You are on page 1of 3

Akhlak dan Disiplin Berorganisasi

Kita mestilah memastikan diri kita dan keluarga kita menunjukkan contoh teladan
yang baik di mana sahaja kita berada, kerana kita akan menjadi duta kepada
perjuangan parti, untuk melebarkan pengaruh parti kepada masyarakat. Sebelum
mereka melihat parti, mereka akan menilai dahulu siapakah aktivis-aktivisnya?
Oleh kerana itu terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian kepada ahli
PAS sekalian.

Menunaikan Janji
Allah memberi penegasan dalam perkara ini dengan firmanNya (bermaksud), "Dan
sempurnakanlah perintah Allah apabila kamu berjanji; dan janganlah kamu
merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan
nama Allah)". An Nahl:9
Sama ada perjanjian dengan jemaah atau perjanjian sesama sendiri dan
termasuklah juga perjanjian dengan musuh hendaklah ditunaikan dengan sempurna.
Sebarang kemungkiran boleh menghilangkan kepercayaan antara satu sama lain
dan menghilangkan kewibawaan. Jika kita tidak boleh laksanakan sila beritahu
daripada awal, supaya perjalanan parti tidak terjejas. Sila maklumkan awal kepada
penganjur jika kita mempunyai keuzuran syar'ie. Jangan sampai kita terkenal
sebagai orang yang mungkir janji. Banyak mereka yang hebat terkeluar daripada saf
kepimpinan apabila mereka tidak menepati janji.
Tidak Melampau
Allah Taala melarang sikap dan tindakan yang melampau walaupun terhadap musuh
hatta di medan perang. Sikap melampau dalam semua perkara banyak merugikan
jemaah. Sejarah mencatatkan orang yang melampau berakhir dengan mereka gugur
di dalam medan perjuangan. Contohnya mereka yang mengkafirkan UMNO
sekarang sudah bersama dengan UMNO. Tepatlah sabda Rasulullah
S.A.W,"Sebaik-baik perkara ialah sederhana dalam amalan".
Bersabar
Perlu banyak bersabar, kerana kerja-kerja Islam akan berhadapan dengan macam-
macam perkara yang tidak menyenangkan. Malahan jalan dakwah penuh dengan
liku-liku kepayahan, penyeksaan, penindasan, tuduhan, ejekan, persendaan yang
memalukan. Kerana kita terpaksa berhadapan dengan orang jahil, orang alim, orang
yang berfikiran terbuka dan orang yang emosional, orang yang mudah bertolak
ansur dan orang yang keras kepala, orang yang tenang dan orang yang mudah
tersinggung. Semuanya perlu kepada kesabaran yang tinggi. Firman Allah Taala
bermaksud, "Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada, apakah kamu
tidak ingin Allah mengampunimu". Surah An Nur:22
Bersifat Rendah Diri
Mestilah bersifat tawaduk atau merendahkan diri khususnya terhadap saudara se-
Islam dengan cara tidak membezakan (dalam memberi layanan) sama ada yang
miskin mahupun yang kaya. Perlu sedar bahawa ahli PAS terdiri daripada pelbagai
lapisan masyarakat dan status.
Kita tidak hanya bergaul dengan orang kaya sahaja dengan meninggalkan orang
miskin dan susah. Ini kerana perbuatan ini tidak mendapat rahmat daripada Allah
Taala. Rasulullah s.a.w. sendiri memohon perlindungan daripada Allah agar
dijauhkan daripada sifat takbur. Baginda bersabda yang bermaksud : "Tidak akan
memasuki syurga yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarrah sifat
takbur".(Riwayat Muslim)
Jauh Sangka Buruk
Mesti menjauhi sangka buruk, mengumpat dan mengintai-intai keburukan orang lain.
Sebaliknya kita lebih banyak menyuluh dan menuding diri sendiri daripada
dihadapkan kepada orang lain. Sangka buruk ini sifat yang tidak baik dan boleh
mendatangkan keburukan kepada orang lain. Maka ini perlu dijauhi oleh ahli parti.
Janganlah dia berburuk sangka kepada sahabat yang lain ini akan menyebabkan
ruang untuk berpecah akan bertambah luas.
Firman Allah Taala bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman jauhilah
kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu
adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah
sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang antara
kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa
jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha
Penerima Taubat lagi Penyayang". (Al Hujurat:12)
Qudwah Hasanah
Mesti menunjukkan contoh teladan yang baik selari dengan akhlak Islam. Kita
percaya bahawa contoh teladan yang baik amat kuat mempengaruhi orang lain
untuk mendekati perjuangan kita. Maka kita mesti pastikan diri kita, keluarga kita
mesti menunjukkan contoh teladan yang baik di mana sahaja kita berada, kerana
kita akan menjadi duta kepada perjuangan parti, untuk melebarkan pengaruh
parti kepada masyarakat. Sepertimana kata hukama, "lisanul hal (tindakan) lebih
baik daripada lisanul maqal (berkata-kata)".
Bekerja Untuk Kemenangan Islam
Biarlah sesaat di dalam hidup kita tidak berlalu begitu sahaja. Kita mesti memikirkan
apakah cara supaya Islam dihayati oleh masyarakat untuk menyelamatkan negara
dan masyarakat. Kita mesti rasa cemburu dengan golongan yang bekerja siang
malam untuk mengekalkan kezaliman di negara ini walaupun mereka tahu bahawa
kerja mereka dimurkai oleh Allah Taala. Apakah kita boleh tidur lena ketika
khazanah negara dijahanamkan? Laporan Ketua Audit Negara menyerlahkan lagi
sikap kerajaan yang tidak pernah mengambil iktibar walaupun setiap tahun inilah
rupa bentuk laporannya. Apakah kita mahu membiarkan anak cucu kita pada masa
akan datang merempat di bumi sendiri.
Kita berjuang bukan memikirkan diri kita tetapi ialah untuk generasi akan datang.
Untuk kita sudah selesai, kerana hanya membilang hari untuk bertemu dengan Allah
Taala, tetapi anak kita akan meneruskan hidup mereka. Jangan biarkan mereka
memaki kita kerana kita tidak berjuang untuk mereka. Firman Allah Taala
bermaksud, "Dan hendaklah takut (kepada Allah) yang sekiranya mereka
meninggalkan keturunan yang lemah di belakang mereka yang mereka khuatir
terhadap (kesejahteraannya). Oleh sebab itu hendaklah mereka berbicara dengan
tutur kata yang benar". (An Nisa:9)

You might also like