You are on page 1of 3

D.

BUDAYA POLITIK
Budaya politik merangkumi beberapa set asas nilai dan kepercayaan tentang politik dan sistem yang
dipertanggunjawabkan untuk menginterpretasikan politik dalam sesebuah populasi (Barrington et. al,
2010). Budaya politik juga menawarkan suatu cara pandang dalam dimensi politik yang subjektif,
yang mampu merumuskan norma-norma politik tatanegara, termasuklah matlamat politik dominan,
proses politik pilihan dan pandangan rakyat terhadap tatanegara (polity) mereka (Henderson, 2008).
Analisis politik perbandingan ke atas Kanada dan Malaysia akan dilakukan berdasarkan lima
komponen budaya politik. Lima komponen tersebut melibatkan beberapa set nilai tentang hubungan
sosial dan autoriti, kumpulan berkebajikan atau kepentingan individu, kebebasan atau keselamatan,
keabsahan sistem politik, dan terakhir komuniti politik.
Pertama, nilai hubungan sosial dan autoriti akan menyentuh penerimaan masyarakat Kanada
dan Malaysia terhadap autoriti elit sosial dan seterusnya menentukan jenis hubungan sosial sama ada
menegak (vertical) atau mendatar (horizontal). Masyarakat Malaysia menerima autoriti elit sosial
dalam pentadbiran negara dan mempunyai hubungan sosial menegak, iaitu kumpulan yang berada di
puncak tertinggi dalam hierarki sosial mempunyai kuasa untuk mengenakan keputusan yang dibuat
ke atas kumpulan bawahan dalam hierarki sosial tersebut. Sebaliknya, Kanada pula mempunyai
hubungan sosial mendatar yang menekan kesamarataan dan peranan oleh kebanyakan jika tidak
kesemua ahli dalam masyarakat dalam membantu membentuk politik dan keputusan sosial. Hal ini
kerana dasar di Kanada dicapai melalui kerjasama antara tokoh masyarakat dan individu
persendirian yang berusaha untuk mengurangkan konflik sosial (Lightbody, 2006).
Kedua, nilai kumpulan berkebajikan atau kepentingan individu akan ditentukan
kesignifikannya. Budaya politik individualistik di Kanada dilihat sangat memberatkan nilai
individualisme dan tidak menggalakkan kerajaan daripada melaksanakan dasar-dasar yang
melindungi kumpulan-kumpulan ekonomi dalam masyarakat, dan didemonstrasikan melalui
sokongan masyarakat terhadap Piagam Hak dan Kebebasan (Charter of Rights and Freedom),
pengamalan ekonomi bebas, sikap liberal masyarakat terhadap homoseksualiti, hak wanita dan
gerakan kesamarataan lainnya. Paradoks kepada budaya politik individualistik pula, budaya politik
kolektivisme di Malaysia lebih cenderung untuk berada dalam platform yang sealiran dengan
program-program kerajaan yang bertujuan untuk memberi manfaat kepada ramai orang (Barrington
et. al, 2010).
Ketiga, keseimbangan antara nilai kebebasan dan keselamatan adalah perlu bagi
mengelakkan ketidakstabilan serta huru-hara dalam negara. Malaysia merupakan sebuah negara
yang sangat menekankan aspek keselamatan untuk menjaga keharmonian negara melalui
penguatkuasaan undang-undang dan peraturan untuk mengawal tingkah-laku individu. Keunikan
dalam kes Kanada ialah, seperti yang termaktub dalam Akta Perlembagaan Gabungan Kanada pada
1 Julai 1867, perkongsian pemerintahan antara kerajaan pusat digabungkan dengan peraturan sendiri
(self-rule) telah menjadi formula asas pemerintahan Kanada yang memberi keseimbangan antara
nilai kebebasan dan keselamatan (Ouziel, 2009). Kedua-dua nilai ini membentuk institusi kerajaan
dan polisi sesebuah negara.
Keempat, nilai keabsahan terhadap sistem politik akan menyentuh tentang hak memerintah
sesebuah rejim berkuasa. Pablo Ouziel (2009) berpendapat bahawa Kanada mengalami krisis
keabsahan sistem politik dan para pemerintah oleh kerana sifat berahsia, berpusat dan hierarki
parlimen persekutuan negara Westminster. Tidak pula di Malaysia, di mana rejim berkuasa masih
memegang tampuk pemerintahan sejak dari era kemerdekaan negara. Hal ini bermakna nilai
keabsahan sistem politik dan pemerintah Malaysia adalah lebih tinggi berbanding Kanada.
Terakhir, nilai masyarakat politik Kanada dan Malaysia akan dilihat dipengaruhi oleh faktor
identiti dalaman atau kebangsaan. Oleh kerana, Kanada dan Malasyia terdiri daripada masyarakat
berbilang bangsa, kesetiaan masyarakat boleh juga terletak kepada bangsa, kumpulan etnik, agama,
atau tempat tinggal jika tidak terletak kepada negara. Seperti Malaysia, Kanada juga tidak
menggerakkan politik melalui revolusi untuk mendapatkan perubahan pantas dalam masyarakat.
Malah, Kanada dan Malaysia kedua-duanya mengalami perubahan politik yang perlahan melalui
peranan yang dimainkan oleh kumpulan berkepentingan dan kumpulan pendesak di kedua-dua
negara.
Secara keseluruhan, budaya politik masyarakat Kanada boleh dikatakan sebagai budaya
politik subjek-partisipan. Menurut James Lightbody (2006), rakyat Kanada kurang cenderung untuk
melibatkan diri dalam tindakan politik secara langsung dan konfrontasi. Tambahan, walaupun
dengan kejatuhan kepercayaan terhadap autoriti hierarki tradisional lebih sedekad lalu, rakyat
Kanada tetap juga kelihatan kurang cenderung untuk mengintegrasikan diri dalam pertubuhan politik
melalui keanggotaan mana-mana organisasi formal, yang mana kelihatan lebih kurang sama dengan
budaya politik di Malaysia.
Rujukan
Angus, I. 2006. Hermeneutic Continuity or Sovereign Performative? The Difference between
Canadian and American Political Cultures Revisited. Dlm. Froshauer, K., Fabbi, N. &
Pell, S. (pnyt.). Convergence and Divergence in North America: Canada and United
States. Kanada: Centre for Canadian Studies, Simon Fraser University.
Barrington, L., Bosia, M. J., Bruhn, K., Giaimo, S, & McHenry, D. E. Jr. 2010. Comparative
Politics: Structures and Choices. United States of America: Wadsworth Cengage Learning.
Lightbody, J. 2006. City Politics, Canada. Canada: Broadview Press, Ltd.
Ouziel, P. 2009. Crisis of Legitimacy in Canadas Parliamentary Federation: A Case for
Participatory Democracy. (bahan tidak terbit) [2 Jun 2014].

You might also like