You are on page 1of 7

1

1.0 PENGENALAN DASAR LUAR


Terminologi dasar luar boleh ditakrifkan sebagai satu bentuk kelakuan atau tindakan yang
diambil oleh sesebuah negara apabila melaksanakan kepentingannya dalam hubungannya
dengan sebuah negara yang lain. Ia berkaitan dengan proses membuat keputusan yang disusuli
oleh beberapa tindakan. Dasar luar juga dikatakan sebagai satu aktiviti di mana negara sebagai
aktor bertindak, bertindak balas dan berinteraksi dengan sebuah negara yang lain. Oleh yang
demikian, dasar luar juga dikenali sebagai aktiviti yang bersifat sempadan. Perkataan sempadan
di sini membawa maksud bahawa dasar luar tersebut yang dibentuk antara dua persekitaran
iaitu persekitaran dalaman dan persekitaran global (Mustaffa Ishak & Afifi Abdul Razak: 205).
Persekitaran dalaman membentuk latar belakang dasar luar sesebuah negara. Oleh yang
demikian, faktor-faktor seperti sumber-sumber negara, kedudukan geografi, tahap
pembangunan ekonomi, struktur demografi, ideologi serta nilai-nilai akan membentuk
persekitaran tersebut. Dasar luar sesebuah negara adalah hasil daripada jawapan oleh para
penggubal dasar terhadap persoalan keselamatan, pasaran ekonomi dan kemakmuran,
mempertahan dan menyebarkan ideologi, keamanan dan kestabilan politik merupakan elemen
penting kepada setiap pemimpin untuk memerintah (Mustaffa Ishak & Afifi Abdul Razak: 205).
Dasar luar yang digariskan Malaysia sangat dipengaruhi perkembangan politik dalam
dan luar negara. Sejak negara mencapai kemerdekaan Tunku Abdul Rahman telah
mengamalkan dasar pro-Barat dan anti-komunis. Pucuk pimpinan negara yang bersilih ganti
memaparkan ketokohan dan keperibadian pemimpin dalam menentukan hala tuju dasar luar
Malaysia amnya. Bermula era Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan
Tun Dr.Mahathir Mohamad menunjukkan penguasaan kekuatan, kepimpinan, inisiatif dan
pengaruh yang begitu ketara dalam dasar luar Malaysia. Esei ini akan cuba mengupas isu politik
yang membawa kepada ketegangan antara Malaysia sebagai sebuah negara yang kecil yang
menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara kuasa besar iaitu AS. Secara umumnya,
hubungan luar antara AS dan Malaysia berada dalam keadaan yang stabil dan agak baik.
Namun begitu, keperibadian politik yang ditonjolkan Dr. Mahathir dilihat menghangatkan isu
antara dua negara semasa pentadbirannya bermula pada 1981 hingga 2003.



2
2.0 HUBUNGAN AMERIKA SYARIKAT DAN MALAYSIA
Hubungan diplomatik yang terjalin secara rasminya semasa Malaysia mendapat kemerdekaan
pada tahun 1957. Kedutaan Amerika Syarikat telah dibuka sejurus selepas Malaysia mendapat
kemerdekaan dan Homer M. Byting Jr. merupakan duta pertama Amerika Syarikat ke Malaysia.
Dalam aspek hubungan dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat walaupun dilihat
sebagai stabil dan progresif akan tetapi terdapat pelbagai perubahan dalam hubungan
antarabangsa hari ini (Rusdi Omar & Mas Juliana Mukhtaruddin, 2007: 190).Hubungan Malaysia
dan AS sering dilihat sebagai hubungan antara kuasa besar dengan negara kecil. Semasa
Perang Dingin antara AS dan Soviet Union, AS dilihat sebagai pelindung kepada negara kecil
seperti Malaysia (Rusdi Omar & Mas Juliana Mukhtaruddin, 2007: 189).Hubungan rapat antara
Kuala Lumpur dan Washington didasari atas prinsip Malaysia merupakan sebuah negara
demokrasi kapitalis selari dengan falsafah politik dan ekonomi AS. Hubungan luar antara
Malaysia dan AS pada amnya berada pada tahap yang baik. Ini dibuktikan dengan hubungan
ekonomi dan perdagangan, pendidikan, isu memerangi keganasan dan kerjasama dalam
beberapa organisasi dan pertubuhan antarabangsa.

3.0 SIKAP DAN PENDIRIAN TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD
Tun Dr. Mahathir Mohamad dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Keempat pada 16 Julai
1981. Beliau merupakan Perdana Menteri Malaysia yang mempunyai personaliti dan pesona
yang tersendiri di arena antarabangsa dalam penentuan dasar luar Malaysia. Tun Dr. Mahathir
dikatakan mempunyai perspektif menyeluruh yang melayakkan beliau menangani krisis-krisis
politik yang melanda Malaysia sama ada di peringkat domestik dan antarabangsa (Faridah
Jaafar 2007: 123).
Di samping itu, dasar luar Malaysia telah mengalami perubahan ketara selepas Dr.
Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri. Sebelum ini, dasar luar Malaysia menjadikan
Barat sebagai role-model tetapi selepas beliau menerajui Malaysia, beliau membuat perubahan
yang drastik dengan menjadikan Timur sebagai role-model. Ini merupakan satu pembaharuan
yang sangat nyata dalam pemerintahan Malaysia dan menarik perhatian dunia khususnya
Amerika Syarikat dan Britain (Zulhilmi Paidi & Asrar Omar 2003: 134).

3
Dalam era kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad dari 1981-2003, dasar luar Malaysia
bersalutan isu-isu yang menimbulkan kontroversi dan mengundang perdebatan yang hangat.
Persoalan mengenai kebangkitan Islam, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Komanwel, krisis
ekonomi, keganasan, peperangan serta jurang penguasaan negara maju dengan negara sedang
membangun yang ketara menjadi tumpuan Malaysia. Dr. Mahathir mempelopori beberapa
perubahan drastik dalam pelaksanaan dasar luar Malaysia. Dasar luar Malaysia ketika ini tidak
sekadar refleksi daripada situasi dan kondisi antarabangsa, tetapi juga menggambarkan
pendekatan proaktif tokoh terlibat dalam menangani isu-isu semasa khususnya yang berkaitan
dengan kepentingan Negara Dunia Ketiga dan Negara-negara Islam (Faridah Jaafar 2007: 135).
Beliau juga agak lantang dalam menyatakan pandangan terhadap sesuatu isu
antarabangsa. Kelantangan beliau jelas terpancar ketika berhadapan dengan negara-negara
besar, berani mengecam Barat terutamanya AS dan sekutunya dengan gagasan-gagasan
pemikiran yang radikal. Melaui sikapnya ini beliau berusaha mengartikulasikan kepentingan
negara-negara membangun agar menjadi kelompok negara yang pandangan yang diambil kira
di pentas antarabangsa (Faridah Jaafar 2007: 135).

4.0 ISU POLITIK YANG MEMBAWA KETEGANGAN ANTARA AS DAN MALAYSIA
4.1 KRISIS KEWANGAN ASIA
Pada Julai 1997, Malaysia, Thailand, Indonesia dan Korea Selatan dilanda masalah dan krisis
ekonomi terutama berkaitan dengan penyusutan nilai mata wang dan pasaran saham. Kerajaan
Malaysia di bawah pimpinan Dr. Mahathir telah mengambil langkah drastik, yakni dengan
mengenakan kawalan modal. Nilai ringgit telah ditetapkan RM3.80 berbanding satu dolar
Amerika. Tindakan ini menjadikan ringgit tidak lagi mempunyai nilai di luar Malaysia dan
menyebabkan spekulator mata wang panik dan mereka perlu mencari dana untuk menamatkan
kedudukan singkat yang masih dalam sebutan jualan. Pengurus dana kewangan anatarabangsa
mendakwa kerajaan Malaysia ingin meminggirkan diri sendiri dari dunia ekonomi antarabangsa.
Ini ditambah lagi dengan tafsiran IMF dan Bank Dunia mengenai sebab krisis ini ia
berpunca dari kelemahan perancangan ekonomi negara-negara yang berasaskan kapitalisme
suku sakat (kronisme dan nepotisme). Dr. Mahathir tidak bersetuju dan menyanggah dakwaan

4
tersebut. Justeru itu, berlakulah tuduh menuduh antara Dr. Mahathir dan George Soros,
seorang spekulator mata wang antarabangsa yang sangat berpengaruh (Rosazman Husssin
1999: 117).
Menurut Dr. Mahathir, dalam beberapa situasi kegawatan ekonomi, akibat tekanan
kuasa besar kerajaan boleh digulingkan dan diganti dengan kepimpinan yang goyah dan bukan
hanya sekadar mengikut telunjuk IMF, AS dan sekutunya, malah tidak mampu untuk
mewujudkan kestabilan, jauh sekali menegakkan keadilan atau memulihkan semula ekonomi.
Ujarnya lagi, AS melantik diri mereka sendiri sebagai polis dunia, jaguh hak asasi manusia dan
pembela golongan yang tertindas di seluruh pelosok dunia. Warga dunia yang yang miskin dan
dizalimi sepatutunya membuka mata AS sendiri. Mereka harus sedar bahawa harga diri mereka
tidak dipedulikan yang pentingnya ialah kebebasan peniaga dan penyangak matawang untuk
berniaga mesti dikekalkan (Mahathir Mohamad 2000: 60). Walaupun Malaysia mempunyai
hubungan diplomatik dengan AS, namun Dr. Mahathir kelihatan tidak gerun menempelak kuasa
besar tersebut dan seolah-olah meletakkan Malaysia sebaris dengan kuasa dunia yang lain
dalam penentuan objektif dasar luarnya.
Pengalaman Malaysia dalam menangani kegawatan ekonomi dan kewangan ini akan
menjadikannya lebih mantap dan bersedia menghadapi krisis kegawatan pada masa depan.
Pengajaran utama daripada pengalaman ini perlunya kita mengetahui punca sebenar ia berlaku.
Sebaik sahaja maklumat diketahui satu strategi dapat dirumuskan untuk menentang kuasa
penyebab masalah itu (Mahathir Mohamad 2000: 61).

4.2 PEMECATAN ANWAR IBRAHIM
Rentetan dari kemelesetan ekonomi turut menjelmakan pula krisis politik dalaman Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri yang juga merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim
telah dilucutkan jawatan oleh Dr. Mahathir pada 2 September 1998. Penganalisis berpendapat
Dr. Mahathir tidak bersetuju dengan dasar Menteri Kewangan dalam menangani penyusutan
nilai ringgit. Dr. Mahathir melihat Anwar sebagai bersetuju dengan saranan dasar kewangan
yang ketat yang dianjurkan oleh IMF. Isu ekonomi di Asia telah membawa krisis dan pergelutan
politik di negara seperti Indonesia dengan peletakan jawatan Presiden Suharto (Rosazman
Husssin 1999: 118).

5
Isu pemecatan Anwar Ibrahim mendapat perhatian meluas antarabangsa terutamanya
AS yang menunjukkan simpati kepada Anwar Ibrahim. Salah seorang pemimpin yang
menyatakan sokongan terhadap Anwar ialah Naib Presiden AS, Al-Gore. Peristiwa yang berlaku
di Malaysia mempunyai hubungan politik global kerana Anwar Ibrahim dikatakan lebih disukai
oleh pentadbiran Washington berbanding dengan Dr. Mahathir. Pemecatan Anwar memberi
kesan kepada hubungan AS dan Malaysia, antara tokoh yang mengkritik kerajaan pimpinan Dr.
Mahathir pada masa itu iaitu Setiausaha Perbendaharaan AS, Robert Rubin, Jurucakap White
House, Mike McCurry, Setiausaha Pertahanan AS, William Cohen dan Pengerusi Bank Dunia,
James Wolfersonm. Di satu pihak Dr. Mahathir berani mengecam negara Barat terutamanya AS
secara terbuka. Dr. Mahathir begitu tegas dengan dasar luarnya mengkritik tindakan tidak adil
dan zalim negara kaya terhadap miskin untuk kepentingan ekonomi Barat (Mohd Noor Yazid
2000: 115). Beliau tidak mudah tunduk dengan tekanan kuasa besar terutamanya AS dan
sekutunya. Ini dapat dibuktikan pentadbiran kerajaan menolak bantuan dari IMF. Kelantangan
dan kecaman Dr. Mahathir secara terbuka terhadap AS dilihat boleh merenggangkan hubungan
AS dan Malaysia.

4.3 AKTA KESELAMATAN DALAM NEGERI (ISA)
Kerajaan AS pernah mengkritik kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Dr. Mahathir kerana
menggunakan ISA beberapa kali dalam penahanan pemimpin parti pembangkang. Pada tahun
2001 pentadbiran Washington di bawah Presiden George W. Bush mengatakan Akta
Keselamatan Dalam Negeri adalah undang-undang jahat. Tidak wajar ada lagi negara yang
mempunyai undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan menurut
Washington (http://pmr.penerangan.gov.my). Namun pendirian Dr. Mahathir tetap teguh
mempertahanakan dasar kerajaan dan tidak tunduk dengan kehendak pentadbiran dasar luar
AS yang ingin mencampuri urusan pentadbiran perundangan di Malaysia.

4.4 PERANG IRAQ-AS DAN KECAMAN TERHADAP ISRAEL
Pendirian dasar luar Malaysia di bawah pentadbiran Dr. Mahathir menegaskan serangan AS
terhadap Iraq pada 2003 mestilah diharamkan dan dunia patut bertindak kepada sesiapa pun

6
yang melanggar prinsip undang-undang antarabangsa. Perang secara pre emptive tidak boleh
dibenarkan sama sekali terutama oleh kuasa besar terhadap negara yang lemah. Dr. Mahathir
secara terbuka di Dewan Rakyat membantah tindakan ketenteraan AS menyerang Iraq.
Malaysia memang bersetuju bahawa senjata pemusnah merupakan suatu ancaman kepada
masyarakat antarabangsa dan dunia tidak perlu kepada senjata jenis sedemikian. Sehubungan
itu, beliau mengatakan tindakan yang perlu diambil ialah memusnahkan semua senjata itu
tanpa memberi apa-apa keistimewaan kepada mana-mana negara. Sistem politik antarabangsa
yang didominasi oleh AS boleh melakukan sebarang tindakan untuk memiliki senjata nuklear.
Namun Iraq tidak dibenarkan, namun sekutu rapat seperti Israel dibenarkan memiliki senjata
pemusnah (http://www.utusan.com.my).
Dr. Mahathir juga mempersoalkan apakah Israel yang membunuh rakyat Palestin
dengan sewenang-wenangnya boleh dipercayai tidak akan menggunakan senjata pemusnah
seperti bom nuklear ke atas musuhnya?. Apakah rakyat Iraq perlu dibunuh untuk mengesan
senjata pemusnah yang mungkin tidak ada di Iraq sama sekali. Kononnya Presiden AS George
W. Bush dan Perdana Menteri Britain Tony Blair ingin menyelamatkan orang Iraq. Apakah
makna keselamatan bagi rakyat Iraq yang dibunuh? tegasnya lagi. Dr. Mahathir, menjelaskan
niat sebanar AS bukan untuk mengesan senjata pemusnah milik Iraq tetapi objektifnya telah
bertukar kepada penyingkiran kerajaan Iraq di bawah Saddam Hussein dan menjayakan objektif
strategik AS dan sekutunya. Pasca serangan 11 September 2001 lebih berjaya daripada yang
disangkakan oleh pengganas kerana reaksi yang tidak rasional oleh kuasa-kuasa besar. Beliau
berkata, sepatutnya sebab-sebab keganasan berlaku perlu ditangani tetapi sebaliknya sebab-
sebab keganasan ditokok tambah dengan tindakan yang tidak rasional AS dan sekutunya
menceroboh negara lain melalui pendekatan ketenteraan (http://www.utusan.com.my).
Malaysia semasa pentadbiran Dr. Mahathir komited untuk bersama semua negara
memerangi keganasan dan menolak sekerasnya pendekatan ketenteraan secara unilateral. Ini
membuktikan dasar luar Malaysia menjurus ke arah prinsip keamanan dan kestabilan dalam
politik antarabangsa. Dr. Mahathir dilihat begitu berani menegur Presiden AS George W. Bush
mengenai tindakan menceroboh Iraq dan terus menyokong Israel. Buktinya ia adalah perbuatan
imperialis yang masih ingin menguasai dunia. Selepas mencuba serangan ekonomi, mereka
susuli pula dengan serangan ketenteraan (http://www.utusan.com.my).

7
5.0 PENUTUP
Semua perkara tersebut telah memberikan impak terhadap hubungan dua hala yang sedia
terjalin ini. Maka dengan sebab itulah terdapat berbagai tahap hubungan dua hala ini yang
kadang-kalanya baik dan pada masa yang sama berada dalam ketegangan terhadap perbezaan
pendirian mengenai beberapa isu yang berlaku dalam hubungan dua hala Malaysia dan Amerika
Syarikat. Dari tahun 1981 sehingga 2003, dasar luar Malaysia periode Tun Dr. Mahathir telah
menunjukkan perubahan yang ketara berbanding di zaman dan era sebelumnya. Ini kerana
pengaruh keperibadian Tun Dr. Mahathir yang agak agresif dalam menyampaikan aspirasi
nasional negara di peringkat serantau mahupun global. Apa yang jelas dalam periode beliau,
dasar luar Malaysia lebih sensitive menanggapi situasi dan situasi politik antarabangsa. Respons
yang diberikan Dr. Mahathir begitu pantas bila sesuatu isu antarabangsa timbul, kadangkala
agak keras bersesuaian dengan keperibadian beliau yang gemar berterus terang dalam
menyatakan pendirian mengkritik AS dan Barat (Faridah Jaafar 2007: 215).

You might also like