You are on page 1of 19

Soalan Contoh: Anda akan menyertai pertandingan pidato yang akan dijalankan di peringkat daerah.

Pidato tersebut bertajuk Negara Merdeka Masyarakat Sejahtera. Sediakan teks pidato itu. Isi-isi Penting kemajuan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi kemajuan sains dan teknologi ideologi bervisi. semangat patriotisme penangkis neoimperialisme Rukun Negara pembentuk bangsa merdeka dan berdaulat Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan selamat sejahtera. Salam apresiasi buat yang dihormati saudari pengerusi majlis, panel hakim yang sentiasa berpegang pada prinsip keadilan, guru-guru dan rakan pelajar yang dikasihi. Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah berkata, bukannya perkara kecil bagi kita untuk meneruskan perjuangan kemerdekaan negara kerana rupa-rupanya selain memerdekakan negara, mengisi kemerdekaan itu jauh lebih sengsara. Hal ini demikian kerana, kemerdekaan negara yang dicipta itu memelihara kesejahteraan masyarakat sejagat. Oleh itu, saya tampil di hadapan anda semua bagi menyampaikan sebuah pidato yang bermauduk Negara Merdeka Masyarakat Sejahtera. Sebagai implikasi awalan, kemerdekaan negara telah menjadi bukti pada cermin perjuangan bangsa Malaysia yang cinta akan negara yang menjadi tanah tumpah darah kita semua. Namun demikian, Malaysia pernah dituduh, kononnya tidak demokratik, diktator dan mengamalkan pemerintahan kuku besi oleh bangsa Eropah kerana tidak melakukan pertukaran kepimpinan seperti mereka. Tegasnya, kini negara kita ialah sebuah negara yang berdaulat dan merdeka. Dengan kata lain, negara merdeka bermaksud negara yang bebas iaitu negara kita tidak lagi dikuasai atau dijajah oleh kuasa lain dan bebas dalam menentukan hala tujunya sendiri. Kemerdekaan yang dimaksudkan juga bebas daripada segala sudut, termasuklah bebas minda dan budaya daripada sebarang pengaruh asing. Rakyat negara kita yang merdeka pula mencatat kejayaan besar dalam pelbagai bidang dengan cemerlang di persada dunia. Hal ini sudah tentu akan mewujudkan masyarakat yang aman dan sejahtera. Oleh itu, untuk mengupas segala persoalan, empat perspektif utama akan saya utarakan bagi mengungkap kemerdekaan negara demi kesejahteraan rakyatnya. Saudara dan saudari, Indikator saya yang pertama, kemajuan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi. Untuk mencapai taraf negara maju pada tahun 2020, Malaysia telah melaksanakan pelbagai program pembangunan. Lihatlah, kewujudan kilang perindustrian bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan setelah kerajaan yang ditubuhkan selepas kemerdekaan kini lebih berwawasan dalam menentukan kesinambungan kedua-duanya. Sebagai contohnya, Menara Berkembar Petronas yang mempunyai 99 tingkat dan Menara Kuala Lumpur setinggi 421 meter. Kedua-duanya ini memberikan impak yang besar kepada imej negara yang menjadikannya sebagai identiti negara. Antara sedar atau tidak, kita sebenarnya mengukuhkan ekonomi negara ini lagi melalui pelbagai sudut. Secara tidak langsung, pembangunan yang dibina ini mampu

meluaskan peluang pekerjaan, sekali gus dapat meningkatkan taraf hidup penduduk, dan hal ini sudah tentu memberikan kesejahteraan kepada masyarakat. Hadirin sekalian, Indikator saya yang kedua, kemajuan sains dan teknologi, ideologi bervisi. Perkembangan dan kemantapan teknologi sains semakin memberi impak dari hari ke hari kepada rakyat malahan membuka mata seluruh dunia. Kebebasan negara dalam melahirkan pelbagai idea baru dan menghasilkan pelbagai produk, kesan gabungan pengaplikasian kedua-duanya telah membuka peluang pasaran yang besar. Sebagai contohnya, daripada kajian terbaharu, rupa-rupanya pokok vanilla yang tidak terdapat di negara kita juga telah ditanam dan hidup dengan subur di negara kita. Kesimpulannya, rakyat boleh menikmati kelebihan ini seperti buah-buahan tempatan kita juga. Tambahan pula, kita bukan lagi seperti pungguk rindukan bulan dan tidak lagi bermimpi di siang hari kerana gapaian jauh melepasi awan sudah dibuktikan menjadi kenyataan. Perkara ini dibuktikan dengan kelahiran anak merdeka yang bergelar angkasawan negara iaitu Dr. Sheikh Muszaphar Shukor yang berjaya dalam misi negara dengan membolehkan negara kita duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara Russia dan Amerika Syarikat yang memang terkenal dalam bidang sains angkasa. Peristiwa besar seperti ini ialah catatan terbaik untuk dimuatkan sebagai kejayaan negara yang kini lebih diiktiraf dan dipandang tinggi oleh dunia. Dengan perkataan lain, sebagai sebuah negara yang merdeka, kita sebenarnya telah berjaya melahirkan masyarakat yang sejahtera. Saudara dan saudari, Indikator saya yang ketiga, semangat patriotisme penangkis neoimperialisme. Hal ini demikian kerana, semangat yang kita padukan dan satukan ialah semangat cinta akan kemakmuran, jika tidak, masakan kita bisa bertahan ketika dirobek keamanan, dicemuh kesucian, dan dimaki dalam penghinaan. Ketika itu, kita sedar betapa pentingnya semangat perjuangan dan tuntutan kemerdekaan dan sekali gus meletakkan suatu tanggungjawab di pundak anak bangsa yang bakal mewarisi negara. Sebagai contohnya, sewaktu kegawatan ekonomi melanda seluruh dunia pada tahun 1997, negara kita berjaya mengharunginya dengan semangat patriotisme yang tinggi dan perpaduan yang jitu dalam kalangan pemimpin dan rakyat negara kita tanpa mengira kaum dan bangsa. Mahatma Gandhi pernah berkata, Majunya sesebuah negara kerana asas jati diri bangsanya. Maka pada hari ini kita harus sedar, kurniaan kemerdekaan bukan sekadar kibaran jalur gemilang, dan bukan juga dendangan lagu kebangsaan kerana kalau roboh kota Melaka, papan di Jawa jadi gantinya, iaitu apabila musuh datang melanda kita, patriotisme Malaysia jadi penangkisnya bagi kesejahteraan masyarakat semua. Para hadirin yang dihormati, Indikator saya yang terakhir, Rukun Negara pembentuk bangsa merdeka dan berdaulat. Walaupun pada 31 Ogos 1970, ada sesetengah pihak yang menyifatkan Rukun Negara sebagai doktrin ketahanan nasional. Sebenarnya, Rukun Negara digubal melalui pelbagai dasar strategi sosioekonomi dan ketatanegaraan yang lebih komprehensif serta berkesan. Sebagai contohnya, akhbar Utusan Melayu 16 Julai 1965 menyatakan penentangan adalah terhadap kedaulatan Raja-Raja Melayu, hak-hak keistimewaan Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Dengan perkataan lain, kewujudan Rukun Negara mampu mendepani zaman universal, holistik dan realistik kerana bisa menghakis seluruh prasangka kaum yang mungkin wujud di negara ini sebelum dan sesudah

peristiwa 13 Mei 1969 yang begitu banyak memberikan pengajaran untuk kesejahteraan. Oleh hal yang demikian, saya menyarankan rakyat negara ini, biarlah gunung sama didaki, lurah sama dituruni, dan hati gajah sama dilapah, hati nyamuk sama dicecah. Marilah kita bersama-sama meniti hari-hari yang mendatang dengan mengukuhkan semangat patriotisme dan mengekalkan kemerdekaan negara yang tercinta bagi memastikan masyarakat hidup aman dan sejahtera. Cukuplah setakat ini sahaja pidato saya kali ini, dan saya ingin memohon kemaafan sekiranya tersilap kata dan tersalah susun bicara semasa saya menyampaikan pidato tadi. Sekian, terima kasih. warahmatullahiwabarokatuh. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum

Dengan berdasarkan soalan percubaan Bahagian A (Karangan Bahan Rangsangan) negeri Perak, isu yang diketengahkan ialah kebaikan mengadakan sambutan kemerdekaan negara. Soalan contoh (Rujuk Soalan Karangan Bahagian A, Peperiksaan Percubaan Bahasa Melayu negeri Perak 2010 daripada blog Cikgu Zaki). Gambarajah di bawah menunjukkan sebahagian daripada sambutan kemerdekaan negara. Huraikan pendapat anda tentang kebaikan-kebaikan mengadakan sambutan kemerdekaan negara pada setiap tahun. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan. Rangka Karangan Pendahuluan Hari ulang tahun kemerdekaan yang kita sambut setiap tahun mempunyai banyak kepentingannya Isi-isi (Sudah disediakan dalam bahan rangsangan) Memupuk semangat patriotik Memupuk perpaduan kaum Menghargai dan mengenang jasa pejuang kemerdekaan Penutup Hari ulang tahun kemerdekaan negara kita perlulah disambut oleh semua rakyat Karangan Contoh Hari ulang tahun kemerdekaan negara yang kita sambut setiap tahun mempunyai kebaikan dan kepentingannya yang tersendiri. Hari tersebut merupakan hari kebesaran negara yang perlu disambut dan dihayati oleh semua rakyat yang cinta akan negara ini. Pelbagai acara dijalankan untuk menyambut hari ulang tahun kemerdekaan ini seperti mengadakan majlis perarakan atau perbarisan, memasang bendera pada bangunan, kenderaan dan sebagainya. Oleh itu, sambutan hari tersebut hendaklah diteruskan agar generasi muda yang menjadi tonggak negara pada masa hadapan akan mengerti dan menghayati kebaikannya.

Kebaikan sambutan hari ulang tahun kemerdekaan ini adalah dapat memupuk semangat patriotik atau cinta akan negara. Dengan menyambut hari ulang tahun kemerdekaan, seseorang itu akan merasai pengalaman itu sendiri dan berasa megah dengan hari kemerdekaan negaranya sendiri. Perkara ini demikian kerana, tak kenal maka tak cinta, iaitu seseorang itu akan menghayati hari kemerdekaan tersebut dengan lebih bermakna melalui penglibatan dan penyertaannya dalam sambutan hari ulang tahun kemerdekaan atau menyaksikan majlis sambutan tersebut secara langsung. Selain itu, dengan menyambut hari ulang tahun kemerdekaan, kita dapat memupuk perpaduan kaum. Hal ini demikian kerana, pelbagai kaum yang terdapat di negara kita akan bekerjasama dan berganding bahu dengan melibatkan diri semasa sambutan diadakan. Kita dapat melihat semua kaum, seperti kaum Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, dan Bajau turut serta dalam sambutan terebut. Perkara ini tentunya akan menjadi bukti bahawa perpaduan kaum dapat dipupuk dan disuburkan melalui sambutan hari ulang tahun kemerdekaan negara. Melalui sambutan hari ulang tahun kemerdekaan juga, kita dapat menghargai dan mengenang jasa pejuang kemerdekaan negara. Kita akan memahami dan menghayati pengorbanan serta perjuangan pejuang-pejuang kemerdekaan negara kita suatu masa dahulu. Mereka sanggup berkorban harta, nyawa dan tenaga iaitu seperti lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain, semata-mata untuk memerdekakan negara kita. Dengan cara itu, sebagai rakyat negara ini, kita akan sedar dan berazam untuk mempertahankan kemerdekaan negara kita sampai bila-bila. Intihanya, ulang tahun hari kemerdekaan negara kita perlulah disambut oleh semua rakyat negara ini dengan penuh penghayatan. Oleh itu, kerajaan hendaklah menjalankan kempen melalui media massa untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan sambutan ulang tahun tersebut. Hal ini bersesuaian dengan konsep 1Malaysia yang diuar-uarkan oleh pucuk pimpinan negara kita pada masa ini yang mementingkan aspek perpaduan kaum. Sekiranya usaha ini tidak dijalankan, sudah pasti rakyat negara kita kurang menyedari kepentingan sambutan hari ulang tahun kemerdekaan negara. Gambar rajah di bawah menunjukkan sebahagian daripada amalan gaya hidup sihat. Huraikan pendapat anda tentang amalan gaya hidup sihat yang sewajarnya dipraktikkan oleh setiap individu. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan. Rangka Karangan Pendahuluan - kepentingan amalan gaya hidup sihat Isi-isi - amalan pemakanan seimbang - bersukan dan beriadah - Pemeriksaan kesihatan Penutup - amalan tersebut perlu dijadikan budaya untuk melahirkan rakyat yang sihat

Amalan gaya hidup sihat memang banyak kepentingannya kepada manusia. Dengan mengamalkan gaya hidup sihat, seseorang akan sentiasa sihat, cergas dan bertenaga. Oleh itu, setiap orang hendaklah melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh iaitu, sekurangkurangnya tiga kali seminggu. Tindakan ini ibarat menyediakan payung sebelum hujan, iaitu seseorang itu akan dapat mengekalkan kecergasan dan seterusnya badan akan menjadi sihat melalui aktiviti senaman. Amalan ini seterusnya akan melahirkan rakyat yang sihat dan produktif selaras dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan produktiviti negara. Satu amalan yang penting untuk diamalkan adalah dengan mengambil makanan yang seimbang. Oleh itu, tubuh orang yang mengamalkan pemakanan seimbang ini akan mendapat khasiat dan vitamin yang diperlukan. Sebagai contohnya, seseorang itu perlu banyak mengambil makanan yang berserat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan serta mengurangkan makanan yang berlemak atau mengandungi kolesterol yang tinggi. Dengan cara itu, penyakit berbahaya seperti penyakit jantung koronari, tekanan darah tinggi dan diabetis akan dapat dielakkan kerana mencegah penyakit lebih baik daripada mengubatinya. Amalan lain yang perlu diamalkan adalah dengan bersukan atau beriadah. Aktiviti sukan dan riadah yang dilakukan akan menyihatkan seseorang kerana aktiviti itu akan melancarkan perjalanan darah dan badan akan mengeluarkan peluh. Seseorang itu boleh bersukan seperti bermain badminton, bola sepak, menunggang basikal, berjoging, atau berenang. Jika badan seseorang itu sihat dan cergas, sudah pastilah daya pemikirannya juga cerdas kerana otak yang cerdas datangnya daripada tubuh yang cergas. Selain itu, setiap orang perlu melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Hal ini akan memastikan anggota dalaman tubuh seseorang itu seperti, jantung, hati, buah pinggang, dan pankreas berfungsi dengan baik. Melalui cara itu juga, penyakit berbahaya seperti penyakit jantung koronari, diabetis, dan tekanan darah tinggi dapat dapat dikesan lebih awal melalui peralatan moden dalam bidang perubatan. Dengan cara itu, langkah pemulihan akan dapat dilakukan dengan segera. Hal ini demikian kerana, alat-alat perubatan moden dapat mengesan sesuatu penyakit lebih awal dan tidaklah sudah terhantuk baru nak tengadah. Secara keseluruhannya, amalan gaya hidup sihat memang perlu dijadikan budaya untuk melahirkan rakyat yang sihat. Jadi, Kementerian Kesihatan perlulah mengambil langkah yang proaktif untuk merealisasikan impian negara kita itu. Sekiranya langkah tersebut tidak diambil, sudah tentu hasrat untuk melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas tidak akan menjadi kenyataan. Oleh itu, hasrat untuk melahirkan rakyat yang sihat dan cergas akan menjadi realiti jika semua pihak saling bekerjasama iaitu, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.

Soalan Contoh Negara kita turut menerima tempias akibat wabak selesema burung dan penyakit Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk (SARS) yang berlaku di kebanyakan negara di dunia baru-baru ini. Sarankan langkah-langkah yang perlu diambil oleh negara kita dan negara-negara yang terlibat. Rangka Karangan

Pendahuluan - Wabak penyakit berjangkit di negara ini terkawal - kerajaan mengambil langkah-langkah untuk mengatasi masalah penyakit berjangkit. Isi-isi Penting i. Pesakit-pesakit dikuarantin daripada orang awam supaya tidak berjangkit. ii. Jangan melancong atau berkunjung ke negara-negara yang dilanda oleh penyakit tersebut. iii. Gunakan mesin pengimbas - sekat kemasukan pelancong asing dari negara yang terlibat memasuki negara Malaysia. iv. Penyediaan ubat-ubatan seperti vaksin untuk ketahanan tubuh badan melawan penyakit. v. Memusnahkan punca penyakit yang berpunca daripada unggas (ayam, burung dan lainlain). Penutup - Kerajaan dan rakyat perlu sentiasa peka dengan keadaan sekeliling aspek penjagaan kebersihan dan kesihatan perlu diutamakan - meyakinkan pelancong asing. Karangan Contoh Industri pelancongan negara terjejas sedikit akibat wabak selesema burung dan penyakit Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk (SARS) yang berlaku di kebanyakan negara di dunia baru-baru ini. Namun demikian, wabak penyakit itu berjaya dikawal dan tidak memberikan kesan yang serius terhadap industri pelancongan dan kesihatan rakyat negara ini. Hal ini demikian kerana, pihak kerajaan telah mengambil langkah-langkah yang efektif untuk menangani penyakit tersebut. Berdasarkan langkah mencegah lebih baik daripada mengubati, penyakit tersebut tidak merebak kepada rakyat negara ini. Seterusnya rakyat negara ini perlu berasa bimbang akan wabak yang menular di seluruh dunia itu. Negara kita dan negara-negara yang terlibat sepatutnya mengambil langkah seperti mengasingkan pesakit yang menghidap wabak tersebut. Dengan perkataan lain, pesakit perlu dikuarantin dan diasingkan daripada orang awam agar penyakit tersebut tidak merebak kepada orang lain iaitu sebelum nasi menjadi bubur. Jika tindakan ini diambil sudah pasti penyakit ini dapat dikawal dan tidak akan disebarkan kepada orang lain dan juga ke negara-negara lain. Seterusnya, keadaan ini tidak akan menjejaskan kesihatan manusia malahan industri pelancongan juga tidak terjejas. Langkah lain yang perlu dijalankan adalah dengan mengelakkan diri daripada melancong ke negara-negara yang terlibat. Rakyat negara kita atau negara lain perlu membatalkan rancangan buat sementara waktu untuk pergi melancong ke negara-negara yang sedang dilanda wabak itu seperti negara China, Hong Kong, dan Indonesia. Langkah yang dikatakan sebagai menyediakan payung sebelum hujan, sudah pasti dapat mengelakkan seseorang itu daripada dijangkiti oleh penyakit yang berbahaya itu. Pihak berkuasa setiap negara juga perlu membuat pemeriksaan yang ketat dan menyediakan alat pengimbas di pintu-pintu masuk utama negara masing-masing. Sebagai contohnya, alat pengimbas tersebut perlu diletakkan di lapangan-lapangan terbang antarabangsa seperti di KLIA, Kuching, dan Bayan Lepas. Alat pengimbas tersebut berupaya untuk mengesan pelancong yang masuk sekiranya mereka dijangkiti oleh penyakit tersebut.

Sekiranya mereka telah dijangkiti oleh penyakit tersebut, maka mereka perlu di bawa ke hospital untuk diberikan rawatan dan juga dikuarantin. Selain itu, pihak berkuasa perlu menyediakan ubat-ubatan dan vaksin yang boleh melawan virus H5N1 dan mencegah virus tersebut daripada menyerang manusia. Seseorang yang perlu ke luar negara atas urusan yang penting perlu diberikan suntikan vaksin yang dapat mencegah seseorang itu daripada dijangkiti penyakit tersebut. Hal ini demikian kerana, vaksin yang berkesan akan berupaya untuk melawan virus penyakit itu daripada menyerangnya. Orang yang sudah dijangkiti oleh penyakit ini pula, perlu diberikan rawatan yang rapi dan ubatubatan yang benar-benar berkesan untuk mengubati pesakit tersebut. Langkah seterusnya ialah pihak berkuasa perlu memusnahkan haiwan yang telah dijangkiti dan menjadi punca penyakit ini merebak kepada manusia pula. Unggas seperti burung dan ayam yang telah dijangkiti perlulah dihapuskan segera agar wabak tersebut tidak menjangkiti manusia pula. Hal ini demikian kerana, penyakit ini sebenarnya berpunca daripada unggas seperti ayam dan burung yang dijangkiti oleh virus tersebut dan seterusnya memindahkannya kepada manusia yang memeliharanya atau terlibat secara langsung dengan unggas tersebut setiap hari. Sebagai kesimpulannya, pihak kerajaan dan rakyat hendaklah peka terhadap keadaan di sekeliling mereka. Aspek penjagaan kebersihan dan kesihatan perlulah diberikan perhatian yang utama dalam kehidupan seharian. Janganlah sudah terhantuk baru nak tengadah kerana sekiranya aspek kebersihan diabaikan sudah pasti penyakit itu akan mudah menyerang mangsanya. Jadi, langkah awal penting untuk menghindarkan seseorang itu daripada dijangkiti oleh wabak yang berbahaya ini. Seterusnya, perkara ini juga akan dapat meyakinkan pelancong yang hendak melancong ke negara kita.

Soalan Contoh: Anda akan mewakili sekolah dalam menyertai pertandingan syarahan anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) di daerah anda. Tajuk syarahan itu ialah Punca-punca Rakyat Tempatan Tidak Berminat untuk Bekerja Sebagai Pembantu Rumah. Sediakan teks syarahan itu selengkapnya. Karangan ini ditulis oleh Mohd Azrin bin Salleh, 6 A3 SMK. BBST. Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Arif panel hakim, para pelajar, dan hadirin sekalian, assalamualaikum dan selamat sejahtera. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penganjur pertandingan ini. Pada pagi ini saya akan menyampaikan syarahan yang bertajuk Punca Rakyat Tempatan Tidak Berminat untuk Bekerja Sebagai Pembantu Rumah. Hadirin sekalian, Kini, masyarakat tempatan memang tidak berminat untuk bekerja sebagai pembantu rumah. Kesan daripada permasalahan ini menyebabkan pekerjaan sebagai pembantu rumah banyak dikuasai oleh warga asing. Sebagai contohnya, pembantu rumah itu kebanyakannya berasal dari Indonesia, Kampuchea, dan Filipina. Fenomena ini menyebabkan berlakunya pergantungan terhadap pembantu rumah warga asing. Sebenarnya terdapat pelbagai punca yang menyebabkan rakyat tempatan tidak berminat untuk bekerja sebagai pembantu rumah.

Satu daripada puncanya disebabkan oleh faktor gaji yang rendah. Gaji sebagai pembantu rumah lebih rendah jika dibandingkan dengan pekerjaan yang lain. Selain itu, gaji yang diterima oleh pembantu rumah tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan oleh mereka. Oleh hal yang demikian, masyarakat tempatan tidak tertarik untuk berkecimpung dalam bidang ini. Akibat daripada permasalahan ini, majikan terpaksa menggunakan khidmat warga asing yang sanggup menerima gaji yang rendah. Perkara ini membuktikan bahawa gaji yang rendah menyebabkan masyarakat tempatan tidak mahu bekerja sebagai pembantu rumah. Hadirin yang dikasihi sekalian, Tahap pendidikan warga tempatan yang tinggi tidak menggalakkan mereka untuk menceburkan diri dalam bidang ini. Hal ini demikian kerana tahap pendidikan masyarakat tempatan yang tinggi membolehkan mereka mendapat pekerjaan yang lebih baik. Di negara ini, tahap pendidikan masyarakat sekurang-kurangnya hingga ke peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Oleh hal yang demikian, masyarakat tempatan boleh memilih pekerjaan yang setaraf dengan tahap pendidikan mereka daripada menjadi pembantu rumah. Mereka lebih suka untuk bekerja sebagai kerani atau pembantu tadbir di sektor awam atau swasta daripada bekerja sebagai pembantu rumah. Bertititik tolak daripada itu, persepsi negatif masyarakat turut menyebabkan masyarakat tempatan tidak mahu menceburkan diri dalam bidang ini. Perkara ini disebabkan oleh masyarakat menganggap bahawa pekerjaan sebagai pembantu rumah dianggap hina dan rendah statusnya. Selain itu, mentaliti masyarakat negara kita hanya memandang ke arah pekerjaan yang bergaji tinggi. Oleh itu, masyarakat tempatan berasa segan atau malu untuk bekerja sebagai pembantu rumah kerana takut dipandang rendah oleh orang lain. Jelaslah bahawa persepsi negatif masyarakat merupakan salah satu punca masyarakat tempatan tidak mahu bekerja sebagai pembantu rumah. Di samping itu, pekerjaan sebagai pembantu rumah ini tidak menjamin masa depan yang cerah. Hal ini demikian kerana pekerjaan ini kebiasaannya tidak dilaksanakan mengikut saluran undang-undang buruh atau pekerja. Perkara ini menyebabkan orang gaji boleh diberhentikan pada bila-bila masa oleh majikan. Selain itu, mereka juga tidak diberikan perlindungan insurans, caruman KWSP, dan SOCSO. Hal ini tentunya akan menyebabkan masyarakat tempatan tidak berminat untuk bekerja sebagai pembantu rumah. Punca lain yang menyebabkan masalah ini berlaku ialah pekerjaan ini memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Hal ini dikatakan demikian kerana pembantu rumah harus melayan kerenah majikan dan anak-anak majikan itu sendiri. Selain itu, pembantu rumah perlu melakukan kerja yang banyak seperti mengemas rumah, membasuh pakaian, memasak, dan sebagainya. Perkara ini menyebabkan mereka tidak mempunyai masa rehat yang cukup atau tiada masa untuk berehat langsung. Oleh itu, jelaslah bahawa perkara ini menyebabkan warga tempatan tidak tertarik untuk menjadi pembantu rumah. Hadirin yang budiman, Secara keseluruhannya, terdapat pelbagai punca rakyat tempatan tidak berminat untuk bekerja sebagai pembantu rumah. Oleh hal yang demikian, pihak yang bertanggungjawab haruslah bertindak untuk menarik minat masyarakat tempatan untuk menceburi bidang ini. Pekerjaan sebagai pembantu rumah ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang hina seperti anggapan masyarakat sebelum ini. Pekerjaan ini juga halal di sisi agama jika semuanya dilakukan dengan betul dan mengikut saluran undang-undang. Jadi, kita berharap agar masalah kekurangan

pembantu rumah ini dapat diselesaikan dengan segera untuk mengelakkan majikan yang memerlukannya menghadapi masalah yang lebih serius. Selain itu, alternatif lain juga perlu difikirkan untuk mengelakkan kebergantungan terhadap pembantu rumah. Sekian sahaja syarahan saya kali ini. Terima kasih.

Soalan: Sebagai Setiausaha Kelab Pencinta Bahasa, anda diminta untuk menyediakan laporan tentang punca-punca masalah pencemaran bahasa dalam kalangan masyarakat dan usaha-usaha untuk menanganinya. Sediakan laporan itu selengkapnya. Esei ini ditulis oleh saudari Aine Maizatul bt. Mohd Khuzaini, Kelas 6 Atas 2, SMK.BBST. Laporan tentang Punca-punca Masalah Pencemaran Bahasa dalam Kalangan Masyarakat dan Usaha-usaha untuk Menanganinya 1.0 Pendahuluan Masyarakat kita sering dicemari oleh pelbagai budaya negatif. Hal ini termasuklah juga pencemaran bahasa yang semakin membimbangkan masyarakat. Pencemaran bahasa itu banyak dilakukan dalam pertuturan seharian, tulisan, dan penggunaannya dalam media massa seperti radio, televisyen dan iklan. Masalah ini telah memberikan impak negatif kepada negara. Oleh itu, suatu kajian telah dilakukan oleh Kelab Pencinta Bahasa untuk mengenal pasti punca-punca terjadinya fenomena ini dan usaha-usaha untuk menanganinya. Yang berikut ialah laporan hasil kajian tersebut. 2.0 Senarai Ahli Jawatankuasa Pengerusi : Datuk Dr. Muhammad Ali bin Abu Naib Pengerusi : Datuk Haji Muskamal bin Mustafa Setiausaha : Cik Sandra Park Bendahari : Dr. Jannah binti Bahar Ahli Jawatankuasa 1) Dr. Amir bin Hatin Ali 2) Tuan Haji Shazwan bin Jamaludin 3) Puan Shahanem binti Suratman 3.0 Punca-punca Masalah Pencemaran Bahasa 3.1 Kurang Pengetahuan tentang Peraturan Bahasa Melayu Berdasarkan kajian, didapati bahawa jumlah individu yang kurang pengetahuan tentang peraturan bahasa Melayu adalah sangat tinggi. Hal ini demikian kerana sejak kecil lagi, individu-individu berkenaan tidak didedahkan dengan penggunaan bahasa Melayu yang betul. Sebagai contohnya, mereka sentiasa didedahkan dengan penggunaan dialek negeri semasa berada di rumah. Hal ini dapat dibuktikan melalui tinjauan di negeri-negeri di Pantai Timur yang kebanyakan penduduknya lebih selesa bertutur dengan menggunakan dialek negeri masing-masing.

3.2 Pengaruh Rakan Sebaya Kajian juga mendapati bahawa pencemaran bahasa berlaku disebabkan oleh pengaruh rakan sebaya. Pencemaran bahasa yang dimaksudkan ini bukan sahaja tertumpu kepada penggunaan bahasa rojak tetapi juga bahasa yang kurang sopan yang menjadi trend pada masa ini dalam kalangan remaja khususnya pelajar sekolah. Perkara ini tidak sukar dielakkan kerana pada usia remaja, mereka mudah terpengaruh dengan perkara-perkara atau fenomena baharu yang berlaku di dalam dunia tanpa sempadan ini. Perkara ini tentunya amat membimbangkan masyarakat umumnya. 4.0 Usaha-usaha untuk Menanganinya 4.1 Penggunaan Bahasa Melayu yang Betul oleh Media Massa Penggunaan bahasa Melayu yang betul oleh media massa, contohnya televisyen, radio, internet, dan sebagainya mampu untuk membantu masyarakat menggunakan bahasa Melayu dengan betul. Hal ini demikian kerana media massa merupakan medium yang paling hampir dan mempunyai pengaruh yang besar terhadap masyarakat. Oleh itu, pencemaran bahasa dapat ditangani dengan adanya kerjasama antara pihak media dengan pihak yang bertanggungjawab dalam menyelaraskan bahasa Melayu iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). 4.2 Peranan Sistem Pendidikan atau Sekolah Untuk menangani masalah ini, kerajaan haruslah memperluas penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam aspek pendidikan. Hal ini demikian kerana melalui aspek pendidikan, pengetahuan tentang penggunaan bahasa Melayu yang betul dapat disemai dalam diri individu sejak mereka di bangku sekolah lagi. Hal ini seterusnya akan memberikan impak positif dalam diri individu terbabit apabila individu itu meningkat dewasa kelak. Penggunaan bahasa Melayu yang betul dan sebati dalam diri individu dapat mengurangkan pencemaran bahasa pada masa akan datang. 4.3 Menanam Nilai Patriotisme tentang Bahasa Melayu dalam Diri Usaha lain yang boleh dilakukan untuk menangani masalah ini adalah dengan menanam nilai patriotisme dalam diri individu. Nilai yang dimaksudkan tersebut ialah rasa cinta kepada bahasa, bangsa, dan negara kita. Nilai ini boleh dilestarikan melalui kempen-kempen yang dianjurkan oleh pihak kerajaan seperti kempen Budi Bahasa Budaya Kita. Pihak berkuasa boleh memberikan motivasi kepada masyarakat dengan mengambil negara Jepun sebagai contoh. Orang Jepun tetap menggunakan bahasa ibunda mereka walaupun negara mereka maju. Mereka amat bangga dengan bahasa ibunda mereka. Impaknya, jika perkara yang sama berlaku di negara kita, pastinya masalah pencemaran bahasa dalam kalangan masyarakat dapat ditangani dengan cepat dan berkesan. 5.0 Penutup Kajian ini telah mengenal pasti beberapa punca berlakunya masalah pencemaran bahasa dalam kalangan masyarakat. Punca-punca ini telah didikaji dan dianalisis dengan mendalam. Oleh itu, beberapa usaha telah dicadangkan untuk menangani fenomena negatif yang semakin berleluasa ini. Hal ini penting kerana jika masalah ini dapat ditangani, misi negara untuk menjadikan bahasa kita sebagai bahasa yang penting di peringkat antarabangsa, khususnya dalam bidang pendidikan dan perniagaan akan menjadi kenyataan. Perkara ini seterusnya akan mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.

Laporan disediakan oleh,

16 Januari 2013

Sandra
(SANDRA PARK) Setiausaha Kelab Pencinta Bahasa Daerah Sepang, Selangor Darul Ehsan.

Karangan ini ditulis oleh saudari Immazaitul Nor Aim binti Naim, Kelas 6 Rendah 2, SMK. Bandar Baru Salak Tinggi. Soalan Contoh Kita sering mendapati bahawa banyak kemudahan awam yang disediakan oleh pelbagai pihak telah dirosakkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Pada pandangan anda, apakah faktor-faktor yang menyebabkan kejadian ini berlaku? Kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan dan swasta adalah untuk kegunaan orang ramai. Akan tetapi, ada kemudahan yang disediakan itu telah dirosakkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Sebagai contohnya, mereka merosakkan kemudahan awam seperti memutuskan gagang telefon awam, menconteng dinding tandas awam, merosakkan alat permainan di taman permainan kanak-kanak dan sebagainya. Perkara itu menyebabkan orang lain pula yang akan menerima kesannya kerana tidak dapat menggunakannya. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kemudahan awam ini dirosakkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Seperti yang kita sedia maklum, antara faktor yang menjadi puncanya disebabkan oleh kurangnya didikan agama dan moral di rumah. Hal ini demikian kerana ahli keluarga itu sendiri tidak menunjukkan contoh yang baik serta tidak menitikberatkan soal agama dan moral dalam kalangan ahli keluarga. Oleh itu, mereka merosakkan kemudahan awam tanpa memikirkan kesusahan yang akan dihadapi oleh orang lain. Jadi, tanpa didikan agama dan moral daripada keluarga, perkara ini akan menyebabkan remaja tidak dapat membezakan perkara yang baik atau buruk. Hal ini menunjukkan bahawa didikan agama dan moral yang kurang dititikberatkan oleh ibu bapa menjadi faktor kemudahan awam dirosakkan. Faktor lain kemudahan awam dirosakkan ialah remaja terpengaruh oleh perbuatan yang dilakukan oleh rakan sebaya mereka. Perkara ini berlaku kerana mereka mencontohi tindakan rakan-rakan yang lain. Kebiasaannya, remaja akan mengikut tindakan rakan yang melakukan kerosakan terhadap kemudahan awam, seperti merosakkan pam atau singki tandas. Tindakan yang tidak bertanggungjawab ini menyebabkan kesulitan kepada orang lain yang hendak menggunakannya. Hal ini membuktikan bahawa pengaruh rakan merupakan satu daripada faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku. Kita juga sedar bahawa perkara itu disebabkan oleh sikap masyarakat yang tidak prihatin dengan perkara yang berlaku di sekeliling mereka. Perkara ini menunjukkan bahawa kebanyakan anggota masyarakat lebih mementingkan urusan

mereka sendiri. Tindakan itu boleh diibaratkan seperti katak di bawah tempurung kerana mereka tidak menghiraukan perkara yang sedang berlaku. Hasilnya, gejala ini tentunya menyebabkan pihak yang tidak bertanggungjawab itu terus merosakkan kemudahan awam. Oleh itu, memang tidak dapat dinafikan bahawa sikap masyarakat yang tidak prihatin merupakan salah satu daripada faktor yang menyebabkan kemudahan awam dirosakkan. Selain itu, kemudahan awam yang disediakan oleh pihak tertentu itu dirosakkan oleh orang yang hendak meluahkan perasaan marah mereka. Hal ini disebabkan oleh mereka tidak ada tempat lain untuk meluahkan perasaan selain merosakkan kemudahan awam yang disediakan. Perkara ini jelas terbukti seperti kata-kata kesat dan lucah yang terdapat di dinding tandas-tandas awam dan di pondok telefon awam. Orang yang tidak bertanggungjawab itu mungkin akan berasa lega dengan tindakannya itu. Sesungguhnya, perkara ini menunjukkan bahawa faktor orang yang hendak melepaskan perasan marah atau geramnya menyebabkan kemudahan awam dirosakkan. Seterusnya, faktor yang menyebabkan masalah ini berlaku ialah penguatkuasaan undang-undang yang lemah atau tidak tegas. Hal ini demikian kerana pihak berkuasa tidak bertindak dengan tegas atau mengenakan denda yang berat terhadap pihak yang merosakkan kemudahan awam. Perkara ini menyebabkan orang yang tidak bertanggungjawab semakin berani untuk merosakkan kemudahan awam. Namun demikian, orang yang memerlukan kemudahan awam tersebut pula yang terpaksa menanggung akibat buruknya. Oleh itu, kelemahan penguatkuasaan undang-undang menjadi faktor penyumbang terhadap masalah ini. Selain itu, kemudahan awam juga sering dirosakkan kerana kurang pemantauan dan penyelenggaraan daripada pihak yang bertanggungjawab. Masalah ini akan menyebabkan pihak yang tidak bertanggungjawab itu merosakkan kemudahan awam tersebut. Perkara ini mungkin disebabkan oleh kekurangan kakitangan daripada pihak berkuasa yang hendak membuat pemantauan ataupun perbelanjaan untuk menyelenggarakan kemudahan awam itu sudah habis digunakan. Akibatnya, kemudahan awam yang dirosakkan itu akan terus terbiar dan perkara itu akan menjejaskan kebersihan atau keselesaan kita. Jadi, sememangnya faktor ini membuktikan bahawa masalah kurang pemantauan atau penyelenggaraan menyebabkan perkara tersebut berlaku. Sebagai kesimpulannya, kita dapat melihat bahawa masalah kemudahan awam yang dirosakkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini perlu ditangani dengan berkesan. Oleh itu, semua pihak haruslah berganding bahu untuk menangani masalah ini agar tidak menjadi lebih serius. Sekiranya perkara ini tidak diberikan perhatian yang sewajarnya, masalah ini akan menyebabkan imej negara tercemar akibat tindakan yang tidak bertanggungjawab ini. Kita haruslah bekerjasama untuk mengatasi masalah ini sebelum menjadi barah dalam masyarakat. Akhirnya, kita berharap agar kemudahan awam dapat digunakan dan dinikmati oleh orang ramai.

KARANGAN CONTOH Bahagian B

Saolan

Belakangan ini, isu kenakalan remaja hangat diperkatakan dan membawa petanda yang tidak baik kepada generasi akan datang.
Huraikan peranan anda sebagai seorang remaja dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji.

(Soalan 1 Percubaan SPM 2011 MRSM)

Karangan Gunakanlah masa yang ada Dengan sebaiknya Kuatkanlah tekad di hati Memajukan diri Tiada kejayaan yang datang Tanpa usaha yang gigih Bersusah-susahlah dahulu Bersenang kemudian Jadilah warga yang berguna Pada keluarga, masyarakat jua negara Sebahagian daripada lirik lagu Remaja persembahan kumpulan nasyid Unic saya petik untuk menggambarkan kemaslahatan peranan remaja pada masa ini. Lagu yang menyuntik semanagat ini menyeru para remaja agar menggunakan masa dengan sebaiknya dan mempunyai azam yang kuat demi memajukan diri masing-masing . Melalui usaha yang gigih dan tabah tanpa mengenal jemu dalam bidang yang diceburi serta memiliki sahsiah yang terpuji , remaja akan menjadi warga yang berguna kepada keluarga, masyarakat dan nusa. Hal ini demikian kerana menurut Menteri Belia dan Sukan, Dato Ahmad Shabery Cheek, belakangan ini, remaja begitu terdedah kepada pelbagai bentuk cabaran sama ada dari segi pengaruh media massa, pengaruh atau desakan daripada rakan sebaya serta ibu bapa dan masyarakat ataupun konflik pergolakan antarabangsa yang semakin hari semakin mendapat liputan meluas di dada-dada akhbar seluruh negara. Pergolakan antarabangsa yang berlaku sedikit sebanyak mempengaruhi akidah remaja kita. Remaja yang rata-ratanya mempunyai semangat inkuiri atau ingin tahu yang tinggi berserta perlakuan untuk mencuba sedaya upaya sehingga berjaya bak kata pepatah alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, perlu dipandu dan ditarbiah ke jalan yang benar baik melalui diri sendiri, ibu bapa, guru-guru, masyarakat mahupun kerajaan memandangkan remajalah yang bakal memegang tampuk pemerintahan negara ini lantas mencorakkannya menjadi sebuah negara yang unggul dan terbilang. Negara memerlukan remaja yang mempunyai nilai mandiri dan jati diri yang utuh di samping berdaya saing serta berfikiran kreatif dan inovatif. Namun demikian, amatlah malang kepada negara kita jika remaja yang diharap-harapkan akan sentiasa mendukung panji Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara kini dikaitkan dengan isu kenakalan. Perbuatan yang melanggar norma, aturan atau hukum dalam masyarakat yang dilakukan pada usia remaja ini dikatakan membawa petanda yang tidak baik kepada generasi akan datang bak kata pepatah, air perabung mengalir ke cucur atap. Isu ini begitu hampir dengan saya memandangkan saya juga seorang insan yang bergelar remaja justeru saya mempunyai peranan dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji agar memiliki ciri-ciri remaja cemerlang dambaan negara. Sebagai seorang remaja, dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji, saya akan mendalami ilmu agama dan mencintai Allah. Ilmu agama merupakan ilmu yang mendekatkan diri seseorang kepada Maha Pencipta iaitu Allah swt. Tiada ilmu yang lebih mulia melainkan ilmu agama di dunia ini iaitu ilmu dan pengetahuan Islam yang syumul. Perkara ini boleh

dibuktikan melalui pernyataan rasa yang disuarakan oleh ilmuan sains yang terkenal iaitu Albert Einstein (walaupun beliau tidak beragama Islam) yang menyatakan bahawa agama tanpa ilmu adalah buta , ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Jelas dapat dilihat bahawa ilmu dan agama mempunyai hubung kait yang sangat akrab. Seseorang yang mendalami ilmu tetapi tidak berlandaskan atau berpaksikan agama tidak akan merasai nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah swt. Saya akan mendalami ilmu agama dengan membaca dan memahami AlQuran, mengkaji hadis-hadis dan menyelami sirah nabi serta para sahabat. Akhlak Rasulullah yang terpuji dan sempurna yang terkandung dalam Al-Quran dan hadis itu pastinya akan menjadi sumber primer saya bagi membina pemahaman yang kukuh tentang kemuliaan dan kehebatan memiliki sahsiah yang terpuji. Pembelajaran melalui pembacaan dan penelaahan yang mendalam sebegini mampu memberi input yang berguna seperti memahami nilai yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan sehari-hari . Nilai-nilai seperti ketakwaan, kesabaran, kegigihan, keikhlasan dan bertanggungjawab semuanya memandu diri saya membina peribadi mulia . Pengajaran daripada Al-Quran dan hadis mampu merobah mana-mana perlakuan saya yang sebelum ini yang dianggap bejat atau kurang memuaskan kepada perlakuan yang positif atau terpuji. Jikalau saya tidak memahami kandungan Al-Quran ataupun hadis, saya akan berjumpa dengan ustaz atau ustazah yang mempunyai pengetahuan yang luas berkaitan dengan agama yang suci ini. Saya akan meluangkan masa untuk pergi ke perpustakaan bagi mendalami ilmu agama kerana di perpustakaan, suasananya yang hening mampu menenangkan fikiran dan mendamaikan jiwa. Dengan mendalami ilmu agama, saya yakin saya mampu membentuk sahsiah diri yang terpuji kerana saya akan memperlihatkan kesopanan berbudi bahasa, kemanisan berkata-kata dan kemampuan memberikan buah fikiran dengan penuh tertib serta matang berlandaskan akhlak Nabi Muhammad saw. Jelasnya, saya akan terhalang daripada menjadi penyumbang petanda yang tidak baik kepada generasi akan datang. Selain itu, satu lagi modus operandi yang sepatutnya saya lakukan adalah dengan menumpahkan ketaatan sepenuhnya kepada ibu bapa saya. Ibu bapa merupakan dua insan yang paling dekat dengan diri saya kerana sesudah saya dilahirkan di muka bumi ini, saya ditatang bagai minyak yang penuh oleh mereka. Begitu besar pengorbanan ibu bapa terhadap saya bermula dengan ibu yang mengandungkan saya dengan jerih payahnya selama sembilan bulan sepuluh hari ditambah pula dengan jasa bapa yang bertungkus lumus mencari nafkah bagi menyara keluarga. Walaupun cuma untuk sesuap nasi tetapi itulah titik peluh ikhlas yang dilakukan oleh bapa kepada saya. Saya tidak ingin hidup menjadi seperti Si Tanggang atau Si Malim Kundang yang merupakan anak derhaka terhadap ibunya. Saya akan taat kepada ibu bapa dengan cara mendengar dan menerima nasihat yang diberikan mereka dengan tangan yang terbuka dan hati yang lapang. Jika saya tidak bersetuju sekalipun, saya tidak akan memberontak dan meninggikan suara ketika memberikan pendapat malah saya akan berbincang dengan cara yang paling baik atau bertatasusila bagi menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku sesuai dengan peribahasa buang yang keruh ambil yang jernih. Allah telah memberikan kedudukan tinggi kepada ibu bapa dan menyuruh setiap anak berbuat baik kepada mereka. Perkara ini jelas diterangkan melalui firman Allah dalam Surah Al-Israk ayat 23 yang menyuruh kita berbakti kepada ibu bapa. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam satu wawancara menyatakan bahawa remaja boleh membina peribadi mulia dengan mentaati ibu bapa melalui perbuatan yang baik, melaksanakan hak-hak mereka dan menjauhkan diri daripada perilaku yang boleh menyakiti hati dan kehidupan mereka. Taat kepada ibu bapa adalah amalan wajib ditunaikan setiap anak. Ketaatan adalah cara paling baik mendekatkan diri kepada Allah kerana taat kepada ibu bapa bererti mentaati perintah-Nya juga. Berbakti kepada ibu bapa membawa berkat. Terdapat hadis Rasulullah saw. yang bermaksud : Sesiapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan ditambah rezekinya, maka hendaklah dia berbakti kepada ibu

bapanya dan menyambung tali silaturahim." Jelaslah bahawa mentaati ibu bapa mampu menjadikan saya individu yang mempunyai sahsiah diri yang terpuji dan terhalang daripada melakukan perkara-perkara yang merosakkan moral. Di samping itu, prakarsa ataupun peranan lain yang dapat saya laksanakan adalah dengan menghormati guru-guru. Sepanjang pembelajaran saya hatta sekalipun saya tidak lagi bergelar pelajar, saya akan menghormati guru-guru saya sebagai tanda terima kasih kepada mereka kerana mereka telah bersungguh-sungguh mengajar sehingga saya mampu berdiri dan berpijak di bumi yang nyata menjadi insan yang sebaiknya dan berguna. Guru telah banyak berkorban demi memartabatkan ilmu dan banyak berjasa bermula daripada mereka mengajar kita membaca, menulis dan mengira. Mereka tidak pernah mentertawakan kesalahan yang saya lakukan malah membetulkan setiap satu daripadanya lantas menepati mutiara kata cendekiawan Wellington iaitu, Usah merendahkan diri seseorang kerana tabiat buruknya tetapi bimbinglah ia ke jalan yang lebih baik. Saya akan menerima dan menjadikan nasihat, bimbingan dan tunjuk ajar daripada guru sebagai insentif dan motivasi untuk saya berjaya menjadi insan berguna yang mampu mendaki menara gading . Bukan sahaja guru ialah ibu, bapa, pengajar, pendidik, pengasuh, penasihat dan pembimbing malahan guru adalah segalanya bagi seorang pelajar. Segala kesusahan yang ditempuhinya dalam mendidik anakanak muridnya sepatutnya dikenang dan dihargai kerana tanpa jerih payah seorang guru itu, pelajarnya akan menjadi manusia yang tidak berguna di dunia dan akhirat. Dengan ilmulah manusia diangkat menjadi makhluk termulia di sisi Allah swt. sehingga dijadikan sebagai khalifah-Nya di muka bumi. Semua ini tidak akan tercapai kecuali dengan kita menjaga peradaban dan rasa hormat yang ikhlas terhadap penyampai ilmu tersebut iaitu guru, pewaris para nabi. Justeru dengan menghormati guru, saya mencetuskan rasa insaf dalam diri dan bertatih membentuk sahsiah diri yang terpuji. Dalam pada itu, saya akan menjalinkan hubungan yang baik dengan rakan-rakan dan taulan. Secara perbandingannya, seorang remaja akan meluangkan masa yang lebih bersama rakan-rakannya berbanding dengan ibu bapa atau saudaranya. Hal ini demikian kerana selain keluarga tercinta yang dekat di hati, rakan merupakan tempat mengadu, mencurah perasaan dan berkongsi masalah. Sehubungan itu, saya akan menjaga atau memelihara hubungan yang baik dengan rakan tidak kira sama ada rakan saya berlainan agama, kaum mahupun warna kulit. Seseorang yang mempunyai sahsiah diri yang terpuji harus seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Saya juga sedaya upaya tidak akan menimbulkan isu sensitif terutama isu agama. Saya akan mengambil iktibar daripada peristiwa 13 Mei 1969 yang telah mengorbankan banyak nyawa yang berpunca daripada rusuhan kaum. Saya akan memberikan pertolongan kepada rakan yang memerlukan bantuan kerana dia merupakan rakan yang baik dan telah membantu ketika saya dalam kesusahan. Dalam kehidupan yang singkat ini, saya perlu berbaik-baik dengan semua orang dan bekerjasama dalam semua bidang kerana yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Kita digalakkan mencari teman yang baik dan meramaikannya seperti kata pepatah berkawan biar seribu tetapi musuh jangan sesekali dicari. Saya akan menjadi seseorang yang dapat memberi manfaat segi dorongan, nasihat, ilmu dan sebagainya kepada orang lain. Rakan-rakan juga tidak akan berasa kekok apabila berkawan dengan saya sekiranya saya tidak bersikap bagai buntal kembung. Apabila saya menjalinkan hubungan baik dengan rakan-rakan, masalah kebejatan moral tidak akan ada dalam kamus rutin hidup saya sejajar dengan visi saya untuk menjadi remaja yang mempunyai sahsiah terpuji. Peranan saya yang terakhir adalah dengan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan tidak bermoral . Seorang yang ingin mempunyai sahsiah diri yang terpuji tidak bisa melakukan perkara yang negatif yang mampu keruntuhan akhlak lantas menjatuhkan imej diri sendiri, keluarga, bangsa dan negara. Saya tidak akan mudah terpedaya oleh hasutan syaitan yang

membisikkan kata-kata bermadu kepada anak Adam agar melakukan dosa. Saya sentiasa awas bahawa syaitan telah berjanji akan menyesatkan umat manusia dek sebab Allah swt. telah mencampakkannya keluar dari syurga kerana tidak mahu sujud kepada Nabi Adam. Kesombongan merajai hati syaitan dengan alasan dia diciptakan daripada api manakala Adam daripada tanah. Kedegilan syaitan kian hari kian diwarisi manusia hingga pelbagai kebejatan moral dan perlakuan hedonisme mewarnai kehidupan menjadikan nilai-nilai nurni jelas nyata dikesampingkan. Saya tidak mahu terjebak dalam kancah yang serba menyesakkan nafas dan boleh memusnahkan visi dan misi saya sebagai seorang Muslim yang cemerlang dan memiiki sahsiah yang terpuji. Menteri Belia dan Sukan, Dato Ahmad Shabery Chee pernah menyuarakan pendapat bahawa , Para belia harus diasuh dan dididik agar memainkan peranan penting dalam mempamerkan akhlak yang baik sesuai dengan imej di mana-mana sahaja pada bila-bila masa. Akhlak yang baik termasuklah menghindarkan diri daripada pergaulan bebas, mengamalkan gaya hidup sihat, menjaga batas-batas aurat dan menjaga hubungan baik sesama individu di sekeliling kita. First impression orang lain terhadap kita amat penting kerana dari situlah orang lain akan dapat menilai diri kita yang sebenar. Kesimpulannya, gagasan dan tugas untuk memupuk, membangunkan dan meningkatkan mutu akhlak dalam kalangan remaja adalah suatu tanggungjawab besar. Tugas ini tidak dapat dilakukan dengan jayanya kecuali oleh manusia yang berjiwa besar dan mempunyai kualiti kemanusiaan yang tinggi. Saya yakin berlandaskan lima prinsip yang saya pegang di atas, dengan izin Allah, saya dapat membentuk sahsiah diri yang terpuji. Pemupukan sahsiah diri ini saya yakin akan membentuk saya menjadi seorang yang beriman dan bertakwa, mempunyai iltizam yang tidak berbelah bahagi, mempunyai kerohanian yang amat tinggi serta mewarisi ciri-ciri akhlak perjuangan Rasulullah saw. Mutiara kata ulamak tersohor Hamka akan saya jadikan pedoman dalam meniti kehidupan ini. Katanya, Aku hairan melihat orang menyisir rambutnya setiap hari, tetapi tidak pernah menyisir otaknya, memperkemas dadanya teapi tidak pernah mencuci hatinya. Digosok kasutnya tetapi tidak akalnya. Tidak akan saya lakukan perkara yang sia-sia yang bisa menyesatkan saya daripada landasan yang benar sebaliknya pemurnian hati, pemantapan akhlak, ilmu dan akidah akan terus menjadi pegangan perjalanan hidup saya. Semoga isu kenakalan remaja akan lenyap agar tidak lagi menebarkan sayap negatif kepada generasi akan datang bak kata peribahasa Sebab nila setitik rosak susu sebelanga Oleh: Siti Zareen Naqiyah Zool Ambia5 Hydrology (2011) MRSM Transkrian

KARANGAN CIRI-CIRI PELAJAR CEMERLANG (BRILLIANT AND LANDING CONDUCT)


Merangka Karangan

Pendahuluan: konsep pelajar cemerlang, mengapa cemerlang, gambaran isi, peribahasa Isi karangan: 1) cemerlang akademik - pencapaian pembelajaran, pencapaian peperiksaan awam, lanjut pelajaran

2) cemerlang kokurikulum - penglibatan, perkhidmatan / sumbangan, kepimpinan 3) cemerlang disiplin - patuh peraturan, tepat masa, tugas selesai 4) cemerlang sahsiah - asertif, sopan santun, boleh dipercayai Penutup: kesimpulan am, saranan, harapan. Karangan Penuh Antara tajuk pilihan utama program motivasi ialah tentang ciri-ciri pelajar cemerlang. Malah, kebanyakan organisasi yang berkaitan dengan pendidikan menjadikan ungkapan pelajar cemerlang sebagai cogan kata utama. Pendek kata, ciri-ciri pelajar cemerlang menjadi dambaan semua pihak sama ada pihak berkuasa pendidikan, masyarakat dan para pemimpin semua peringkat. Pelajar cemerlang umpama benih yang baik, campak ke laut menjadi pulau. Ciri pelajar cemerlang yang sering ditonjolkan ialah dari segi pencapaian akademik. Pelajar cemerlang akan sentiasa mengutamakan pembelajaran menerusi aktiviti terancang di bilik darjah, dan pembelajaran kendiri serta bersama kumpulan sebaya di luar bilik darjah. Pelajar cemerlang sentiasa menggembleng segala potensi dan fakulti yang ada dalam diri mereka bagi memperoleh hasil pembelajaran yang optimum. Mereka menetapkan matlamat pembelajaran yang munasabah, dan berusaha untuk mencapainya. Dengan itu, pelajar cemerlang akan mengenepikan sebarang bentuk gangguan. Semasa di bilik darjah, pelajar cemerlang sentiasa memberi tumpuan terhadap aktiviti pembelajaran terancang bersama guru. Pelajar cemerlang akan menunjukkan motivasi pembelajaran yang maksimum dengan memberi kerjasama dan perhatian yang tidak berbelah bahagi. Mereka tidak mudah dipengaruhi hasutan negatif sama ada yang datang daripada dalam diri sendiri, apatah lagi daripada pendapat yang bersifat songsang. Pelajar cemerlang tidak meletakkan terlalu banyak syarat dalam pembelajaran supaya semuanya berkenan di hati. Mereka tidak bersifat sentimental dengan terlalu banyak berharap tentang guru yang sempurna atau persekitaran bilik darjah yang sempurna. Mereka mampu bertahan dalam iklim pembelajaran yang seadanya. Demikian juga apabila melaksanakan tugasan kumpulan, mahupun menyertai kumpulan belajar, pelajar cemerlang menampilkan peranan yang seimbang, iaitu tidak terlalu menonjol dan tidak hanya sebagai penumpang. Mereka mungkin memiliki banyak idea, tetapi bersabar mendengar idea rakan sekumpulan. Pelajar cemerlang tidak cuba berlagak menguasai perbincangan, tetapi kelihatan sebagai pemimpin yang boleh dipercayai dan adil. Mereka datang dengan persediaan yang mencukupi, bukan dengan tangan kosong. Maka, kehadiran pelajar cemerlang dalam mana-mana aktiviti pembelajaran berorientasi kumpulan sentiasa meninggalkan impak, bukan sekadar melukut di tepi gantang, datang tidak menambah, pergi tidak disuruh. Pelajar cemerlang juga meletakkan sasaran yang tinggi dalam peperiksaan awam. Sasaran yang dibuat bukan sekadar cakap kosong, tetapi dibuktikan menerusi strategi dan usaha yang optimum. Mereka tidak bergantung kepada soalan ramalan, tetapi lebih fokus terhadap perancangan jawapan yang menepati tugasan soalan. Pelajar cemerlang menggunakan segala pengalaman pembelajaran di bilik darjah untuk mematuhi segala kehendak sukatan pelajaran yang menjadi asas penggubalan item soalan peperiksaan awam. Dengan meletakkan sasaran yang tinggi dari segi peperiksaan awam, pelajar cemerlang

berpeluang mengintai peluang melanjutkan pengajian dalam bidang yang diklasifikasikan sebagai kritikal dan menjadi rebutan, di samping melamar tempat di institut pengajian tinggi terkemuka dengan tajaan biasiswa yang berprestij. Pelajar cemerlang tidak rela dicop atau dilabel sebagai ulat buku semata-mata. Mereka juga menunjukkan pencapaian yang tinggi dalam bidang kokurikulum. Sebenarnya bidang kokurikulum ialah pelengkap kepada aktiviti kurikulum di bilik darjah. Aktiviti kokurikulum ialah wahana bagi aplikasi pengetahuan dan kemahiran kurikulum. Pelajar cemerlang menjadikan aktiviti kokurikulum sebagai kesempatan bagi menggilap bakat kepimpinan, memupuk semangat suka rela dalam perkhidmatan sosial dan mendekati aktiviti kebajikan. Pelajar cemerlang akan menggunakan kapasiti diri sama ada sebagai pemimpin, peserta atau petugas dalam aktiviti kelab, persatuan, unit pakaian seragam, permainan dan sukan. Mereka sentiasa cuba mencari pengalaman dengan mengamalkan sikap ringan tulang dalam membantu pihak sekolah menjayakan sebarang aktiviti kokurikulum. Pelajar cemerlang juga sinonim dengan amalan disiplin yang tinggi. Mereka tidak kisah jika digelar sebagai sebagai pelajar skema yang akur dengan segala peraturan sekolah. Walaupun mungkin kelihatan berbeza dari segi penampilan dan tingkah laku, pelajar cemerlang tidak berasa kekok untuk bergaul dan berkomunikasi dengan rakan yang sinikal, mahupun rakan yang kurang beruntung. Pelajar cemerlang akan berusaha untuk muncul sebagai peribadi rujukan yang mampu mempengaruhi lebih ramai pelajar supaya bersikap positif dalam menimba pengalaman pembelajaran di sekolah. Mereka tidak perlu membutirkan tunjuk ajar, sebaliknya cukup dengan pencapaian dan tingkah laku yang disenangi. Pelajar cemerlang mementingkan ketepatan masa, dan sentiasa melaksanakan sesuatu tugasan sesempurna mungkin. Pelajar cemerlang tidak seperti "melepaskan batok di tangga". Batok merujuk kepada bekas air basuhan kaki pada zaman dahulu yang dilempar semula ke bawah setelah seseorang itu menaiki tangga tanpa turun semula. Pelajar cemerlang juga menampilkan sahsiah yang mulia dan murni. Percakapan mereka dihiasi dengan sopan santun bagaikan butir-butir mutiara yang berharga. Rakan akan berasa selamat dan dilindungi kerana mereka akan hanya mendengar hal yang baik-baik, serta tidak mengalami provokasi yang tidak berfaedah. Sudah tentu, sebagai manusia biasa, pelajar cemerlang tetap memiliki kelemahan tertentu, tetapi mereka akan cuba melakukan kawalan sebaik mungkin supaya tidak mendatangkan mudarat kepada mana-mana pihak. Pelajar cemerlang selanjutkan menampilkan ciri asertif secara konsisten. Maksudnya, mereka sentiasa mengimbangi hak diri sendiri dengan hak orang lain. Mereka tidak bersikap agresif, iaitu hanya menjaga hak diri sendiri, atau bersikap permisif dengan hanya mementingkan hak orang lain semata-mata. Sikap asertif bererti tegas diri. Dengan sikap asertif, pelajar cemerlang sentiasa berupaya mempertahan pendirian, tetapi dalam masa yang sama menghormati pendapat yang berbeza. Mereka menyedari bahawa rambut sama hitam, tetapi hati lain-lain. Kesimpulannya, pelajar cemerlang memiliki sejumlah kualiti diri yang tinggi dari segi akademik, kokurikulum, disiplin dan sahsiah. Mereka menepati ciri-ciri modal insan minda kelas pertama yang disebut sebagai hala tuju pendidikan negara. Mereka menjadi harapan negara untuk meletakkan daya saing negara di pentas antarabangsa. Pelajar cemerlang tidak menganggap bahawa diri mereka serba sempurna, sebaliknya sentiasa berusaha melakukan penambahbaikan. Maka, wajar sekali ciri-ciri pelajar cemerlang dijadikan slogan dan tema untuk semua organisasi yang berkaitan dengan pendidikan.

1.signifikan: kepentingan 2. diadaptasikan: diubah suai 3. relevan: rasional, benar 4. menggesa: mendesak, mengarahkan 5. diimplementasikan: dilaksanakan 6. nafsi: pentingkan diri 7. dominan: berpengaruh 8. ironinya: sebaliknya, yang bertentangan 9. mangkin yang efektif: usaha yang berkesan 10. proaktif: maju 11. membejat: mengekang, mengatasi 12. sementelahan pula: tambahan lagi 13. kemenjadian: perihal menjadi, perihal sesuatu 14. agen perpaduan: pengaruh kesepunyaan kaum 15. nafsi perkauman: sifat kesepunyaan kaum 16. holistik: menyeluruh 17. rencaman: pelbagai 18. wadah: alat 19. kontemporari: zaman kini, era baru 20. meledakkan: meninggikan SINONIM 1. indikator: penunjuk, penanda aras 2. pro dan kontra: kebaikan dan keburukan 3. mengobservasi: memantau, melihat 4. ikhtiar: langkah-langkah, usaha 5. menekan kemajuan: memperlahankan 6. marcapada: kini 7. cenderung: lebih gemar 8. menggunung: banyak, membukit 9. kotak pemikiran: pemikiran 10. tulang belakang: tunjang, sendi utama 11. norma: adat, kebiasaan 12. eksploitasi: mengambil kesempatan 13. sebagai intiha: sebagai contoh 14. variasi: pelbagai, berbagai-bagaibh; 15. polemik: isu 16. efektif: berkesan 17. memandang sebelah mata: melihat mudah, tidak serius 18. memacu: menyokong, mendorong 19. rumpun: negara 20. pentarbiahan: pendidikan 21. keterjelmaan: kejayaan, keterampilan SINONIM 1.heterogen- pelbagai, berbagai-bagai 2.ghalibnya- lazimnya, biasanya 3.ruwet- sukar, susah 4.eksplisit- dinyatakan secara jelas, tiada selindung 5.nafsi- pentingkan diri 6.izhar- jelas 7.pragmatis- praktikal 8.mangkin yang efektif- usaha yang berkesan 9.evasif- mengelak, menghindarkan 10.signifikan- kepentingan 11.pidana- jenayah, kesalahan

You might also like