You are on page 1of 17

1 A.

Kajian Perpustakaan

1. 1.1

Konsep Psikologi dan Psikologi Pendidikan Konsep Psikologi

Psikologi moden bermula dalam abad ke-17. Adalah dipercayai ianya dimulakan oleh Thomas Hobbes, yang menggunakan penaakulan deduktif untuk memahami bagaimana manusia berfikir. Lain-lain ahli psikologi seperti Rene Descarters dan Baruch Spinoza menyumbang wawasan yang sangat bernilai di dalam bidang ini dengan memberi kefahaman mengenai perkaitan minda dan jasad, manakala John Locke dan yang lain-lain telah membantu mewujudkan kaedah empirik dalam kajian psikologi moden (Ragbir Kaur, 2013). Dalam abad ke-19, psikologi dijadikan sebagai satu disiplin sains. William James telah memperkenalkan kajian tentang jiwa kesedaran dalam psikologi. Kajian psikoanalisis, Sigmund Freud pula membawa pendidikan, antropologi dan perubatan ke dalam psikologi. Sekarang ini, di antara berbagai-bagai bahagian psikologi, psikologi gunaan menjadi tumpuan semua, terutama sekali psikologi klinikal, iaitu pengajian dan rawatan masalah psikologi manusia. Psikologi pendidikan terbit dan berkembang dalam abad ke-18 dan ke -19 melalui daya usaha ahli-ahli psikologi seperti Friedrich W. Froebel dan Johann Pestalozzi dan kemudiannya diperkembangkan oleh G. Stanley Hall dan E. L. Thorndike. Dewasa ini, psikologi pendidikan lebih mengambil berat tentang cara-cara menambahbaikkan kaedah-kaedah pengajaran dan pembelajaran (Ragbir Kaur, 2013). 1.2 Definisi Psikologi

Psikologi boleh didefinisikan sebagai sains pemahaman kelakuan benda-benda hidup. Ia adalah kajian mengenai kelakuan haiwan dan manusia. Perkataan psiko berasal dari Greece yang membawa makna jiwa dan logi yang bermaksud mengkaji. Oleh itu, psikologi adalah pengajian tentang jiwa dan minda, iaitu perasaan dan kelakuan benda-benda hidup (Ragbir Kaur, 2013). Dictionary.com mendefinisikan psikologi sebagai sains minda atau keadaan dan proses yang melibatkan akal dan fikiran. Ia juga boleh merujuk kepada tindakan -tindakan taktikal atau penghujahan yang tidak ketara untuk memanipulasikan atau mempengaruhi orang lain. Walaupun bahagian-bahagian tubuh fizikal lain dapat dianalisis dengan lebih mudah, proses

2 minda hanya dapat dibuat inferens melalui pengajian kelakuan yang ditunjukkan oleh seseorang. Ia memberikan petunjuk bagaimana dan mengapa manusia berkelakuan sedemikian, dalam situasi tertentu. Dalam erti kata lain, psikologi menolong kita memahami bagaimana manusia berfikir dan berperasaan (Ragbir Kaur, 2013). Menurut Shok Mee (1995), psikologi biasanya diaggap sebagai satu cabang dalam bidang sains yang menggunakan prosedur dan pendekatan yang sistematik untuk mengumpulkan maklumat demi memahami tingkah laku manusia. Psikologi adalah satu pendekatan sains yang cuba menerangkan tindakan manusia yang berpunca daripada kualiti yang diwarisi dan hasil daripada corak-corak kelakuan yang dipelajari. Melalui analisis data yang sedemikian, ahli-ahli pendidikan dapat memahami bagaimana manusia memperoleh pengetahuan dan mengenal pasti faktor-faktor yang mempengaruhi pembelajaran. Maklumat berguna ini kemudian digunakan oleh mereka untuk membentuk proses pembelajaran dan pengajaran (Ragbir Kaur, 2013). Kajian corak kelakuan dan interaksi antara benda-benda hidup adalah berbeza-beza. Oleh itu, skop dan isi kandungan psikologi dapat dibahagikan kepada banyak bahagian atau cabang, seperti psikologi remaja, psikologi haiwan, psikologi kanak-kanak, psikologi pendidikan, psikologi manusia, psikologi individu, psikologi sosial dan lain-lain lagi. Psikologi gunaan merujuk kepada penggunaan prinsip-prinsip psikologi dan teori psikologi untuk menangani masalah-masalah yang berpunca daripada faktor manusia. Tujuan kesemua jenis kajian psikologi ini ialah untuk membangunkan potensi manusia kepada peringkat yang tertinggi (Ragbir Kaur, 2013). Dengan ini saya berpendapat bahawa psikologi adalah satu bidang yang amat luas dan kompleks, merangkumi semua aspek yang mempengaruhi tingkah laku dan pengalaman manusia seperti perkembangan mental, pemikiran, ingatan, perasaan dan rohani. Pengetahuan tentang psikologi juga penting demi membawa perubahan positif dalam hidup bemasyarakat.

1.3

Psikologi Pendidikan

Pendidikan bermula dari zaman silam lagi, sejak manusia bermasyarakat belajar untuk hidup dan memelihara kebudayaan dan nilai-nilai mereka dengan menurunkannya dari generasi ke

3 generasi. Pengajaran dan pembelajaran awal adalah bermula dari nabi-nabi dan pemimpinpemimpin agama yang terpelajar dan bijaksana. Pendidikan bermula secara lisan sehinggalah alat tulis dicipta. Psikologi pendidikan adalah satu lagi psikologi gunaan yang sangat penting kepada guru dan pendidik kerana ia bersangkut paut dengan perkembangan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang ditambah baik. Bidang psikologi pendidikan telah dikaji dan

diperkembangkan oleh beberapa ahli psikologi seawal abad ke-18 telah menyumbang dengan banyak sekali dalam bidang psikologi. 1.4 Definisi psikologi pendidikan

Menurut Santrock (2001), menyatakan bahawa psikologi pendidikan adalah merupakan cabang daripada ilmu psikologi yang menekankan kepada memahami pengajaran dan pembelajaran dalam ruang lingkup pendidikan. Ilmu psikologi dan praktis memainkan peranan penting dalam psikologi pendidikan. Menurut Huffman (2004), psokologi pendidikan ialah bidang ilmu mengenai pembelajaran tentang proses pendidikan dan memperkenalkan perkembangan intelektual, sosial dan emosi kanak-kanak di dalam persekitaran sekolah. Seterusnya Clifford, 1984 (dalam Henson dan Eller, 1999) berpendapat bahawa psikologi pendidikan adalah mengaplikasikan kaedah psikologi untuk mengkaji proses pendidikan (Suppiah et. al, 2008). Psikologi pendidikan dapat didefinisikan sebagai satu kajian tentang minda manusia berkaitan dengan pembelajaran dan pengajaran. Ia adalah penggunaan prinsip-prinsip psikologi dalam penyelesaian masalah dalam pengajaran dan pembelajaran (Ragbir Kaur, 2013). Psikologi pendidikan boleh juga didefinisikan sebagai sains yang memperihalkan dan menerangkan apa yang berlaku dalam minda seseorang individu semasa ia melalui pengalaman pembelajaran sepanjang hayatnya. Psikologi pendidikan memberi gambaran dan wawasan kepada keupayaan pembelajaran seseorang individu. Ini adalah sangat penting dalam bidang pendidikan (Ragbir Kaur, 2013). Psikologi pendidikan juga merupakan satu bidang saintifik atas tingkah laku murid yang dapat membantu guru memahami murid dan membimbingnya dalam pembelajaran serta menambahkan keberkesanan pengajaran guru (Suppiah et. al, 2008).

4 Kefahaman tentang prinsip-prinsip yang menerangkan bagaimana pembelajaran berlaku dengan berkesan membantu pendidik dalam mereka bentuk arahan dalam bilik darjah. Maklumat yang dikumpulkan melalui psikologi pendidikan digunakan untuk menstrukturkan kurikulum supaya pengajaran dan pembelajaran di sekolah berlaku dalam keadaan optima (Ragbir Kaur, 2013). Saya berpendapat bahawa psikologi pendidikan penting bagi setiap guru kerana membolehkan guru memahami mengapa pelajar bertingkah laku sedemikian, membantu pelajar lebih memahami diri mereka sendiri, membantu guru merancang objektif dan matlamat pembelajaran yang sesuai dengan pelajarnya dan merumuskan langkah-langkah supaya pelajarnya dapat mencapai matlamat dan objektif pembelajaran yang telah ditetapkan.

2.

Kepentingan Guru-Guru Mengetahui Tentang Psikologi Pendidikan Bagi Tujuan Pengajaran dan Pembelajaran Mereka Di Dalam Bilik Darjah.

Di dalam psikologi pendidikan, fokus utama ialah kepada kecerdasan otak, emosi dan perkembangan moral, iaitu perkembangan kognitif dan efektif seseorang individu. Psikologi pendidikan mengkaji tentang pertumbuhan fizikal dan perkembangan minda yang

mempengaruhi proses pembelajaran yang berlaku dalam seseorang individu. Ia juga mengkaji factor-faktor yang mempengaruhi perbezaan individu seperti kecerdasan IQ (Intelligence Quotient) dan EQ (Emotional Quotient) (Ragbir Kaur, 2013). Psikologi pendidikan juga membantu guru-guru untuk memahami faktor-faktor pewarisan dan persekitaran yang mempengaruhi proses pembelajaran seseorang individu. Maklumat daripada psikologi pendidikan menjadi asas kepada perancangan kaedah-kaedah pengajaran dan hasil pembelajaran di dalam pendidikan di bilik darjah. Kepentingannya adalah seperti berikut: 1) Psikologi pendidikan membantu guru-guru memahami murid-murid daripada aspek faktor-faktor biologi dan sosial yang berkaitan dengan keluarga, sekolah dan persekitaran am yang mempengaruhi pengajaran dan pembelajaran. Kesan

persekitaran ke atas perkembangan umum seseorang murid seperti kesan kemiskinan, status sosioekonomi, jantina dan kelainan kebudayaan bersama-sama dengan kesan persekolahan sendiri dapat difahami dan diamati dengan lebih senang lagi. Ia

5 membantu guru-guru merancang pengajaran dengan lebih berkesan kerana ia mengambil kira kefahaman kanak-kanak sebagai murid dan kesan daripada berbagaibagai jenis pendekatan pengajaran.

2) Psikologi pendidikan juga dapat membantu guru-guru menyediakan bahan pengajaran yang sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran yang optima dengan menaksir umur dan pengalaman murid-murid dalam aspek-aspek bacaan dengan berkesan, pengajaran matematik secara progresif dan penglibatan murid-murid dalam penulisan. 3) Selain itu juga, psikologi pendidikan membantu guru-guru untuk merancang kurikulum yang sesuai dalam kemahiran-kemahiran berikut: a) Bagaimana hendak melaksanakan satu kurikulum merentasi murid-murid dengan tahap-tahap pencapaian dan keinginan yang berlainan. b) Mengenal pasti pedagogi-pedagogi yang sesuai untuk pembelajaran optima. c) Memahami kaedah penaksiran perkembangan murid-murid dan mengenal pasti tahap kecerdasan umum murid-murid. d) Mengurus dan mengguna alat-alat pengukuran dan penilaian yang berbeza-beza.

4) Disamping itu juga, psikologi pendidikan dapat membantu guru-guru untuk mengurus disiplin di dalam bilik darjah dengan mengambil tindakan yang sesuai bagi tingkah laku bermasalah dengan tidak menyebabkan penderitaan kesan negatif kepada kehormatan dan imej kendiri murid-murid.

5) Ia juga membantu perkembangan profesion guru-guru dengan membantu guru-guru menganalisis amalan-amalan, kepercayaan dan sikap mereka sendiri dalam pengajaran dengan bertambahnya pengetahuan yang diperoleh daripada pakar-pakar psikologi pendidikan dari semasa ke semasa. 6) Psikologi dalam pendidikan juga membantu guru-guru memperbaiki strategi pengajaran mereka, berdasarkan teori-teori yang telah terbukti dan teruji dalam kajian-kajian psikologi pendidikan itu sendiri. Empat teori utama iaitu Teori Perkembangan Kognitif Piaget dan Vygotsky, Teori Perkembangan Sosioemosi Erikson, Teori Penaakulan Moral Kohlberg, Teori Tugas Perkembangan oleh Havighurst di sokong oleh teori-teori lain

6 yang berkaitan pembelajaran memberikan guru kefahaman tentang sifat semula jadi kanak-kanak yang boleh dimanipulasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (Suppiah et. al, 2008). 7) Bidang ini juga membantu guru supaya lebih memahami diri sendiri, memperbaiki dan melengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran yang sepatutnya ada pada seorang guru. Guru mesti bercakap di hadapan kelas dengan suara yang jelas dan lantang, menghuraikan fakta dengan tersusun, berpakaian kemas supaya senang dipandang oleh pelajar, menjalin hubungan mesra dengan pelajar, berkebolehan mengawal kelas dan mempunyai keyakinan diri apabila berada dihadapan kelas (Suppiah et. al, 2008). Oleh itu, psikologi pendidikan adalah suatu bidang yang memberi kefahaman kepada guru tentang pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak dan proses pembelajaran supaya guru menjadi lebih prihatin kepada pelajar yang lebih muda umurnya dan sedang melalui proses pertumbuhan fizikal, kognitif, emosi dan sosial. Perkara tersebut perlu diketahui oleh guru kerana keupayaan kecerdasan dan kebolehan tidak sama antara kanak-kanak, remaja dan orang dewasa. Guru yang efektif adalah guru yang melangkah ke dalam bilik darjah dengan bergaya dan dilengkapi dengan ilmu mengenai sifat dan tabii pelajar-pelajarnya.

Saya berpendapat bahawa ilmu psikologi pendidikan adalah penting bagi semua guru kerana tugasnya bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi juga diamanahkan untuk melahirkan manusia yang kamil dan baik budi pekertinya serta bertanggungjawab kepada keluarga, bangsa, agama dan negaranya.

7 B. Penulisan Akademik

Pendekatan dan cadangan yang berkesan untuk membantu guru-guru mengendalikan perbezaan individu murid dalam bilik darjah. 1. Konsep perbezaan individu

Individu-individu berbeza dari segi pemikiran, perasaan dan tingkahlaku. Manusia boleh dikategorikan mengikut kebijaksanaan dan perwatakan personaliti mereka. Plato mengatakan bahawa, Tiada dua individu yang sama, tetapi setiap individu adalah berbeza dengan yang lain secara semulajadi, di mana seseorang itu sesuai untuk sesuatu pekerjaan manakala yang lain sesuai untuk pekerjaan yang lain. Kajian tentang perbezaan individu amat berguna bagi menerangkan dan meramal tingkahlaku dan prestasi murid-murid di dalam bilik darjah. Perbezaan individu adalah berkait rapat dengan keunikan dan kepelbagaian yang wujud dalam kalangan manusia (Ragbir Kaur, 2013). Perbezaan individu juga boleh didefinisikan sebagai kepelbagaian atau perbezaan dalam watak personaliti individu-individu daripada norma kumpulan atau dari aspek-aspek kognitif, emosi, fizikal, sosial, bakat dan sebagainya. Kebiasaannya, perbezaan individu ini diperlihatkan melalui perbezaan personaliti, motivasi, kebijaksanaan, kebolehan, minat, nilai dan konsep kendiri individu-individu. Perbezaan dari aspek jantina, kebijaksanaan dan personaliti turut mempengaruhi pengajaran dan pembelajaran. Kefahaman tentang perbezaan-perbezaan tersebut akan membantu guru-guru merancang strategi-strategi yang sesuai bagi mengoptimakan kejayaan pengajaran mereka. Justeru itu, guru-guru mesti mengkaji bagaimana perbezaan individu mempengaruhi tingkah laku murid-murid dan proses pengajaran dan pembelajaran (Ragbir Kaur, 2013). Ramlah Jantan dan Mahani Razali (2002) telah membahagikan aspek-aspek perbezaan individu kepada sebelas aspek berlainan iaitu seperti dalam rajah dibawah:

ASPEK PERBEZAAN INDIVIDU

fizikal

mental

budaya

bahasa

etnik

gaya kognitif

emosi

sosial

personaliti

agama

temperamen

Sumber: Ramlah Jantan dan Mahani Razali (2002) Walau bagaimanapun, setiap penulis menyatakan aspek perbezaan individu adalah berbeza kerana adakalanya satu aspek itu bergantung antara satu sama lain, misalnya perbezaan fizikal mempunyai hubungan rapat dengan temperamen. Di sini perbezaan individu akan dihuraikan mengikut aspek-aspek seperti bentuk fizikal, kognitif, emosi, sosial, budaya dan agama (Suppiah et. al, 2008). i) Perbezaan Fizikal Secara fizikal, semua murid berbeza dari segi saiz dan bentuk yang menyebabkan perbezaan kepada kekuatan fizikal. Secara amnya, kekuatan fizikal murid-murid lelaki lebih kuat berbanding dengan pelajar perempuan. Murid-murid lelaki biasanya adalah lebih lasak dan terlibat dengan pelbagai aktiviti-aktiviti luar yang mencabar seperti memanjat gunung, abseiling, berkayak dan sebagainya (Ragbir Kaur, 2013). Kebanyakan murid-murid mempunyai pertumbuhan fizikal yang normal tetapi ada juga yang bermasalah fizikal seperti cacat dan kurang upaya. Murid-murid tersebut memerlukan perhatian dan keperluan yang lebih bagi membantu mereka mendapat pencapaian akademik optima di sekolah-sekolah khas. Perbezaan fizikal juga jelas kelihatan dari segi warna kulit, mata, rambut, kadar kebotakan dan mempunyai uban. Akal dan struktur kognitif juga berubah mengikut kematangan.

9 ii) Perbezaan kognitif

Murid-murid mempunyai kebolehan kognitif yang pelbagai termasuk kebolehan lisan, memproses maklumat, kebolehan spatial dan matematik. Mereka boleh memproses pelabagai rangsangan dari keadaan sekeliling dengan pelbagai cara. Kadar penerimaan dan memproses maklumat individu berbeza kebolehan tersendiri otak masing-masing. Memori dan kemahiran menulis adalah berbeza dikalangan murid-murid. Secara amnya, murid-murid perempuan lebih baik dari segi ingatan berbanding dengan murid-murid lelaki terutama semasa sekolah rendah. Kebolehan spatial dan kebolehan mental adalah lebih baik dikalangan murid-murid lelaki. Kebiasaannya, murid-murid lelaki lebih baik dalam bidang matematik dan sains, tetapi murid-murid perempuan lebih bagus dalam aspek membaca dan bidang sastera. Muridmurid lelaki lebih berkebolehan dalam aspek logik dan analisis. Oleh itu, mereka lebih bagus dalam proses penyelesaian masalah (Ragbir Kaur, 2013). iii) Perbezaan Emosi

Murid-murid memiliki kepelbagaian tahap kestabilan emosi. Kepelbagaian ini disebabkan oleh keadaan emosi di sekeliling murid-murid semasa proses pembesaran mereka. Emosi seseorang kanak-kanak berasal dari ibu bapa dan keluarganya yang mempunyai pelbagai kemahiran sosial dan tahap sosio-emosi yang berbeza. Justeru itu, ini akan mengakibatkan lahirnya personaliti murid-murid yag berbeza. Sesetengah murid-murid memiliki tahap kecerdasan emosi (EQ) yang tinggi berbanding murid-murid yang lain. Perbezaan emosi merangkumi emosi-emosi ketakutan, sensitif, cepat marah, pemalu dan pasif. Oleh itu, guru-guru mesti berkebolehan untuk mengenalpasti perbezaan murid dari segi emosi dan menangani mereka dengan cara-cara yang sesuai untuk tujuan mendisiplinkan mereka (Ragbir Kaur, 2013).

iv)

Perbezaaan Sosial

Perbezaan sosial mungkin berpunca dari latar belakang sosio-ekonomi murid-murid dan kapasiti pendapatan keluarga masing-masing.

10 Murid-murid yang berasal dari kalangan keluarga yang mewah mendapat nutrisi yang lebih bagus dan keadaan fizikal yang terjaga rapi. Manakala murid-murid yang berasal daripada keluarga kelas pertengahan mendedahkan anak-anak mereka kepada pelbagai aktiviti yang mencabar seperti perkhemahan dan bengkel-bengkel kemahiran. Tambahan pula, kebanyakan murid-murid ini juga dihantar menghadiri kelas-kelas tuisyen bagi subjeksubjek teras utama. Sebaliknya, murid-murid daripada kalangan keluarga yang susah tidak mampu mempunyai nutrisi yang seimbang dan tidak mempunyai begitu banyak peluang untuk melibatkan diri dalam program-program yang pelbagai dan tidak mampu menghadiri kelaskelas tuisyen. Di dalam kelas, guru-guru berdepan dengan murid-murid yang memiliki pelbagai tahap sosial. Ini mewujudkan perbezaan di antara murid-murid yang berkebolehan tinggi kepada murid-murid yang kurang berkebolehan. Guru-guru perlu berkebolehan dalam menangani semua tahap sosial dan budaya murid-murid semasa pengajaran dan pembelajaran. Mereka perlu meyediakan bahan-bahan pembelajaran yang sesuai dan mengamalkan amalan differentiated learning untuk kumpulan murid-murid iaitu murid-murid yang berkebolehan tinggi, berkebolehan sederhana dan kurang berkebolehan (Ragbir Kaur, 2013). v) Perbezaan Budaya

Perbezaan budaya wujud di dalam kelas yang terdapat pelabagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan komuniti etnik yang lain. Perbezaan budaya ini merangkumi perayaan. Sistem kepercayaan, makanan dan pemakaian murid-murid. Setiap budaya mempunyai norma dan kepercayaan masing-masing. Contohnya, kaum India secara tradisinya mengelak daripada makan makanan yang berasaskan daging lembu manakala kaum Melayu pula haram untuk makan daging khinzir disebabkan oleh agama yang dianutinya. Oleh itu, guru-guru dan murid-murid di sekolah perlu mempunyai pengetahuan dan hormat menghormati terhadap perbezaan budaya ini. Bagi mencapai kesihatan integrasi sejagat, banyak usaha-usaha dibuat bagi memberi pengetahuan dan menerima amalan budaya di antara satu sama lain. Ini adalah penting untuk kejayaan sesebuah negara dan sistem pendidikannya.

11 Toleransi dan penerimaan antara kaum mesti dijalankan di dalam kelas dan semua sekolah. Peranan dan sikap guru-guru adalah yang paling utama bagi melahirkan masyarakat yang berintegrasi. Pelbagai aktiviti perlu dirancang oleh guru-guru untuk menanamkan nilai-nilai penghormatan budaya lain (Ragbir Kaur, 2013).

vi)

Perbezaan Rohani / Agama

Perbezaan rohani lahir disebabkan oleh faktor perbezaan budaya. Setiap individu mempunyai kepercayaan atau agama masing-masing. Murid-murid dibesarkan mengikut

sistem agama tertentu dari ibu bapa dan keluarga mereka. Para murid-murid dari latar belakang agama yang berbeza akan bersembahyang di tempat-tempat yang berbeza dan mempunyai kepercayaan yang berbeza. Oleh itu, guru-guru mesti bertanggungjawab supaya lebih sensitif terhadap agama muridmuridnya yang berbeza-beza dan tidak tersalah anggap terhadap nilai-nilai agama dan pendapat mereka. Justeru itu, guru-guru harus menggunakan nilai-nilai rohani yang am dan universal bagi bilik darjah yang mempunyai pelbagai kaum (Ragbir Kaur, 2013). Menurut Suppiah et. al (2008), antara pendekatan dan cadangan untuk membantu guruguru mengendalikan perbezaan individu tersebut adalah: i) Mempelbagaikan strategi pengajaran dan pembelajaran

Strategi yang berkesan adalah diperlukan dalam pengajaran dan pembelajaran. Pada umumnya strategi terbahagi kepada 3 jenis, strategi pemusatan, iaitu pemusatan kepada guru, murid atau bahan. Pemilihan strategi pengajaran oleh guru bergantung pada situasi murid. Pemusatan strategi yang dipilih adalah tidak tetap kerana ia boleh diubah-ubah mengikut keadaan semasa murid. ii) Memberi peneguhan positif dan peneguhan negatif

Ahli psikologi mengambil berat tentang kemahiran guru menggunakan peneguhan di dalam bilik darjah. Peneguhan positif bermakna guru memberikan pujian atau hadiah kepada satu tingkah laku positif yang ditunjukkan oleh murid. Sebaliknya jika sesuatu tingkah laku yang

12 ditunjukkan oleh murid itu tidak dikehendaki atau negatif guru boleh menggunakan peneguhan negatif. iii) Teknik motivasi

Motivasi bermakna penggerak untuk memandu tingkah laku murid ke arah yang lebih dinamik. Guru mungkin bertemu dengan kumpulan murid-murid yang tidak bermaya, malas belajar, tidak mempunyai cita-cita dan suka ponteng kelas. Mengikut Greece, seorang tokoh motivasi menyatakan setiap tingkah laku individu yang berbeza-beza memerlukan satu teknik motivasi yang berbeza-beza. Oleh itu, guru perlu biasa dan memahirkan diri dengan pelbagai teknik motivasi. iv) Merancang variasi penyampaian

Variasi penyampaian bermakna guru menggunakan segala kebolehan dan bakat sebagai guru semasa berhadapan dengan murid. Guru perlu menggunakan semua pancainderanya seperti tepuk tangan, fokus pandangan, gerakan kepala dan geraka fizikal yang pelbagai. Ini mampu menarik perhatian murid. Guru juga dikehendaki menukar-nukarkan intonasi suara supaya murid benar-benar terhibur. v) Nasihat kaunseling pembelajaran

Individu yang berbeza memerlukan teknik nasihat yang berbeza-beza. Guru perlu mempunyai asas kemahiran kaunseling. Etika kaunseling adalah penting apabila berhadapan dengan murid. Pasti ada murid yang tidak sanggup berhadapan dengan pembetulan tingkah laku secara terang-terangan. Kepercayaan murid pada guru bergantung kepada perhatian guru kepada mereka. Guru yang memahami masalah murid sahajalah yang mampu menyelesaikan masalah pembelajaran murid (Suppiah et. al, 2008). Oleh itu, perbezaan individu dalam kalangan pelajar boleh dikenal pasti dari pelbagai aspek yang telah diterangkan. Perbezaan ini telah memberi implikasi yang besar terhadap pengajaran dan pembelajaran dan membawa kepada pendekatan yang berbeza bagi setiap perbezaan dalam kalangan pelajar dalam sesebuah bilik darjah.

13

c.

Penulisan Reflektif

Dalam menyiapkan tugasan ini, saya telah memperoleh pelbagai pengalaman dan pengetahuan yang berguna. Bermula dengan proses mencari bahan-bahan rujukan yang berkaitan, membuat kajian sehinggalah proses dokumentasi maklumat-maklumat yang diperoleh. Saya telah mengumpulkan maklumat melalui pelbagai sumber terutamanya buku, temubual dengan guruguru di sekolah serta maklumat di alam maya. Melalui sumber tersebut, saya mula menganalisis setiap maklumat yang penting dan perlu di masukkan dalam tugasan serta menilai yang manakah maklumat terbaik untuk tugasan saya. Walaupun banyak sumber yang diperoleh, namun maklumat yang ada adalah lebih kurang sama dan di sini saya bertindak membahagi-bahagikan maklumat supaya seimbang antara sumber- sumber yang ada. Untuk mendapatkan maklumat, pada mulanya saya telah bertanya kepada guru-guru di sekolah samada mereka mempunyai buku-buku rujukan tentang psikologi, memandangkan mereka juga pernah melalui zaman belajar di Institut Perguruan sebelum ini. Saya bernasib baik kerana beberapa orang guru telah memberi kerjasama dengan meminjamkan buku-buku rujukan yang berkaitan. Maklumat yang ingin didapati senang untuk diperoleh di dalam bukubuku tersebut. Saya sangat berbesar hati kerana mereka banyak membantu dalam menyiapkan tugasan ini. Selain daripada buku-buku yang diperoleh daripada guru di sekolah saya, saya juga ada bertukar-tukar buku dengan rakan-rakan seperjuangan yang tinggal berdekatan. Mereka juga memberi kerjasama yang baik dan berkongsi maklumat yang mereka perolehi. Kami juga berkumpul untuk berbincang perkara-perkara penting yang perlu dimasukkan dalam tugasan. Sebarang kemusykilan juga dapat diselesaikan hasil daripada perbincangan kami. Dengan ini, proses untuk mengumpulkan maklumat lebih mudah walaupun terdapat sedikit kesulitan. Namun akhirnya, saya berjaya menyiapkan tugasan ini hasil usaha sendiri dan kerjasama daripada orang-orang di sekeliling saya. Saya juga berpengalaman mendapatkan maklumat di perpustakaan kawasan pekan berdekatan dengan rumah saya. Walaupun kecil dan buku-bukunya terhad, namun saya dapat juga memperoleh sedikit maklumat. Pegawai yang bertugas juga memberi kerjasama yang baik sepanjang saya mencari maklumat di perpustakaan tersebut.

14 Semasa menjalankan tugas ini juga, timbul pelbagai masalah yang dihadapi antaranya adalah kekangan masa. Tugas mengajar di sekolah dan pelbagai tugas lain agak membebankan saya dan saya perlu mengejar masa untuk menyiapkan tugasan ini dalam masa yang di tetapkan. Dengan masa yang agak terhad saya perlu mencari maklumat daripada pelbagai sumber bagi melengkapkan tugasan ini. Namun saya menganggap ianya satu cabaran dan tanggunggjawab yang perlu diselesaikan. Saya menggunakan sebaiknya masa terluang ketika tiada masa pengajaran dan pembelajaran (pdp). Saya juga memperuntukkan masa cuti hujung minggu untuk menyiapkan tugas ini dengan jayanya. Selain itu, saya juga menghadapi masalah kekurangan bahan rujukan. Masalah ini berlaku pada peringkat awal di mana saya buntu untuk mendapatkan maklumat kerana tiada buku rujukan. Namun akhirnya masalah ini selesai setelah berjaya meminjam buku daripada rakan-rakan guru di sekolah. Mereka banyak membantu dan memberi kerjasama yang baik dalam mendapatkan maklumat yang berkaitan. Mereka juga berkongsi pengalaman dan maklumat sebagai seorang guru dalam menghadapi pelbagai cabaran. Ilmu yang diperoleh daripada mereka sangat berguna bagi saya sebagai maklumat tambahan dalam bidang pendidikan. Selain itu juga, saya menghadapi masalah untuk mendapatkan maklumat daripada internet. Liputan di kawasan tempat tinggal saya tidak berapa baik dan ini menyebabkan saya sukar mendapatkan akses di alam maya. Namun ianya dapat diatasi kerana sekolah tempat saya mengajar boleh mendapat liputan. Saya menggunakan masa di sekolah iaitu selain waktu pengajaran dan pembelajaran (pdp) untuk mencari maklumat di internet. Rakan saya juga banyak membantu dengan memberikan maklumat melalui email. Di samping itu, saya juga menghadapi masalah untuk bergerak mencari maklumat. Dengan tiadanya kenderaan menyukarkan saya mendapatkan maklumat dan mencari bahanbahan rujukan daripada pelbagai sumber. Namun masalah akhirnya dapat diatasi kerana adanya rakan yang banyak membantu menaiki kenderaannya. Disebabkan rakan saya juga mahu menyiapkan tugasannya, kami bergerak bersama-sama berjumpa rakan-rakan yang lain untuk mengumpul maklumat. Kami juga berkunjung ke perpustakaan di pekan bersama-sama untuk mendapatkan maklumat. Walaupun pelbagai masalah yang dihadapi, saya bersyukur kerana pengalaman ini sedikit sebanyak membantu meningkatkan kefahaman saya dalam bidang pendidikan ini. Saya

15 juga lebih memahami tentang perkembangan individu. Saya memahami bahawa setiap insan mengalami pertumbuhan dan perkembangan daripada aspek fizikal, sosial, kognitif dan emosi daripada lahir sehingga remaja dan tua. Pembelajaran hanya boleh berlaku apabila aspek fizikal, kognitif dan saraf pelajar mencapai kematangan. Dengan tugasan ini juga saya dapat mengetahui bahawa sebagai seorang guru kita hendaklah sensitif dengan keadaan pelajar semenjak dari awal lagi. Oleh yang demikian seorang guru yang peka dengan keadaan pelajarnya yang berbeza dapat menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam menyediakan bahan-bahan bantu mengajar agar proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar dan berkesan untuk menarik minat pelajar. Guru berupaya merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran mengikut kebolehan pelajar. Pendekatan dan kaedah pengajaran yang sesuai seperti kumpulan, pemulihan dan pengayaan dapat membantu golongan pendidik bagi mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang menarik.

Sebagai seorang guru, adalah penting untuk mengetahui dan ambil peduli akan siapa sebenarnya pelajar-pelajar atau komuniti didalam sesebuah kelas. Guru juga perlu meneliti akan pendekatan yang bersesuaian yang dibawa oleh setiap pelajar, bakat serta minat mereka ke dalam situasi pembelajaran. Sewajarnya guru perlu mengetahui bahawa setiap individu pelajar adalah berbeza dari aspek budaya, latar belakang keluarga, dan tahap sosioekonomi yang mana sedikit sebanyak memberi kesan kepada gaya dan corak pembelajaran mereka.Setelah guru mampu memahami serta mengenali setiap jenis pelajar didalam kelas, impaknya pelajar boleh mencapai kejayaan daripada hasil pembelajaran mereka di sekolah. Perkembangan individu seseorang pelajar dapat saya lihat dalam sesi pengajaran dan pembelajaran saya di sekolah di mana setiap pelajar mempunyai perbezaan mengikut aspek yang telah diketahui. Harapan saya agar melalui tugasan yang telah diberikan ini saya dapat gunakannya di masa akan datang dalam usaha mempertingkatkan diri untuk terus berusaha mencapai kejayaan untuk menjadi seorang pelajar dan guru yang berdedikasi dan serba boleh. Saya juga berharap segala hasil usaha kami ini dapat digunakan dan diaplikasikan oleh rakanrakan lain dalam mengharungi cabaran untuk menjadi seorang guru yang dapat mendidik anak bangsa dengan berkesan.

16 BIBLIOGRAFI Lee Shok Mee. (1995). Asas Pendidikan 2: Murid dan Proses Pembelajaran. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Ragbir Kaur Joginder Singh. (2013). Panduan Ilmu Pendidikan untuk DPLI Psikologi. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Suppiah Nachiappan, Ramlah Jantan & Abdul Aziz. (2008). Siri Pendidikan Guru: Psikologi Pendidikan. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

17

You might also like