You are on page 1of 5

TAJUK 11 PENERAPAN UNSUR PEDAGOGI

Empat jenis pengetahuan yang membantu seorang guru membuat keputusan profesional dalam
kerjayanya iaitu (i) pegetahuan dalam bidang mata pelajaran yang diajar; (ii) pengetahuan
pedagogi dalam mata pelajaran tersebut; (iii) pegetahuan am dalam pedagogi; dan (iv)
pengetahuan tentang murid dan pembelajaran. Salah satu pengetahuan yang perlu dimiliki oleh
guru masakan adalah pedagogi mata pelajaran masakan (Eggen & Kauchak, 2006).
Pengetahuan pedagogi adalah kefahaman tentang prinsip dalam menyampaikan pengajaran
dan pengurusan bilik darjah. Seorang guru perlu faham dan tahu mengaplikasi teknik yang
sesuai supaya pengajaran berjalan dengan berkesan dan pembelajaran berlaku di tahap
maksima.
Pelbagai teknik yang boleh digunakan untuk menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran
kepada murid. Objektif mata pelajaran masakan adalah murid boleh membuat, mengenal pasti
dan menilai hasil masakan. Mata pelajaran masakan banyak menekanlearning by
doing dan kemahiran yang dikuasai ini adalah melalui membuat iaitu practise make
perfect yang merupakan satu kemahiran yang menjadi sebati dalam diri seseorang.
Oleh itu teknik demonstrasi dan amali merupakan teknik yang paling kerap, sesuai dan
berkesan untuk mengajar mata pelajaran masakan. Pemilihan teknik ini adalah kerana mata
pelajaran ini menekankan kemahiran melalui aktiviti amali. Kebolehan murid menguasai
sesuatu kemahiran dalam mata pelajaran masakan ini melibatkan domain kognitif, psikomotor
dan afektif. Dalam domain kognitif murid perlu tahu, faham dan boleh mengaplikasi kemahiran
misalnya membuat kuih ketayap. Murid juga perlu mampu mengenal pasti masalah jika dadar
tidak dapat digulung atau melekat pada kuali. Domain kognitif ini telah dikuasai jika murid boleh
menilai hasil kerja sendiri. Untuk mencapai tahap ini murid perlu memiliki pengetahuan
psikomotor. Pengetahuan, kefahaman dan kebolehan mengaplikasi prinsip dan peraturan
memasak perlu disokong oleh kemahiran psikomotor. Cara memutar atau cara mengaul adunan
boleh mempengaruhi hasil masakan. Di sini guru perlu mengguna teknik demonstrasi (Jones,
Bagford & Wallen, 1979) iaitu menunjuk kepada murid-murid langkah dan cara membuat
masakan tersebut. Sejauh mana guru boleh melaksanakan keadah demonstrasi dengan betul?
Di bawah ini adalah perkara yang harus diambil perhatian oleh guru. Demonstrasi melibatkan
kemahiran audio dan visual.

I Cara melaksanakan demonstrasi
Persediaan awal
i. Kenal pasti topik, objektif dan kandungan yang hendak diajar.
ii. Beritahu murid aktiviti yang perlu diperhatikan supaya murid memberi fokus dan dapat melakukan
tanpa kesilapan.
iii. Sediakan bahan dan peralatan dan susun mengikut langkah-langkah membuatnya.
iv. Sediakan meja khas untuk demonstrasi dan pastikan semua murid boleh melihat dengan jelas.
Semasa demonstrasi
i. Pandang ke arah murid semasa memberi penerangan tentang aktiviti yang dijalankan.
ii. Sekiranya murid menunjukkan keraguan, ulang penerangan dan aktiviti sekali lagi.
iii. Kemukakan soalan untuk menarik perhatian murid.
iv. Suruh seorang murid untuk membuat aktiviti untuk mengukuhkan kemahiran murid.
Selepas demonstrasi
i. Bincang dengan murid aktiviti-aktiviti yang dibuat semasa menyediakan masakan tersebut.
ii. Suruh murid buat rumusan tentang aktiviti masakan.


II Cara melaksanakan amali
1. Persediaan awal guru
i. Pastikan peraturan bilik dapur ditampal dan difahami oleh murid.
ii. Pastikan jadual tugas ditampal dan difahami oleh murid.
iii. Pastikan alat pemadam api berfungsi.
iv. Maklumkan kepada murid bahan-bahan dan perkara yang perlu dibawa sebelum kelas amali
bermula.
v. Pastikan setiap murid mempunyai apron, tudung kepala, kain pengelap meja, kain pengelap
pinggan mangkuk, kain pengelap tangan dan sarung pemegang periuk.
vi. Pastikan peralatan yang hendak diguna berfungsi dan mencukupi.
vii. Pastikan bahan yang diguna bersih dan mencukupi.
viii. Pastikan murid yang sakit tidak membuat amali (penyakit berjangkit seperti selsema dan batuk)


2. Peringatan kepada murid

a) Sebelum amali bermula
i. Kuku pendek dan bersih
ii. Rambut diikat jka panjang
iii. Pakai apron dan tutup kepala.
iv. Letak bahan yang dibawa di atas dulang.
v. Cuci tangan dengan sabun.
vi. Buka tingkap bilik masakan.
vii. Kasut getah/sekolah apabila memasak di dapur.
viii. Bawa bahan dengan kuantiti yang diperlukan.
ix. Beri perhatian semasa guru membuat demonstrasi.

b) Semasa amali
i. Tidak boleh berlari.
ii. Makanan yang tumpah perlu dibersihkan dengan segera.
iii. Jangan makan.
iv. Berjimat mengguna bahan, peralatan, air paip dan api.
v. Ambil kuantiti yang diperlukan sahaja.
vi. Bercakap perkara yang perlu sahaja.


c) Selepas amali
i. Buang sampan.
ii. Lantai disapu dan dimop.
iii. Lampu dan kipas angin ditutup.
iv. Tutup tingkap.


Topik 2 Penerapan unsur kreativiti dalam pengajaran

Makanan yang dihidang di meja makan mengambarkan kreativiti dan kemahiran dan keikhlasan
tukang masaknya. Kemahiran dan kreativiti dalam kalangan murid ini boleh dipupuk dan dibina
jika ada kesungguhan, komitmen, dedikasi dan kesediaan guru meluangkan masa dan tenaga
mendidik muridnya. Kemahiran ini tidak diperolehi melalui pembacaan tetapi terdapat dalam
peribadi murid iaitu memiliki disiplin diri yang kental serta sikap positif. Sikap positif dan disiplin
diri murid boleh dibentuk jika guru memainkan peranan dari segi memberi bimbingan dan
sokongan yang padu kepada muridnya.

2.1 Makna kreativiti dalam mata pelajaran masakan
Kreativiti dalam masakan adalah kebolehan:
i.Mengguna bahan-bahan dalam menyediakan masakan;
ii.Menghias makanan dengan menarik;
iii.Mengguna pelbagai kaedah dalam memasak makanan; dan
iv.Mempersembahkan makanan dari segi hiasan, peralatan yang diguna untuk
menghidang, susun atur makanan di meja hidangan.
Bagaimana murid boleh mencapai ke kemahiran seperti yang dicatat di atas? Guru yang
berperanan sebagai fasilitator dan pendorong boleh membentuk murid yang kreatif dalam
memasak melalui pengajaran dan amalan semasa amali.

2.1 Mengapa guru perlu menerap unsur kreativiti dalam pengajaran?
Pemikiran kreatif boleh diajar kepada murid-murid. Murid perlu diajar kemahiran berfikir kerana
ia membantu murid:
i. Mengguna alat dan sumber teknologi dalam masakan;
ii. Membuat keputusan dan menyelesaikan masalah dari segi bahan, peralatan dan masa dengan
bijak;
iii. Mengatasi kesilapan dalam masakan dengan rasional;
iv. Meningkatkan perkembangan kognitif dan afektif;
v. Bersikap terbuka dalam menerima dan memberi pendapat;
vi. Membina keyakinan diri untuk memberi hujah;
vii. Memberi pandangan berdasarkan alasan dan bukti; dan
viii. Mengaplikasi pengetahuan, pengalaman dan kemahiran secara praktis.

2.3 Bagaimana cara meningkatkan pemikiran kreatif dalam kalangan murid-murid?
Terdapat pelbagai cara yang boleh digunakan oleh guru untuk meningkatkan pemikiran kreatif
dalam kalangan murid. Untuk mengalak pemikiran kreatif ini pertama ia perlu bermula dari guru.
Ciri-ciri yang perlu dimiliki oleh guru adalah seperti berikut:
i. Berfikiran terbuka
ii. Berpengetahuan dalam bidang masakan
iii. Mempunyai visi dan ia yang perlu diberitahu kepada murid supaya mereka tahu harapan guru
iv. Adil dalam melayan keperluan murid
v. Menyokong/memotivasi murid
vi. Peka dengan keadaan persekitaran
vii. Galakkan murid bekerja dalam kumpulan
viii. Mesra dengan murid
ix. Bersedia untuk membantu
x. Pendengar yang efektif
xi. Elak memberi tekanan kepada murid
xii. Feksibel
Guru perlu mengamalkan empat prinsip iaitu, (i) sifat kasih sayang penerimaan sosial; (ii)
keseronokan mencabar minda, motivasi (iii) kebebasan - memberi ruang kepada murid
menyelesaikan masalah; dan (iv) kuasa memberi ruang kepada murid memenuhi keperluan
supaya ada rasa kepuasan yang merupakan terapi realiti dalam pengururan bilik darjah yang
dipelopori oleh Glasser (Larrivee, 2009).

2.4 Aktiviti yang mencungkil pemikiran kreatif dalam kalangan murid
Berikut adalah beberapa cadangan aktiviti yang boleh guru berikan kepada murid:
i. Koleksi resipi contoh Koleksi Minuman Sri Dewi
ii. Pertandingan memasak contoh pertandingan menyediakan sarapan
iii. Membuat projek contoh menguruskan jamuan hari sukan sekolah
iv. Membuat refleksi
v. Menjadi penilai/hakim selepas kelas masakan


Baca dan jawab soalan berikut.
1. Mengapa guru perlu memilih pedagogi yang sesuai untuk mengajar mata pelajaran masakan?
2. Huraikan secara terperinci perkara yang perlu diambil perhatian apabila melaksana pedagogi
yang dipilih.
3. Terangkan bagaimana anda melaksanakan kreativiti kepada murid anda.
a. Mengapa anda perlu menyerapkan unsur kreativiti kepada murid anda?


Bibliografi:
Eggen, P. D. & Kauchak, D. P. 2006. Strategies and Models for Teachers:teaching content and
thinking skills. 5th. Edisi. Pearson: Boston.
Glasgow, N. A & Hicks, C. D. 2003. What successful teachers do: 91 research-based classroom
strategies for new and veteran teachers. Corwin Press: Thousand Oak.
Jones, A. S., Bagford, L. W. & Wallen, E. A. 1979. Strategies for teaching. Scarecrow Press:
London.
Kemahiran Berfikir secara kritis dan kreatif.____ Modul Latihan Guru Bestari. Bahagian Pendidikan
Guru.
Larrivee, B. 2009. Authentic classroom management:creating a learning community and building
reflective practice. Edisi ke3. Pearson: Upper Saddle River.

You might also like