You are on page 1of 19

Kesan isu campur tangan ibu bapa secara

berlebihan di sekolah

Secara amnya, campur tangan ibu bapa di sekolah adalah perlu bagi
memastikan ibu bapa cakna akan keperluan dan perihal pelajaran anak-anak
mereka. Namun kini, apa yang semakin membimbangkan ialah ibu bapa
sering campur tangan secara berlebihan sehingga mengganggu tugas dan
bidang kuasa pihak sekolah dalam mendidik murid-murid.
Masalah ini turut memberi kesan yang serius terhadap emosi murid itu
sendiri. Murid yang menghadapi masalah ini pasti akan berasa tertekan dan
malu untuk berhadapan dengan guru dan rakan-rakan yang lain kerana sikap
ibu bapanya yang terlalu masuk campur dalam urusan yang tidak sepatutnya.
Anak-anak sebenarnya perlu diberikan ruang dan peluang untuk mereka
berdiri di atas kaki sendiri tanpa perlu campur tangan yang berlebihan
daripada ibu bapa. Sekiranya murid melakukan kesilapan dan dihukum,
mereka seharusnya didorong untuk berfikir sejenak rasional hukuman
tersebut dikenakan ke atas mereka. Setiap hukuman yang dikenakan bukanlah
bertujuan untuk mendera sebaliknya ia merupakan suatu pengajaran supaya
kesilapan yang sama tidak akan berulang kembali.
Selain itu, ibu bapa yang tanpa usul periksa terus menyerang pihak sekolah
apabila anaknya didenda akan menyebabkan emosi anak mereka terganggu
yang mana akan mendorong mereka untuk tidak mahu ke sekolah kerana
tidak tahu bagaimana untuk berhadapan dengan guru dan rakan-rakan
sekelas. Murid pasti akan berasa seperti maruahnya tercalar apabila
menerima pandangan sinis daripada rakan-rakan. Secara tidak langsung,
minat mereka untuk belajar juga pasti akan berkurang. Kita pasti tidak mahu
perkara ini terjadi kerana ia melibatkan masa depan murid-murid.
Lebih teruk lagi, terdapat sesetengah murid yang memberontak kepada ibu
dan bapa mereka kerana beranggapan ibu dan bapa telah memalukan mereka
di sekolah. Keadaan ini akan menyebabkan hubungan ibu bapa dan anak
menjadi semakin renggang walaupun pada dasarnya ibu bapa berniat
memelihara kebajikan anak mereka. Ibu bapa seharusnya bijak membezakan
di antara sayang dan terlalu memanjakan anak. Pepatah ada menyebut,
Sayang anak tangan-tangankan.
Selain murid, guru juga turut menerima kesan daripada masalah ini. Tiada
guru yang ingin melihat muridnya menghadapi kegagalan. Justeru, setiap
sikap dan perbuatan yang dilakukan adalah demi kebaikan murid-murid.
Apabila ibu bapa mula campur tangan secara berlebihan di sekolah, guru juga
pasti akan berasa tertekan. Semangat mendidik pasti akan luntur apabila cara
dan usaha mereka untuk mengajar murid-murid mendapat tentangan
sepenuhnya daripada segelintir ibu bapa. Oleh itu, sebagai jalan pintas, guru
hanya akan masuk ke kelas, mengajar sehingga tamat waktu dan keluar kelas.
Perlulah kita sedari bahawa tugas guru bukan hanya mengajar tetapi tetapi
juga mendidik. Pensyarah Kanan Program Pendidikan Universiti Utara
Malaysia (UUM), Dr Isya Awang, berkata ada perbezaan antara konsep
mendidik dan mengajar dalam ilmu pendidikan. Beliau menyatakan bahawa
mengajar lebih ketara berbentuk fizikal manakala mendidik sebagai sentuhan
emosi dan kasih sayang guru kepada pelajar. Boleh dikatakan sebahagian guru
hari ini hanya menumpukan pada konsep mengajar berbanding mendidik.
Mereka datang ke sekolah hanya untuk mengajar, menghabiskan silibus dan
menerima gaji hujung bulan.
Tokoh Guru Kedah 2009, Sayed Mahadzir Sayed Omar pernah mengeluarkan
kenyataan bahawa teknik mendidik dan mengajar guru kini adalah sama
sekali berbeza berbanding guru zaman dulu. Menurutnya, guru dulu mengajar
berasaskan kasih sayang dan menerima kepercayaan sepenuhnya daripada ibu
bapa yang rela menyerahkan anak untuk dididik. Mereka tidak kisah anak
dipukul kerana tahu itu tanggungjawab guru menjadikan mereka berjaya.
Malangnya hari ini keadaan sama sekali berbeza. Bayangkan, kalau pelajar
bermasalah, tapi tangan guru terikat, apakah boleh pelajar itu diasuh
menjadi manusia yang baik? Justeru tidak hairanlah, ramai guru hari ini lebih
senang mengajar daripada mendidik kerana tidak mahu masalah berbangkit.

Isu berkaitan peranan guru di sekolah seringkali dihangatkan dengan campur tangan
daripada pihak ibu bapa dan penjaga. Jika diteliti tiada salahnya ibu bapa mahupun pihak
penjaga bersama-sama membantu guru dalam menyalurkan didikan yang baik secara
bekerjasama. Tetapi apa yang dilihat pada hari ini amat berbeza, di mana guru sewenang-
wenangnya diperlakukan dengan tindakan di luar kawalan oleh ibu bapa pelajar. Insiden
yang dilaporkan baru-baru ini melibatkan 2 kes yang berasingan. Kejadian pertama adalah di
Sekolah Menengah di Nibong Tebal, membabitkan pelajar berusia 16 tahun menampar pipi
guru berusia 28 tahun. Kejadian berlaku berpunca daripada pelajar terbabit bersama dua
rakannya tiba lewat ke kelas serta membuat bising, dan tidak mengindahkan teguran guru
terbabit sehingga akhirnya guru menampar pipi pelajar tersebut. Akibat daripada rasa tidak
puas hati, rakan salah seorang pelajar terbabit membalas tamparan guru tersebut. Di mana
sikap hormat pelajar terhadap guru yang mendidik mereka selama ini. Adakah guru tidak
mempunyai hak untuk menegur perlakuan pelajar pada masa kini. Begitu juga dengan kes
yang membabitkan ibu pelajar menampar guru lelaki yang berusia 28 tahun. Kejadian yang
berlaku di Perlis ini disebabkan ketidak puasan hati seorang ibu apabila anaknya ditampar
oleh guru berkenaan. Hanya kerana mahu memperbetulkan masalah displin pelajar terbabit,
maka tamparan adalah hadiah yang diberikan oleh ibu kepada guru.

Sikap ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak juga dilihat menjadi salah satu punca
pelajar sama sekali tidak boleh dijentik, sehinggakan tindakan displin yang diambil oleh
guru terhadap pelajar dilihat sebagai suatu bentuk penghinaan dan penyiksaan kepada
pelajar terbabit. Ibu bapa juga tidak bersikap rasional, memandangkan mereka seharusnya
menggunakan saluran yang tepat bagi menyelesaikan sesuatu masalah dan bukan bertindak
melulu serta mendengar aduan serta rungutan daripada anak mereka tanpa menyiasat kes
tersebut. Agak jauh berbeza situasi dan tekanan yang dialami oleh guru pada suatu ketika
masa dahulu jika dibandingkan dengan masa kini dalam era globalisasi. Ibu bapa pada masa
dahulu sangat menyanjungi guru, sehingga sanggup memberi kebenaran seorang guru
memukul anak mereka sekiranya berkelakuan tidak disenangi dengan tujuan mengajar
anak mereka. Tetapi pada masa kini pelajar langsung tidak boleh ditegur, apatah lagi
disentuh. Perkara seperti ini sedikit sebanyak akan memberikan tekanan kepada guru. Jika
pelajar tidak mengindahkan nasihat dan teguran daripada guru maka secara tidak langsung
akan mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah berikutan tekanan yang
dialami guru. Bukankah sepatutnya tahap pemikiran kita juga perlu berjalan seiring dengan
perkembangan era moden yang dikatakan sebagai globalisasi ini? Di mana letaknya
keterbukaan pemikiran mereka? Barangkali globalisasi ini hanya kita capai secara lahiriah
tetapi tidak secara batiniah.

Mengapa ibu bapa terlalu bersikap pesimistik kepada guru. Adakah dengan tindakan melulu
sebegitu dapat memuaskan hati ibu bapa. Mengapa tidak menggunakan saluran yang betul
jika mereka masih tidak berpuas hati dengan guru tersebut. Guru adalah insan yang mulia,
memberi didikan dan menyalurkan segala maklumat kepada pelajar. Tidak terfikirkah
pelajar dan ibu bapa betapa besarnya pengorbanan guru selama ini. Jika tindakan seperti
inilah yang diterima oleh seorang yang bergelar guru, maka tidak hairanlah mengapa
masalah sosial saban hari semakin meningkat. Tiada lagi teguran yang dapat dilakukan oleh
guru kerana ibu bapa tidak mahu anak mereka dikenakan sebarang tindakan jika melakukan
kesalahan. Adakah dengan cara begini maka dapat melahirkan pelajar cemerlang.
Fikirkanlah, sebagai ibu bapa mahupun penjaga, teguran dan dendaan yang dilakukan oleh
guru adalah bertujuan mendidik pelajar, yang satu hari nanti akan menjadi pemimpin
kepada bangsa dan negara. Apa yang dicorakkan pada masa kini adalah didikan untuk masa
hadapan.
---------------------------
Aku pernah mengulas isu sebegini dalam entri yang terdahulu. Cuma, pada kali ini aku ingin
sekali menggunakan perspektif yang berbeza dengan perspektif yang terdahulu. Aku ingin
melihat dan mengulas isu ini sebagai seorang bapa bukannya sebagai seorang guru.

Sewaktu aku belajar pada tahun 1970 hingga 1980-an, settingnya berbeza dengan anak-
anakku bersekolah pada tahun 1990 dan 2000-an. Pada ketika itu aku terpaksa ke sekolah
dengan menaiki basikal sejauh empat setengah kilometer. Jalan tanah merah yang tidak
cukup tua itu menyebabkan "malapetaka" kepada aku sewaktu pergi dan balik dari sekolah.
Bila tiba musim kemarau, debu-debu merah akan mengusap rambutku. Manakala bila
musim pejur kunjung tiba, tanah merah itu melekat pada mudguard basikalku menyebabkan
aku terpaksa menyorong basikal.

Emak bapakku mengerah kederat tulang empat kerat di ladang mencari sesuap nasi buat
panganan anak-anak. Pergi pagi dan pulang petang. Jarang sekali sempat melihat kerja-kerja
sekolahku. Siap kah tidak kah, dia tidak sempat nak ambik kisah. Selepas usai solat Maghrib,
kami mengaji Muqaddam dan Al-Quran. Sektar sembilan malam sudah masuk kelambu dan
tidur. Cahaya kemerah-merahan daripada lampu minyak tanah yang meliuk-liuk ditiup bayu
malam yang menerobosi lubang-lubang dinding yang diperbuat daripada papan dan atap
nipah, menjadikan suasana paling tidak kndusif untuk belajar. Kalau aku nak belajar lebih
larut malam, aku akan membeli sebatang dua lilin di kedai Pak Din. Itupun jarang-jarang!

Kebanyakan ibu bapa yang pernah melalui zaman kelam seperti yang pernah aku lalui kini
sudah keluar daripada zaman "the dark ages". Masing-masing berazam untuk tidak
membenarkan zaman kelam itu bertamu dalam kehidupan anak-anaknya. Lahir-lahir saja,
semua kemudahan sudah disediakan dengan secukupnya di hadapan anak-anak. Ibu bapa
begitu teruja untuk mengajar anak-anak belajar walapun usianya masih terlalu muda.
Umpamanya Tadika seawal empat tahun... Ada yang sudah boleh membaca seawal lima
tahun. Mengaji AlQuran serta boleh menulis jawi sebelum masuk sekolah lagi. Apa sahaja
bahan-bahan pendidikan yang diajukan, jika tidak ada masalah kewangan semuanya dibeli.

Ibu bapa akan terus melaksanakan peranannya bagi memastikan anak-anak mendapat
peluang belajar yang terbaik. Kelas tusyen, program motivasi dan sebagainya kekadang
menjadi satu lagi eksesori pendidikan bagi memastikan anak-anak mendapat kejayaan yang
cemerlang di sekolah dan dalam peperiksaan awam.

Justeru, anak-anak ditatang umpama menatang minyak yang penuh. Pergi balik sekolah
dihantar dan diambil selama-lama bersekolah. Terlalu kecil angkanya yang mengayuh
basikal atau berjalan kaki ke sekolah. Sebagai ganti, ibu bapa akan membelikan motorsikal
apabila perkhidmatan bas sukar dijangka atau ibu bapa tidak berkeupayaan menghantar dan
mengambil anak-anaknya.

Keadaan yang sebegini memungkinkan ibu bapa rasa tersinggung dan marah apabila anak
yang ditatang-tatang itu dikatakan bermasalah di sekolah. Di hadapan ibu bapa anak-anak
mereka dilihat sangat baik dan tertib. Jadi, bagi ibu bapa yang berkorban segala-galanya itu
akan cepat panas kepada guru atau sekolah yang seolah-olah menidakkan peranannya
sebagai ibu bapa yang berpelajaran dalam konteks mendidik anak-anak mereka. Oleh sebab
itulah yang selalu melenting dan menyerang guru dan sekolah adalah daripada kalangan
mereja yang dilihat berpelajaran. Sebaliknya ibu bapa yang kurang pelajaran masih
menyanjung guru-guru dalam menyumbang kejayaan kepada anak-anak mereka. Bagi
mereka, cikgu tidak punyai kemahiran dan kecekapan yang sewajarnya dalam menangani
kerenah pelajar-pelajar masa kini.

Sikap sesetengah ibu bapa yang berasa lebih pandai berbanding guru di sekolah lalu
menyerang sekolah dilihat satu tindakan yang sebenarnya menyerlahkan ketidakpandaian
mereka sendiri. Tindakan tersebut akhirnya memerangkap diri kerana mereka sering kalah
dalam mengurus antara akal dan nafsu. Hal ini kerana, rasa terlebih pandai itu
menyebabkan seseorang itu melihat orang lain lebih bodoh daripada dirinya sebenarnya
bermula daripada sikap keegoan yang hanya berasaskan runtunan hawa nafsu semata-mata.
Kerana sepatutnya orang yang berilmu dan pandai itu akan semakin tawadhuk berdasarkan
ilmu yang dia ada. Ia akan menjadikan seseorang itu lebih banyak berfikir sebelum
bertindak. Kerana, dibimbangi tindakan yang dilakukan dengan membelakangkan akal
fikiranakan menyerlahkan kebangangan mereka.

Akhirnya, berilah kepercayaan sepenuh-penuhnya kepada pihak sekolah dalam mengurus
anak-anak kita. Percayalah tiada seorang guru pun dengan sengaja menjadikan anak-anak
kita mangsa kepada sebarang tindakan yang tiada usul periksa. Jika seorang ibu bapa yang
baik itu perlu berkemampuan memuji, memarahi, menyayangi, menghukum anak-anaknya,
begitulah peranan seorang guru di sekolah. Janganlah musnahkan institusi pendidikan
masteri ini sebagai medan perbalahan yang tidak sudah-sudah antara pihak sekolah dan ibu
bapa. Jika kita beranggapan seorang anak itu tidak wajar menuturkan kata-kata yang kesat
kepada ayah dan ibu, begitu jugalah mereka tidak wajar melalakukan perkara yang sama
kepada guru-guru di sekolah. Kalau anak-anak menampar kita, apa tindakan anda sebagai
ibu bapa?


Cabaran Mendidik
Cuba kita renungi baris-baris akhir sebuah sajak yang cukup terkenal yang berbunyi;

Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa
Segalanya dimulakan oleh seorang guru biasa,
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca.

Sajak ini tentunya sudah biasa kita baca malah sering dideklamasikan setiap kali
Sambutan Hari Guru diadakan pada 16 Mei setiap tahun. Sajak yang dihasilkan oleh
Allahyarham Datuk Usman Awang, pasti membuatkan setiap insan yang bergelar
guru terasa dihargai. Namun apakah perasaan guru apabila membaca baris-baris
terakhir sajak yang diambil daripada artikel Pejuang dan Pengisi Kemerdekaan
yang ditulis oleh Mohd Yusri Ibrahim ( Majalah Ehwal Pendidikan, Ogos 2007) yang
berbunyi;

Jika hari ini siapa saja perosak bangsa;
Bermula dengan kegagalan guru kita
Cuai mengasuh generasi muda.

Penulis yakin sajak ini bisa menguris hati seorang guru. Kalaupun tidak terpalit luka
mungkin wujud juga sedikit rasa tersinggung mahupun kecewa lantaran dikatakan
gurulah menjadi punca kepada kemunculan perosak bangsa. Namun itulah realitinya
kehidupan hari ini. Kalau dulu guru merupakan individu atau kumpulan kecil
masyarakat yang amat dihormati, situasi kini jauh berbeza. Kalau dulu, ramai yang
mengakui bahawa dewasanya seseorang itu adalah dimulakan oleh seorang guru
biasa, namun kini masyarakat lebih mudah menyalahkan para guru apabila hasil
didikan tidak menjadi.


Dr Novandri Hasan Basri dalam tulisannya Buli Dan Masalah Sosial Pelajar : Satu
Penyelesaian menyatakan bahawa dahulu masyarakat memandang tinggi terhadap
guru-guru sekolah. Guru-guru ketika itu dianggap sangat istimewa kerana mereka
mempunyai ilmu yang tidak dimiliki oleh orang lain. Ketika itu, ilmu pelajaran adalah
hak eksklusif guru-guru. Segala teknik pengajaran, buah fikiran guru-guru ataupun
cara mereka menghukum pelajar-pelajar diterima baik oleh ibubapa. Mereka
percaya bahawa guru-guru melakukannya supaya anak-anak mereka akan menjadi
lebih pandai. Secara tidak langsung, pengiktirafan tinggi masyarakat ini akan
menyebabkan mereka menjadi lebih bersemangat dan bangga menjadi seorang
guru.

Tegas Dr Novandri lagi, dahulu, kita mempunyai sistem kekeluargaan yang utuh dan
berfungsi. Ibu bapa mempunyai masa dan tidak perlu sangat memikirkan soal wang.
Mereka berjaya bertindak sebagai penyerap kepada permasalahan anak-anak
mereka samada di rumah mahupun di sekolah. Dalam masa yang sama,
sebahagian besar ibubapa tidak berpelajaran, maka dengan itu anak-anak yang
berkebolehan untuk belajar di sekolah ketika itu adalah sesuatu yang amat dikagumi
dan dibanggakan oleh mereka. Bagi mereka, nilai sekolah rendah dan menengah ini
dirasakan amat tinggi dan sangat penting.

Dr Novandri Hasan Basri juga menyatakan bahawa bahawa waktu sekarang, hampir
semua ibubapa dan masyarakat mempunyai taraf pelajaran yang lebih tinggi. Orang
dewasa ini telah pun berjaya melalui sistem persekolahan tersebut. Hal ini
menghasilkan satu masyarakat yang juga mempunyai ilmu-ilmu yang dahulunya hak
ekskusif dan hanya diketahui oleh guru-guru. Lantaran itu, mereka mengganggap
guru-guru di sekolah hanya sebagai objek penyalur ilmu secara formal sahaja (Jun
2003). Yusri Abdul Malek dalam artikelnya Displin Pelajar Bermula di Rumah pula
menegaskan pula bahawa pada zaman dulu guru dihormati dan rotan ialah senjata
utama mendisiplin pelajar tetapi kini semua itu tidak dianggap relevan lagi. Tegas
beliau, kebanyakan ibu bapa yang berkerjaya dan bergaji besar serta berasal dari
kampung bagaikan lupa peranan guru yang membantu kejayaan mereka hanya
kerana anak mereka dirotan kerana kesalahan disiplin. Sebaliknya, mereka
bertindak datang ke sekolah dan menyalahkan guru yang terbabit merotan anaknya.
Hal ini sedang berlaku dalam sistem pendidikan kita.Terlalu banyak campur tangan
dan akhirnya guru tiada kebebasan untuk bertindak menyebabkan masalah disiplin
tiada noktah. (Harian Metro, 25 Mei 2006)

Adakah situasi ini berpunca daripada ibu bapa hilang kepercayaan terhadap guru-
guru untuk mendidik pelajar-pelajar? Atau ibu bapa sendiri yang terlampau
memanjakan anak? Realiti hari ini pelajar dimewahkan oleh ibu bapa sendiri.
Fenomena yang biasa berlaku sekarang ialah para guru menunggu bas manakala
murid menunggu pemandu peribadi mereka untuk pulang apabila selesai sesi
persekolahan. Tidak kurang yang memandu sendiri ke sekolah dan amat biasa
murid memegang telefon bimbit. Kedudukan ekonomi mereka yang lebih baik
menyebabkan hormat mereka terhadap guru berkurangan. Guru sering dipandang
rendah dan akibatnya mereka tidak takut untuk melawan guru. Sikap ibu bapa yang
menyebelahi anak-anak juga menjadi punca pelajar melawan guru.

Berdasarkan bancian oleh laman web utusan.com.my terhadap insiden guru
menghukum atau mendenda pelajar-pelajar sekolah kerana kesalahan yang kian
mendapat publisiti meluas media, ramai yang mengundi pernyataan Pelajar zaman
sekarang terlalu dimanjakan sebagai sebab meningkatnya masalah disiplin di
sekolah.. Undian ini merupakan undian tertinggi daripada lima pilihan. Jumlah undi
tersebut adalah sebanyak 57.59% daripada 24084 undi ( data sehingga 30/7/2007).
Hal ini mengambarkan bahawa ramai dalam kalangan masyarakat mengakui
bahawa masalah disiplin berkait rapat dengan tindakan ibu bapa yang terlalu
memanjakan anak mereka.

Jika diamati, pelajar hari ini yang juga terdiri daripada golongan remaja sering
dibabitkan dengan pelbagai jenayah dan salah laku, antaranya pergaduhan dan
gengsterisme, merokok, menagih dadah, seks bebas, memusnahkan harta benda
awam (vandalisme) dan merompak. Kes yang terbaru ialah sembilan orang pelajar
perempuan yang membelasah seorang rakan mereka dan merakam gambar bogel
mangsa. Perlakuan sebegini lazimnya tidak disedari oleh ibu bapa kerana kejadian
tidak berlaku di hadapan mata mereka. Namun apabila nasi sudah menjadi bubur
dan hal ini diketahui oleh ibu bapa pelajar-pelajar terbabit, mereka bertindak merayu
bapa mangsa supaya menarik balik laporan polis yang dibuat. Mereka seolah-olah
takut anak-anak mereka dihukum sedangkan hukuman wajar dijatuhkan terhadap
pelajar-pelajar yang bertindak agresif dan di luar batas kemanusiaan itu.

Perkembangan terbaru kes ini ialah kesembilan pelajar ini telah memohon maaf
daripada mangsa dan menyatakan penyesalan. Adakah dengan meminta maaf dan
menangis, perbuatan yang mereka lakukan mudah dilupakan dan dimaafkan?.
Apakah tidak mustahil mereka ini akan mengulangi perbuatan mereka terhadap
orang lain? Mungkinkah segala-galanya hanya lakonan dan tindakan kepura-puraan
sekadar untuk mengelak dikenakan hukuman yang berat? Apakah yang akan
dilakukan oleh ibu bapa pelajar-pelajar terbabit seandainya anak-anak mereka
dihukum dan dihantar ke pusat pemulihan akhlak? Adakah mungkin ibu bapa
menganggap bahawa hukuman tersebut adalah tidak adil? Bagaimana pula
sekiranya yang menjadi mangsa adalah guru perempuan yang didendami oleh
kumpulan pelajar ini yang mungkin cuba mendisiplinkan mereka?

Segalanya tidak mustahil berlaku kerana sesuatu yang tidak terduga oleh akal boleh
dilakukan oleh pelajar-pelajar zaman ini. Berita penangkapan kanak-kanak berumur
12 tahun yang dituduh terlibat dalam kejadian menculik dan merogol wanita berumur
30 tahun berulangkali secara bergilir-gilirmenjadi buktinya ( Buletin 1.30,TV3, 5 Ogos
2007). Tentunya kejadian ini mengejutkan kita dan pasti menerbitkan rasa bimbang
di hati para guru akan keselamatan diri. Masakan tidak, pelajar-pelajar zaman ini
sudah berani melakukan apa sahaja tanpa memikirkan risiko yang bakal ditanggung.

Norhayati Md Said dalam tulisannya Kekurangan Guru Lelaki Amat Dirasai yang
disiarkan di Berita Minggu , turut mengakui bahawa masalah disiplin ketika ini bukan
boleh dibandingkan dengan zaman dulu. Masalah yang menghambat anak zaman
sekarang terlalu berat, bermula daripada ponteng, menghisap rokok, samseng,
pergaulan bebas lelaki wanita dan pelbagai masalah yang tidak terfikir akal boleh
dilakukan anak zaman ini.Inilah cabaran hebat yang perlu ditanggung oleh guru (
Ahad, 29 Julai 2007). Cabaran yang hebat dalam mendidik dan mendisiplinkan
pelajar boleh mematahkan semangat guru.Guru sering berada dalam keadaan
dilema sama ada mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar atau membiarkannya
sahaja. Guru menjadi serba salah kerana bimbangkan keselamatan diri.
Kebimbangan guru ada rasionalnya. Guru bimbang sekiranya mereka mengambil
tindakan disiplin terhadap pelajar yang melanggar peraturan sekolah, mereka akan
menghadapi risiko. Pelajar yang nakal ini berkemungkinan membalas dendam
dengan cara mencederakan guru atau merosakkan harta benda guru seeprti
mencalar kereta guru atau membocorkan tayar kereta guru. Pelajar-pelajar zaman
ini berani mengambil tindakan terhadap guru-guru yang cuba mendisiplinkan mereka
di sekolah. Buktinya,terdapat banyak kes pelajar melawan guru, mengugut guru ,
menumbuk guru, malah ada juga pelajar yang memukul guru walaupun hanya
berumur 12 tahun.

Satu kes pernah dilaporkan oleh akhbar Harian Metro berkaitan seorang murid
darjah enam yang membelasah gurunya dengan penyodok sampah pada 18 April
2006 kerana tidak puas hati dengan hukuman guru terbabit terhadapnya berikutan
tidak menyiapkan kerja sekolah.Dalam kejadian tersebut , murid itu dimarahi oleh
guru dan disuruh menyiapkan kerja rumah sambil berdiri. ( Harian Metro, 26 April
2006) Terdapat juga dua kes dalam tempoh satu bulan yang dilaporkan di Kedah
.Kes-kes tersebut membabitkan kes pelajar memukul guru. Kes pertama , seorang
guru perempuan di sekolah Menengah Kebangsaan Tokai, Pendang telah ditampar
oleh seorang pealjar tingkatan empat kerana menegur disiplin pelajar terbabit di
perhimpunan pagi sekolah. Kes kedua pula,melibatkan seorang guru disiplin lelaki
sekolah di Lebuhraya Sultranah Bahiyah. Guru tersebut dipercayai cedera di muka
dan rusuk akibat tendangan ala kungfu oleh dua orang pelajar.Sebelum kejadian,
guru yang berusia 39 tahun itu dikatakan menegur kedua-dua pelajar tingkatan lima
yang terbabit yang dipercayai enggan menjalani pemeriksaan dan cuba melarikan
diri (Harian Metro, 17 April 2006).

Kes yang berlaku di Negeri Sembilan pula melibatkan sembilan pelajar dan bekas
pelajar yang cuba membakar sekolah. Tindakan pelajar-pelajar berkenaan dikatakan
berpunca daripada perasaan tidak puas hati dengan tindakan disiplin yang
dikenakan ke atas mereka. ( Utusan Malaysia. 23 Mei 2006). Semua itu hanya
sebahagian kecil daripada kes-kes yang dilaporkan melibatkan risiko yang terpaksa
ditanggung oleh guru kerana cuba mendisiplinkan pelajar.Akibatnya kini, guru sering
berada di dalam dilema dalam membuat keputusan yang bersangkut paut dengan
disiplin pelajar.Guru tidak mempunyai lagi kuasa veto untuk menghukum pelajar.
Andai diteruskan bentuk hukuman yang sama seperti zaman dulu iaitu dengan
merotan, pasti akan dipertikaikan biarpun yang melaksanakan hukuman itu guru
besar atau guru disiplin sekalipun.

Bukan sahaja dibimbangi reaksi negatif pelajar atas hukuman yang dikenakan ke
atas mereka tetapi respon daripada ibu bapa sering membatasi guru dalam
menjatuhkan hukuman.. Terdapat ibu bapa yang lebih sedia menyalahkan guru
daripada menerima hakikat bahawa anak mereka bersalah melanggar disiplin
sekolah. Mereka tidak percaya anak mereka telah melakukan kesalahan serius di
sekolah. Faktor campur tangan ibu bapa turut mendorong ada guru mengambil sikap
mendiamkan diri terhadap pelajar yang melakukan kesalahan disiplin.

Kes guru memukul pelajar sering menjadi topik media juga bualan hangat
masyarakat. Kejadian guru memukul pelajar sering dipilih untuk dijadikan tajuk
utama bagi media massa Pihak ibu bapa hari ini acapkali mencari jalan
penyelesaian mudah bagi menangani masalah anak-anak mereka yang dipukul
guru. Mereka lebih gemar berpaling kepada media sebagai perunding cara dan jalan
penyelesaian segera. Sikap sebegini boleh dianggap tidak rasional dan tidak adil
bagi para guru.

Dalam beberapa kes guru memukul pelajar, ibu bapa sering menjadikan pihak media
sebagai tempat mengadu hal sedangkan jalan terbaik ialah ibu bapa mendapat
keterangan dari pihak sekolah terlebih dahulu sebelum mengambil apa jua tindakan.
Seandainya ibu bapa cuma mendengar aduan anak mereka, sudah pastilah mereka
akan menyalahkan guru yang memukul anak mereka. Keadaan ini pasti sering
membawa kepada laporan negatif kerana mengikut perasaan marah dan dendam
ibu bapa itu sendiri. Pihak media massa pula sering memperbesar-besarkan isu ini
dengan tujuan dapat melariskan jualan mereka. kerana ada sesetengah media
massa cuma mengutamakan keuntungan sahaja tanpa mengutamakan kenyataan
yang betul. Ada waktunya murid yang dipukul hanya mengalami segaris luka tetapi
perkataan sensasi yang sering digunakan ialah cedera. Guru digambarkan sebagai
jahat kerana memukul murid sedangkan tidak diberi difokuskan kepada sikap murid
terbabit sebagai punca dia dipukul.

Kes terbaru ialah kes pelajar mencekik guru. Pelajar tingkatan lima sebuah sekolah
menengah di Kota Tinggi yang telah mencekik seorang guru wanita selepas
dimarahi, telahpun dikenakan hukuman buang sekolah. Bapa pelajar tersebut
berasa kecewa dengan hukuman yang dikenakan ke atas anaknya yang disifatnya
tidak wajar kerana anaknya tidak berpeluang untuk membela diri bagi menceritakan
hal sebenar. Bapa pelajar itu menuntut agar pihak PPD menyiasat dengan terperinci
dan tidak menyalahkan satu pihak. (Metro Ahad,29 Julai 2007). Saranan bapa
pelajar itu supaya anaknya dan guru terbabit dipanggil untuk diberi keterangan
memang ada asasnya. Malah Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar sudah
mengarahkan agar pihak PPD memanggil pelajar, guru yang menjadi mangsa,
Persatuan ibu bapa dan Guru (PIBG) selain polis untuk mendapatkan maklumat
lanjut dan seterusnya pihak yang terlibat bermuzakarah untk menyelesaikan
masalah.( Berita Minggu, Ahad, 29 Julai 2007)

Walau bagaimanapun, tindakan bapa pelajar menggunakan media massa sebagai
saluran untuk menegakkan keadilan adalah satu tindakan yang tidak wajar.Bapa
pelajar itu cuba membuktikan bahawa anaknya tidak bersalah. Dalam kes ini,biarpun
tindakan pelajar itu mungkin berpunca daripada kesilapan guru wanita itu yang
mungkin terlalu emosi dan menggunakan kaedah hukuman yang boleh dipertikaikan
kebolehlaksanaannya namun mengasari guru tetap merupakan satu kesalahan yang
serius dan pelajar itu wajar dihukum. Sewajarnya, bapa pelajar itu bertindak bertemu
dengan pihak pentadbir sekolah atau pihak PPD untuk berbincang. bukannya
mengadu nasib kepada pihak media.

Penulis berpendapat bahawa hukuman buang sekolah adalah tindakan yang
wajar.Kewajarannya boleh dilihat berdasarkan penjelasan Bekas Ketua Pengarah
Pelajaran ,Tan Sri Murad Mohd Nor .Menurutnya, jika pendekatan nasihat dan
hukuman gagal, pelajar akan menimbulkan masalah lebih besar di sekolah. Apabila
keadaan ini berlaku,lebih baik pelajar terbabit ditarik keluar ke tempat lain kerana
jika kekal di situ, dia akan mempengaruhi pelajar lain. Tegasnya lagi, apabila pelajar
dihantar keluar, ibu bapa merayu supaya anaknya diberi peluang. Tan Sri bersetuju
dalam hal ini namun beliau juga mempersoalkan bagaimana pula dengan peluang
anak orang lain yang mahu belajar? (Berita Minggu, Ahad 29 Julai 2007)

Perihal isu guru sendiri yang menimbulkan kontroversi, Tan Sri Murad Mohd Nor
ketika membincangkan isu guru besar menampar murid dan warden menghukum
pelajar berendam dalam kolam menegaskan bahawa kita patut sedar guru pada hari
ini menghadapi banyak cabaran, terutama faktor luaran yang menekan
mereka.Sebagai contoh, sikap ibu bapa terhadap guru. Walaupun 100 peratus tidak
bersetuju dalam kes guru merendam pelajar-pelajarnya seperti yang berlaku di
Sarawak, beliau meminta supaya masyarakat memikirkan niat baik guru
berkenaan.Meskipun cara guru tersebut mendisiplinkan pelajar boleh dipertikaikan
namun yang pasti pelajar yang melanggar disiplin sekolah adalah orang yang
mementingkan diri sendiri dan tegas beliau, kelakuan ini harus dibenteras ketika di
sekolah lagi.
Kejadian-kejadian yang berlaku dan mendapat liputan meluas ini merupakan satu
cabaran yang besar buat guru. Pastinya juga hal ini mampu membuatkan guru-guru
berada dalam keadaan dilema. Niat untuk mendidik dan mendisiplin pelajar-pelajar
dikekang oleh pelbagai faktor. Bagi guru yang pernah mengalami pengalaman buruk
akibat cuba mendisiplinkan pelajar, berkemungkinan sudah serik atau trauma seperti
yang terjadi kepada guru wanita yang dicekik oleh pelajarnya. Akhirnya
berkemungkinan guru lebih berminat meneruskan pengajaran tanpa menghiraukan
hal ehwal disiplin pelajar dan mengambil jalan keluar dengan tidak berbuat apa-apa
apabila pelajar melanggar disiplin.

Penulis sendiri pernah melihat bagaimana seorang guru wanita masuk ke dalam
kelas dan terus menulis sesuatu di papan putih tanpa menghiraukan pelajar-
pelajarnya yang masih belum bersedia untuk belajar. Ada yang sedang berbual-bual
di luar kelas, ada yang masih leka bermain di dalam kelas. Malah yang lebih
menghairankan , ada pelajar kelas lain yang berada di dalam kelas tersebut tetapi
masih meneruskan aktiviti mereka. Mereka tidak mempedulikan kehadiran guru.
Hanya selepas lebih kurang 10 minit kemudian, dengan sendirinya pelajar-pelajar
tersebut duduk di tempat masing-masing dan mengeluarkan buku dan membuat
catatan. Walau bagaimanapun, masih ada pelajar yang tidak berbuat apa-apa tetapi
hanya bersembang sahaja di dalam kelas.

Guru tersebut tidak boleh disalahkan kerana beliau pernah keguguran lantaran
terlalu stress dan menghadapi trauma akibat perbuatan pelajarnya yang degil dan
melawannya ketika proses pengajaran dan pembelajaran. Hal itu berlaku ketika
beliau cuba untuk mendisiplinkan pelajar-pelajarnya. Selepas peristiwa itu, guru
tersebut mengambil langkah yang lebih selamat iaitu dengan tidak terlalu emosi
dalam menegur tingkah laku pelajar, sebaliknya membiarkan pelajar dengan hal
sendiri.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Noh Omar tidak menafikan bahawa kadang kala
ada guru yang bertindak keterlaluan tetapi kebiasaannya setiap tindakan itu
berpunca daripada perbuatan pelajar itu sendiri ( Berita Utara, 25 Julai,2007). Baru-
baru ini berlaku kes seorang guru telah menumbuk pelajar perempuan.Menurut
laporan akhbar, hal ini dikatakan berpunca daripada kata-kata kasar yang diucapkan
oleh pelajar tersebut kepada gurunya. Malah pelajar mencabar guru tersebut untuk
mengambil tindakan menumbuknya. Provokasi yang dilakukan oleh pelajar itu telah
menghilangkan kesabaran guru itu.Pastinya guru tersebut terasa keegoaannya dan
kredibilitinya sebagai guru tercabar dan diperkotak-katikkan oleh pelajarnya sendiri.

Pihak pentadbir sekolah haruslah memainkan peranan mereka dan membantu guru-
guru agar dapat menumpuh cabaran dalam mendidik dan mendisiplinkan pelajar.
Mereka hendaklah memastikan bahawa pada peringkat awal, guru-guru baru dan
tidak berpengalaman tidak dibebani dengan tugas dan tanggungjawab yang besar
dalam mendidik dan mendisiplinkan pelajar seperti menjadi guru disiplin atau
warden. Kes merendam pelajar yang berlaku di Sarawak merupakan satu contoh
yang boleh dijadikan iktibar oleh pentadbir sekolah.Guru yang berumur baru 27
tahun telah diberi tugas sebagai warden asrama. Tanggungjawab yang diberikan
kepada guru muda ini tentunya amat berat.

Kemungkinan guru tersebut menghadapi tekanan dan akhirnya mengambil tindakan
mengikut emosi.Mungkin tindakan merendam pelajar tidak berlaku sekiranya yang
menangani masalah ialah guru yang lebih berpengalaman.Sebagaimana yang
dinyatakan oleh Tan Sri Murad Mohd Nor dalam kes tersebut bahawa perbezaan
umur antara warden dan pelajar tidaklah besar. Sarannya, biarlah warden yang
menangani masalah pelajar membuang tuala wanita ke dalam tandas itu seseorang
yang lebih berumur dan boleh bertindak sebagai ibu. Dalam hal ini, seharusnya
pihak pentadbir sekolah memberi peluang kepada guru-guru baru untuk menimba
pengalaman daripada guru-guru yang telah lama bertugas, terutamanya dalam hal-
hal berkaitan cara dan kaedah menangani pelajar bermasalah dan tindakan yang
wajar dalam mendisiplin pelajar. Biarlah mereka menjalankan tugas sebagai
penolong atau AJK bukannya ketua dalam sesuatu tugas yang berat seperti tugas
sebagai guru disiplin atau warden asrama.
Selain itu, dalam usaha mempertingkatkan kualiti guru dan menyediakan guru
dengan pelbagai ilmu pengajaran , perhatian juga harus diberi terhadap faktor rohani
guru. Perkembangan staff untuk para guru dan wajib diadakan di sekolah hendaklah
diisi juga dengan kursus-kursus motivasi. Bukan pelajar sahaja harus dimotivasi
tetapi para guru pun perlu diberikan kata-kata semangat untuk terus berjuang
mendidik anak bangsa dengan niat yang ikhlas. Cabaran yang dihadapi oleh guru
pada era globalisasi ini amat besar . Guru perlu dimotivasi supaya rasa cinta akan
profesion mereka akan terus mekar di hati biarpun pelbagai cabaran terpaksa
ditempuh . Melalui cara ini, para guru akan lebih tabah menghadapi cabaran yang
mendatang.

Dalam pada itu, kursus pengawalan emosi dan tekanan juga dapat membantu guru
dalam menjalankan tugas mereka. Kadang kala, tekanan atau stress menyebabkan
guru keterlaluan dalam tindakan mendisiplinkan pelajar.Adakalanya tekanan
menyebabkan mereka tidak dapat mengawal emosi dan hilang sabar dalam
menghadapi kerenah pelajar-pelajar yang nakal. Dr. Robiah K. Hamzah, seorang
pakar motivasi sendiri mengakui bahawa jalan terbaik menangani masalah disiplin
ialah guru pandai mengawal emosi. Namun , pada masa yang sama, guru juga perlu
menunjukkan ketegasan dalam kelembutan (Harian Metro, Isnin 6 Ogos 2007)
Jesteru, guru harus diberi pendedahan dan ilmu pengawalan emosi dan tekanan
supaya mereka lebih bersedia andai terpaksa berdepan dengan perlakuan
melampau batas pelajar-pelajar. Kursus pengawalan emosi dan tekanan mampu
membuka minda para guru. Sudah pastinya emosi yang stabil dan fikiran yang
tenang membolehkan guru mendidik dan mendisiplin pelajar dengan cara lebih
berkesan. Kursus jangka pendek tentang kaedah dan cara mendisiplinkan pelajar
oleh guru-guru yang berpengalaman terutamanya guru-guru disiplin wajar juga
diadakan. Biarpun para guru (terutama guru baru) telah didedahkan dengan teori-
teori psikologi kanak-kanak dan remaja sewaktu menjalani latihan perguruan namun
situasi yang berlaku di sekolah ada kalanya di luar jangkaan. Diharapkan agar ilmu
mendisiplinkan pelajar dan menangani pelajar bermasalah hasil daripada
pengalaman-pengalaman guru-guru lama dapat dikongsi bersama-sama
terutamanya dengan guru-guru baru.

Lazimnya, guru-guru yang berpengalaman sedar bahawa penguatkuasaan
peraturan sekolah perlu dilaksanakan dengan cara yang berhemah. Pelajar-pelajar
sekarang mudah menentang sekiranya pendekatan yang digunakan guru
bertentangan dengan jiwa mereka. Mereka tidak sanggup menerima hukuman
secara membuta tuli dan akan bertindak menentang. Sebagai contohnya, kes guru
dicekik pelajar . Pelajar tersebut melaporkan kepada akhbar bahawa dia dan kawan-
kawannya disuruh oleh guru supaya melakukan tekan tubi di kawasan laluan air
tandas yang kotor. Jika benar sebagaimana yang dilaporkan, tentunya tindakan
pelajar melarikan diri daripada hukuman itu merupakan sesuatu tindakan yang
rasional dan logik.Masakan mereka sanggup melakukan tekan tubi di kawasan
laluan air kotor. Bukan sahaja menjijikkan malah mungkin akan menjejaskan
kesihatan.

Dalam hal ini, saranan Dr. Rubiah K. Hamzah, elemen perasaan dalam
perlaksananaan peraturan seharusnya diambil perhatian oleh para guru.
Menurutnya, untuk mewujudkan keserasian antara guru-pelajar, peraturan sekolah
mestilah ada elemen perasaan.Peraturan saling berkait dengan emosi manusia, jadi
perlu ada cetusan emosi di dalamnya.( Harian Metro, 6 Ogos 2007). Dalam erti kata
lain, guru-guru perlu memasukkan elemen perasaan dalam melaksanakan atau
menguatkuasakan sesuatu peraturan supaya pelajar akur.Ledakan perasaan yang
mencetuskan masalah disiplin yang lebih besar dapat dielakkan.

Guru seharusnya diberi peluang untuk bernafas. Cabaran mendidik dan
mendisiplinkan pelajar bukanlah tugas yang mudah. Masyarakat tidak seharusnya
hanya menunding jari kepada guru setiap kali timbul masalah disiplin dalam
kalangan pelajar-pelajar. Kebimbangan Ruhaiza Rusmin yang dinyatakan dalam
tulisannya Guru Emosi, Pelajar Melenting,ada benarnya. Beliau bimbang semangat
berkobar-kobar guru akan merundum. Ditakuti sikap kurang ajar pelajar akan
mencantas dedikasi guru memberi ilmu dan hal ini tentunya merugikan pelbagai
pihak terutamanya ketika negara menuju Wawasan 2020.( Harian Metro, Isnin 6
Ogos 2007).
Sesungguhnya tugas mendidik dan mendisiplin pelajar tidak harus hanya dihadapi
oleh golongan guru dan pentadbir sekolah sahaja. Ibu bapa perlu menaruh
kepercayaan kepada guru-guru tetapi tidak bersikap lepas tangan. Tanggungjawab
mereka memberi kasih sayang dan didikan agama kepada anak-anak mereka harus
dijadikan agenda utama dalam membentuk keluarga yang bahagia. Apabila anak-
anak diasuh dengan baik dan diberi perhatian, usaha guru membudayakan ilmu
lebih mudah dilaksanakan. Tentunya masalah disiplin pelajar tidak timbul malah misi
disiplin sifar akan lebih mudah dicapai.

Pengarah Pelajaran Perak, Datuk Mohamed Zakaria Mohd Noor ketika hadir majlis
perasmian Siri Jelajah Kempen Menangani Gejala Displin Murid Di Sekolah turut
menegaskan bahawa ibu bapa atau penjaga harus memainkan peranan penting dan
tidak harus terlalu bergantung kepada sekolah dalam menangani masalah disiplin
yang berlaku dalam kalangan pelajar. Menururt beliau lagi, ibu bapa dan penjaga
harus bekerjasama dengan mengambil berat terhadap segala aktiviti yang disertai
anak mereka sama ada di sekolah atau di luar sekolah ( Berita Harian, 19 Disember
2006). Yusri Abdul Malek juga mempunyai pendapat yang sama. Beliau
menegaskan bahawa masalah disiplin ini bermula dari rumah, jika ibu bapa sentiasa
mengambil berat, pasti anak mereka menjadi orang yang boleh diharapkan pada
masa depan. Sarannya lagi, ibu bapa hendaklah menghentikan tuduhan, sebaliknya
memastikan anak mereka tidak terbabit melakukan salah laku.Jika ibu bapa mampu
mendisiplinkan anak di rumah, pasti anak mereka akan berdispilin di sekolah atau di
luar rumah.(Harian Metro, 25 Mei 2006)

Siti Aishah Mahamad dalam tulisannya Pendekatan Mendidik Lebih Sesuai Atasi
Masalah Remaja pula menekankan peri pentingnya pelbagai pihak memainkan
peranan masing-masing dalam mendidik dan mendisiplinkan pelajar. Institusi dalam
masyarakat seperti masjid atau surau boleh berfungsi dengan luas sebagai pusat
pendidikan Islam bagi seluruh lapisan masyarakat terutamanya untuk menarik
remaja mengikut cita rasa golongan itu seperti penggunaan teknologi maklumat dan
komunikasi. Kelab Rukun Tetangga yang dibentuk di kawasan perumahan perlu
mengenal pasti masalah dan membuat perancangan aktiviti berbentuk kebajikan
atau mencegah kemungkaran seperti masalah remaja melepak lelaki perempuan
dan melakukan perbuatan sumbang.Pihak KRT perlu menggunakan pendekatan
mendidik sebelum menghukum atau memberikan hukuman yang membina.

Siti Aishah juga tidak mengenepikan peranan Pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Tegasnya, NGO juga boleh membantu golongan remaja bermasalah ini. NGO boleh
melaksanakan atau bekerjasama dengan pihak sekolah, agensi kerajaan atau
mana-mana institusi dalam masyarakat setempat. Tuntasnya, jaya atau gagalnya
usaha mendidik dan mendisiplinkan pelajar sepatutnya ditanggung bersama oleh
semua pihak bukan terletak di bahu guru semata-mata.Dengan memastikan tugas
mendidik dan mendisiplin pelajar adalah tanggungjawab bersama, masalah disiplin
pelajar dan cara sekolah menanganinya tidak lagi menjadi isu dan tidak
menimbulkan kesan negatif kepada guru , pelajar mahupun ibu bapa . Melalui
kerjasama daripada pelbagai pihak, pasti para guru lebih mudah menempuh
cabaran yang mendatang berbekalkan semangat juang yang tinggi. Akan terlerailah
konflik dalaman yang dihadapi oleh para guru dan akan lebih mudahlah para guru
berusaha menyusun langkah dan mengatur strategi meneruskan perjuangan dan
memikul amanah Allah sebagai pendidik anak bangsa . Maka akan lahirlah modal
insan yang cemerlang,gemilang dan terbilang sebagai pewaris negara.

You might also like