You are on page 1of 10

BAB 10

MESYUARAT DAN MINIT MESYUARAT

OBJEKTIF BAB

Selepas mempelajari bab ini, anda seharusnya dapat:


1. Memahami konsep mesyuarat.
2. Memahami jenis-jenis mesyuarat.
3. Memahami kepentingan mesyuarat.
4. Memahami cara-cara menulis minit mesyuarat yang betul.

10.1 PENGENALAN

Dalam kehidupan manusia sehari-hari, seseorang individu itu tidak boleh


hidup sendirian. Ia terpaksa mencari kawan kerana manusia tidak
dijadikan untuk hidup sendirian. Apabila terdapat seorang rakan, setiap
kerja yang dilaksanakan biasanya akan dikongsi bersama. Individu
pertama akan bertanya pendapat individu kedua apabila ia hendak
melaksanakan sesuatu. Begitu juga sebaliknya. Tanpa merujuk kepada
orang lain untuk mendapatkan pandangan kedua, seseorang itu akan
digelar sebagai kera sumbang yang tidak tahu berkawan.

Apabila jumlah manusia bertambah, dengan menggunakan satu bahasa


yang difahami oleh kumpulan mereka, mereka mula mengadakan
permuafakatan dalam menjalankan tugas-tugas masing-masing. Dari situ,
lahirlah struktur pentadbiran dalam masyarakat sebagaimana yang telah
anda pelajari dalam Bab 3. Manusia akan hidup berkelompok di bawah
pemimpin yang dipilih di kalangan mereka melalui persetujuan yang
dicapai. Persetujuan itu diperolehi melalui mesyuarat.

10.2 APAKAH MAKSUD MESYUARAT?

Mesyuarat berasal daripada bahasa Arab yang membawa makna


berhimpun, berkumpul untuk berbincang bagi mencapai kata sepakat
untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Kamus Dewan mentakrifkan
mesyuarat sebagai, “Perundingan (untuk membincangkan sesuatu, atau
mencapai sesuatu keputusan).” Secara amnya dapatlah kita katakan
bahawa mesyuarat itu ialah satu perhimpunan yang diadakan untuk
mendapatkan buah fikiran daripada pelbagai golongan atau kumpulan

221
bagi mendapatkan satu keputusan. Keputusan yang diperolehi biasanya
dicapai selepas berlakunya perbahasan atau percambahan atau percanaian
fikiran oleh ahli-ahli mesyuarat dan biasanya keputusan yang dicapai itu
adalah kata sepakat atau persetujuan oleh sebilangan besar anggota atau
ahli-ahli yang hadir bermesyuarat. Ahli-ahli minoriti yang tidak bersetuju
dengan keputusan yang dicapai hendaklah lazimnya akur akan keputusan
yang dicapai oleh suara ramai.

10.3 KEPENTINGAN MESYUARAT

Setiap kali sesuatu projek atau peristiwa hendak dilaksanakan, biasanya


mesyuarat akan diadakan terlebih dahulu untuk mendapatkan kata
sepakat. Dalam kehidupan masyarakat Melayu dahulu, apabila sesuatu
upacara, misalnya perkahwinan atau perayaan pesta tertentu hendak
dilaksanakan , ketua-ketua keluarga akan dipanggil untuk bermesyuarat
dan menyampaikan pendapat masing-masing. Kata sepakat akan dicapai
dan kesepakatan itulah yang akan dipatuhi semasa projek berkenaan
dilaksanakan. Mesyuarat juga diadakan sewaktu projek sedang
dilaksanakan dan selepas projek dilaksanakan. Mengapa pola sebegini
terjadi? Jika diteliti, terdapat berbagai-bagai sebab mengapa mesyuarat itu
perlu diadakan.

10.3.1 Menjelaskan Hal-Hal yang Tidak Jelas

Persefahaman itu amat penting semasa melaksanakan tugas-tugas dalam


sesuatu projek. Melalui mesyuarat, segala butiran yang tidak jelas yang
ada dalam fikiran ahli dapat dijelaskan. Ringkasnya, dengan adanya
mesyuarat, semangat kekitaan akan dapat diwujudkan kerana jurang
perbezaan fahaman atau sebarang selisih faham dapat dikurangkan atau
dihapuskan. Apabila persefahaman dan semangat kekitaan wujud, maka
perjalanan projek akan menjadi licin dan teratur.

10.3.2 Pengagihan Tugas

Sesuatu projek yang hendak dilaksanakan mungkin memerlukan


kerencaman tugas. Begitu juga dengan jumlah orang yang terlibat. Makin
besar projek, makin rencam bidang tugas dan makin ramai pekerja yang
diperlukan. Melalui mesyuaratlah agihan tugas dapat dilakukan. Ini dibuat
dengan cara melihat kepakaran individu yang terlibat dengan tugas-tugas
tertentu. Tambahan pula melalui mesyuarat juga semangat
kesukarelawanan akan mucul. Individu yang mahir dalam sesuatu tugas
akan secara sukarela bersetuju untuk melaksanakan tugas tersebut tanpa
dipaksa-paksa. Daripada mesyuarat juga dapat ditentukan jumlah
individu yang terlibat dalam sesuatu tugas. Biasanya untuk sesuatu
jawatankuasa itu, jumlah ahlinya akan bergantung kepada keperluan tugas
yang akan dilaksanakan.
222
10.3.3 Menilai dan Mengawal Aktiviti

Setiap pertubuhan/persatuan/perkumpulan mempunyai perancangan


kegiatan yang akan dijalankan dalam jangka waktu tertentu, biasanya
diukur dalam jangka waktu satu tahun. Kegiatan-kegiatan tersebut akan
dilaksanakan secara berjadual, mengikut perancangan awal yang dibuat
oleh jawatankuasa kerja atau oleh jawatankuasa kecil. Siapakah yang akan
memantau perjalanan kegiatan berkenaan? Biasanya tidak pernah ada
persatuan melantik seorang pemantau untuk melihat sama ada kegiatan-
kegiatan persatuan dijalankan mengikut jadual atau tidak. Mesyuaratlah
yang akan berfungsi untuk menilai dan mengawal aktiviti-aktiviti yang
dilaksanakan. Melalui mesyuaratlah masalah-masalah, kekuatan dan
kelemahan perjalanan aktiviti akan dikenal pasti sementara keputusan
pula dapat dicapai untuk mengatasi segala masalah dan kerumitan yang
timbul.

10.3.4 Menyelesaikan Banyak Masalah yang Rumit

Sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan 10.3.3, mesyuarat dapat


meninjau dan melihat perjalanan aktiviti-aktiviti persatuan dan dapat
mencari jalan untuk memperbaiki atau mengatasinya. Melalui mesyuarat
juga, bukanlah hal-hal yang bersangkutan dengan perjalanan persatuan
sahaja dapat dipantau, tetapi juga individu-individu yang menjadi ahli
persatuan. Sikap dan hemah mereka dalam persatuan dapat dilihat atau
dikesan ketika mereka melaksanakan projek-projek. Siapa yang jujur dan
ikhlas, siapa yang hanya menjadi oportunis, siapa pula yang boleh diharap
dan tidak boleh diharap, semuanya dapat dikesan melalui mesyuarat
kerana dalam mesyuaratlah ahli-ahli akan membangkitkan segala
kelemahan dan kekuatan persatuan untuk memantapkan lagi perjalanan
dan kemajuan persatuan. Masalah kewangan yang selalunya menjadi
kekangan utama dalam perjalanan persatuan dapat diatasi dengan kadar
segera melalui mesyuarat. Jika tabungan persatuan sudah hampir habis
atau sudah habis, mesyuarat dapat mengatasinya dengan membuat
keputusan bagi mengisi semula tabung persatuan agar terus dapat
bergerak pada masa hadapan.

10.3.5 Mencari Sokongan dan Kerjasama Sesama Ahli

“Banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam.” Dalam


setiap pertubuhan, setiap ahli ialah individu tersendiri yang mempunyai
personaliti tersendiri. Ada ahli yang menyokong dan ada ahli yang
menjadi pembangkang kepada perjalanan persatuan. Melalui mesyuarat,
sokongan dan kerjasama ahli dapat dicari dengan cara bergaul dan
bekerjasama. Ketika mesyuarat, ahli-ahli yang tidak puas hati terhadap
223
sesuatu isu akan mendapat penjelasan yang akan menghilangkan
keraguan mereka. Ahli-ahli yang berpuas hati dan gembira akan memberi
sokongan dan kerjasama untuk pengukuhan persatuan.

10.3.6 Mendapatkan Mandat

Mandat atau kuasa untuk melaksanakan ssesuatu projek hanya boleh


didapati melalui mesyuarat, sama ada mesyuarat agung atau jawatankuasa.
Perlantikan ahli jawatankuasa siap dengan tugas-tugas masing-masing
diperolehi melalui cadangan dan keputusan mesyuarat.

10.3.7 Menyebarkan Maklumat

Apabila selesai sahaja mesyuarat agung, kebanyakan ahli sudah tahu


apakah tugas yang harus dilakukan sebelum tiba mesyuarat agung yang
akan datang. Jawatankuasa kerja yang ditubuhkan akan bermesyuarat
untuk melaksanakan projek-projek yang telah ditentukan. Bagaimana
hasil daripada kejayaan projek dapat disampaikan dengan mudah dan
berkesan kalau tidak melalui mesyuarat. Selain memberi laporan, jika ada
maklumat baru, ian akan mudah disebarkan melalui ahli jawatankuasa
yang akan pula menyebarkannya kepada ahli-ahli biasa yang terlibat
dalam projek-projek yang akan dilaksanakan.

10.3.8 Merancang Strategi

Setiap persatuan/pertubuhan/kumpulan mempunyai perancangan yang


akan dilaksanakan sepanjang tahun. Mesyuarat agung akan meletakkan
garis panduan rancangan yang akan dilaksanakan. Mesyuarat
jawatankuasa kerja pula akan memperincikan rancangan-rancangan
tersebut. Mesyuarat demi mesyuarat akan diadakan untuk merancang
strategi pelaksanaan setiap projek yang hendak dilaksanakan. Lebih
banyak projek yang hendak dilaksanakan, lebih keraplah mesyuarat yang
perlu diadakan supaya setiap ahli yang terlibat tahu akan tugas masing-
masing.

10.3.9 Mengetahui Kekuatan dan Kelemahan

Sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan-perenggan di atas, setiap


pertubuhan diwujudkan untuk melaksanakan projek-projek yang
dipersetujui bersama dan projek-projek ini dilaksanakan secara berkala di
bawah pengawasan ahli-ahli jawatankuasa induk. Setiap projek yang
dilaksanakan akan mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing.
Jika kekuatan dan kelemahan ini tidak dikenal pasti, maka tentulah ahli-

224
ahli tidak dapat belajar mengendalikan persatuan berkenaan dengan
berkesan. Melalui mesyuaratlah segala kekuatan dan kelemahan dikenal
pasti. Segala kekuatan diperkukuhkan dan segala kelemahan diperbaiki
dan tidak lagi diulang pada masa-masa muka dalam projek-projek lain.

10.4 JENIS-JENIS MESYUARAT

Terdapat lima jenis mesyuarat, dan kelima-lima mesyuarat tersebut ada


disenaraikan di bawah.

10.4.1 Mesyuarat Agung Tahunan

Mesyuarat Agung Tahunan ialah mesyuarat utama dalam siri mesyuarat


sesebuah pertubuhan/persatuan/perkumpulan kerana ia melibatkan
semua anggota yang berdaftar. Mesyuarat ini perlu diadakan mengikut
peruntukan undang-undang negara di bawah akta Pendaftar Pertubuhan
bagi semua persatuan/pertubuhan/perkumpulan yang diwujudkan di
luar sekolah. Namun begitu persatuan di sekolah/institut pengajian tinggi
juga perlu mengadakan mesyuarat agung tahunan yang akan dihadiri oleh
semua ahli. Melalui mesyuarat agung ini, setiap anggota berpeluang
berbincang secara menyeluruh segala usul dan cadangan yang dikemukan.
Mengikut undang-undang tubuh, notis bagi mesyuarat agung hendaklah
disampaikan kepada semua ahli dalam masa 14 hari sebelum mesyuarat
diadakan. Kuorom mesyuarat ditentukan oleh setiap persatuan, biasanya
1/3 atau ½ daripada ahli mesti hadir untuk membolehkan mesyuarat
agung dilaksanakan. Agenda tetap yang biasa bagi mesyuarat agung ialah

(i) Aluan Pengerusi.


(ii) Membentangkan dan Mengesahkan Minit Mesyuarat
Agung lalu.
(iii) Membentangkan dan meluluskan Penyata Kewangan.
(iv) Memilih dan melantik Ahli Jawatankuasa baru.
(v) Membincangkan usul dan cadangan.
(vi) Ucapan penangguhan.
(vii) Hal-hal lain.

10.4.2 Mesyuarat Agung Tergempar/Luar Biasa

Mesyuarat Agung Tergempar/Luar Biasa, seperti namanya, diadakan


secara tergempar apabila sesuatu isu timbul dan tidak dapat dilaksanakan
atau diselesaikan di peringkat jawatankuasa. Agenda yang dibincangkan
biasanya hanyalah yang ditentukan atas cadangan ahli atau mengikut
peraturan tertentu. Mesyuarat ini kadang-kadang dikenali sebagai
Mesyuarat Agung Khas.

225
10.4.3 Mesyuarat Jawatankuasa Kerja/Induk

Dalam perjalanan sesebuah pertubuhan, mesyuarat Jawatankuasa Kerja


amat penting sebagai nadi persatuan atau pertubuhan kerana melalui
mesyuarat inilah segala perancangan dan strategi pelaksanaan setiap
projek dibahaskan, diperinci untuk dilaksanakan. Melalui mesyuarat inilah
Jawatankuasa Kecil yang bersesuaian dengan corak projek ditubuhkan.
Agenda ditentukan oleh pengerusi yang dilantik melalui perbincangan
dengan semua ahli jawatankuasa lain. Kekerapan mesyuarat ini amat
bergantung kepada keperluan. Lagi banyak projek yang hendak
dilaksanakan, lagi kerap jawatankuasa ini bersidang. Lagi banyak
kebuntuan dan kekangan atau masalah, kerap jugalah jawatankuasa ini
memerah otak. Notis untuk mesyuarat ini disampaikan oleh setiausaha,
biasanya satu minggu daripada tarikh mesyuarat. Kuorom mesyuarat
biasanya 1/3 daripada jumlah semua ahli jawatankuasa. Agenda am untuk
mesyuarat jawatankuasa kerja ialah

(i) Ucapan Pengerusi.


(ii) Membentangkan dan Mengesahkan Minit Mesyuarat Lalu
(iii) Perkara Berbangkit.
(iv) Agenda-agenda yang Ditentukan/Laporan Aktiviti.
(v) Hal-hal Lain.

10.4.4 Mesyuarat Jawatankuasa Kecil

Mesyuarat Jawatankuasa Kecil ialah mesyuarat yang paling bawah.


Jawatankuasa ini sudah diberikan satu atau dua tugas tertentu untuk
dilaksanakan, misalnya Jawatankuasa Makanan, Jawatankuasa Persiapan,
Jawatankuasa Buku Cenderamata, Jawatankuasa Penjurucaraan,
Jawatankuasa Sambutan dan sebagainya.

Ahli Jawatankuasa ini mungkin terdiri daripada lima atau enam orang
sahaja. Angka sebenarnya tidaklah tetap kerana jumlah ahlinya
bergantung kepada kecil besarnya projek yang hendak dilaksanakan dan
juga banyak sedikitnya tugas yang hendak dilaksanakan. Agendanya
hanyalah berbincang cara hendak melaksanakan tugas yang diberikan
kepada jawatankuasa tersebut termasuk jumlah kewangan yang
diperlukan untuk dibentangkan dalam Jawatankuasa Kerja yang akan
dilaksanakan dalam tempoh masa terdekat. Dalam Jawatankuasa Kecil,
semua orang akan menjalankan tugas walaupun di kalangan anggota
terdapat pengerusi dan setiausaha yang bertugas menyelaraskan
Jawatankuasa berkenaan.

226
10.4.5 Mesyuarat Jawatankuasa Adhoc/Sementara

Mesyuarat Jawatankuasa Adhoc, sebagaimana namanya dikendalikan


secara tidak berjadual. Biasanya mesyuarat ini dilaksanakan di awal
penubuhan sesuatu persatuan, yakni sebelum tertubuhnya jawatankuasa
tetap yang akan mengendalikan perjalanan persatuan seperti
mendaftarkannya dan sebagainya. Mesyuarat dikatakan secara adhoc juga
apabila sekumpulan pelajar dikerahkan untuk melaksanakan sesuatu
projek, sama ada penting atau tidak dalam jangka waktu yang amat
singkat. Mesyuarat ini bertujuan melantik Jawatankuasa Kecil untuk
mengendalikan tugas-tugas yang juga dibincangkan dalam mesyuarat
berkenaan.

10.5 TUGAS-TUGAS JAWATANKUASA

10.5.1 Pengerusi

Seorang pengerusi biasanya dipilih daripada kalangan anggota yang


mempunyai kebolehan bercakap dengan baik dan dapat mengawal majlis
dengan tertib. Beliau bertugas untuk mengendalikan mesyuarat dengan
berwibawa dan berketrampilan. Beliau hendaklah memulakan mesyuarat
dengan baik dan tertib. Biasanya ia mengalu-alukan kehadiran anggota,
memperkenalkan ahli baru, mengucapkan terima kasih kepada ahli lama
yang tidak terlantik lagi kerana jasa masing-masing. Pengerusi juga akan
dengan ringkas menyatakan pengalamannya berhubung dengan
perjalanan persatuan selepas mesyuarat yang lepas. Di sini idea-idea baru
pengerusi mungkin dikemukakan, atau dengan kuasa yang diberikan
kepadanya oleh anggota, ia akan mencuba untuk melaksanakan beberapa
projek yang difikirkan baik untuk kemajuan persatuan. Ia juga akan
mengemukakan perkara-pekara yang hendak dibincangkan (agenda)
dengan ringkas dan jelas. Selain itu, ia harus menjadi perantara yang baik,
mengawal perjalanan mesyuarat dengan cara menjadi pendengar yang
baik dan tidak pula berpihak kepada mana-mana anggota.

10.5.2 Setiausaha

Setiausaha persatuan/pertubuhan, sesuai dengan gelaran jawatannya setia


dan usaha, hendaklah harus setia kepada persatuan dan berusaha untuk
menggerakkan jentera pentadbiran persatuan. Sebilang waktu, ia
hendaklah bekerjasama dengan pengerusi. Selain itu, tugas-tugas lain
ialah mengedar surat jemputan mesyuarat, menyediakan minit mesyuarat
terdahulu untuk diedarkan sebelum mesyuarat, menyediakan agenda dan
tempat mesyuarat, menyediakan segala peralatan mesyuarat yang
diperlukan, mengedar borang kehadiran, mencatat dan menyiapkan minit
mesyuarat dengan baik dan segera serta mengedarkan minit mesyuarat
tersebut dengan kadar segera kepada setiap anggota yang terlibat.
227
10.5.3 Ahli Jawatankuasa

Ahli Jawatankuasa yang terlantik bertanggung jawab untuk memberikan


buah fikiran yang bernas untuk memajukan pertubuhan atau untuk
menjayakan projek. Ia juga harus sanggup bekerjasama dengan semua
ahli jawatankuasa lain dengan baik serta sanggup pula memberikan
khidmat bakti secara ikhlas dan jujur.

10.6 MINIT MESYUARAT

Apakah yang dikatakan minit mesyuarat? Minit mesyuarat ialah hal atau
perkara yang telah dibincangkan dalam sesuatu mesyuarat dan
persetujuan telah dicapai terhadap perbincangan tersebut. Ini bermakna
catatan minit mesyuarat amat penting bagi membolehkan tindakan dapat
dilaksanakan oleh pihak-pihak berkenaan dengan berkesan. Minit
mesyuarat menjadi panduan pelaksanaan kepada yang terlibat. Tanpa
penulisan minit yang baik dan sempurna, pelaksanaan tidak akan
sempurna.

10.7 KAEDAH MENULIS MINIT MESYUARAT

Ada pelbagai cara menulis minit mesyuarat. Ada yang kelihatan kemas,
rapi, jelas dan ringkas dan ada juga yang berjela-jela dan tidak mengikut
peraturan atau format tertntu walupun isi penting bagi sesuatu minit
mesyuarat itu terdapat di dalamnya. Dalam pelajaran ini, saya akan
menurunkan panduan menulis minit mesyuarat yang bersistem dan
kemas.

Sesuatu minit mesyuarat hendaklah mengandungi bilangan mesyuarat, tarikh


mesyuarat, tempat mesyuarat, senarai kehadiran, agenda mesyuarat, catatan
mesyuarat dengan tindakan, serta tandatangan penyedia minit mesyuarat.

10.7.1 Bilangan, Tarikh dan Tempat Mesyuarat

Bilangan mesyuarat biasanya ditulis di atas sekali, contohnya ‘Minit


Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Akademik (JKPA) yang ke-
89 Bil.06/2000’ atau ‘Minit Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana
Projek “Pelajar Cemerlang, Negara Gemilang” yang ke-3 Bil
3/2000’. Tarikh, Masa dan Tempat ditulis dengan cara di‘indent’ dan
langkau dua baris selepas bilangan minit mesyuarat.

10.7.2 Senarai Kehadiran

Dalam bahagian ini, semua nama anggota mesyuarat dicatatkan di bawah


tajuk kecil ‘Hadir’, ‘Tidak Hadir dengan Kenyataan’ dan ‘Tidak Hadir

228
Tanpa Kenyataan’. Biasanya nama Pengerusi dicatatkan paling atas dan
Setiausaha paling bawah.

10.7.3 Agenda Mesyuarat serta Catatan

Dalam bahagian ini, agenda mesyuarat ditulis sebagai kepala tajuk diikuti
dengan catatan isi penting yang dinyatakan atau dibincangkan. Biasanya
catatan pada bahagian ini dibahagikan kepada dua ruangan, satu untuk
catatan perbincangan yang dibuat dan satu lagi ruangan untuk ditulis
siapakah pihak yang akan bertindak melaksanakan keputusan yang telah
dicapai.

Dalam bahagian Aluan Pengerusi, biasanya dicatat makluman yang


disampaikan oleh pengerusi majlis berhubung dengan ruang litup
pertubuhan/persatuan/projek yang dilaksanakan.

Dalam bahagian Membentang dan Mengesahkan Minit Mesyuarat lalu


biasanya dicatatkan ‘Mesyuarat bersetuju mengesahkan minit mesyuarat
tersebut dengan pindaan berikut (jika terdapat pindaan, pindaan tersebut
dicatatkan di bahagian bawahnya satu persatu)’.

Dalam bahagian Perkara Berbangkit dicatatkan segala keputusan


mengenai hal-hal yang dibangkitkan bersangkutan dengan kandungan
minit mesyuarat lalu.

Dalam bahagian Agenda, biasanya ayat yang digunakan untuk catatan


minit ialah (a) Mesyuarat mengambil maklum…. diikuti dengan pecahan
kecil perkara-perkara yang dibincangi oleh anggota mesyuarat dan (b)
Mesyuarat bersetuju… diikuti oleh pecahan persetujuan yang dicapai
berdasarkan perkara-perkara yang dibincangkan. Pada bahagian sebelah
kanan (biasanya dalam ruangan kecil yang disediakan) ditulis pihak yang
akan bertanggungjawab terhadap pelaksanaan keputusan yang dicapai
pada para (b).

Dalam bahagian Hal-Hal Lain, dicatatkan segala perbincangan dan


keputusan yang dicapai berhubungan dengan hal-hal lain yang
dikemukakan oleh anggota yang tidak berkaitan dengan agenda tetapi
berkaitan dengan kepentingan persatuan/pertubuhan/perjalanan projek
secara keseluruhan.

Dalam bahagian Penutup, biasanya dicatatkan tarikh mesyuarat


ditangguhkan dan ucapan terima kasih kepada pengerusi.

229
10.7.4 Tandatangan Penyedia Minit

Pada bahagian ini, setiausaha atau penolong setiausaha akan menurunkan


tandatangannya sebagai pengesahan pertanggungjawaban terhadap
kandungan minit mesyuarat.

10.8 RUMUSAN

Dalam bab ini, anda telah diperkenalkan dengan konsep mesyuarat,


kepentingan diadakan mesyuarat, tugas-tugas anggota mesyuarat serta
cara-cara menulis minit mesyuarat dengan betul dan teratur supaya
mudah dibaca dan diambil tindakan. Panduan yang diberikan ini
dijangka akan dapat benar-benar membantu anda dalam penyediaan
minit mesyuarat sewaktu anda mengadakan mesyuarat bagi
mengendalikan projek khidmat masyarakat bersama kumpulan anda.
Untuk memudahkan tugas-tugas anda, anda boleh melihat pada
Lampiran B5 bagi contoh minit mesyuarat.

SOALAN PENILAIAN KENDIRI

1. Apakah yang dikatakan sebagai mesyuarat?

2. Mengapakah mesyuarat itu perlu diadakan?

3. Apakah jenis-jenis mesyuarat?

4. Apakah tugas-tugas pengerusi mesyuarat?

5. Apakah tugas-tugas setiausaha?

6. Apakah dia minit mesyuarat?

Sila semak jawapan anda di akhir modul ini.

230

You might also like