You are on page 1of 10

Saya Sayang Awak

AWAK ingat tak tarikh 29 Mac? Awak mesti tak ingat, kan? Tapi awak tau tak yang tarikh tu tarikh
yang saya takkan lupakan sepanjang hidup saya? Awak tau kenapa? Sebab pada 29 Mac itulah kita
disatukan sebagai suami isteri. Sampai saat ni saya tak percaya. Saya rasa nak ketawa. Kelakar rasanya.
Macam mana kita boleh jadi suami isteri sedangkan awak tak pernah rapat dengan saya? Awak tau tak, hari
kita bernikah tu, saya tertanya-tanya kenapa awak bernikah dengan saya? Kenapa awak pilih saya? Tapi
awak tetap terima nikah dan lafazkan nama saya dalam satu nafas.

Wajah awak nampak tenang bila bersalaman dengan Papa saya. Awak senyum pada Ibu awak yang berada
di sisi saya. Perlahan-lahan awak hampiri saya. Abang awak buka bekas cincin dan awak sarungkan cincin
itu di jari manis kiri saya. Kemudian bibir awak menyentuh dahi saya. Saya tak berani nak pandang awak.
Mata awak tajam. Saya cuma senyum. Semua itu lakonan semata-mata, kan? Bergetar tangan saya waktu
cium tangan awak. Awak percaya tak itu kali pertama saya bersalam dengan seorang lelaki? Dan lelaki itu
adalah awak, suami saya.

Ibu awak peluk saya. Kemudian saya nampak Mama. Saya rasa sedih sangat. Hari tu saya dah jadi milik
awak sepenuhnya. Selepas majlis bernikah, awak balik ke rumah awak. Majlis perkahwinan kita diadakan
pada keesokan harinya. Mama bertekad nak buat besar-besaran walaupun saya menolak. Bagi saya, majlis
persandingan tak perlu. Cukup sekadar adakan kenduri tapi Mama tak setuju. Awak tau tak saya langsung
tak pernah ambil tahu tentang majlis perkahwinan saya? Entahlah, saya pun tak tahu kenapa. Mungkin saya
kerana saya sebenarnya tak percaya yang saya akan berkahwin dengan awak.

Macam mana saya nak cakap, ya? Awak tau tak saya admire awak selama ni? Mesti awak terfikir sejak bila
saya kenal awak, kan? Awak tak ingat ke? Dulu kita belajar di universiti yang sama sewaktu diploma.
Awak pelajar diploma kejuruteraan awam UTMKL, seksyen 3, kan? Saya tau banyak perkara tentang
awak. Saya tahu warna kesukaan awak, hobi awak, makanan kegemaran awak … Girlfriend awak pun saya
kenal. Semua tu saya kawan saya, Izzah yang beritahu. Izzah girlfriend awak, kan? Atau sepatutnya saya
kata salah seorang yang pernah jadi girlfriend awak?

Saya tau awak ada banyak girlfriend. Maklumlah, awak seorang lelaki yang ada banyak kelebihan. Kalau
awak senyum je mesti ada yang akan jatuh cinta. Macam saya. Saya temankan Izzah bertemu dengan awak
buat pertama kali awak berdua berjumpa. Kelakar rasanya bila saya pun jatuh cinta dengan awak. Tapi
Izzah tak pernah tau perasaan saya terhadap awak. Awak tau tak betapa terseksanya saya setiap kali Izzah
ceritakan tentang awak? Izzah ceritakan yang awak hadiahkan dia rantai, bantal bentuk hati … Apa lagi ya?
Banyak sangat yang awak beri pada Izzah.

Saya cemburu sangat tiap kali Izzah bergayut dengan awak dalam phone. Saya terfikir kalaulah saya dapat
miliki awak, adakah awak akan layan saya macam awak layan Izzah? Saya jadi saksi percintaan awak
dengan Izzah. Izzah selalu suruh saya temankan bila awak nak jumpa dengan dia. Entahlah awak, Saya
jatuh cinta sangat dengan awak sampai saya sanggup khianati kawan saya. Izzah tak tau saya ambil nombor
handphone awak. Saya beli SIM card baru dan mula kacau awak. Saya tak sangka awak akan layan saya.

Izzah tak pernah tau saya kacau awak and awak pun tak pernah beritahu Izzah. Cuma pernah sekali Izzah
mengadu kat saya yang awak dah semakin jauh dari dia. Saya terfikir, sayakah penyebabnya? Tapi awak
jarang balas mesej saya. Cuma sesekali awak akan balas mesej saya, bertanyakan siapa saya. Saya tak
pernah bagitau dan awak tak pernah tau, walaupun kita dah berkahwin. Saya mesej awak, saya berterus
terang yang saya sukakan awak. Entah apa perasaan awak masa tu, kan?

Awak ingat tak rak 108 kat Perpustakaan Sultanah Zanariah? Rak itulah yang jadi tempat kita bertukar
banyak benda. Masa birthday awak, saya hadiahkan awak T-shirt warna hitam. Saya rasa happy sangat bila
saya nampak pakai baju tu. Awak nampak menyerlah bila pakai baju warna hitam. Tiba satu masa, kita jadi
rapat walaupun masa tu awak masih dengan Izzah. Kita berbual tentang banyak perkara termasuklah study.
Kalau saya ada hint untuk final exam, rak 108 tu lah yang awak akan cari. Saya rasa tak percaya bila awak
bagi hadiah untuk saya masa birthday saya.

Saya ingatkan awak tak ingat. Awak bagi saya tudung warna putih. Cantik tudung tu. Tapi saya tak pernah
pakai waktu di kampus. Ye la, kalau saya pakai, mesti awak kenal saya, kan? Tapi tudung tu la yang saya
paling sayang sebabnya awak yang bagi. Hehehe. Bukan sekali dua awak tanya siapa saya. Nama saya pun
awak tak tau. Awak pernah gurau dengan saya. Awak kata kalau saya tak bagitau nama saya, awak akan
panggil saya sayang. Saya ketawa besar walaupun dalam hati saya mula risau. Izzah selalu mengadu
dengan saya yang awak mula tak hiraukan dia.

Setiap kali awak telefon, saya akan keluar dari blok hostel saya sebab saya tak nak ada orang tau yang saya
sedang berbual dengan awak. Terutamanya Izzah. Awak rasa saya ni jenis yang kawan makan kawan ke?
Saya bukan nak memiliki awak. Saya cuma nak jadi sebahagian daripada hidup awak. Tak sangka akhirnya
saya memang menjadi sebahagian daripada hidup awak, kan? Menjadi isteri awak bukanlah sesuatu yang
saya pernah fikirkan. Awak akan jatuh hati pada saya juga tak pernah saya fikirkan. Saya menangis waktu
awak luahkan perasaan awak.

Bukan saya tak sukakan awak. Saya cintakan awak sepenuh hati saya tapi saya sedih saya tak dapat jadi
milik awak sebab yang awak cintakan sebenarnya bukanlah diri saya, Ariana tetapi Rie. Rie cumalah
bayang-bayang. Walaupun semua perkara yang saya ceritakan pada awak adalah mengenai saya, Ariana
tapi bagi awak, saya Rie. Awak kenal Ariana tapi awak tak ada perasaan pada dia. Awak sebenarnya tak
ada perasaan pada saya. Saya juga sedih sebab saya khianati kawan baik saya sendiri. Kenapa awak
sukakan Rie dan sanggup tolak Izzah?

Selepas saya menangis, Izzah datang bertemu saya dalam air mata. Awak tinggalkan Izzah! Kerana saya!
Saya tak tau siapa yang kejam. Sayakah yang membuatkan Izzah menangis dan membuatkan awak terluka?
Atau awak yang membuatkan Izzah menangis dan menderita sendiri akhirnya? Maafkan saya, awak …
Bukan niat saya nak mempermainkan cinta awak. Percayalah, saya cintakan awak tapi orang yang awak
cintai bukanlah saya. Saya tau awak akan tolak saya jika awak mengenali saya. Saya tak macam awak yang
punya segalanya. Saya tak secantik Izzah, tak sebaik Izzah.

Awak pun tau saya macam mana, kan? Pertama kali Mama dan Papa beritahu yang keluarga awak datang
meminang saya, perkara pertama yang saya fikir ialah adakah awak dah tau yang saya Rie ke? Kenapa
awak memilih saya? Kenapa tak orang lain yang sepadan dengan awak? Awak tak takut orang lain mengata
awak kerana memilih perempuan yang tidak sepadan dengan awak? Saya rasa rendah diri sangat bila kita
berdua duduk bersanding di atas pelamin. Saya dapat dengar orang memperkatakan dengan kita.

Macam Prince Charming and the Witch. Hari yang sepatutnya menjadi hari bersejarah, hari paling bahagia
dalam hidup saya jadi hari yang paling mendukacitakan. Saya terasa kerdil sangat di samping awak. Tapi
awak cuma senyum. Itulah yang melapangkan dada saya, yang membuatkan semua kemarahan saya hilang.
Semasa awak senyum pada saya, saya terfikir. Kita sudah lama tidak bertemu sejak kita mengikut haluan
masing-masing. Awak melanjutkan pelajaran ke Jepun sedangkan saya hanya mampu menyambung
pelajaran di UTM Skudai dalam bidang ukur bahan.

Saya tak tahu macam mana awak boleh berjumpa dengan saya. Saya tak tau macam mana awak boleh
meminang saya. Kita tak pernah berjumpa sejak hari konvokesyen, kan? Sewaktu kita hampir disatukan
pun kita tak pernah bertemu, kan? Kenapa awak pilih saya? Takkanlah orang seperti awak tak ada pilihan
sendiri? Bila kita berkahwin, salah satu perkara yang saya paling gerunkan adalah malam pertama. Saya
mula terfikir yang bukan-bukan tentang malam pertama.

Tapi saya tak sangka saya tak pernah dapat mengecapi malam pertama yang diidamkan pasangan lain.
Awak tak sentuh saya langsung. Bercakap dengan saya pun tidak. Awak dingin. Saya cuba pujuk hati saya
sendiri. Bagi saya, mungkin awak segan. Saya pun segan dengan awak. Ye la, awak ex-boyfriend kawan
saya dan saya kawan ex-girlfriend awak. Oh ya, bercakap tentang Izzah, dia ada datang waktu majlis
perkahwinan kita. Awak perasan tak? Ke awak dah lupakan Izzah? Awak tak tau betapa risaunya saya
waktu saya call dia.

Dia tanya, siapa bakal pasangan hidup saya yang bertuah tu? Lidah saya kelu. Tapi saya berterus terang.
Saya katakan pada saya yang saya tak pernah berjumpa dengan awak sama sekali dan saya tak ada idea apa
yang menyebabkan awak meminang saya. Syukurlah Izzah memahami. Katanya, apa yang sudah berlalu
biarkan berlalu dan kebahagiaan saya adalah kebahagiaan baginya. Tapi kenapa awak tak macam tu?
Kebahagiaan saya awak tak pernah fikir pun. Awak berikan saya segalanya. Tapi awak tak pernah berikan
saya kasih sayang.

Seminggu selepas kita berkahwin, awak luahkan hasrat awak untuk berpindah. Awak kata, awak dah beli
rumah. Saya terkejut. Awak tak pernah beritahu saya pun. Mama tak bersetuju sebab Mama tak nak
berjauhan dari saya tapi saya katakan pada Mama yang tempat seorang isteri adalah di sisi suaminya. Jika
awak nak berpindah ke mana sekali pun, saya akan ikut bersama awak sebab tempat saya adalah di sisi
awak. Kemesraan kita di hadapan Mama dan Papa cumalah lakonan. Di belakang mereka, kita umpama
batu yang tak berperasaan.

Awak jangan cuba kata yang saya tak pernah cuba untuk bermesra dengan awak! Saya dah cuba yang
terbaik. Setiap kali kita berdua dalam bilik, saya akan cuba berbual dengan awak. Saya bertanya tentang
semua perkara tentang awak tapi awak bercakap seakan terpaksa. Kecil hati saya. Tapi saya tak pernah
berhenti mencuba. Selepas kita berkahwin, awak tak izinkan saya bekerja. Saya akur. Saya tinggal di rumah
itu, sendirian. Saya rasakan diri saya tak ubah seperti robot. Saya akan bangun awal pagi sebelum awak
bangun untuk masak sarapan.

Sebelum azan subuh, saya akan kejutkan awak untuk solat. Kita akan bersolat berjemaah. Kita bersarapan
bersama dan saya akan temani awak sehingga ke pintu untuk bersalam dengan awak sebelum awak pergi
kerja. Setiap pagi saya tak pernah lupa untuk minta maaf jika saya ada silap. Entahlah, saya dah terbiasa
untuk meminta maaf. Tapi tu semua berlaku dalam seminggu saja. Satu pagi, bila saya bangun, awak tak
ada di sisi saya. Dada saya berdebar kencang. Saya ketuk pintu bilik air tapi awak tak ada.

Saya ke ruang tamu tapi awak tak ada. Dalam perasaan risau saya lihat semua barang-barang penting awak
masih ada. Saya buka pintu bilik kedua. Awak sedang tidur dengan lena. Air mata saya tumpah. Kenapa
awak buat macam ni? Hati saya betul-betul terluka tapi saya tak pernah luahkan. Pagi tu saya siapkan
sarapan dalam air mata. Saya terfikir apa salah saya sebenarnya sampai awak buat saya macam batu. Saya
tetap kejutkan awak macam biasa. Awak nampak terkejut tapi saya gagahkan diri saya untuk senyum.
Dengan suara yang lembut saya suruh awak bangun dan mengimamkan solat subuh. Pagi itu berbeza sekali
rasanya. Di minda saya cuma terfikir satu perkara. Awak sebenarnya tak ikhlas memperisterikan saya. Tapi
saya tak tau kenapa. Kenapa perlu awak ikat diri awak dalam perkahwinan ini dan seksa saya sebegini.
Saya tetap maniskan muka walaupun saat tu perasaan saya dah mati. Saya tetap salam dan cium tangan
awak dan tak lupa ucapkan maaf. Awak nampak serba salah tapi saya tetap cuba untuk tak kelihatan
terluka.

‘Smlm pns, sbb 2 sy tdur kt blik lain.’

Saya tersenyum pahit waktu baca mesej dari awak. Kenapa awak berpura-pura dengan saya? Panas?
Dengan aircond yang terpasang pada 16 darjah? Saya rasa marah sangat tapi saya biarkan perasaan tu
berlalu. Entahlah awak, Saya sendiri terfikir kenapa saya selalu abaikan perasaan saya. Malam-malam
seterusnya berlalu dengan awak mengasingkan diri di bilik kedua. Saya tak pernah bertanya. Saya diamkan
diri tapi saya tak pernah lupakan tanggungjawab saya. Alhamdulillah, awak pun tak pernah abaikan
kewajipan awak untuk berikan nafkah zahir pada saya.

Bila saya fikirkan balik, kita tak pernah keluar berdua kecuali sewaktu ke rumah saya atau ke rumah awak.
Setiap kali keluar membeli barang dapur atau keperluan kita, saya akan pergi sendiri. Saya tidak kisah
kerana saya boleh berdikari sendiri tapi saya terfikir. Apa status saya di mata awak? Saya isteri awak atau
cuma orang gaji awak? Saya jaga dan uruskan keperluan awak sendirian. Kadang-kadang saya terserempak
dengan kawan-kawan saya sewaktu saya shopping sendirian. Semua bertanya di mana awak.

Lidah saya kelu untuk berkata. Alasan saya cumalah satu. Awak sedang bekerja atau awak outstation.
Sedangkan saya tak tahu awak di mana! Pernah sekali awak hantar mesej pada saya. Kita berhubung
dengan mesej. Awak tak pernah call saya dan setiap kali saya call, awak tak pernah jawap. Alasan awak,
awak sedang bermesyuarat. Tapi takkanlah awak ada mesyuarat setiap hari, kan? Hari demi hari saya jadi
lali dan give up untuk call awak. Awak kata ada dinner syarikat di Dewan Perdana Felda dan semua pekerja
terpaksa bawa pasangan masing-masing.

Saya terasa kecil hati. ‘Terpaksa’ bawa pasangan masing-masing. Awak terpaksa ajak saya rupanya. Saya
sediakan pakaian awak untuk dinner malam itu. Saya sengaja pilih baju batik yang sepadan dengan baju
saya. Untuk dinner malam tu, saya keluar ke butik untuk make up wajah saya. Saya nak nampak sepadan
dengan awak. Tapi malam tu tak seindah yang saya harapkan. Saya tak nafikan semua orang memuji saya
tapi awak sedikit pun tak pandang saya. Usahkan pujian, bercakap dengan saya pun tidak.

Di depan kawan-kawan awak, awak peluk pinggang saya, awak pegang tangan saya. Hati saya benci sangat
awak buat macam tu. Tapi saya halal untuk awak. Saya terpaksa relakan awak buat begitu. Bila majlis
berakhir, awak minta saya tunggu di kereta. Saya cuma menurut tetapi kemudian saya terasa ingin pergi ke
tandas. Sewaktu dalam perjalanan tu, mata saya sendiri saksikan awak sedang bersama seorang perempuan.
Hancur luluh hati saya, awak! Saya pujuk hati saya. Saya katakan pada diri saya yang dia hanyalah rakan
sekerja awak tapi awak dan dia terlalu mesra!

Awak genggam tangan dia, awak belai pipi dia. Mustahil awak hanya berkawan dengan dia, kan? Niat saya
untuk ke tandas terus mati. Saya kembali ke kereta, melayan duka sehingga awak datang. Awak tak cakap
sepatah pun. Saya hanya mendiamkan diri sepanjang perjalanan pulang sedangkan awak bersiul bahagia.
Tiba di rumah saya terus membersihkan diri. Saya bermunajat kepadaNya malam itu. Saya cuba hilangkan
pedih di hati saya dengan berdoa pada ALLAH. Awak ingat tak pernah sekali Ibu awak datang tinggal di
rumah kita selama tiga hari? Itulah saat yang paling bahagia saya rasakan.
Sebab awak akan layan saya dengan baik walaupun itu semua lakonan. Sekurang-kurangnya dengan
adanya Ibu, saya bukan batu yang awak boleh abaikan sesuka hati awak. Setiap pagi saya akan bangun dan
sediakan sarapan. Kemudian saya akan berjalan-jalan dengan Ibu. Saya tak sendirian! Awak pulang awal
ke rumah semasa Ibu tinggal di rumah kita. Saya bahagia, awak … Sebab kalau Ibu tak ada, awak mesti
balik lewat. Saya tetap tunggu awak walaupun ada kalanya saya menunggu sehingga tertidur.

Bila awak balik, awak akan kejutkan saya supaya tidur di bilik. Tapi perkara pertama yang saya akan tanya
adakah awak dah makan. Saya siapkan makan malam setiap hari walaupun terpaksa tunggu awak balik.
Awak akan kata yang awak dah makan tapi awak akan tetap makan masakan saya. Saya tahu awak terpaksa
tapi saya tetap hargai awak. Saya kagum dengan awak sebab awak berterus terang dengan saya. Satu hari,
waktu saya tengah mengemas, wallet awak jatuh. Saya nampak ada gambar perempuan dalam wallet awak.
Dialah perempuan yang bersama awak malam itu.

Awak cepat-cepat tutup dan simpan wallet awak. Tapi saya cuba senyum dan tanya pada awak siapa
perempuan itu dengan lemah lembut walaupun hati saya dah remuk saat tu. Awak kata dia girlfriend awak.
Awak dah bercinta dengan dia sejak di Jepun lagi. Saya cuma senyum. Hati saya menangis. Saya memang
tak sepadan dengan awak. Entah apa awak fikir tentang saya. Mungkin awak fakir saya pun tak serius
dengan perkahwinan kita. Awak silap. Perkahwinan kita ni satu rahmat dan kebahagiaan buat diri saya.

Saya tak pernah merasa sebahagia ini sebelum ini. Tapi saya juga tak pernah rasa sederita ini sebelum ini.
Awak berikan saya cahaya kebahagiaan tapi dalam masa yang sama suasana terlalu gelap sehingga
menyeksa saya untuk mengejar cahaya kebahagiaan itu. Satu malam, kita duduk berdua di meja makan.
Kita berbincang. Awak tanyakan pada saya sama ada mahu teruskan perkahwinan ini atau tidak. Sakit hati
saya dengar kata-kata awak. Awak seakan-akan mahu memutuskan ikatan halal antara kita. Saya menangis
di depan awak.

Sumpah, saya tak pernah mahu memutuskan ikatan perkahwinan ini walau macam mana pun awak layan
saya. Sebab saya sayangkan awak. Awak bingung. Saya katakan pada awak yang saya tidak kisah jika
awak hendak menikahi teman wanita awak tetapi jangan putuskan ikatan perkahwinan kita. Entahlah, bagi
saya perkahwinan dengan awak adalah segala-galanya. Awak akur. Tapi jujur saya katakan yang saya
menipu kalau saya tak ada perasaan setiap kali lihat awak tersenyum bahagia bila berbual dengan girlfriend
awak.

Setiap kali saya melalui bilik kedua, mesti saya dengar awak ketawa. Saya selalu terbayang betapa
bahagianya saya kalau awak sedang ketawa dengan saya? Sejak saya beritahu saya tak kisah tentang
hubungan awak dengan dia, kita jadi rapat. Sekurang-kurangnya awak tak lagi diamkan diri macam dulu.
Sejak hari tu awak mesti senyum dengan saya dan tegur saya. Awak puji saya. Walaupun saya tak tau awak
ikhlas atau tak, saya tetap gembira. Awak tak segan silu ceritakan pada saya tentang girlfriend awak. Awak
minta nasihat saya. Awak kata saya sahabat awak. Pilu hati saya, awak.

Tapi tak apalah, saya sanggup hadapi semua ini asalkan awak ada dengan saya. Setiap kali awak ada
masalah dengan girlfriend awak, awak akan ceritakan pada saya. Walaupun hati saya pedih, saya tetap
bahagia. Satu malam, awak pulang lewat. Mata awak sembap macam baru lepas menangis. Awak terus
masuk bilik, langsung tak bertegur dengan saya yang ada depan mata awak. Saya risau tengok awak sedih.
Saya ketuk pintu bilik awak. Awak tak buka pintu. Tanpa keizinan awak, saya masuk bilik awak. Awak
duduk menangis di birai katil.

Saya duduk sebelah awak, pegang tangan awak. Awak genggam tangan saya kuat-kuat. Esakan awak
makin kuat. Saya tak cakap sepatah perkataan pun. Saya biarkan awak menangis sebab bagi saya awak
cuma perlu luahkan segalanya. Mungkin bukan pada saya tetapi pada diri awak sendiri. Lama awak
menangis sampai air mata saya pun hampir mengalir. Saya sedih tengok awak menangis. Saya tak nak
sesiapa pun lukakan perasaan awak. Saya biarkan awak peluk saya. Basah bahu saya dengan air mata awak.
Jantung saya berdegup kuat bila awak peluk.

Inilah kali pertama awak peluk saya dengan keikhlasan walaupun mungkin awak tak sedar awak sedang
memeluk saya. Awak baring di riba saya. Basah seluar tidur saya dengan air mata awak tapi saya tetap
biarkan. Saya beranikan diri untuk belai rambut awak. Akhirnya awak tertidur di riba saya. Saya tak sampai
hati untuk kejutkan awak. Waktu awak tidur itulah saya renung awak puas-puas. Jahat ke saya kalau saya
rasa bahagia bila awak sedang sedih? Saya bahagia awak terima saya di saat awak memerlukan seseorang.

Saya terbangun bila saya terdengar suara awak. Saya terkejut sebab awak tak tidur di riba saya tetapi di sisi
saya. Awak peluk pinggang saya. Dada saya berdebar. Dahi awak berpeluh. Baju awak basah sebab peluh.
Saya sentuh dahi awak. Panas. Awak demam! Cepat-cepat saya ambil tuala kecil dan ais. Saya lap peluh
awak dan tekap dahi awak dengan ais. Awak pegang tangan saya waktu saya lap dahi awak. Saya ingatkan
awak sedar tapi rupanya awak sedang mengigau. Awak sebutkan nama Diya. Mengalir air mata saya, awak.

Walaupun saya tahu awak tak sedar, tapi saya tak dapat kawal hati saya daripada terluka. Kenapa dia yang
awak rindui? Kenapa nama dia yang awak sebut? Keesokan harinya apabila saya membuka mata, saya
sedang berbaring di katil awak. Awak tak ada. Saya terus cari awak tapi awak tak ada. Di meja di bilik
saya, awak sisipkan sekeping nota.

‘Terima kasih sebab jaga saya malam tadi. Malam ni saya balik lewat. Jangan tunggu saya.’

Saya tertanya … Bila awak tulis nota tu, ada tak awak fikirkan tentang perasaan saya? Saya koyak nota
awak dan campakkan ke tong sampah. Saya benci awak layan saya macam ni! Saya hantar mesej pada
awak untuk beritahu yang saya akan tinggal di rumah Mama selama beberapa hari. Sebelum saya pergi,
saya siapkan keperluan awak untuk seminggu. Tapi sebenarnya saya tak pergi ke rumah Mama. Saya
bercuti sendirian di Cameron Highlands. Percutian saya bukanlah untuk bergembira. Saya banyak berfikir
di sana. Saya mula fikirkan pertanyaan awak dulu untuk berpisah.

Saya mula menyesali keputusan saya untuk meneruskan ikatan kita. Sebab saya menderita! Tapi saya tak
salahkan awak. Saya sendiri yang lukakan perasaan saya, kan? Setiap hari saya menangis. Di sana, saya
berjalan-jalan sendirian sedangkan setiap orang di sana berteman. Mereka nampak bahagia, awak! Tapi
kenapa kita tak bahagia? Sebab hati awak bukanlah untuk saya. Semasa di Cameron Highlands, saya
matikan handphone saya. Walaupun hati saya meronta untuk mengaktifkan handphone tapi saya kuatkan
hati saya.

Setiap hari saya tertanya, awak pernah ke cari saya? Selepas seminggu, barulah saya pulang. Saya kuncikan
pintu bilik dan tak tunggu awak balik. Hati saya meronta nak lihat wajah orang yang paling saya rindui tapi
saya takut saya menangis. Saya tak nak menangis di depan awak. Saya tak nak awak fikir saya nak
dapatkan perhatian awak. Saya tetap tunggu awak sebenarnya. Pukul 10 malam barulah awak pulang.
Awak berhenti di sisi kereta saya dan pandang ke arah bilik saya. Saya sembunyikan diri. Kemudian awak
masuk ke dalam rumah.

Saya berdoa awak akan ketuk pintu bilik saya tapi yang saya dengar cumalah awak menutup pintu bilik
awak. Air mata saya mengalir. Awak mesti tak rasa apa-apa bila saya tak ada, kan? Pagi itu saya mulakan
kembali rutin harian saya. Selesai memasak sarapan pagi, saya ketuk pintu bilik awak. Tapi awak tak ada.
Bilik awak kemas macam awak tak balik semalam. Di atas meja ada nota untuk saya.
‘Saya outstation tiga hari di JB. Nanti saya belikan something utk awak. Jaga diri baik-baik.’

Entahlah apa yang saya rasa waktu tu. Saya dah lupa. Saya cuma tutup pintu bilik awak dan saya berkemas.
Saya pergi ke rumah Mama. Saya tak beritahu awak pun. Mama tak pernah beritahu yang awak cari saya
semasa seminggu saya di Cameron. Awak tak pernah cari saya rupanya. Awak tak pernah hiraukan tentang
diri saya. Selepas tiga hari, awak jemput saya di rumah Mama. Saya tak tau macam mana awak boleh cari
saya di rumah Mama. Awak nampak penat.

Saya terus siapkan makanan untuk awak. Awak nampak berselera benar. Awak kata pada Mama yang awak
rindukan masakan saya setelah berjauhan selama beberapa hari dengan saya. Awak tipu, kan? Awak kata
awak penat jadi awak nak tidur di rumah Mama. Saya tak suka! Depan Mama saya pujuk awak untuk balik
tapi awak menolak. Saya tak nak duduk di bilik yang sama dengan awak. Saya rimas awak ada dekat
dengan saya. Saya bencikan awak! Bila awak minta izin untuk masuk ke bilik, saya sediakan semuanya
untuk awak. Kemudian saya keluar dari bilik untuk menonton TV.

Semua tu alasan semata-mata. Awak datang jumpa saya. Mama senyum lihat awak datang sedangkan
perasaan saya membara dalam hati. Saya berpura-pura mesra di hadapan Mama. Sejam kemudian awak
ajak saya tidur. Terbeliak mata saya dengar awak bahasakan diri awak Abang. Saya menolak dengan
mengatakan saya mahu menonton TV tapi Mama mencubit lengan saya. Dengan perasaan terpaksa, saya
ikut awak masuk ke dalam bilik. Dalam bilik, saya mendiamkan diri. Saya duduk di atas kerusi. Perlahan-
lahan awak datang hampiri saya.

"Boleh kita bercakap?" Awak meminta izin. Saya membatukan diri tetapi kemudian saya menganggukkan
kepala. "Awak pergi mana minggu lepas?" Tenang awak bertanya. "Rumah ni la." Jawab saya pendek.
Saya tahu menipu hukumnya berdosa tapi salahkah saya kerana tak mahu melukai perasaan saya sendiri?
Saya berhak untuk gembira dan bahagia. "Saya tahu awak menipu." Saya mendiamkan diri. Dalam hati
saya bertanya. Kalau awak dah tau saya menipu, kenapa awak perlu tanya? Kenapa tak berterus terang?

"Jangan buat macam tu lagi. Saya risau bila Mama cakap awak tak ada datang pun. Saya terpaksa tipu
Mama katakan yang awak ada sedangkan saya cari awak setengah mati. Dah lah awak off handphone."
Awak luahkan perasaan marah awak. Saya terfikir, Cuma sebab itu pun awak nak marah? Macam mana
dengan saya yang terpaksa memendam rasa selama hampir setahun kita berkahwin? Sekali pun saya tak
pernah ungkit! Tapi saya tak nak panjangkan cerita. Awak tak kenal saya. Saya sebenarnya keras kepala
tapi demi awak saya sanggup berubah.

Saya rasa awak tahu saya sedang marah. Sejak hari tu, awak selalu pulang awal dan cuba untuk bercakap
dengan saya. Tapi biasanya saya mendiamkan diri dan hanya menjawab sepatah untuk semua soalan awak.
Saya cuba penuhi tanggungjawab awak. Saya tak lupa untuk kejutkan awak, sediakan sarapan awak,
siapkan pakaian untuk awak bekerja. Tapi saya cuba untuk mengelak daripada berdua dengan awak.
Perasaan saya sentiasa terganggu bila awak ada dengan saya. Awak pernah tanya kenapa tak makan
bersama. Saya cuma katakan yang saya kenyang atau tidak berselera.

Bersama awak, saya seakan patung tak bernyawa, mati. Satu hari, awak hantar mesej. Awak nak ajak
makan di luar. Saya menolak. Bagi saya, lebih baik saya makan sendirian daripada makan bersama awak.
Saya katakan saya tak ada mood untuk keluar. Tapi awak memaksa. Malam tu istimewa rupanya. Awak
hadiahkan saya mawar dan seutas gelang tangan. Awak mohon maaf untuk semua kesilapan awak. Saya
rasa tak percaya. Kenapa tiba-tiba awak berubah? Apa yang menyebabkan awak berubah? Tapi saya
gembira, awak !
Malam itu kita pulang lewat kerana awak berkeras mahu menikmati suasana malam di KLCC. Itulah kali
pertama kita berbual dan ketawa bersama. Terima kasih, awak!! Kerana sudi membahagiakan saya saat itu.
Hari yang mendatang membahagiakan saya. Saya kembali ke rutin dahulu. Awak kerap pulang awal ke
rumah dan kita menghabiskan masa berdua. Walaupun kita masih tidur berasingan seperti dulu, sekurang-
kurangnya saya tak rasakan rumah itu tidak mengurung jiwa saya lagi. Setiap hujung minggu mesti awak
bawa saya keluar.

Saya rasa pelik kenapa awak mula baik dengan saya. Saya beranikan diri untuk bertanya pada awak tapi
lidah saya kelu. Saya takut jika saya tanya, hubungan kita akan suram seperti dulu. Seingat saya, itu antara
saat yang paling membahagiakan ketika bersama awak. Tapi semua itu berubah dalam satu malam. Satu
malam, awak pulang ke rumah dalam keadaan marah. Awak hempaskan pintu bilik. Saya mengurut dada
kerana terkejut. Saya ketuk pintu bilik awak. Awak buka pintu dan menjerit ke arah saya.

Saya terkejut. Itulah kali pertama saya lihat awak marah. Kemudian awak hempaskan pintu bilik di depan
saya. Saya tak nafikan perasaan saya tercalar tapi saya bersabar. Mungkin awak ada masalah. Selesai
memasak, saya buka pintu bilik awak tanpa mengetuk pintu terlebih dahulu. Awak sedang duduk di atas
katil. Awak menundukkan kepala. Saya tahu awak menangis. Saya berdiri di hadapan awak dan pegang
bahu awak. Awak peluk saya. Bersaksikan ALLAH, malam tu saya serahkan diri saya yang halal untuk
awak.

Pukul 3 pagi, sewaktu awak sedang tidur, saya bangun dan menunaikan solat sunat kerana saya bersyukur
sekali. Niat saya ingin kembali ke bilik awak tetapi saya rasa malu sekali. Saya tidur di bilik saya walaupun
hati saya meronta untuk berada di sisi awak. Saya terbangun bila pintu bilik saya diketuk kuat. Dengan rasa
mengantuk, saya lihat jam menunjukkan pukul 9 pagi. Saya beristighfar dan segera membuka pintu. Bila
saya buka pintu, awak tolak saya sampai saya terjatuh. Saya terpana. Saya ingatkan awak akan berhenti tapi
awak tarik rambut saya dan tampar pipi saya berulang kali.

"Kau sengaja goda aku malam tadi! Kau sengaja buat macam tu! Kau nak ikat aku, kan? Sama macam
mana kau ikat nenek aku supaya aku berkahwin dengan kau!" Demi ALLAH, saat tu saya rasakan saya
kehilangan perasaan saya. "Kau ingat aku nak kahwin dengan kau? Kalau bukan sebab wasiat nenek aku,
aku tak akan kahwin dengan kau!" Awak tendang tubuh saya. Air mata saya mengalir laju. Saya tak tau
macam mana nak pertahankan diri saya. Saya rasa lemah sangat, awak . Barulah saya tau kenapa awak
berkahwin dengan saya tapi. Tapi kenapa awak kejam sangat dengan saya? Awak kata saya goda awak?
Saya cuma serahkan sesuatu yang halal untuk awak! "Bodoh! Bodoh!" Awak terus pukul tubuh saya. Sakit
sangat, awak!

Tapi hati saya lagi sakit. Dalam keadaan marah, awak keluar dari rumah. Saya duduk menangis di birai
katil sehingga saya tertidur. Bila saya bangun, awak masih belum pulang. Awak tak pulang malam tu. Tak
… sejak hari tu awak tak pernah pulang. Bukan sekali dua saya cari awak. Saya telefon handphone awak
tapi awak off. Kalau awak tak off pun, awak tak angkat phone call dari saya. Saya hantar berpuluh-puluh
mesej pada awak tapi satu pun tak berbalas. Saya tetap menunggu awak tapi tak pernah sekali pun awak
pulang. Saya rayu awak pulang setiap hari tapi hampa.

Awak terus hilang. Saya pernah pergi ke rumah awak tapi Ibu awak tanya kenapa dah lama tak datang.
Maksudnya awak tak pernah datang ke rumah Ibu. Bila saya telefon office awak, semua orang cakap yang
awak dah lama tak datang bekerja. Mana awak pergi? Tiga bulan awak menghilang entah ke mana. Mahu
tak mahu saya terpaksa menebalkan muka memberitahu Ibu. Tapi saya tak beritahu sebab awak tinggalkan
rumah. Saya terpaksa menipu mengatakan yang saya bersalah. Betul ke saya yang salah, awak?
Menyerahkan sesuatu yang halal untuk awak salah ke? Berdosa ke saya?
Tiap malam saya berdoa agar awak kembali tapi ALLAH tak makbulkan doa saya. Mungkin benar saya
berdoa sebab buat awak marah. Saya tetap setia menunggu kepulangan awak. Hampir empat bulan
digantung tak bertali, kesabaran saya mula hilang. Saya tak sanggup menunggu lagi. Yang paling saya
sedih, saat tu saya dapat rasakan kewujudan satu nyawa lain dalam tubuh saya. Saya menangis teresak-esak
bila disahkan berbadan dua. Saya tau awak mesti bencikan saya. Saya berfikir panjang. Akhirnya saya
mengambil keputusan untuk pergi jauh.

Saya hantar mesej pada awak. Saya tak tau awak baca mesej itu atau tak. Dalam mesej tu, saya beritahu
awak yang saya akan pergi jauh. Ikatan perkahwinan ini terpulang pada awak untuk tentukan. Jika awak
sudah tak sanggup menerima diri saya, saya rela dilepaskan. Saya berjanji pada awak yang saya akan
sentiasa menjaga diri saya dengan baik. Saya juga mohon maaf sebab buatkan hidup awak merana selama
ni. Tapi saya tak perna tahu apa-apa tentang wasiat nenek awak. Saya tak tau macam mana nenek awak
kenal saya.

Saya tak tau apa-apa! Saya tak sebutkan tentang anak kita langsung. Saya tak mahu awak membenci anak
kita. Jika awak tak mahu menerima dia, biarlah! Saya sendiri akan menjaganya. Dan dia akan tetap tahu
bahawa awaklah ayahnya. Dengan air mata yang tak berhenti mengalir, saya berpindah ke Pulau Pinang.
Membina hidup baru bukanlah mudah. Dengan wang yang saya simpan sebelum berkahwin dengan awak,
saya tanggung hidup saya sendiri. Saya cuba sedaya upaya untuk melupakan awak. Setiap hari bila
kandungan saya semakin membesar, saya akan menangis.

Bukan kerana saya tak gembira. Bayi ini satu-satunya cahaya cinta saya. Saya menangis sebab saya
rindukan awak. Cukup 9 bulan, saya lahirkan anak kita. Awak percaya tak yang saya lahirkan dia
sendirian? Tak ada doctor atau jururawat yang menemani saya. Saya bertarung nyawa sendirian semata-
mata untuk melahirkan anak kita. Seksa sangat waktu tu. Saya seakan ternampak semua dosa saya selama
ni. Lima bulan selepas saya melahirkan anak kita, awak datang. Luruh jantung saya ketika berhadapan
dengan awak.

Mata awak berair bila berjumpa dengan saya. Awak terus peluk tubuh saya. Saya membiarkan. Air mata
saya mengalir. Awak mohon maaf pada saya. Awak bersungguh-sungguh mohon kemaafan pada saya tapi
saya membatukan diri. Badan saya tak dapat bergerak, awak! Saya seakan tak ada kawalan terhadap badan
saya sendiri. Saya biarkan awak menangis di hadapan saya. Saya menangis tapi lidah saya kelu. Saya tak
dapat nak berbicara dengan awak. Hanya ALLAH yang tahu betapa saya rindu untuk melihat wajah awak.

"Maafkan saya. Saya tahu saya salah. Saya mohon ampun dari Ariana! Maafkan saya! Saya mohon
ampun! Maafkan saya, Ariana!" Saya tak tau, awak … Saya tak tau sama ada saya boleh maafkan awak
setelah apa yang awak buat pada saya … Saya tau awak tau yang saya Rie … Mama pernah datang beritahu
yang awak datang ke rumah dan ternampak tudung putih pemberian awak dulu. Bukan itu saja. Semua
gambar awak yang saya simpan selama ini juga dia tahu. Saya tak tau sama ada saya harus bersyukur atau
tidak. Hati saya dah mati .

Awak menangis di hadapan saya tanpa henti. Berkali-kali awak panggil nama saya tapi saya tetap diamkan
diri. Air mata saya menitis tapi saya tak dapat nak kesat air mata tu! Saya rasa saya dah mati, awak! Saya
gagahkan diri untuk bangun dan dengan segala kekuatan, saya cium tangan awak, saya minta ampun atas
semua dosa saya dan saya minta awak lepaskan saya. Kemudian saya tolak awak keluar dari bilik saya.
Saya kunci pintu bilik walaupun awak ketuk pintu bilik saya dengan kuat. Meskipun awak menjeritkan
nama saya.
Tapi sudahlah, hati saya dah mati untuk awak. Entahlah, Susah untuk saya maafkan awak walaupun saya
tau bukan salah awak anak kita tak sempat membuka mata untuk melihat dunia ini … Biarlah semuanya
berlalu. Saya hanya mahu abdikan diri saya sepenuhnya pada ALLAH untuk memohon keampunanNya.

Diedit oleh:
Muhammad Hanis Abdul Mutalib.
16 Mac 2009

You might also like