You are on page 1of 3

Transformasi pendidikan negara didefinisikan sebagai satu perubahan dalam sistem pendidikan negara.

Transformasi pendidikan negara seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 akan dilaksanakan dalam tiga gelombang. Gelombang 1 (2013-2015) memberi penekanan kepada kaedah peningkatan kualiti pengajaran manakala dalam Gelombang 2 (2016-2020), kementerian akan melaksanakan perubahan struktur pendidikan negara. Semua sekolah, guru dan pengetua dikehendaki untuk menunjukkan prestasi melebihi standard minimum dalam Gelombang 3 (20122025). Para guru harus memiliki sifat-sifat yang baik seperti amanah, dedikasi dan ikhlas dalam membantu dan menyampaikan ilmu pengetahuan kepada pelajarnya. Seseorang guru perlu mempunyai sikap dan penampilan guru yang baik terhadap konsep ilmu. Hal ini demikian kerana guru yang berdedikasi, bermotivasi, berdaya gigih dan mempunyai komitmen yang tinggi adalah amat diperlukan bagi melonjak transformasi pendidikan negara ke arah wawasan pendidikan menjelang tahun 2020. Tema sambutan Hari Guru pada tahun 2012 ialah Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara. Oleh itu, seseorang guru yang berinovasi harus memberi tumpuan kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran yang boleh merangsang daya fikir dan daya kreativiti pelajar. Guru yang berinovasi juga merupakan guru yang dapat menyediakan suasana pembelajaran yang paling kondusif kepada pelajarnya. Seterusnya, guru berinovasi juga berupaya untuk menilai pencapaian dan potensi murid secara holistik serta sentiasa mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan kecemerlangan pelajar supaya mereka dapat bersaing pada era globalisasi ini. Guru perlu mempersiapkan diri dengan mendalami ilmu pengetahuan untuk membangunkan kemahiran bagi membentuk seseorang pelajar yang kreatif dan berinovasi dalam melonjak transformasi pendidikan negara ini. Dalam era transformasi pendidikan, guru juga hendak menghasilkan pelajar yang mampu berfikir secara kritis dan kreatif serta dapat memperkembangkan potensi

pelajar dalam aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial bagi mencapai pendidikan yang bertaraf antarabangsa. Hal ini demikian kerana bagi mencapai taraf negara maju pada abad ke-21, Malaysia memerlukan warganegara yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang matematik serta sains dan teknologi. Dengan ini, sumber manusia Malaysia yang berilmu dan berkemahiran dapat dilahirkan bagi menyesuaikan dirinya dengan

perkembangan semasa ini. Oleh itu, guru harus melengkapi dirinya dengan menghadiri pakej latihan yang dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri atau Jabatan Pelajaran Daerah. Melalui pakej latihan ini, guru dapat dilatih untuk mengkaji semula, mengenal pasti dan menyelesaikan masalah dalam proses pembelajaran di kelas secara kritis dan keratif. Di samping itu, guru berperanan dalam menyediakan bahan bantu mengajar yang dapat dimanfaatkan dalam bilik darjah. Pada zaman ini, penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat perlu dititikberatkan dalam bilik darjah. Aspek literasi sains dan teknologi juga ditekankan dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Dengan ini, warganegara yang berilmu pengetahuan, celik Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), berkemahiran dapat dilahirkan bagi menghadapi cabaran semasa ini. Hal ini demikian kerana dengan mengaplikasikan ilmu yang dipelajari tentang bidang ini akan membangunkandan memajukan negara kita. Bidang ini amat penting dalam pembangunan sektor perindustrian yang merupakan unsur penting dalam mencapai taraf negara maju. Hal ini demikian kerana sektor perindustrian membawa pertambahan nilai, pendapatan dan pekerjaaan yang tinggi kepada tenaga manusia negara ini selain harga pasaran pengeluarannya juga adalah lebih stabil. Ilmu pengetahuan, kemahiran dan keupayaan menggunakan teknologi-teknologi pengeluaran adalah diperlukan bagi melahirkan sektor perindustrian yang dinamik. Oleh itu, alat bantu mengajar yang bebentuk visual merupakan salah satunya contoh bahan bantu mengajar yang mudah difahami oleh pelajar.

Tambahan pula, guru juga berperanan dalam memantapkan sistem pendidikan negara berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) adalah untuk melahirkan individu secara menyeluruh dan bersepadu bagi mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Guru berperanan dalam membentuk modal insan yang meliputi pelbagai jenis aspek perkembangan dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani supaya pelajar menjadi insan yang berilmu pengetahuan, bermoral tinggi dan seimbang. Guru juga sebagai model hidup di mana tingkah laku guru menjadi contoh teladan kepada pelajar. Nilai-nilai murni yang ditonjolkan oleh guru di sekolah secara tidak langsung diterapkan dalam jiwa pelajar. Oleh itu, guru perlu menonjolkan teladan yang baik kepada pelajarnya. Dalam hal ini, guru haruslah sentiasa berpakaian kemas, berkelakuan baik, bersopan santun, berbudi bahasa, sentiasa menepati masa, rajin dan mempunyai sikap positif terhadap tugas-tugas yang diamanahkan. Secara kesimpulannya, guru memberi sumbangan yang besar dalam kalangan masyarakat ini. Guru juga berperanan penting dalam membangunkan dan memajukan sesebuah negara. Oleh itu, para guru perlu memanfaatkan kepakaran dan ilmu masing-masing untuk membina modal insan demi memenuhi tuntutan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menjadi tunjang kepada sistem pendidikan di negara kita selama ini. Usaha ini adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

You might also like