Professional Documents
Culture Documents
Kiamat
Pengenalan
Terdapat khidmat pesanan ringkas (sms) yang tersebar luas mengenai planet Marikh
yang dikatakan telah mengalami putaran terbalik dan menyebabkan Matahari yang
selama ini naik dari arah Timur bertukar naik dari sebelah Barat, maka hal yang sama
akan segera berlaku ke atas Bumi kita kelak, menandakan Kiamat terlalu hampir.
Gerakan Retrograd
Tamaddun Yunani silam memanggil cahaya kecil yang bergerak di langit pada malam
demi malam sebagai planetes asteres yang bermaksud bintang kembara atau hanya
planētoi yang bermaksud pengembara. Perkataan planet berasal dari perkataan
planētoi.
Perkataan retrograd berasal dari perkataan latin retro yang bermaksud kebelakang
dan gradus yang bermaksud langkah. Maka ia bermaksud langkah kebelakang.
Dalam astronomi juga terdapat retrograde rotation iaitu putaran retrograd atau
putaran kebelakang. Kebanyakan planet berputar pada paksinya mengikut arah
lawan jam. Putaran ini menyebabkan pada permukaan planet itu Matahari kelihatan
terbit di sebelah Timur dan terbenam sebelah Barat. Putaran retrograd bermaksud
putaran arah jam. Dengan itu Matahari akan kelihatan terbit di sebelah Barat dan
terbenam di arah Timur. Planet Zuhrah dan Uranus mengalami putaran retrograd.
Bagi pergerakan orbit juga terdapat retrograde orbit atau orbit retrograd.
Kebiasaannya dalam sistem suria sesuatu objek mengelilingi objek yang lain mengikut
arah lawan jam. Semua planet dan kebanyakan objek-objek kecil bergerak mengikut
arah lawan jam apabila dipandang dari kutub Utara Matahari. Pengecualian ialah
beberapa komet yang bergerak pada orbit yang sangat condong dan mempunyai
tempoh yang panjang. Objek-objek ini benar-benar bergerak mengikut arah jam dan
oleh itu mempunyai orbit retrograd tulen, juga dipanggil orbit retrograd langsung.
Adapun retrograde motion seperti yang disebutkan di dalam edaran sms merujuk
kepada apparent retrograde motion, iaitu gerakan retrograd ketara seperti yang
dilihat dari Bumi. Ia bukan gerakan retrograd sebenar. Ia merujuk kepada gerakan orbit
mengelilingi Matahari. Gerakan retrograd ini berlaku kepada semua planet yang
orbitnya di luar dari orbit Bumi dan ia bukan satu keanihan.
Ianya dapat diterangkan secara lebih sempurna apabila model sistem suria moden
digunakan. Ia adalah kesan atas perspektif pandangan dan dapat dilihat dari rajah
berikut :
Rajah 1 : Unjuran kedudukan planet luaran P dilihat daripada planet T semasa kedua-
duanya sedang mengorbit Matahari. Unjuran dibuat pada selang masa yang seragam
ke atas latarbelakang bintang-bintang di langit yang kelihatan statik.
Rajah 2 : Dari Bumi unjuran pergerakan planet P kelihatan seperti di dalam rajah ini
dengan kedudukan A2 dan A4 sebagai titik-titik gerakan retrograd
Kekeliruan
Planet Marikh tidak mengalami putaran retrograd pada tarikh yang dinyatakan di atas.
Mengikut data dari NASA ia hanya mengalami gerakan retrograd pada sekitar 30 Julai
2003 (bukan tahun 2005 sepertimana yang diberitakan) dan juga pada 17 September
2003. Ia juga mengalami gerakan retrograd pada sekitar 20 September 2005 dan 30
November 2005.
Rajah 3 : Jejak gerakan retrograd planet Marikh pada tahun 2003
(ihsan :
http://mars.jpl.nasa.gov/allabout/nightsky/images/2003/whereLosAngeles_br.jpg)
Sementara itu putaran retrograd dipercayai telah berlaku pada planet Zuhrah dan
Uranus semasa awal kejadian lagi. Kedua-duanya dipercayai adalah akibat
hentaman besar ke atas planet sehingga mengubah arah putaran mereka,
menjadikannya berputar dengan putaran retrograd.
Penutup
Maka berbalik kepada persoalan di atas, oleh kerana planet Marikh tidak mengalami
putaran retrograd maka seluruh kekeliruan yang berlaku mungkin terbit dari salah-
faham di antara putaran retrograd dengan gerakan retrograd (ketara). Gerakan
retrograd hanyalah fenomena optikal, ia tidak menggambarkan orbit sebenar planet
Marikh yang masih mengelilingi Matahari mengikut arah yang sama. Ia boleh
dianggap sebagai satu ilusi optik. Ia adalah fenomena yang berlaku berulang-ulang
dan telah diketahui sejak zaman Yunani silam lagi. Gerakan retrograd sekali-kali tidak
menandakan berubahnya arah putaran kerana kedua-duanya tidak berkaitan secara
langsung. Kita juga tahu bahawa arah putaran planet Marikh adalah sama seperti
dahulu, tiada sebarang perubahan. Maka kaitan yang cuba dibuat dengan arah
putaran Bumi gugur dengan sendirinya. Tetapi bagaimana pula dengan planet Zuhrah
yang juga merupakan jiran kepada Bumi?
Planet Zuhrah kerap disifatkan sebagai planet saudara (sister planet) dengan Bumi
kerana saiznya yang hampir sama besar. Dan ia mengalami putaran retrograd.
Adakah putaran retrograd yang dialami planet Zuhrah boleh membawa petanda
kepada Bumi? Bahawa Bumi juga akan menjadi seperti itu dalam masa yang segera.
Putaran retrograd Zuhrah hanya baru sahaja (tahun 1960’an) diketahui melalui
teknologi radar kerana permukaannya tebal diselaputi awan yang tidak
membolehkan kadar putarannya ditentukan secara optikal.
Teori lain mengenai putaran retrograd juga tidak menunjukkan bahawa ia akan
berlaku dalam masa yang segera ke atas Bumi. Oleh itu satu penjelasan masih
diperlukan bagi menjelaskan Matahari terbit di sebelah Barat. Saya tidak bercadang
untuk mengemukakannya di sini.
Walau apa pun kita tetap meyakini kedatangan hari kiamat dan kebenaran kata-kata
Rasul s.a.w. mengenai tanda-tandanya. Cuma telah berlaku salah-faham terhadap
tafsiran gerakan retrograd planet Marikh yang mengakibatkan teori tentang
kehampiran hari kiamat telah terbentuk dari fakta yang salah ini, dan ianya telah
tersebar luas bukan sahaja melalui sms tetapi juga di dalam akhbar dan VCD.
Walaupun kehampiran hari kiamat itu tidak dinafikan, tetapi penyajiannya melalui
fakta yang salah boleh menyebabkan kita menjadi bahan tertawaan dan persendaan
orang.
Lampiran A