You are on page 1of 26

1

PENGHARGAAN
Syukur saya panjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan berkat kasih dan
sayangnya segala urusan di dunia telah diterima dan dilaksanakan dengan
berhemahnya. Jelas sekali tugasan BMM 3104 pada kali ini memberikan saya satu
input yang berguna berkaitan penyediaan rancangan pengajaran harian yang
bertepatan. Jelas sekali ilmu sebegini banyak memberikan panduan serta nikmat
yang berguna bagi saya yang akan bergelar seorang pendidik kelak. Tugasan
sebegini banyak memberikan input serta ransangan yang berguna kepada diri serta
insan sekeliling. Saya amat berbesar hati kerana berkat nasihat pensyarah yang
begitu baik dan sentiasa memberikan panduan yang amat membantu saya dalam
melaksanakan tugasan ini. Saya juga merasakan yang tugasan seperti ini wajar
diteruskan kerana pengertian dan ilmu yang berguna buat seluruh warga guru
pelatih. Ilmu yang bermanfaat sebegini amat memberikan seribu tujuan dan objektif
yang dapat menjadikan seorang guru pelatih itu berdedikasi dalam melaksanakan
sesi pengajaran dan pembelajaran yang berguna kepada para pelajar. Pada
pendapat saya penghargaan yang tinggi harus diberikan kepada pensyarah yang
mengajar kerana bertungkus lumus mengerah idea bagi mencari tugasan yang
bersesuaian bagi subjek BMM 3104 ini. Selain mempelajari keadah melaksanakan
rancangan pengajaran harian yang bermutu, saya juga turut mempelajari pelbagai
kemahiran asas yang lain seperti kemahiran berfikir, kemahiran menjana idea serta
kemahiran mengurus masa, akhir kata tugasan ini banyak membantu saya dalam
mendapatkan input yang berguna dalam kemahiran-kemahiran bahasa dan
kemahiran dalam melaksanakan rancangan pengajaran harian yang bermutu.








2

PENGENALAN
Rancangan pengajaran harian merupakan satu data berkaitan perkara yang
akan diajarkan oleh guru semasa memasuki sebuah kelas. Penghasilan rancangan
pengajaran yang baik akan memastikan objektif sesuatu pengajaran itu akan
tercapai. Kepelbagai pendekatan, kaedah dan teknik dalam pengajaran akan
membantu guru menambahkan minat dan pengetahuan murid untuk belajar. Maka
sebagai seorang guru yang berkaliber, kemampuan untuk menghasilkan rancangan
pengajaran harian yang menarik akan menjadikan sesuatu sesi pengajaran dan
pembelajaran itu bertambah menarik. Maka guru yang sentiasa melakukan
penyelidikan dalam bidang pendidikan dan sentiasa melaksanakan aktiviti
pembelajaran sepanjang hayat yang akan dapat memanifestasikannya melalui
rancangan pengajaran haraian yang lengkap termasuk penggunaan bahan bantu
mengajar dan dan latihan-latihan yang sesuai dengan aspek kemahiran bahasa.
Maka seorang guru haruslah sentiasa relevan dan bersikap fleksibel iaitu sentiasa
berubah-ubah mengikut corak pendidikan semasa dan tidak hanya berada pada
takuk pemikiran yang lama kerana guru yang fleksibel akan sentiasa menerima baik
perubahan dalam dunia pendidikan dan sentiasa mengemaskini pedagogi
pengajarannya. Maka dengan itu sebagai seorang guru, kita haruslah mengambil
baik setiap perubahan dalam dunia pendidikan dan sentiasa memastikan bahawa
guru itu mampu melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran walau apa cara
sekalipun tanpa mengira tempat dan keadaan. Dalam era globalisasi pada masa kini
maka wajarlah seorang guru itu sentiasa menguasai aspek dalam menghasilkan
rancangan pengajaran yang bermutu bagi memastikan objektif pelajaran tercapai
dan dapat menjadikan pelajar insan yang berjaya.







3

1.0 KEMAHIRAN MEMBACA
Kemahiran membaca dan memahami adalah kemahiran yang saling melengkapi.
Walau bagaimanapun, kemahiran membaca mesti diajar mengikut peringkat-
peringkatnya supaya penguasaannya memperlihatkan satu perkembangan yang
meningkat. Semuanya harus bermula daripada yang mudah kepada yang sukar.
Akhirnya murid-murid dapat menguasai kemahiran membaca senyap dan
memahami apa yang dibaca. Dalam konteks ini bahan bacaan perlu dipelbagaikan
dan diajar dengan menggunakan strategi, kaedah, pendekatan dan teknik yang
sesuai dan berkesan.
Definisi kemahiran membaca
Haris dan Sipay (1980:8) menyifatkan proses membaca sebagai satu proses
mendapatkan interpretasi yang bermakna tentang lambang-lambang bercetak
atau bertulis.
Kenedy (1981:5) mentafsir proses membaca sebagai keupayaan seseorang
untuk mengecam bentuk visual (lambang-lambang grafik yang mewakili
bahasa atau perkataan), menghubungkan bentuk itu dengan bunyi atau
makna yang telah diketahui dan seterusnya, berasaskan pengalaman lalu,
memahami dan mengintegrasikan maksudnya.
Smith dan Johnson (1980:4) menganggap proses membaca sebagai satu
proses komunikasi kerana dalam sesebuah perlakuan membaca, berlaku
pertukaran idea-idea di antara penulis dan pembaca. Dengan itu, seseorang
itu tidak dikatakan membaca sekiranya dia tidak berjaya mendapatkan mesej
atau apa yang hendak disampaikan oleh penulis di dalam penulisannya.

Intipati kemahiran membaca
terdapat dua komponen dalam perlakuan mambaca iaitu kemahiran
mengenal atau mengecam perkataan-perkataan dan kemahiran memahami
apa yang dibaca.
aspek yang ditekan dalam proses membaca ialah aspek kepentingan berfikir,
merasai dan membayangkan serta memahami apa yang dibaca.
proses membaca adalah untuk memahami isi, maklumat, penerangan atau
mesej yang hendak disampaikan oleh penulis, seseorang pembaca
4

(contohnya, pelajar) akan membawa tujuan, jangkaan dan pengetahuan serta
pengalaman lalu kepada apa yang dibacanya.

Dengan itu, membaca memerlukan proses pengalihan maksud dari minda ke minda
iaitu pengalihan mesej dari penulis kepada pembaca. Akan tetapi, sudah tentu ini
tidak semudah kita fikirkan kerana kita terpaksa meneroka bagaimana kita
memperoleh maksud melalui pembacaan dan bagaimana pembaca serta penulis
teks akan memberi sumbangan kepada proses membaca itu sendiri.

1.1 PENDEKATAN KEMAHIRAN MEMBACA
Kemahiran membaca dan memahami adalah kemahiran yang saling melengkapi.
Walau bagaimanapun, untuk mencapai kemahiran tersebut pengajaran bacaan perlu
diajar menggunakan pendekatan dan kaedah tertentu yang dapat memberi kesan
dalam pembacaan. Kemahiran membaca mesti diajar mengikut peringkat-
peringkatnya supaya penguasaannya memperlihatkan satu perkembangan yang
meningkat. Dalam konteks ini bahan bacaan perlu dipelbagaikan dan diajar dengan
menggunakan strategi, kaedah, pendekatan dan teknik yang sesuai dan berkesan
bagi mencapai hasil pembelajaran kemahiran membaca.
















PENDEKATAN
KEMAHIRAN BAHASA
Binaan
Cerakinan
Komunikatif
Pengalaman
bahasa
5

1.1.2 PENDEKATAN BINAAN
Pendekatan binaan juga dikenali dengan pendekatan sintesis. Mengikut pendekatan
ini pengajaran bacaan dimulakan dengan memperkenalkan unsur-unsur yang
terkecil terlebih dahulu, kemudian diikuti dengan unsur-unsur yang lebih besar.
Unsur-unsur yang kecil akan membentuk unsur yang lebih besar. Dalam pengajaran
kemahiran membaca, murid-murid diperkenalkan dengan huruf-huruf terlebih
dahulu. Huruf-huruf digabungkan menjadi suku kata, dan suku kata digabungkan
menjadi perkataan. Kemudian perkataan akan membentuk ayat. Pendekatan ini
menghasilkan kaedah abjad.

1.1.2 PENDEKATAN CERAKINAN
Pendekatan cerakinan (analisis) adalah pendekatan pengajaran yang mendahulukan
unsur-unsur yang besar, kemudian unsur-unsur itu dicerakinkan kepada unsur-unsur
yang kecil yang membentuk struktur yang besar itu. Pengajaran kemahiran
membaca mengikut pendekatan ini dimulakan dengan cerita atau ayat. Kemudian
ayat itu dicerakinkan kepada perkataan, dan daripada perkataan dicerakinkan
kepada suku kata dan seterusnya kepada huruf. Dengan ini murid-murid dapat
mengaitkan huruf-huruf yang tiada makna (abstrak) dengan cerita / ayat yang
bermakna. Jadi, murid-murid mempelajari sesuatu yang bermakna dan menarik.

1.1.3 PENDEKATAN KOMUNIKATIF
Pendekatan komunikasi menekankan penggunaan bahasa dalam komunikasi. Yang
dipentingkan dalam pembelajaran bahasa ialah tujuan dan bagaimana bahasa
digunakan dalam situasi dan konteks tertentu. Untuk melaksanakan komunikasi
dalam kemahiran membaca, guru harus merancang pembelajaran yang boleh
mewujudkan situasi di mana pelajar boleh berkomunikasi dengan cekap dan tidak
hanya tertumpu kepada penguasaan struktur bahasa sahaja. Pelajar perlu
berinteraksi dalam bentuk kerja kumpulan atau secara berpasangan, dalam
melakukan pelbagai aktiviti bagi mewujudkan hubungan interpersonal yang positif.





6

Antara aktiviti bacaan menggunakan pendekatan komunikatif ialah bercerita, teater
pembaca, laporan/ulasan buku dan choral speaking.
Prinsip pendekatan komunikatif:
(a) murid mengetahui tujuan aktiviti yang dilakukannya;
(b) pengajaran bahasa dibuat dalam konteks wacana;
(c) pengajaran bahasa mengikuti proses komunikasi sebenar;
(d) mempelbagaikan aktiviti komunikasi.

1.1.4 PENDEKATAN PENGALAMAN BAHASA (LEA)
Pendekatan pengalaman bahasa memberi penekanan kepada pengalaman atau
pengetahuan sedia ada murid-murid dalam membaca. Murid-murid akan mudah
memahami mesej yang cuba disampaikan oleh penulis dalam tulisannya sekiranya
murid-murid mempunyai pengalaman membaca bahan yang menggunakan laras
yang sama serta mereka mempunyai pengetahuan mengenai bidang yang
dibincangkan. Dalam sesuatu proses membaca, terdapat tiga peringkat
pemahaman, iaitu lateral, interpretasi & inferens, dan penilaian makna. Bagi setiap
peringkat, murid-murid perlu mempunyai pengalaman atau pengetahuan sedia ada
untuk memudahkan mereka menguasai peringkat-peringkat tersebut. Sebagai
contoh, pada peringkat lateral, murid murid perlu mempunyai pengetahuan sedia
ada mengenai ilmu kebahasaan (istilah, tatabahasa, ragam, laras bahasa,
keindahan bahasa dan sebagainya) untuk mengecam tulisan yang dibacanya.
Pengalaman mereka membaca pelbagai bahan yang mempunyai pelbagai laras,
susuk ayat dan sebagainya akan memudahkan mereka mengenali tulisan tersebut.
Pada peringkat interpretasi & inferens, pengetahuan atau pengalaman murid-murid
sangat diperlukan untuk mentafsir makna (mesej) yang ingin disampaikan oleh
penulis. Murid-murid mudah mentafsir makna sekiranya bahan yang dibaca
berkaitan dengan suatu bidang yang diketahuinya. Sebagai contoh, jika murid-murid
mempunyai pengalaman atau pengetahuan tentang pelancongan akan
memudahkan mereka memahami teks yang membincangkan soal pelancongan.
Kesimpulannya, pendekatan ini memanfaatkan pengalaman murid dalam
pembelajaran kemahiran bacaan.



7

Seseorang guru perlu mengambil tindakan berikut;
(a) Beri sebanyak mungkin pengalaman kepada murid-murid untuk membantu
mereka memahami bahan yang dibaca. Pengalaman boleh terdiri daripada
pengalamansendiri atau pengalaman orang lain.
(b) Bahan bacaan yang dipilih oleh guru untuk dibaca oleh murid-murid perlu
sesuai dengan pengetahuan sedia ada mereka.
(c) Sediakan bahan-bahan sokongan lain seperti gambar, grafik, bahan maujud
dan sebagainya untuk membantu murid-murid menguasai konsep.
(d) Perbincangan mengenai bidang yang terdapat dalam teks bacaan perlu
dijalankan sebelum aktiviti membaca.
(e) Guru perlu mempelbagaikan bentuk / laras bahan bacaan dalam pengajaran
pembelajaran membaca.


1.2 KAEDAH KEMAHIRAN MEMBACA











Kaedah ini dinamakan kaedah seluruh perkataan kerana pelajaran dimulakan
dengan memperkenalkan perkataan dan bukannya huruf atau suku kata. Kaedah ini
dinamakan juga kaedah pandang dan sebut kerana aktiviti utamanya ialah
memandang dan menyebut. Menurut Juriah Long et.al. (1994) perkataan diperkenal
kepada murid-murid dengan menggunakan kad-kad perkataan. Semasa kad
diimbaskan, murid-murid menyebut perkataan-perkataan itu beberapa kali. Perkara
yang dipandang ialah gambar objek yang terdapat pada bahan bantu belajar, dan
yang disebut ialah perkataan pada bahan yang ditunjukkan.
KAEDAH PANDANG SEBUT
Menyebut perkataan
Mencerakinkan
perkataan dan kata
Membina dan
membaca ayat
Membaca ayat
8

Pengajaran bacaan tidaklah dimulakan dengan mengenal dan menghafal huruf atau
abjad satu persatu tetapi murid-murid terus diperkenal kepada seluruh perkataan
yang disertai gambar. Mengikut kaedah ini, pada permulaannya murid-murid cuba
mengenali lambing-lambang (abjad) secara keseluruhan, iaitu lambang-lambang
yang membentuk sesuatu perkataan. Untuk boleh membaca suatu ayat yang
pendek, mereka perlu mengenali banyak lambang.













Kaedah abjad ialah kaedah yang berfokus pada penghafalan abjad, pembentukan
suku kata dan aktiviti mengeja. Usaha menghafal abjad dan membentuk suku kata
itu bertujuan untuk membolehkan murid mengeja perkataan, maka kaedah ini
dinamakan juga kaedah mengeja. Dalam kaedah ini, nama-nama huruf perlu dikenal
pasti dahulu melalui latihan menyebut dan menghafal dari huruf a hingga z
mengikut susunan. Seterusnya diikuti dengan mengeja suku kata dan perkataan,
huruf-huruf yang terkandung dalam suku kata dan perkataan (Juriah Long et.al,
1994). Menurut Abdul Aziz Abdul Talib (2000), biasanya, huruf besar diperkenalkan
terlebih dahulu sebelum huruf kecil diajarkan. Manakala menurut Raminah Haji
Sabran dan Rahim Syam (1985) pula, kedua-dua bentuk huruf kecil dan huruf besar
didedahkan serentak.



KAEDAH ABJAD
Menyebut nama
huruf abjad a
z; huruf besar
Menyebut suku
kata V dan KV
Mengeja suku
kata, perkataan
dan frasa
Membaca
ayat
9

Setelah murid menghafal semua nama huruf, pengajaran difokuskan pula pada
nama dan bunyi huruf vokal a, e, i, o, dan u dengan nama semua huruf yang
terdapat dalam system ejaan semasa. Mereka perlu menghafal nama semua huruf
yang diperkenalkan itu. Setelah murid menghafal nama semua huruf dan mengenal
huruf vokal serta bunyinya, pelajaran diteruskan dengan pembentukan suku kata
secara berturutan Daripada suku kata itu dibentuk perkataan. Latih tubi mengeja
perkataan diadakan. Lazimnya pengejaan dilakukan dengan menyebut nama huruf
pada sesuatu suku kata diikuti dengan penyebutan suku kata itu.












Kaedah fonik ialah kaedah yang menekankan penguasaan murid terhadap
hubungan antara huruf dengan bunyinya. Kaedah fonik hanya mensyaratkan murid
mengingat bentuk huruf dan bunyinya tanpa mengingat nama huruf. Kaedah ini
bermula dengan memperkenalkan huruf vokal kepada murid, diikuti dengan
pengenalan huruf konsonan, pembentukan suku kata, dan pembentukan perkataan
yang bermakna dalam satu atau dua pelajaran sahaja. Murid akan dapat membaca
beberapa perkataan dengan cepat serta faham apa-apa yang dibaca.







KAEDAH FONETIK
Membunyikan huruf
dan asiosiasi
Membaca frasa dan
ayat
Membatangkan suku kata
dan perkataan
10

1.3 TEKNIK KEMAHIRAN MEMBACA

;ll
Konsep-konsep bacaan intensif












1.3.1 BACAAN INTENSIF
Membaca intensif ialah kegiatan membaca yang menuntut ketelitian dan dilakukan
secara saksama. Ia melibatkan telaah isi dan pandangan terperinci sesuatu bahan
bacaan. Biasanya ia dilakukan berdasarkan petikan yang pendek-pendek untuk
mengkaji pola-pola kalimat, latihan kosa kata, diskusi umum dan sebagainya. Teks
bacaan yang benar-benar sesuai sahaja yang digunakan, iaitu bacaan yang dipilih
secara berhati-hati dengan mengambil kira bentuk dan isinya. Dua perkara yang
dilibatkan dengan bacaan intensif ini adalah membaca telaah isi dan membaca
telaah bahasa. Dalam membaca telaah isi, membaca teliti, membaca pemahaman,
membaca kritis dan membaca idea sangat dititikberatkan. Sementara membaca
telaah bahasa, aspek-aspek yang berkaitan dengan bahasa, ditegaskan.
Bacaan intensif adalah bacaan yang pada asasnya bertujuan memperkembang
kebolehan dalam meneliti, memahami dan mentafsir apa sahaja yang dibaca
dengan tepat. Ia juga memberi penekanan kajian terhadap ciri-ciri tatabahasa,
meneliti pembentukan dan penggunaan perkataan, serta pemakaian bahasa itu
dalam konteks dan situasi yang berlainan. Latihan-latihan bacaan intensif biasanya
memerlukan bimbingan dan bantuan penuh daripada guru-guru.

TEKNIK KEMAHIRAN MEMBACA

Bacaan intensif
Bacaan ekstensif
Teknik bacaan
skimming
Teknik bacaan scanning

11


KONSEP-KONSEP BACAAN INTENSIF
a) Kegiatan membaca yang dikaitkan dengan usaha melanjutkan lagi
perkembangan pembelajaran bahasa pelajar bawah pimpinan guru.
b) Asas kepada pengajar memberi penjelasan atau keterangan tentang struktur
yang sukar dan memperkembang perbendaharaan kata.
c) Berkaitan dengan aktiviti mengkaji ciri-ciri tatabahasa, iaitu susunan kata
dalam ayat dan pengertian menurut kamus yang ditemui oleh pelajar dalam
bacaannya.
d) Memperkembangi usaha mengawal penggunaan bahasa dalam pertuturan
dan Tulisan.
Tujuan
a) Untuk membolehkan kanak-kanak membaca dengan baik, betul dari segi
sebutan, intonasi, lancar dan tahu menggunakan tanda-tanda bacaan dengan
baik.
b) Untuk mengembangkan kebolehan mentafsir apa yang tertulis dalam bacaan
dengan mengkaji susunan kata dalam ayat dan pengertian dalam kamus.
c) Membaca secara senyap dengan kepantasan yang sewajarnya.
d) Menilai atau mengulas isi yang diperoleh daripada bahan-bahan yang dibaca.
e) Mengesan, memahami dan menikmati unsur-unsur estetik dalam bahasa.
f) Mengenal pasti laras-laras bahasa yang pelbagai.
g) Membuat rumusan atau kesimpulan daripada bahan bacaan.

1.3.2 BACAAN EKSTENSIF
Membaca ekstensif ialah kegiatan membaca secara luas. Objeknya meliputi
sebanyak mungkin teks dalam jangka waktu yang singkat. Tujuannya adalah untuk
memahami isi-isi penting dengan cepat dan menganjurkan aktiviti membaca yang
berkesan. Membaca ekstensif biasanya melibatkan perkara-perkara berikut:
(a) membaca tinjauan
(b) membaca sekilas
(c) membaca dangkal



12

Membaca tinjauan dilakukan sebelum memulakan sesuatu bacaan. Pembaca akan
meneliti apa yang akan dibaca terlebih dahulu dengan cara memeriksa, meneliti
indeks, daftar kata yang terdapat dalam buku, atau melihat judul, bab, rangka kasar,
kandungan dan sebagainya. Latar belakang pengetahuan seseorang akan
menentukan tepat atau tidaknya, cepat atau lambatnya tinjauan dapat dilakukan.
Membaca sekilas adalah sejenis kegiatan membaca yang melibatkan pergerakan
mata yang cepat untuk melihat, memerhati bahan-bahan bertulis bagi mencari dan
mendapatkan maklumat dan penerangan.
Ada tiga tujuan utama dalam membaca kilas. Pertama, untuk memperoleh suatu
kesan umum daripada sesuatu isi bacaan. Kedua, untuk mendapat hal-hal tertentu
daripada sesuatu bacaan. Ketiga, untuk mendapat bahan-bahan bacaan daripada
perpustakaan. Membaca dangkal adalah untuk mendapat pemahaman yang dangkal
yang bersifat luaran atau tidak mendalam daripada sesuatu bahan yang dibaca.
Membaca begini tidak memerlukan pemikiran yang mendalam seperti keadaan
membaca karya-karya ilmiah.
Bacaan ekstensif ialah bacaan meluas yang menekankan aktiviti-aktiviti membaca
yang dilakukan di luar kelas. Bacaan bentuk ini menekankan aspek pengukuhan
asas bacaan, menambah kemahiran memahami, dan menaakul isi bacaan,
meningkatkan kepantasan membaca, membina dan mengukuh minat membaca dan
kebolehan memetik isi-isi penting. Melalui bacaan ini, pelajar-pelajar akan mendapat
kepuasan dan keseronokan di samping berpeluang menimba ilmu pengetahuan.

KONSEP BACAAN EKSTENSIF
1. Dilakukan di luar kelas secara sendiri tanpa bimbingan guru;
2. Pelajar membaca tanpa menghadapi kesukaran dan seronok;
3. Bahan bacaan adalah luas dari segi perbendaharaan kata, sesuai dengan
minat, umur, jantina, pengalaman, sikap dan cita-cita pelajar;
4. Bahan-bahan yang berbeza.






13

Tujuan
Bacaan ekstensif membolehkan pelajar-pelajar:
a) Membaca dengan cara tersendiri tanpa bimbingan secara langsung daripada
orang lain.
b) Membaca dengan fasih dalam bahasa yang dipelajari.
c) Mendapat pengetahuan sambil berhibur.
d) Memperkaya bahasa - perbendaharaan kata, ungkapan, struktur ayat dan
sebagainya.
e) Memberi peluang murid-murid terutama yang cerdas untuk meluaskan
bacaan dan membina daya kreatif.
f) Menambah minat membaca.
g) Membina daya berfikir dan membentuk sikap yang baik.
h) Mempertingkat mutu dan kepantasan membaca.
i) Memperluas dan mempertingkat tahap penguasaan bahasa.
j) Membentuk tabiat gemar membaca, membuat rujukan dan menggunakan
perpustakaan.
k) Mendedahkan murid kepada pelbagai laras bahasa.

1.3.3 SKIMMING
Skimming adalah satu kaedah membaca cepat dengan cara mengutip maklumat
secara sepintas lalu bagi mendapatkan idea penting. Strategi skimming ini penting
kepada pembaca yang hendak membaca banyak bahan dalam jangka masa yang
singkat dan hanya memerlukan maklumat penting sahaja. Skimming merupakan
proses melihat sepintas lalu atas sesuatu perenggan untuk mendapatkan idea
utama.

Prosedur Skimming
Langkah-langkah skimming:

(a) Mulakan dengan menyelidiki secara keseluruhan tentang petikan. Carilah
maklumat tentang pengarang, tajuk dan maksud keseluruhan tajuk.
(b) Tentukan sumber pilihan supaya anda bersedia dengan sesuatu jenis penulisan
seperti hujah, teknikal dan sebagainya.
14

(c) Bacalah perenggan pertama, walaupun tidak penting tetapi perenggan ini
menjadi asas untuk skim.
(d) Semasa membaca perenggan pertama, cuba cakupkan isu utama dan konteks
petikan tersebut. Konteks ini bermakna bukan sahaja idea dan perkataan tetapi
latar kepada petikan tersebut, seperti bila dan mengapa teks itu ditulis; apakah sikap
pengarang dan perkara-perkara yang boleh membantu anda untuk memahami tajuk
secara umum dan signifikannya.
(e) Baca ayat pertama dan ayat akhir bagi setiap perenggan anda akan dapati idea
yang penting dan fakta.
(f) Baca perenggan akhir dn teliti di sini biasanya terdapat unsur-unsur
penyimpulan dan rumusan.

Perkara penting ialah memahami perhubungan antara idea yang dikemukakan dan
selepas itu cuba mengecam maklumat sokongan. Kecepatan membuat skiming ini,
berbeza-beza antara seorang dengan seorang yang lain.

1.3.4 SCANNING
Scanning adalah kemahiran atau keupayaan untuk mendapatkan maklumat secara
cepat dan untuk mencari jawapan kepada sesuatu soalan atau maklumat secara
khusus. Tujuan scanning untuk menentukan sejauh mana kecekapan kita mencari
sesuatu maklumat tertentu (bukan menghabiskan bacaan dengan cepat).
Kecekapan scanning bergantung kepada penumpuan mental.

Prosedur
Langkah-langkah untuk scanning:
a) Perkara paling penting ialah menentukan maklumat 'apa' yang hendak dicari.
b) Perhatikan sepintas lalu ke atas bahan dan tumpukan perhatian kepada
maklumat yang di cari tanpa mempedulikan perkataan atau angka yang lain.
c) Untuk mempercepatkan proses scanning, gunakan jari anda dan gerakkan
secara cepat ke atas barisan perkataan ketika membaca.
d) Anda boleh gunakan panduan-panduan yang ada seperti tajuk kecil,
perkataan yang dihitamkan atau 'italic' yang mudah dilihat.
e) Jika anda scan daripada bahan seperti surat khabar, fokus perhatian anda di
tengah-tengah kolum dan gerakkan mata anda terus ke bawah.
15

1.3.5 SURVEY, QUESTION, READ, REVIEW, RECITE (SQ3R)
1. SQ3R
SQ3R ialah teknik membaca kritis yang memerlukan seseorang mempersoal
kesesuaianmaklumat yang terdapat dalam suatu bahan yang dibaca dengan tuga
san yang perlu diselesaikan.
SQ3R adalah singkatan bagi;
S (survey) - Tinjau
Q (question) - Soal/tanya
R (read) - Baca
R (recite) - Imbas kembali atau nyatakan secara lisan
R (review) - Baca semula
Survey (tinjau) ialah langkah membaca untuk mendapatkan gambaran keseluruhan
tentang apa yang terkandung dalam bahan yang dibaca.Ini dilakukan dengan
meneliti tajuk besar, tajuk-tajuk kecil, gambar-gambar atau ilustrasi, lakaran grafik,
membaca perenggan pengenalan, dan perenggan terakhir di bahagian-bahagian
buku atau teks. Di sini juga pelajar sebenarnya menggunakan teknik membaca
pantas iaitu skimming dan scanning. Question (soal atau tanya) ialah langkah yang
memerlukan pelajar menyenaraikan satu siri soalan mengenai teks tersebut setelah
mendapati teks tersebut berkaitan dengan keperluan tugasannya. Soalan-soalan
tersebut menunjukkan keinginan pembaca tentang maklumat yang ingin diperoleh
dari bahan tersebut, dan menjadi garis panduan semasa membaca kelak. Pelajar
akan cuba mencari jawapan kepada soalan-soalan tersebut.

READ (baca) ialah peringkat pelajar sebenarnya membaca bahan atau teks tersebut
secara aktif serta mencuba mendapat segala jawapan kepada soalan-soalan yang
telah disenaraikannya sebelum ini. Ketika membaca, pelajar mungkin juga akan
menyenaraikan soalan-soalan tambahan, berdasarkan perkembangan kefahaman
dan keinginannya sepanjang melakukan pembacaan. Pelajar mungkin juga
mempersoal pendapat atau maklumat yang terdapat yang ditemuinya.

RECITE (imbas kembali) ialah peringkat yang ketiga. Setelah selesai membaca,
pelajar cuba mengingat kembali apa yang telah dibaca dan meneliti segala yang
telah diperoleh. Pemilihan maklumat yang sesuai dilakukan dalam konteks
16

tugasannya. Pelajar juga boleh cuba menjawab soalan-soalan yang disenaraikan
sebelumnya tanpa merujuk kepada nota atau bahan yang telah dibaca.

REVIEW (baca semula) merupakan peringkat terakhir. Pelajar membaca bahagian-
bahagian buku atau teks secara berpilih untuk mengesahkan jawapan-jawapan
kepada soalan yang dibuatnya di langkah ketiga. Pelajar juga memastikan tiada
fakta penting yang tertinggal.

Knowledge, What, Learn, How (KWLH)
KWLH adalah singkatan bagi yang berikut:
K (know) - Apa yang telah diketahui (sebelum membaca)
W (want) - Apa yang hendak diketahui (sebelum membaca)
L (learned) - Apa yang telah diketahui (selepas membaca)
H (how) - Bagaimana untuk mendapat maklumat tambahan - yang berkaitan
(untuk membaca seterusnya)
Melalui Teknik membaca kritis, pembaca disarankan mengingat dahulu apa yang
telah diketahui, membayang atau menentukan apa yang ingin diketahui, melakukan
pembacaan (bahan yang telah dipilih), mengetahui apa yang telah diperoleh dari
pembacaan yang baru dilakukan dan menentukan apa lagi yang perlu diperoleh
(sekiranya perlu membuat pembacaan seterusnya). Teknik pembacaan akan
membolehkan pelajar mengaitkan pengetahuan sedia ada dengan apa yang dibaca,
menentukan apa yang telah diperoleh dari pembacaannya, dan menentukan apa lagi
bahan yang perlu dibaca sekiranya ingin mendapat maklumat tambahan. Dalam
konteks pengajaran, pelajar dibiasakan menggunakan borang.

1.3.6 TEATER PEMBACA
Teknik yang melibatkan sekumpulan pelajar menghayati dan membaca skrip cerita
dengan menggunakan sebutan, nada dan intonasi yang betul bagi menggambarkan
sesuatu cerita yang dipersembahkan. Namun seorang pelajar akan membaca cerita
dengan lancar dan nada serta intonasi yang betul. Juga melakukan gerak aksi yang
sesuai dengan isi atau suasana cerita. Penggunaan suara, sebutan, gerak badan
dan mimik muka paling diutamakan bagi membantu pelajar-penonton memahami
dan menghayati cerita tersebut.

17

1.3.7 TEKNIK BERCERITA
Teknik bercerita merupakan salah satu pendekatan yang sesuai digunakan untuk
membina kecekapan berbahasa kerana cerita merupakan sesuatu yang dapat
menarik minat dan perhatian pelajar. Melalui teknik bercerita latihan pemahaman,
perluasan perbendaharaan kata dan tatabahasa dapat disampaikan. Selain itu,
penguasaan kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis dalam
kalangan pelajar dapat ditingkatkan.

Perkara yang perlu diberi perhatian dalam melaksanakan teknik bercerita ialah:
(a) Perkembangan cerita hendaklah diberi perhatian agar ada peringkat permulaan,
kemuncak dan kesudahan cerita.
(b) Perhatian perlu diberi kepada teknik persembahan, suara, gerak laku dan
kawalan mata. Suara memainkan peranan yang penting dan harus dikawal supaya
jangan mendatar dan tidak menimbulkan kebosanan.

Tatacara dalam melaksanakan teknik bercerita ialah:
(a) Pilih cerita yang sesuai dengan umur, kecerdasan dan minat murid-murid.
(b) Sesuaikan dengan isi pelajaran yang hendak disampaikan.
(c) Kaji cerita tersebut dan masukkan aspek-aspek bahasa.















18

2.0 KEMAHIRAN MENULIS
PENGENALAN
Menulis merupakan satu proses untuk menyampaikan buah fikiran, idea dan
pendapat dengan tepat dan berkesan kepada khalayak atau pembaca. Kemahiran
menulis mempunyai hubungan yang erat dengan kemahiran bahasa yang lain. Oleh
itu pengajarannya harus dirancang dengan teliti melalui gabung jalin kemahiran
bahasa supaya murid-murid dapat menyampaikan idea dengan tepat dan berkesan.
Kemahiran menulis amat penting untuk dikuasai kerana penulisan merupakan satu
bentuk komunikasi yang penting dalam kehidupan harian. Di samping itu dalam
sistem peperiksaan am di negara ini, pelajar-pelajar diuji dalam bentuk penulisan.

2.1 PENDEKATAN KEMAHIRAN MENULIS.
Peringkat Kemahiran Menulis
2.1.1 PRA TULISAN
Pra tulisan merupakan satu peringkat yang perlu dilalui oleh kanak-kanak bagi
menyediakan diri ke arah melahirkan lambang-lambang bunyi khusus yang diterima
oleh kelompok masyarakat.
Pada peringkat awal kanak-kanak membuat contengan di atas permukaan benda-
benda yang sedia ada dalam persekitaran mereka dengan menggunakan bahan-
bahan yang boleh meninggalkan kesan ke atas permukaan benda tersebut.

Peringkat contengan ini perkembangan dari membuat contengan bebas hingga ke
peringkat contengan terkawal. Peringkat pra tulisan ini adalah bagi kanak-kanak
mendapatkan latihan otot, tangan,jari serta kordinasi mata tangan. Peringkat pra
tulisan perlu menitikberatkan perkara-perkara berikut:
Melakukan latihan-latihan pergerakan tangan dan jari melalui aktiviti seperti
menggunting, mengoyak, menganyam, menampal, menguli tepung dan lain-
lain.

Menguasai gerak tangan bebas, cara memegang alat tulis, cara duduk dan
sebagainya supaya boleh menulis dengan sempurna dan selesa.

19

Melakukan latihan-latihan pergerakan mata dari kiri ke kanan, dari atas ke
bawah dan lain-lain.

Melakukan latihan-latihan keselarasan (koordinasi) mata dan tangan.

2.1.2 TULISAN MEKANIS
Setelah kanak-kanak melalui proses pra tulisan , sepatutnya mereka telah faham
dan boleh memegang pensel serta cara duduk yang betul dan selesa . Tulisan
mekanis merupakan peringkat kedua yang patut didedahkan kepada murid-murid.
Sebagai permulaan untuk memberi kemahiran dalam penulisan mekanis murid-
murid diminta membentuk huruf-huruf pada permukaan kertas kosong tanpa garisan.
Setelah kemajuannya didapati memuaskan barulah latihan membentuk huruf
diberikan. Bermula dengan ruang garisan yang lebar / luas membawa kepada
lembaran bergaris kecil /sempit.

2.1.3 KARANGAN BERPANDU
Murid-murid yang melalui peringkat ini diberi sedikit kawalan, mereka dipandu dalam
membuat karangan tersebut. Pelajar-pelajar mungkin dipandu dari segi isi karangan
atau diberikan beberapa urutan gambar dan diminta menghasilkan karangan
berdasarkan ransangan-ransangan yang telah diberi.

2.1.4 KARANGAN BEBAS
Anda harus ingat bahawa penulisan karangan mengikut pendekatan bebas hanya
dapat dijalankan apabila murid-murid telah menguasai kemahiran bahasa dengan
baik. Pelajar-pelajar diberi kebebasan menulis karangan tanpa bimbingan daripada
guru. Pendekatan ini menegaskan bahawa murid-murid pada peringkat pertengahan
perlu memberi perhatian kepada isi dan kelancaran penulisan. Hal demikian kerana
pada peringkat ini mereka telah mempunyai pengetahuan tatabahasa dan
kemahiran mekanis yang mencukupi. Dari segi teorinya, pendekatan karangan
secara bebas memberi peluang kepada murid-murid menggambarkan pendapat
mereka secara bersendirian tentang sesuatu naratif, deskriptif, imaginatif, kreatif,
dan argumentatif.

20

Membina Dan Bahan Sumber Pengajaran Menulis
Penggunaan bahan pengajaran yang terancang dan menarik dapat meningkatkan
minat dan pemahaman serta keintelektualan pelajarpelajar. Seperti yang anda
ketahui, mengajar kemahiran menulis hanya akan dilakukan apabila murid-murid
telah menguasai kemahiran bahasa yang lain. Ini bermakna mengajar kemahiran ini
bukanlah perkara yang mudah. Anda harus mengeksploitasi semua kemahiran
bahasa yang telah dikuasai bagi memantapkan pembelajaran kemahiran menulis. Di
samping itu bahan pengajaran yang sesuai dan menarik amat perlu bagi meransang
minda dan kreativiti murid.

2.2 KAEDAH PENGAJARAN KEMAHIRAN MENULIS
Jenis-jenis Penulisan
Kemahiran tersebut ialah kemahiran menulis secara mekanis dan kemahiran
mentalis (pelahiran).

2.2.1 Kemahiran Mekanis
Anda perlu ketahui bahawa kemahiran menulis mekanis bertujuan supaya murid-
murid menguasai kemahiran huruf-huruf kecil dan besar dalam abjad dengan betul
dan seterusnya menguasai kemahiran menulis huruf, suku kata, perkataan dan ayat.
Anda harus memberi penekanan kepada kepentingan kemahiran ini kerana
kemahiran ini harus dikuasai pada peringkat awal supaya murid-murid dapat
menghasilkan tulisan yang kemas dan mudah dibaca.

Antara aktiviti kemahiran menulis mekanis ialah:
1. latihan menulis bentuk yang mirip kepada bentuk penulisan.
2. latihan menulis huruf daripada gambar-gambar yang mirip kepada huruf.
3. latihan menekap huruf mengikut acuan yang diperbuat daripada kad berlubang/
garis-garis putus.
4. latihan menamakan gambar secara terkawal.





21

2.2.2 Kemahiran Mentalis
Kemahiran menulis mentalis melibatkan proses mental dan lazimnya dikuasai
setelah murid-murid menguasai kemahiran menulis secara mekanis. Oleh yang
demikian, aktiviti-aktiviti latihan mental boleh anda jalankan untuk membantu pelajar-
pelajar anda menguasai kemahiran ini.

Latihan-latihan yang boleh anda jalankan ialah :
1. latihan pernyataan fikiran dan pendapat.
2. latihan pernyataan perasaan.
3. latihan pernyataan kehendak dan perbincangan.
4. menulis karangan esei, surat kiriman, rencana, berita.
5. menulis cerpen, puisi ,cereka.
6. menulis karangan berbentuk pengucapan awan seperti syarahan,
ucapan perbahasan, forum dan sebagainya.

Kemahiran-kemahiran Mengarang
Seseorang itu masih boleh menjadi penulis yang berpotensi jika tahu kemahiran-
kemahiran yang diperlukan dalam penulisan karangan.
Dalam pengajaran dan pembelajaran menulis karangan, anda harus memberikan
penekanan kepada perkara-perkara berikut:
Mengenal pasti audiens
Mengenal pasti tujuan
Mengaitkan isi dengan tajuk dan tujuan
Kemahiran koheran dan kohensi
Kemahiran pemerengganan
Aspek kemahiran mekanis
Mengenal pasti audien

Audien amat penting dalam penulisan karangan. Jika anda tidak mengenali audien,
karangan yang anda tulis tidak mungkin dapat menepati kehendak dan keperluan
mereka. Dalam konteks ini audien ialah rakan-rakan murid dan guru-guru yang akan
membaca dan memeriksa karangan tersebut. Justeru, karangan harus bersesuaian
dengan kehendak dan keperluan mereka. Anda harus tahu keperluan murid-murid
anda untuk menghasilkan sebuah karangan yang baik dari segi kemahiran
22

mengarang dan kemahiran sistem bahasa serta menepati kehendak format yang
ditentukan dalam peperiksaan. Anda harus tahu tahap pengetahuan dan keupayaan
murid anda. Dalam konteks ini, pengajaran anda harus dirancang berdasarkan
kemahiran, keperluan dan kemampuan audien anda.
Kemahiran Aspek Mekanis
Aspek-aspek kemahiran bahasa yang perlu diambil kira semasa mengajarkan
penulisan karangan.
Tulisan tangan murid-murid mesti kemas dan mudah dibaca.
Pastikan murid-murid anda tidak melakukan kesilapan ejaan.
Pastikan murid-murid anda menggunakan tanda baca yang betul.

PERINGKAT-PERINGKAT PENGAJARAN MENGARANG
Ada 3 tahap penulisan karangan yang perlu anda lalui untuk menghasilkan karangan
yang baik. Berikut ialah tiga tahap penulisan yang perlu anda lalui untuk
menghasilkan karangan yang baik:








TAHAP PRAPENULISAN
Tahap prapenulisan ialah proses memahami kehendak tajuk karangan, mencari,
merangka, dan menyusun serta mengolah isi karangan. Anda haruslah membuat
rujukan sama ada melalui media cetak atau media eletronik untuk mendapatkan
bahan-bahan yang sesuai bagi mendapatkan isi karangan yang mantap dan sesuai.



Tahap-tahap penulisan
Pra-penulisan
Semasa penulisan
Pasca penulisan
23

Peringkat Semasa Mengarang
Tahap penulisan bermaksud menulis draf karangan yang merangkumi perenggan
pendahuluan, isi-isi penting dan kesimpulan atau penutup.
Secara umumnya tahap penulisan ini melibatkan aktiviti yang berikut:
i. Membentuk ayat-ayat yang konkrit dan jelas bagi menyampaikan dan
mengolah sesuatu isi.
ii. Memberi bukti, contoh atau alasan untuk menyokong is-isi ataukenyataan
yang dibuat.
iii. Menghubungkan ayat-ayat dan membuat pemerengganan untuk
memperlihatkan kesinambungan idea.
Peringkat Pasca Mengarang
Tahap penyemakan merupakan proses menambah isi jika perlu, mengubah dan
menukar susunan isi, membaiki perenggan atau ayat, memilih kosa kata,
membetulkan kesilapan ejaan, tanda baca dan membaiki tatabahasa, ekspresi dan
gaya bahasa. Tahap ini merupakan peluang kedua kepada muird untuk memperbaiki
karangan. Justeru, pelajar-pelajar perlu dilatih menguasai kemahiran tahap
penyemakan ini. Beberapa perkara yang perlu diberi perhatian pada tahap
penyemakan ini. Antaranya:
1. Membaiki perenggan dan ayat. Pastikan setiap perenggan mempunyai ayat
topik, huraian, penjelasan atau bukti yangmenyokong ayat topik dan panjang
sesebuah perengan dengan perenggan yang lain hampir sama.
2. Ayat hendaklah padat, tepat dan gramatis
3. Aspek tatabahasa dan gaya bahasa disemak bagi memastikantiada kesilapan
ejaan, pemilihan kosa kata yang sesuai dan gaya bahasa yang menarik serta
berkesan.




24

2.3 TEKNIK KEMAHIRAN MENULIS.
Teknik kemahiran menulis yang bersepadu serta mempunyai pelarasan aktiviti yang
menyeluruh akan menjadikan murid tersebut menguasai kemahiran-kemahiran
dalam aspek penulisan seperti kemahiran mencatat nota serta kemahiran menulis
pantas. Antara teknik yang dapat digunakan oleh guru dalam pengajaran kemahiran
menulis adalah seperti berikut:
2.3.1 PENGGUNAAN STRATEGI INDUKTIF SEMASA MENGAJAR
Hal ini akan membantu guru dalam memberikan bimbingan kepada pelajar dari
aspek awal kemahiran menulis seperti kemahiran memegang pensel serta
kemahiran dalam pra-penulisan sehingga ke tahap pasca penulisan.
Pada tahap ini penggunaan otot motor palajar adalah amat ditekankan bagi
memastikan mereka dapat menguasai aspek kemahiran menulis yang diajarkan oleh
guru.
2.3.2 STRATEGI PENGAJARAN BERPUSATKAN GURU
Murid mengikuti contoh yang diberikan oleh guru bagi memastikan pelajar dapat
menguasainya secara menyeluruh.
Guru mestilah menggunakan contoh yang betul bagi memastikan pelajar dapat
mengikuti dan menguasai contoh yang diberikan oleh guru secara menyeluruh.
2.3.4 STRATEGI PEMBELAJARAN SECARA MASTERI.
Keadah ini menekankan kepada penguasaan menyeluruh murid dalam aspek
pengajaran yang diajarkan oleh guru. Guru haruslah memastikan murid menguasai
kemahiran asas dalam aaspek penulisan bagi memastikan mereka dapat
memajukan diri pada peringkat seterusnya.
2.3.5 Teknik ansur maju.
Teknik ini akan digunakan oleh guru setelah murid menguasai sesuatu kemahiran
dan ianya akan dapat memastikan murid akan menguasai pelbagai kemahiran
bernilai tambah yang lain setelah berjaya menguasai sesuatu bidang kemahiran
yang asas.
25

2.4 PENUTUP
Sebagaimana yang kita sedar setiap individu mempunyai perbezaan dari segi minat,
kecerdasan dan bakat. Dalam pengajaran mengarang, bakat, minat, latihan, dan
sikap yang tidak mudah putus asa merupakan adunan yang baik bagi menghasilkan
sesuatu karya yang berkesan. Di samping kepelbagaian pendekatan, kaedah dan
teknik dorongan dan tunjuk ajar dari guru merupakan satu bonus yang sangat
berharga kepada pelajar-pelajar.

















26

You might also like