You are on page 1of 15

Guru dan Pembinaan Negara Bangsa: Suatu Perspektif

Mohd Husin Bin Mohd Tap: Februari 2013 1



Guru dan Pembinaan Negara Bangsa: Suatu Perspektif
Oleh:
Mohd Husin Bin Mohd Tap dan Zulkifli Bin Senin
IPG Kampus Tun Hussein Onn, Batu Pahat, Johor

Pengenalan
Kebanyakan negara yang pernah dijajah biasanya akan menghadapi masalah dalam usaha
membina sebuah negara bangsa apabila negara itu mencapai kemerdekaan. Malah ada negara-
negara di Asia dan Afrika yang berpecah belah sebaik sahaja ia dibebaskan dari belenggu
penjajahan. Perpecahan ini adalah berpunca dari kegagalan rakyat negara-negara tersebut
mencari asas-asas perpaduan dan persefahaman di kalangan mereka. Negara kita Malaysia juga
tidak terkecuali dalam hal ini. Walaupun negara telah 55 tahun mencapai kemerdekaan dan telah
menjadi sebuah negara yang pesat membangun, namun sebuah negara bangsa Malaysia masih
belum dapat dibentuk dalam erti kata sebenarnya. Tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa
pembinaan negara bangsa Malaysia masih di tahap impian kerana sehingga kini masih tiada ada
satu identiti sepunya bagi seluruh rakyat di negara ini. Buktinya kita masih sukar hendak
menunjukkan ciri-ciri dan rupa bangsa Malaysia secara pasti dan yakin apabila ada orang
bertanya mengenainya.

Konsep Pembinaan Negara Bangsa
Pelbagai takrifan yang diberikan kepada negara dan bangsa. K. Ramanathan (1992)
mentakrifkan negara sebagai sekumpulan manusia yang menduduki sesebuah wilayah yang tetap di
bawah penyelenggaraan sebuah kerajaan dan tidak tertakluk kepada kuasa luar. Negara perlu mempunyai
rakyat dan kerajaan bagi menepati maksudnya. Robert A. Dahl (1983) mentakrifkan negara sebagai suatu
sistem politik yang ditegakkan oleh rakyat sesebuah wilayah dan mempunyai kerajaan yang
mentadbir wilayah tersebut. Manakala Miriam Budiardjo (1981) mentakrikan negara adalah satu sistem
politik yang mengandungi penduduk di dalam sesebuah wilayah yang ditadbiroleh pihak tertentu.
Guru dan Pembinaan Negara Bangsa: Suatu Perspektif

Mohd Husin Bin Mohd Tap: Februari 2013 2

Konsep negara merujuk kepada satu unit politik yang mempunyai penduduk yang
menetap di sesuatu kawasan atau wilayah dengan memiliki sempadan yang ditandai dengan jelas. Penduduk
pula diperintah oleh sebuah kerajaan yang mempunyai kedaulatan dan diakui sah pemerintahannya
serta berkuasa untuk menggubal dan melaksanakan undang-undang serta peraturan yang dipatuhi
oleh rakyatnya. Konsep bangsa merujuk kepada kumpulan anggota masyarakat yang mendiami
satu ruang wilayah yang mempunyai sempadan dan satu kerajaan yang sama serta mentaati satu
undang-undang yang sama. Unsur politik memainkan peranan yang penting kerana setiap
anggota di dalam bangsa itu terikat oleh satu sistem perundangan yang sama serta mempunyai
hak dan tanggungjawab yang selaras. Kesimpulannya, bangsa boleh merangkumi beberapa kumpulan ras
atau etnik yang disatukan dibawah satu sistem pemerintahan dan perundangan serta mempunyai tanggungjawab
yang samauntuk mematuhi perlembagaan bangsa itu
Negara bangsa merujuk kepada negara yang berdaulat yang didiami oleh satu bangsa.
Manakala bangsa pula ialah kumpulan manusia dalam satu ikatan ketatanegaraan seperti bangsa
Malaysia. Secara umumnya, pembinaan negara bangsa adalah satu proses pembinaan semangat
kenegaraan bagi mewujudkan satu bangsa padu dan memberi tumpuan taat setia yang tidak
berbelah bahagi, sedia memberi sumbangan dan berkoban untuk negara. Pembinaan negara
bangsa amat penting bagi sebuah negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.
Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai serta semangat
patriotisme, terutamanya dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan
pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi jugs sistem nilai, budaya dan
kepercayaan dari pelbagai negara.

Pengertian Negara Bangsa
Negara bangsa ialah satu konsep atau bentuk kenegaraan yang memperoleh pengesahan
politiknya dengan menjadi sebuah entiti berdaulat bagi satu-satu bangsa sebagai sebuah (unit)
wilayah yang berdaulat. "Negara" (atau negeri) ialah entiti politik dan geopolitik, manakala
"bangsa" ialah entiti budaya dan/atau etnik. Istilah "negara bangsa" menandakan bahawa kedua-
duanya (negara dan bangsa) sebagai sama, dan ini membezakannya dengan bentuk kenegaraan
Guru dan Pembinaan Negara Bangsa: Suatu Perspektif

Mohd Husin Bin Mohd Tap: Februari 2013 3

yang lain, yang telah wujud sebelumnya. Jika berjaya dilaksanakan, ia menandakan bahawa
rakyatnya berkongsi satu bahasa, budaya dan nilai - yang bukan merupakan ciri-ciri negara yang
telah wujud sebelumnya. Sebuah dunia dengan negara-negara bangsa juga akan melaksanakan
tuntutan terhadap penentuan nasib sendiri dan autonomi bagi setiap bangsa, yang menjadi fokus
utama fahaman nasionalisme.
Kesimpulannya, negara bangsa boleh didefinisikan sebagai sebuah negara yang bersatu
padu serta menyanjung masa hadapan yang dikongsi bersama. Rakyatnya mestilah hidup
berharmoni, sejahtera, berintergrasi wilayah-wilayah dan kelompok-kelompoknya, menikmati
kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan perkongsian dan persamaan hak dan keadilan,
taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap negara. Kesemua ini akan
menyumbang ke arah keteruswujudan negara dalam era globalisasi yang pesat ini.

Pembinaan Negara Bangsa Malaysia
Ungkapan istilah negara bangsa Malaysia bukanlah sesuatu yang baru tetapi telahpun
diperkatakan dan diperbincangkan oleh berbagai-bagai pihak. Namun begitu, penghuraiannya
tidaklah begitu jelas. Walaupun banyak orang bercakap tentang bangsa Malaysia tetapi hanya
dalam tahun 1988, dalam satu majlis Pelancaran Perancangan Pemasyarakatan Perpaduan yang
dianjurkan oleh Jabatan Perpaduan Negara, YAB Perdana Menteri, Dato Seri Dr. Mahathir
Mohamad dalam ucapannya yang bertajuk Pembentukan Bangsa Malaysia telah bercakap dan
menghuraikan tentang bangsa Malaysia dan pembentukannya serta matlamat dan bilakah
tercapainya cita-cita tersebut.
Pembinaan negara bangsa merupakan matlamat utama sesebuah negara dan boleh
dianggap sebagai kemuncak kejayaan bagi sesebuah negara, pentadbiran serta penduduknya.
Merujuk kepada Malaysia, proses awal pembinaan negara bangsa lebih tertumpu kepada
keperluan politik. Usaha-usaha secara intensif bagi mencapai matlamat mula dilaksanakan
selepas peristiwa 13 Mei 1969 khususnya menerusi rancangan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Kesungguhan ke arah pembentukan bangsa Malaysia semakin ketara, menyerlah dan
menampakkan komitmen para pemimpin negara dan secara tidak langsung menjadi hasrat
Guru dan Pembinaan Negara Bangsa: Suatu Perspektif

Mohd Husin Bin Mohd Tap: Februari 2013 4

kerajaan. Peri mustahaknya ke arah pembentukan satu negara bangsa Malaysia telah dinyatakan
secara jelas oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamad pada 28 Februari
1991 melalui apa yang kemudiannya dikenali sebagai Wawasan 2020. Beliau menegaskan
bahawa:
Cabaran pertama, paling pokok dan paling asas ke arah mencapai matlamat
Wawasan 2020 ialah membentuk sebuah negara-bangsa (Bangsa Malaysia) yang
bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang diperkongsi bersama (dan
menumpukan) taat setia yang tidak berbelah bagi terhadap bangsa tersebut.
(Mahathir Mohamad: 1991)
Melampaui abad ke 21, matlamat tersebut masih disuarakan oleh pemimpin selepasnya.
Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah menekankan kepentingan perkongsian sebuah negara dan
menekankan semangat kecintaan kepada negara. Menurut beliau :
Kejayaan Malaysia telah dibina atas usaha bersama. Negara Malaysia akan
terus dibangunkan secara bersama dalam semangat yang tidak membenarkan
berlakunya tafsiran sempit dari segi identiti warga, tidak membenarkan
berlakunya amalan ekstremisme agama, tidak mengizinkan berlaku ketidakadilan
di kalangan warga dan tidak mengizinkan tercetusnya sebarang kebimbangan
terhadap jaminan masa hadapan mana-mana warga. Bumi dan langit Malaysia
adalah tempat bertapak, tempat berteduh setiap warga Malaysia, Bumi dan langit
Malaysia menjanjikan tapak kukuh dan langit cerah untuk setiap warga dapat
hidup bersatu penuh muafakat..

Ciri utama dalam pembentukan negara bangsa Malaysia ialah integrasi nasional, di mana
semua kumpulan, golongan, agensi, institusi dan individu serta ahli masyarakat dari semua
peringkat mempunyai kesediaan untuk hidup secara harmoni dan bersatu-padu serta berbaik-baik
sangka demi mencapai matlamat.
Guru dan Pembinaan Negara Bangsa: Suatu Perspektif

Mohd Husin Bin Mohd Tap: Februari 2013 5

Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai serta
semangat patriotisme.Hasrat untuk membentuk sebuah negara bangsa dalam konteks Malaysia
boleh dihuraikan seperti berikut:
"...membentuk membentuk sebuah negara yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan
yang dikongsi bersama. Bangsa itu mestilah sejahtera, berintegrasi wilayah-
wilayah dan kelompok-kelompoknya, menikmati kehidupan bersama yang
sepenuhnya berasaskan persamaan hak dan keadilan, membentuk sebuah Bangsa
Malaysia dengan rasa taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi
terhadap bangsa tersebut."
(Tun Dr. Mahathir Mohamad Melangkah Ke Hadapan, 1991)

"...kita mempunyai tanggung jawab yang besar dalam pembangunan bangsa dan
negara ini. Kita juga mempunyai peranan yang penting dalam pembentukan
minda dan jiwa rakyat untuk membawa kita ke arah wawasan yang ingin kita
capai."
(Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi Dewan Budava,1999 )

Persoalannya, tercapaikah hasrat pembentukan negara bangsa Malaysia menjelang 2020.
Kemungkinan besar, hasrat ini tidak akan tercapai sekiranya masih ada kekangan-kekangan yang
melambatkan proses pembentukan negara bangsa. Isu-isu seperti isu bahasa, sikap etnosentrik,
kepentingan ekonomi dan perebutan kuasa adalah halangan utama kepada pembinaan negara
bangsa. Isu-isu ini dilihat seolah-olah tidak ada jalan penyelesaian kerana isu ini melibatkan
kepentingan semua kaum.
Pembinaan negara bangsa tidak akan tercapai sekiranya masih ada perasaan etnosentrik
dalam kalangan masyarakat iaitu perasaan merendahkan sesuatu bangsa dan budaya kaum lain
kerana merasakan bangsa dan budaya sendiri lebih hebat. Perasaan bangga ini menyebabkan
Guru dan Pembinaan Negara Bangsa: Suatu Perspektif

Mohd Husin Bin Mohd Tap: Februari 2013 6

masyarakat sukar untuk menerima kaum lain dalam melakukan aktiviti seharian. Perasaan
etnosentrik ini boleh memecahbelahkan keharmonian sesuatu kaum kerana kegagalan untuk
bekerjasama dan bertolak ansur. Sikap ini juga boleh membawa kepada pergaduhan besar seperti
peristiwa hitam pada 13 Mei 1969 dan peristiwa pertelingkahan kaum yang berlaku di Kampung
Medan Petaling Jaya.
Pembentukan negara bangsa ini sukar dicapai sekiranya tidak ada komitmen yang
menyeluruh oleh rakyat Malaysia sendiri. Semangat perpaduan antara kaum sepatutnya dipupuk
semasa kecil lagi. Rata-rata penduduk terutamanya di luar bandar hanya berkawan dengan
bangsa yang sama. Hal ini kerana sesuatu tempat tersebut hanya didominasi oleh satu kaum
sahaja iaitu kaum Melayu. Kaum Cina dan India telah migrasi ke kawasan yang lebih maju. Ibu
bapa yang berbangsa Cina dan India sanggup menghantar anak belajar di sekolah yang
mempunyai lebih kemudahan dan mempunyai persaingan yang sihat. Anak-anak di sekolah luar
bandar memahami erti perpaduan kaum setelah mereka melangkah kaki ke peringkat pengajian
tinggi. Tidak salah sekiranya meletakkan guru pelbagai bangsa di satu sekolah yang sama. Ini
kerana murid-murid akan lebih memahami budaya dan menghormati kaum lain berdasarkan
pemerhatian dan tunjuk ajar dari guru tersebut.
Isu bahasa juga merupakan kekangan kepada pembentukan negara bangsa. Hal ini kerana
bahasa Melayu masih tidak diaplikasikan sepenuhnya dalam komunikasi harian. Pengaplikasian
bahasa Melayu ini ternyata agak sukar kerana ramai masyarakat terutama masyarakat peribumi
Sabah dan Sarawak lebih senang menggunakan bahasa etnik mereka dan Bahasa Inggeris untuk
berkomunikasi daripada menggunakan bahasa Melayu. Tidak salah jika kita sedikit sebanyak
mempelajari bahasa berlainan kaum. Mempelajari bahasa berlainan bangsa ini sebenarnya
mengeratkan hubungan antara kaum dan dilihat sebagai langkah menghormati kaum lain. Namun
jika dilihat generasi kini lebih cenderung untuk mempelajari bahasa lain seperti bahasa Jepun,
Korea, Indonesia berbanding mempelajari bahasa Cina, Melayu dan India. Sudah tentu semua
kaum tidak dapat mengaplikasikan penggunaan bahasa melayu kerana apabila berkomunikasi
masyarakat lebih suka menggunakan bahasa pasar dan loghat bahasa negeri masing-masing.
Usaha memartabatkan bahasa Melayu ini merupakan suatu usaha yang sukar kerana
terpaksa bersaing dengan arus globalisasi yang sedikit sebanyak mengubah sistem pendidikan
Guru dan Pembinaan Negara Bangsa: Suatu Perspektif

Mohd Husin Bin Mohd Tap: Februari 2013 7

negara, contohnya dengan mengaplikasikan penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran
Sains dan Matematik yang telah dilakukan suatu ketika dahulu. Perkara seperti ini sedikit
sebanyak boleh menggugat pengaruh penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat.
Namun sekiranya semua masyarakat terutama kaum Melayu itu sendiri berusaha
mengaplikasikan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam pertuturan seharian, tidak
menghairankan jika bahasa Melayu ini mencapai matlamat sebagai bahasa bangsa Malaysia dan
pembinaan negara bangsa Malaysia menjadi lebih mudah.
Matlamat pembinaan negara bangsa ini merupakan satu langkah yang boleh menjulang
negara Malaysia menjadi sebuah negara maju. Ironinya ada sesetengah pihak menganggap
matlamat ini hanya sekadar satu retorik dalam politik pemerintahan untuk menarik kepercayaan
dan keyakinan rakyat terhadap sistem politik negara. Konsep negara bangsa ini adalah impian
sebenar semua rakyat Malaysia dan dasar-dasar yang dilaksanakan adalah percambahan usaha
bagi merealisasikan matlamat pembentukan negara bangsa. Gagasan satu Malaysia yang
diperkenalkan oleh perdana menteri kita Dato Seri Najib Tun Razak merupakan usaha untuk
mencapai impian Malaysia untuk menjadi sebuah negara bangsa yang dihasratkan.
Selain itu, matlamat kerajaan untuk membina sebuah negara bangsa adalah selaras
dengan gagasan 1 Malaysia iaitu Rakyat didahulukan, Pencapaian Dutamakan yang
dihasratkan oleh Perdana Menteri kita iaitu Datuk Seri Najib Razak. Gagasan 1 Malaysia
memerlukan kepimpinan dan rakyat yang berintegriti tinggi. Selain itu, sifat jujur, berkebolehan,
bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab
kepada negara. Maka, semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada
negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri.
Negara ini adalah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta
fahaman politik. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di
mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada
masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan
pembelaan daripada kerajaan. 1 Malaysia adalah pemangkin kepada pengwujudan negara
bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara bangsa yang mempunyai sikap kesamaan
Guru dan Pembinaan Negara Bangsa: Suatu Perspektif

Mohd Husin Bin Mohd Tap: Februari 2013 8

dan kekitaan di kalangan rakyat. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada
perkongsian nilai, integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.
Dalam usaha mencapai wawasan membina negara bangsa, semua pihak harus bersatu
padu dan bekerjasama. Dalam hal ini, memandangkan bidang pendidikan merupakan aspek yang
penting dalam pembinaan negara bangsa, maka warga pendidik iaitu guru merupakan golongan
di barisan paling hadapan dalam usaha ini. Selain bertanggungjawab mengajar dan mendidik,
guru juga memainkan peranan yang penting dalam membina negara bangsa bermaruah dan
stabil serta mampu bersaing dengan negara maju. Sehubungan itu, guru berperanan dan
bertanggungjawab membina insan yang seimbang berasaskan kepada keilmuan, kerohanian dan
kemahiran.
Guru dan Pembinaan Negara Bangsa Malaysia
Guru diiktiraf sebagai pembina negara bangsa merupakan penyataan yang rasional. Guru
sebagai pendidik terbukti telah memainkan peranan utama dalam memperjuang dan
mengekalkan kemerdekaan serta kedaulatan negara melalui sistem pendidikan.
Sej arah menj adi bukt i bahawa keprihatinan para guru t erhadap kesengsaraan rakyat
di bawah penjajahan Jepun dan British telah mendorong ramai dalam kalangan guru yang
berusaha meniup semangat patriotisme dalam hati setiap anak-anak didik dan hati setiap
golongan masyarakat. Bukan sahaja menerusi perjuangan dalam parti politik, tetapi juga
menerusi bidang persuratan.
Dengan beraninya golongan ini menyuarakan komentar serta pandangan tajam mereka
mengenai penjajah melalui suratkhabar seperti Utusan Melayu, Majlis, Warta Malaya,
Warta Ahad dan Warta Jenaka. Golongan guru bukan sahaja dihormati dan diakui
mempunyai ilmu pengetahuan yang banyak dan pengalaman yang luas malah mempunyai
semangat yang tinggi dalam perjuangan mempertahankan kedaulatan negara. Sejarah
membuktikan bahawa guru memainkan peranan penting dalam mempengaruhi pemikiran rakyat.
Mereka menulis dengan tujuan yang sungguh murni iaitu untuk perkembangan dan kedaulatan
bahasa dan sastera serta kemerdekaan tanah air. Pahit getir perjuangan penulisan
mereka terasa manisnya apabila laungan kemerdekaan bergema di seluruh Persekutuan Tanah
Guru dan Pembinaan Negara Bangsa: Suatu Perspektif

Mohd Husin Bin Mohd Tap: Februari 2013 9

Melayu pada 31 Ogos 1957.
Guru diiktiraf sebagai pembina negara bangsa disebabkan golongan gurulah juga
menjadi harapan negara bagi mewujudkan pembangunan dan modal insan dan memastikan
pembentukan jati diri murid yang kukuh, berdaya saing, berkeyakinan tinggi dan berpegang
teguh kepada agama dan nilai sejagat seterusnya menjadi warganegara glokal yang
mampu bersaing dengan kepesatan dunia luar. Harapan ini dilet akkan di bahu para
guru lantaran kecekapan dan keberkesanan guru menerusi sistem pendidikan terbukti mampu
menggerakkan usaha yang padu dan jitu dalam membina sebuah Negara Bangsa yang
berjaya.
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan
potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan
harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani,berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan
kepada Tuhan. Usaha ini adalah melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan,
berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan
diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga,masyarakat dan
negara. Tidak dapat dinafikan, pembinaan insan ini adalah disepadukan dengan tiga eleman
yang penting iaitu patriotisme, nasionalisme dan ideologi kebangsaan untuk membina
kecemerlangan warga dan seterusnya membina negara bangsa. Sehubungan itu, dalam
pengajaran dan pembelajaran guru, guru sedaya upaya menekankan kepada tiga elemen ini.
Patriotisme adalah perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air. Perasaan ini perlu wujud
di hati setiap individu rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Sehubungan itu, semangat patriotik
ini dapat membentuk rakyat Malaysia yang bersatu padu dan harmoni. Patriotisme adalah sangat
penting kepada Malaysia kerana ia menjadi satu daripada prasyarat pembentukan bangsa dan
pengukuhan ketahanan nasional. Matlamat pemupukan patriotisme adalah untuk membentuk
warganegara yang bersemangat patriotik dan berkeperibadian Malaysia. Dalam hal ini, guru
perlu memberi pendedahan kepada murid-murid mengenai sejarah negara sebagai asasnya dalam
pembinaan negara bangsa. Maka, pendidikan sejarah adalah penting kerana mempelajari sejarah
bukanlah semata-mata untuk mendapatkan pengetahuan, tetapi ianya boleh menjadi pedoman
dan memberi iktibar kepada sesuatu bangsa mengenai apa yang telah berlaku. Selain itu, sejarah
Guru dan Pembinaan Negara Bangsa: Suatu Perspektif

Mohd Husin Bin Mohd Tap: Februari 2013 10

memberikan banyak pengajaran yang berkait dengan jatuh bangunnya sesuatu bangsa dan negara
maka sejarah patut dijadikan garis panduan untuk pembinaan semula kedudukan dan kekuatan
bangsa dan negara.
Pendidikan sejarah yang dimulakan pada peringkat sekolah menengah dan akan mula
dilaksanakan di peringkat sekolah rendah pada tahun 2014 adalah bertujuan melahirkan
warganegara yang mempunyai perasaan bangga dan cinta akan tanah air, bersemangat kekitaan
dan perpaduan serta menjadi warga dunia yang mewujudkan persefahaman di peringkat
antarabangsa. Di samping nilai-nilai murni dan semangat patriotik, pendekatan pengajaran dan
pembelajaran pendidikan Sejarah juga menjurus kepada pemupukan kemahiran berfikir dan
kemahiran pemikiran sejarah di kalangan murid. Natijah daripada pemahaman dan penghayatan
sejarah negara, seluruh rakyat dapat membina kekuatan semangat cinta akan negara.
Selain itu, semangat patriotisme dalam konteks agama dan pendidikan moral adalah
digalakkan malahan diberi keutamaan. Ajaran daripada agama adalah untuk kebaikan kita.
Contohnya, ajaran Islam sendiri mengajar dan menuntut umatnya supaya menghormati hak orang
lain, hak sesama Islam, hak jiran dan sebagainya. Selain pendidikan agama Islam, pendidikan
moral yang diajar di sekolah juga memupuk semangat patriotisme dalam kalangan pelajar.
Pelajar dididik agar minda mereka disulami dengan nilai-nilai yang boleh bangkit memperjuang
dan menjaga kedaulatan negara agar tidak mudah dibaham oleh mana-mana kuasa asing.
Contoh-contoh nilai murni ini adalah seperti bertanggungjawab, hormat-menghormati, sayang-
menyayangi, bertolak ansur dan sebagainya.
Selain itu, pengenalan mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan adalah
bermatlamat melahirkan murid yang patriotik dan bertanggungjawab sebagai warganegara
Malaysia. Mata pelajaran ini juga bertujuan memberi kesedaran kepada murid tentang peranan,
hak dan tanggungjawab mereka dalam masyarakat dan negara untuk melahirkan anggota
masyarakat dan warganegara yang bersatu padu, patriotik dan boleh menyumbang ke arah
kesejahteraan masyarakat, negara dan dunia.
Nasionalisme adalah satu ideologi yang mencipta dan mempertahankan kedaulatan
sesebuah negara dengan mewujudkan satu konsep identiti bersama untuk sekumpulan manusia.
Guru dan Pembinaan Negara Bangsa: Suatu Perspektif

Mohd Husin Bin Mohd Tap: Februari 2013 11

Tugas untuk memantapkan perpaduan negara dan mewujudkan integrasi nasional merupakan
tugas yang berat. Sebagai pembina negara bangsa, guru perlu meningkatkan tahap kesedaran dan
kefahaman murid supaya menghormati Perlembangan Malaysia yang merupakan undang-undang
tertinggi dalam Malaysia. Justera itu, guru perlu memastikan melahirkan rakyat yang boleh
memahami, menerima dan mengamalkan prinsip-prinsip dan cita-cita demokrasi mengikut
perlembagaan.
Ideologi Kebangsaan merupakan salah satu eleman yang penting untuk membina
kecemerlangan warga. Di sekolah, guru juga perlu membimbing murid-murid menghayati
idealogi kebangsaan kita iaitu Rukun Negara kita. Sehubungan ini dapat memantapkan
perpaduan dan integrasi nasional. Rukun Negara telah diperkenalkan sebagai ideologi negara
pada tahun 1970 ekoran daripada peristiwa pergeseran kaum yan amat serius pada 13 Mei 1969.
Peristiwa hitam dalam hubungan kaum ini berlaku disebabkan beberapa masalah terutama
berkaitan dengan perpaduan hubungan kaum, ketidakseimbangam ekonomi, kedudukan Melayu
yang tercabar.
Sehubungan itu, Rukun Negara atau Ideologi Kebangsaan diperkenalkan untuk mencapai
perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat, memelihara satu cara hidup
demokratik, mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dinikmati
bersama secara adil dan saksama. Selain itu, menjamin satu cara hidup yang liberal terhadap
tradisi-tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai corak dan membina satu masyarakat progesif
yang akan menggunakan sains dan teknologi moden. Bagi mencapai matlamat ini, Rukun
Negara menggariskan lima prinsip utama yang perlu diamalkan oleh masyarakat Malaysia iaitu
Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan,
Kedaulatan Undang-undang dan Kesopanan dan kesusilaan. Guru perlu memastikan murid-
murid faham dengan prinsip-prinsip ini. Langkah ini diambil untuk menyemarakkan
penghayatan prinsip-prinsip Rukun Negara dalam kalangan murid-murid sekolah bagi
membentuk warga negara yang bersatu padu dan harmonis.
Untuk membina sebuah bangsa Malaysia, bahasa memainkan peranan penting dalam
membentuk jati diri dan identiti sesebuah bangsa. Bahasa Melayu yang merupakan Bahasa
Kebangsaan dapat menyerapkan semangat penyatuan, menerapkan roh sebangsa, senegara dan
Guru dan Pembinaan Negara Bangsa: Suatu Perspektif

Mohd Husin Bin Mohd Tap: Februari 2013 12

menyemarak jati diri kebangsaan. Di sekolah menengah kebangsaan, guru perlu menggalakkan
murid-murid sama ada kaum melayu ,kaum Cina atau pun India bertutur dalam bahasa
Kebangsaan. Jika murid-murid bertutur dalam bahasa ibuanda mereka, maka kaum yang lain
tidak faham kandungan pertuturan. Jadi, ini menyebabkan mereka hanya berinteraksi antara
kaum mereka sendiri.
Kita sebagai rakyat Malaysia harus berikrar untuk sama-sama mendukung lima
prinsip rukun negara yang salah satunya ialah Keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan
undang-undang. Sebagai pembina negara bangsa, tentunya guru sendi ri perlu
memahami dan menghormati Perlembagaan Malaysia. Gur u per l u ber gandi ng bahu
dal am us aha unt uk meningkatkan tahap kesedaran dan kefahaman pelajar -pelajar
supaya menghormati Perlembagaan Malaysia iaitu undang-undang tertinggi Malaysia. Pelajar-
pelajar dididik untuk mendaulatkan undang-undang negara. Hal ini amat penting lantaran
tindakan rakyat Malaysia (yang terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum)
mendaulatkan undang-undang negara membolehkan kita hidup secara aman dan harmoni serta
dihormati bukannya mudah diperlekehkan oleh masyarakat antarabangsa. Martabat bangsa
kita iaitu bangsa Malaysia dapat diangkat dan Malaysia dapat berdiri sama tinggi dan duduk
sama rendah dengan negara-negara maju yang lain.
Tugas memantapkan perpaduan negara dan mewujudkan integrasi nasional
merupakan tugas yang berat. Sememangnya perlu dimulakan pada zaman persekolahan
lagi. Dalam hal ini, guru berperanan membetulkan sebarang tafsiran salah atau dakyah
palsu yang cuba disebarkan oleh golongan yang hanya mahu meruntuhkan bangsa dan negara
Malaysia. Semangat patriotisme dalam kalangan pelajar juga harus sentiasa disemai dan dibajai
agar tetap tumbuh subur di hati para pelajar. Pelajar-pelajar yang belum matang dan belum dapat
berfikir dengan rasional mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir jahat yang cuba menggunakan
perbezaan kaum, agama dan warna kulit untuk memecah-belahkan perpaduan rakyat.
Oleh itu, gurulah yang bertanggung jawab membentuk jati diri pelajar supaya tetap kukuh
dan terhindar daripada dipergunakan oleh individu atau kelompok dalam negara mahu pun pihak
luar untuk kepentingan diri mereka sendiri. Pelajar-pelajar harus dididik untuk memahami
sejarah kemerdekaan negara dan tidak mudah dipengaruhi oleh orang luar untuk mempertikaikan
Guru dan Pembinaan Negara Bangsa: Suatu Perspektif

Mohd Husin Bin Mohd Tap: Februari 2013 13

kontrak sosial yang termeteri antara ketua-ketua pemimpin kaum pada suatu ketika dulu. Hal ini
tentunya melibatkan sensitiviti kaum dan mampu merenggangkan perpaduan yang terjalin antara
rakyat Malyasia dan secara tidak langsung menyukarkan ke arah pembinaan negara bangsa
Malaysia.

Kesimpulan
Pembinaan Negara Bangsa amat penting bagi memastikan identiti nasional yang
dihasratkan tercapai. Hal ini memerlukan usaha yang gigih dan kerjasama yang erat daripada
semua pihak. Semangat bersatu padu, cinta dan kesetiaan kepada negara, patriotisme,
berorientasi glokal, keharmonian dan toleransi, berbudi bahasa dan beradab serta memahami,
menyanjung budaya dan seni bangsa bukan saja perlu difahami tetapi diamalkan sepenuhnya.
Maka, dalam proses pembangunan negara bangsa, guru perlu sentiasa memastikan murid-
murid berpegang kuat kepada prinsip kepercayaan kepada Tuhan, sentiasa menyemai dan
memupuk semangat patriolisme dan cintakan negara dalam kalangan para pelajar. Di samping
itu, adalah penting juga guru menyemaikan nilai-nilai murni kepada murid- murid sama ada
melalui agama atau pun mata pelajaran yang berkaitan. Tambahan pula, guru juga perlu menjadi
teladan yang baik dan selalu mematuhi kod etika guru serta menjaga imej pada setiap masa.
Pendidikan merupakan pemangkin dalam pembinaan negara bangsa Malaysia
terutamanya bagi menyemai semangat kenegaraan khususnya pada peringkat awal
perkembangan pelajar. Maka, peranan dan tanggungjawab guru adalah penting dalam melahirkan
warganegara glokal yang mampu bertindak dengan bijak untuk menghadapi cabaran dan
ancaman globalisasi dan liberalisasi.



Guru dan Pembinaan Negara Bangsa: Suatu Perspektif

Mohd Husin Bin Mohd Tap: Februari 2013 14

Bibliografi
Abd Rahim Abd Rashid (1997). Model dan pendekatan pengajaran Sejarah KBSM. Kuala
Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abd. Rahim Abd. Rashid (2004). Patriotisme: Agenda Pembinaan Bangsa. Kuala Lumpur:
Utusan Publications.
Abdul Rahman Embong (2000). Negara-Bangsa : Proses dan Perbahasan. Bangi : Penerbit
UKM
Abdul Samad Idris (1982). 25 Tahun Merdeka. Kuala Lumpur : Pustaka Budiman
Ainon bt Hj Kuntom (2000). Perpaduan dan integrasi nasional dalam Seminar Kebangsaan
Penghayatan dan Pengukuhan Kemerdekaan Malaysia.11-13 September.
Ghazali Shafie (1980). History and Nation Building. Ucapan Perasmian IAHA
Ishak Saat (2009). Pendidikan Negara Bangsa Malaysia. Shah Alam: Karisma Publications
Sdn.Bhd.
Khoo Kay Kim (1992). Perkembangan Pendidikan Sejarah di Malaysia, dalam Sejarah Dalam
Pendidikan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.Berita Harian. 30 Ogos 1997
Mahathir Mohamad. 1991. Malaysia melangkah ke hadapan. Kuala Lumpur:
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa & Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohamed Idris Shah, Che Su Mustaffa, Fuziah Shaffie (1994). Sejarah Pembangunan Bangsa
dan Negara.Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distribution Sdn. Bhd.
Muhd Yusof Ibrahim (1994). Kepentingan Sejarah Kepada Manusia dan Negara dalam JEBAT
Bil 22, Bangi : Jabatan Sejarah UKM,
Oong Hak Ching (1998). Dari Penyata Barnes ke Akta Pendidikan 1995 : Menilai Semula
Lakaran Sejarah Perkembangan Dasar Pendidikan Kebangsaan Malaysia, dalam Sejarah,
Guru dan Pembinaan Negara Bangsa: Suatu Perspektif

Mohd Husin Bin Mohd Tap: Februari 2013 15

Bahasa dan sastera dalam Pembinaan Negara Bangsa. Bangi : FSKK UKM JEBAT 36
(2009) 90-106 106
Wan Mohd Zahid Mohd Noordin. 1992. Pendidikan Sejarah di Sekolah Rendah dan Menengah
(KBSR/KBSM) : Objektif dan Pencapaian, dalam Sejarah Dalam Pendidikan. Kuala
Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Huraian Sukatan Pelajaran KBSM (2002). Sejarah Tingkatan 4. Kuala Lumpur. Pusat
Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia
Huraian Sukatan Pelajaran KBSM (1989). Sejarah Tingkatan 3. Kuala Lumpur. Pusat
Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia
Kementerian Pelajaran Malaysia (2006). Rancangan Malaysia Ke 9- Pelan Induk Pembangunan
Pendidikan (2006 -2010), Putrajaya.
Rancangan Malaysia Ke-9 Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 edisi
pelancaran(2006), Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan,
Kementerian Pelajaran Malaysia.
Laporan Jawatankuasa Kabinet mengkaji perlaksanaan dasar pelajaran. 1988. Kuala Lumpur :
Kementerian Pelajaran Malaysia
Berita Harian. 12 Ogos 2002
New Straits Times. 11 April 2009
Malaysiakini. 30 Ogos 2009
Malaysiakini. 31 Ogos 2009
Massa. 24 Feb-2 Mac 2001

You might also like