You are on page 1of 12

Laporan Lawatan ke Bank Grameen, Bangladesh Dari 9 hingga 13 Ogos 2009

Azlee Ashraf Bin Ruslee

Sekilas tentang Bank Grameen


Bank Grameen merupakan sebuah bank yang menyediakan
pinjaman kecil-kecilan (disebut pinjaman mikro) untuk golongan miskin,
tanpa memerlukan penjamin atau cagaran untuk membantu memperbaik
taraf hidup mereka. Konsep ini tidak masuk akal semasa awal
peraksanaannya pada 1970-an dan 1980-an. Tiada bank yang ingin
memberi pinjaman kepada orang miskin kerana mereka tidak
mempunyai sebarang harta untuk dicagar. Profesor Muhammad Yunus,
seorang pensyarah ekonomi di Universiti Chittagong di Bangladesh telah menyedari ketidakadilan
sistem kewangan ini. Beliau telah bertungkus-lumus mewujudkan sistem kewangan yang lebih adil
kepada orang miskin melalui projek-projek Grameen bermula pada tahun 1976, sehinggalah
terbentuknya Bank Grameen yang diiktiraf kerajaan Bangladesh pada tahun 1983 melalui
undang-undang yang digubal khas untuk meluluskan penubuhan bank ini. Profesor Yunus dan Bank
Grameen telah dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 2006 atas usaha-usahanya dalam
pembasmian kemiskinan di seluruh dunia.
Golongan miskin di Bangladesh tidak mempunyai peluang sedikit pun untuk memperbaik taraf
hidup mereka sebelum wujudnya Bank Grameen. Ada yang bernasib baik, akan membuat barangan
kraftangan seperti bangku daripada buluh, dan menjualnya kepada orang tengah dengan bayaran dua
sen sehari. Mereka sangat rajin dan kreatif, bekerja tanpa henti sepanjang hari, tetapi hidup mereka
tetap tidak berubah kerana tiada peluang diberikan oleh masyarakat kepada mereka. Yang kurang
bernasib baik, akan mengemis sepanjang hayat.
Hanya setelah Grameen diperkenalkan, seorang ahli setiap keluarga miskin, terutama wanita,
layak menerima pinjaman bagi meningkatkan taraf hidup masing-masing. Peminjam hendaklah
membentuk kumpulan yang terdiri daripada lima hingga sembilan ahli, dan pinjaman hendaklah
dipohon setelah kumpulan dibentuk. Pinjaman berkumpulan ini diperkenalkan bukan sahaja agar
setiap ahli dapat menyokong dan membantu satu sama lain, bahkan menjadikan setiap peminjam
lebih bertanggungjawab terhadap pinjaman mereka. Semua peminjam mesti mengikuti kursus untuk
memahami polisi Bank Grameen dan mereka perlu lulus ujian lisan sebelum pinjaman diluluskan.
Bank Grameen telah menetapkan enam belas perkara yang perlu disematkan sebagai azam oleh
peminjam sebelum permohonan diluluskan. 16 azam tersebut ialah:
1. Kami akan mematuhi empat prinsip Bank Grameen – Disiplin, Perpaduan, Keberanian, dan
Kegigihan – sepanjang hidup kami.
2. Kami akan membawa kemakmuran kepada keluarga kami.
3. Kami tidak sepatutnya tinggal di rumah yang usang. Kami akan membaiki rumah kami dan
berusaha membina rumah yang baru secepat mungkin.
4. Kami akan menanam sayur-sayuran sepanjang tahun. Kami akan memakan sebanyak mungkin
sayuran tersebut dan menjual yang selebihnya.
5. Sepanjang musim menanam, kami akan menyemai benih sebanyak mungkin.
6. Kami akan membina keluarga yang kecil. Kami akan meminimumkan perbelanjaan kami. Kami
akan menjaga kesihatan kami.
7. Kami akan mendidik anak-anak kami dan memastikan mereka boleh menyara pendidikan
mereka.
8. Kami akan sentiasa memastikan anak-anak dan persekitaran kami dalam keadaan yang bersih.
9. Kami akan membina dan menggunakan tandas gali.
10. Kami akan minum air dari perigi. Jika tiada, kami akan mendidhkan air atau menggunakan
tawas.
11. Kami tidak seharusnya menerima hantaran daripada perkahwinan anak lelaki kami, tidak juga
memberi hantaran semasa perkahwinan anak perempuan kami*. Kami akan memastikan pusat
kami bebas daripada tradisi hantaran perkahwinan. Kami tidak akan mengahwinkan anak-anak
kami yang masih kecil.
12. Kami tidak akan berlaku khianat terhadap sesiapa pun. Tidak juga kami akan membiarkan orang
lain berlaku tidak adil kepada kami.
13. Kami akan membuat pelaburan yang lebih besar untuk pendapatan yang lebih tinggi.
14. Kami akan sentiasa bersedia membantu satu sama lain. Sekiranya seseorang ditimpa kesusahan,
kami akan memberi bantuan kepadanya.
15. Sekiranya kami mendapat tahu terdapat salah laku disiplin di mana-mana pusat, kami akan pergi
melawat dan mendisiplinkan pusat tersebut.
16. Kami akan mengambil bahagian dalam segala aktiviti kemasyarakatan.
*Di Bangladesh, keluarga perempuan yang memberi hantaran kepada keluarga lelaki.
Sumber: Grameen Bank at a Glance, Penerbitan Bank Grameen

16 azam ini merupakan sesuatu yang amat


memberangsangkan bagi meningkatkan taraf hidup
sesebuah keluarga. Setelah permohonan pinjaman
mendapat kelulusan, mereka akan membuat
pembayaran semula berdikit-dikit secara mingguan,
bermula sebaik sahaja seminggu selepas kelulusan.
Memberi pinjaman kepada golongan miskin mungkin menggusarkan sesetengah pihak, kerana
masyarakat kita umumnya mempunyai pandangan skeptikal bahawa orang miskin gagal mengubah
hidup mereka akibat kemalasan dan kebodohan mereka. Ramai beranggapan bahawa orang miskin
tidak mungkin boleh membayar semula pinjaman mereka. Pun begitu, Grameen telah membuktikan
betapa silapnya tanggapan masyarakat kita. Rekod Grameen selama lebih tiga abad menunjukkan
kadar bayaran balik golongan ini ialah 98 peratus, jauh lebih baik daripada rekod golongan yang
berpendapatan tinggi. Hampir kesemua si miskin yang dipandang serong oleh masyarakat ini
menepati janji mereka melangsaikan hutang. Kebanyakan mereka malah memohon pinjaman yang
lebih besar untuk melebarkan sayap perniagaan mereka yang semakin maju.
Replikasi kaedah Bank Grameen di luar Bangladesh bermula pada tahun 1987, apabila Profesor
David Gibbons bersama rakannya Profesor Sukor Kassim dari Universiti Sains Malaysia
melancarkan Projek Ikhtiar, yang kemudiannya dikenali sebagai Amanah Ikhtiar Malaysia selepas
melawat Bank Grameen di Bangladesh untuk beberapa minggu. Sejak dari itu, terdapat
projek-projek replikasi di negara-negara Asia Tenggara, Amerika Selatan, Afrika, malah di
negara-negara yang lebih kaya seperti Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah. Berdasarkan
kejayaan yang memberangsangkan ini, Profesor Yunus menetapkan wawasannya untuk melihat
dunia tanpa kemiskinan pada 2060.
Menurut Profesor Yunus, orang miskin kekal miskin, bukannya kerana kemalasan atau
kebodohan mereka, tetapi kerana mereka tidak mendapat pulangan yang setimpal atas hasil usaha
mereka. Mereka kekal miskin kerana tiada institusi kewangan yang memberi peluang kepada mereka
mengukuhkan kedudukan kewangan mereka. Mereka tidak mempunyai modal, sebaliknya hanya
bekerja sehari suntuk untuk orang tengah yang mengambil kesempatan ke atas kesusahan hidup
mereka. Profesor Yunus percaya, hanya dengan mempunyai modal sendiri orang miskin mampu
membawa diri mereka keluar daripada aras kemiskinan. Setiap tahun, Bank Grameen akan membuat
penilaian sama ada kedudukan ekonomi sesebuah keluarga peminjam sudah bertambah baik atau
tidak. Sesebuah keluarga itu dikira keluar dari garis kemiskinan sekiranya mereka memenuhi kriteria
berikut (disebut 10 kayu ukur):
1. Keluarga itu tinggal di rumah yang bernilai sekurang-kurangnya Tk 25000 (JPY 33000 atau RM
1300 )
2. Ahli keluarga itu minum air bersih dari telaga, air masak, atau air yang dibersihkan dengan
tawas, penapis air ataupun tablet penjernihan.
3. Semua kanak-kanak dalam keluarga itu yang berusia lebih enam tahun dapat bersekolah dan
menamatkan sekolah rendah.
4. Peminjam itu mampu membuat bayaran balik sekurang-kurangnya Tk. 200 ( JPY 270, RM 10)
atau lebih setiap minggu.
5. Keluarga itu menggunakan tandas sanitari.
6. Keluarga itu mempunyai pakaian yang cukup untuk kegunaan harian, pakaian sejuk untuk
musim sejuk, dan kelambu untuk melindungi mereka daripada nyamuk.
7. Keluarga itu mempunyai pendapatan tambahan seperti kebun sayuran, pokok buah-buahan dan
sebagainya agar mereka dapat mencari pendapatan lebih ketika keadaan mendesak.
8. Peminjam berjaya mengekalkan purata baki akaun Tk. 5,000 (JPY 6700, RM 250) dalam akaun
simpanannya.
9. Keluarga itu tidak mengalami kesukaran menyediakan tiga kali hidangan makanan sehari untuk
sepanjang tahun, dan tiada ahli keluarga yang menderita kelaparan.
10. Keluarga itu mampu menjaga kesihatan mereka. Sekiranya ada ahli keluarga yang jatuh sakit,
keluarganya mampu mengambil langkah yang perlu untuk mendapatkan rawatan.
Sumber: Grameen Bank at a Glance
Grameen bukanlah hanya sebuah bank. Ia merupakan sebuah gergasi korporat yang besar. Selain
bank, terdapat juga Grameen Phone, rangkaian penyedia perkhidmatan telefon bimbit terbesar di
Bangladesh, Grameen Cybernet Ltd dan Grameen Communications., pembekal sambungan internet,
Grameen Education (Grameen Shikkha) yang membawa teknologi pendidikan ke kawasan
pedalaman, Grameen Energy (Grameen Shakti), sebuah syarikat yang bertujuan membangunkan
tenaga baru seperti tenaga suria, Grameen Knitwear Ltd. yang mengeksport fabrik bermutu tinggi
ke Amerika, India dan Eropah, Grameen Telecom yang menyediakan perkhidmatan telefon di luar
bandar, Grameen Fund yang menyediakan pinjaman untuk industri baru dan banyak lagi. Grameen
juga bukanlah sebuah badan kebajikan. Ia merupakan kumpulan swasta yang mengaut keuntungan,
sejajar dengan syarikat-syarikat lain di dunia kapitalis ini. Bezanya, ia mengimpikan dunia tanpa
kemiskinan dan dunia tanpa bantuan kebajikan. Tidak seperti syarikat swasta yang lain yang hanya
mengaut keuntungan, ia menjalankan perniagaan berteraskan kesedaran sosial, iaitu untuk
memaksimumkan keuntungan demi pemegang sahamnya – iaitu golongan miskin, membawa
pendidikan dan teknologi ke luar bandar, dan menyediakan pinjaman modal kepada golongan miskin
yang berazam memulakan perusahaan. Grameen merupakan contoh kepada sesiapa yang ingin
menceburi bidang perniagaan berteraskan kesedaran sosial. Ia tetap mementingkan keuntungan demi
kelangsungan sistemnya, menghapuskan kebergantungan kepada penderma, dan keseimbangan
antara keuntungan – yang dikehendaki semua orang – dan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.
Lawatan saya ke Bank Grameen pada musim panas tahun ini bertujuan melihat sendiri dengan
mata saya isu kemiskinan yang membelenggu dunia, khususnya di negara termiskin iaitu Bangladesh,
dan seterusnya menyaksikan sendiri keberkesanan kaedah kredit mikro melalui pertemuan dengan
usahawan-usahawan di Bangladesh yang telah dilahirkan oleh Bank Grameen. Saya ingin melihat
sendiri bukti bahawa kemiskinan mampu dibasmi, dengan syarat golongan miskin diberi peluang
yang sama rata dengan golongan kaya dan kelas menengah oleh institusi-institusi perbankan. Juga,
saya ingin mendapat pendedahan tentang konsep perniagaan berteraskan kesedaran sosial yang
dipelopori Grameen.
Sehari di Ibu Pejabat Bank Grameen
Saya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Zia di Dhaka pada hari Ahad, 9 Ogos 2009

bersama rakan saya, Hayashi Kanako. Program saya bermula pada keesokan harinya dengan Encik
Md Bapor Ali, seorang pegawai di Bahagian Latihan Antarabangsa Bank Grameen sebagai
koordinator kami. Berbanding dengan keadaan sekeliling yang dhaif, bangunan ibu pejabat ini
merupakan sebuah bangunan yang gah, terletak di Mirpur, Dhaka. Setelah mendengar taklimat
tentang sejarah dan falsafah penubuhan Bank Grameen oleh Pengurus Besarnya, Puan Nurjahan
Begum, kami melawat arkib di tingkat atas bangunan tersebut, yang mempamerkan anugerah, pingat,
dan sijil-sijil pengiktirafan yang diterima oleh Bank Grameen dan Profesor Yunus. Melihat
anugerah-anugerah tersebut telah meyakinkan saya bahawa usaha-usaha bank ini memang signifikan,
sehingga diiktiraf oleh seluruh dunia. Selain Kanako, tiga peserta dari Korea – Hye Yong Son, Ga
Ram, dan Yun Jin, serta seorang peserta dari Jerman, Johannes telah mengikuti sesi ini bersama saya.
Awal pagi itu, apabila saya menyatakan hasrat saya untuk bertemu muka dengan Profesor Yunus,
saya telah dimaklumkan bahawa ia agak mustahil kerana beliau akan bertolak ke Amerika Syarikat
petang itu untuk bertemu Presiden Obama bagi menghadiri upacara penganugerahan Pingat
Kebebasan – satu lagi koleksi pingat beliau. .Bagaimanapun, saya sangat beruntung kerana Profesor
Yunus bersetuju untuk bertemu kami bagi sesi bergambar petang itu, sejurus sebelum bertolak. Kami
tidak sempat berbual apa-apa dalam masa sesingkat itu, namun pengalaman bertemu lelaki yang
penuh kaliber seperti beliau merupakan kenangan yang tidak akan saya lupakan.
Lawatan ke Sonargaon
Pada 11 dan 12 Ogos 2009, saya bersama-sama Kanako, En. Bapor dan jurubahasa kami,
Abdullah al-Fuad telah diberi peluang melawat Sonargaon (disebut Sonarga), sebuah mukim yang
terletak di daerah Narayanganj yang terletak di bahagian tenggara Dhaka. Walaupun jarak dari
Mirpur ke Sonargaon hanyalah kira-kira 30 km, perjalanan kami dengan sebuah teksi memakan
masa tiga jam akibat kesesakan sepanjang jalan. Apabila kami tiba di Bank Grameen Cawangan
Shadipur, Pengurus Pusat, En. Musaddiq Hossein dan peon pejabat, Mujibur Rahman sudah sedia
menunggu menyambut kedatangan kami.
Bagi seorang yang tidak pernah ke bahagian pedalaman Bangladesh, memang agak sukar
mengenalpasti bangunan tersebut sebagai sebuah bank. Ciri-ciri biasa sebuah bank – mesin ATM,
kaunter pelanggan, komputer dan hawa dingin – tiada di sini. Hanya terdapat meja untuk setiap
kakitangan, meja mesyuarat, kipas siling, dan dokumen yang bertimbun-timbun di tingkat satu,
manakala di tingkat dua pula terdapat bilik untuk kakitangan bujang, bilik tetamu, dan sebuah meja
makan – seakan-akan sebuah asrama. Bangunan tersebut sangat sederhana, tetapi apa yang
mengagumkan saya ialah semangat bekerja yang ditunjukkan oleh kakitangannya. Pada sebelah pagi,
tiada seorang pun yang berada di pejabat, kecuali tukang masak yang menyediakan makan tengah
hari untuk mereka. Setiap kakitangan bertanggungjawab menghadiri mesyuarat pusat yang disertai
oleh ahli-ahli peminjam. Semasa mesyarat ini, mereka akan mendengar permasalahan peminjam dan
mengutip bayaran balik pinjaman daripada peminjam.
Selepas itu, mereka akan melawat rumah-rumah
peminjam untuk memantau perkembangan perusahaan
mereka. Pada sebelah petang pula, kakitangan ini akan
bekerja di bank untuk melulus dan mengeluarkan
pinjaman baru kepada peminjam-peminjam yang
memohon. Semasa hari lawatan saya, semua
kakitangan bekerja hingga 10 malam. Pejabat bank itu
begitu senyap sunyi ketika itu kerana masing-masing
memberi sepenuh tumpuan kepada akaun dan lejar mereka. Saya berasa kagum dengan dedikasi
mereka bekerja dengan tekun demi meningkatkan taraf hidup penduduk kampung tersebut. Dari
manalah agaknya datang semangat mereka ini?
Mesyuarat pusat ialah sidang di mana empat atau lima kumpulan peminjam berkumpul seminggu
sekali untuk berbincang tentang perkembangan masing-masing dan untuk membayar balik pinjaman
mereka kepada pegawai bank yang turut hadir. Satu cawangan bank bertanggungjawab ke atas 60
hingga 90 mesyuarat pusat. Sepanjang lawatan saya, saya telah berkesempatan menyertai dua
mesyuarat pusat. Para hadirin duduk dalam enam barisan dan memulakan mesyuarat dengan tabik
hormat dan ikrar. Saya bersama pegawai bank duduk di meja hadapan mengadap para peminjam.
Saya telah diminta bertanya sebarang soalan kepada mereka. Saya telah mengajukan beberapa soalan,
namun saya berasa amat tidak selesa duduk di hadapan secara rasmi dengan mereka. Oleh itu, pada
mesyuarat yang kedua, saya telah meminta untuk duduk di barisan belakang sekali bersama dengan
para peminjam. Kali ini, saya telah dapat berbual dengan mereka dalam suasana yang lebih mesra
dan tidak formal. Wanita di kampung ini amat pemalu dan pendiam. Bagaimanapun, apabila kami
telah berkenalan dan berjaya membina hubungan baik, mereka menjadi lebih peramah dan banyak
bercakap. Menurut En. Bapor, keadaan ini sangat berbeza dengan 20 ke 30 tahun lalu sebelum
kewujudan Bank Grameen, di mana wanita di Bangladesh tidak berani berbual dengan lelaki selain
suami dan saudara terdekat kerana status mereka yang dianggap lebih rendah berbanding lelaki.
Permintaan saya untuk bertemu usahawan-usahawan berjaya yang dilahirkan oleh Bank
Grameen tidak dikecewakan apabila saya telah diberi peluang melawat Pn. Musammat Amela
Khatun, Pn. Moni Rani dan Pn
Monoara Begum. Pn. Amela
yang merupakan ibu kepada
empat orang anak, hidup dalam
keadaan serba kekurangan 22
tahun lalu, sehinggalah
mendapat pinjaman daripada Bank Grameen. Dengan
pinjaman yang diperoleh, mereka telah membeli lembu
ternakan dan menjual 4.5 liter susu sehari yang
dihasilkan oleh lembu tersebut. Beliau begitu berjaya sehingga mampu membeli dua buah van untuk
perkhidmatan menghantar anak-anak kampung ke sekolah. Petang itu, kami berbual rancak dengan
Pn. Amela dan anak sulungnya. Mereka menjamu kami teh dan kuih kastela yang begitu lazat.
Penganut Islam dan Hindu tinggal dalam suasana aman dan harmoni di kampung itu. Amat sukar
bagi saya untuk membezakan seorang muslim dan hindu, kecuali jika terdapat tika di dahi
perempuan hindu yang sudah berkahwin. Kebanyakan mereka memakai sari dan bercakap dalam
bahasa yang sama. Sedang Pn. Amela ialah seorang muslim, jirannya, Pn. Moni Rani pula ialah
seorang hindu. Beliau membuat pinjaman modal daripada Grameen dan menjalankan perusahaan
membuat gelang perhiasan bagi penganut hindu. Gelang ini diperbuat daripada cangkerang yang
diimport dari Sri Lanka. Produk mereka dipasarkan ke Dhaka dan India, dengan keuntungan yang
agak lumayan. Kini percayalah saya bahawa golongan miskin sangat kreatif dan produktif. Mereka
hanya memerlukan peluang yang diberi oleh masyarakat. Tiada kursus latihan diperlukan untuk
melatih mereka. Bahkan, sudah menjadi dasar Bank Grameen untuk tidak menyediakan kursus
latihan, kerana bank ini percaya setiap manusia
dilahirkan dengan bakat masing-masing. Apa yang
golongan miskin perlukan untuk mengubah nasib
mereka ialah kemudahan untuk membuat pinjaman
yang akan mencungkil kebolehan yang sememangnya
dimiliki oleh mereka secara semulajadi.
Perusahaan tenunan jamdani Pn. Monoara Begum
merupakan satu lagi kisah kejayaan usahawan
Grameen. Jamdani ialah kain tenunan berkualiti tinggi
yang berasal dari Bengal. Perusahaan beliau kecil dan hanya mempunyai kurang daripada sepuluh
pekerja, tetapi jamdani yang beliau hasilkan sangat bermutu tinggi dan terkenal di serata Bangladesh.
Sehelai jamdani yang beliau hasilkan boleh mencecah harga 10000 taka (RM 350). Oleh sebab harga
dan mutu yang terlalu tinggi, produk beliau tidak terjual di Bangladesh, kerana hanya
menteri-menteri dan golongan hartawan mampu membeli jamdani beliau. Kebanyakannya dieksport
ke India melalui orang tengah. Saya bertanya kalau-kalau beliau ingin memasarkannya ke komuniti
India di Malaysia, dan jawab beliau, kalau boleh itulah impian beliau. Malah, beliau ingin membina
kilang yang besar dan menghasilkan lebih banyak jamdani setiap hari untuk dijual. Malangnya,
beliau tidak mempunyai pengetahuan untuk meluaskan pasaran dan tidak mempunyai modal yang
cukup untuk membina kilang yang lebih besar. Menggaji lebih banyak pekerja bukanlah masalah
bagi beliau. Kisah beliau ini telah menyebabkan saya kagum dengan tenaga kerja di Bangladesh.
Negara yang mempunyai penduduk yang ramai, malah rajin dan berdedikasi ini mampu membawa
kemakmuran ekonomi kepada dunia, sekiranya masa depannya dirancang dengan teliti dan
berwawasan.
Saya juga telah melawat beberapa rumah lain, yang mana saya telah dipelawa secara spontan
semasa bertemu di sekitar kampung. Antaranya ialah rumah Pn. Kanchan Rani Das dan
kawan-kawan beliau. Di setiap rumah yang saya lawati, saya pasti akan dijamu sesuatu – kek, biskut,
kuih tradisional dan sebagainya. Saya sangat terharu dengan keramahan dan layanan baik mereka,
biarpun baru tidak sampai sehari bertemu.
Selain pinjaman untuk aktiviti menjana pendapatan, Bank Grameen juga menyediakan pinjaman
pendidikan dan pinjaman untuk golongan fakir. Sekiranya anak kepada peminjam berjaya
melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan tinggi, mereka akan diberi pinjaman yang merangkumi
yuran pengajian dan kos sara hidup. Seorang daripadanya ialah Asma Akter, 19 tahun, seorang

pelajar pintar yang sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang perakaunan di sebuah kolej tempatan.
Saya telah diberi kesempatan untuk bertemu beliau. Cita-cita beliau ialah menjadi seorang akauntan
bertauliah suatu hari nanti. Saya percaya dengan kesungguhan dan semangat yang telah ditunjukkan,
beliau akan berjaya sekaligus mengangkat martabat keluarga suatu hari nanti. Selepas bertemu Asma
Akter, saya telah bertemu seorang peminjam daripada golongan fakir. Pinjaman jenis ini disediakan
oleh bank kepada mereka yang tiada langsung sumber ekonomi, lalu terpaksa mengemis untuk
mencari rezeki. Pinjaman ini tidak dikenakan faedah, dan tempoh bayarannya sangat panjang,
membolehkan peminjam membuat pembayaran balik sedikit demi sedikit dalam jumlah yang
teramat kecil. Peminjam yang telah saya temui ini telah menggunakan wang pinjamannya sebagai
modal untuk menjaja kerepek, gula-gula, telur dan jajan dari rumah ke rumah di seluruh kampung.
Walaupun beliau masih dalam keadaan serba kekurangan selepas tiga tahun meminjam,.
sekurang-kurangnya beliau tidak lagi perlu mengemis untuk sesuap nasi. Saya telah bertanya andai
beliau ingin memiliki kedai sendiri suatu hari nanti, dan jawab beliau “sudah tentu jika bank
memberi saya duit lebih”, sambil berjenaka dan menunjuk kepada Pengurus Cawangan, En.
Musyfiqur Rahman. Apa yang memeranjatkan saya ialah, beliau tidak pernah sekalipun
meninggalkan kampung itu sejak lahir, sekalipun ke Dhaka. Beliau takut untuk ke Dhaka ujarnya.
Beliau juga tidak boleh membaca, baik Bengali mahupun abjad Rumi. Kami mengakhiri perbualan
dengan membeli kerepek dan gula-gula yang beliau jual.
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Abdullah al-Fuad atas kesudian beliau secara
sukarela menjadi jurubahasa kepada saya, kerana tanpa beliau, saya bagaikan orang bisu dan pekak
di kampung itu kerana halangan bahasa. Kerana beliaulah saya mampu berkomunikasi dengan lancar
dengan penduduk kampung. Fuad ialah seorang graduan lulusan tempatan yang kini sedang bekerja
di Insititut Hal-ehwal Budaya, sebuah badan bukan kerajaan yang berpusat di Dhaka. Saya berasa
bertuah sekali kerana beliau sebaya dengan saya, membuatkan lawatan begitu selesa dan
menyeronokkan. Saya juga sempat berkenalan dengan rapat dengan Mujibur Rahman, peon pejabat
yang bekerja di cawangan tersebut. Mujibur telah menyediakan sarapan, makan tengah hari dan
makan malam kepada kami. Kami bertiga juga telah
sama-sama ke masjid untuk membaca Quran dan
bersolat pada malam itu, satu pengalaman yang tidak
dapat saya lupakan.
Saya juga ingin berterima kasih kepada
Pengurus Cawangan, En. Musyfiqur Rahman;
Pengurus Pusat, En. Musaddiq Hossein; dan semua
kakitangan Bank Grameen Cawangan Shadipur
Sonargaon di atas layanan yang baik sepanjang lawatan saya di Shadipur. Kerana merekalah lawatan
saya menjadi sesuatu yang tidak dapat dilupakan dalam hidup saya.

Tentang Lawatan Saya ke Bangladesh


Ini ialah pertama kali saya ke sebuah negara Asia Selatan. Saya terfikir untuk melawat Bank
Grameen ini kerana mendapat idea daripada kawan saya yang sungguh banyak memberi inspirasi,
Lee Chyi. Beliau telah terlebih dahulu membuat lawatan ke sini dalam musim panas 2007.
Bangladesh ialah negara yang sangat kecil, iaitu separuh keluasan Malaysia atau Jepun, tetapi
mempunyai penduduk yang sangat ramai, kira-kira 160 juta orang atau enam kali ganda lebih ramai
daripada Malaysia. Setiap orang di Bangladesh akan bercerita perkara yang sama – iaitu negara ini
terlampau padat dengan manusia. Sepanjang lawatan saya, saya mengalami putus bekalan elektrik
setiap hari. Putusnya bekalan elektrik ini ialah disebabkan permintaan terhadap tenaga melebihi
jumlah watt yang mampu dibekalkan. Oleh sebab itulah, setiap hotel dan kilang perlu memasang
penjana elektrik sendiri untuk membekalkan tenaga elektrik semasa kekurangan bekalan. Tempat
penginapan saya yang juga menempatkan ibu pejabat Grameen, Mirpur, akan bergelap setiap malam
kerana tiada lampu jalan yang menyala. Hanya lampu minyak tanah penjaja tepi jalan dan lampu
kalimantang deretan kedai yang menerangi suasana.
Bandar Dhaka sangat sesak dengan bas, kereta, motosikal, basikal, beca, lanca, pejalan kaki,
penjaja, dan malahan lembu-lembu yang berkeliaran. Jika menaiki teksi, kemungkinan kita hanya
mampu merangkak beberapa jengkal dalam tempoh sejam. Amat sukar sekali mengagak jam berapa
kita akan tiba. Bunyi hon pula berderau-derau, sahut-menyahut antara satu kenderaan dan kenderaan
yang lain. Semasa lampu isyarat merah pula, tiada siapa yang akan mempedulikannya, sungguhpun
anggota polis trafik berada di tengah simpang. Bandar ini penuh dengan asap, habuk, pencemaran,
dan bunyi bising. Jalan raya, bangunan, dan prasarana banyak yang dhaif ataupun hanya siap
separuh jalan. Bandar ini seperti tiada kerajaan yang mengawalnya. Saya amat hairan bagaimana
orang Bangladesh boleh hidup bertahan dalam keadaan seperti itu.
Yang paling sukar bagi saya ialah kanak-kanak
jalanan dan pengemis yang berkeliaran di mana sahaja.
Semasa dalam perjalanan dengan sebuah lanca dari
lapangan terbang ke hotel, ketika lanca saya berhenti
akibat kesesakan yang teruk, datang seorang pakcik
yang telah terbakar lehernya, mengakibatkan badan
dan mulutnya seperti bersambung, bersama-sama
isterinya meminta sedekah kepada saya. Juga datang
kanak-kanak sekitar lima hingga lapan tahun menjual bertih jagung. Saya sangat kasihan melihat
keadaan mereka, tetapi saya menahan daripada menghulurkan sesen pun. Di hadapan hotel tempat
saya menginap pula, terdapat sekumpulan anak jalanan dengan ibu-ibu mereka. Dari hari pertama
saya tiba, mereka akan berlari-lari ke arah saya setiap kali saya masuk dan keluar dari pintu hadapan
hotel tersebut. Pada mulanya saya tidak melayan mereka kerana saya amat prejudis andainya mereka
terlibat dalam sindiket meminta sedekah seperti dalam filem Slumdog Millionaire. Bagaimanapun,
seorang peserta internship Grameen dari Perancis, Anne Roudaut telah mengubah pandangan saya.
Pada suatu malam, selepas habis makan malam, saya dengan beberapa orang termasuk Anne telah
berbual tentang banyak perkara. Seorang lagi peserta lain dari Jerman berkata “Saya tak akan
memberi sedekah kepada mereka, kerana saya percaya memberi sedekah tidak akan menyelesaikan
masalah kemiskinan dunia”. Lalu jawab Anne bersahaja “Tapi sekurang-kurangnya mereka makan
(pada hari itu)”. Ketika itulah saya tersedar, sedang adik-beradik dan saudara-saudara saya di
Malaysia memilih makanan dan membuang yang dirasakan tak sedap, anak-anak ini kelaparan setiap
hari. Sedang anak-anak di Malaysia malas dan ponteng ke sekolah, anak-anak ini tiada wang untuk
ke sekolah, dan terpaksa mengutip botol di celah-celah longkang untuk beberapa sen. Sedang
anak-anak di Malaysia tidur lena di atas katil empuk dan sofa, anak-anak di Bangladesh ini tidur di
jalanan dan lorong-lorong gelap setiap malam. Dan sedang mereka mendapat kasih sayang
secukupnya daripada keluarga, anak-anak yang lebih bernasib baik di Bangladesh hanya ada ibu
tunggal yang meminta sedekah, manakala yang malang tiada tempat mengadu nasib. Mereka
hanyalah anak-anak yang memerlukan makanan, pendidikan, kasih sayang dan tempat berteduh,
sama seperti rakan-rakan mereka di negara-negara yang lebih makmur. Walaupun saya masih
berpegang bahawa memberi mereka wang tidak dapat menyelesaikan masalah mereka, sejak
bertemu Anne, saya lebih prihatin untuk meluangkan masa dan memberi sedikit makanan kepada
mereka. Salah seorang anak-anak itu yang bernama Rubel, sangat cerdas dan fasih berkata-kata
dalam usia sekitar tujuh tahun. Alangkah malang nasibnya tidak dapat ke sekolah. Saya benar-benar
bersimpati dengannya. Kata Profesor Yunus, jika kita benar-benar berusaha, kemiskinan akan
menjadi sejarah yang hanya dipamer di muzium-muzium Adakah kita sedang menuju ke arah itu?

Pun begitu, orang Bangladesh sangat menarik buat saya. Kecuali di Shibuya, tidak pernah lagi
saya melihat begitu banyak manusia di sebuah bandar. Semangat ingin tahu mereka memang
mengagumkan. Ada sekali, khalayak mengerumuni saya di tengah bandar, hanya untuk
memerhatikan saya untuk beberapa ketika. Mereka mungkin berasa hairan dengan orang asing yang

datang ke negara mereka. Mereka akan bertanya soalan tanpa segan silu, yang kebanyakanna
bermula dengan “Your country please”. Suatu ketika, ketika saya berjalan di bandar dengan
rakan-rakan, sekumpulan anak muda memanggil saya, “hello”.Sambil memerhatikan kamera saya,
mereka berkata dengan girangnya “hey, picture please”. Setelah saya ambil gambar mereka dan
menunjukkannya melalui skrin kamera, mereka berteriak keriangan lalu beredar setelah bersalam
dengan saya. Sememangnya orang di sini begitu mesra dan peramah. Saya pasti ada teman berbual
ke mana sahaja saya pergi. Di sebuah kedai gunting rambut yang penuh dengan pelanggan apabila
saya masuk untuk menggunting rambut, pelanggan yang duduk semuanya memanggil saya dan
meminta saya duduk, sambil mereka lebih rela berdiri. Di kedai makan pula, banyak kali saya
dibelanja teh hanya kerana mereka berasa gembira dapat berbual dengan saya. Saya juga banyak kali
dijemput ke rumah mereka untuk dijamu makan, walaupun saya terpaksa menolak kerana jadual
yang padat. Sesungguhnya, pengalaman di Bangladesh sangat berharga bagi saya, yang mana
pengalaman seperti ini tidak akan saya perolehi di negara saya mahupun di Jepun.

Penghargaan
Saya ingin merakamkan penghargaan kepaa En. Bapor Ali yang membuatkan lawatan saya kali
ini menjadi kenyataan. Juga kepada Pn. Nurjahan Begum yang membenarkan lawatan kali ini, En.
Ratan K. Nag atas kesudian beliau meluangkan masa membuat perbincangan dengan saya,
kakitangan Bahagian Latihan Antarabangsa, Abdullah al-Fuad atas kesanggupan beliau menjadi
jurubahasa secara sukarela, kakitangan Bank Grameen Cawangan Shadipur, Hayashi Kanako kerana
menemani saya sepanjang lawatan ini, teman-teman yang saya temui di Bangladesh iaitu Alis Hotter,
Anne Roudaut, Johannes Vogel, Hae Yong, Ga Ram, dan Yun Jin, En. Sayyidur kerana
menumpangkan saya, dan terutamanya kepada keluarga saya kerana mendoakan keselamatan saya
sepanjang perjalanan.
Saya juga ingin melahirkan rasa kagum saya kepada Profesor Muhamad Yunus atas usaha beliau
membasmi kemiskinan sejak tahun 1970-an. Sesungguhnya kejayaan beliau telah menjadi ilham
kepada saya. Menjadi harapan saya agar wawasan beliau untuk melihat dunia bebas kemiskinan
menjelang 2060 menjadi kenyataan kelak.

Penulis ialah Jurutera Mekanikal di MacGREGOR Group. Penulis dihubungi di alamat email
azlee_ashraf@yahoo.com