988, hal. 451) ... bahasa Melayu tinggi ialah ragam bahasa Melayu yang digunakan sebagai pengantar ilmu, bahasa yang digunakan dalam situasi rasmi, bahasa Melayu baku dan standard. Oleh itu, bahasa Melayu tinggi merupakan laras bahasa yang digunakan dalam bidang ilmiah seperti sains tulen, matematik, bahasa, teknologi maklumat dan komunikasi serta sejarah. Laras bahasa ini memperlihatkan kemantangan dan keintelektualan menggunakan perkataan yang tepat. Dalam penggunaan laman sosial ini, pengamal bahasa yang baik dan berkemampuan menggunakan

bahasa Melayu tinggi juga mempunyai akaun laman sosial bagi menghubungkan dunia mereka dengan dunia luar melalui alam maya. Sasterawan negara Datuk A. Samad Said, Dr. Awang Sariyan dan Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan antara nama besar yang dikenali khalayak dan menggunakan laman sosial untuk berinteraksi dengan pengguna lain. Jadual di bawah merupakan contoh dialog penggunaan laras bahasa Melayu tinggi dan masih mengekalkan elemen-elemen kesantunan berbahasa oleh Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan semasa berkomunikasi dengan rakannya.

Pengguna Prof. Abdullah Hassan (20 Oktober 2012)

Bahasa Melayu Tinggi Hamba minum dengan Tuan Haji Wan Muhammad Jusoh sahaja pagi ini. Apabila hamba bertanya, "Ini ubat apa Wan?" Jawab beliau, "Inilah petai yang saya makan setiap hari ... " Hmmm! Memang berpapan-papan seperti petai. Beliau bertanya, "Prof. sudah berdaftar dengan IJN." Hamba, "Belum!" Hj Wan, "Baik berdaftar supaya sekiranya memerlukan rawatan pakar, kita sudah ada nama di sana. Murah sahaja. Itulah sumbangan kerajaan kita kepada orang bersara." Betul juga. Seorang sahabat lain dibedah bagi membuat pintasan pembuluh darah di jantungnya, hanya dikenakan bayaran RM4.80 sen. Yang pergi ke hospital swasta membayar ribuan. Jadual 1 : Bahasa Melayu Tinggi

4.1.2 Laras Bahasa Khutbah Apabila seseorang individu itu menyedari sumbangan laman sosial dalam menyebarkan dakwah, maka wujudlah bahasa khutbah atau bahasa agama. Struktur ayatnya banyak dipengaruhi oleh

struktur bahasa Arab dan bertujuan untuk menerangkan topik berkaitan dengan agama. Kadang kala diselitkan dengan petikan al-Quran dan hadis. Bahasa yang digunakan ini mengajak pengguna lain membuat kebaikan dan meninggalkan kemungkaran. Berdasarkan jadual di bawah penulis dalam laman sosial ini telah menggunakan perkataan-perkataan yang mempunyai elemen kesantunan berbahasa seperti penggunaan bahasa yang halus dan penggunaan kata ganti nama dalam menyeru individu lain melakukan kebaikan.

Pengguna Mindafahmi.com (19 Oktober 2012)

Bahasa Khutbah Setiap insan yang beristighfar dengan ikhlas sebanyak-banyaknya akan merasai kesyahduan rohnya. Allah akan membuka ufuk roh dan akalnya. Dia akan alami kekudusan jiwa, kesegaran minda dan merasai perdampingan dengan Allah. Tetapi, istighfarnya bukanlah yang hanya berlagu di mulut namun kontang di jiwa.

Mas Sariza Md. Isa (21 Oktober 2012)

"Permudahkanlah, janganlah menyusahkan, tenangkanlah dan janganlah melakukan sesuatu yang menyebabkan orang menjauhkan diri daripada kamu. Bersefahamanlah dalam segala hal kerana jika tiada persefahaman maka akan wujud perselisihan dan hilang kepercayaan." Jadual 2 : Bahasa Khutbah

4.1.3 Laras Bahasa Berima Bahasa berima ialah bahasa yang terlihat keindahannya melalui penyeragaman rima akhir. Bahasa ini bukan sahaja wujud dalam bentuk pantun, syair atau pantun, malah wujud dalam ayat biasa. Segelintir pengguna laman sosial ini meluahkan perasaan atau terilham oleh pengalaman secara bahasa berima ini sama ada serius atau tidak. Pengguna masih mengekalkan kesantunan berbahasa dengan menggunakan bait-bait perkataan yang puitis dan kritis untuk menyampaikan apa yang hendah diluahkannya.

Jadual di bawah merupakan contoh penggunaan bahasa berima oleh Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan dan Diari Perantau yang masih menekankan elemen kesantunan berbahasa. Pengguna Prof. Abdullah Hassan (19 Oktober 2012) Gurindam pagi Orang berbudi kita berbahasa. Orang berbahasa kita berbudi. Baharulah hidup jelas berbangsa. Sebagai bangsa berbudaya tinggi. Diari Perantau (4 Februari 2012) Deru air katakan akan rindu rindu pada alam damai rindu ketenangan hening suara puisi si murai batu sayu bertasbih bersama cengkerik bertafakul bersama batu pejal lalu aku terus rindu pada rahmat-Mu ya Rahman ya Rahim Jadual 3 : Bahasa Berima Bahasa Berima

4.2

Ragam Bahasa

Ragam bahasa atau ragaman bahasa adalah beberapa jenis bahasa yang khas. Ragam ini digunakan dalam pertuturan lisan atau karangan untuk menguatkan tujuan kata dan mempertajamkan hasil pertuturan lisan atau karangan. Berdasarkan analisis dalam facebook terdapat empat jenis ragam bahasa iaitu bahasa sindiran, bahasa humor, bahasa penekanan dan bahasa berulang.

4.2.1 Bahasa Sindiran Penggunaan bahasa sindiran terdapat dalam laman sosial ini. Namun begitu pengguna menggunakan bahasa yang halus, kata-kata yang sesuai dan menitikberatkan sistem kata ganti nama yang diguna pakai agar memperlihatkan kesantunan yang tinggi. Selain itu, pengguna juga mengungkapkan bahasa ini secara berkias supaya ungkapannya tidak menggores perasaan orang yang ditujui. Contohnya seperti dalam jadual 4. Pengguna Hanim Ahmad (20 Oktober 2012) Bahasa Sindiran "Memfitnah itu lebih dahsyat daripada membunuh. Semoga Allah memberi petunjuk & hidayah kepada mereka...amin... ( wahai hati, sabarlah..kerana sabar itu separuh daripada iman) Jadual 4: Bahasa Sindiran

4.2.2 Bahasa Humor Struktur bahasa humor juga banyak digunakan oleh pengguna laman sosial ketika menulis dalam ruangan akaunnya. Penggunaan bahasa ini cenderung untuk menghiburkan pengguna yang rataratanya sering dihimpit masalah dan tekanan dengan kata-kata yang sesuai untuk meredakan tekanan dan masalah yang dihadapi. Berdasarkan Jadual 5, penulis laman sosial ini menghasilkan suatu jalan cerita yang menarik dan menghiburkan hati pengguna lain. Penekanan terhadap kesantunan berbahasa juga masih dikekalkan dengan penggunaan kata ganti nama, bentuk sapaan serta gelaran terhadap orang yang disapa.

Pengguna Hanim Ahmad (20 Oktober 2012)

Bahasa Humor Pada satu petang, si ibu membawa anaknya berusia 4 tahun bersiar-siar menaiki kereta. Dalam perjalanan si ibu membunyikan hon. Anak : Kenapa ibu bunyikan hon & sapa org tu? Ibu : Tu sedara kiter, kenalah hormat.

Dalam perjalanan mereka seterusnya mereka terserempak dengan seekor lembu yang nak melintas lalu si ibu membunyikan hon. Anak : Itu pun sedara kita jugak ke? Ibu terdiam. Jadual 5: Bahasa Humor

4.2.3 Bahasa Penekanan Dalam laman sosial, terdapat pengguna yang meluahkan perasaan atau emosi menggunakan unsur penekanan terhadap sesuatu perkataan semasa berbahasa. Antara penekanan yang lazimnya ditemui termasuklah membesarkan perkataan tertentu, meletakkan tanda seru atau tanda soal, melewahkan abjab tertentu dan mengulang perkataan. Berdasarkan Jadual 6, pengguna laman sosial memberi penekanan kepada perkataan isteri dan suami untuk menghubungkaitkan antara kedua-duanya. Selain itu, pengguna juga menggunakan kata ganti nama ketiga iaitu nya untuk menggantikan watak suami. Kata ganti nama diri orang adalah berkait secara lansung dengan bentuk sapaan. Pengguna Jue Ahmad (20 Oktober 2012) Bahasa Penekanan Terdidiknya seorang ISTERI itu apabila BAIKnya seorang SUAMI maka apabila BAIKnya seorang SUAMI itu, BAIK jugalah ISTERInya, apabila SOLEHnya SUAMI itu maka SOLEHAH lah juga ISTERInya, SUAMI itu sebagai ACUAN buat ISTERInya" Jadual 6: Bahasa Penekanan

10

4.2.4 Bahasa Berulang. Bahasa yang mengandungi unsur perulangan sama ada pada perkataan, frasa atau ayat yang tujuan utamanya untuk menguatkan sesuatu maksud yang hendak disampaikan. Berdasarkan analisis, contoh penggunaan bahasa berulang seperti dalam jadual di bawah. Fazlina Hanim (20 oktober 2012) Lihatlah, pandanglah! Pinggangku yang ramping. Tiru macam saya. Makanlah SDII untuk cepat ramping dan menawan tanpa kulit menggeleber. Jadual 7 : Bahasa berulang

4.3

Dialek

Dialek ialah variasi bahasa dan boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu dialek sosial, dialek daerah dan dialek seketika. Berdasarkan analisis yang dilakukan terdapat penggunaan dialek daerah oleh pengguna facebook.

4.3.1 Dialek atau Bahasa Daerah Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai rakyatnya yang berbilang kaum. Adanya rakyat yang majmuk ini, negara ini kaya dengan pelbagai bahasa daerah atau dialek, seperti dialek Kelantan, Terengganu, Sarawak dan Kedah. Penggunaan dialek dapat memperlihatkan jati diri dan asal usul pengguna serta mempamerkan semangat kenegerian, khususnya apabila berbicara sesama rakan senegeri. Jadual di bawah menunjukkan contoh penggunaan dialek. Pengguna Siti Zainabiah Moh (01 Oktober 2012) Bahasa Daerah atau Dialek Wah.. nang sodap makan berambeh dgn rusip cecah gik dengan timun mun ada sambal jerin agik ump.. tapi tuan kamek x dapat makan nok kedak tok, xda dgn.. bujang x pandei makan...mun kamek semua masuk kecuali nok ya jak.... Jadual 7 : Bahasa Daerah atau Dialek

11

5.0

Kesimpulan Berdasarkan analisis tentang kesantunan berbahasa dalam facebook, didapati penggunaan

variasi bahasa oleh remaja yang datang dari pelbagai kaum dilihat amat ketara. Terdapat segelintir pengguna yang berbahasa secara kurang sopan dan menggunakan bahasa ringkas, menjelaskan seriusnya masalah penggunaan bahasa dalam kalangan rakyat kita di laman sosial facebook. Namun begitu, masih terdapat pengguna facebook yang masih menitikberatkan

penggunaan bahasa yang betul, sopan dan menekankan elemen kesantunan berbahasa. Apabila para pengguna menggunakan laman sosial, hal yang tidak sepatutnya diabaikan adalah mengamalkan kesantunan berbahasa. Santun dan berbudi ketika menggunakan bahasa meliputi aspek mengambil kira kewajaran menulis atau memberikan komen terhadap tulisan orang lain. Selain itu, kita juga perlu mengambil tahu dengan siapa kita berbahasa berdasarkan latar belakang umur, status sosial, perbezaan jantina, pendidikan dan tahap kefahaman bahasa berkaitan dengan topik perbincangan. Seterusnya, kita juga perlu menilai sama ada tulisan kita akan menimbulkan kemudaratan, kesalahfahaman ataupun dapat mendamaikan dan memberikan penjelasan. Dalam konteks Malaysia yang berbilang kaum, kesantunan menjadi penentu kekuatan jati diri bangsa dan negara. Kesantunan berbahasa mampu membentuk masyarakat yang lebih berbudi bahasa. Adanya bahasa yang bersopan santun, kita mampu untuk mengajak dan menarik minat ramai mengamalkan budaya bersopan santun serta berbudi bahasa. Selain itu, kita bakal disegani dan dicontohi oleh bangsa dan negara lain melalui pemilikan jati diri bangsa yang utuh apabila mengutamakan aspek kesantunan dalam segala aspek, lebih-lebih lagi semasa berkomunikasi di laman sosial. Ini disebabkan oleh laman sosial ini menghubungkan kita dengan pengguna-pengguna lain di seluruh dunia.

12

Rujukan Abdul Rashid Daing Melebek & Amat Juhari Moain. (2012). Sosiolinguistik dan bahasa Melayu. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Awang Sariyan. (2007). Santun berbahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Azizah Ahmad. (2005, Julai). Budi bahasa dan kesantunan berbahasa. Dewan Bahasa, 5 (7), hlm. 18-20. Bambang S. (2010). Kesantunan berbahasa pengguna facebook. Dicapai pada November 10 2012 dari www.scribd.com/doc/58740614/kesantunan-berbahasa-pengguna-face-book.

Darwis Harahap. (1988). Bahasa Melayu tinggi pancaran budaya yang tinggi. Jurnal Dewan Bahasa, 32 (6), 451-458.

Khairuddin Mohamad, Maridah Alias & Faiziah Hj. Shamsudin. (2012). Bahasa Melayu komunikatif. Puchong: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Lela. (2012). Variasi bahasa. Dicapai pada Oktober 10, 2012 dari http://www.scribd.com/doc/19111003/Variasi-Bahasa

Maaroff Abdul Rahman. (2005, Julai). Prinsip kesantunan berbahasa. Dewan Bahasa, 5 (7), hlm. 16-17.

Nik Safiah Karim. (1988). Bahasa Melayu dalam pembinaan: Beberapa laras bahasa Melayu moden. Jurnal Dewan Bahasa, 32 (9), 636-647.

Nizam Abdul Jalil. (2012, April). Facebook: Berbahasalah dengan baik. Dewan bahasa, 12 (4), hlm. 62-65.

Noor Mohamad Shakil Hameed. (2012, April). Memperkasakan bahasa melalui facebook. Dewan bahasa, 12 (4), hlm. 16-20. Noresah Baharom. (Ed). (2010). Kamus dewan edisi keempat. Versi elektronik.

13

Roslan Daud. (2012, April). Kerencaman bahasa dalam facebook. Dewan bahasa, 12 (4), hlm. 6-11.

Roslan Daud. (2011, Februari). Penyimpangan bahasa dalam laman sosial. Dewan bahasa, 11 (2), hlm. 51-53.

Zainurrahman. (2011). Teori kesantunan berbahasa. Dicapai November 10, 2011 dari zainurrahman.wordpress.com/2011/02/27/teori-kesantunan-berbahasa.

Zulkifley Hamid, Ramli Md. Salleh & Rahim Aman. (2006). Linguistik Melayu. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

You might also like