You are on page 1of 35

RUSYDAN TERUSKAN AKTIVITI TANPA NAHAR KESEDIHAN yang menimpa salah seorang anggota kumpulan nasyid Rusydan iaitu

Nahar Niamad tidak melemahkan semangat empat lagi rakannya untuk memenuhi undangan menyanyi sempena bulan Ramadan ini. Nahar yang kini berada di Kedah masih bersedih kerana rumah yang didiami keluarganya telah terbakar, pada 13 Januari yang lalu. Sewaktu kejadian berlaku, Nahar dan anggota kumpulan Rusydan yang lain sedang menjalani penggambaran klip video untuk siaran TV2, RTM. Setelah mendapat tahu berita demikian, dia bergegas pulang ke Kedah. Ekoran kejadian itu, Nahar terpaksa berehat daripada memenuhi undangan menyanyi dan empat lagi anggota Rusydan iaitu Sayudi, Zaiyad, Nasruddin dan Ammar tetap meneruskan aktiviti mereka. Bermula malam ini hingga 23 Januari ini, kumpulan Rusydan bersama-sama kumpulan nasyid wanita, An-Nur telah diberi peluang menghiburkan tetamu yang hadir berbuka puasa di Grand Ballroom, Hotel Legend, Kuala Lumpur. Pengurus Eksekutif Promosi Sony Music, Mohd Ridzuan Abdul Rahman, berkata, kumpulan Rusydan dan An-Nur telah terpilih untuk mengadakan persembahan di hotel itu kerana pihak Hotel Legend telah berpuas hati dengan persembahan mereka sewaktu syarikat rakaman Sony Music mengadakan majlis berbuka puasa di tempat yang sama. Antara mereka yang dijangka akan mengadakan persembahan bersama-sama An-Nur dan Rusydan ialah Anny Johanna, Ina, Arani dan juga Hawa

Wirdani Paling Ramai Peminat Lelaki TERDAPAT banyak kumpulan nasyid yang muncul dalam industri muzik tempatan sejak tahun 1997. Walau bagaimanapun, hampir 90 peratus dari kumpulan nasyid yang tampil terdiri daripada kalangan lelaki. Meskipun didominasi oleh lelaki, tetapi Wirdani membuktikan bahawa kumpulan nasyid wanita seperti mereka juga mampu mencuri hati para pendengar. Malah, Wirdani berjaya mengumpul ramai peminat terutamanya lelaki. ``Kebanyakan para peminat kami terdiri daripada kalangan remaja lelaki. Perkara itu dapat dilihat daripada surat-surat yang kami terima. ``Selain itu, peminat kami juga ramai yang terdiri daripada golongan kanak-kanak. Ada di antara mereka yang mahu menjadikan kami sebagai kakak angkat,'' kata Shida dalam satu pertemuan dengan Utusan Malaysia baru-baru ini. Menurut Shida atau nama sebenarnya Nur Shahida Mohd. Rashid, 18, fenomena itu menyebabkan Wirdani harus bijak mengetengahkan konsep irama yang sesuai untuk peminat mereka. ``Sebelum ini kami merancang mahu mengetengahkan irama qasidah dalam album kedua kami yang berjudul Iman. ``Kami mendapati para pendengar terutamanya remaja mungkin agak sukar menerima konsep irama nasyid yang sebegitu. ``Kami kemudiannya mengambil keputusan menampilkan irama nasyid pop kontemporari kerana ia lebih mudah diterima ramai,'' ujar Shida. Selain Shida, Wirdani yang turut dianggotai oleh Farra Emi Hassan dan Norbairaha Mohd. Kassim ini pernah muncul dengan album pertama berjudul Ikatan Murni pada November 2002. Manakala, lagu-lagu yang dimuatkan menerusi album Iman ialah Sepertiga Malam, Pesanan Nabi, Memohon, Kita Insan, Ayah, Iman Dan Taqwa, Insaf, Hanya Satu Persinggahan, Padanya Jua dan Ya.. Nabi Ya.. Salam. Iman yang diterbitkan oleh Ebby Zar dan Tawfiq akan berada di pasaran mulai 28 Disember ini.

SABDA TERUSKAN MISI PERJUANGAN NASYID JALAN yang telah direntasi oleh kumpulan terdahulu seperti Raihan, Rabbani, Brothers dan Hijjaz perlu diteruskan oleh generasi baru yang mahu berjuang dengan irama nasyid. Walaupun menerima banyak persai-ngan daripada irama lain, lagu-lagu nasyid perlu terus bertahan di tengah-tengah pasaran album di negara ini. Memikirkan mereka bertanggungjawab untuk terus mempopularkan irama nasyid kepada masyarakat, empat remaja menubuhkan kumpulan Sabda untuk meneruskan misi mereka. Sabda merupakan singkatan kepada perkataan Semoga Allah Berkati Dunia Akhirat dan dianggotai oleh Arif Muazzam, Abdul Razak Abdul Muthalib, Mohd. Nizam Che Hassan dan Noor Azmir Zakaria. Dua daripada anggota kumpulan ini, Arif dan Razak merupakan penuntut di Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa (UIA), sementara selebihnya sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Album berjudul Perhitungan ini menggabungkan lagu-lagu klasik dan kontemporari yang sesuai dengan cita rasa seluruh masyarakat pendengar di alaf ini. ''Persembahan vokal dan harmoni yang seimbang dengan menekankan lirik yang mendidik, menjadikan album ini sesuai untuk seisi keluarga,'' jelas salah seorang anggota kumpulan itu, Arif. Mereka turut mempunyai pendapat yang tersendiri dengan memilih perkataan Perhitungan sebagai judul album pertama ini. ''Perhitungan adalah muhasabah diri, didikan hati dan menginggatkan manusia tentang fitrah kejadiannya. Ia mendekatkan manusia dengan Penciptanya dan menyemarakkan bumi ini dengan kasih sayang dan saling hormat-menghormati sesama insan,'' jelasnya lagi. Album yang diterbitkan oleh Anugerah Media Network Sdn. Bhd. ini telah dilancarkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah, Mergong, Alor Setar, baru-baru ini. ''Kami memilih untuk melancarkan album di sekolah tersebut kerana mempunyai kenangan manis di situ. ''Bakat dan kebolehan kami digilap sejak bersama kumpulan Al-Faradis yang anggotanya merupakan penuntut di sekolah berkenaan suatu ketika dahulu,'' jelas Ariff. Antara lagu yang terdapat di dalam album ini ialah Sahabat, Cetuskan Kasih Sayang, Anugerah, Melodi Untukmu Teman dan Sahabat.

Syafeera berdakwah melalui nasyid

IRAMA nasyid merupakan muzik universal. Tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. Di Malaysia sendiri, lagu berunsurkan dakwah dan ketuhanan ini sentiasa mendapat sambutan walaupun sudah pelbagai genre muzik baru yang hadir. Lihat saja kejayaan kumpulan nasyid seperti Raihan dan Rabbani. Bertahun-tahun mereka di industri muzik, namun masih tetap mendapat tempat di hati orang ramai. Namun, walaupun kumpulan-kumpulan nasyid ini masih bertahan dalam industri, kumpulan nasyid wanita masih belum ada yang menyerlah dan bertahan lama. Jika 30 tahun dahulu, kumpulan-kumpulan nasyid wanita seperti Al-Mizan, Al-Jawaher dan Hidayah mencipta nama sehingga masih diingati sehingga sekarang walaupun SYAFEERA dianggotai (dari ketika itu irama nasyid belum lagi menjadi sepopular kiri) Ekin, Leeya, Zana dan Seti. seperti hari ini. Tetapi, senario kumpulan nasyid wanita ini hadir sekadar trend sahaja. Tidak bertahan lama seiring dengan kumpulan nasyid lelaki. Bagi mengembalikan kegemilangan kumpulan nasyid wanita, kumpulan nasyid Syafeera yang berasal dari Batu Pahat, Johor ini begitu optimis dengan apa yang mereka bawa ke dalam industri seni ini. Dianggotai oleh empat orang wanita iaitu Seti Syuhada Zakaria atau Seti, Norashikin Abdullah (Ekin), Dahliana Robani (Leeya) dan Zanariyah Ngarit (Zana), Syafeera hadir dengan album sulung mereka yang bertajuk Cahaya Solat. Menurut Leeya selaku ketua kumpulan Syafeera, mereka menghasilkan album bukanlah kerana ingin mengejar populariti tetapi sebagai salah satu cara mereka berdakwah kepada orang ramai melalui pendekatan irama nasyid. "Disamping itu kehadiran kami dalam industri ini sebagai langkah pertama dalam usaha memartabatkan irama tersebut supaya semua golongan dapat menerima lagu nasyid ini sebagai pendidik jiwa kepada masyarakat," kata Leeya. Memperjuangkan Menurut Leeya, mereka juga ingin bersama-sama memperjuangkan irama nasyid wanita, memandangkan pada masa ini, nasyid wanita sangat berkurangan. "Kami berharap kehadiran Syafeera dapat diterima dan semua lagu-lagu yang kami sampaikan akan dijadikan iktibar, nasihat dan teladan dalam memilih hiburan yang baik dan bermanafaat," ujar Leeya.

Menyingkap penubuhan Syafeera, Leeya berkata, kumpulan berkenaan tercetus apabila Abdul Halim Abdullah atau Aim Crossfire, mendengar nyanyian Leeya di Quantize Studio & Productions ketika Leeya datang bersama ahli keluarganya. Kelunakan suaranya menggamit Aim untuk menubuhkan kumpulan nasyid wanita. Leeya mengatur langkah dengan mengajak rakannya, Seti untuk menyertainya. Seti pula yang merupakan guru sekolah agama mempelawa rakan seangkatannya, Zana untuk turut sama menyertai menyertai Syafeera. Keindahan nama Syafeera dipetik daripada satu nama bunga. Ia umpama kumpulan berkenaan yang dianggotai kaum hawa dan namanya diberikan Aim sendiri. Mengekalkan konsep nasyid tradisional, Syafeera tampil dengan album Cahaya Solat bulan Mei lalu yang memuatkan empat lagu seperti Cahaya Solat, Carilah Ilmu, Ku Mohon dan Dendang Nasihat. Persembahan Lagu-lagu mereka kini sering disiarkan di IKIM.fm dan Selangor FM, Melaka FM dan Negeri Sembilan FM. Sebelum menghasilkan album ini, Syafeera aktif menyertai pertandingan-pertandingan nasyid dan sering mengadakan persembahan di sekitar Johor. Antara pertandingan yang pernah disertai Syafeera ialah johan Pertandingan Nasyid Wanita Piala Ahli Parlimen Batu Pahat, naib johan Pertandingan Nasyid Moden Jabatan Agama Islam Johor, Marhaban di Astro dan johan Pertandingan Nasyid Wanita Peringkat Kebangsaan di Festival Kebudayaan dan Kesenian Islam anjuran Pertubuhan Himpunan Budayawan Johor. Mengulas tentang radio-radio mengutamakan untuk memainkan lagu kumpulan nasyid lelaki sahaja, Seti berkata, peluang harus diberikan sama-rata kerana tujuan mereka sama iaitu untuk berdakwah. "Hak berdakwah itu bukan hanya terletak di bahu lelaki semata-mata. Golongan wanita juga mempunyai ruang untuk berbuat demikian. "Lagipun, bukannya kami mengalunkan lagu yang boleh membuatkan orang ramai sampai teruja berlebih-lebihan. "Selagi batas agama dijaga, kami juga mempunyai hak untuk muncul di pentas menyampaikan lagu berunsur dakwah kepada khalayak," ujar Seti yang bergelar seorang ustazah.

Nasyid Inggeris ke pasaran dunia Begitu juga dengan Soft-H Production yang merancang strategi pemasaran tertentu sebelum mengambil keputusan menerbitkan album nasyid berbahasa Inggeris nyanyian kumpulan Maghfirah. Kerana realistik dengan kesukaran untuk melariskan album berbahasa Inggeris tempatan di negara ini, pihak syarikat berkenaan mengalih pandangan untuk mengedarkan album Maghfirah ke luar negara. Menurut pengarah syarikat itu, Hassan Abdul Hamid, tumpuan utama pengedaran album Maghfirah adalah untuk pasaran Amerika Syarikat. Ujarnya, di Amerika Syarikat, rangkaian kedai-kedai yang mengedar dan menjual barangan untuk Muslim cukup banyak dan aktif. Memandangkan album Maghfirah tidak diedarkan secara komersial seperti kebanyakan album kumpulan nasyid lain, Hassan mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan beberapa syarikat di luar negara. ''Sebelum ini syarikat kami banyak mengeluarkan produk multimedia seperti CD Room dan sebagainya. Menerusi internet pula, kami dapat mencari rangkaian kedai-kedai yang menjual barangan Muslim di negara luar dan juga produk-produk yang mereka ada,'' ujarnya. Namun katanya belum ada satu album yang memuatkan lagu-lagu nasyid dalam bahasa Inggeris yang dipasarkan di luar negara. ''Kami berharap album Maghfirah ini akan menjadi produk yang dinanti-nantikan oleh muslim di negara luar,'' ujar Hassan Dia menjelaskan, album Maghfirah diedarkan oleh syarikat Khatoons Inc. di Amerika Syarikat iaitu sebuah syarikat yang mengedar barangan muslim dan mempunyai banyak rangkaian di seluruh dunia. Katanya, menerusi kerjasama dengan syarikat Khatoons Inc. itu, secara tidak langsung album Maghfirah terjual di negara-negara lain yang ada rangkaiannya. Menurut Hassan lagi, kumpulan Maghfirah diwujudkan sewaktu lima anggotanya terlibat dalam menyanyikan lagu-lagu dan bacaan doa serta hadis yang dimuatkan dalam CD Rom terbitan syarikat itu tidak lama dulu. ''Disebabkan masih banyak lagu yang belum dinyanyikan, kami berpendapat agar ditubuhkan sebuah kumpulan yang menggabungkan kelima-lima anggota ini,'' ujar Hassan yang turut muncul sebagai penyanyi undangan dalam lagu Your Forgiveness. Kumpulan Maghfirah dianggotai oleh Azlan Jaafar, Zulkiman Zainain @ Zainon, Khairul Anwar Ariffin dan Mazli Mohammed. Album sulung Maghfirah berkonsepkan acapella, nasyid klasik dan kontemporari. Jelas Haji Hassan, nama Maghfirah diperolehi kerana rakaman album sulung kumpulan itu dibuat pada bulan Ramadan.

''Oleh kerana Ramadan digelar bulan keampunan, kami memilih nama Maghfirah yang membawa maksud keampunan,'' katanya. Pada masa ini kata Hassan, album Maghfirah tidak terlalu menonjol di pasaran tempatan kerana promosi dibuat di luar negara. Menurutnya, walaupun tumpuan utama dibuat di luar negara tetapi Maghfirah turut diundang dalam program televisyen dan juga acara kebudayaan Islam yang lain.

Solehah... berazam catat populariti


Kalau dalam lagu-lagu pop, kebiasaannya artis wanita mengatasi populariti artis lelaki. Malah terdapat banyak artis wanita yang belum ada album pun sudah dikenali ramai berbanding artis lelaki yang telah merakamkan album. Tetapi keadaan ini jauh berbeza dengan perkembangan lagulagu nasyid kerana kumpulan penyanyi lelaki mengatasi populariti kumpulan nasyid wanita. Bagi sebuah kumpulan nasyid wanita, Solehah keadaan itu memang mendukacitakan tetapi mereka tidak pernah berputus asa untuk meletakkan diri setaraf dengan populariti artis lelaki. Malah mereka tidak nampak suatu yang boleh dijadikan halangan yang membezakan antara kumpulan nasyid lelaki dengan wanita di negara ini. Bagaimanapun mereka percaya semua ini perlu diatasi dengan memberikan sesuatu yang menepati selera pendengar dan tahap mutu yang membanggakan.

Kumpulan Solehah.

Ketika ini kebanyakan lagu-lagu nasyid tempatan dimonopoli oleh kumpulan lelaki seperti Raihan, Rabbani, Hijjaz, In-Team dan banyak lagi. Populariti kumpulan lelaki menyebabkan peminat seni tidak begitu memberi perhatian pada kumpulan nasyid wanita termasuk Solehah. Kerana itu tidak hairanlah kumpulan nasyid wanita seperti Huda dan Solehah umpamanya kehilangan arah dalam menentukan karier masing-masing. Sekali pandang kehadiran mereka tidak ubah seperti tempelan dalam lagu-lagu nasyid tempatan. Atau dianggap sebagai tumpang memeriahkan suasana persada seni. Biarpun tumpuan diberi kepada kumpulan nasyid lelaki, namun bagi empat gadis remaja dari kumpulan Solehah tidak berputus asa malah lebih bersemangat untuk muncul sebagai kumpulan popular. Tetapi Solehah enggan dianggap menyanyikan lagu-lagu dakwah sebaliknya mereka menyanyikan satu aliran lagu yang ada elemen muzik dari timur tengah. Ini kerana semua lagu yang liriknya baik adalah menyampaikan pesanan yang baik kepada pendengar. Bagi Wan Elani Mazlan (Wan), Farra Emi Hassan (Farra), Nur Shaida Mohd Rashid (Ida) dan Nor Razlinda Razli (Bienda) ketandusan kumpulan nasyid wanita dalam industri muzik tempatan menguatkan lagi semangat mereka untuk menyanyi lagu nasyid. Kata Bienda, Solehah tetap bersyukur kerana kehadiran mereka dalam bidang nyanyian khususnya nasyid sedikit sebanyak mendapat perhatian peminat lagu-lagu nasyid. Bagi mereka, nasyid adalah satu aliran muzik yang unik dan sesuai dengan persekitaran budaya di negara ini. Mereka menganggap muzik nasyid sebagai alternatif untuk mengambil tempat di hati peminat remaja selain terdedah kepada lagu-lagu yang membawa semangat dan nilai dari luar.

Untuk itu sebagai usaha meneruskan penglibatan dalam bidang seni, Solehah yang dianggotai oleh pelajar tingkatan empat dan lima dari Sekolah Menengah Bandar Baru Sentul ini tampil dengan album Koleksi Terbaik Solehah. Menerusi album yang memuatkan lagu-lagu popular dari album 25 Nabi, Nikmat Allah dan Alaf Baru 2000 itu terdapat tiga buah lagu baru iaitu Sabarlah Kasih, Rukun Islam Dan Rukun Iman dan Sembahyang. Tiga buah lagu yang menampilkan rentak perlahan, rancak dan latin telah dirakam sejak Julai lalu. ``Album ini dihasilkan sebagai pengenalan Solehah bersama syarikat MSO. Selepas ini barulah kami diberi peluang tampil dengan album baru,'' jelas Bienda. Bienda, anak kepada penyanyi Sheeda sebelum ini heboh dikatakan akan keluar daripada Solehah. Bagaimanapun hasratnya itu ditarik balik kerana Bienda masih sayang kepada rakan-rakan Solehah dan ingin menempuh kejayaan bersama mereka. Ujarnya, tidak guna dia keluar daripada Solehah kerana antara mereka saling memerlukan antara satu dengan lain. Meskipun kesemua mereka sibuk melakukan promosi dan persembahan di hujung minggu, namun Solehah tidak pernah abaikan pelajaran. Wan yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada bulan November ini juga berazam mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. Baginya, hasrat utama ialah untuk meletakkan Solehah sebagai model remaja yang berjaya dalam pelajaran dan juga bidang seni dengan pendekatan yang tidak melanggar etika budaya dan sosial tempatan.

Solehah mahu menjadi contoh


Gelaran sebagai artis tidak melalaikan kumpulan Solehah malah akan terus menjadi contoh yang baik terutamanya kepada rakan-rakan sebaya mereka. Sebagai sebuah kumpulan nasyid, Solehah memberi nasihat dan peringatan kepada orang lain dan diri sendiri menerusi lagulagu mereka. Kumpulan nasyid wanita yang popular dengan lagu 25 Nabi ini semakin mendapat perhatian kerana penampilan mereka yang kemas bertudung dan mampu menyampaikan lagu nasyid dengan baik. Kekuatan vokal dan lagu yang terdapat dalam album pertama Solehah banyak membantu kejayaan mereka. ''Kami tidak anggap Solehah sudah popular kerana anggapan itu mungkin akan melalaikan. Namun kami amat bersyukur kerana peminat dapat menerima kehadiran Solehah dan juga lagu-lagu kami diminati,'' ujar salah seorang anggotanya, Hafiza, 13. Selain Hafiza, Solehah turut dianggotai oleh Maisarah, 14, Nor Razlinda, 13 dan Tengku Najihah, 13. Selepas berjaya dengan album pertama, Solehah akan merakamkan album kedua tidak lama lagi. Sekarang ini, penerbit album mereka, Fazly sedang sibuk mengumpul lagu. ''Tidak ada rahsia tertentu di atas kejayaan ini. Namun kami bersyukur kerana kehadiran pertama ini sudah diterima. Mungkin lagu nasyid yang kami tampilkan agak berbeza dengan yang lain.Agaknya itulah salah satu tarikan untuk peminat mendapatkan album kami,'' kata Hafiza. Kesemua anggota kumpulan ini masih lagi bersekolah dan aktif dalam kegiatan ko-kurikulum. Tiga daripada mereka bersekolah di Kuala Lumpur manakala Tengku Najihah masih menetap di Terenggganu. Walaupun Najihah tinggal berjauhan dengan rakan yang lain tetapi dia akan datang ke Kuala Lumpur jika ada promosi album atau pertunjukan pentas. Sebagai artis, Solehah mahu muncul sebagai sebuah kumpulan yang berjaya dari semua segi. Walaupun hanya mempertaruhkan album dan lagu-lagu nasyid tetapi Solehah yakin lagu-lagu sedemikian akan terus diminati. ''Walaupun citarasa peminat seni tanah air sentiasa berubah-ubah tetapi saya yakin, lagu-lagu nasyid tidak akan bermusim,'' kata Hafiza lagi. Sebagai pelajar pula, Solehah tidak mahu terlalu menonjolkan diri sebagai seorang artis di kawasan sekolah.

'''Sewaktu di sekolah, kami adalah seperti pelajar yang lain juga. Sebelum merakamkan album, kami memang sudah aktif dengan kumpulan-kumpulan nasyid di sekolah. Cuma bezanya sekarang ini kami sudahpun mempunyai album sendiri. Di sekolah, kami boleh menubuhkan kumpulan nasyid masing-masing,'' sambung Razlinda.

Nasyid segar dari Qathrunnada


Malah, industri muzik tempatan yang selama ini dipelopori aliran muzik pop dan rock turut dicorakkan dengan penampilan beberapa buah kumpulan nasyid lain yang turut memeriahkan industri. Atas sambutan menggalakkan ini juga, banyak kumpulan nasyid muncul ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan. Sebuah lagi kumpulan nasyid baru yang menggelarkan diri mereka Qathrunnada yang membawa maksud titisan embun yang sifatnya suci, bersih, sejuk lagi menyegarkan turut ingin memeriahkan dunia hiburan bercorak keislaman di negara ini. Kemunculan album sulung mereka berjudul Cinta Agung dijangka akan diterima peminat, memandangkan kelainan persembahan yang ditampilkan berbanding kumpulan nasyid yang sedia ada. Keistimewaan kumpulan ini selain mengetengahkan keagungan ketuhanan, mereka juga mengajak peminat supaya senantiasa mengingati tuhan di mana sahaja mereka berada menerusi lagu-lagu yang ditampilkan. Mengejar populariti bukan misi utama kumpulan ini, sebaliknya tujuan mereka adalah untuk mengembalikan fitrah semulajadi manusia menerusi hiburan, di samping mengembangkan muzik Islam. "Sekarang ini kalau kita lihat, masyarakat kita sudah terlalu banyak dihidangkan dengan hiburan yang melalaikan dan kemunculan kami dengan album Cinta Agung ini untuk seimbangkan hiburan dunia dan akhirat,'' kata Abu Rahawah atau lebih senang dengan panggilan Abang. Muzik yang ditampilkan oleh kumpulan ini juga agak berbeza dengan kumpulan nasyid lain, walaupun menampilkan konsep kontemporari, namun kumpulan ini turut menggunakan alatalat muzik yang dibenarkan oleh syariat sahaja. "Kami lebih menonjolkan vokal daripada muzik kerana kami menganggap seni kata nasyid sebenarnya yang lebih banyak memberi kesan pada jiwa pendengar berbanding alat muzik yang digunakan,'' tambah abang lagi. Kemunculan mereka dalam industri juga bukanlah untuk bersaing dengan kumpulan nasyid yang sedia ada, sebaliknya mereka mahu bersama-sama mengembangkan syiar Islam. Kumpulan ini juga turut dianggotai oleh empat anak ustaz As'aari, selain abang turut menganggotai kumpulan ini adalah Nik Norfairuz, Muhammad Arqam, Othman Affan, Muhammad Atho'ullah dan Muhammad Qudamah. Kesemua ahli kumpulan nasyid ini masih lagi menuntut. Qathrunnada juga mengharapkan kehadiran mereka di dalam industri dapat diterima baik terutama bagi peminat lagu-lagu nasyid.

Berdakwah melalui lagu


Nama kumpulan ini mungkin agak kelakar dan boleh membuatkan segelintir pihak ketawa apabila mende-ngarnya. Namun inilah yang menjadi identiti unik ABC Band yang berasal dari Batu Pahat, Johor. Kumpulan yang dianggotai oleh Mohd Failus Mohd Salleh (bass), Ahmad Nazri Khamis (vokal), Sheikh Fauzi Ali (penyanyi), Kamarudin Kepol (penyanyi), Samsuddin Ishak (gitar), Mohd Noorhazimin Umarhan (keyboard) dan Azhar Amin (drum) ini tidak kisah dikaitkan dengan apa juga persepsi. Bagi mereka yang penting nama ini senang disebut, mudah diingati dan apabila terlihat abjad ini, serta merta orang akan terbayangkan kumpulan mereka yang tampil dengan konsep rock rohani. Kami sengaja pilih nama ini kerana ia paling mudah disebut dan diingati oleh setiap orang. Kami sikit pun tak kisah dan terasa hati kalau ada yang mengaitkan nama ini dengan air batu campur atau sebagainya. Sebenarnya nama ini dipilih kerana kami turut menggunakan tiga vokalis. Kami mula ditubuhkan sejak 8 Mac 2009 dan sehingga kini masih dianggotai oleh pemuzik asal. Bahkan kami boleh dikatakan berpengalaman luas dalam bidang muzik, kata Mohd Failus selaku ketua kumpulan. Kumpulan yang bernaung dibawah Quantize Studio & Production dan Otai Studio ini baru saja menghasilkan album pertama berjudul 4U Gaza terbitan Aim Crossfire. Ia mengandungi lagu Mengenal Diri, Disapa Hidayah, Orang Muda Geng Kita, Mencari Cahaya, Selamanya, Anugerah Maha Esa, Syahidlah Daku dan Aku Pejuang Islam. ABC Band sememangnya mengagumi kumpulan otai seperti Search dan Wings. Namun kami memilih pendekatan muzik berbeza bagi menyampaikan dakwah kepada pendengar. Kami mahu berdakwah secara tak langsung menerusi lagu. Kami ada bakat dalam seni, jadi kami mahu menggunakan sebagai satu saluran untuk mengajak pendengar ke arah nilai positif. Selain itu, kami juga simpati melihat perjuangan masyarakat di Gaza dan bersimpati dengan mereka. Jadi untuk setiap jualan dan persembahan kami, akan ada pengagihan buat mereka. Biarpun tampil dengan konsep rock, ABC Band bukanlah sebuah kumpulan yang agresif. Sebaliknya persembahan kami tetap mengikut norma dan adab sopan serta etika yang ditetapkan oleh syarikat rakaman, katanya. Menurut Mohd Failus lagi, ABC Band beruntung kerana impian untuk merakam album sendiri akhirnya menjadi kenyataan. Hasrat yang sudah lama terpendam ini menjadi kenyataan apabila ditemukan dengan Aim. Kami berjumpa dengannya pada 12 November lalu dan dari situlah dia membawa kami

kepada Otai Studio. Sebelum ini kami memang ada cita-cita nak hasilkan album tapi tak berjumpa jalannya. Namun, kini, segala-galanya berubah dengan pembabitan Aim. Kami semuanya bekerja sendiri dan bekerja tetap dan tiada masalah berkorban masa untuk mempromosi album dan menjayakan persembahan. Setakat ini kamu sudah buat persembahan di sekitar Johor dan Kuala Lumpur, katanya. Sebagai pengenalan, ABC Band akan mempromosi empat lagu mereka iaitu Syahidlah Daku, Orang Muda Geng Kita, Disapa Hidayah dan Aku Pejuang Islam menerusi Youtube. Menerusi cara ini, mereka berharap akan dikenali dan diterima secara meluas oleh pelbagai golongan peminat. Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/14

Ikhwan menampilkan muzik orkestra


Kumpulan nasyid baru, Ikhwan menampilkan muzik orkestra sebagai latar lagu-lagu nasyid untuk memberi kekuatan dan kelainan dalam album sulung mereka. Berbeza dengan kumpulan nasyid lain yang lebih mengutamakan kepada muzik daripada alat gendang, Ikhwan beralih dari konsep biasa dengan memperbanyakkan alat muzik moden. Mereka menggelarkan kumpulan itu sebagai kumpulan nasyid kontemporari pop. Kumpulan baru ini kini sedang menjalani proses rakaman album sulung mereka, Bayangan Wajah yang telah pun siap kira-kira 70 peratus. Ia dianggotai oleh Nasharuddin, Zahid, Nasir, Mahadzir dan Badrul Nizam. Kesemua mereka adalah penyanyi utama. Menurut Nasharuddin, Ikhwan ditubuhkan bukan bertujuan untuk mengejar populariti, tetapi sekadar menyemarakkan industri muzik, khususnya dalam lagu-lagu nasyid. Namun katanya, dengan kehadiran banyak kumpulan nasyid yang turut mengambil bahagian dalam industri ini, Ikhwan perlu melahirkan sesuatu yang berbeza. ''Justeru itu, Ikhwan tampil dengan irama muzik orkestra sebagai latar seperti memasukkan alat muzik seperti violin dan gitar,'' ujar Nasharuddin. Tambahnya, untuk membezakan mereka dengan kumpulan nasyid lain, mereka menampilkan konsep nasyid yang pelbagai yang bertunjangkan kepada muzik pop seperti reggae, balada, slow dan sebagainya. Album tersebut diterbitkan oleh Hisham Yassin, DZ, Ahmad Sazali dan Anuar Razak dengan kerjasama Nada Records. Mengenai Ikhwan, Nasharuddin memberitahu kumpulan itu lahir daripada pecahan Kumpulan Nasyid Malaysia yang diasaskan oleh Pusat Islam bermula dari tahun 1991 sehingga 1994 dahulu. Setelah mendapat peluang untuk merakamkan album, kelima mereka bergabung semula dan menubuhkan kumpulan Ikhwan. ''Ikhwan ditubuhkan atas dasar komitmen anggotanya. Bukan tidak ada anggota lain, tetapi lima anggota ini mampu memberikan komitmen sepenuhnya dalam bidang muzik,'' ujar Nasharuddin. Begitupun, kelima-lima anggota Ikhwan mempunyai pekerjaan tetap dan bergiat dalam rakaman dan latihan tersebut selepas waktu pejabat dan hujung minggu. Ujarnya lagi, walaupun Ikhwan masih baru dan belum dikenali, kumpulan itu telah berjaya mendapat tajaan pakaian daripada Batik Malaysia untuk memudahkan mereka muncul dalam persembahan dan promosi album.

Jauhari tidak anggap nasyid bermusim


SETELAH muncul dengan sebuah album dua tahun lalu kumpulan nasyid Jauhari terus menyepi tanpa sebarang album. Namun kumpulan itu masih aktif lagi dalam persada seni lagu-lagu nasyid. Jauhari kini kerap mengadakan persembahan di sekitar Johor Bahru kerana kesemua anggotanya menetap di negeri selatan tanah air itu. Kini, Jauhari disertai oleh dua anggota baru setelah dua anggota asalnya menarik diri untuk memberi tumpuan kepada kerjaya lain. Dua anggota baru itu ialah Shaiful dan Azhan yang menganggotai Jauhari beberapa bulan lalu. Dua lagi anggota asal ialah Azmi dan penyanyi utama Abu Bakar. Walaupun anggotanya berganti baru, tetapi Jauhari tetap meneruskan perjuangan mereka dalam lagu-lagu nasyid, Menurut Azmi, Jauhari kini dalam persiapan untuk muncul dengan album terbaru pertengahan tahun ini. Mereka kini dalam proses memilih dan mengemaskinikan lagu-lagu yang telah dikumpul oleh mereka. ''Kini, kami banyak memenuhi undangan mengadakan persembahan di sekitar Johor dan sambutan turut memberansangkan,'' kata Azmi yang bertindak selaku jurucakap kumpulan itu Mereka kini sedang mengadakan persembahan di Hotel Puteri Pan Pacific, Johor Bahru, sepanjang bulan Ramadan ini. Jauhari juga tidak melihat muzik nasyid sebagai muzik semusim, sebaliknya ia akan terus berpanjangan sebagaimana muzik pop, sekiranya kumpulan nasyid terus aktif menghasilkan album bermutu. Sepanjang tempoh tidak menghasilkan album, mereka memerhatikan arus muzik nasyid negara ini dan menaruh keyakinan bahawa muzik nasyid akan terus diterima oleh peminat. ''Lantaran itu, kami berusaha menghasilkan lagu yang baik dan dihiasi dengan lirik yang bermutu,'' kata Azmi lagi.

Kurnia bernasyid untuk rakan sebaya


Satu-persatu kumpulan nasyid muncul dengan membawa mesej yang sama iaitu menyeru kepada kebaikan dan memuji kebesaran Tuhan. Bahkan, lagu-lagu nasyid mempunyai skop pendengar yang meluas. Malah, lagu nasyid juga sesuai untuk dihayati oleh golongan kanak-kanak. Dan lagu-lagu nasyid boleh dianggap membentuk minda kanak-kanak dengan mesej yang membangun. Dalam usaha untuk mendekatkan lagi lagu nasyid kepada jiwa kanak-kanak, muncul sebuah lagi kumpulan nasyid yang dianggotai oleh tujuh kanak-kanak. Kumpulan yang diberi nama Kurnia itu dianggotai oleh Hafeez, Jaafar Onn, Sharul Efendi, Nazri, Mohd. Nurfazlishalihin, Mohd. Arif dan Mohd. Syarahmat. Anggota-anggota kumpulan ini berumur dalam lingkungan 10 hingga 14 tahun. Sementara itu, penyanyi utama Kurnia, Hafeez berkata, mereka tidak akan mengabaikan pelajaran walaupun muncul sebagai kumpulan nasyid. ''Kami akan hanya mengadakan persembahan dan promosi pada musim cuti sekolah dan hujung minggu sahaja,'' katanya mewakili rakan-rakan yang lain. Sebelum menyertai kumpulan Kurnia, mereka masing-masing pernah mengadakan persembahan nasyid bersama kumpulan di peringkat sekolah masing-masing. ''Kami ingin memperjuangkan lagu-lagu nasyid kerana ia sesuai dengan kanak-kanak dan juga untuk memberi pengajaran kepada rakan-rakan dan kami sendiri,'' kata Hafeez lagi. Kurnia kini memiliki satu album yang diterbitkan oleh komposer A. Ali. Album sulung kumpulan kanak-kanak ini diterbitkan oleh syarikat rakaman Kirawang. Eksekutif Promosi Kirawang, Hashim Othman berkata, pihak syarikat memilih untuk memasarkan secara jualan langsung album Kurnia kerana ia bersesuaian dengan album nasyid. ''Daripada kajian yang kami lakukan, pasaran album nasyid tidak seperti pasaran album pop, kerana sasaran album nasyid kita boleh kenal pasti,'' kata Hashim lagi. Pihak syarikat tidak melantik wakil jurujual, tetapi membuka peluang kepada individu yang berminat untuk memasarkannya secara langsung. Ternyata jualan cara tersebut mendatangkan kesan. Pembeli boleh mendapatkan terus album kumpulan Kurnia daripada syarikat Kirawang dengan menghubungi Hashim di talian 03-983-5282 atau mendapatkan daripada jurujual secara langsung dan juga ketika kumpulan Kurnia mengadakan persembahan promosi.

Nadiha - Ke mana tumpahnya kuah


Oleh KHADIJAH IBRAHIM

Kemana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Itulah yang terjadi dalam keluarga komposer A.Ali atau nama sebenarnya Hamdan Atan. Bakat seni yang dimiliki oleh bekas anggota kumpulan Kembara itu telah diwarisi oleh anak-anaknya, Nurhuda, 19, Nurmaizura, 15 dan Nurazira, 10. Ketiga-tiga mereka menganggotai kumpulan nasyid Nadiha bersama Nurul Syfiqah Azimi, 16, Ira Farhana Zainal Abidin, 16 dan Zarith Sofia Zainal Abidin, 19 tahun.
Anggota kumpulan Nadiha. Dari kiri: Ira Farhana, Nurhuda, Nurul Syfiqah, Nurazira, Zarith Sofia dan Nurmaizura.

Jelas A.Ali yang turut menemani anak-anaknya ke Utusan Malaysia baru-baru ini, dia tidak pernah memaksa mereka menceburi seni. Sebaliknya, minat anak-anak datang sendiri dan melihat kesungguhan mereka, Ali terus memberi bimbingan dan menghimpunkan mereka menjadi satu kumpulan nasyid untuk dijadikan platform mengembangkan bakat yang sudah sedia ada. Nadiha kini sudah ada album yang judulnya sama dengan nama kumpulan itu. Ia diterbitkan oleh A. Ali sendiri. Bagi Nurhuda, ini satu tuah dilahirkan sebagai anak A.Ali. Atas keprihatinan bapanya, dia dan adik-adiknya berpeluang mengembangkan bakat. Namun jauh di sudut hatinya, kata Nurhuda, dia merasa bimbang terhadap harapan ramai kepada kumpulan itu. Harapan ``Tentu ramai yang menaruh harapan tinggi kepada kami. Kami perlu menjaga nama bapa. Kami akan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik,'' katanya. Kata Nurhuda, album sulung mereka merupakan album percubaan untuk menentukan hala tuju kumpulan itu dalam bidang seni suara. Sebagai permulaan, 20 Disember lalu Nadiha muncul dengan album berkonsepkan pop etnik latin. Satu kelainan daripada kumpulan nasyid lain. Tegasnya, sekarang ini pun kalau dilihat, kebanyakan kumpulan nasyid lebih senang menampilkan kelainan. Sehubungan itu Nadiha memilih lagu Pewaris sebagai single pertama. Lagu-lagu lain yang dimuatkan dalam album ini ialah Hijrah, Nabi Muhammad, Hidayah, Islam, Fitrah, Pesanan Kehidupan, Musibah Anak Dunia, Amanat Ilahi dan Kehidupan Manusia.

Mustika popular di kalangan pelajar

KUMPULAN MUSTIKA.

Kebanyakan kumpulan nasyid popular di negara ini lebih gemar memilih nama daripada bahasa Arab dan Inggeris. Seperti Raihan, Hijjaz, Rabbani, Alif dan beberapa kumpulan lagi gemar dengan nama-nama yang mempunyai unsur-unsur Arab untuk disesuaikan dengan motif nasyid. Namun kumpulan nasyid Mustika lebih berbangga menggunakan nama yang mempunyai nilai kemelayuan dipercayai akan menampilkan banyak kelainan. Kumpulan ini dianggotai oleh lima anak muda iaitu Mohd. Qhalid Abdul Hafiz, Nasation Abdullah, Ismail Samsudin, Fauzanizam Baduwi dan Mohd. Saidy Mohd. Yusof. Kelima mereka merupakan penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang sains pertanian, sains komputer, sains ekonomi dan pentadbiran perniagaan. Menurut salah seorang anggota kumpulan ini, Ismail Samsudin, mereka berbangga apabila memilih nama Melayu untuk sebuah kumpulan nasyid. ''Kumpulan nasyid lain lebih senang dengan nama yang berunsur Arab dan Inggeris, mungkin kerana latar pendidikan mereka yang lebih menjurus kepada pendidikan Islam,'' ujarnya. Bagaimanapun mereka lebih senang dengan nama sekarang memandangkan Mustika juga membawa makna yang begitu indah dalam kamus bahasa Melayu.

Menurut Ismail, Mustika sebenarnya bukanlah orang baru dalam bidang muzik dan nyanyian tempatan. Sebelum ini mereka pernah terkenal dengan nama Nahwan Nur dan melahirkan lima album nasyid di bawah pengurusan UPM sendiri. Bagaimanapun selepas bergelar graduan, Nahwan Nur terpaksa ditukar kepada Mustika kerana sebab-sebab berkaitan hak cipta. Meskipun pada awalnya mereka sendiri agak kecewa dengan keadaan tersebut tetapi tidak mematahkan semangat untuk terus bertahan dengan album nasyid. Kerana sering mengadakan persembahan di beberapa institut pengajian tinggi lain, kumpulan ini begitu popular di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi. ''Meskipun hati kami sendiri agak berat untuk bertukar kepada nama baru tetapi ia tidak menjadi halangan kepada kami untuk terus memberikan sesuatu kepada bidang seni,'' tegas Ismail. ''Kami yakin, dengan nama Mustika, perjuangan kami dalam memartabatkan lagu-lagu berunsur keagamaan boleh diteruskan selepas ini,'' jelasnya. Sekalipun banyak pihak yang menganggap nama tersebut lebih sesuai digunakan oleh kumpulan nasyid wanita tetapi mereka tetap mempertahankan pilihan ini. Album pertama Mustika sudah berada di pasaran pada 13 Disember lalu. Ia turut memuatkan beberapa buah lagu ciptaan anggota kumpulan nasyid popular di negara ini. Mereka ialah Mujahid, Yassin, Nazrey, Abu Bakar dan Qhalid daripada kumpulan Nowseeheart, Brothers, Raihan dan Mustika sendiri. ''Kami yakin, gabungan ini akan memberikan banyak keunikan. Selain untuk kebaikan Mustika, ia juga memperlihatkan semangat bantu membantu dan bersatu padu di kalangan penyanyi nasyid di negara ini,'' jelas Ismail lagi. Antara lagu yang dijangka hit di dalam album ini ialah Cinta Zulaikha, Hadirlah Kasihmu dan Yang Bernama Wanita.

Nurfitrah nyanyi semula lagu popular

KUMPULAN NURFITRAH.

Sebelum ini, syarikat tersebut telah memperkenalkan kumpulan nasyid Jauhari yang telah muncul dengan album pertama mereka tahun lalu. Jauhari kini sedang menjalani proses rakaman untuk album kedua pula. Kemunculan beberapa kumpulan nasyid wanita kebelakangan ini adalah perkembangan sihat terhadap lagu-lagu nasyid tempatan. Justeru itu, kemunculan Nurfitrah dianggap sebagai kesinambungan untuk memartabatkan lagu-lagu nasyid yang banyak menyampaikan mesej kepada pendengar. Nurfitrah dianggotai oleh Safura, Kanisah, Masritah dan Junainah. Sebelum merakamkan album, kumpulan tersebut sering membuat persembahan di majlis-majlis rasmi dan keagamaan di sekitar Johor.

Penerbit album ini, Ferdi Khalid berkata, Nurfitrah mahu menjadikan bidang seni sebagai alat untuk berdakwah, tambahan pula kesemua anggota kumpulan itu mendapat didikan dari pusat pengajian Islam di Johor Bahru. Salah seorang anggota Nurfitrah, Safura, memberitahu kelahiran album nasyid itu juga akan dapat mendekatkan mereka dengan golongan sasaran serta menjadikan muzik sebagai perantara. ''Jika lagu mengandungi mesej yang baik, kami fikir ia sesuai untuk diperdengarkan kepada semua golongan dan dapat menjadi pembimbing. Lagu juga boleh membawa perubahan dalam diri seseorang dan ia juga salah satu pendekatan untuk berdakwah,'' jelas Safura. Album sulung Nurfitrah yang berjudul Jangan Sombong memuatkan lima buah lagu lama yang digubah semula dan lima lagu muzik minus one. Jelas Safura, muzik minus one itu merupakan satu bonus kepada pembeli kaset dan ia boleh digunakan untuk menyanyikan lagu yang dimuatkan dalam album tersebut. ''Oleh kerana lima lagu yang ada dalam album itu merupakan lagu lama yang diketahui ramai, pemilik album boleh menyanyikan lagu tersebut dengan adanya minus one,'' jelas Safura lagi. Lagu-lagu yang dimuatkan dalam album tersebut ialah Selimut Putih, Petani, Jangan Sombong, Madah Terakhir dan Panggilan Haji.

Suara Hati memilih lagu nasyid


LAGU-lagu nasyid yang pernah menguasai pasaran muzik tanah air kembali suram apabila kurangnya album baru berkonsep sedemikian dihasilkan. Malah hanya nama-nama popular seperti Raihan, Hijjaz, Rabbani dan beberapa lagi yang masih kukuh kedudukan mereka. Menyedari hakikat itulah empat anak muda yang menggelarkan mereka Suara Hati meneruskan penghasilan lagu nasyid. ''Kami tidak nampak mengapa lagu-lagu sedemikian tidak boleh diterima kerana ia dekat dengan orang Islam,'' katanya mereka. Suara Hati yang dianggotai oleh Alifi, Suhaimi, Mahiz dan Mahadzir adalah empat pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Mahiz mengikuti jurusan Sains Kemanusiaan manakala tiga rakannya kini sedang memburu ijazah dalam bidang undang-undang. ''Kami terpanggil untuk menghasilkan album kerana mahu turut bersama-sama kumpulan nasyid lain menyampaikan mesej berguna kepada pendengar,'' kata mereka. Mereka tidak menjadikan alasan belajar sebagai halangan kerana masing-masing menyimpan minat dalam bidang sama. Malah mereka mula mengenali di antara satu sama lain sejak menganggotai nasyid untuk pertandingan nasyid di peringkat universiti November lalu. ''Kami berempat berpakat untuk muncul dengan sebuah album untuk memanjangkan usaha kami itu,'' kata mereka kepada Utusan. Ditanya mengenai pasaran album nasyid, mereka yakin lagu sedemikian akan terus diterima sekiranya lagu-lagu bermutu yang dihasilkan. Malah mereka yakin pada pasaran tradisional lagu-lagu nasyid iaitu di kedai-kedai yang menjual pelbagai barangan berkaitan agama. ''Kedai-kedai buku agama sering dikunjungi oleh pendengar sasaran kami,'' kata mereka. Namun mereka bukan sahaja mahu menarik minat golongan tersebut sahaja sebaliknya mahu menembusi hati semua golongan. Menyentuh mengenai album yang dipasarkan awal bulan itu, mereka sendiri menghasilkan lagu mengikut cita rasa sendiri. ''Kami sendiri menghasilkan lagu-lagu bagi menyesuaikan dengan kesesuaian konsep yang kami bawakan,'' kata mereka. Berlainan dengan kumpulan lain yang mempu-nyai seorang penyanyi utama, Suara Hati menekankan konsep padu suara di antara semua ahli. ''Kami tidak ada penyanyi utama sebaliknya semua menyumbangkan suara di dalam lagu-lagu yang dihasilkan,'' ujar mereka.

Dengan itu mereka berharap dapat memberi satu kelainan cara mendendangkan lagu-lagu nasyid moden. Mereka juga berharap tamatnya bulan puasa bukannya sebab untuk mengurangkan aktiviti penghasilan lagu-lagu nasyid.

Tafakur teruskan perjuangan nasyid

KUMPULAN TAFAKUR

Bagi kumpulan Tafakur, irama nasyid masih bertahan dan akan terus popular selagi semua pihak bersungguh-sungguh mempertahankannya. Tafakur dianggotai oleh Mohd. Nazri Ahmad Sanusi, (33), Mohammad Dom Haji Kassim (33), Mohd Rizal Mat Salim (24 ) dan pasangan kembar Dino Rizal Suratman dan Dini Harmulia (22). Sebelum ini, Tafakur dikenali sebagai Zikkra. Bagaimanapun apabila tiga daripada anggota kumpulan itu menarik diri, mereka mengambil keputusan untuk bertukar kepada nama Tafakur. Menurut ketua kumpulan ini, Nazri, perjuangan mengangkat lagu-lagu berirama nasyid perlu diteruskan walaupun mereka terpaksa mencari bakat-bakat baru untuk diketengahkan sebagai anggota baru kumpulan ini. ''Kami melihat pengunduran tiga anggota lama kumpulan itu sebagai satu cabaran utama yang wajar kami tempuhi untuk meneruskan perjuangan. ''Kalau dulu, perjuangan hanya melibatkan orang yang pergi ke medan perang. Sekarang perjuangan itu dalam bentuk yang lain. ''Jadi kami memilih pendekatan untuk terus berjuang dengan menyampaikan amanah Allah melalui lagu-lagu nasyid.

''Apapun kami bersyukur kerana sekarang ini, kami sudah mempunyai anggota baru untuk meneruskan perjuangan yang tergendala sebelum ini,'' jelasnya lagi. Menurut Nazri juga, meskipun ada andaian mengatakan lagu nasyid sudah hilang popularitinya, mereka tetap bersemangat untuk terus berdakwah menerusi cara itu. Menurutnya, seperti irama lain, nasyid juga mempunyai jumlah peminat tersendiri yang akan sentiasa memberi sokongan kepada album bercorak sedemikian. Menurutnya, kegemilangan lagu-lagu nasyid dapat dilihat apabila dua tahun lalu kumpulan Raihan berjaya mencatat rekod jualan melebihi 600,000 unit di pasaran tempatan. Selepas itu, jelasnya, banyak lagi kumpulan nasyid lain yang menempa nama dan mendapat sambutan peminat antaranya Rabbani, Hijjaz, Brothers dan Diwani. Nazri seterusnya memberitahu, apabila keadaan ekonomi agak meruncing banyak syarikat rakaman yang mengambil tindakan untuk membekukan pengeluaran album termasuklah albumalbum nasyid. ''Ini menyebabkan ramai beranggapan irama nasyid semakin kurang popula-ritinya. Sebenarnya anggapan itu tidak tepat. ''Irama nasyid masih macam dulu tetapi kerana keadaan ekonomi, orang agak berjimat cermat. ''Bukan album nasyid sahaja, tetapi album berkonsep lain juga turut mene-rima tempias kesan daripada kegawatan ini,'' ujarnya.

Assalamualaikum. Benign menulis untuk ThoseWhoBelieveRECORDS Kali ini kami di TWBRecs akan memberi sedikit informasi tentang apa yang sedang berlaku dalam scene nasyid underground (nasyidUG) disekitar kampus UIAM hari ini. Namun perlu diberi peringatan bahawa "scene report" ini bukanlah satu repot yang lengkap tetapi cukup untuk melakarkan idea tentang percambahan dan progres scene nasyidUG disekitar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Dua persatuan yang menaungi aktiviti aktiviti info dan edutainment islam di UIA adalah Nasyid Club dan Gabungan Aspirasi Budaya (GAB) manakala di pusat matrikulasi pula ia dinaungi oleh Grimis. Melalui ketiga tiga pertubuhan legal ini nasyid terus dijadikan hiburan alternatif utama kepada mahasiswa/i dan kumpulan kumpulan nasyidUG pula disalurkan kearah stream yang betul dan officially recognized. ASPIRASI Kumpulan nasyid official UIA ini dikompos oleh ahli ahli dari beberapa kumpulan nasyid yang wujud didalam UIA sendiri. Kumpulan ini tidak mempunyai ahli tetap, kebanyakan ahli ahlinya adalah freelancer. Mereka banyak menerima jemputan dari luar kampus jika dibandingkan dengan dari dalam. Mengekalkan unsur unsur tradisional dengan iringan paluan perkusi dan vokal berharmoni yang diatur dengan baik. ALMASSAR Kumpulan ini masih ada di UIA, dan kami kira kumpulan ini tidak perlu diberi introduction lagi kerana penglibatan mereka dalam program program tajaan PIN dan baru baru ini menjadi penerbit bersama kompilasi Sirah Junjungan, sudah cukup untuk memberi mereka recognition yang diperlukan untuk terus maju dalam persada nasyid mainstream malaysia. Walaupun sudah bertaraf kumpulan arus perdana namun sikap low profile dan down-to-earth mereka membuatkan mereka senang untuk mendekati dan memberi sokongan kepada daawah nasyidUG di sekitar kampus UIA. Di UIA mereka dikenali dengan konsep acapella mereka dan banyak dipengaruhi oleh Snada, Boyz 2 Men, dan All 4 One. MARJAAN Kumpulan ini juga diantara kumpulan yang agak lama survived dengan pertukaran ahli yang tidak pernah putus. Namun dengan ahli ahli tetap yang mampu memberikan komitmen yang tinggi dalam daawah melalui seni suara mereka. Sering memenuhi jemputan jemputan dan undangan persembahan dari dalam dan luar kampus. Walaupun membawa pembaharuan dengan konsep acapellaRnB, RnB dan Soul namun lagu lagu tradisional mereka masih lagi diberi tempat dalam persembahan. Dipengaruhi oleh Brothers, Raihan, Innuendo, VEuphonious, All 4 One. ALL ONE Juga diantara kumpulan yang lama bertapak di kampus UIAM dan mendapat establishment tersendiri dikalangan pendengar dan pengkritik nasyid. Kumpulan ini seolah olah terkubur buat seketika namun kami beritahu bahawa kumpulan ini sudah diaktifkan kembali dengan nama yang lain tetapi sayangnya kami tidak mendapat informasi tentang nama baru yang digunakan oleh kumpulan ini. Berita terbaru mengenai kumpulan ini adalah terdapat ura ura yang mengatakan mereka akan merakamkan album. NOURISH Kumpulan yang kini agak inaktif mungkin kerana kesibukan ahli ahlinya dalam pelajaran dan aktiviti personal. Juga diantara kumpulan yang agak lama bertapak namun kebelakangan ini agak kurang kedengaran tentang mereka, namun pastinya mereka masih lagi berada di UIA. Bahkan ada berita yang kumpulan ini merakamkan album tidak lama lagi. Lagu lagu mereka yang lebih berentak kontemporari sebagaimana kumpulan kumpulan mainstream yang ada

dipersada seni nasyid tanah air. YOUNG MUSLIMS Kumpulan yang bernaung dibawah Quranic Youth Club UIAM ini juga sering kali mengadakan persembahan disekitar dan luar kampus, terutamanya dibawah program anjuran QYC. Juga menyertakan konsep theatrical approach dalam setiap persembahan, bahkan boleh dikatakan kumpulan inilah yang pertama kali memperkenalkan konsep theatre dan nasyid yang digabungkan dalam setiap persembahan. SABAHI Kumpulan ini dikomposisikan oleh sahabat sahabat yang berasal dari sabah negeri dibawah bayu. Mempunyai vokal yang mantap lebih lebih lagi ketika menyanyikan lagu lagu acapella mereka. Gabungan suara yang cukup lunak berharmoni dan bertenaga.perwatakan mereka yang amat sempoi menyebabkan mereka amat mudah didekati. Dengan konsep RnB dan kontemporari mereka mampu menjadi diantara kumpulan yang terunggul. Diantara kumpulan yang terbaik di kampus UIAM.Banyak dipengaruhi oleh Mirwana, Brothers, Boyz 2 Men. ONE FAITH Kumpulan yang baru sahaja ditubuhkan tetap telah mengecap populariti dan perhatian yang mendadak. Kumpulan yang berani tampil dengan konsep yang lain dari yang lain iaitu konsep theatrical with nasyid, amalgamated. Pernah menjayakan beberapa konsert besar bersama kumpulan kumpulan perdana seperti NowSeeHeart, Brothers, Firdaus dan sebagainya. Banyak memenuhi jemputan diluar kampus dibawah program program tajaan PIN. Bukan setakat berlakon dan bernasyid namun "firm" indie mereka iaitu OneFaith Ent. juga menyediakan pakej untuk pembacaan sajak, koordinator lakonan untuk sekolah dan pengacara majlis. ZAUQAN Kumpulan yang ditubuhkan dari debu debu Husaini matrik ini kini mula mencari tapak untuk mendapatkan recognition didalam arena nasyid di dalam kampus sebelum menjelajah keluar kampus. Membawa konsep kontemporari dan mampu membawa lagu lagu dalam rentak acapella membuat kumpulan ini mampu pergi jauh. Dengan pengaruhan dari kumpulan established seperti InTeam, Hijjaz, Raihan dan sebagainya. AL'AN Kumpulan ini tertubuh hasil dari pembubaran dua kumpulan iaitu inspirasi dan hizbi. Masih dalam peringkat recognition dan memerlukan lebih banyak persembahan disekitar kampus. Banyak menghabiskan masa mengadakan rehearsals dan latihan vokal. Mengekalkan konsep kontemporari dan sedikit percubaan untuk menyelami irama elektronik dan techno dalam lagu lagu original mereka. Mampu juga membawa lagu lagu berentak acapella. Dipengaruhi oleh kumpulan seperti Snada, InTeam, Hijjaz dan Rabbani. RAST Kumpulan ini masih lagi hijau dan amat baru untuk mendapat recognition yang seperlunya untuk diestablish sebagai sebuah kumpulan yang bermutu. Namun kumpulan ini dengar kata akan merakamkan album sedikit masa lagi. Masih lagi dalam peringkat penyesuaian dan penyelengaraan vokal dan ritmanya. BENIGN kumpulan yang membawa konsep yang lain daripada yang lain iaitu rap, hip hop dan RnB ini dianggotai oleh anak anak muda yang ingin melihat perubahan dalam method of daawah melalui nasyid. Percubaan yang agak radikal. Berinfluenskan kumpulan rap terkenal seperti Soldiers Of Allah, B-Islam, too phat dan ramai lagi.

On our sisters side, selain kumpulan rasmi ASPIRASI sisters yang baru sahaja memenangi pertandingan nasyid inter-varsity (MAKHUM female) baru baru ini, dibawah didikan Bro. Muadz (ALMASSAR) dan Sis. Nurul Iman (THE VOICES), terdapat juga kumpulan nasyidUG seperti WIDAD yang lebih banyak mengadakan rehearsals dan voicing enhancement secara personal. Mempunyai masa depan yang cerah sebagai kumpulan yang berkualiti Di pusat matrikulasi pula, memperlihatkan informasi terbaru yang kami terima tentang progress sahabat sahabat kami di Pusat Matrik. Yang paling latest, TWBRecs diberitahu selain kumpulan HUSSAINI yang sememangnya menjadi kumpulan rasmi pusat matrik, terdapat juga beberapa kumpulan nasyidUG yang mula mendapat sokongan di pusat matrik seperti kumpulan HIGHROLL dan FAUZAN . Jika diberikan ruang dan masa yang secukupnya, tidak mustahil kumpulan kumpulan ini mampu membawa variasi kedalam scene NasyidUG UIAM.

Wildan teruskan perjuangan nasyid


MESKIPUN arus irama nasyid tempatan kurang menyengat tidak seperti dua tahun lalu, itu bukanlah penghalang utama kepada kumpulan Wildan. Wildan yang bermaksud pelayan syurga masih ingin meneruskan perjuangan yang telah dimulakan oleh rakan-rakan artis dalam muzik genre itu. Bagaimanapun Wildan yang dianggotai oleh Zaidie Rustam, Mohd. Raez Masuki, Mohd Edi Sofi Ramli dan Mohammad Suhaidie Mohammad lebih senang memilih selawat sebagai tonggak perjuangan. Ujar Zaidie yang bertindak sebagai ketua kumpulan, selama enam tahun bekerja di atas kapal, dia telah melihat pelbagai kepincangan hidup. Sehubungan itu, dia sering menasihatkan rakan-rakan supaya lebih banyak berselawat untuk mengatasi segala masalah. Keajaiban selawat telah memberi idea pada Zaidie untuk terus menggunakan selawat sebagai penggubat jiwa manusia. Sebagai permulaan, Wildan telah mengumpulkan beberapa selawat dalam sebuah album yang diberi judul Aqiqu Bada. ``Album Aqiqu Bada bukan sekadar hiburan semata-mata. Ia juga boleh dijadikan panduan pada mereka yang ingin mengamalkan selawat. ``Kami cuma memperindahkan lagi bacaan selawat dengan menampilkan muzik latar yang berunsurkan irama Islam,'' ujarnya. Album yang diterbitkan oleh Nordin Jaafar itu adalah projek yang dijayakan oleh Persatuan Darul Fitrah Malaysia. Kesemua ahli Wildan adalah sukarelawan Persatuan Darul Fitrah. Ujar mereka, pembabitan secara tidak langsung dengan persatuan tersebut adalah sebagai sumbangan peribadi dalam usaha untuk menyebarkan syiar Islam. Selain daripada menerapkan penggunaan selawat dalam kehidupan masyarakat seharian terutamanya pada golongan muda, Wildan juga cuba menyemaikan unsur-unsur kasih sayang dalam album tersebut. Jelas Mohd. Edi pula, sasaran Wildan bukan setakat golongan muda, malahan seisi keluarga. Mereka menyasarkan setiap keluarga mempunyai album Wildan. ``Sekiranya setiap keluarga mempunyai album Aqiqu Bada dan mengamalkan selawat yang terdapat di dalamnya, sekurang-kurangnya niat kami untuk menerapkan kasih sayang dan mengajak orang ramai menjadikan selawat sebagai sebahagian daripada kehidupan terlaksana,'' kata Mohd. Edi. Antara selawat yang dimuatkan dalam album tersebut ialah Selawat Muqaddimah, Selawat & Hadith, Selawat Syifa'i, Selawat Alamiah, Selawat Jibrail, Selawat Badriah dan Selawat Khatimah.

NURANI gabungan 4 jurutera UTM


KEWUJUDAN kumpulan nasyid di persada seni tanah air boleh diumpamakan seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Semenjak kejayaan besar yang dicapai oleh beberapa kumpulan nasyid tempatan, semakin ramai bakat muda tampil untuk menonjolkan bakat mereka. Sikap terbuka syarikat rakaman menerima kehadiran kumpulan nasyid sebagai artis mereka juga merupakan faktor utama populariti muzik berunsur keislaman. Malah yang lebih menarik lagi penglibatan kumpulan nasyid turut membabitkan mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan. Minat yang ditunjukkan oleh golongan tersebut dalam bidang seni dibuktikan melalui pembabitan kumpulan Nurani. Nurani yang telah ditubuhkan sejak tahun 1997 dianggotai oleh empat orang anak muda yang merupakan graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor. Kumpulan nasyid tersebut terdiri daripada Ahmad Ziad Sulaiman, Razhan Hassan, Syarizal Abd. Wahab dan Mohd. Fairuz Ibrahim. Mereka merupakan lulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia UTM. Sebelum pembabitan anak-anak muda ini dalam persada nasyid tanah air, mereka terlebih dahulu telah bergiat secara aktif dengan mengadakan pelbagai aktiviti persembahan di dalam dan luar kampus. Menurut Pegawai A&R, Produksi Rakam Zalikamari (PRZ), Zamani Zafs, pembabitan mereka dalam kelab nasyid Ukhuwatul Muslimin telah membawa mereka menjelajah seluruh negeri Johor. Katanya, Nurani juga pernah mewakili UTM pada pertandingan nasyid peringkat kebangsaan sekitar tahun 1995 hingga 2000 dan beberapa kali merangkul juara. ``Antara pengalaman paling berharga anak-anak muda ini ialah peluang mengadakan persembahan bersama kumpulan nasyid terkenal seperti Raihan, Hijjaz, Brothers dan Now See Heart,'' ujar Zamani. Selain pengalaman mengadakan persembahan bersama kumpulan nasyid terkenal, Nurani turut berpeluang menyertai persembahan Konsert Diraja Johor bersama kumpulan orkestra UTM. Zamani memberitahu, keistimewaan dan bakat yang dimiliki oleh empat orang anak muda ini berjaya menarik perhatian PRZ untuk menjadikan mereka artis rakaman. Jelasnya, album pertama Nurani berkonsepkan pop etnik nusantara yang menggabungkan irama Melayu seperti zapin, joget, inang dan asli. ``Album ini diterbitkan oleh Zalikamari dan dijangka berada di pasaran pada 26 Mac ini,'' katanya.

Keistimewaan yang cuba ditampilkan melalui album pertama Nurani ialah penggunaan alat muzik moden Melayu seperti gamelan dan marimba selain percussion bagi mewujudkan keunikan pada irama yang dibawa oleh kumpulan nasyid berkenaan. Apa yang pasti kemunculan Nurani dalam persada seni nasyid tanah air mewujudkan persaingan sihat antara kumpulan nasyid dan sekali gus mewarnai dunia seni tempatan.

As Saufee dapat sokongan


SATU hal yang menarik tentang kumpulan nasyid di negara ini ialah sikap mereka yang mengamalkan konsep bekerjasama. Ini disesuaikan dengan kehadiran mereka dalam arus muzik perdana sebagai penyampai mesej yang positif. Kumpulan popular seperti Raihan, Rabbani, Hijjaz dan Brothers sering memberi perangsang kepada kumpulan baru yang ingin menghasilkan album. Kumpulan As-Saufee bertuah kerana turut mendapat bimbingan kumpulan Raihan dan Hijjaz dalam menghasilkan album sulung mereka. Malah, album tersebut dirakamkan keseluruhannya di studio milik kumpulan Raihan di Damansara, Kuala Lumpur. Kumpulan nasyid kontemporari paling popular itu juga turut menghadiahkan beberapa lagu untuk dimuatkan di dalam album mereka berjudul Keinsafan. ``Sebagai kumpulan baru kami berterima kasih kepada kumpulan nasyid terdahulu yang banyak memberi galakan,'' kata ketua kumpulan, Ridwan. Menurutnya, kumpulan nasyid terdahulu tidak pernah menganggap kemunculan kumpulan baru sebagai menggoncang kedudukan mereka. Sebaliknya, mereka senang kerana ia sebagai satu tanda lagu-lagu nasyid terus bertahan bukan menjadi muzik semusim sahaja. ``Semakin banyak kumpulan baru yang muncul semakin semarak lagi industri nasyid tempatan. Secara langsung, ini akan membantu industri,'' kata Ridwan lagi. Malah, beliau berharap satu hari nanti hasrat pihak tertentu untuk mengadakan majlis anugerah kumpulan-kumpulan nasyid akan menjadi kenyataan. As-Saufee yang turut dianggotai oleh, Shafie, Fatahullah dan Nasrullah menghasilkan lagu-lagu yang lebih menjurus kepada nasyid klasik. ``Telah banyak kumpulan nasyid yang mempersembahkan muzik kontemporari, biarlah kami tampilkan irama nasyid klasik,'' kata Ridwan. Lagu-lagu lain yang dimuatkan di dalam albumnya termasuk Keinsafan, Ya Rasulullah dan Kota Mekah.

Diwani mahu kelainan dalam persembahan

DIWANI...mahu berdakwah menerusi nasyid.

BANYAK caranya untuk menyebarkan kesucian dan kemurnian agama Islam. Selain daripada berdakwah menerusi syarahan, keagungan agama Islam juga boleh dilakukan menerusi nasyid. Malah amalan ini semakin menjadi satu budaya di kalangan masyarakat agama Islam di negara ini semenjak kebelakangan ini. Mereka yang menyebarkannya menerusi cara ini juga terdiri daripada kumpulan-kumpulan nasyid. Satu persatu kumpulan nasyid yang muncul mewarnai persada seni tanah air. Bermula dengan Raihan, budaya ini berjangkit pula kepada kumpulan Hijjaz, Brothers, Saujana dan banyak lagi. Terbaru kumpulan yang juga tidak mahu melepaskan peluang menyebarkan kesucian agama Islam ialah kumpulan Diwani yang diperkenalkan oleh syarikat rakaman milik Ambang Klasik Sdn. Bhd. Diwani atau maksudnya saluran rasmi yang menghubungkan antara satu pihak dengan pihak lain seperti yang diterangkan oleh keempat-empat anggota kumpulan itu punya matlamat yang sama seperti kumpulan nasyid yang sedia ada. Hasnul Jamal Sulaiman, Shamsul Bahrain Zainuzzaman, Saiful Azman Ab. Rahman dan Mohd. Najib Mohd. Sani berusia di antara 18 hingga 24 tahun merupakan anggota kumpulan Diwani. Kemunculan mereka meskipun dianggap lewat oleh sesetengah pihak tidak bermakna mereka tidak boleh 'mencuri' minat dan pandangan peminat seni di negara ini.

"Sebaliknya kami lebih yakin kerana kemunculan kami berbekalkan pengenalan nasyid gabungan klasik, moden serta sedikit berunsurkan Carribean music,'' jelas mereka ketika berkunjung ke Utusan baru-baru ini. Oleh yang demikian, Diwani berkeyakinan tinggi album sulung mereka yang diterbitkan khusus untuk renungan semua umat Islam akan mencapai kejayaan seperti yang diharapkan. Ditanya apakah motif utama Diwani menyelitkan unsur muzik sedemikian dalam album mereka, kumpulan itu berkata, sebabnya mudah untuk mengelakkan kekeliruan di kalangan pembeli album. "Kami sedar ada sesetengah album yang punya persamaan yang cukup ketara menyebabkan peminat sukar untuk menilai yang mana hendak dibeli. "Lantaran itu, kami mengambil inisiatif untuk menghasilkan muzik yang lain supaya orang tidak keliru,'' tegas mereka sekali lagi. Jadi kepada anda yang mahu menilai bagaimana kemampuan Diwani apa kata dapatkan album kumpulan itu yang memuatkan lagu-lagu seperti Subhanallah, Jalan Yang Satu, Ya Rasulullah dan lain-lain lagi. BANYAK caranya untuk menyebarkan kesucian dan kemurnian agama Islam. Selain daripada berdakwah menerusi syarahan, keagungan agama Islam juga boleh dilakukan menerusi nasyid. Malah amalan ini semakin menjadi satu budaya di kalangan masyarakat agama Islam di negara ini semenjak kebelakangan ini. Mereka yang menyebarkannya menerusi cara ini juga terdiri daripada kumpulan-kumpulan nasyid. Satu persatu kumpulan nasyid yang muncul mewarnai persada seni tanah air. Bermula dengan Raihan, budaya ini berjangkit pula kepada kumpulan Hijjaz, Brothers, Saujana dan banyak lagi. Terbaru kumpulan yang juga tidak mahu melepaskan peluang menyebarkan kesucian agama Islam ialah kumpulan Diwani yang diperkenalkan oleh syarikat rakaman milik Ambang Klasik Sdn. Bhd. Diwani atau maksudnya saluran rasmi yang menghubungkan antara satu pihak dengan pihak lain seperti yang diterangkan oleh keempat-empat anggota kumpulan itu punya matlamat yang sama seperti kumpulan nasyid yang sedia ada. Hasnul Jamal Sulaiman, Shamsul Bahrain Zainuzzaman, Saiful Azman Ab. Rahman dan Mohd. Najib Mohd. Sani berusia di antara 18 hingga 24 tahun merupakan anggota kumpulan Diwani. Kemunculan mereka meskipun dianggap lewat oleh sesetengah pihak tidak bermakna mereka tidak boleh 'mencuri' minat dan pandangan peminat seni di negara ini. "Sebaliknya kami lebih yakin kerana kemunculan kami berbekalkan pengenalan nasyid gabungan klasik, moden serta sedikit berunsurkan Carribean music,'' jelas mereka ketika berkunjung ke Utusan baru-baru ini. Oleh yang demikian, Diwani berkeyakinan tinggi album sulung mereka yang diterbitkan khusus untuk renungan semua umat Islam akan mencapai kejayaan seperti yang diharapkan. Ditanya apakah motif utama Diwani menyelitkan unsur muzik sedemikian dalam album mereka, kumpulan itu berkata, sebabnya mudah untuk mengelakkan kekeliruan di kalangan pembeli album. "Kami sedar ada sesetengah album yang punya persamaan yang cukup ketara menyebabkan peminat sukar untuk menilai yang mana hendak dibeli.

"Lantaran itu, kami mengambil inisiatif untuk menghasilkan muzik yang lain supaya orang tidak keliru,'' tegas mereka sekali lagi. Jadi kepada anda yang mahu menilai bagaimana kemampuan Diwani apa kata dapatkan album kumpulan itu yang memuatkan lagu-lagu seperti Subhanallah, Jalan Yang Satu, Ya Rasulullah dan lain-lain lagi.

You might also like