You are on page 1of 13

ISU SOSIAL : KITA HARUS MEMBANTU, BUKANNYA MENGHUKUM MEREKA

Tindakan seorang pastor warganegara Malaysia, Ou Yang Wen Feng, yang dilaporkan akan berkahwin
dengan kekasihnya seorang warga Afrika-Amerika di New York tidak lama lagi telah menggemparkan
banyak pihak di negara ini. Ou Yang kini berkhidmat di Gereja Komuniti Metropolitan (MCC), New York
pernah melakukan kejutan apabila cuba mengusulkan cadangan membina cawangan gereja MCC di
Malaysia bagi memperjuangkan hak golongan homoseksual di negara ini. Apa yang menimbulkan
persoalan kini Ou Yang turut mengumumkan akan melangsungkan majlis resepsi di negara ini sedangkan
Malaysia tidak pernah mengiktiraf perkahwinan sejenis. Untuk mendapatkan penjelasan lanjut
mengenai gejala homoseksual, wartawan Mingguan Malaysia HAFIZAHRIL HAMID telah mewawancara
Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Islam Universiti Malaya, Dr. Mohd Roslan Mohd
Nor. Katanya walaupun gejala ini jelas haram namun pada masa yang sama beliau meminta agar
masyarakat tidak terlalu cepat menjatuhkan hukum malah membantu mereka untuk kembali ke pangkal
jalan. Manakala di Sabah wartawan TARMIZI ABDUL RAHIM pula menemubual tokoh Kristian, Webley
Disim mengenai isu tersebut. Ujarnya adalah tidak salah untuk mengatakan mereka ini merupakan
pengikut ajaran Kristian sesat tapi bagaimanapun mereka ini masih boleh diubati.

MINGGUAN: Bagaimana Dr. melihat kecenderungan golongan homoseksual yang semakin berani
bertindak di luar batasan sekarang?
MOHD ROSLAN: Dalam hal ini ia sebenarnya rentetan dari masalah yang sudah berlaku begitu lama dan
jika kita tidak menanganinya secara tuntas ia boleh menimbulkan mudarat yang lebih besar. Kalau kita
lihat perjuangan golongan ini berteraskan pada hak asasi manusia. Secara fitrahnya gender hanya ada
dua sahaja iaitu lelaki dan wanita tetapi mereka mendesak untuk golongan homoseksual. Sekarang ini
jika kita lihat di Amerika Syarikat (AS) terdapat enam negeri yang mengiktiraf perkahwinan sejenis.
Namun jika kita buat penilaian hanya enam negeri daripada 50 negeri di AS yang mengiktiraf
perkahwinan sejenis. Maksudnya di sebuah negara yang begitu lantang menyatakan mereka sebagai
negara kuasa dunia tetapi hakikatnya masih belum dapat menerima golongan homoseksual ini dalam
kehidupan mereka. Malah pada satu ketika di AS golongan homoseksual ini dikategorikan sebagai
mental disorder dan perlu diberikan rawatan. Namun kerana desakan kuat dari golongan ini mereka
tidak dikategorikan dalam golongan tersebut dan diberi peluang untuk menjalani kehidupan seperti
manusia biasa.

Cuma masalahnya yang paling jelas ialah bila masalah ini berhubung kait dengan agama. Islam secara
jelas menentang kumpulan yang dipanggil gay, lesbian dan biseksual dan ia dinyatakan dalam nas-nas al-
Quran dan hadis. Dalam al-Quran kisah yang menimpa kepada kaum Nabi Lut adalah rujukan yang sering
dikemukakan dalam soal hukum terhadap golongan ini. Tapi kini mereka secara halus memperjuangkan
hak melalui hak asasi manusia dan memohon untuk diiktiraf. Kalau kita lihat melalui Universal
Declaration of Human Rights (UDHR), golongan ini diberi ruang untuk diiktiraf tetapi kita di peringkat
negara-negara OIC mempunyai satu lagi dokumen hak asasi manusia yang dikenali sebagai Cairo
Declaration of Human Rights in Islam. Ia telah diterima dan disepakati secara bersama pada tahun 1990
dan diiktiraf di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai satu dokumen untuk negara
Islam. Dalam deklarasi ini ia dinyatakan secara jelas bahawa setiap perkara yang berkaitan dengan hak
asasi manusia hendaklah berlandaskan kepada syariah. Dan segala perkara hak asasi manusia yang
bercanggah dengan syariah tidak boleh diterima pakai.

Bagaimana pula dari sudut perundangan negara ini?
MOHD ROSLAN: Dalam soal perlembagaan negara ini, Islam adalah agama bagi persekutuan maka ia
bermaksud Islam mempunyai kedudukan yang lebih tinggi berbanding agama-agama lain. Ini secara
tidak langsung menolak gerakan-gerakan berkaitan homoseksual yang kini menggunakan pelbagai
platform untuk mengelirukan orang ramai. Contohnya portal Merdeka Seksualiti.org, yang cuba
memberi gambaran seolah-olah golongan homoseksual ini tertindas. Selain itu sebelum ini kita
dikejutkan dengan pengakuan seorang lelaki Melayu Islam dalam youtube, bernama Azwan Ismail yang
mengaku sebagai seorang gay dan dia okey. Pelbagai pihak telah menyatakan bantahan dan meminta
supaya diambil tindakan terhadap lelaki ini namun tidak ada sebarang tindakan dari pihak berwajib.
Kalau mengikut perundangan syariah lelaki ini boleh didakwa di bawah beberapa enakmen antaranya
berkelakuan seperti perempuan atau sudah lari dari sifat asalnya. Kalau sudah ada pengakuan maka
sudah jelas boleh diambil tindakan. Maka saya kira jika tidak ada tindakan-tindakan tegas dari pihak
berwajib ia seolah-olah mereka ini dibenarkan bebas melakukan apa yang mereka mahu. Kita telah
menyatakan bantahan supaya tindakan diambil tetapi ia seolah-olah dipinggirkan bila isu itu semakin
senyap.

Apakah ini menunjukkan dari aspek perlaksanaan seolah-olah pihak berwajib tidak tegas?
MOHD ROSLAN: Memang saya melihat begitu kerana tidak ada sebarang tindakan dikenakan terhadap
lelaki bernama Azwan Ismail dan beberapa kes lagi. Seharusnya pihak berkuasa perlu lebih tegas
menjalankan tugas kerana ia boleh menimbulkan masalah yang lebih besar di kemudian hari. Namun
saya juga sebenarnya tidak begitu menggalakkan supaya kita terlalu tertumpu kepada soal tindakan dan
penguatkuasaan. Pada saya kita perlu mengambil beberapa langkah yang lebih teratur. Mungkin dalam
soal tindakan dan penguatkuasaan biar pihak berwajib yang menjalankan tugas mereka. Pada masa yang
sama kita perlu juga lebih menekankan pada aspek dakwah terhadap golongan ini. Ini kerana kita juga
tidak boleh membiarkan golongan homoseksual ini begitu saja tanpa sebarang bantuan dan dakwah.
Kita juga tidak boleh mengejek, mentertawakan apatah lagi melabel mereka sebagai kumpulan ahli
neraka dan sebagainya. Ini sebenarnya bukan urusan kita sebagai manusia. Apa yang harus kita lakukan
adalah lebih mendekati mereka dengan menggunakan pendekatan dakwah yang sudah ditunjukkan oleh
Nabi Muhammad SAW iaitu, love and care. Ini boleh dijelaskan melalui kasih sayang dan prihatin sesama
umat termasuklah pada golongan ini. Kita tidak boleh mendekati dalam keadaan mahu menghukum
mereka tetapi dengan rasa kasih dan mahu menyelamat, memberi bantuan dan semangat supaya
mereka kembali ke pangkal jalan. Pendekatan ini saya ambil berasaskan surah Al Hujerat ayat 11 yang
bermaksud: Jangan ada seseorang manusia cuba mengejek-ejek manusia yang lain. Sebab itu Islam
jelas dalam soal larangan dan pendekatan untuk golongan homoseksual ini.

Apa yang boleh golongan ini lakukan supaya tidak terus hanyut dengan cara hidup mereka?
MOHD ROSLAN: Bagi saya golongan ini sebenarnya perlu melakukan transformasi diri dan tidak boleh
selama-lamanya menyatakan bahawa apa yang berlaku adalah takdir Tuhan semata-mata. Bagi saya itu
tidak tepat kerana pihak kami telah melakukan perbincangan dengan pihak pakar perubatan dan syariah
di JAWI baru-baru ini. Mereka ini melibatkan pakar seperti psikiatri, genetik dan beberapa lagi yang
memberikan pandangan sama ada golongan ini sebenarnya boleh berubah atau tidak. Kesemua mereka
ini bersetuju bahawa golongan ini sebenarnya tidak ada masalah untuk berubah. Cuma masalahnya
sama ada mereka mahu atau tidak. Hanya alasan saja yang diberikan antaranya mereka sudah terlalu
lama terlibat dalam kancah ini dan sukar untuk kembali normal. Namun kita sebagai orang yang lebih
arif seharusnya mendekati golongan ini supaya mereka boleh melakukan transformasi untuk kembali
menjadi manusia normal. Saya ingin menyentuh dalam soal Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, yang gagal
dalam permohonan menukar namanya kepada Aleesha Farhana yang kemudiannya meninggal dunia
kerana didakwa kemurungan akibat hukuman mahkamah.
Apabila berlaku isu tersebut seluruh negara membincangkan isu ini malah pihak media antarabangsa
cuba memainkan isu ini seolah-olah negara ini melakukan diskriminasi gender. Dalam hal ini kita tidak
boleh terpengaruh dengan gerakan-gerakan Barat yang mempunyai agenda terselindung kerana negara
ini meletakkan Islam sebagai agama persekutuan dan kita tertakluk kepada hukum-hukum yang telah
ditetapkan. Maka disini jelas apabila berlaku kes-kes seperti ini kita tidak boleh membiarkan golongan
ini terbiar tanpa sebarang bantuan malah perlu didekati dan diberi dakwah supaya mereka lebih jelas
tentang hukum Islam dalam soal ini dan akhirnya tidak hanyut dalam membuat keputusan yang tidak
sepatutnya. Mereka ini perlu diperjelaskan bahawa takdir yang mereka katakan itu adalah sesuatu yang
boleh dinafikan. Hanya ada dua takdir yang kita tidak boleh tolak iaitu tua dan mati. Yang lain semua kita
boleh menolaknya dengan kehendak Allah dan atas bantuan pakar-pakar yang berkaitan.

Seharusnya kita perlu memberi sokongan dan dakwah kepada golongan ini tetapi bagaimana pula dari
sudut masyarakat itu sendiri, apakah mereka bersedia kerana ada yang lebih mudah menjatuhkan
hukum daripada membantu?
MOHD ROSLAN: Memang ada di antara kita yang terlalu mudah menghukum dan melabel seseorang
hingga membawa kepada ejekan dan penghinaan. Sememangnya kita perlu tukar pendekatan lama ini
kepada pendekatan yang lebih mesra untuk semua golongan masyarakat. Kalau dalam bahasa politik
kita dengar semua masalah dan pandangan akar umbi. Oleh itu bagi mereka yang terlibat dalam usaha
menyebarkan agama Islam ini mereka tidak boleh berpendirian sebagai penghukum. Sebab itu ada
ulama menyatakan, kami ini adalah pendakwah dan bukan penghukum. Maka jika mereka keluar
berdakwah sebagai penghukum, ia menyebabkan orang yang mahu didekati menjadi lebih jauh dan
takut untuk mendekati golongan pendakwah. Ini akan menyebabkan jurang yang lebih jauh antara
kedua-dua pihak ini. Oleh itu pendekatan-pendekatan baru yang lebih terbuka, mesra dan lebih
menerima golongan ini supaya pada masa yang sama mereka ini juga lebih berkemahuan untuk dekat
dengan kita dan akhirnya kembali ke pangkal jalan. Jika ia melibatkan golongan homoseksual, mereka
akan kembali kepada orientasi seksual yang sebenar dalam Islam.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
21 OGOS 2011

SU SOSIAL : PROMOSI BUDAYA GAY : RUNTUHNYA PROSES MENGADABKAN INSAN
DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)
Tahun lalu negara ini digemparkan dengan penganjuran seksualiti merdeka dan beberapa hari lepas pula
kita dikejutkan dengan berita semakin ramai lelaki Melayu terlibat dalam aktiviti mempromosi budaya
gay. Melimpahnya laman sembang mempromosikan aktiviti songsang terutama menerusi Facebook (FB)
menggambarkan bahawa persoalan adab kehidupan manusia semakin terancam, yakni sedang dicabar
agar pengamal budaya keliru itu diberikan pengiktirafan dan hak secara bebas memilih kerana ia adalah
prinsip yang dijamin menerusi tafsiran kebebasan asasi. Perjuangan pengamal seks songsang yang
bermula di Barat itu sebenarnya dikritik oleh ramai pihak sebagai suatu bentuk kehidupan yang
melanggar prinsip semula jadi. Suatu ketika, pemimpin-pemimpin agama mengenakan hukuman bunuh
kepada mereka yang mengamalkan budaya songsang itu.
Bagaimanapun, apabila berubahnya persekitaran hidup yang mendominasikan kebebasan membuat
pilihan, budaya itu berkembang sehingga berjaya mendesak penggubal undang-undang agar
memberikan mereka pengiktirafan. Kini, perkahwinan sejenis dan mengamalkan seks songsang bukan
lagi menjadi sesuatu yang salah dari segi undang-undang, bahkan sudah pula diiktiraf sebagai budaya
yang sah dan halal. Perkembangan tersebut membawa kepada proses perubahan nilai adab dan adat
sehingga agama dijelmakan pilihan terakhir sebagai penentu budaya. Ini kerana agama dilihat sebagai
penghalang terbesar dan pagar yang kian runtuh dalam diri manusia moden yang berpaksikan
kebebasan tanpa had dan sempadan lahiriah. Perubahan itu turut berlaku dalam masyarakat Melayu-
Islam dan golongan lelaki lembut itu boleh dilihat di mana-mana. Bahkan, di kampung fenomena seperti
itu tidak lagi dipandang aneh dan keterlaluan, malah ada ketikanya diberikan simpati meskipun secara
sinis.
Beberapa bulan lalu, seorang lelaki lembut yang bekerja sebagai mak andam meninggal dunia setelah
beberapa hari koma akibat kemalangan jalan raya. Sekumpulan lelaki lembut ikut menziarahi rumah
rakannya untuk memberikan penghormatan terakhir. Mereka datang secara berkumpulan dengan
berpakaian baju Melayu, berseluar jeans, berkasut tumit tinggi dan jalannya melenggok melebihi wanita
tanpa menunjukkan segan mempamerkan adab itu sehingga beberapa orang lain menjadi keliru dan
tercengang. Mereka turut ke tanah perkuburan dan ketika talkin bermula, barisan hadapan ialah rakan-
rakan ini yang terkumat-kamit mengaminkan doa meskipun tidak diketahui sama ada benar-benar
memahami apa yang disebut oleh seorang guru agama yang mengetuai ritual itu. Sebaik selesai,
kumpulan yang mengalami krisis identiti itu bersembang sesama sendiri, bahkan ada di antara mereka
mengambil gambar dan kemudiannya diposkan dalam laman FB masing-masing.
Apa yang mendukacitakan ialah cara mereka menghormati rakan yang sudah meninggal dunia sehingga
terdengar raungan dan tangisan setelah upacara pengkebumian selesai. Menerusi laman FB mereka juga
merakamkan kesedihan melampau tanpa sedikit pun terpahat emosi kesal hidup dalam kecelaruan
jantina. Rasullullah SAW dalam satu hadisnya bersabda, Rabbi Faahsana Tadibi, Tuhanku, didiklah aku
dengan didikan terbaik. Maksudnya, bagi Rasullullah SAW ia membawa konsep pembangunan diri,
mengharapkan Allah SWT memberikan pedoman dan panduan bagi mendidik diri menjadi manusia yang
terbaik. Konsep pendidikan dalam tradisi Islam tidak terhad kepada ilmu pengetahuan sebagaimana
diklasifikasikan dalam skema pemikiran masyarakat masa kini. Skema pendidikan yang berteraskan
membentuk akal budi, kebijaksanaan berfikir hendaklah berteraskan keyakinan bahawa Allah SWT
mempunyai pengetahuan yang lebih besar dan tidak terbatas, dan kedudukan itu ikut mendisiplinkan
manusia agar berupaya mengimbangi antara yang hak dan yang batil.
Manusia berhak hidup dan kehidupan itu pula mesti berteraskan prinsip membuat kebaikan, untuk diri
sendiri, keluarga dan masyarakat dengan menjauhkan segala kemungkaran, termasuk mencampurkan
nilai dan tabie wanita dalam tubuh yang dilahirkan sebagai lelaki atau sebaliknya. Allah SWT
memberikan sempadan jelas, lelaki adalah pasangan bagi wanita, dan diharamkan lelaki memilih
pasangan hidupnya sesama lelaki, wanita dengan wanita dan lelaki dan wanita tanpa diikatkan dengan
akad nikah. Teknologi yang berlandaskan kehendak bertukar-tukar maklumat secara lebih pantas dan
cepat, dalam konteks masa sebenar dan lebih personal akhirnya telah mengkhianati ikatan
kemasyarakatan yang dipertahankan. Akal budi yang dijaga dan dipupuk bertukar menjadi akal budi
yang sentiasa bercanggah dan semakin bersifat paradoks. Bagi akal budi yang baru dibentuk, pendidikan
dilihat sebagai hanya proses pemindahan maklumat dan keterampilan, kerana mereka yang boleh
menguasai maklumat dan keterampilan itulah diberikan kedudukan terbaik, dihormati dan dimuliakan
dengan status bersifat ganjaran material. Inilah kesilapan yang akhirnya menggelisahkan masyarakat,
kerana jalur berfikir tidak lagi menyentuh adab, disiplin akal, kalbu dan amal.

Konteks pengetahuan berpaksikan kepada menguasai maklumat, dan maklumat itulah dikatakan sebagai
komoditi yang bukan sahaja memberikan keuntungan yang besar, bahkan sebagai prasyarat utama
untuk berkuasa dan menguasai. Unsur adab, kalbu dan amal yang berada di luar lingkaran kognitif
dilihat sebagai satu pengkhususan yang hanya perlu dikuasai oleh golongan tertentu, yakni golongan
agama. Dalam situasi tertentu, nilai-nilai agama dan tokoh agama hanya penting apabila seseorang itu
telah meninggal dunia. Tokoh agama menjadi keperluan mendesak untuk menguruskan proses
pengkebumian seseorang buat kali terakhir, dan inilah yang dapat disimpulkan menerusi variasi
kelompok ini memberikan penghormatan terakhir kepada rakannya. Tidak seorang pun daripada mereka
yang datang pada malam selepas jenazah dikebumikan berada dalam kelompok yang bertahlil.
Tentunya, apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memberikan pandangan untuk memantau
laman web songsang lebih ramai mereka yang melihatnya sebagai langkah tepat. Bagaimanapun, dalam
keghairahan memberikan jaminan itu timbul pula soalan, sejauhmanakah Jakim mampu memantaunya?
Persoalan itu semakin menjadi resah yang besar kerana jumlah pengguna FB di Malaysia mencecah
hampir 12 juta orang, iaitu 70 peratus daripada keseluruhan Internet (17 juta atau 60 peratus daripada
jumlah penduduk). Semakin sehari semakin membesar kelompok pengguna FB, maka mampukah Jakim
nak memantaunya? Malaysia menduduki tangga ke-17 pengguna FB paling ramai di dunia. Penggunaan
FB di Malaysia adalah lebih ramai daripada Australia (10.7 juta) dan Taiwan (11.16 juta) tetapi berada di
belakang Thailand (12.9 juta), Sepanyol (15.3 juta) dan Colombia (15.6 juta). 53 peratus adalah lelaki dan
93 peratus berumur di bawah 45 tahun. Kalau pun dapat memantau, apakah hasilnya nanti mampu
membendung kemunculan lebih banyak laman sembang seks mahupun FB yang mempromosi budaya
LBGT -lesbian, biseksual, gay dan transeksual sehingga kelompok tersebut berada dalam situasi
terpedoman dan kembali ke perspektif yang betul? Inilah yang perlu diterjemahkan oleh kita semua,
termasuk tokoh agama dan pemimpin politik kalau ingin bersungguh-sungguh mengembalikan pola
kehidupan beradab, selaras dengan peranan kita dalam membangun kalbu dengan nilai-nilai
kerohanian, rabbaniah sebagai proses transformasi sosial ummah.
Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
16 Mac 2012
Posted by PRINCE ZULKARNAIN FARIHIN AL IVANI at 10:56:00 PTG






Isu Dan Cabaran Dakwah Di Kalangan Golongan Homoseksual
Published in Kontemporari Read 625 times font size decrease font size increase font size Print Email
Haslinda Abdullah.Ph.D, Universiti Pertanian Malaysia (UPM)
Jawatankuasa Sekretariat Pembangunan Sosial (SEPSO) ABIM

Pengenalan

Cabaran abad ke 21 merupakan perkara utama yang harus ditangani oleh masyarakat Malaysia dewasa
ini. Berhadapan dengan ledakan teknologi maklumat serta segala rencam cara hidup yang diaplikasikan
oleh masyarakat negara ini, kita turut terdedah kepada penyakit-penyakit sosial dan mental yang di
bawa oleh masyarakat maju. Pemikiran yang telah mula disejagatkan ini lebih berlandaskan korpus yang
diambil dari masyarakat Barat. Perkara ini tidak boleh dinafikan lagi oleh kerana merekalah peneraju
kepada segala perkembangan teknologi yang digunakan di sini. Tanpa kita sedari, penghomogenan yang
berlaku turut mempengaruhi gaya seks dikalangan masyarakat Malaysia.

Akhir-akhir ini kes berkaitan salahlaku seksual semakin membimbangkan. Bermula dengan lambakan
golongan lembut di IPT, percubaan menghalalkan hubungan sejenis, dan yang terkini melibatkan
pembunuhan akibat dari hubungan cinta tiga segi dikalangan sesama jenis. Sebagai contoh apa yang
terjadi kebelakangan ini dimana kaum sejenis secara terang-terangan mengistiharkan perkahwinan
mereka di Sarawak dan dibuat secara besar-besaran dan pasangan sejenis Melayu Islam secara terang-
terangan bersama ke mahkamah untuk mendengar penghakiman terhadap mereka menunjukkan
kepincangn tentang pemahaman fungsi seks itu sendiri dan kepentingannya untuk masa depan bangsa!
Isu golongan homoseksual


Situasi serta suasana songsang ini harus dijelaskan kepada masyarakat. Walaupun fenomena ini
semakin diterima pakai di Barat, sebagai orang Asia jatidiri serta maruah bangsa Malaysia harus dikekal
dan diperjuangkan secara habis-habisan. Jangan sekali-kali dibiarkan ianya terungkai dek arus zaman.
Pandangan-pandangan yang terlalu cetek serta kurang kritis merupakan antara faktor penyebab kepada
tingkah laku serong ini.

Respon disebuah akhbar tempatan (Utusan Malaysia, 2006) berkenaan penukaran jantina yang diambil
dari profesional perubatan di New York menampilkan pandangan yang lebih memihak kepada golongan
minoriti yang semakin mendapat tempat di Malaysia kini. Sokongan secara tidak langsung yang diberi
oleh laporan tersebut menyebabkan mereka yang merasakan diri mereka 'terperangkap' mendapat
pengiktirafan seperti yang diharap-harapkan.

Perlu ditekankan di sini terdapat perbezaan diantara gay dan juga nyah atau pun transsexual. Gay
merupakan kaum lelaki yang berorientasikan seks dengan kaum sejenis manakala transsexual pula
terdiri dari mereka yang merasakan bahawa diri mereka terperangkap dalam jantina yang berbeza dan
mereka mahu menukar jantina mereka kepada jantina yang dirasakan lebih sesuai. Tingkah laku
penyimpangan seks ini terdapat pada semua budaya (Mat Saat Baki,1987).

Bagi masyarakat barat, gay bukanlah sesuatu tingkah laku yang bilazim, malah beberapa negara barat
seperti Holland dan Britian telahpun mengiktiraf kedudukan kaum ini. Ianya semakin ketara apabila
kajian mendapati 50% rakyat Amerika menyatakan bahawa tingkah laku homoseksual adalah sesuatu
yang tabii dan bukannya pilihan hidup mereka. Namun begitu, budaya masyarakat Asia amnya dan
Malaysia khasnya adalah berbeza, individu yang mengamalkan aktiviti seksual yang menyongsang
dianggap sebagai mereka yang tidak mempunyai identiti serta tidak bermoral.

Masyarakat Malaysia, tidak kira bangsa memang terkenal penuh dengan adab serta budaya mereka
yang tinggi nilainya serta dikagumi ramai. Namun begitu kerakusan untuk bersaing dengan negara-
negara maju serta konsep langit terbuka yang diamalkan secara aktif telah mula menampakkan
impaknya dimana kehalusan budi serta adab sopan budaya masyarakat kita telah mula terungkai.

Masyarakat kita semakin terdedah dengan maklumat-maklumat songsang yang mengugat kepercayaan
serta pegangan mereka. Apa yang lebih menakutkan ialah, serangan halus masyarakat Barat ini bukan
sahaja telah berjaya meragukan masyarakat Malaysia akan kepentingan agama serta budaya malah
mereka kini telahpun mempertikaikan akan kepentingan kedua-dua elemen itu tadi seterusnya
memperjuangkan akan hak mereka sebagai kaum minoriti. Jika dinilai secara kritis akan orientasi seksual
masyarakat Malaysia masa kini ternyata ianya berada pada tahap yang membimbangkan. Pendedahan
yang cukup meluas sama ada di internet, majalah-majalah tempatan dan antarabangsa menyebabkan
generasi muda yang masih mentah akan asam garam kehidupan menjadi mangsa.

Dalam konteks apa yang berlaku di Malaysia dewasa ini, perasaan yang terbentuk di dalam jiwa
golongan minoriti ini merupakan apa yang mereka bina sejak kecil lagi. Persekitaran di mana mereka
dibesarkan, didikan yang diterima, pendedahan yang diperolehi kesemuanya menyumbang kepada
perasaan yang dikatakan sudah ada sejak dilahirkan lagi. Ianya bukanlah hadir bersama-sama genetik XY
ataupun terkandung dalam mana-mana gen yang dipunyai oleh manusia. Ini amat berbeza dengan
mereka yang dilahirkan sebagai hunsa (Lim, 1994). Berdasarkan kajian penulis, kewujudan perasaan ini
sememangnya dibina dan mendapat sokongan dari persekitaran dan suasana di mana golongan ini
dibesarkan.

Dari segi kajian, didapati terdapat dua jenis hubungan yang dialami oleh kaum ini, iaitu hubungan
jangkamasa pendek dan juga hubungan untuk selama-lamanya (Nieto, 1996). Berbanding lesbian, kaum
gay lebih suka menjalankan hubungan dengan ramai teman dan kurang komited terhadap perhubungan
tersebut. Ini mungkin kerana mereka lebih terangsang untuk melakukan hubungan badan berbanding
memberikan komitmen terhadap pasangan mereka (Brannon, 2004).

Kesedaran serta fahaman agama yang jelas sama ada dari segi teori mahupun praktik harus menjadi
tunjang dalam merombak apa-apa tindakan untuk menyelesaikan isu ini. Pendekatan bersepadu dari
semua pihak, pendidikan yang menyeluruh, penglibatan ibu-bapa dan keluarga merupakan paksi utama
dalam menjamin apa-apa program yang dilaksanakan berjalan seperti yang di harap-harapkan.
Berlandaskan konsep bersepadu ini suatu pendekatan yang dapat melibatkan semua pihak merupakan
pendekatan terbaik yang perlu dilaksanakan.

Cabaran Dakwah

Dalam menangani permasalahan ini kaedah yang holistik bentuknya perlu dirangka bagi menjamin kesan
yang maksimum. Ibu-bapa, pihak berwajib, guru, media elektronok, media massa dan juga jawatankuasa
masyarakat kesemuanya harus diberi kesedaran tentang bahayanya gejala sosial ini serta perlunya
pendidikan seks di sekolah difahami secara betul menurut norma-norma masyarakat dan juga agama
serta diaplikasi secara menyeluruh. Dalam konteks ini, penulis berpendapat isu pendidikan seks di
sekolah tidak perlu dipolitikkan tetapi difahami dan diketengahkan secara telus dan jujur oleh pihak
yang bertanggungjawab bagi memastikan maklumat disalurkan secara teratur dan tepat. Kecelaruan
yang sebegini serta fahaman yang terpesong berkenaan fungsi sebagai lelaki serta emosi yang
bertentangan menjadikan isu pendidikan seks di sekolah harus dikaji serta disantuni dengan berhemah.

Peringkat Individu

Secara individu, golongan yang rata-rata terjebak ke kancah hitam ini bermula seawal usia remaja.
Golongan ini sebenarnya terdiri dari mereka yang telah hilang jatidiri dan terpengaruh dengan cara
hidup yang berlandaskan kebendaan semata-mata sehinggakan mereka tanpa segan silu
memperdagangkan masa depan mereka. Golongan ini juga mempunyai jaringan antarabangsa yang
kukuh dan mereka ini bertopengkan gerakan human right. Penulis berpendapat sekiranya dibenarkan
setiap individu di muka bumi ini menurut emosi masing-masing tidak kira ke arah mana emosi tersebut
ditujukan walau apapun anutan agama serta budaya mereka, sudah pasti kestabilan dan keharmonian
yang sedia ada akan tergugat. Sekurang-kurangnya matlamat 70 juta penduduk Malaysia akan terjejas.
Mereka yang terbawa-bawa dengan arus yang di bawa melalui proses persejagatan ini telah mula lupa
akan bumi yang mereka pijak serta langit sebenar yang dijunjung. Golongan mahasiswa merupakan
antara mereka yang turut sama terlibat dalam dunia baru ini. Temuramah penulis dengan beberapa
orang pelajar institusi pengajian tinggi mendapati fahaman yang tipis berkenaan akidah serta kurang
faham akan agama yang dianuti menyebabkan mereka dengan mudah melibatkan diri dengan aktiviti
seksual dengan golongan sejenis.
Bagi pelajar-pelajar lelaki institusi pengajian tinggi ini, pendedahan yang keterlaluan dengan bahan-
bahan phonografi sama ada dari video, cd, majalah serta internet mendorong mereka untuk melakukan
perkara yang sama. Pada mereka melakukan hubungan jenis sesama mereka tidak perlu melibatkan
tanggungjawab yang berat berbeza sekiranya mereka menjalinkan hubungan dengan kaum wanita.
Justeru itu, golongan ini harus didekati untuk memahami punca sebenar penglibatan mereka. Golongan
ini boleh dilibatkan dengan aktiviti yang bersifat interaktif dimana ilmu agama serta aktiviti sosial boleh
digabung jalinkan untuk menarik minat mereka.

Peringkat Keluarga
Bagi golongan ini, tekanan perasaan yang dialami biasanya berlaku apabila golongan ini cuba menjiwai
watak yang dirasakan sepatutnya dilakonkan oleh mereka di muka bumi ini tetapi tidak dapat di terima
oleh masyarakat. Kebanyakkan mereka yang terlibat dalam masalah sosial ini merupakan mereka yang
mempunyai sejarah hidup yang penuh dengan konflik ataupun pernah melalui sejarah hitam seperti
diliwat sewaktu kecil (Haslinda, 2000). Keluarga sebagai unit yang paling hampir merupakan tonggak
utama dalam mengawal serta mendidik anak-anak telah mula mengabaikan tanggung jawab mereka
akibat terikut-ikut akan arus pemodenan yang lebih menekankan material berbanding spiritual individu.

Keadaan ini sekiranya dibiarkan berterusan serta mendapat dokongan ramai akhirnya akan
memusnahkan bangsa dan merugikan negara. Pengajaran yang berkesan, jujur dan jelas perlu diberikan
kepada anak-anak muda kita agar mereka tidak berterusan keliru akan identiti serta fungsi mereka
dimuka bumi ini. Pendedahan berbentuk negatif yang terlalu meluas berkenaan isu ini juga harus
dihentikan kerana ianya hanya membuka mata kepada mereka yang masih suci pemikirannya untuk
mencuba dan membina perasaan yang belum lagi wujud dalam diri mereka.

Peranan keluarga terutama ibu-bapa serta saudara mara terdekat amat memberikan kesan positif dalam
menangani isu ini. Walau bagaimanapun ianya perlu dilakukan sejak dari awal lagi agar tidak timbulnya
ruang-ruang yang memungkinkan anak remaja kita mengarah kepada suasana songsang tersebut. Selain
dari pantauan yang dilakukan dirumah, tingkah laku anak-anak kita sewaktu di luar harus diselusuri
secara berterusan dan efektif. Ianya harus dilakukan secara penuh hikmah kerana mereka juga tidak
mahu merasakan bahawa mereka sentiasa diperhatikan.
Pergaulan diantara saudara-mara sama ada sepupu, bapa saudara dan sebagainya harus ditinjau dan
diselangi dengan nasihat ini kerana beberapa kes yang dihadapkan kepada penulis membabitkan
saudara-mara terdekat. Remaja ataupun kanak-kanak yang pernah didedahkan dengan kehidupan
songsang ini akan mula mempersoalkan identiti seksual mereka lebih-lebih lagi apabila kerap kali
dijadikan mangsa. Bertitik tolak dari kejadian-kejadian ini maka lahirlah golongan-golongan minoriti yang
hilang jatidiri kelelakian ataupun keperempuanan mereka dan mula mempersoalkan akan perasaan yang
dialami, penerimaan masyarakat sekitar terhadap kewujudan mereka serta tubuh badan yang dirasakan
tidak selari dengan emosi serta nafsu seksual mereka.

Dalam konteks ini, pendidikan seks yang berteraskan melahirkan masyarakat madani dan syumul amat
diperlukan demi untuk membaik pulih persepsi songsang yang mula mengakar umbi dalam diri mereka
dan ibubapalah orang yang paling layak untuk memberikan mereka pendidikan awal ini. Berkebun,
perkhemahan keluarga serta mendaki gunung bersama seperti yang dilakukan oleh seorang pensyarah
institusi pengajian tinggi awam merupakan antara program yang boleh dijadikan aktiviti keluarga yang
diselitkan ilmu pemantapan diri dari segi spiritual.

Peringkat Masyarakat/NGO
Masalah seksual serta kecelaruan identiti diri boleh diibaratkan seperti api dalam sekam, sekiranya ia
tidak di tangani secara konsisten dan proaktif, lama kelamaan ianya akan merosakkan bangsa dan
memusnahkan negara. Dalam menangani kemelut sosial yang semakin mendapat tempat dikalangan
masyarakat Malaysia ini, penulis merasakan semua pihak harus duduk semeja berbincang akan cara
positif serta praktikal yang mampu ditangani secara kolektif. Ini kerana perbincangan kosong di media
mahupun diperingkat tertinggi hanya akan menyebabkan golongan ini terus hanyut dalam dunia ciptaan
mereka sendiri dan golongan muda yang sedia ada semakin bercelaru akan identiti diri serta peranan
sebenar mereka.
Fungsi masyarakat sebagai pihak yang bertanggung jawab memantau serta mewujudkan suasana
kondusif perlu dilaksanakan secara berkesan Ini kerana persekitaran yang positif akan membantu
golongan ini untuk kembali kealam nyata. Untuk melaksanakan cadangan ini pihak NGO merupakan
kumpulan penting yang perlu sama-sama menjayakan usaha murni ini. Di antara aktiviti yang boleh
dilaksanakan oleh pihak NGO seperti ABIM adalah mendekati golongan muda dengan program yang
dapat membentuk jatidiri serta pemikiran yang kritis dikalangan remaja.

Pendekatan psikospiritual
Dalam membincangkan kaedah yang berkesan untuk memantau tingkah laku golongan gay di Malaysia,
penulis mencadangkan gabungan dua elemen utama didalam diri manusia untuk di ketengahkan.
Penumpuan kepada dua elemen ini iaitu psikologi serta spiritual diri mampu untuk memupuk nilai murni
yang berkekalan bagi menjamin perubahan sikap yang positif.
Apabila membicarakan isu psikospiritual, definisi yang di gunapakai ialah pemikiran dan perasaan yang
terdapat dalam diri manusia yang dilandasi oleh nilai-nilai agama dan diterjemahkan melalui perlakuan
manusia (Haslinda dan Zaid, 2007). Gabungan dimensi psyche dan spiritual dalam membentuk satu
perimbangan dalam diri manusia yang dizahirkan melalui perlakuan ini merupakan tunggak utama
dalam merubah tingkah laku manusia dan dalam konteks ini tingkah laku pemuda harapan bangsa.
Contoh nilai-nilai psikospiritual yang boleh diketengahkan dan diterapkan ialah
:ihsan,jujur,amanah,ikhlas dan adil. Konsep-konsep asas ini perlu dicernakan didalam setiap individu
Pada hemah penulis, dalam membentuk generasi baru yang mampan dan berkualiti perlu ada pemuda
yang berjiwa tenang lagi menenangkan.
Pembudayaan sikap dan sistem nilai ini perlu disemai sejak mereka diperingkat pra-sekolah lagi. Usaha
murni ini memerlukan tiga penggerak utama; pendidik, kanak-kanak dan ibu-bapa, disamping bantuan
serta sokongan penuh dari pihak berwajib dan masyarakat sekitar. Penerapan nilai-nilai etika di dalam
kehidupan harian kepada kanak-kanak pra sekolah, remaja dan belia akhirnya akan melahirkan pemuda
yang mampu menzahirkan nilai-nilai murni yang positif lagi dinamik. Pemuda yang mempunyai sistem
yang harmoni dari segi rohani serta jasmani secara tidak langsung akan mempamerkan corak tingkah
laku sosial yang lebih berkualiti serta berhemah.

Kesimpulan

Perlu di tegaskan di sini bahawa masalah yang berteraskan seksual ini harus diperhalusi dan dipantau
dengan penuh hikmah, jujur dan ikhlas oleh semua pihak yang berkaitan bagi menjanjikan impak yang
positif. Ini kerana sepertimana pepatah melayu lama 'Bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana
muafakat', sekiranya tiada kata sepakat dicapai maka matlamat serta visi untuk mencapai negara maju
yang terbilang, gemilang dan cermelang akan terkubur begitu saja.



Rujukan:

Brannon, L. (2004). Gender:Psychological Perspectives. 4th edition. Boston: Allyn and Bacon.

Mat Saat Baki. (1987). Mak Nyah dari sudut Psikologi. Kertas kerja dalam seminar Mak Nyah, Universiti
Malaya. Kuala Lumpur. 24-25 Oktober 1987

Nieto, N.S. (1997). Who is the male homosexual? A computer-mediated exploratory
study of gay male bulletin board system (BBS) users in New York City. Journal of Homosexuality. Vol 30
(4): 97-124.

Haslinda, A. (2000). Lelaki Lembut : Satu Kajian Kes. Kajian Ilmiah yang belum diterbitkan UKM.
Haslinda, A dan Zaid, A. (2007). Dimensi Psiko-Spiritual Dalam Melahirkan Modal Insan
Yang Cemerlang: Cabaran dan Prospek. Kertas kerja dibentangkan di KLCC : Modal Insan Bersepadu
Teras Bangsa Terbilang. 2-3 Febuari 2007

You might also like