You are on page 1of 5

KEPIMPINAN MENURUT ISLAM

Disediakan oleh:
Fatimah binti Sulaiman
CITU
UiTM Kampus Terengganu.

Pendahuluan
Apabila berbicara mengenai kepimpinan, Islam menentukan bahawa bidangnya
amat luas. Lebih tinggi bidang kepimpinannya lebih besar pula
tanggungjawabnya. Pemimpin tidak hanya memimpin di dalam sebuah negara,
malah pemimpin dalam Islam ialah setiap orang yang diberikan tanggungjawab
mengendalikan sesuatu urusan. Oleh kerana setiap orang mempunyai
tanggungjawab ini maka setiap orang itu mempunyai peranan memimpin.
Contohnya seorang bapa diberi tugas memimpin keluarganya, maka ia adalah
pemimpin keluarganya. Begitu juga seorang ketua negara yang diberi tugas
memimpin rakyat di negaranya, maka ia adalah pemimpin rakyat di negaranya.

Kepimpinan Menurut Istilah Al-Quran


Dalam Al-Quran terdapat beberapa istilah yang diertikan sebagai pemimpin atau
yang secara langsung yang menyentuh hal ehwal kepimpinan, antaranya :

- Imam/Imamah
Merupakan satu jawatan yang berperanan sebagai penunjuk jalan kepada
sesuatu arah atau tempat atau memimpin dengan contoh teladan di mana imam
itu sendiri mesti melaksanakannya lebih awal dari orang yang dipimpin.
Contohnya dalam konteks kewajipan memimpin sembahyang, imam mengangkat
takbir dan makmum turut mengangkat takbir sebagaimana imam bertakbir.
Begitulah seterusnya dalam segala perbuatan mengerjakan sembahyang itu,
apa-apa perlakuan imam mestilah dituruti oleh makmum, oleh itu imam sebagai
pemimpin ( leader ) dan makmum sebagai pengikut ( follower ).

- Khalifah
Merupakan suatu jawatan bagi mengantikan seseorang atau mengambil tempat
mengikut atau meneruskan. Dalam sejarah kepimpinan Islam, khalifah
merupakan penganti Rasulullah S.A.W dalam menerus, mengurus dan
mentadbir negara Islam.

Khalifah ialah sebagai pentadbir, penguasa, pengatur dan pemakmur yang


bertanggugnjawab mengatur kehidupan manusia di bumi dfengan berdasarkan
kepada wahyu dan syariat Allah supaya kehidupan manusia itu teratur dan
mempunyai tujuan-tujuan hidup yang suci murni lagi mulia untuk mencapai
keredhaan allah. Manusia sebagai khalifah ( vicegerent ) yang merupakan wakil
Allah di bumi adalah berkewajipan mendirikan institusi kepimpinan yang diredhai
oleh Allah.

- Amir Al-Mukminin
Merupakan suatu jawatan atau kedudukan dalam kepimpinan yang bermaksud
sebagai memberi arahan, pemberi tugas, pemerintah atau mengamanahkan
seseorang dengan tugas. Dalam sejarah pemerintahan Islam, Amir Al Mukminin
merupakan pemerintah masyarakat atau ketua negara Islam.

-Uli Al-Amri
Merupakan suatu jawatan atau kedudukan dalam kepimpinan yang menjalankan
tugas dan amanah untuk mentadbir dan mengendalikan urusan dunia sesuai
dengan syariat Allah. Oleh sebab itu adalah menjadi kewajipan kepada rakyat
mematuhi apa yang diperintahkan oleh Uli Al Amri sebagaimana firman Allah
dalam surah An-Nisa’ ayat 59 yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah
kamu kepada Rasulullah S.A.W dan kepada Uli Al-Amri ( orang-orang yang
berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (
berselisihan ) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu
mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-
Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian
adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

Selain daripada itu ada juga istilah yang dipakai bagi maksud yang berkaitan
dengan kepimpinan dalam sesuatu kumpulan kerohanian seperti istilah: Mursyid
( penunjuk ), Syeikh ( Ketua ), dan Murabbi ( Pendidik ).

Objektif/Matlamat Kepimpinan
Pada asasnya matlamat kepimpinan adalah :
1. Untuk pengabdian/perhambaan diri kepada Allah. Firman Allah dalam Surah
Az-Zariyat ayat 56 yang bermaksud:

“Dan tidak Aku ( Allah ) ciptakan manusia melainkan untuk mengabdikan


diri kepada aku ( Allah ).

2. Untuk mencapai keredhaan, keberkatan dan rahmat dari Allah serta


RasulNya. Firman Allah dalam Surah At-Taubat ayat 62 yang bermaksud:

“….Yang sepatutnya mereka cari ialah keredhaan dari Allah dan RasulNya,
sekirannya mereka adalah dari orang yang beriman”

3. Untuk mencapai kesempurnaan akhlak yang mulia. Firman Allah dalam surah
Al-Qalam ayat 4 yang bermaksud:

“Sesungguhnya engkau ( Muhammad ) mempunyai budi pekerti ( akhlak )


yang mulia"
4. Untuk menyeru berbuat baik dan mencegah kejahatan.

5. Untuk mencapai kebahagian, kesenangan, kesejahteraan dan keselamatan


manusia sejagat dunia dan akhirat.

Kepimpinan Sejagat
Kepimpinan ( leadership ) nabi Muhammad S.A.W adalah contoh ideal dan
praktikal yang semestinya diikuti oleh seluruh umat. Baginda diutuskan untuk
membimbing seluruh umat, wilayah kepimpinan baginda meliputi alam sejagat
dan tidak dibatasi oleh sempadan geografi serta tidak pula dikhususkan oleh
sesuatu bangsa, kebangsaan dan negara. Dengan demikian kepimpinan baginda
adalah bersifat sejagat. Firman Allah dalam Surah Saba’ ayat 28 yang
bermaksud:

“Dan tiadalah kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat


manusia seluruhnya sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada
orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang
ingkar), akan tetapi kebanyakkan manusia tidak mengetahui hakikat itu”

Kepimpinan Sebagai Tanggungjawab Dan Dugaan


Menjadi seorang pemimpin, maka bertambah kewajipan seseortang dan makin
banyak soalannya dihadapan Allah. Oleh itu, pemimpin di dalam Islam, bukanlah
menjadi rebutan. Rasulullah S.A.W telah meletakkan asas-asas supaya
pemimpin itu tidak difahami sebagai keistimewaan tetapi tanggungjawab.
Meskipun semakin besar tanggungjawab,semakin besar pula ganjaran baik yang
disediakan Allah di hari akhirat kepada sesiapa yang melaksanakan
tanggungjawab itu. Namun jika tanggungjawab itu diabaikan,maka besarlah
risiko dan akibatnya di hari akhirat.

Oleh itu Rasulullah S.A.W sangat berhati-hati supaya pemimpin itu berada di
tangan orang yang kuat dari segi ketaatan kepada Allah, kekuatan peribadi dan
jasmani, kepintaran akal dan dihormati oleh rakyat. Baginda berhati-hati supaya
jangan pemimpin itu jatuh ke tangan orang yang lemah syakhsiahnya sehingga
ia lemah melawan nafsunya. Jika ia seorang yang lemah melawan nafsunya
sendiri, maka ia tidak dapat mematuhi allah dan tidak terselamat dari faktor-
faktor kehancuran seperti rasuah, maksiat dan lain-lain.

Abu Zar Al-Ghaffari meriwayatkan, saya berkata kepada Rasulullah S.A.W


Tidakkah Tuan hendak melantik saya untuk mengetuai sesuatu urusan?
Rasulullah S.A.W menepuk bahu saya dan berkata.” Wahai Abu Zar, engkau
adalah lemah, sedangkan pemimpin itu suatu amanah. Di hari kiamat ia
adalah kehinaan dan penyesalan melainkan mereka yang mengambilnya
dengan hak dan menunaikan kewajipan yang ditentukan di dalamnya”.

Abu Zar bukanlah seorang yang tidak taat kepada Allah dan dikuasai nafsu tetapi
dia adalah seorang manusia yang lemah dalam mengambil tindakan, dia adalah
seorang yang lurus hati dan mempunyai kelemahan yang menghalangnya
bersikap tegas kepada kawan dan lawan. Itu pun dianggap oleh Rasulullah
S.A.W apatah lagi orang yang kalah di hadapan nafsu, jahil dan tidak beramal.

Rasulullah S.A.W juga menetapkan dasar bahawa pemimpin itu tidak diberikan
kepada orang tidak berkelayakan yang meminta atau berusaha dengan tipu daya
supaya dia dijadikan pemimpin, kerana sikap seperti itu akan menjadikan
pemimpin itu satu rebutan dan lahir kegiatan serta pengaruh-mempengaruhi
yang menyebabkan pertimbangan yang betul untuk lantikan menjadi kacau bilau
dan menyeleweng. Oleh itu lantikan itu hendaklah dijalankan dengan
pertimbangan yang objektif dan dengan hasrat yang bersih dan suci.

Justeru dalam kepimpinan sesebuah negara, tegak atau robohnya sesebuah


negara, maju atau mundurnya peradaban manusia, timbul atau tenggelamnya
sesuatu bangsa adalah bergantung kepada baik atau buruk pentadbiran dan
kepimpinan yang dimiliki, Para pemimpin atau ketua yang telah dilantik
hendaklah melantik pembantu-pembantu yang jujur dan berkebolehan. Tanda-
tanda kejujurannya ialah sentiasa bersikap beriman dan tidak mengampu
sehingga membenarkan yang salah dan menyalahkan yang benar. Rasulullah
S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Apabila Allah S.W.T menghendaki seseorang ketua itu menjadi ketua yang
baik, ia akan jadikan pembantunya itu bersikap benar. Jika ia lupa ( lupa
kepada Allah dan menyeleweng dari kebenaran ) ia mengingatkannya. Jika
ia tidak lupa, ia memberi pertolongan dan bantuan kepada ketuanya itu.
Jika Allah menghendaki ketua itu menjadi ketua yang lain daripada itu,
dijadikan pembantunya seorang yang jahat, jika ia lupa tidak diingatkanya
dan jika ia ingat tidak dibantunya” (diriwayatkan oleh Abu Daud ).

Oleh kerana tugas pemimpin itu berat dan luas, maka ganjaran baik yang
disediakan untuk pemimpin di akhirat yang menjalankan kewajipannya adalah
besar. Dianatara tujuh orang yang disebut oleh Rasulullah S.A.W yang akan
mendapat perlindungan Allah ialah pemerintah yang adil yang diletakkan di
senarai yang pertama.

Sebaliknya mereka yang menjadi pemimpin sedangkan dia tidak memiliki ciri-ciri
kepimpinan yang selayaknya dan tidak menjalankan kewajipannya maka ia akan
menerima balasan yang pedih.Seksaan Allah bertambah berat lagi bagi sesiapa
yang menjadikan kedudukannya sebagai pemimpin sebagai jalan untuk
kepentingan dirinya dan menipu orang-orang yang dipimpinnya.

Oleh kerana tugas pemimpin adalah besar dan tugas itu tidak dapat dijalankan
melainkan dari kerjasama orang yang dipimpinnya maka Allah menentukan
supaya orang yang dipimpin itu hendaklah mematuhi ketuanya di dalam semua
suruhan yang disukai atau tidak kecuali suruhan untuk melakukan maksiat dan
melanggar hukum-hukum Allah.
Penutup
Sesungguhnya setiap orang itu mempunyai tugas-tugas kepimpinan. Sebaik-baik
kepimpinan ialah kepimpinan Rasulullah S.A.W kerana kepimpinan baginda
sentiasa berpandu kepada wahyu, syariat dan petunjuk Allah dalam kepimpinan
sejagat. Sebagai pemimpin sewajarnya bertanggungjawab menyambung risalah
baginda ke arah memakmur, memperbaiki, menegakkan keadilan,
mententeramkan serta berkesanggupan untuk meningkatkan ketinggian nilai dan
martabat seluruh umat manusia. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin itu
bertanggungjawab mengenai apa yang dipimpinnya” (Riwayat Bukhari dan
Muslim)

Wallahu’alam.

You might also like