You are on page 1of 5

Nota Seni Dalam Pendidikan Pengenalan Kurikulum persekolahan kebangsaan mendukung hasrat mulia negara bagi menyediakan pendidikan

bertaraf dunia kepada generasi masa kini dan akan datang. Penyemakan kurikulum memenuhi Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat menyediakan peluang pendidikan berterusan yang memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis. Penggubalan ini bertujuan untuk menyediakan warga Malaysia yang mampu menghadapi cabaran pendidikan masa kini selaras dengan perubahan globalisasi yang pesat.

Seni dalam Pendidikan meliputi pengetahuan asas dalam Seni Visual yang menggantikan nama Pendidikan Seni yang terdahulu. Perubahan ini dirasakan lebih sesuai kerana dalam hubungan seni visual di sekolah, Pendidikan Seni Visual lebih menjurus kepada seni tampak atau visual, dan tidak merujuk kepada seni lain seperti seni muzik, seni sastera, seni tari dan seni mempertahankan diri. Pendidikan Seni Visual bertujuan memberi peluang kepada murid memupuk minat, memperkembang keperibadian, memberi kesedaran dan kepekaan terhadap nilai-nilai kesenian dan alam sekitar serta kaitannya dengan mata pelajaran lain. Murid di sekolah rendah pada keseluruhannya adalah kreatif, ekspresif dan aktif. Pendidikan Seni Visual memainkan peranan memperkembang sifat-sifat ini melalui persepsi visual, imaginasi dan daya pemikiran. Kegiatan pemikiran, penerokaan dan reka bentuk dalam pelbagai jenis seni visual akan membolehkan mereka menyatakan idea dan ekspresi diri. Pengalaman ini penting kerana ia membantu murid membina keyakinan diri, membuat penilaian dan mengenali cita rasanya sendiri. Selain itu, Seni Dalam Pendidikan juga memasukan Muzik sebagai unsur atau elemen penting yang perlu digarap bersama dalam menzahirkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang menggembirakan. Muzik adalah sebahagian daripada alam kehidupan pelajar yang sukar untuk dipisahkan. Tanpa Muzik bererti dunia pelajar adalah kosong. Selain itu, Muzik juga merupakan budaya masyarakat. Pelajar sentiasa memberi respon kepada Muzik dan berasa senang hati apabila dapat melahirkan ekspresi diri apabila mendengar muzik. Asas muzik iaitu irama dan ton juga menjadi amalan pertuturan dan interaksi harian. Sifat cenderung kepada muzik yang sedia ada pada pelajar mempunyai peranan tertentu dalam proses perkembangan diri dari segi kualiti dan sahsiahnya. Peranan guru ialah ke arah memperkembangkan sifat sifat yang merangkumi aspek aspek emosi kreativiti, nilai estetik dan etika tertentu. Dengan penglibatan pelajar secara aktif dalam kegiatan muzik akan dapat membina pertumbuhan dan perkembangan fizikal, emosi, mental dan sosial pelajar itu sendiri. Selain itu, pengalaman muzik yang menarik akan membantu meningkatkan minat pelajar terhadap mata pelajaran lain. Pendidikan dalam apa jua bidang sekalipun haruslah berbentuk pengalaman yang

bermakna. Pendidikan juga haruslah memberangsangkan dan menghasilkan kepuasan yang semerta serta menimbulkan minat bagi mendapatkan pengetahuan seterusnya. Hal ini boleh dicapai dengan menggunakan pergerakan sebagai media pembelajaran. Pembelajaran melalui pergerakan bukanlah sesuatu yang baharu. Pendidikan pergerakan adalah sesuatu kaedah pengajaran yang ketara uniknya kerana pelajar sedang belajar untuk bergerak dan mereka juga akan belajar sambil atau semasa bergerak. Melalui pergerakan, pelajar itu bergerak, berfikir, dan merasai sesuatu secara langsung. Pelajar akan dapat mempelajari tentang dirinya sendiri. Penekanan kepada pergerakan kini banyak tertumpu kepada potensi nilai pendidikannya, potensi sumbangan terhadap perkembangan kecerdasan dan potensinya sebagai pemangkin kemahiran dan tabii sosial yang murni. Matlamat pendidikan pergerakan dalam konteks persekolahan adalah untuk menyediakan pengalaman pengalaman berkaitan bagi membantu pelajar dalam mencapai keupayaan sebagai warga yang bertanggungjawab dan penyumbang aktif dalam masyarakat. Pendidikan pergerakan merupakan salah satu wacana yang menyumbang ke arah perkembangan keseluruhan pelajar dalam bentuk sikap dan sahsiah pelajar tentang keperluan keperluan sosial, emosi dan estetik pelajar berdasarkan kepada holistik perkembangan kanak kanak. Pendidikan pergerakan boleh diperhebatkan lagi keberkesanannya dengan menjadikannya sebagai alat pendidikan yang mendorong kepada kegiatan penerokaan, kreativiti, proses proses berfikir dan penyelesaian masalah serta pengukuhan imej kendiri yang utuh. Dalam hubungan ini matlamat dan prinsip pendidikan pergerakan tidak akan menyimpang daripada landasan konsep kanak kanak total . Belajar melalui pergerakan membolehkan perkembangan yang menyeluruh diri kanak - kanak iaitu perkembangan fizikal dan psikologi, kebolehan untuk belajar dan bergaul antara satu sama lain. Perasaan terhadap diri sendiri dan perhubungan dengan persekitarannya turut berkembang melalui pergerakan itu. 1.1 Implikasi Atau Kesan Positif 1.1.1 Bidang Seni Visual Seni Visual sekolah rendah disusun bertujuan melibatkan murid dalam pelbagai kegiatan seni. Kegiatan seni yang dijalankan berdasarkan empat bidang utama. Bidang-bidang tersebut ialah bidang menggambar, membuat corak dan rekaan, membentuk dan membuat binaan, dan mengenal kraf tradisional. Pengalaman seni ini adalah untuk memperkembang dan menyelaraskan persepsi dan konsepsi visual murid sebagai asas bagi menggalakkan pemikiran kritis dan kreatif. Pengalaman ini juga selaras dengan perkembangan peringkat kesediaan dan penerimaan murid dari segi sosioemosi, psikomotor dan mental yang merangkumi perasaan, koordinasi, manipulasi dan persepsi visual. Dengan mempelajari Seni Visual di sekolah rendah, murid akan dapat menguasai beberapa pengetahuan dan kemahiran. Antara pengetahuan yang dapat dimiliki murid ialah pengetahuan mengenai bahan, alat dan teknik yang digunakan dalam sebarang kegiatan seni. Murid juga akan mendapat pengetahuan mengenai sumber motif dalam persekitaran, kraf tradisional, unsur

seni dan prinsip rekaan dalam pendidikan seni visual, proses pembuatan hasil seni, menyimpan maklumat atau dokumentasi, mengintegrasikan maklumat dan aplikasi komputer dalam kerja seni visual. Sementara kemahiran yang akan diperolehi murid pula ialah kemahiran memanipulasi bahan, alat dan teknik, mengaplikasi disiplin seni visual, berfikir secara kritis dan kreatif, berkomunikasi secara berkesan, membuat pilihan, membuat interpretasi, menggunakan teknologi bahan dan perkakasan. Bidang Seni Visual akan memberikan implikasi atau kesan yang positif dalam pengajaran dan pembelajaran melalui organisasi pendidikan Seni Visual yang disusun rapi melalui aspek yang dipentingkan. Antara implikasi atau kesan yang diperolehi melalui bidang seni ini, ialah : a. Menajamkan Perkembangan Emosi dan Imaginasi Melalui aspek pemerhatian secara aktif yang merangkumi kesedaran pemerhatian keseluruhan, berfokus dan terperinci dapat menajamkan persepsi murid. Selain memperkembangkan deria penglihatan ia juga melibatkan pancaindera lain melalui kajian perbandingan. Kajian seperti ini membantu perkembangan emosi dan imaginasi. Pemahaman tentang asas seni visual juga turut diperkembangkan melalui kegiatan pemerhatian ini. Murid akan dilatih membuat pemerhatian terhadap objek alam dan objek buatan manusia. Ini adalah untuk membolehkan murid merasai secara konkrit bagi mendapatkan imej mental. Kegiatan-kegiatan ini akan membantu terus menyelaraskan idea, imaginasi dan alam fantasinya ke arah perkembangan persepsi dan pemikiran abstrak. b. Berlaku Pembelajaran Secara Tidak Langsung Bidang Seni Visual menggalakkan murid membuat penerokaan dan percubaan dalam mempelbagaikan kegiatan kreatif dengan menggunakan alat dan bahan. Proses ini akan memperkembangkan aspek psikomotor dan kemahiran asas seni visual berhubung dengan manipulasi alat dan bahan serta teknik-teknik mudah. Semasa berinteraksi dengan alat dan bahan, murid membuat interpretasi dan menyelaras konsepsi visualnya dengan objek yang dilihat. Proses pembelajaran ini amat penting kerana ia memberi peluang kepada murid belajar secara tidak langsung. Murid juga dapat mengenali perubahan yang mereka boleh lakukan dalam penghasilan seni pada masa akan datang. c. Aplikasi Dalam Kehidupan Harian Sebenar Bidang Seni Visual memberi pengalaman kepada murid mengenali aspek pengetahuan seni visual dan kegunaannya dalam pelbagai kegiatan kehidupan dari segi keindahan dan fungsi. Murid terlibat dalam kajian perbandingan dan menyatakan apa yang dilihat dari aspek seni melalui hasil kerja. Pernyataan tentang hasil kerja pula boleh dibuat dalam pelbagai cara. Melalui seni visual ini juga akan menjadikan murid boleh mengaplikasikan kemahiran seni yang dipelajari dalam kehidupan harian yang sebenar. Contohnya, cara memberus warna boleh diaplikasikan dalam kerja kerja mengecat peralatan kecil di rumah dan sebagainya. d. Wadah Memupuk dan Menyemai Nilai Murni Selain diberi pengalaman membuat apresiasi seni visual secara mudah, murid juga dipupuk nilai menyayangi dan menghargai segala aspek yang wujud dalam persekitaran dan

kehidupan mereka. Ini termasuklah memelihara dan memulihara alam sekitar, nilai patriotisme, nilai kebersihan dan kepekaan. Dengan ini murid akan dapat membuat pertimbangan yang sewajarnya bila berdepan dengan semua keadaan. 1.1.2 Bidang Seni Muzik Asas muzik iaitu irama dan pic, memang sedia terdapat dalam pertuturan dan pergerakan harian. Keadaan ini menjadikan kanak-kanak berasa senang dan memberi respon secara spontan dalam melahirkan ekspresi diri. Kecenderungan seperti ini apabila dikendalikan dengan baik, memainkan peranan yang efektif dalam proses perkembangan diri kanak-kanak. Bidang ini melihat perkembangan diri murid dari sudut penghayatan estetik dalam seni muzik. Sesuai dengan statusnya dalam struktur KBSR, matapelajaran ini memberi tumpuan kepada peranannya memperkembangkan domain efektif murid khususnya dalam bidang kesenian. Selaras dengan itu, bidang ini digubal untuk membimbing murid ke arah menghayati dan menikmati muzik secara intelektual. Antara kesan positif yang diperolehi murid melalui bidang seni muzik ini, ialah : a. Menggalakkan Perkembangan KAP Penglibatan secara aktif dalam aktiviti muzik yang tersusun berupaya menggalakkan perkembangan kognitif, afektif dan psikomotor murid, disamping memupuk nilai sosialisasi. Dari segi kognitif, murid mendapat pengetahuan dan kefahaman konsep muzik yang asas. Bagi murid sekolah rendah khasnya, aktiviti muzik dan pergerakan bukan sahaja membantu pertumbuhan kecerdasan kinestetik malahan berperanan membantu mereka memahami konsep muzik yang abstrak. b. Melatih Kemahiran Komunikasi dan Interaksi Sosial Dari aspek sosialisasi, aktiviti menyanyi, bergerak dan bermain alat muzik secara berkumpulan memberi kesempatan murid berkomunikasi dan berinteraksi dengan mengamalkan nilai-nilai murni. c. Menanam dan Menyemai Nilai Murni dan Jati Diri Di samping itu, terdapat pelbagai bentuk muzik dalam budaya masyarakat Malaysia yang harus dikenali murid sebagai warisan bangsa. Pengetahuan dan pengalaman mengenai pelbagai unsur budaya dalam muzik dapat membantu memupuk elemen jati diri dan patriotisme pada diri murid. 1.1.3 Bidang Seni Pergerakan Seni Pergerakan adalah untuk memenuhi keperluan pertumbuhan dan perkembangan individu bagi membentuk masyarakat yang cergas, sejahtera dan produktif. Kurikulum ini dibahagikan kepada tiga tunjang pembelajaran iaitu Kecergasan, Kemahiran dan Kesukanan. Tiga tunjang ini membantu mencapai matlamat bidang seni pergerakan. Murid perlu memahami dan menghayati pengetahuan, kemahiran dan pengalaman Pendidikan Jasmani agar dapat mengamalkan gaya hidup cergas sebagai budaya Malaysia. Murid diorientasikan dengan ilmu dan amalan teori dan praktikal pergerakan bagi membentuk

sahsiah dan sikap untuk menghadapi cabaran hidup. Aktiviti Seni pergerakan yang terancang dan persekitaran yang kondusif dapat menggalakkan pengajaran dan pembelajaran bagi meningkatkan potensi murid ke tahap optimum. Seni pergerakan juga bertujuan membantu murid menjadi cergas melalui pembelajaran aktiviti fizikal dan amalan kecergasan. Bidang seni pergerakan ini menekankan kepada kecergasan sesuai dengan ciri dan keperluan murid. Pendekatan yang dicadangkan bagi mata pelajaran ini ialah pembelajaran melalui aktiviti. Murid perlu diberi peluang mempelajari pengetahuan, kemahiran dan nilai berkaitan mata pelajaran dengan melakukan aktiviti, eksperimen dan amalan rutin. Murid akan diberi peluang untuk meluahkan emosi, memperkembangkan proses mental, membentuk perhubungan yang sihat dan melakukan kegiatan fizikal dalam suasana yang membina dan selamat. 1.2 Rumusan Matlamat guru-guru sekolah rendah dalam proses pengajaran dan pembelajaran ialah untuk membentuk kanak-kanak dengan kemahiran memerhati, kesedaran dan arif terhadap pergerakan, bunyi, bentuk, tekstur dan irama. Melalui aktiviti seni daya estetik kanak-kanak dapat dipertingkatkan. Contohnya menggunakan lagu untuk memperkenalkan tajuk Rama-rama. Semasa kanak-kanak menyanyikan lagu, mereka akan bergerak mengikut irama seperti lebah sedang terbang. Semua aktiviti seni dalam pendidikan yang dialami oleh kanak kanak sangat berkesan dalam mempengaruhi kehidupan mereka kerana melaluinya akan membolehkan kanak-kanak meluahkan keinginan dan keperluan mereka. Lazimnya mereka dapat membina pengalaman baru hasil daripada beberapa penerokaan dalam kehidupan seharian dan akan berasa seronok apabila dapat mencipta sesuatu yang baru. Untuk meluahkan rasa hati, mereka akan mencipta sesuatu dengan menggunakan kaedah dan cara tersendiri dalam pelbagai bentuk.

Rujukan Prosiding Konvensyen Kebangsaan Pendidikan Seni Visual. ( 2000 ). Kuala Lumpur : AG Grafik. Pusat Perkembangan Kurikulum. ( 2002 ). Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni Visual. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia. Md. Nasir Hj. Ibrahim. ( 2003 ). Pengurusan Seni. Kuala Lumpur: Universiti Pendidikan Sultan Idris. Mazlan Mohamad. ( 1996 ). Pendidikan Seni I, Prinsip Pendidikan Seni. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn Bhd.

You might also like