You are on page 1of 15

RUSYDAN TERUSKAN AKTIVITI TANPA NAHAR KESEDIHAN yang menimpa salah seorang anggota kumpulan nasyid Rusydan iaitu

Nahar Niamad tidak melemahkan semangat empat lagi rakannya untuk memenuhi undangan menyanyi sempena bulan Ramadan ini. Nahar yang kini berada di Kedah masih bersedih kerana rumah yang didiami keluarganya telah terbakar, pada 13 Januari yang lalu. Sewaktu kejadian berlaku, Nahar dan anggota kumpulan Rusydan yang lain sedang menjalani penggambaran klip video untuk siaran TV2, RTM. Setelah mendapat tahu berita demikian, dia bergegas pulang ke Kedah. Ekoran kejadian itu, Nahar terpaksa berehat daripada memenuhi undangan menyanyi dan empat lagi anggota Rusydan iaitu Sayudi, Zaiyad, Nasruddin dan Ammar tetap meneruskan aktiviti mereka. Bermula malam ini hingga 23 Januari ini, kumpulan Rusydan bersama-sama kumpulan nasyid wanita, An-Nur telah diberi peluang menghiburkan tetamu yang hadir berbuka puasa di Grand Ballroom, Hotel Legend, Kuala Lumpur. Pengurus Eksekutif Promosi Sony Music, Mohd Ridzuan Abdul Rahman, berkata, kumpulan Rusydan dan An-Nur telah terpilih untuk mengadakan persembahan di hotel itu kerana pihak Hotel Legend telah berpuas hati dengan persembahan mereka sewaktu syarikat rakaman Sony Music mengadakan majlis berbuka puasa di tempat yang sama. Antara mereka yang dijangka akan mengadakan persembahan bersama-sama An-Nur dan Rusydan ialah Anny Johanna, Ina, Arani dan juga Hawa

Wirdani Paling Ramai Peminat Lelaki TERDAPAT banyak kumpulan nasyid yang muncul dalam industri muzik tempatan sejak tahun 1997. Walau bagaimanapun, hampir 90 peratus dari kumpulan nasyid yang tampil terdiri daripada kalangan lelaki. Meskipun didominasi oleh lelaki, tetapi Wirdani membuktikan bahawa kumpulan nasyid wanita seperti mereka juga mampu mencuri hati para pendengar. Malah, Wirdani berjaya mengumpul ramai peminat terutamanya lelaki. ``Kebanyakan para peminat kami terdiri daripada kalangan remaja lelaki. Perkara itu dapat dilihat daripada surat-surat yang kami terima. ``Selain itu, peminat kami juga ramai yang terdiri daripada golongan kanak-kanak. Ada di antara mereka yang mahu menjadikan kami sebagai kakak angkat,'' kata Shida dalam satu pertemuan dengan Utusan Malaysia baru-baru ini. Menurut Shida atau nama sebenarnya Nur Shahida Mohd. Rashid, 18, fenomena itu menyebabkan Wirdani harus bijak mengetengahkan konsep irama yang sesuai untuk peminat mereka. ``Sebelum ini kami merancang mahu mengetengahkan irama qasidah dalam album kedua kami yang berjudul Iman. ``Kami mendapati para pendengar terutamanya remaja mungkin agak sukar menerima konsep irama nasyid yang sebegitu. ``Kami kemudiannya mengambil keputusan menampilkan irama nasyid pop kontemporari kerana ia lebih mudah diterima ramai,'' ujar Shida. Selain Shida, Wirdani yang turut dianggotai oleh Farra Emi Hassan dan Norbairaha Mohd. Kassim ini pernah muncul dengan album pertama berjudul Ikatan Murni pada November 2002. Manakala, lagu-lagu yang dimuatkan menerusi album Iman ialah Sepertiga Malam, Pesanan Nabi, Memohon, Kita Insan, Ayah, Iman Dan Taqwa, Insaf, Hanya Satu Persinggahan, Padanya Jua dan Ya.. Nabi Ya.. Salam. Iman yang diterbitkan oleh Ebby Zar dan Tawfiq akan berada di pasaran mulai 28 Disember ini.

SABDA TERUSKAN MISI PERJUANGAN NASYID JALAN yang telah direntasi oleh kumpulan terdahulu seperti Raihan, Rabbani, Brothers dan Hijjaz perlu diteruskan oleh generasi baru yang mahu berjuang dengan irama nasyid. Walaupun menerima banyak persai-ngan daripada irama lain, lagu-lagu nasyid perlu terus bertahan di tengah-tengah pasaran album di negara ini. Memikirkan mereka bertanggungjawab untuk terus mempopularkan irama nasyid kepada masyarakat, empat remaja menubuhkan kumpulan Sabda untuk meneruskan misi mereka. Sabda merupakan singkatan kepada perkataan Semoga Allah Berkati Dunia Akhirat dan dianggotai oleh Arif Muazzam, Abdul Razak Abdul Muthalib, Mohd. Nizam Che Hassan dan Noor Azmir Zakaria. Dua daripada anggota kumpulan ini, Arif dan Razak merupakan penuntut di Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa (UIA), sementara selebihnya sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Album berjudul Perhitungan ini menggabungkan lagu-lagu klasik dan kontemporari yang sesuai dengan cita rasa seluruh masyarakat pendengar di alaf ini. ''Persembahan vokal dan harmoni yang seimbang dengan menekankan lirik yang mendidik, menjadikan album ini sesuai untuk seisi keluarga,'' jelas salah seorang anggota kumpulan itu, Arif. Mereka turut mempunyai pendapat yang tersendiri dengan memilih perkataan Perhitungan sebagai judul album pertama ini. ''Perhitungan adalah muhasabah diri, didikan hati dan menginggatkan manusia tentang fitrah kejadiannya. Ia mendekatkan manusia dengan Penciptanya dan menyemarakkan bumi ini dengan kasih sayang dan saling hormat-menghormati sesama insan,'' jelasnya lagi. Album yang diterbitkan oleh Anugerah Media Network Sdn. Bhd. ini telah dilancarkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah, Mergong, Alor Setar, baru-baru ini. ''Kami memilih untuk melancarkan album di sekolah tersebut kerana mempunyai kenangan manis di situ. ''Bakat dan kebolehan kami digilap sejak bersama kumpulan Al-Faradis yang anggotanya merupakan penuntut di sekolah berkenaan suatu ketika dahulu,'' jelas Ariff. Antara lagu yang terdapat di dalam album ini ialah Sahabat, Cetuskan Kasih Sayang, Anugerah, Melodi Untukmu Teman dan Sahabat.

Syafeera berdakwah melalui nasyid

IRAMA nasyid merupakan muzik universal. Tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. Di Malaysia sendiri, lagu berunsurkan dakwah dan ketuhanan ini sentiasa mendapat sambutan walaupun sudah pelbagai genre muzik baru yang hadir. Lihat saja kejayaan kumpulan nasyid seperti Raihan dan Rabbani. Bertahun-tahun mereka di industri muzik, namun masih tetap mendapat tempat di hati orang ramai. Namun, walaupun kumpulan-kumpulan nasyid ini masih bertahan dalam industri, kumpulan nasyid wanita masih belum ada yang menyerlah dan bertahan lama. Jika 30 tahun dahulu, kumpulan-kumpulan nasyid wanita seperti Al-Mizan, Al-Jawaher dan Hidayah mencipta nama sehingga masih diingati sehingga sekarang walaupun SYAFEERA dianggotai (dari ketika itu irama nasyid belum lagi menjadi sepopular kiri) Ekin, Leeya, Zana dan Seti. seperti hari ini. Tetapi, senario kumpulan nasyid wanita ini hadir sekadar trend sahaja. Tidak bertahan lama seiring dengan kumpulan nasyid lelaki. Bagi mengembalikan kegemilangan kumpulan nasyid wanita, kumpulan nasyid Syafeera yang berasal dari Batu Pahat, Johor ini begitu optimis dengan apa yang mereka bawa ke dalam industri seni ini. Dianggotai oleh empat orang wanita iaitu Seti Syuhada Zakaria atau Seti, Norashikin Abdullah (Ekin), Dahliana Robani (Leeya) dan Zanariyah Ngarit (Zana), Syafeera hadir dengan album sulung mereka yang bertajuk Cahaya Solat. Menurut Leeya selaku ketua kumpulan Syafeera, mereka menghasilkan album bukanlah kerana ingin mengejar populariti tetapi sebagai salah satu cara mereka berdakwah kepada orang ramai melalui pendekatan irama nasyid. "Disamping itu kehadiran kami dalam industri ini sebagai langkah pertama dalam usaha memartabatkan irama tersebut supaya semua golongan dapat menerima lagu nasyid ini sebagai pendidik jiwa kepada masyarakat," kata Leeya. Memperjuangkan Menurut Leeya, mereka juga ingin bersama-sama memperjuangkan irama nasyid wanita, memandangkan pada masa ini, nasyid wanita sangat berkurangan. "Kami berharap kehadiran Syafeera dapat diterima dan semua lagu-lagu yang kami sampaikan akan dijadikan iktibar, nasihat dan teladan dalam memilih hiburan yang baik dan bermanafaat," ujar Leeya.

Menyingkap penubuhan Syafeera, Leeya berkata, kumpulan berkenaan tercetus apabila Abdul Halim Abdullah atau Aim Crossfire, mendengar nyanyian Leeya di Quantize Studio & Productions ketika Leeya datang bersama ahli keluarganya. Kelunakan suaranya menggamit Aim untuk menubuhkan kumpulan nasyid wanita. Leeya mengatur langkah dengan mengajak rakannya, Seti untuk menyertainya. Seti pula yang merupakan guru sekolah agama mempelawa rakan seangkatannya, Zana untuk turut sama menyertai menyertai Syafeera. Keindahan nama Syafeera dipetik daripada satu nama bunga. Ia umpama kumpulan berkenaan yang dianggotai kaum hawa dan namanya diberikan Aim sendiri. Mengekalkan konsep nasyid tradisional, Syafeera tampil dengan album Cahaya Solat bulan Mei lalu yang memuatkan empat lagu seperti Cahaya Solat, Carilah Ilmu, Ku Mohon dan Dendang Nasihat. Persembahan Lagu-lagu mereka kini sering disiarkan di IKIM.fm dan Selangor FM, Melaka FM dan Negeri Sembilan FM. Sebelum menghasilkan album ini, Syafeera aktif menyertai pertandingan-pertandingan nasyid dan sering mengadakan persembahan di sekitar Johor. Antara pertandingan yang pernah disertai Syafeera ialah johan Pertandingan Nasyid Wanita Piala Ahli Parlimen Batu Pahat, naib johan Pertandingan Nasyid Moden Jabatan Agama Islam Johor, Marhaban di Astro dan johan Pertandingan Nasyid Wanita Peringkat Kebangsaan di Festival Kebudayaan dan Kesenian Islam anjuran Pertubuhan Himpunan Budayawan Johor. Mengulas tentang radio-radio mengutamakan untuk memainkan lagu kumpulan nasyid lelaki sahaja, Seti berkata, peluang harus diberikan sama-rata kerana tujuan mereka sama iaitu untuk berdakwah. "Hak berdakwah itu bukan hanya terletak di bahu lelaki semata-mata. Golongan wanita juga mempunyai ruang untuk berbuat demikian. "Lagipun, bukannya kami mengalunkan lagu yang boleh membuatkan orang ramai sampai teruja berlebih-lebihan. "Selagi batas agama dijaga, kami juga mempunyai hak untuk muncul di pentas menyampaikan lagu berunsur dakwah kepada khalayak," ujar Seti yang bergelar seorang ustazah.

Nasyid Inggeris ke pasaran dunia Begitu juga dengan Soft-H Production yang merancang strategi pemasaran tertentu sebelum mengambil keputusan menerbitkan album nasyid berbahasa Inggeris nyanyian kumpulan Maghfirah. Kerana realistik dengan kesukaran untuk melariskan album berbahasa Inggeris tempatan di negara ini, pihak syarikat berkenaan mengalih pandangan untuk mengedarkan album Maghfirah ke luar negara. Menurut pengarah syarikat itu, Hassan Abdul Hamid, tumpuan utama pengedaran album Maghfirah adalah untuk pasaran Amerika Syarikat. Ujarnya, di Amerika Syarikat, rangkaian kedai-kedai yang mengedar dan menjual barangan untuk Muslim cukup banyak dan aktif. Memandangkan album Maghfirah tidak diedarkan secara komersial seperti kebanyakan album kumpulan nasyid lain, Hassan mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan beberapa syarikat di luar negara. ''Sebelum ini syarikat kami banyak mengeluarkan produk multimedia seperti CD Room dan sebagainya. Menerusi internet pula, kami dapat mencari rangkaian kedai-kedai yang menjual barangan Muslim di negara luar dan juga produk-produk yang mereka ada,'' ujarnya. Namun katanya belum ada satu album yang memuatkan lagu-lagu nasyid dalam bahasa Inggeris yang dipasarkan di luar negara. ''Kami berharap album Maghfirah ini akan menjadi produk yang dinanti-nantikan oleh muslim di negara luar,'' ujar Hassan Dia menjelaskan, album Maghfirah diedarkan oleh syarikat Khatoons Inc. di Amerika Syarikat iaitu sebuah syarikat yang mengedar barangan muslim dan mempunyai banyak rangkaian di seluruh dunia. Katanya, menerusi kerjasama dengan syarikat Khatoons Inc. itu, secara tidak langsung album Maghfirah terjual di negara-negara lain yang ada rangkaiannya. Menurut Hassan lagi, kumpulan Maghfirah diwujudkan sewaktu lima anggotanya terlibat dalam menyanyikan lagu-lagu dan bacaan doa serta hadis yang dimuatkan dalam CD Rom terbitan syarikat itu tidak lama dulu. ''Disebabkan masih banyak lagu yang belum dinyanyikan, kami berpendapat agar ditubuhkan sebuah kumpulan yang menggabungkan kelima-lima anggota ini,'' ujar Hassan yang turut muncul sebagai penyanyi undangan dalam lagu Your Forgiveness. Kumpulan Maghfirah dianggotai oleh Azlan Jaafar, Zulkiman Zainain @ Zainon, Khairul Anwar Ariffin dan Mazli Mohammed. Album sulung Maghfirah berkonsepkan acapella, nasyid klasik dan kontemporari. Jelas Haji Hassan, nama Maghfirah diperolehi kerana rakaman album sulung kumpulan itu dibuat pada bulan Ramadan.

''Oleh kerana Ramadan digelar bulan keampunan, kami memilih nama Maghfirah yang membawa maksud keampunan,'' katanya. Pada masa ini kata Hassan, album Maghfirah tidak terlalu menonjol di pasaran tempatan kerana promosi dibuat di luar negara. Menurutnya, walaupun tumpuan utama dibuat di luar negara tetapi Maghfirah turut diundang dalam program televisyen dan juga acara kebudayaan Islam yang lain.

Solehah... berazam catat populariti


Kalau dalam lagu-lagu pop, kebiasaannya artis wanita mengatasi populariti artis lelaki. Malah terdapat banyak artis wanita yang belum ada album pun sudah dikenali ramai berbanding artis lelaki yang telah merakamkan album. Tetapi keadaan ini jauh berbeza dengan perkembangan lagulagu nasyid kerana kumpulan penyanyi lelaki mengatasi populariti kumpulan nasyid wanita. Bagi sebuah kumpulan nasyid wanita, Solehah keadaan itu memang mendukacitakan tetapi mereka tidak pernah berputus asa untuk meletakkan diri setaraf dengan populariti artis lelaki. Malah mereka tidak nampak suatu yang boleh dijadikan halangan yang membezakan antara kumpulan nasyid lelaki dengan wanita di negara ini. Bagaimanapun mereka percaya semua ini perlu diatasi dengan memberikan sesuatu yang menepati selera pendengar dan tahap mutu yang membanggakan.

Kumpulan Solehah.

Ketika ini kebanyakan lagu-lagu nasyid tempatan dimonopoli oleh kumpulan lelaki seperti Raihan, Rabbani, Hijjaz, In-Team dan banyak lagi. Populariti kumpulan lelaki menyebabkan peminat seni tidak begitu memberi perhatian pada kumpulan nasyid wanita termasuk Solehah. Kerana itu tidak hairanlah kumpulan nasyid wanita seperti Huda dan Solehah umpamanya kehilangan arah dalam menentukan karier masing-masing. Sekali pandang kehadiran mereka tidak ubah seperti tempelan dalam lagu-lagu nasyid tempatan. Atau dianggap sebagai tumpang memeriahkan suasana persada seni. Biarpun tumpuan diberi kepada kumpulan nasyid lelaki, namun bagi empat gadis remaja dari kumpulan Solehah tidak berputus asa malah lebih bersemangat untuk muncul sebagai kumpulan popular. Tetapi Solehah enggan dianggap menyanyikan lagu-lagu dakwah sebaliknya mereka menyanyikan satu aliran lagu yang ada elemen muzik dari timur tengah. Ini kerana semua lagu yang liriknya baik adalah menyampaikan pesanan yang baik kepada pendengar. Bagi Wan Elani Mazlan (Wan), Farra Emi Hassan (Farra), Nur Shaida Mohd Rashid (Ida) dan Nor Razlinda Razli (Bienda) ketandusan kumpulan nasyid wanita dalam industri muzik tempatan menguatkan lagi semangat mereka untuk menyanyi lagu nasyid. Kata Bienda, Solehah tetap bersyukur kerana kehadiran mereka dalam bidang nyanyian khususnya nasyid sedikit sebanyak mendapat perhatian peminat lagu-lagu nasyid. Bagi mereka, nasyid adalah satu aliran muzik yang unik dan sesuai dengan persekitaran budaya di negara ini. Mereka menganggap muzik nasyid sebagai alternatif untuk mengambil tempat di hati peminat remaja selain terdedah kepada lagu-lagu yang membawa semangat dan nilai dari luar.

Untuk itu sebagai usaha meneruskan penglibatan dalam bidang seni, Solehah yang dianggotai oleh pelajar tingkatan empat dan lima dari Sekolah Menengah Bandar Baru Sentul ini tampil dengan album Koleksi Terbaik Solehah. Menerusi album yang memuatkan lagu-lagu popular dari album 25 Nabi, Nikmat Allah dan Alaf Baru 2000 itu terdapat tiga buah lagu baru iaitu Sabarlah Kasih, Rukun Islam Dan Rukun Iman dan Sembahyang. Tiga buah lagu yang menampilkan rentak perlahan, rancak dan latin telah dirakam sejak Julai lalu. ``Album ini dihasilkan sebagai pengenalan Solehah bersama syarikat MSO. Selepas ini barulah kami diberi peluang tampil dengan album baru,'' jelas Bienda. Bienda, anak kepada penyanyi Sheeda sebelum ini heboh dikatakan akan keluar daripada Solehah. Bagaimanapun hasratnya itu ditarik balik kerana Bienda masih sayang kepada rakan-rakan Solehah dan ingin menempuh kejayaan bersama mereka. Ujarnya, tidak guna dia keluar daripada Solehah kerana antara mereka saling memerlukan antara satu dengan lain. Meskipun kesemua mereka sibuk melakukan promosi dan persembahan di hujung minggu, namun Solehah tidak pernah abaikan pelajaran. Wan yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada bulan November ini juga berazam mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. Baginya, hasrat utama ialah untuk meletakkan Solehah sebagai model remaja yang berjaya dalam pelajaran dan juga bidang seni dengan pendekatan yang tidak melanggar etika budaya dan sosial tempatan.

Solehah mahu menjadi contoh


Gelaran sebagai artis tidak melalaikan kumpulan Solehah malah akan terus menjadi contoh yang baik terutamanya kepada rakan-rakan sebaya mereka. Sebagai sebuah kumpulan nasyid, Solehah memberi nasihat dan peringatan kepada orang lain dan diri sendiri menerusi lagulagu mereka. Kumpulan nasyid wanita yang popular dengan lagu 25 Nabi ini semakin mendapat perhatian kerana penampilan mereka yang kemas bertudung dan mampu menyampaikan lagu nasyid dengan baik. Kekuatan vokal dan lagu yang terdapat dalam album pertama Solehah banyak membantu kejayaan mereka. ''Kami tidak anggap Solehah sudah popular kerana anggapan itu mungkin akan melalaikan. Namun kami amat bersyukur kerana peminat dapat menerima kehadiran Solehah dan juga lagu-lagu kami diminati,'' ujar salah seorang anggotanya, Hafiza, 13. Selain Hafiza, Solehah turut dianggotai oleh Maisarah, 14, Nor Razlinda, 13 dan Tengku Najihah, 13. Selepas berjaya dengan album pertama, Solehah akan merakamkan album kedua tidak lama lagi. Sekarang ini, penerbit album mereka, Fazly sedang sibuk mengumpul lagu. ''Tidak ada rahsia tertentu di atas kejayaan ini. Namun kami bersyukur kerana kehadiran pertama ini sudah diterima. Mungkin lagu nasyid yang kami tampilkan agak berbeza dengan yang lain.Agaknya itulah salah satu tarikan untuk peminat mendapatkan album kami,'' kata Hafiza. Kesemua anggota kumpulan ini masih lagi bersekolah dan aktif dalam kegiatan ko-kurikulum. Tiga daripada mereka bersekolah di Kuala Lumpur manakala Tengku Najihah masih menetap di Terenggganu. Walaupun Najihah tinggal berjauhan dengan rakan yang lain tetapi dia akan datang ke Kuala Lumpur jika ada promosi album atau pertunjukan pentas. Sebagai artis, Solehah mahu muncul sebagai sebuah kumpulan yang berjaya dari semua segi. Walaupun hanya mempertaruhkan album dan lagu-lagu nasyid tetapi Solehah yakin lagu-lagu sedemikian akan terus diminati. ''Walaupun citarasa peminat seni tanah air sentiasa berubah-ubah tetapi saya yakin, lagu-lagu nasyid tidak akan bermusim,'' kata Hafiza lagi. Sebagai pelajar pula, Solehah tidak mahu terlalu menonjolkan diri sebagai seorang artis di kawasan sekolah.

'''Sewaktu di sekolah, kami adalah seperti pelajar yang lain juga. Sebelum merakamkan album, kami memang sudah aktif dengan kumpulan-kumpulan nasyid di sekolah. Cuma bezanya sekarang ini kami sudahpun mempunyai album sendiri. Di sekolah, kami boleh menubuhkan kumpulan nasyid masing-masing,'' sambung Razlinda.

Nasyid segar dari Qathrunnada


Malah, industri muzik tempatan yang selama ini dipelopori aliran muzik pop dan rock turut dicorakkan dengan penampilan beberapa buah kumpulan nasyid lain yang turut memeriahkan industri. Atas sambutan menggalakkan ini juga, banyak kumpulan nasyid muncul ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan. Sebuah lagi kumpulan nasyid baru yang menggelarkan diri mereka Qathrunnada yang membawa maksud titisan embun yang sifatnya suci, bersih, sejuk lagi menyegarkan turut ingin memeriahkan dunia hiburan bercorak keislaman di negara ini. Kemunculan album sulung mereka berjudul Cinta Agung dijangka akan diterima peminat, memandangkan kelainan persembahan yang ditampilkan berbanding kumpulan nasyid yang sedia ada. Keistimewaan kumpulan ini selain mengetengahkan keagungan ketuhanan, mereka juga mengajak peminat supaya senantiasa mengingati tuhan di mana sahaja mereka berada menerusi lagu-lagu yang ditampilkan. Mengejar populariti bukan misi utama kumpulan ini, sebaliknya tujuan mereka adalah untuk mengembalikan fitrah semulajadi manusia menerusi hiburan, di samping mengembangkan muzik Islam. "Sekarang ini kalau kita lihat, masyarakat kita sudah terlalu banyak dihidangkan dengan hiburan yang melalaikan dan kemunculan kami dengan album Cinta Agung ini untuk seimbangkan hiburan dunia dan akhirat,'' kata Abu Rahawah atau lebih senang dengan panggilan Abang. Muzik yang ditampilkan oleh kumpulan ini juga agak berbeza dengan kumpulan nasyid lain, walaupun menampilkan konsep kontemporari, namun kumpulan ini turut menggunakan alatalat muzik yang dibenarkan oleh syariat sahaja. "Kami lebih menonjolkan vokal daripada muzik kerana kami menganggap seni kata nasyid sebenarnya yang lebih banyak memberi kesan pada jiwa pendengar berbanding alat muzik yang digunakan,'' tambah abang lagi. Kemunculan mereka dalam industri juga bukanlah untuk bersaing dengan kumpulan nasyid yang sedia ada, sebaliknya mereka mahu bersama-sama mengembangkan syiar Islam. Kumpulan ini juga turut dianggotai oleh empat anak ustaz As'aari, selain abang turut menganggotai kumpulan ini adalah Nik Norfairuz, Muhammad Arqam, Othman Affan, Muhammad Atho'ullah dan Muhammad Qudamah. Kesemua ahli kumpulan nasyid ini masih lagi menuntut. Qathrunnada juga mengharapkan kehadiran mereka di dalam industri dapat diterima baik terutama bagi peminat lagu-lagu nasyid.

Berdakwah melalui lagu


Nama kumpulan ini mungkin agak kelakar dan boleh membuatkan segelintir pihak ketawa apabila mende-ngarnya. Namun inilah yang menjadi identiti unik ABC Band yang berasal dari Batu Pahat, Johor. Kumpulan yang dianggotai oleh Mohd Failus Mohd Salleh (bass), Ahmad Nazri Khamis (vokal), Sheikh Fauzi Ali (penyanyi), Kamarudin Kepol (penyanyi), Samsuddin Ishak (gitar), Mohd Noorhazimin Umarhan (keyboard) dan Azhar Amin (drum) ini tidak kisah dikaitkan dengan apa juga persepsi. Bagi mereka yang penting nama ini senang disebut, mudah diingati dan apabila terlihat abjad ini, serta merta orang akan terbayangkan kumpulan mereka yang tampil dengan konsep rock rohani. Kami sengaja pilih nama ini kerana ia paling mudah disebut dan diingati oleh setiap orang. Kami sikit pun tak kisah dan terasa hati kalau ada yang mengaitkan nama ini dengan air batu campur atau sebagainya. Sebenarnya nama ini dipilih kerana kami turut menggunakan tiga vokalis. Kami mula ditubuhkan sejak 8 Mac 2009 dan sehingga kini masih dianggotai oleh pemuzik asal. Bahkan kami boleh dikatakan berpengalaman luas dalam bidang muzik, kata Mohd Failus selaku ketua kumpulan. Kumpulan yang bernaung dibawah Quantize Studio & Production dan Otai Studio ini baru saja menghasilkan album pertama berjudul 4U Gaza terbitan Aim Crossfire. Ia mengandungi lagu Mengenal Diri, Disapa Hidayah, Orang Muda Geng Kita, Mencari Cahaya, Selamanya, Anugerah Maha Esa, Syahidlah Daku dan Aku Pejuang Islam. ABC Band sememangnya mengagumi kumpulan otai seperti Search dan Wings. Namun kami memilih pendekatan muzik berbeza bagi menyampaikan dakwah kepada pendengar. Kami mahu berdakwah secara tak langsung menerusi lagu. Kami ada bakat dalam seni, jadi kami mahu menggunakan sebagai satu saluran untuk mengajak pendengar ke arah nilai positif. Selain itu, kami juga simpati melihat perjuangan masyarakat di Gaza dan bersimpati dengan mereka. Jadi untuk setiap jualan dan persembahan kami, akan ada pengagihan buat mereka. Biarpun tampil dengan konsep rock, ABC Band bukanlah sebuah kumpulan yang agresif. Sebaliknya persembahan kami tetap mengikut norma dan adab sopan serta etika yang ditetapkan oleh syarikat rakaman, katanya. Menurut Mohd Failus lagi, ABC Band beruntung kerana impian untuk merakam album sendiri akhirnya menjadi kenyataan. Hasrat yang sudah lama terpendam ini menjadi kenyataan apabila ditemukan dengan Aim. Kami berjumpa dengannya pada 12 November lalu dan dari situlah dia membawa kami

kepada Otai Studio. Sebelum ini kami memang ada cita-cita nak hasilkan album tapi tak berjumpa jalannya. Namun, kini, segala-galanya berubah dengan pembabitan Aim. Kami semuanya bekerja sendiri dan bekerja tetap dan tiada masalah berkorban masa untuk mempromosi album dan menjayakan persembahan. Setakat ini kamu sudah buat persembahan di sekitar Johor dan Kuala Lumpur, katanya. Sebagai pengenalan, ABC Band akan mempromosi empat lagu mereka iaitu Syahidlah Daku, Orang Muda Geng Kita, Disapa Hidayah dan Aku Pejuang Islam menerusi Youtube. Menerusi cara ini, mereka berharap akan dikenali dan diterima secara meluas oleh pelbagai golongan peminat. Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/14