You are on page 1of 2

ANAK BURUNG YANG PEMALAS Assalamualaikum warahmatullahhiwabarakatuh dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, barisan panel

hakim yang bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan sekalian. Burung belatuk di atas dahan Terbang pergi mencari mawas Hidup mati di tangan Tuhan Selagi hidup janganlah malas Tajuk cerita saya pada hari ini ialah Anak Burung Yang Pemalas. Dalam sebuah hutan, tinggal seekor burung belatuk dengan seekor anaknya. Mereka tinggal di dalam sebuah sarang di atas ranting pokok. Setiap hari, Sang Belatuk pergi mencari makanan dan meninggalkan anaknya di sarang. Apabila pulang, ia membawa rezeki dan makan bersama dengan anaknya. Apabila anaknya telah besar sedikit, ia mengajak anaknya belajar mencari makanan. Marilah, ikut ibu. Kita pergi mencari makanan, ajak Sang Belatuk kepada anaknya. Ibu akan ajar kamu bagaimana hendak mencari makanan dan terbang dengan baik, nasihat ibunya lagi. Saya tak mahulah, ibu sendirilah yang cari makanan. Saya malas hendak pergi, kata anak burung itu. Ibunya hanya menggelengkan kepala melihat anaknya yang pemalas itu. Akhirnya si ibu terbang sendirian mencari makanan. Begitulah setiap hari, apabila ibunya mengajak pergi mencari makanan, anaknya tetap tidak mahu pergi. Pada suatu hari, ibu burung itu telah jatuh sakit. Ia lalu memanggil anaknya. Wahai anak, ibu sakit. Tolong pergi cari sedikit makanan dan air. Ibu lapar dan dahaga, pinta si ibu kepada anaknya.

Oleh sebab tiada pilihan, si anak burung cuba untuk mencari makanan. Tiba-tiba, ia terjatuh ke bawah kerana tidak tahu terbang. Apabila terjatuh ke tanah, tiba-tiba si anak burung diterkam oleh Sang Musang. Mujur ia sempat mengelak dan berlari dari situ. Ia bersembunyi di dalam sebatang kayu yang berlubang. Tiba-tiba, seekor ular pula cuba mematuk anak burung itu. Nasib baik ia dapat mengelak dan cuba terbang. Dengan bersusah payah ia berjaya terbang dalam keadaan terhuyung hayang. Akhirnya, ia dapat hinggap di sebatang dahan pokok dalam keadaan tercungap-cungap. Kini, barulah ia teringat pesanan ibunya dahulu supaya belajar terbang dan pandai mencari makanan. Tiba-tiba, datang Sang Helang cuba menyambar si anak burung. Nasib baik ibunya datang menolong dan mematuk mata Sang Helang. Oleh sebab matanya telah kena patuk, Sang Helang terus terbang dari situ. Si anak terus memeluk ibunya dan menangis ketakutan. Ia sungguh menyesal kerana tidak mahu mendengar nasihat ibunya dahulu. Sejak dari hari itu, si anak burung insaf dan tidak mahu jadi pemalas lagi. Ia terus belajar terbang dan mencari makanan bersama ibunya. Oleh itu kawan-kawan janganlah kita bersikap pemalas kerana ia akan merugikan diri kita sendiri. Sekian terima kasih.

You might also like