You are on page 1of 3

TRAGEDI M.

V PULAU KIDJANG
Rosly Averin shared Borneo Oracle's photo.

TRAGEDI M.V PULAU KIDJANG 40 TAHUN DALAM KENANGAN (27.12.1973)


TRAGEDI PULAU KIDJANG
Bila bulan mengambang
Cahaya pun gemilang
Tiba-tiba mendung mendatang
Angin serta gelombang
Bertiup dengan kencang
Malang terus mendatang
Sebuah kapal panjang
Ukuran sama sedang
Diberi nama Pulau Kidjang
Malangnya Pulau Kidjang
Jadi mangsa gelombang
Tenggelam di lautan Rajang
Alangkah sedih oh Tuhan pada hambamu yang malang banyak nyawa terkorban
Menjadi peristiwa hingga masa kini
Kisah tragedi Pulau Kidjang
Lagu & Lirik ; Suga Anak Luntu, Simunjan (1980)
Pembuka bicara kali ini dimulai dengan bait-bait lagu Tragedi Pulau Kidjang yang dihasilkan
oleh seorang bangsa Sarawak iaitu Suga Anak Luntu pada tahun 1980. Melihat kepada bait-bait
liriknya sudah cukup untuk meluahkan betapa tragedi ini terlalu dekat kepada generasi terdahulu
Bangsa Sarawak. Mungkin sekarang generasi muda Sarawak lebih mengenal cerita karamnya
kapal Titanic yang sering kita saksikan di layar-layar perak namun pasti ramai lagi yang tidak
mengetahui bahawa 40 tahun dahulu telah berlakunya satu tragedi hitam yang menyayat hati
bagi setiap Bangsa Sarawak pada waktu itu iaitu tragedi tenggelamnya M.V Pulau Kidjang di
Kuala Rajang. Mangsanya terdiri daripada pelbagai kaum samada melayu, melanau, iban,

bidayuh, cina dan orang ulu kerana pada waktu itu pengangkutan air adalah pengangkutan utama
bagi Sarawak. Dalam 3 hari lagi iaitu 27.12.2013 genaplah 40 tahun tenggelamnya M.V Pulau
Kidjang di Kuala Rajang dan sebagai mengenang tragedi hitam ini Borneo Oracle ingin
mengajak pembaca sekalian untuk cuba memahami mengapa tragedi ini terlalu peribadi bagi
bangsa Sarawak dulu dan sekarang. Artikel istimewa ini diberikan tajuk TRAGEDI M.V
PULAU KIDJANG 40 TAHUN DALAM KENANGAN (27.12.1973).
Pulau Kidjang merupakan sebuah kapal yang beroperasi di perairan Sarawak pada pertengahan
tahun 1960-an hingga awal tahun 1970-an. Kapal M.V. Pulau Kidjang dibina pada tahun 1963
dan didaftar di pelabuhan Singapura dengan nombor pendaftaran awal ialah 159456. Sijil
pendaftaran yang dikeluarkan oleh kerajaan Singapura dan sah sehingga 10 Mei 1973. Kapal
yang diperbuat daripada besi keluli dan kayu ini asalnya dibenarkan membawa seramai 225
orang iaitu 180 penumpang dan 45 anak kapal. Kapal M.V Pulau Kidjang ini berperanan sebagai
kapal kargo dan kapal penumpang. Sebelum beroperasi di perairan Sarawak pada tahun 1965,
kapal buatan Taiko Dackard and Engineerig Co. Ltd., Hong Kong ini pernah beroperasi
diperairan Singapura dan sebahagian perairan Indonesia sehingga zaman konfrantasi pada tahun
1963, apabila perkhidmatannya terpaksa diberhentikan atas sebab-sebab tertentu. Sejajar dengan
keutamaan penguatkuasaan terhadap aspek keselamatan kapal yang beroperasi di perairan
Sarawak, satu sijil keselamatan dan penumpang telah dikeluarkan oleh kerajaan Sarawak pada
tahun 1965 ke atas M.V Pulau Kidjang. Sijil tersebut sah sehingga 16 Mac 1974 dan
menghadkan jumlah penumpang seramai 159 orang sahaja. Menurut artikel perjanjian anak kapal
yang didaftar pada sijil keselamatan peralatan kapal M.V. Pulau Kidjang dibenarkan membawa
seramai 29 orang anak kapal. Sijil tersebut sah sehingga 29 September 1973. Serentak dengan
pengeluaran sijil keselamatan dan penumpang, pemilik kapal juga telah diarahkan supaya
meningkatkan beberapa kelengkapan keselamatan pelayaran termasuklah pemasangan alat
perhubungan komunikasi radio. Arahan tersebut yang terkandung di dalam surat bertarikh 10
Januari 1966 dikeluarkan setelah pemeriksaan olah Jabatan Laut Sarawak ke atas M.V Pulau
Kidjang mendapati kedudukan stabiliti kapal tidak seimbang. Kandungan surat arahan yang
ditandatangani oleh Pengarah Jabatan Laut Sarawak, Kapten I.J Nah, antara lain menyebut
sekiranya 110 orang penumpang bergerak serentak di atas dek ketika kapal sedang berlabuh, ia
boleh mengakibatkan kedudukan kapal condong kira-kira sepuluh darjah. Kargo juga jika
diletakkan di bahagian palka dan deka atas tidak disusun dengan sempurna, kedudukan kapal
akan melereng sehingga sepuluh darjah ke sebelah. Spesifikasi kapal dengan reka bentuk struktur
binaan astaka bahagian atasnya yang berat mengakibatkan pergerakan kapal tidak begitu stabil
terutama ketika belayar semasa keadaan laut bergelora. Pusat gravitinya akan meningkat akibat
berat badan menyebabkan kestabilan M.V. Pulau Kidjang. Hasil siasatan yang telah dijalankan,
dianggarkan seramai 140 orang penumpang termasuk 30 anak kapal menyertai pelayaran
tersebut. Jumlah kargo yang dibawa pula melebihi 80 tan termasuk dua buah kereta yang
diletakkan diruang kosong di atas dek. Bagaimanapun, adalah tidak diketahui di mana baki kargo
yang lainnya disimpan. M.V Pulau Kidjang didapati tidak layak belayar semasa ia karam pada
kedudukan kira-kira 2.8 batu nautika dari rumah api Tanjung Jerijih atau kira-kira tiga batu
nautika kearah rumah api Tanjung Jerijih. Binaan pengalih udara dan tingkap magun yang
terletak di sebelah dek kapal, didapati tidak dikunci dengan ketat. Keadaan ini menyebabkan
pengalih udara tersebut mudah terbuka apabila dipukul ombak yang kuat. Akhbar The Vanguard
bertarikh 31 Disember 1973 melaporkan jumlah mayat yang ditemui sehingga 30 Disember 1973
ialah 46 orang manakala 40 orang lagi selamat. Apabila gerakan mencari dan menyelamat

berakhir kira-kira dua minggu selepas tragedy, sejumlah 53 mayat berjaya ditemui termasuk
limamayat anak kapal. Bagaimanapun berdasarkan kajian, dianggarkan seramai 47 orang mangsa
termasuk tujuh anak kapal yang dikatakan hilang sebenarnya dipercayai terperangkap dalam
bangkai M.V Pulau Kidjang. Sejumlah 12 mayat mangsa termasuk 2 mayat kanak-kanak yang
tidak dapat dikenali wajah dan identiti mereka tidak diketahui telah dikebumikan di tanah
perkuburan khas. Ada kemungkinan juga mayat-mayat itu merupakan penumpang dan anak
kapal yang sehingga kini tidak diketahui. Pada 27 Disember 1973, rekod menunjukkan air
pasang setinggi 4.32 meter di muara Kuala Rejang bermula pada jam lima pagi manakala air
surut setinggi 0.64 meter berlaku pada jam 12.00 tengah hari. M.V Pulau Kidjang meneruskan
pelayaran pada kelajuan tujuh knot sejam. Juragan kapal mengarahkan jurumudi kapal
berpandukan kedudukan boya lampu hijau yang terletak di sebelah selatan terus menuju ke
timur. Ketika itu, juragan yang berada di bilik kemudi menyedari perubahan cuaca yang sedang
berlaku. Awan mendung di langit diikuti tiupan angin yang kencang dan kemudiannya diiringi
petir mengakibatkan laut bergelora. Pada masa yang sama, kapal dirempuh oleh ombak besar
berulang kali. Juragan gagal mengawal kedudukan kapal lalu mengarahkan kedua-dua jurumudi
supaya menukar arah haluan menuju ke Kuala Selalang. Bagaimanapun, ketika itu keadaan angin
yang kuat disertai dengan arus yang deras menyebabkan kedudukan M.V Pulau Kidjang sudah
jauh tersasar ke arah Beting Selatan dengan haluannya menuju ke arah anak tanjung Wong
Sands. Kawasan air yang cetek diikuti dengan rempuhan gelombang besar yang berulang-kali
mengakibatkan air laut melimpah masuk dengan banyaknya ke dalam kapal. Keadaan ini
menyebabkan kapal tidak stabil. Seluruh bahagian dek bawah dan separuh dek atasnya digenang
air laut menyebabkan kedudukan kapal senget lalu karam. Laporan Marine Court of Inquiry into
the Sinking of the Motor Vessel Pulau Kidjang Occurred at the Mouth of Rejang River (Case
No. 1/76), ribut selaju 42 knot sejam berlaku semasa M.V Pulau Kidjang karam pada 27
Disember 1973, kira-kira jam 4.03 pagi. Akibatnya kedudukan kapal yang tidak stabil telah
menyebabkan lebih 200 tan air laut melimpah masuk ke dalam M.V Pulau Kidjang. Keadaan ini
telah disedari oleh beberapa penumpang dan anak kapal bermula seawal jam sebelas malam pada
26 Disember 1973 dan berterusan sehinggalah kapal malang tersebut karam pada awal pagi
berikutnya. Karamnya M.V Pulau Kidjang merupakan titik hitam di dalam sejarah maritim
Sarawak Bumi Kenyalang. Tanggal 27hb Disember 1973 menyaksikan ramainya keluarga
Bangsa Sarawak yang kehilangan sanak saudara dan sahabat handai di dalam tragedi hitam
tersebut. Diharap artikel ini akan memberi sedikit ruang informasi kepada generasi Sarawak
tentang satu peristiwa bersejarah yang berlaku di Sarawak Bumi Kenyalang 40 tahun dahulu.
Semoga roh-roh mangsa Tragedi M.V Pulau Kidjang yang ditemui dan tidak ditemui tenang di
sisi Yang Maha Berkuasa. Amin. Borneo Oracle Sarawakian

You might also like