You are on page 1of 2

<p><b>Dalail al-Khairat amalan selawat ulama berpengaruh </b><p>

<p>SEJAK beratus-ratus tahun lalu, seluruh dunia Islam mengenal sebuah kitab yang
diamalkan selepas al-Quran ialah Shalawat Dalail al-Khairat.

<p>Di dunia Melayu selawat itu mempunyai sejarah tersendiri. Di antara pengamalnya
ialah pahlawan Melayu Raja Haji asy-Syahid fi Sabilillah. Raja Ali Haji
menceritakan dalam Tuhfah an-Nafis bahawa sewaktu Raja Haji berperang melawan
Belanda di Melaka dengan pedang yang terhunus di tangan kanannya dan selawat
Dalail al-Khairat berada di tangan kirinya.

<p>Pada kesempatan ini yang dibicarakan adalah manuskrip mengenai selawat itu yang
ditulis oleh ulama dunia Melayu di antaranya Khathib 'Abdullah 'Arifin Jawi, Bugis
Wajo'. Tarikh selesai penulisan pada malam Ahad, 13 Rabiulakhir 1306/18 Disember
1888, pada masa pemerintahan Sultan as-Saiyid asy-Syarif Yusuf, Sultan di Kerajaan
Pontianak.

<p>Kandungannya adalah kitab amalan selawat atas Nabi Muhammad SAW yang berasal
dari al-'Alim al-'Allamah asy-Syarif Abi 'Abdullah Muhammad bin Sulaiman al-Jazuli
as-Samlali al-Hasani (meninggal dunia 870 hijrah/1465). Hanya empat halaman ada
tulisan Melayu/Jawi iaitu pada bahagian tepinya. Tulisan Melayu/Jawi adalah syarah
doa Nabi yang ada pada bahagian awal manuskrip ini. Selain itu, keseluruhan
selawat ditulis dengan tulisan indah yang dilengkapi dengan pelbagai ilustrasi
menarik. Setelah selawat, disambung dengan pelbagai doa. Di antara doa yang
dibicarakan, ada yang nadir yang tidak dijumpai daripada manuskrip selainnya.
Ilustrasi pada halaman pertama dan kedua pada bahagian selawat dapat dipecahkan
kepada tiga bahagian.

<p>Bahagian atas dalam bentuk kuntum bunga yang belum mekar. Pada bahagian tepi
kanan, kiri, atas dan bawah ada kelopak bunga. Ilustrasi ini adalah bercorak
abstrak. Jika ditafsirkan, mengandungi makna bahawa keharuman bunga ialah semua
yang baik-baik.

<p>Nabi Muhammad adalah sumber segala keharuman atau kebaikan itu. Empat kelopak
berdamping dengan keharuman bunga ialah empat sahabat iaitu Saidina Abu Bakar ash-
Shiddiq, Saiidina Umar, Saidina 'Utsman dan Saidina Ali.

<p>Di bawah kuntum bunga dilukis lagi ilustrasi dalam bentuk segi tiga. Di
dalamnya ditempatkan lingkaran dedaun berwarna merah, sementara tanahnya berwarna
putih. Warna hijau muda pula menghiasi pada sisi bahagian atas. Ilustrasi
digandingkan dengan lukisan di bawahnya sekitar dua sentimeter. Dedaun diperindah
dengan warna kuning muda. Dua garis atas dan bawah digunakan warna hijau muda.

<p>Kitab selawat versi yang dibicarakan ini diklasifikasi sebagai �nadir� atau
�langka�, terutama ditinjau dari bentuk khat ada tiga warna iaitu hitam, merah dan
kuning. Warna yang digunakan pada ilustrasi lebih daripada tiga warna, termasuk
putih dan hijau.

<p>Setelah khatam selawat Dalail al-Khairat diiringi dengan pelbagai doa. Pada
akhir Hizib an-Nawawi, ada dicatatkan nama guru penulisnya iaitu Syeikh Ahmad ad-
Dimyathi tsumma al-Makki.

<p>Mengenai doa lain, penyalin menyebut gurunya pula Syeikh az-Zawawi (maksudnya
Saiyid 'Abdullah az-Zawawi), menerimanya daripada syeikhnya Syeikh al-Mushlihi,
berasal daripada al-Bazzar. Saiyid 'Abdullah az-Zawawi adalah ulama besar pernah
menjadi Mufti Mazhab Syafie di Makkah. Beliau termasuk guru bagi ulama dunia
Melayu yang belajar di Makkah pada zamannya.
<p>Selanjutnya ulama keturunan Nabi Muhammad itu pernah menjadi Mufti di Kerajaan
Pontianak. Salah seorang cucunya iaitu Saiyid Yusuf az-Zawawi pernah menjadi Mufti
Kerajaan Negeri Terengganu (sekitar tahun 1970-an).

<p>Sekian banyak versi selawat Dalail al-Khairat yang pernah disalin oleh ulama
dunia Melayu, hanya sebuah ada gantungan makna dalam bahasa Melayu. Manuskrip
selawat terjemahan Melayu ini adalah atas usaha Syarif Ibrahim bin 'Utsman bin
'Alawi bin 'Abdur Rahman al-'Aidrus. Penulisannya selesai di Pontianak pada 12
Rabiulawal 1315/14 Ogos 1897.

<p>Awal penulisan yang termaktub dalam manuskrip versi ini diperkenalkan sanad
penerimaan daripada seorang guru kepada guru yang lain hingga sampai kepada orang
pertama penyusun dan pengamal selawat Dalail al-Khairat iaitu al-'Alim al-'Allamah
asy-Syarif Abi 'Abdullah Muhammad bin Sulaiman al-Jazuli as-Samlali al-Hasani.

<p>Guru bagi penterjemah (Syarif Ibrahim bin 'Utsman al-'Aidrus) ialah Saiyid
Muhammad bin Saiyid Ibrahim ibni al-Marhum al-'Allamah Ridhwan dan seterusnya
hingga akhir sanad.

<p>Saiyid Muhammad bin Saiyid Ibrahim ialah sepupu Saiyid Muhammad Amin bin Saiyid
Ahmad bin al-'Allamah as-Saiyid Ridhwan al-Madani (lahir di Madinah pada 1252
hijrah/1836, meninggal dunia 1329 hijrah/1911).

You might also like