You are on page 1of 20

PEMAHAMAN 1

Arahan Am:
Tiap-tiap soalan diikuti oleh tiga pilihan jawapan A, B, dan C atau empat pilihan jawapan
A, B, C, dan D. Antaranya, ada satu sahaja jawapan yang betul. Pilih jawapan itu.

Soalan 1 hingga Soalan 5


Baca petikan di bawah dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

Kedatangan aku di 'bumi ratu', pada pukul 5.30 petang waktu London disambut
oleh butiran salji yang semakin lebat. Inilah kali pertama aku menjejakkan kaki di benua
Eropah ini. Aku pun menjalani pemeriksaan imigresen di Lapangan Terbang Heathrow
yang merupakan antara lapangan terbang yang tersibuk di dunia.
Pegawai imigresen lelaki Inggeris itu bertanya beberapa soalan kepadaku. Selepas
berpuas hati dengan jawapanku, dia pun menurunkan cap Lapangan Terbang Heathrow
pada muka surat pertama pasport antarabangsaku. Kemudian, aku bergegas ke aras
bawah lapangan terbang untuk membuat tuntutan bagasi.
Setelah semua urusan selesai, aku ke lobi ketibaan untuk menunggu seseorang
yang amat kurindui untuk menjemputku. Aku memandang ke luar lobi. Aku dapat melihat
salji mula menutupi jalan-jalan di sekitar Heathrow menyebabkan pergerakan lalu lintas
menjadi perlahan. Sedang aku asyik memandang salji yang turun, aku disapa oleh
seseorang.
"Helo, apa khabar? Saya Maria Iglieus," ujarnya lalu bersalaman denganku.
"Khabar baik. Saya Alia Aziz," jawabku.
"Ada sesiapa yang akan datang menjemput Alia? Kalau tidak ada, biar saya hantar
Alia ke Malaysian Hall," ujar Maria menawarkan bantuan.
"Tak mengapalah, Maria. Tak lama lagi sampailah dia," ujarku lagi.
"Kalau begitu, ambil kad saya ini. Kalau ada apa-apa masalah, hubungilah saya,"
ujar Maria lalu keluar untuk menahan teksi.
Sejam telah berlalu. Aku menjadi semakin cemas. Mataku meliar ke sekeliling lobi
ketibaan itu. Tiba- tiba, aku terasa bahuku dicuit oleh seseorang.
"Alia," panggil suatu suara.
"Kak Lisa," ujarku lalu memeluk insan yang amat kurindui itu. Kak Lisa sudah lama
tidak pulang ke tanah air kerana sibuk dengan tugasnya di sebuah syarikat pelaburan.
"Maafkan kakak kerana terlambat. Kakak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas,"
ujarnya sambil mengangkat begku lalu menuju ke keretanya yang diletak di luar.
Aku berasa lega kerana berjumpa Kak Lisa. Aku sudah merancang untuk tidur
sebaik-baik sahaja tiba di rumahnya nanti. Perjalanan selama 13 jam itu amat
memenatkan.
"Sebelum kakak terlupa, nanti jangan lupa telefon papa dan mama. Beritahu mereka
bahawa Alia sudah selamat tiba di rumah kakak di kota London ini," ujar Kak Lisa.

1
1. 'Aku' tiba di Lapangan Terbang Heathrow pada musim apa?
A Pada musim bunga
B Pada musim luruh
C Pada musim panas
D Pada musim sejuk

2. Mengapakah 'aku' bergegas ke aras bawah lapangan terbang selepas pasportnya


dicap oleh pegawai imigresen?
A Kerana hendak menunggu seseorang yang telah berjanji hendak menjemputnya
B Kerana hendak mengambil begnya yang telah melalui pemeriksaan imigresen
C Kerana hendak mencari teksi untuk pergi ke rumah sahabatnya

3. Jalan-jalan di sekitar Heathrow sesak pada petang itu kerana


A ada kecelakaan jalan raya yang berlaku.
B terdapat kerosakan lampu isyarat di jalan utama.
C salji telah memenuhi permukaan jalan tersebut.
D orang ramai keluar membeli-belah.

4. Pernyataan yang tidak benar tentang petikan ialah


A Alia baru pertama kali berkunjung ke kota London.
B Kak Lisa bekerja di Malaysian Hall.
C Alia berkenalan dengan Maria semasa berada di lobi ketibaan.
D Alia berasa sangat letih setelah menempuh perjalanan yang lama.

5. Apakah hubungan antara Alia dengan Kak Lisa?


A Adik-beradik
B Sepupu
C Sahabat pena
D Ibu saudara

2
PEMAHAMAN 2

Arahan Am:
Tiap-tiap soalan diikuti oleh tiga pilihan jawapan A, B, dan C atau empat pilihan jawapan
A, B, C, dan D. Antaranya, ada satu sahaja jawapan yang betul. Pilih jawapan itu.

Soalan 1 hingga Soalan 5


Baca petikan di bawah dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

No. 73, Jalan Delima,


Bandar Baru Sentul,
51000 Kuala Lumpur.

1 Mac 2006.

Ke hadapan saudari Izelea yang kini berada di Kuala Kangsar, semoga dalam keadaan
sihat dan ceria selalu hendaknya.
Saudari,
Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana terlambat membalas surat saudari.
Tentu saudari ternanti-nanti cerita saya semasa melawat ke Kanada bersama-sama keluarga
tempoh hari.
Seminggu berada di sana, terasa bagai sehari sahaja. Masa begitu pantas berlalu.
Sepanjang berada di sana, saya berpeluang berkunjung ke bandar Ontario, di selatan
Kanada berhampiran dengan Niagara Fall. Bandar ini kelihatan kacau-bilau sekali. Kepala
beberapa ekor dinosaur yang berleher panjang terjengul berhampiran dengan menara
telekomunikasi Ontario. Ada juga orang yang mencuba menyeberangi jalan raya di bandar
itu di atas seutas tali. Sebenarnya Izelea, semua ini adalah gambaran sebuah bandar
tema di Niagara Fall, Kanada.
Orang yang saya maksudkan tadi sebenarnya hanya sebuah patung. Patung itu tidak
bergerak-gerak. Patung itu ditempatkan di situ sebagai memperingati seseorang yang telah
menyabung nyawanya menyeberangi Air Terjun Niagara hanya dengan seutas tali. Dialah
orang yang pertama berjaya berbuat demikian. Oleh sebab itulah, Guinness World of
Records telah membina patungnya untuk mengenang keberaniannya itu. Begitu juga halnya
dengan dinosaur yang saya sebutkan tadi. Dinosaur-dinosaur itu hanyalah patung-patung
yang ditempatkan berselerak di bandar ini. Sekali imbas, replika dinosaur itu memang
kelihatan seperti dinosaur yang betul.
Saya berasa sangat terhibur berada di sini sama seperti ketika berada di taman tema
Tanah Tinggi Genting dan Sunway Lagoon. Setiap langkah kita dicabar oleh pelbagai jenis
permainan yang menduga keberanian. Semua permainan ini akan membuatkan kita
tersenyum dan ketawa.
Setakat ini sajalah yang dapat saya ceritakan kepada saudari. Semoga kita bertemu
kembali dalam lembaran yang lain. Akhir kata sambutlah salam mesra daripada saya buat
saudari sekeluarga.
Salam mesra,
Diana

3
1. Di manakah penulis surat ini berkunjung?
A Australia
B Niagara Fall
C New Zealand
D Kanada

2. Mengapakah patung orang yang mencuba menyeberangi jalan raya di atas seutas
tali diletakkan di bandar itu?
A Untuk dijadikan hiasan
B Untuk memperingati seseorang yang telah mempertaruhkan nyawanya
menyeberangi Air Terjun Niagara di atas seutas tali
C Untuk dijadikan daya penarik kepada para pelancong
D Untuk menambahkan bilangan patung di bandar Ontario

3. Guinness World of Records telah membina patung tersebut untuk


A mengenang keberaniannya.
B mengindahkan pemandangan bandar itu.
C menyedarkan orang ramai supaya tidak berkelakuan begitu.
D menambahkan replika-replika menarik yang terdapat di bandar itu.

4. Antara yang berikut ialah gambaran tentang bandar Ontario?


A penduduk di bandar itu berada dalam keadaan kacau-bilau.
B kepala beberapa ekor dinosaur terjengul berhampiran dengan menara
telekomunikasi Ontario.
C patung orang mencuba menyeberangi jalan raya di atas seutas tali.

5. Mengapakah penulis berasa terhibur semasa berada di bandar Ontario, kecuali


A Kerana setiap langkahnya akan dicabar oleh permainan yang menduga
keberanian
B Kerana terdapat banyak pusat membeli-belah
C Kerana penulis berjumpa dengan kawan lamanya

4
PEMAHAMAN 3

Arahan Am:
Tiap-tiap soalan diikuti oleh tiga pilihan jawapan A, B, dan C atau empat pilihan jawapan
A, B, C, dan D. Antaranya, ada satu sahaja jawapan yang betul. Pilih jawapan itu.

Soalan 1 hingga Soalan 5


Baca petikan di bawah dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

Sejak dahulu lagi, manusia telah menjalankan aktiviti memburu hidupan liar.
Aktiviti ini dijalankan atas beberapa sebab seperti untuk mendapatkan makanan
dan pakaian. Namun, apabila aktiviti ini dijalankan secara berleluasa dan tidak
terkawal, akan mengakibatkan setengah-setengah hidupan liar diancam bencana
kepupusan.
Harimau merupakan antara spesies yang paling terancam. Tanggapan
bahawa hidupan ini mengancam kehidupan manusia telah menyebabkan haiwan
ini terus diburu. Tetapi, faktor utama yang menyebabkan kepupusan hidupan ini
adalah kerana keghairahan manusia untuk mendapatkan anggota badannya yang
dipercayai mujarab untuk merawat penyakit. Akibatnya, dianggarkan hanya tinggal
5 000 hingga 7 000 ekor harimau sahaja di muka bumi ini.
Badak sumbu juga menerima nasib yang sama seperti harimau. Haiwan ini
diburu kerana dipercayai bahawa sumbunya mempunyai nilai perubatan yang
tinggi. Antaranya, untuk menurunkan suhu badan dan memulihkan tenaga batin.
Keghairahan manusia untuk menjadikan gading gajah sebagai perhiasan
menjadi punca kepada kepupusan hidupan ini. Oleh sebab gading gajah
mempunyai nilai yang tinggi, manusia terus memburu haiwan ini walaupun
terpaksa menempuh pelbagai rintangan dan risiko. Dianggarkan, gading gajah
dapat dijual tidak kurang daripada RM800 sekilogram. Atas sebab ini, manusia
yang mata duitan akan terus memburu haiwan ini tanpa mengambil peduli akan
akibatnya.
Selain haiwan-haiwan tersebut, banyak lagi spesies haiwan yang lain menjadi
mangsa pemburuan manusia. Haiwan ini diburu untuk mendapatkan bahagian-
bahagian badan yang dapat dijadikan pakaian, makanan, dan perhiasan yang
bernilai tinggi. Jika aktiviti ini tidak dibendung, dikhuatiri haiwan-haiwan ini akan
berada di ambang kepupusan sama seperti harimau, badak sumbu, dan gajah.
Oleh sebab itu, langkah pemeliharaan harus dijalankan dengan serius untuk
melindungi haiwan ini daripada pupus. Orang ramai harus sedar bahawa
kepupusan haiwan-haiwan ini tidak sahaja melenyapkan haiwan tersebut, malah
akan menjejaskan hidupan yang lain termasuk manusia. Hal ini demikian kerana
setiap hidupan di muka bumi ini hidup saling bergantung antara satu dengan
yang lain.

5
1. Apakah penyebab utama yang mendorong kepada pemburuan harimau?
A Harimau mengancam kehidupan manusia.
B Nilainya yang tinggi menyebabkan haiwan ini ditangkap oleh manusia.
C Kemujaraban anggota badannya untuk mengubati penyakit.
D Harimau diburu untuk dijadikan perhiasan yang bernilai tinggi.

2. Mengapakah penulis mengatakan badak sumbu mempunyai nasib yang sama


seperti harimau?
A kerana jumlahnya yang tinggal antara 5000 hingga 7000 ekor sahaja
B Kerana badak sumbu turut menghadapi bahaya kepupusan akibat diburu bagi
tujuan perubatan
C kerana badak sumbu turut mengancam kehidupan manusia

3. Pada pendapat kamu, mengapakah gading gajah mempunyai nilai yang tinggi?
A Kerana gajah sudah pupus
B Kerana gading gajah sukar didapati
C Kerana gading gajah cantik dan sesuai untuk dijadikan perhiasan
D Kerana hanya orang yang mampu layak membelinya

4. Berikut yang manakah bukan haiwan yang diburu untuk dijadikan bahan perhiasan?
A Rusa
B Gajah
C Harimau
D Monyet

5. Pernyataan yang berikut benar tentang petikan, kecuali


A gading gajah bernilai tinggi.
B kehidupan manusia tidak akan terjejas akibat kepupusan haiwan.
C harimau dan gajah mengalami nasib yang sama.
D sumbu badak dipercayai dapat menurunkan suhu badan.

6
PEMAHAMAN 4

Arahan Am:
Tiap-tiap soalan diikuti oleh tiga pilihan jawapan A, B, dan C atau empat pilihan jawapan
A, B, C, dan D. Antaranya, ada satu sahaja jawapan yang betul. Pilih jawapan itu.

Soalan 1 hingga Soalan 5


Baca petikan di bawah dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

Laporan Ekspedisi Kembara Muda ke Taman Negara

Pada 28 Mei yang lalu, Persatuan Pengakap Sekolah Kebangsaan Putri Jaya,
Kuala Lumpur telah mengadakan Ekspedisi Kembara Muda ke Taman Negara,
Pahang Darul Makmur. Ekspedisi itu telah disertai 30 orang ahli pengakap dan
lima orang guru pengiring.
Peserta ekspedisi bertolak dari sekolah menaiki bas sekolah yang disewa
khas pada pukul 8.00 pagi. Perjalanan kami ke Kuala Tembeling melalui Lebuh
raya Kuala Lumpur Karak mengambil masa selama lima jam. Kebanyakan peserta
sudah tidak sabar-sabar lagi untuk menjejakkan kaki di Taman Negara.
Setibanya kami di Jeti Kuala Tembeling, Pegawai Perhubungan Awam Taman
Negara Resort telah menyambut kedatangan kami. Selepas itu, Cikgu Roffi telah
menguruskan pendaftaran kami dan membayar cukai kemasukan di Jabatan
Perhilitan. Seterusnya kami menaiki bot yang sudah sedia menunggu untuk
menyusuri Sungai Tembeling.
Pada sebelah malamnya, pihak Taman Negara Resort telah mengadakan
jamuan untuk meraikan kedatangan kami. Selepas makan, kami terus naik ke bilik
untuk masuk tidur. Ternyata perjalanan yang jauh itu amat memenatkan.
Pada 29 Mei, Abang Syafie Omar telah membantu kami untuk memulakan
aktiviti mendaki Bukit Teresek. Kami terpaksa mendaki bukit yang curam. Namun
kami dapat melakukannya dengan berjaya sekali.
Seterusnya kami meneruskan perjalanan menuju ke jambatan gantung yang
lebih dikenali dengan titian kanopi. Titian kanopi ini dibina sepanjang 400 meter
dan setinggi 30 meter. Rata-rata peserta ekspedisi berasa kecut perut semasa
memandang ke bawah ketika meniti titian kanopi tersebut. Menurut Abang Syafie,
jambatan gantung itu akan bertambah tinggi kedudukannya jika terdapat pokok
yang tinggi.
Pada sebelah petangnya pula, kami telah mandi-manda di Lubuk Simpon.
Airnya yang jernih dan sejuk membuktikan bahawa kawasan tersebut masih
terpelihara keindahan semula jadinya. Pada keesokan paginya, kami berkemas
dan bersiap untuk pulang.
Sesungguhnya ekspedisi ini telah mendedahkan para peserta kepada pelbagai

7
cabaran dan pengalaman baru yang agak asing bagi mereka. Selain itu, ekspedisi
ini juga telah memupuk semangat berpasukan dan tabah menghadapi cabaran
yang mendatang.

Laporan disediakan oleh, 8 JUN 2006.


Lia
.............Shira
.................................
(LIA SHIRA BINTI MUSTAFA)
Setiausaha,
Persatuan Pengakap,
Sekolah Kebangsaan Putri Jaya.

1. Pada pendapat kamu, mengapakah kebanyakan peserta ekspedisi sudah tidak


sabar-sabar lagi menjejakkan kaki ke Taman Negara?
A Kerana mereka hendak menjalankan aktiviti Persatuan Pengakap
B Kerana mereka hendak menghabiskan cuti persekolahan di sana
C Kerana mereka hendak menikmati keindahan semula jadi di sana
D Kerana mereka baru pertama kali hendak berkunjung ke sana

2. Apakah kenderaan yang dinaiki para peserta dari Jeti Kuala Tembeling ke
Taman Negara?
A Bas
B Bot
C Kereta
D Kayak

3. Semasa ekspedisi di Taman Negara, Abang Syafie Omar bertindak sebagai


A guru pengiring.
B pekerja Taman Negara Resort.
C jurupandu.
D pembantu perubatan.

4. Antara aktiviti-aktiviti yang berikut, manakah perkara yang amat menakutkan


peserta ekspedisi?
A Meniti jambatan gantung
B Menyusuri Sungai Tembeling
C Mandi di Lubuk Simpon
D Mendaki Bukit Teresek

5. Pernyataan yang tidak benar tentang petikan di atas ialah


A ekspedisi Kembara Muda ke Taman Negara itu telah berlangsung selama
tigahari.
B jambatan gantung yang terdapat di Taman Negara dibina pada ketinggian
yang sama.
C peserta ekspedisi itu banyak mendapat pengalaman yang berguna.

8
PEMAHAMAN 5

Arahan Am:
Tiap-tiap soalan diikuti oleh tiga pilihan jawapan A, B, dan C atau empat pilihan jawapan
A, B, C, dan D. Antaranya, ada satu sahaja jawapan yang betul. Pilih jawapan itu.

Soalan 1 hingga Soalan 5


Baca petikan di bawah dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

Persatuan Sains dan Matematik,


Sekolah Kebangsaan Medan Jaya,
46000 Petaling Jaya.

Guru Besar,
Sekolah Kebangsaan Medan Jaya,
46000 Petaling Jaya. 10 MAC 2006.
Tuan,
Memohon Kebenaran untuk Mengadakan Lawatan ke Pusat Sains Negara

Saya mewakili Persatuan Sains dan Matematik, ingin memohon kebenaran


daripada pihak tuan untuk menganjurkan lawatan ke Pusat Sains Negara pada 16
April 2006.
2. Tujuan kami mengadakan lawatan ini adalah untuk mendedahkan perihal
pentingnya sains dalam kehidupan manusia kepada ahli persatuan. Selain itu,
matlamat lawatan kami juga adalah untuk memupuk perasaan ingin tahu di kalangan
ahli persatuan, selari dengan objektif persatuan kami. Lawatan ini juga diharapkan
dapat membuka pemikiran ahli persatuan tentang perkembangan teknologi pada
hariini.
3. Sebanyak 20 orang murid tahun 4, 15 orang murid Tahun 5, dan 15 orang
murid Tahun 6 akan turut serta dalam lawatan ini. Rombongan kami akan diiringi
oleh guru-guru penasihat persatuan, iaitu Cikgu Aspalaila dan Cikgu Muradiah.
4. Jika permohonan kami ini diluluskan, kami merancang untuk menyewa sebuah
bas untuk ke Pusat Sains Negara. Urusan penyewaan bas dan surat memohon
kebenaran daripada pihak Pusat Sains Negara akan diselenggarakan oleh guru
penasihat kami.
5. Perbelanjaan untuk lawatan ini akan ditanggung bersama oleh peserta-peserta
lawatan. Untuk tujuan ini, kami akan mengutip wang sebanyak RM10 daripada
setiap peserta. Kami juga akan menggunakan wang tabung persatuan jika wang
yang dikutip tidak mencukupi untuk menampung segala perbelanjaan.
6. Mengikut perancangan, kami akan bertolak dari sekolah pada pukul 8.30 pagi
dan dijangka tiba di kawasan sekolah semula pada pukul 4.00 petang. Untuk
maklumat lanjut tentang sebarang aktiviti yang akan dijalankan semasa lawatan,

9
tuan boleh merujuk kepada atur cara lawatan yang ada dilampirkan bersama-sama
dengan surat ini.
7. Kami berharap pihak tuan dapat mempertimbangkan permohonan kami ini.
Segala kerjasama dan perhatian daripada pihak tuan kami dahului dengan ucapan
ribuan terima kasih.
Sekian.
Yang benar,
Ifti Lyana
...........................................
(IFTI LYANA BINTI ISMAIL)
Setiausaha,
Persatuan Sains dan Matematik,
Sekolah Kebangsaan Medan Jaya.

1. Apakah tujuan surat ini ditulis?


A Memaklumkan tentang lawatan yang akan diadakan kepada Guru Besar
B Momohon wang untuk menanggung perbelanjaan lawatan
C Mendapatkan kebenaran daripada Pusat Sains Negara
D Memaklumkan dan memohon kebenaran daripada Guru Besar untuk
mengadakan lawatan
2. Berapakah jumlah murid yang akan menyertai lawatan ini?
A 50 orang
B 52 orang
C 62 orang
3. Berdasarkan laporan di atas, objektif persatuan itu adalah untuk
A mengadakan lawatan sambil belajar.
B mewujudkan perasaan ingin tahu di kalangan ahli persatuan.
C memahami kepentingan sains dalam kehidupan manusia.
D mencapai keputusan terbaik dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.
4. Pilih penyataan yang tidak benar tentang tujuan kutipan wang sebanyak RM10
dikutip daripada setiap peserta lawatan
A Untuk membeli makanan peserta-peserta lawatan
B Untuk membayar sewa bas
C Untuk dimasukkan ke dalam tabung persatuan
D Untuk membayar tiket masuk ke Pusat Sains Negara
5. Ifti Lyana Ismail ialah
A Setiausaha Persatuan Sains Gunaan.
B guru penasihat persatuan.
C pemandu bas sewa.
D penulis surat di atas.

10
PEMAHAMAN 6

Arahan Am:
Tiap-tiap soalan diikuti oleh tiga pilihan jawapan A, B, dan C atau empat pilihan jawapan
A, B, C, dan D. Antaranya, ada satu sahaja jawapan yang betul. Pilih jawapan itu.

Soalan 1 hingga Soalan 5


Baca petikan di bawah dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

Elida bercadang untuk menulis tentang khasiat dan kebaikan kacang soya
dalam projek sainsnya. Oleh itu, dia telah mewawancara Puan Ani, pakar teknologi
makanan untuk mendapatkan maklumat.
Elida : Terima kasih, Puan Ani kerana sudi meluangkan masa untuk ditemu
bual.
Pn. Ani : Sama-sama.
Elida : Baiklah, puan. Apakah makanan yang mengandungi khasiat
kacang soya?
Pn. Ani : Di Malaysia, antara makanan yang berasaskan kacang soya ialah
tauhu, tempe, dan minuman soya. Selain itu, terdapat juga tepung
kacang soya yang dijadikan sebagai bahan untuk memproses makanan
contohnya roti.
Elida : Adakah kicap diperbuat daripada kacang soya?
Pn. Ani : Ya, memang kicap diperbuat daripada kacang soya. Tetapi kicap
mungkin kurang ataupun langsung tidak mengandungi khasiat. Proses
penghasilan kicap telah memusnahkan zat-zat yang terkandung
dalam kacang soya itu.
Elida : Oh, begitu! Bolehkah Puan Ani terangkan serba sedikit tentang
khasiat kacang soya?
Pn. Ani : Kacang soya merupakan sumber protein terbaik kerana
mengandungi hampir kesemua jenis protein yang diperlukan oleh
manusia dalam proses tumbesaran. Selain itu, kacang soya juga
mengandungi jumlah kalsium, magnesium, dan vitamin B yang
tinggi, serta zat-zat lain yang diperlukan oleh badan.
Elida : Selain sebagai sumber zat makanan, apakah kelebihan lain yang ada
dalam kacang soya?
Pn. Ani : Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa kacang soya dapat
mengurangkan paras kolestrol dalam darah yang menjadi punca kepada
serangan jantung.
Elida : Saya ada terbaca dalam suatu artikel yang mengatakan bahawa kacang
soya dapat merawat penyakit kanser. Bolehkah Puan Ani jelaskannya?
Pn. Ani : Kurang tepat tu, Elida. Sebenarnya kacang soya tidak dapat merawat
penyakit kanser tetapi mampu mengurangkan risikonya kerana
kacang soya mengandungi bahan antikanser. Selain itu, kacang soya
juga baik untuk kesihatan kaum wanita, terutamanya golongan yang

11
berumur kerana kacang soya mengandungi bahan yang diperlukan
oleh tubuh mereka.
Elida : Jadi, bolehlah saya ringkaskan di sini bahawa kacang soya bukan
sahaja kaya dengan zat tetapi juga dapat membantu mengurangkan
risiko beberapa jenis penyakit.
Pn. Ani : Ya, benar sekali.
Elida : Baiklah, puan. Saya rasa maklumat yang saya peroleh ini sudah tentu
dapat membantu saya untuk melaksanakan projek sains ini. Terima
kasih sekali lagi atas kerjasama yang Puan Ani berikan.
Pn. Ani : Sama-sama.

1. Apakah tujuan Elida bertemu dengan Puan Ani?


A Mendapatkan biji benih kacang soya
B Mendapatkan maklumat tentang khasiat kacang soya
C Mengetahui teknik-teknik penanaman kacang soya
D Mengetahui langkah-langkah untuk mengurangkan risiko penyakit kanser

2. Pernyataan yang berikut benar tentang petikan, kecuali


A kicap bukan diperbuat daripada kacang soya.
B kacang soya dapat merawat penyakit kanser.
C kolestrol adalah punca serangan jantung.
D kacang soya tidak mengandungi protein yang diperlukan oleh manusia.

3. Antara berikut, makanan yang manakah tidak mengandungi banyak khasiat


kacang soya?
A Tempe
B Kicap
C Tauhu
D Minuman soya

4. Pada pendapat kamu, dari manakah Elida mendapat maklumat tentang kacang
soya yang dikatakan dapat merawat penyakit kanser?
A Guru
B Majalah
C Rakan-rakan

5. Kacang soya diproses untuk dijadikan


A pewarna makanan.
B kicap.
C pencuci mulut.
D perasa makanan.

12
PEMAHAMAN 7

Arahan Am:
Tiap-tiap soalan diikuti oleh tiga pilihan jawapan A, B, dan C atau empat pilihan jawapan
A, B, C, dan D. Antaranya, ada satu sahaja jawapan yang betul. Pilih jawapan itu.

Soalan 1 hingga Soalan 5


Baca petikan di bawah dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

Tun Abdul Razak Dato' Hussein, suatu nama yang tidak asing lagi di kalangan
rakyat Malaysia. Beliau merupakan Perdana Menteri Malaysia yang kedua
mengantikan Tunku Abdul Rahman dari tahun 1970 hingga 1976.
Tun Abdul Razak dilahirkan pada 11 Mac 1922 di Pekan, Pahang, Telah
mendapat pendidikan di Maktab Melayu Kuala Kangsar dan seterusnya di Kolej
Raffles, Singapura. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di London dalam
bidang perundangan dan telah dilantik sebagai peguam pada tahun 1950.
Tun Abdul Razak mula berjinak-jinak dalam lapangan politik ketika masih
menuntut lagi. Karier cemerlangnya bermula sebagai Ketua Pemuda UMNO dan
seterusnya beliau terus melangkah setapak demi setapak sehinggalah dilantik
sebagai Perdana Menteri kedua pada 22 September 1970.
Sebagai seorang ahli politik terkemuka, beliau telah banyak melakukan
pembaharuan di Malaysia. Antaranya ialah merombak sistem pendidikan penjajah
(Inggeris) kepada suatu sistem pendidikan yang bersatu padu dan menjadikan
bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar. Sistem ini telah dikenali sebagai
Penyata Tun Razak.
Walau bagaimanapun, sumbangan terbesar beliau adalah dalam bidang
pembangunan sehingga beliau digelar Bapa Pembangunan. Beliau telah
bertanggungjawab menghidupkan semangat gotong-royong dan menggerakkan
rakyat menghapuskan kemiskinan, kejahilan, dan penyakit terutama di kawasan
luar bandar. Beliau juga telah merangka Rancangan Pembangunan Malaysia
dan Dasar Ekonomi Baru yang bertujuan untuk merapatkan jurang kemiskinan
antara rakyat berbilang kaum.
Pada tahun 1974, Tun Abdul Razak telah melancarkan Projek Buku Hijau
yang bertujuan untuk membangunkan sektor pengeluaran makanan negara.
Melalui projek ini, orang ramai digalakkan untuk bercucuk tanam di sekeliling
kediaman mereka untuk menampung keperluan sendiri. Dengan itu, pergantungan
terhadap makanan import dapat dikurangkan lantas mengurangkan kadar inflasi
pada masa itu.
Tun Abdul Razak meninggal dunia pada 14 Januari 1976. Namun nama
dan jasa beliau akan terus terpahat di hati setiap rakyat Malaysia kerana
sumbangannya memajukan dan membangunkan negara ini.

13
1. Di negara manakah Tun Abdul Razak melanjutkan pelajaran dalam bidang
perundangan?
A Filipina
B Malaysia
C England
D Singapura

2. Apakah yang dimaksudkan dengan rangkai kata mula berjinak-jinak?


A Mula menceburi sesuatu bidang tetapi tidak secara serius
B Mula memahami sesuatu
C Mula mengambil tahu tentang sesuatu

3. Pernyataan yang manakah tidak benar tentang sistem pendidikan yang


diutarakan oleh Tun Abdul Razak?
A Sistem pendidikan yang bersatu padu
B Sistem pendidikan Inggeris
C Dikenali sebagai Penyata Tun Razak
D Bahasa Malaysia dijadikan sebagai bahasa pengantar

4. Mengapakah Tun Abdul Razak akan terus dikenang oleh seluruh rakyat
Malaysia?
A Kerana beliau telah melancarkan projek Buku Hijau
B Kerana beliau ialah warganegara Malaysia
C Kerana sumbangan beliau memajukan dan membangunkan negara
D Kerana beliau bergelar 'Bapa Pembangunan'

5. Berapakah usia Tun Abdul Razak ketika beliau meninggal dunia?


A 51 tahun
B 52 tahun
C 53 tahun
D 54 tahun

14
PEMAHAMAN 8

Arahan Am:
Tiap-tiap soalan diikuti oleh tiga pilihan jawapan A, B, dan C atau empat pilihan jawapan
A, B, C, dan D. Antaranya, ada satu sahaja jawapan yang betul. Pilih jawapan itu.

Soalan 1 hingga Soalan 5


Baca petikan di bawah dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

KUALA LUMPUR, Selasa – Sekolah Kebangsaan Sungai Isap, Kuantan


muncul sebagai juara Pertandingan Kuiz Sains Nasional Dumex 2006,
mengalahkan 11 buah sekolah dari seluruh negara yang diadakan di Pusat
Sains Negara, semalam.
Pasukan yang terdiri daripada tiga orang murid tahun tiga itu diwakili
oleh Nur Batrisya Amir, Su Jan Nee, dan Susila Menon serta diiringi dua
orang guru pengiring, iaitu Puan Nora Maria Johari dan Encik Sharul Idham
Sulaiman.
Kejayaan pasukan itu membolehkan sekolah tersebut membawa
pulang wang tunai bernilai RM3000, sebuah komputer multimedia, satu
set CD-ROM pendidikan, sebuah piala, hamper Dumex bernilai RM500,
dan sijil penghargaan untuk setiap pemenang.
Sementara itu, tempat kedua pula disandang oleh Sekolah
Kebangsaan Ampang, Perak. Sekolah itu memenangi wang tunai RM2000,
sebuah komputer multimedia, satu set CD-ROM pendidikan, sebuah piala,
hamper Dumex bernilai RM300, dan sijil penghargaan untuk setiap
pemenang.
Tempat ketiga pula dimenangi Sekolah Kebangsaan Zainab (2), Kota
Bharu. Pasukan sekolah itu menerima wang tunai RM1000, sebuah
komputer multimedia, satu set CD-ROM pendidikan, sebuah piala, hamper
Dumex bernilai RM100, dan sijil penghargaan untuk setiap pemenang.
Kesemua peserta menerima hadiah daripada Pengurus Besar
Pemasaran Dumex (Malaysia) Sdn. Bhd., Lee Chor Seng. Dalam ucapan
penutupnya, Lee Chor Seng berkata kuiz yang julung kali diadakan itu
bertujuan untuk menduga akal murid tahun tiga di seluruh negara. Kuiz
yang berlangsung selama lima bulan di 180 buah sekolah rendah di seluruh
negara itu bercorak komputer bagi menyemai minat mendalam murid-murid
terhadap pembelajaran Sains.

15
1. Di manakah Pertandingan Akhir Kuiz Sains Nasional Dumex 2006 dijalankan?
A Di dewan Sekolah Kebangsaan Sungai Isap
B Di Pusat Sains Negara
C Di dewan Sekolah Kebangsaan Ampang
D Di dewan Sekolah Kebangsaan Zainab (2)

2. Berapakah jumlah murid yang mengambil bahagian dalam Pertandingan Kuiz Sains
Nasional Dumex 2006?
A 3 orang
B 2 orang
C 33 orang
D 36 orang

3. Antara berikut merupakan hadiah yang dimenangi oleh pemenang pertama kuiz
tersebut, kecuali
A Wang tunai RM3000
B Komputer multimedia
C Hamper Dumex
D Tiket melancong

4. Siapakah yang menyampaikan hadiah kepada para pemenang kuiz itu?


A Guru pengiring
B Menteri Pelajaran
C Pengurus Besar Pemasaran Dumex

5. Apakah tujuan pertandingan Kuiz Sains Nasional Dumex 2006 diadakan?


A Untuk mencungkil bakat murid-murid dalam pelbagai pertandingan
B Untuk menduga akal murid tahun tiga di seluruh negara
C Untuk menyemai minat murid-murid terhadap pelajaran Sains
D Untuk memenangi hadiah lumayan yang disediakan oleh pihak penganjur

16
PEMAHAMAN 9

Arahan Am:
Tiap-tiap soalan diikuti oleh tiga pilihan jawapan A, B, dan C atau empat pilihan jawapan
A, B, C, dan D. Antaranya, ada satu sahaja jawapan yang betul. Pilih jawapan itu.

Soalan 1 hingga Soalan 5


Baca petikan di bawah dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

Selamat sejahtera dan selamat pagi Yang Berbahagia Penghulu


Kampung Lepar, penduduk kampung, tuan-tuan, dan puan-puan yang
dihormati.
Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kerana
diberi peluang berucap di majlis sambutan Hari Kebangsaan yang ke-49
bagi Kampung Lepar ini. Pada pagi yang berbahagia dan bersejarah ini,
dapatlah kita berkumpul beramai-ramai di padang ini dalam suasana ceria
dan gembira. Kita seharusnya bersyukur kerana dapat berhimpun untuk
sama-sama merayakan Hari Kebangsaan negara kita yang tercinta ini.
Hadirin yang saya muliakan,
Tahun ini adalah tahun keenam majlis sambutan ini diadakan di
kampung ini. Sesungguhnya majlis sambutan ini besar sekali ertinya dan
amat baik diadakan. Selain mencari dan memahami erti kemerdekaan,
majlis ini juga menunjukkan bahawa perpaduan di kalangan penduduk
kampung memang terjalin erat.
Hadirin yang dihormati,
Memang payah untuk mencapai kemerdekaan. Namun, mengisi dan
mengekalkan kemerdekaan adalah lebih payah. Bagaimanakah mahu
mengekalkan kemerdekaan jika sesama kita hidup berpecah belah?
Bagaimanakah kebebasan itu dapat diisi andainya kita tidak bersatu padu
dan meningkatkan usaha? Demi kemajuan kampung, negeri, dan
seterusnya negara, saya sebagai Pegawai Daerah Raub, menyeru agar
kemerdekaan yang dinikmati ini dipertahankan. Tuan-tuan dan puan-puan
harus bersatu padu, bekerjasama, dan hidup dalam harmoni. Pada tarikh
31 Ogos 2006 ini, saya dengan sukacitanya merasmikan majlis sambutan
Hari Kebangsaan yang ke-49 bagi Kampung Lepar ini. Sekian, terima kasih.

17
1. Mengapakah penduduk Kampung Lepar berhimpun?
A Untuk menyambut hari ulang tahun keputeraan Sultan Pahang
B Untuk menyambut Hari Kebangsaan negara yang ke-49
C Untuk meraikan kedatangan pegawai daerah

2. Sudah berapa kalikah perhimpunan menyambut Hari Kebangsaan itu diadakan di


Kampung Lepar?
A Tujuh kali
B Enam kali
C Tiga kali
D Lima kali

3. Bilakah tarikh mula-mula sambutan Hari Kebangsaan diadakan di Kampung Lepar?


A 31 Ogos 1957
B 31 Ogos 2001
C 31 Ogos 2006
D 31 Ogos 2000

4. Siapakah yang merasmikan majlis sambutan Hari Kebangsaan Kampung Lepar?


A Menteri Besar Pahang
B Ketua Kampung Lepar
C Penghulu
D Pegawai Daerah Raub

5. Berpandukan petikan, pernyataan yang manakah tidak benar?


A Ucapan ini disampaikan oleh penghulu Kampung Lepar.
B Perpaduan di kalangan penduduk Kampung Lepar terjalin erat.
C Penduduk menyambut Hari Kebangsaan dalam suasana ceria dan gembira.
D Majlis itu diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan yang ke-49.

18
PEMAHAMAN 10

Arahan Am:
Tiap-tiap soalan diikuti oleh tiga pilihan jawapan A, B, dan C atau empat pilihan jawapan
A, B, C, dan D. Antaranya, ada satu sahaja jawapan yang betul. Pilih jawapan itu.

Soalan 1 hingga Soalan 5


Baca petikan di bawah dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

Yang Mulia Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel hakim, guru-guru, serta hadirin
yang dihormati sekalian. Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Berdirinya saya di
sini adalah untuk menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk "Televisyen Pelbagai
Rangkaian Membawa Kesan Buruk kepada Masyarakat".
Hadirin sekalian,
Pada zaman teknologi maklumat ini, tanpa kita sedari terdapat lebih daripada
30 buah rangkaian televisyen yang boleh dimiliki oleh rakyat Malaysia. Jumlah ini
merangkumi lima buah rangkaian percuma kerajaan dan swasta serta lebih 22 buah
rangkaian berbayar yang disalurkan melalui kabel dan satelit. Namun, di sebalik
keghairahan kita untuk memiliki kesemua rangkaian ini, terfikirkah kita tentang kesan-
kesan yang bakal timbul dalam kehidupan kita?
Kebanyakan rancangan dari luar negara yang ditayangkan kepada kita itu
disalurkan melalui rangkaian televisyen berbayar dan swasta. Rancangan-rancangan
ini dipenuhi dengan adegan-adegan ganas, lucah, dan unsur-unsur yang bertentangan
dengan budaya rakyat Malaysia. Akibatnya, rancangan-rancangan bercorak begini
akan meracuni pemikiran serta mempengaruhi perbuatan dan tingkah laku penonton.
Hadirin sekalian,
Walaupun terdapat rancangan yang bercorak informasi dan pendidikan
ditayangkan, namun jumlah rancangan hiburan jauh lebih banyak dan kian mendapat
perhatian penonton. Rancangan ini menjadikan penontonnya terutama golongan
pelajar leka sehingga melupakan tanggungjawab mereka. Terdapat banyak kes pelajar
tidak menyiapkan kerja sekolah mereka dan datang ke kelas dalam keadaan
mengantuk akibat terlalu asyik menonton rancangan televisyen hingga larut malam.
Selain itu juga, kebanjiran rancangan menarik yang disalurkan melalui rangkaian
yang pelbagai ini menjadikan seseorang individu itu menghabiskan waktu lapangnya
dengan menonton televisyen. Masa yang sepatutnya digunakan untuk beriadah
dibazirkan dengan bermalas-malas di depan kaca televisyen.
Kini jelaslah kepada kita bahawa televisyen pelbagai rangkaian ini membawa
mudarat kepada masyarakat. Malah kesannya adalah lebih meluas jika difikirkan
secara mendalam. Namun, oleh sebab masa tidak mengizinkan, maka saya tidak
dapat mengupasnya secara terperinci. Oleh itu, setakat ini sahaja ucapan saya pada
kali ini. Sekian, terima kasih.

19
1. Pada pendapat kamu, di manakah syarahan ini disampaikan?
A Di dalam kelas
B Dalam perhimpunan sekolah
C Dalam pertandingan syarahan
D Semasa sambutan Hari Guru

2. Pilih pernyataan yang benar.


A Rangkaian televisyen yang disalurkan melalui kabel adalah milik kerajaan.
B Bukan semua orang memiliki kesemua rangkaian yang ditawarkan.
C Rangkaian televisyen percuma tidak menayangkan rancangan dari luar
negara.
D Jumlah rancangan hiburan adalah sama dengan jumlah rancangan
berinformasi.

3. Berdasarkan syarahan, murid tidak membuat kerja sekolah kerana


A malas.
B Bukan memahami pelajaran yang diajar oleh guru di dalam kelas.
C terpengaruh dengan adegan ganas.
D terlalu asyik menonton rancangan televisyen.

4. Perkataan kebanjiran dalam petikan bererti


A banyak.
B basah.
C kurang.

5. Jika penyampai syarahan mempunyai lebih masa, dia mungkin akan


A meneruskan syarahan dengan tajuk lain.
B memberi contoh-contoh rancangan yang memberi kesan negatif.
C meneruskan syarahan dengan mengupas lebih banyak kesan negatif
televisyen pelbagai rangkaian.
D meninggalkan majlis.

20

You might also like