You are on page 1of 14

SARJANA MUDA PENGAJARAN PENDIDIKAN SEKOLAH RENDAH

SEPTEMBER / 2011

HBEF1503

MASYARAKAT DAN TAMADUN

NO. MATRIKULASI NO. KAD PENGNEALAN NO. TELEFON E-MEL PUSAT PEMBELAJARAN

: : : : : RECSAM

Pengenalan. Pengertian Tamadun Perkataan tamadun sering digunakan untuk menggambarkan kemajuan kebendaan (material). Perkataan ini mula diperkenalkan oleh seorang penulis Kristian ( Jurji Zaidan )yang menulis tentang Sejarah Islam dan Sastera Arab. Perkataan ini telah diterima pakai sebagai perbendaharaan kata bahasa melayu sejak zaman berzaman. Sejak zaman dahulu juga telah wujudnya berbagai-bagai istilah tamadun yang boleh diterima pakai. Menurut Kart Wittfogel dalam bukunya Approaches to Asian Civillization, iaitu ciri kebudayaan secara menyeluruh daripada sesuatu negara berdasarkan pemikiran dan kepercayaan. Dan Arnold Toynbee menerusi bukunya, A Study Of History menjelaskan bahawa tamadun sebagai sejenis kebudayaaan yang berkembang di dalam kota. Menurut Kamus Dewan pula, tamadun dapat didefinisikan sebagai keadaan kemajuan kebendaan atau pemikir, budaya, sosial, politik, peradaban dan lain-lain. (Teauku Iskandar : 1994). Keadaan masyarakat manusia yang bercirikan oleh taraf perkembangan pemikiran (sosial & budaya) yang tinggi. Negara dan penduduknya telah mencapai taraf perkembangan pemikiran (sosial & budaya) yang tinggi. Budaya hidup atau cara hidup orang-orang (negara, kawasan, atau sesuatu zaman) tertentu serta keadaan pemikiran (budaya & sosial) yang halus. Terdapat beberapa istilah tamadun yang diketengahkan oleh tokoh-tokoh sarjana. Antaranya Arnold Toynbee. Beliau mengatakan tamadun ialah sejenis kebudayaan yang berkembang di kota. Beliau menambah lagi tamadun ialah satu gaya kebudayaan yang bertanggungjawab membentuk institusi politik, kesusasteraan, agama dan moral. (Mustafa Haji Daud: Tamadun Islam) atau dengan kata lain tamadun ialah suatu sistem masyarakat yang dapat membantu manusia menambah hasil pengeluaran atau produktiviti dan ia mempunyai empat elemen iaitu bahan-bahan ekonomi, sistem politik, pengeluaran dan seni. A.S Hornby dan E.C Parnwell menyatakan dalam bukunya The Progressive English Dictionary tamadun bermaksud meningkatnya pencapaian hidup manusia daripada

kemunduran kepada kemajuan dalam bidang sains, teknologi, politik, moral dan sebagainya. Sarjana Islam seperti Ibnu Khaldun menerangkan tamadun ialah sekumpulan manusia yang mendiami sebidang tanah yang mempunyai perbekalan ekonomi yang mencukupi, keselamatan

nyawa dan harta yang terjamin yang membolehkan mereka mencapai kemajuan dalam berbagai bidang. Antara ciri-ciri asas sesuatu tamadun ialah wujudnya penempatan masyarakat di kawasan tertentu seperti kota ataupun bandar. Peningkatan kualiti kehidupan serta wujudnya sistem organisasi dan institusi sosial. Munculnya satu bahasa dan wujudnya sistem perundangan. Oleh itu dapatlah disimpulkan bahawa tamadun sebagai suatu perubahan, pembangunan ata kemajuan yang berlaku dalam setiap bidang kehidupan masyarakat samada berbentuk fizikal, peraturan, pentadbiran atau sebagainya dan juga pembangunan spiritual. Tamadun

mementingkan kedua-dua aspek kehidupan namun pembangunan akhlak dan spiritual diutamakan.

Pengertian budaya. Sungguh pun manusia itu tidak banyak berbeza dari segi biologi dengan haiwan primat, namun perlakuannya amat berbeza. Manusia dapat menggunakan akal fikiran dan peralatan. Perlakuan manusia dikawal dan didorong oleh akal. Proses pembelajaran manusia dapat menentukan corak budayanya. Ilmu pengetahuannya bersifat akumulatif, mampu memahami lambang-lambang simbolis seperti bahasa. Sistem pembahagian manusia adalah lebih kompleks daripada haiwan. Budaya yang dikonsepsikan oleh orang ramai selalunya meliputi hal-hal mengenai kesenian. Sedangkan pengertian budaya dalam pengajian anthropologi adalah suatu jalinan yang kompleks. Perlakuan manusia yang dipelajari adalah menjadi asas kepada pertumbuhan budaya. Perlakuan-perlakuan manusia yang diterima dari proses pembelajaran terjalin dalam suatu sistem yang tersusun rapi, iaitu merupakan budaya. Definisi budaya itu berbagai-bagai sebagai mana yang diberikan oleh sarjana-sarjana anthropologi budaya. A.L Kroeber dan C. Kluckhohn pernah mengumpul sehingga 160 definisi budaya yang telah digunakan oleh sarjana-sarjana. Kemudian mereka menganalisis dan membuat kesimpulan. Dalam bahasa Melayu budaya itu berasal daripada perkataan budi iaitu kata Sanskrit yang bermaksud akal. Budaya itu ialah perlakuan-perlakuan manusia yang berkaitan dengan akal

fikiran. Dalam intepretasi lain dapatlah difahamkan bahawa budaya itu daripada rangkaian daya dan budi yang dapat dikatakan segala yang berupa cipta, rasa dan penggunaan fikiran manusia. Budaya itu bermaksud segala hasil dari cipta itu. Biasanya adalah kata singkat daripada kebudayaan. Adakalanya budaya itu didapati sama ertinya dengan peradaban tetapi peradaban itu adalah sebahagian daripada budaya. Dalam budaya itu terdapat berbagai-bagai jalinan unsur, ada unsur yang amat besar dan ada unsur kecil. Unsur-unsur budaya itu dapat diklafikasikan kepada beberapa bahagian yang penting bagi memudahkan perbincangan akademik. Sebenarnya unsur-unsur itu saling berkait antara satu sama lain. Dan selalunya unsur-unsur itu bertindih sesama sendiri. Antara unsurunsur budaya itu terdapat unsur-unsur besar yang dikatakan budaya universal yang dapat dibahagikan kepada beberapa aspek seperti budaya peralatan bagi keperluan hidup manusia,sistem ekonomi,sistem sosial, bahasa, kesenian dan mainan, ilmu pengetahuan dan agama serta magis. Dalam unsur-unsur budaya besar itu terdapat pula bahagian-bahagian yang lebih kecil. Budaya itu dapat dilihat dari aspek perlakuan dan hasil perlakuan anggota-anggota masyarakat. Perlakuan manusia didorong oleh berbagai-bagai aspek lain, seperti norma, nilai, peraturan, adat resam, kepercayaan, undang-undang dan sebagainya. Perlakuan ini adalah hasil dari berbagai-bagai proses dan ini juga yang melahirkan berbagai-bagai peralatan budaya. Sesuatu sistem itu merupakan perlakuan individu dan gabungan dengan alat-alat yang dihasilkan.

Fungsi Budaya dalam Masyarakat Sekiranya dilihat secara mendalam berkenaan sifat budaya itu, ianya jelas mempunyai fungsinya tersendiri. Fungsi budaya dalam sesebuah masyarakat sebenarnya dapat memberi identiti kepada masyarakat itu sendiri serta boleh mewujudkan perpaduan kaum. Tidak banyak negara di dunia ini yang mampu mengekalkan perpaduan kaum seperti yang dilaksanakan oleh masyarakat Malaysia khursusnya, di mana masyarakat Malaysia mempunyai pelbagai jenis kaum dan setiap kaum itu mempunyai budayanya yang tersendiri dan berbeza dengan kaum yang lain. Justeru itu, dalam hal ini dapatlah kita simpulkan bahawa fungsi major budaya dalam masyarakat ini adalah memberi identiti kepada masyarakat itu sendiri serta mewujudkan perpaduan antara satu dengan yang lain. Apabila berbicara tentang budaya, kita perlu mengambil kira kepada semua aspek yang terbabit dan tidak hanya berbicara kepada beberapa aspek atau ranting budaya sahaja. Para pengkaji sejarah ataupun masyarakat juga mempunyai berbagai-bagai cara atau pandangan yang berbeza-beza melihat kebudayaan malahan beratus-ratus pengistilahan telah diberi tentangnya. Budaya itu sendiri sebenarnya merujuk kepada cara hidup yang diwarisi daripada satu keturunan ke satu keturunan yang lain. Oleh itu dapatlah kita katakan bahawa budaya dan masyarakat ini mempunyai hubungan yang sangat rapat. Sungguhpun pelbagai kajian telah dijalankan dan dilaksanakan walaupun secara tidak meluas, ia tidak bermakna bahawa kedua-duanya boleh dipisahkan. Sekiranya kita berfikir secara logik, mana mungkin sesebuah masyarakat itu wujud tanpa budaya dan sebaliknya iaitu mana mungkin budaya itu wujud tanpa ada masyarakat. Ianya jelas bahawa kedua-dua ini saling berkait antara satu sama lain. Masyarakat dikatakan terdiri daripada kumpulan individu yang mempunyai hubungan yang sangat lama. Dengan mengambil contoh rakyat di negara kita iaitu Malaysia, masyarakat melayu adalah kelompok majoriti dan masyarakat India merupakan kelompok minoriti. Walaupun begitu, masyarakat Melayu atau pun India adalah daripada keseluruhan jumlah individu yang telah membentuk perlakuan daripada apa-apa yang difikirkan. Masyarakat juga dikatakan sebagai kelompok manusia, tua dan muda, lelaki dan perempuan yang mempunyai hubungan sosial dalam sesuatu penempatan yang sama. Perhubungan mereka boleh jadi wujud dalam pekerjaan, tempat tinggal, atau dari segi kekeluargaan. Apabila terhasilnya perhubungan ini maka akan wujudnya institusi atau organisasi tertentu yang dapat menyatupadukan lagi manusia dalam kumpulan unit sosial.

Pada masa yang sama terdapat perbezaan antara budaya satu masyarakat dengan masyarakat yang lain dikatakan budaya universal. Untuk menggambar atau membezakan budaya universal ini, kita perlu melihat kepada ciri atau sifat yang ada pada semua manusia atau tempat mereka berada dan bagaimana cara hidup mereka. Jika dilihat dari segi objektifnya, terdapat beberapa bahagian tertentu dalam budaya dan masyarakat yang perlu diambil kira. Contohnya, cara hidup tertentu atau bagaimana mereka bekerja bagi meneruskan kehidupan atau memiliki peralatan bagi menguasai alam persekitaran. Selain itu kita perlu melihat kepada cara

pembahagian hasil atau sebagainya yang dapat dilihat dalam struktur ekonomi masyarakat yang kita kaji. Mereka juga terikat secara lansung dengan institusi kekeluargaan sebagai unit sosial dalam masyarakat yang tersendiri. Aspek lain yang perlu dilihat ataupun dikaji adalah masyarakat itu juga mempunyai pandangan dunia atau falsafah tentang kejadian di sekeliling mereka. Contohnya, kepercayaan tentang wujudnya kuasa ghaib yang halus dan dipuja bagi mencapai sesuatu hajat melalui hubungan dengan mengamalkan bahasa tertentu ataupun melalui beberapa acara yang tertentu. Kebudayaan sesuatu masyarakat dengan masyarakat yang lain adalah berbeza. Anasir yang terdapat dalam budaya dan masyarakat dapat dipisahkan kepada aspek tertentu seperti sosial, ekonomi, politik, agama, kepercayaan serta sistem lain yang tersendiri. Mungkin juga terdapat persamaan dan perbezaan yang dapat dikesan dari alam persekitaran masyarakatnya. Pertembungan budaya juga terjadi akibat pengaruh luar samada bagi mengisi kekosongan atau sebagai alternatif atau bagi menokok tambah pada yang sedia ada. Dengan itu, berlakulah perubahan budaya. Hal ini adalah kerana budaya adalah cara hidup yang diikuti oleh orang yang menjadi anggota kumpulan tertentu ataupun masyarakat dan meliputi anasir sistem sosial, susunan organisasi, ekonomi, sosial, politik, agama, kepercayaan, adat resam, sikap, nilai, peralatan budaya, atau apa-apa yang dihasilkan oleh mereka sebagai anggota masyarakat. Oleh hal yang demikian, perkembangan budaya sendiri. Manusia dapat dilihat dengan jelas berbanding dengan haiwan kerana memiliki ciri fizikal dan mempunyai mental. Memetik pandangan seorang pengkaji masyarakat, beliau berpendapat budaya boleh ditafsir sebagai satu himpunan kelengkapan intelek dan kebendaan yang dapat memenuhi kehendak biologi dan kemasyarakatan serta dapat pula menyesuaikannya adalah mengikut perkembangan masyarakat itu

dengan kehendak sekeliling. Ianya jelas mengatakan bahawa aspek budaya yang dimiliki boleh dibahagikan pula kepada aspek kebendaan dan bukan kebendaan. Budaya itu merangkumi dua pecahan terbesar iaitu budaya kebendaan dan budaya bukan kebendaan. Budaya kebendaan ini adalah seperti peralatan dan kelengkapan hidup seperti rumah, perahu ataupun senjata. Manakala budaya bukan kebendaan merujuk kepada benda yang tidak dapat dilihat ataupun disentuh seperti kepercayaan, adat resam, adat isitiadat, dan undang-undang. Kadangkalanya keduaduanya mempunyai hubungan yang sangat rapat. Budaya yang dimaksudkan ini dapat dilihat dengan jelas dalam masyarakat Melayu itu sendiri. Sebagai contoh, kita lihat perbezaan dari segi bentuk rumah, kesenian, dan juga adat istiadat. Aspek yang dimiliki ini menggambarkan cara pemikiran dan pandangan dunia masyarakat itu sendiri. Oleh sebab itulah budaya dikatakan budaya relatif dan satu-satu budaya mestilah ditinjau dari segi masyarakat itu sendiri serta perhubungannya dengan persekitaran atau alam sekeliling di tempat budaya itu wujud.

Kepelbagaian Budaya Salah satu Negara yang dapat kita kaji untuk melihat kepada kepelbagaian kaum yang wujud adalah seperti Malaysia. Ini kerana dalam Negara Malaysia, terdapat pelbagai suku kaum dan etnik yang hidup dalam sesebuah komuniti. Oleh yang demikian, akan wujudnya masyarakat majmuk yang hidup di dalam satu rumpun, satu bumbung dan satu negara iaitu Malaysia. Contoh yang paling nyata dapat dilihat adalah seperti di semenanjung Malaysia iaitu terdapat tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India. Manakala di Sabah dan Sarawak pula mempunyai pelbagai etnik dan suku kaum yang ada seperti Iban, Suluk, Kadazandusun, Bajau, Murut, Kenyah, Bidayuh dan banyak lagi. 1. Kepelbagaian kaum. Malaysia merupakan sebuah negara yang penduduknya terdiri daripada tiga kaum utama, iaitu Melayu, Cina, India dan kaum-kaum peribumi yang lain. Kepelbagaian budaya ini menghasilkan keunikan di bumi Malaysia ini yang jarang-jarang ada kedengaran di pelusuk dunia. Masyarakat Malaysia boleh hidup bersatu padu dengan aman dan damai meskipun masyarakat kita berbilang bangsa dan mempunyai latar belakang yang berbeza. 2. Kepelbagaian budaya dan bahasa. Negara Malaysia pada masa kini telah terkenal di seluruh dunia dengan kepelbagaian budayanya. Ini merupakan salah satu tarikan pelancong ke negara Malaysia. Tidak hairan juga kedengaran dalam masyarakat sekarang di mana para pelancong cuba menyelami budaya masyarakat malaysia. Salah satu contohnya, pelancong menyaelami budaya masyarakat dengan tinggal untuk satu tempoh bersama keluarga angkat di negara ini. Kepelbagaian budaya ini wujud sejak zaman dahulu lagi ketika negara masih dikenali dengan nama Tanah Melayu. Ianya berlaku akibat penghijrahan golongan Cina dan India ke Tanah Melayu semasa penjajahan British. Sebahagian kecil lagi penduduk di Malaysia terdiri daripada penduduk peribumi yang berasal dari Sabah, Sarawak dan kawasan pedalaman di Semenanjung Malaysia. Di Malaysia juga terdapat pelbagai bahasa pertuturan yang kedengaran seperti bahasa melayu,tamil dan mandarin. Namun Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi negara Malaysia.

3. Kepelbagaian pakaian Jika dilihat dari aspek pakaian pula, masyarakat Melayu lelaki begitu sinonim dengan pakaian tradisionalnya seperti baju Melayu bersama songkok. Baju ini biasanya dipakai ketika menghadiri majlis-majlis rasmi, kenduri kahwin ataupun sewaktu masyarakat Melayu menyambut Perayaan. Bagi kaum wanita pula baju kurung dan baju kebaya merupakan antara pakaian tradisional orang Melayu. Masyarakat India pula, kebiasaanya mereka memakai dhoti dan sari. Dhoti merupakan pakaian putih yang dipakai oleh kaum lelaki manakala kaum wanita memakai sari iaitu sehelai kain panjang yang dililit mengelilingi badan si pemakai. Pakaian masyarakat india dapat dilihat sewaktu upacara keagamaan. Namun kebanyakkan sari dipakai oleh golongan wanita yang agak berumur. Masyarakat cina pula mempunyai kepelbagaian pakaian yang agak berlainan. Bagi kaum lelaki mereka memakai pakai samfu manakala cheongsam dipakai oleh kaum wanita. Kebiasaannya kaum Cina akan memakai pakaian ini dengan kain berwarna merah yang melambangkan tuah dan oleh sebab itulah masyarakat Cina gemar akan warna merah.

Contoh-contoh yang Sesuai bagi Menerangkan Budaya serta Masyarakat. Dalam kita membincangkan tentang budaya, contoh ataupun situasi perlu diambil kira untuk menerangkan budaya dan masyarakat. Seperti mana yang kita sedia maklum, kaum melayu merupakan kaum yang terbesar di negara. Kaum Melayu juga juga mempunyai beberapa budaya yang masih dikekalkan sehingga kini dari zaman dahulu lagi. Oleh itu, kita dapat lihat contohcontoh yang terdapat dalam masyarakat melayu untuk menerangkan budaya dan masyarakatnya. Kebudayaan Melayu. Bangsa Melayu amat terkenal dengan sifat lemah lembut dan sopan santunnya. Kehidupan sehari-hari sangat dipengaruhi oleh persekitaran masyarakatnya. Dan kebiasaan ini telah menjadi amalan turun-temurun zaman-berzaman yang diwarisi dari nenek moyang mereka. Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, begitulah amalan-amalan tertentu ini tetap diamalkan walaupun arus kemodenan telah lama menyerapi kehidupan masyarakat Melayu di negara kita ini. Kaum Melayu mempunyai berbagai-bagai jenis dan elemen yang melambangkan identiti bangsa Melayu itu sendiri. Antaranya ialah nilai dan estika, kepercayaan, pantang larang, adat isitadat dan sebagainya. Pepatah melayu "Biar mati anak, jangan mati adat", merujuk kepada betapa pentingnya adat serta amalannya dalam masyarakat melayu. Terdapat banyak pepatah serta ungkapan yang merujuk kepada perlaksanaan sesuatu adat itu. Kebanyakkan adat adalah juga merupakan peraturan terhadap kehidupan sehari-harian, ia juga dipanggil ritual. 1. Adat Istiadat. Masyarakat Melayu sememangnya berpegang kepada adat istiadat yang telah diperturunkan. Adat istiadat dapat dikatakan sebagai satu sistem nilai yang berhubung cara-cara berfikir, pegangan hidup serta amalan sesebuah masyarakat. Masayarakat menerima tingkah laku dan disebut sebagai kebiasaan. Kebiasaan yang diterima secara bersama ini disebut sebagai adat. Adat menjadi peraturan yang dipatuhi dan dihormati oleh masyarakat yang mendukungnya tanpa paksaan. Adat pula didefinisikan sebagai peraturan yang sudah diamalkan secara turun-temurun dalam sesebuah masyarakat sehingga menjadi hukum dan peraturan yang harus dipatuhi. Manakala istiadat dapat disimpulkan sebagai cara-cara atau peraturan melakukan sesuatu yang

sudah menjadi kebiasaan atau resam. Contoh adat istiadat yang masih diamalkan sehingga kini adalah Adat Temenggung dan Adat Pepatih. Ianya diamalkan di Negeri Sembilan. 2. Adat Perkahwinan Dalam masyarakat Melayu khursusnya, secara umumnya adat perkahwinan yang akan dilalui oleh masyarakat Melayu ada empat peringkat iaitu merisik, melamar, bertunang dan bernikah. Peringkat yang pertama iaitu merisik. Merisik ialah proses yang dilakukan oleh pihak lelaki bagi menyelidik dan mendapatkan maklumat tentang diri dan latar belakang gadis. Peringkat yang kedua iaitu melamar. Kebiasaanya pihak lelaki akan menghantar sebentuk cincin untuk melamar wanita yang dirisik. Jika cincin tidak dikembalikan dalam masa tiga hari, bermakna lamaran itu diterima. Peringkat seterusnya adalah pertunangan. Pertunangan ini menjadi tanda bagi pihak perempuan bahawa dirinya telah dimiliki oleh bakal suami. Peringkat terakhir adalah bernikah. Adat dan upacara perkahwinan dimulai dengan akad nikah. Seterusnya, berlangsunglah upacara persandingan di atas pelamin. Persandingan ini dijalankan untuk memperkenalkan kepada tetamu yang hadir isteri kepada lelaki yang bersanding. Pada masa kini, upacara bersanding ini masih lagi diadakan. 3. Adat bercukur jambul. Adat ini dilakukan untuk meyambut kedatangan orang baru dalam kehidupan rumah tangga. Anak yang dilahirkan ini biasanya disambut dengan penuh kasih sayang. Selepas tujuh hari dari hari bersalin, lazimnya diadakan kenduri nasi kunyit, kerana itulah harinya adat mencukur kepala anak kecil itu dijalankan. Bayi dibawa keluar dan dikelilingkan kepada tetamu-tetamu lelaki yang hadir dan setiap seorang daripada mereka dikehendaki menepuk sedikit tepung tawar, menebar sedikit beras kunyit dan bertih kepada bayi itu. Setelah perkara tersebut dilakukan, barulah tetamu-tetamu lelaki tadi menggunting sedikit sahaja rambut bayi itu Lalu rambut yang digunting itu dimasukkan ke dalam kelapa yang telah diisi air. Bilangan orang yang menggunting rambut bayi itu hendaklah dalam bilangan yang ganjil, iaitu tiga, lima atau tujuh atau seumpamanya. Pada masa inilah anak itu diberi nama oleh si bapa. Setelah selesai adat bercukur dan memberi nama anak yang telah dilakukan oleh pihak lelaki, anak itu akan dibawa masuk ke dalam rumah itu dan hal seperti menggunting rambut anak itu dilakukan pula oleh

pihak perempuan. Setelah selesai kedua-dua pihak lelaki dan perempuan menjalankan perkara di atas, maka barulah kepala anak itu dicukur seluruhnya oleh tok bidan atau sesiapa yang mahir dengan kerja itu.

4. Adat berkhatan Adat ini masih diamalkan oleh segelintir masyarakat Melayu di kampung-kampung. Anak lelaki yang berumur antara 10-12 tahun akan menjalani upacara berkhatan. Upacara ini disertai oleh majlis kenduri. Ibubapa akan menjemput saudara-mara, jiran tetangga dan sahabat handai terdekat untuk menghadiri majlis tersebut. Apabila tiba harinya, pada sebelah petang, anak lelaki yang hendak berkhatan ini dimandikan, diandam dan dipakaikan pakaian yang cantik seperti pakaian pengantin. Dia didudukkan di atas kerusi dan diarak oleh orang ramai seperti mengarak pengantin. Budak yang ingin disunat akan disuruh mandi sepuas-puasnya dan setelah itu air di dalam buyong yang telah dijampi oleh tok mudim akan dicedok dan disiram ke atas budak itu sambil budak itu berdiri di atas tangga. Kemudian budak itu disuruh duduk berkangkang di atas batang pisang, dan tok mudim itu pun dengan pantas menyunatkannya. Pada keesokan harinya, barulah Tok Mudim menjalankan upacara berkhatan.

Rumusan Kesimpulannya, perkara yang dibincangkan ini membuatkan kita memahami antara fugsi budaya dan masyarakat di negara kita ini. Walaupun secara tidak disedari namun hubungan yang erat diantara masyarakat dan budaya itu sendiri tidak dapat dinafikan. Seperti yang dikatakan di dalam perbincangan ini, tidak akan da masyarakat yang hidup tanpa budaya dan tidak ada budaya yang wujud tanpa masyarakat. Ianya saling berkait antara satu sama lain. Pakar-pakar sejarah juga mengatakan bahawa kebudayaan itu memainkan peranan yang penting dalam sesebuah masyarakat. Ianya hanya dapat difahami melalui budaya yang wujud di dalam sesuatu kumpulan ataupun komuniti. Yang akan membezakan sesuatu komuniti atau masyarakat itu juga adalah melaui budaya yang ditonjolkan. Oleh yang demikian, persamaan serta perbezaan yang wujud ini membentuk satu identiti. Identiti ini lebih kepada kelompok masyarakat yang lebih besar di mana setiap orang dalam masyarakat memainkan peranan mereka yang tersendiri. Justeru, dalam membentuk masyarakat Malaysia yang lebih jitu di masa hadapan, kita perlu mengekalkan pemuafakatan yang telah wujud di antara budaya dalam kaum untuk melihat pencapaian yang lebih gemilang. Di Malaysia, kita memahami bahawa kebudayaan ini adalah kepunyaan bersama dan bukannya kepunyaan seorang. Oleh itu, kita perlu menuju ke arah pencapaian serta pemufakatan yang telah wujud dari zaman Tanah Melayu lagi.

(2984 patah perkataan)

Rujukan A.Aziz Deraman, (2003). Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia. Edisi Baharu. Cetakan pertama. Penerbit Cahaya Pantai Sdn, Bhd. Abdul Rahman Abdullah. (2006). Sejarah dan kebudayaan Asia Tenggara tradisional. Shah Alam: Karisma Publications Azhar Haji Mad Aros, Azharudin Mohd. Dali, Suffian Mansor, Zulkarnain Abd. Rahman (ed), (2000)Titas Kertas 2, Fajar Bakti, Sdn. Bhd. Hall, D.G.E, (1987). Sejarah Asia Tenggara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Kamarudin Hj. Husin dan Siti Hajar Hj. Abdul Aziz (1999). Pemulihan dan Penggayaan,Pengurusan Sumber:Budaya dan Masyarakat Malaysia. Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Lee Kam Hing dan Tan Chee-Beng (ed.). (2000). The Chinese in Malaysia. Shah Alam: Oxford University Press. Ryan, N.J (1972). The Cultural Heritage of Malays. Kuala Lumpur: Longsman Malaysia. Sitti Hajar Abdul Aziz (2008). Bahasa Melayu 1. Oxford Fajar Bakti Sdn. Bhd. Tamadun Islam Dan Tamadun Asia, (2001). Kuala Lumpur: Universiti Malaya

Wan Abd. Kadir Yusoff & Zainal Abidin Borhan (1985) Idealogi dan Kebudayaan Kebangsaan. Kuala Lumpur, Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Zulkifli Mohamad (2006) Tamadun Islam Dan Tamadun Asia, Selangor, Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia.

You might also like