You are on page 1of 13

MATLAMAT MALAYAN UNION

Ketika Tanah Melayu diperintah Jepun pada tahun 1943, Pejabat Tanah Jajahan British dan Pejabat India British telah merangka sebuah kerajaan baru untuk Tanah Melayu dan telah dipersetujui oleh kerajaan British di London. British begitu yakin akan berjaya menawan Tanah Melayu semula daripada Jepun berikutan kejayaan Tentera Berikat di Eropah menawan semula beberapa negara daripada Jerman. Bentuk pemerintahan baru ini telah dirangka tanpa perwakilan dan pengetahuan orang Melayu kerana British menganggap kedaulatan Tanah Melayu tidak lagi wujud setelah kalah dalam peperangan. Kerajaan baru ini dikenali sebagai Malayan Union. British menganggap hak mutlaknya untuk menentukan bentuk pemerintahan dan kerajaan Tanah Melayu apabila berjaya mengusir Jepun.

Tujuan utama penubuhan Malayan Union ialah untuk memiliki dan menguasai Tanah Melayu. Tanah Melayu juga ialah sebuah negeri yang kaya dengan sumber ekonomi daripada sumber bumi. Kedudukan geografi Tanah Melayu pula sangat sesuai dijadikan sebagai sebuah negeri pengguna dan agen pasaran barangan dagangan Inggeris di timur. Selain itu, British juga telah menjangkakan akan kehilangan beberapa buah negeri tanah jajahannya akibat Peperangan Dunia Kedua. Daripada pengalaman pentadbiran pula, Tanah Melayu dianggap mudah diperintah kerana orang Melayu dianggap mempunyai budi bahasa yang tinggi, bersikap lemah lembut dan mudah mengikut telunjuk.

Berita rancangan Inggeris menubuhkan Malayan Union telah tersebar luas dalam akhbarakhbar di India dan London. Berita ini juga segera mendapat liputan akhbar di Singapura dan Pulau Pinang kerana terdapat beberapa kumpulan elit dan ahli parlimen Inggeris yang tidak

menyetujuinya. Ini adalah kerana kemenangan tentera Inggeris adalah dengan kerjasama Tentera Berikat dan Tanah Melayu bukanlah Tanah Jajahan Inggeris. Sebelum perang meletus, British telah berjanji untuk memulangkan kuasa Raja-raja Melayu dibawah Dasar Decentralisasi. Malayan Union dikhuatiri akan mengakibatkan huru-hara dan akan merugikan kerajaan British. Untuk mengatasi masalah itu kerajaan British telah menghantar sebuah jawatan kuasa meminta persetujuan Raja-raja Melayu yang diketuai oleh Sir Harold Mac Michael sebaik saja Jepun menyerah kalah.

Sir Harold Mac Michael telah tiba di Tanah Melayu pada bulan Oktober 1945. Beliau telah berjaya memperdaya dan memujuk raja-raja negeri Melayu dengan pelbagai muslihat dan ancaman. Beliau juga telah mempergunakan nama dan pengaruh Sultan Ibrahim Johor bagi mendapatkan tandatangan raja-raja Melayu dan kembali ke London pada 26 Disember 1945. Beliau telah berjaya menyakinkan pihak kerajaan British mengenai tandatangan yang diperoleh adalah secara sukarela daripada raja-raja Melayu.

Di dalam perlembagaan Malayan Union, kesemua 9 buah negeri Melayu, Melaka dan Pulau Pinang disatukan sebagai sebuah tanah jajahan Inggeris yang diketuai oleh seorang Gabenor British. Singapura tidak dimasukkan kerana British menganggap Singapura telah menjadi milik mutlak Inggeris yang diperoleh melalui perjanjian dengan Sultan Hussin. Semua bidang kuasa raja-raja Melayu dalam kerajaan Malayan Union termasuk hak menentukan dasar luar negeri diambil alih oleh Gabenor . Raja-raja Melayu walaupun diberi hak terhadap agama dan adat resam Melayu tetapi tidak mempunyai kuasa ke atasnya kerana baginda hanya bertaraf ahli biasa dalam Majlis Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Gabenor Malayan Union. Perlembagaan Malayan Union juga mengiktiraf taraf kerakyatan pendatang asing melalui

lunas Jus Soli mengikut kelahiran dan juga kelonggaran diberi kepada kaum pendatang yang memohon menjadi rakyat Malayan Union.

Sebelum perang meletus, orang Melayu telah terdedah dengan pelbagai pandangan agar pihak Inggeris tidak memperkecil keupayaan dan hak-hak orang Melayu dalam pelbagai bidang kehidupan. Masalah pendidikan, ekonomi dan pengambilan pegawai dan kakitangan kerajaan dianggap tidak seimbang kerana British mengenepikan orang Melayu. Kerajaan British juga terus membawa masuk sebegitu banyak buruh asing dan hal ini tidak disenangi oleh cendekiawan Melayu kerana mewujudkan keadaan yang tidak seimbang dalam pola masyarakat.

Apabila Sir Harold Mac Michael datang dan berjaya mendapat tandatangan raja-raja Melayu, orang-orang Melayu berasa yakin bahawa segala yang dijanjikan oleh British sebelum perang untuk memulangkan kuasa raja-raja adalah pembohongan belaka. Penjelasan British yang menyatakan Malayan Union adalah ke arah persediaan untuk bekerajaan sendiri tidak dapat diterima oleh orang-orang Melayu kerana perlembagaan Malayan Union itu sendiri akan melenyapkan maruah dan ketuanan Melayu.

Dalam suasana kebimbangan dan bercampur marah itu Dato Onn telah diminta mengetuai orang Melayu kerana beliau pernah menyeru supaya orang Melayu bersatu padu untuk membaiki nasib di tanah air sendiri. Gagasan fikiran dan pandangannya di akhbar-akhbar sebelum perang dan cita-citanya untuk menyatupadukan orang Melayu pernah diucapkan ketika menghadiri Kongres Melayu di Singapura pada tahun 1940. Beliau dilihat sebagai seorang tokoh yang amat sesuai untuk semua golongan masyarakat dari rakyat biasa hingga

kerabat diraja termasuk berhadapan dengan pegawai-pegawai tertinggi Inggeris kerana latar belakangnya.

Sehubungan dengan itu, Dato Onn yang baru saja berjaya mengamankan pergaduhan kaum di Batu Pahat segera menyeru perpaduan Melayu melalui akhbar-akhbar untuk menentang Malayan Union. Beliau telah menubuhkan Pergerakan Melayu Semenanjung pada 3 Januari 1946. Beliau telah menyeru agar orang Melayu segera berkumpul dan bersatu padu dan telah mendapat sokongan serta kerjasama yang tidak berbelah bagi hingga terlangsunglah perjumpaan pemimpin-pemimpin pertubuhan dan persatuan Melayu dari seluruh negara dalam Kongres Melayu Pertama di Kelab Sultan Sulaiman pada 1 hingga 4 Mac 1946.

Sebelum itu, seruan Dato Onn telah membangkitkan semangat perpaduan Melayu di beberapa negeri dan berjaya mengadakan rapat-rapat umum membantah penubuhan Malayan Union. Di Kuala Kangsar, lebih 25,000 orang telah mengadakan perarakan raksasa membantah Malayan Union pada 15 Januari 1946. Tetapi pada 22 Januari 1946 pihak British tetap meneruskan agendanya mengumumkan penubuhan Malayan Union yang akan berkuatkuasa mulai 1 April 1946. Dua hari selepas itu, sekali lagi Dato Onn menyeru melalui akhbar Majlis mencadangkan pertemuan dan perpaduan Melayu dalm satu kongres disegerakan.

Di merata negara, perarakan-perarakan kecil telah diadakan. Pada 2 Februari 1946 satu perarakan seramai lebih 36,000 orang telah berjaya diadakan di Kota Bharu Kelantan. Di Batu Pahat sendiri telah diadakan perarakan besar-besaran dan seramai 18,000 orang Melayu telah keluar berjalan kaki ke Bandar Batu Pahat mengikut serta menunjuk perasaan membantah Malayan Union pada 10 Februari 1946. Ikrar membantah penubuhan Malayan

dibaca oleh Kiai Salleh. Sepanjang perarakan, slogan Hidup Melayu terus dilaungk an dan bergema di sana sini. Perarakan yang bermula di Jalan Sultanah berkhir di Padang Pejabat Kerajaan Batu Pahat. Di sini, Dato Onn telah berapi-api memberi ucapan menentang Malayan Union dan mengecam kerajaan British sebagai tidak berprikemanusiaan merampas hak orang Melayu..

Di dalam Kongres Melayu Pertama pada 1 hingga 4 Mac 1946, PEKEMBAR atau UMNO ditubuhkan tetapi kerajaan British tetap berhasrat mengadakan majlis pengistiharan Malayan Union dan perlantikan Gabenor Malayan Union, Sir Edward Gents pada 1 April 1946. Sehari sebelum pengistiharan, DatoOnn telah mengadakan Mesyuarat Tergempar PERKEMBAR di Kuala Lumpur untuk bertindak mengadakan perarakan dan memujuk raja-raja Melayu memulaukan majlis. Orang-orang Melayu juga diseru supaya berkabung dengan memakai songkok berlilit putih dan berbaju putih selama seminggu. Hal ini telah berjaya dilakukan dan pihak British amat terkejut apabila raja-raja dan pembesar Melayu memulaukannya manakala beribu-ribu orang Melayu berkumpul di hadapan Station Hotel, Stesen Kereta api Kuala Lumpur membantah penubuhan Malayan Union.

Walau pun begitu, British tetap meneruskan rancangannya kerana berasa yakin raja-raja dan pembesar Melayu masih menyokong dan menyebelahi kerajaan British. Jentera kerajaan juga tidak lumpuh kerana majoriti kaum yang berkhidmat dengan British adalah terdiri daripada kaum pendatang. Gabenor yang dipulaukan terus menjalankan tugas tetapi akhirnya berhadapan dengan pelbagai kesulitan apabila raja-raja dan pembesar Melayu serta pegawaipegawai tinggi Melayu bersikap berkecuali dan pasif. Beliau mengambil iniasiatif dengan memujuk agar Malayan Union diterima tetapi beliau sendiri berasa simpati kerana kerajaan British dianggap telah bertindak begitu jauh tanpa mempedulikan maruah bangsa Melayu.

Pada 11 Mei 1946, sekali lagi pemimpin-pemimpin pertubuhan dan persatuan orang-orang Melayu berkumpul menghadiri persidangan di Istana Besar Johor Bahru dan penubuhan PERKEMBAR telah diisytiharkan dengan rasminya sebagai satu persatuan mewakili seluruh orang Melayu. PERKEMBAR atau UMNO selepas itu telah menyusun secara teratur pelbagai aktiviti membantah Malayan Union hingga akhirnya Britis terpaksa tunduk mengikut kehendak UMNO merangka perlembagaan baru mewujudkan Persekutuan Tanah Melayu. Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani oleh raja-raja Melayu dengan pihak Inggeris pada 21 Januari 1948 dan dikuatkuasakan pada 1 Februari 1948. Mulai dari tarikh itu Malayan Union dibubarkan..

Malayan

Union

Sistem Kesatuan merupakan sebuah sistem pentadbiran negara. Dalam konteks di Tanah Melayu ini, ianya dikenali sebagai Malayan Union (Kesatuan Tanah Melayu). Sebenarnya, rancangan British untuk membentuk Malayan Union ini adalah sejak pihak Jepun menawan Singapura pada tahun 1942. Pihak British mendapati, antara faktor utama kekalahan Tanah Melayu kepada pihak Jepun adalah disebabkan oleh masalah penyelarasan antara ketiga-tiga sistem pentadbiran, iaitu Negeri-negeri Selat (Pulau Pinang, Melaka, dan Singapura), Negerinegeri Melayu Bersekutu (Perak, Selangor, Negeri Sembilan, dan Pahang), dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu (Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, dan Johor). Jadi, rancangan Malayan Union adalah untuk menyatukannya di bawah satu pentadbiran sahaja.

Sir Harold MacMichael telah diutuskan oleh kerajaan British ke Tanah Malayu. Beliau tiba pada 11 Oktober 1945 di Pelabuhan Swettenham (Pelabuhan Klang). Tugas utama beliau adalah untuk memujuk dan mendapatkan persetujuan Raja-Raja Melayu supaya menyerahkan negeri mereka kepada Raja Inggeris (Kerajaan British), untuk dijadikan Jajahan Takluk (Koloni) Britain. Beliau juga diberi kuasa untuk menyiasat sama ada Raja-raja Melayu ada bekerjasama dengan tentera Jepun atau sebaliknya. Kesannya, Raja-raja Melayu akan kehilangan kuasa dan berperanan hanya sebagai penasihat. Rancangan Malayan Union ini telah membuatkan orang-orang melayu khususnya berasa tidak senang, kecewa, dan marah kepada pihak British, yang selama ini disangkakan kawan, dan jalinan hubungan bersemangatkan kepercayaan, tetapi menjadi duri dalam daging.

Dalam masa tiga bulan sahaja, iaitu dari 20 Oktober hingga 21 Disember 1945, MacMichael telah berjaya mendapatkan tanda tangan sebagai tanda persetujuan daripada Raja-raja

Melayu, terhadap perjanjian Malayan Union. Bermula dengan Sultan Ibrahim (Johor) dan diakhiri dengan Sultan Ismail (Terengganu), sembilan buah negeri kesemuanya. Beliau telah menggunakan kuasa yang diberikan kepadanya dengan mengugut Raja-raja Melayu, dengan memberi amaran jika baginda enggan menerima cadangan Malayan Union, baginda akan disingkirkan atas bersubahat dengan tentera Jepun.

Sir Harold MacMicheal telah pulang ke England pada 6 Januari 1946, membawa bersamanya Kertas-kertas Penyerahan Kuasa yang ditanda tangani oleh sembilan Raja Melayu bagi setiap negeri. Pada 22 Januari 1946, Kerajaan British telah membentangkan satu Kertas Putih di Dewan Parlimennya, mengumumkan rancangan penubuhan Malayan Union (Negara Malaya Bersatu) yang akan menggantikan pemerintahan beraja di Negeri-negeri Melayu, yang akan berkuat kuasa pada 1 April 1946 (Jaafar Onn 2007).

Ciri-ciri

Perlembagaan

Malayan

Union

Ciri terpenting dalam Perlembagaan Malayan Union ialah perubahan taraf negeri-negeri Melayu daripada sebuah negeri yang bernaung kepada tanah jajahan. Bermaksud, semua negeri di Tanah Melayu (Singapura dikecualikan, dan kekal sebagai tanah jajahan British secara berasingan) digabungkan di bawah satu kerajaan pusat sahaja. Malayan Union diketuai oleh seorang Gabenor yang dibantu oleh sebuah Majlis Mesyuarat Undangan (MMU) dan Majlis Kerja (MK). Pesuruhjaya Residen menjadi ketua pentadbir tertinggi di negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat. Beliau juga menjadi pengerusi Majlis Mesyuarat Negeri (MMN) yang terletak di bawah kawalan kerajaan pusat. MMN dikekalkan untuk menguruskan hal-ehwal tempatan dan dikawal oleh kerajaan pusat. Majlis ini dianggotai oleh

para pegawai British. MMU pula mempunyai bilangan ahli rasmi dan ahli tidak rasmi yang sama banyak. Gabenor berkuasa melulus atau membatalkan sesuatu undang-undang. Semua undang-undang yang dikuat kuasakan tidak memerlukan tandatangan sultan (Ruslan Zainuddin et al. 2005).

Tanah Melayu mungkin akan diberi kemerdekaan, dan Malayan Union dianggap langkah pertama ke arah itu. Namun kemerdekaan tidak akan diberikan selagi kaum-kaum yang ada di Tanah Melayu tidak bersatu (Mohd. Isa Othman 2007). Jadi, hak kewarganegaraan yang sama diberikan kepada semua orang, tanpa mengira kaum dan asal keturunan, ianya termaktub dalam Perlembagaan Malayan Union. Semua kaum diberikan hak yang sama untuk memasuki perkhidmatan awam dan mengundi dalam pilihan raya. Jus soli merupakan satu prinsip yang diguna pakai untuk kaum bukan Melayu bagi mendapatkan hak kewarganegaraan, iaitu melalui kuat kuasa undang-undang dan permohonan.

Pastinya, orang-orang Melayu memberikan reaksi dan bantahan yang hebat terhadap rancangan Malayan Union itu. Beberapa siri perarakan dan tunjuk perasaan berlangsung di hampir seluruh negeri semenanjung sebagai tanda protes. Akhbar-akhbar Melayu seperti Majlis, Utusan Melayu dan Warta Negara juga menjadi saluran utama dalam menyampaikan mesej bantahan orang-orang Melayu. Selain itu, ada di antara Sultan yang menghantar petisyen bantahan kepada kerajaan British, yang mana baginda mempertikaikan cara MacMichael berunding dan mengugut, dan menganggap perjanjian yang telah ditandatangani baginda, adalah tidak sah. Seruan supaya umat Melayu bersatu padu semakin kuat kedengaran di seluruh Semenanjung.

Ruslan Zainuddin et al. (2005) menyatakan enam (6) sebab-sebab penentangan orang Melayu

terhadap rancangan Malayan Union. Pertamanya, Perlembagaan Malayan Union digubal tanpa mengambil kira pandangan orang Melayu terlebih dahulu. Raja-raja Melayu diberi masa yang singkat untuk meneliti kandungan perjanjian Malayan Union. Baginda tidak berpeluang untuk berbincang dengan para pembesar atau Majlis Mesyuarat Negeri masingmasing.

Keduanya, Persetujuan Raja-raja Melayu kepada Malayan Union dianggap tidak sah kerana tidak mematuhi perlembagaan negeri-negeri Melayu yang memerlukan raja berunding dengan para pembesar terlebih dahulu sebelum menanda tangani sebarang perjanjian dengan kuasa asing. Perkara ini ada disebut dalam Perlembagaan Negeri Johor.

Ketiganya, Sir Harold MacMichael menggunakan ugutan untuk menyingkirkan mana-mana raja yang tidak bersetuju dengan rancangan Malayan Union. Beliau juga bersikap biadap, tidak mengetahui adat resam dan memahami bahasa Melayu serta tiada pengalaman langsung tentang Tanah Melayu.

Keempatnya, Malayan Union menghapuskan kedaulatan dan kuasa politik Raja-raja Melayu. Kini, kuasa baginda hanya terbatas kepada hal-ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja. Kehilangan kedaulatan dan kuasa politik bermakna raja-raja tidak lagi dapat melindungi hak dan kepentingan orang melayu.

Kelimanya, Perlembagaan Malayan Union menawarkan syarat-syarat kerakyatan yang longgar kepada kaum bukan Melayu. Penerimaan kaum bukan Melayu menjadi warga negara dilihat boleh mengancam kedudukan politik orang Melayu, terutama apabila kesetiaan kaum bukan Melayu kepada Tanah Melayu masih lagi diragui.

Keenamnya, Persamaan hak kepada semua rakyat di Tanah Melayu tanpa mengira kaum dianggap mengancam hak dan kedudukan istimewa orang Melayu. Sebagai penduduk peri bumi di Tanah Melayu, orang Melayu merasakan bahawa mereka perlu menikmati hak dan kedudukan yang istimewa berbanding dengan kaum lain.

Antara tokoh-tokoh penting yang menjadi tonggak utama sebagai pemimpin dalam menentang usaha Malayan Union ini adalah diwakili (Johor) Dato Onn Jaafar, Dato Abd. Rahman Mohd Yassin, Haji Hassan Yunus, Dr. Awang Hassan, dan Dr. Hamzah Hj. Taib. Sementara Selangor diwakili oleh Encik Zainal Abidin bin Ahmad (Zaaba) dan Dato Hamzah Abdullah. Kelantan pula diwakili oleh Dato Nik Ahmad Kamil. Manakala Kedah diwakili oleh Haji Mohamad Sheriff.

Namun lain pula reaksi orang bukan Melayu, terutamanya orang Cina. Mereka bersikap tunggu dan lihat kerana pihak British telah berjanji untuk memberi hak kerakyatan yang sama kepada semua kaum secara jus soli.

Apabila sahaja pihak British menangguhkan perihal kewarganegaraan atas desakan orang Melayu, orang Cina mula melahirkan rasa curiga dan telah melancarkan bantahan melaui akhbar-akhbar Cina dan menganjurkan penubuhan Malayan Democratic Union (MDU), sebuah pertubuhan politik berhaluan kiri. Bantahan orang Cina ini dipusatkan melalui sebuah badan, iaitu All-Malayan Council of Joint Action (AMCJA) yang ditubuhkan pada bulan Disember 1946, yang mempunyai keahlian seramai kira-kira 400 000 orang dan diketuai oleh Tan Cheng Lock (Ruslan Zainuddin et al. 2005).

Bagi kaum India pada ketika itu, mereka masih memberi tumpuan kepada keadaan politik di India dan Parti Kongres India.

Kongres

Melayu

Se-Malaya

dan

Penubuhan

UMNO

Maka, buat julung kalinya, pada 1 Mac 1946, Kongres Melayu Se-Malaya telah dapat dianjurkan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Jaafar Onn (2007) menjelaskan, hampir 300 orang wakil dan pemerhati rasmi dari 41 pertubuhan, persatuan, pergerakan, dan kesatuan Melayu di Semenanjung dan Singapura telah bersidang. Kongres Melayu pertama itu telah dirasmikan oleh DYMM Tuanku Sultan Hishamudin Alam Shah, Raja Selangor, sebagai tanda perpaduan Raja dengan Rakyat.

Hasil daripada persidangan kongres selama empat hari tersebut, Dato Onn Jaafar telah dilantik sebagai Pengerusi Kongres. Beliau juga telah mencadangkan supaya membentuk sebuah Pertubuhan Kebangsaan yang bertujuan untuk menjadi pertubuhan induk mewakili keseluruhan umat Melayu. Seorang perwakilan - Dato Hamzah Abdullah telah mencadangkan nama Pertubuhan Melayu Bersatu. Cadangan tersebut disokong oleh Tuan Mohd Arus Lafaz dan meminta ditambah perkataan Kebangsaan. Maka dengan itu, Kongres bersetuju dengan nama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) atau sinonim dengan panggilan UMNO (Mohd. Isa Othman 2007).

Menurut Ruslan Zainuddin et al. (2005), Kongress Melayu Se-Malaya kedua telah diadakan di Johor pada 11 Mei 1946, meluluskan pembentukan UMNO yang diberi tugas untuk

menyatukan orang Melayu bagi menentang Malayan Union. Sekali lagi, Dato Onn telah diberi mandat dan kepercayaan, beliau telah dipilih menjadi Yang Dipertua UMNO yang pertama.

Persekutuan

Tanah

Melayu

Sekiranya Tuanku sekalian turut menghadiri upacara perlantikan Gabenor Malayan Union itu, rakyat Tuanku sekalian tidak akan mengaku Tuanku sebagai Raja lagi. Rakyat Melayu menganggap bahawa menghadiri majlis istiadat perlantikan Gabenor Malayan Union ialah seolah mengusung jenazah Umat Melayu. (Jaafar Onn 2007).

Petikan kata-kata di atas adalah kata-kata daripada Dato Onn kepada Baginda Raja-raja Melayu pada malam 31 Mac 1946, supaya tidak berangkat ke upacara perlantikan Sir Edward Gent, sebagai Gabenor Malayan Union yang dijadual berlangsung pada pagi 1 April 1946.

Akibat daripada tentangan hebat orang Melayu keseluruhannya, maka gagasan Malayan Union hanya mampu bertahan selama tiga bulan sahaja. Maka dengan itu, British bersetuju mengetepikan dasar Imperialismenya dengan memansuhkan Malayan Union, dan wujudlah satu rancangan baru iaitu Persekutuan Tanah Melayu.

You might also like