You are on page 1of 3

Pasrah

Oleh” Khairullah Affarouk Bin Paiman

Alis mata ku tutup rapat-rapat, nafas kutarik perlahan-lahanmelalui rongga hidung

yang agak tersumbat akibat selesema. Di kejauhan, kedengaran hiruk-pikuk kenderaan

lalu-lalang menyambut dinihari. Hairan aku pada waktu begini, mereka telah pergi ke

kebun menorah getah sedangkan kebiasaannya waktu begini kebanyakan manusia sedang

lena diulit mimpi.

Aku membuka mata perlahan-lahan, ku kerling ke kanan katil, semalam ada

potret wajah ibu di situ, ada potret wajah ayah dan tergantung pula di hadapan pintu,

potret kami sekeluarga. Kini potret itu masih di situ tetapi tidak kelihatan lagi. …

Mengapa semalam berlainan dengan hari ini sedang semalam kuteliti, kuamati, dan

kuhayatinya tapi kini aku tidak boleh menatapnya dari pembaringan ini. Aku bangun

perlahan-lahan, kuhalakan tangan ke hadapan menyentuh bingkai potret di dinding,

kucuba amatinya tetapi penglihatanku semakin kabur, sebak pilu menerpa tangkai hatiku.

Benarkah aku kini telah buta……? Aku tak mahu mengakuinya tetapi itulah hakikatnya.

Ayah, benarkah kau sayang padaku sehingga berhabisan wang ringgit merawat

mata ini? Ibu, masih kau mengasihiku dengan linangan air mata simpati atas kehilangan

penglihatanku? Ibu dan ayah, kau menyayangi dan mengasihi penglihatanku atau aku

yang ada di situ. Fikiranku kian menjadi buntu. Ayah sayang mataku atau sayangkan
anakmu. Ibu sayang mataku atau sayangkan anakmu ini. Fikiranku semakin bercelaru.

Aku kembali ke katil pembaringan yang begitu setia sejak berbulan lalu.

“Adik, makan ubat” kedengaran suara halus merdu menyusup masuk ke rongga

telingaku. Kupalingkan kepala ke kiri dan ke kanan mencari arah suara itu datang. Tiba-

tiba kurasakan tanganku disentuh oleh jari-jemari yang halus. Aku jadi terpegun, “begitu

agaknya cara yang bakal kutempkutempuhi untuk aku berkomunikasi”, bisik hatiku.

Selesai makan ubat, aku ditenangkan oleh ibu, aku diberi semangat, aku diberi kata

perangsang namun, tutur kata yang diluahkan menyebabkan aku bertambah sebak hingga

menitiskan air mata.

Kelmarin begitu ceria dan cerah sekali dunia kupandang. Semalam dunia semakin

kelam. Hari ini kurasakan dunia sudah tiada lagi. Hitam pekat mengelilingiku bagai aku

berada dalam sebuah pusara. Benarkah akan kubiarkan sekujur tubuh yang masih

bernyawa ini terkujur di liang lahad? Benarkah akan kulimpahkan sebanyak mungkin air

mata menyesali takdir yang menimpa diri ini? Pastikah aku akan Berjaya merubah semua

itu sekiranya aku bangkit dari pusara itu? Aku tinggalkan linangan air mata, akan kutabah

mengharungi sebarang suasana. Aku yakin takdir telah menukar corak penghidupanku.

Terima kasih ibu, terima kasih ayah, terima kasih adik dan abang. Kau tidak

memberi aku noktah dalam perjuanganku sebaliknya kemesraan kau teruskan jua.

Keceriaan yang aku hamparkan lalu aku tidak terasa asing terpinggir. Aku tetap manusia

rupanya, aku harus berjuang, aku reda atas anugerah Allah Yang Maha Mengasihani. Kata
ustaz, “kita tidak boleh melihat sesuatu yang Allah beri itu sesuatu yang buruk kerana

Allah Maha Adil dan Maha Perancang”. Pasti ada hikmah di sebalik kegelapan yang

kualami ini. Aku reda dan pasrah.

Terima kasih kalian yang telah menyedarkan aku bahawa aku berupaya duduk

sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan kalian semua, Cuma berilah aku sedikit

kesempatan untuk membuktikan bahawa aku boleh bersama-sama kalian. Berikanlah aku

sedikit masa daripada masa-masa kalian untuk memahami dan menyesuaikan perbezaan

antara kita. Akanku usaha sedaya mungkin merealisasikan harapan ibu dan ayah.

Langkahku di atas pentas menyambut segulung ijazah bakal membuktikan

kesungguhanku dan keprihatinanmu. Terima kasih! Hanya itu yang mampu aku luahkan

atas jasa kalian yang tidak terbilang.

Dipetik dari: Majalah Sekolah Tinggi Muar, Johor/2004

Nukilan:

Khairullah Affarouk Bin Paiman

You might also like