You are on page 1of 5

ADAB-ADAB MENGAJAR *

(Oleh: Ahmad Fauzi bin Mohamed)


Pendahuluan
Melalui ilmu pengetahuan manusia akan mentaati Allah Azzawajalla, memperhambakan diri
kepadaNya, mengesakanNya dan membesarkanNya. Dengan ilmu pengetahuan jugalah manusia boleh
mencapai darjat kewarakan dan dapat membezakan di antara halal dan haram. Ilmu pengetahuan juga
diumpamakan sebagai pembimbing ke arah tahap orang-orang yang terpuji dan tertinggi kedudukannya.
Justeru itu, agama Islam amat menggalakkan umatnya menyebarkan ilmu pengetahuan. Di antara ayat-ayat
al-Quran mengenai keutamaan mengajar ialah seperti firman Allah Taala (al-Imran : 187) yang bermaksud
Dan di waktu Tuhan mengambil janji orang-orang yang diberikan olehnya kitab; iaitu hendaklah kamu
sekalian menerangkan perkara-perkara yang tersebut di dalam kitab itu dan jangan kamu
menyembunyikannya.
Islam juga menghukumkan salah bagi orang yang menyembunyikan ilmu pengetahuannya,
sebagaimana dihukumkan haram pula orang yang menyembunyikan penyaksiannya. Firman Allah Taala
(al-Baqarah: 283) yang bermaksud Barangsiapa menyembunyikannya (penyaksiaan), maka berdosalah
hatinya. Perbincangan selanjutnya akan membicarakan beberapa perkara yang berkaitan dengan diri
pengajar dan juga hal-hal yang terkandung di dalam aktiviti-aktiviti mengajar. Topik-topik yang akan
disentuh adalah meliputi ciri-ciri seseorang pengajar dan tertib atau adab mengajar mengikut tuntutan atau
perspektif Islam.
Ciri-Ciri Pengajar atau Guru
Menurut Ibn Aqnin dalam Rosenthal (1992) terdapat tujuh syarat menjadi guru iaitu (a)
kemahiran yang lengkap tentang subjeknya; (b) suatu kehidupan amalan yang selaras dengan ilmu; (c)
penerimaan akan tidak adanya upah bagi pengajarannya; (d) layanan kepada pelajar seolah-olah mereka
anak-anaknya; (e) suatu keyakinan yang mendalam tentang kecemerlangan ilmu dan amalan yang
dimaklumkan dari ilmu, begitu juga keinginan untuk menanamkan keyakinan ini dalam diri pelajar-
pelajarnya dan dengan itu memimpin mereka ke arah kebahagiaan; (f) lembut dan sabar dengan pelajar-
pelajarnya; dan (g) menggunakan kurikulum yang bertingkat-tingkat yang disesuaikan dengan kemampuan
mental dan tahap perkembangan pelajar.
Guru Sebagai Pengamal Ilmu
Sebagai pengamal ilmu, seseorang guru mempunyai peranan serta tugas yang amat berat, rumit
dan mencabar. Pembangunan insan dan negara terletak di atas pundak kaum guru. Dalam era ledakan
teknologi maklumat dan pada ketika dunia kini menjadi sebuah global village, tuntutan terhadap ilmu
pengetahuan menjadi semakin mendadak. Justeru itu, guru-guru perlu dan harus sentiasa mengemaskinikan
serta mempertingkat ilmu pengetahuan masing-masing. Dalam perkembangan berkaitan, Islam bukan
sekadar menganjurkan umatnya mencari atau menuntut ilmu malah penyebaran ilmu juga menjadi satu
kewajipan. Shahril @ Charil Marzuki, et. al. (1993) menegaskan guru sebagai pengamal ilmu, mempunyai
peranan serta tanggungjawab sosial iaitu (a) perancang, fasilitator dan pengurus pembelajaran; (b)
penyampai ilmu pengetahuan; (c) pembentuk akhlak; (d) pembimbing; dan (e) contoh teladan atau model.
Menurut Mohd. Idris Jauzi (1990) untuk membolehkan para pendidik memainkan peranan
berkesan dan positif sebagai pengamal dan penyampai ilmu, guru haruslah secara berencana dan
berterusan: (a) mempersiapkan diri dari segi keilmuan; (b) berusaha membersihkan diri dari segi sahsiah
menerusi ibadah-ibadah asas; (c) meningkatkan kecekapan, ketajaman dan ketrampilan diri dalam
pelaksanaan tugas dan interaksi dengan masyarakat; (d) melaksanakan tugas keguruan dengan sebaiknya;
(e) menawarkan khidmat bakti dan kepimpinan dalam kehidupan bermasyarakat; dan (f) menjadikan
sekolah selaku gedung ilmu dan jemaah ilmuan sebagai pusat pendidikan anggota masyarakat.
Guru atau para pendidik juga seharusnya mempunyai dedikasi dan komitmen terhadap profesion
serta tanggunggungjawab moral mereka sebagai seorang guru. Mengikut Jujun S. Suriasumantri (1990)
sebagai seorang pengamal ilmu, seseorang guru harus mempunyai tanggungjawab profesional yang
mencakupi asas kebenaran, kejujuran, tanpa kepentingan langsung, menyandarkan kekuatan penghujahan,
rasional, objektif, kritis, terbuka, pragmatis, dan nuetral dari nilai-nilai yang bersifat dogmatik dalam
menafsirkan hakikat realiti.
Adab dan Tugas-Tugas Guru
Dalam menjalankan tugasnya sebagai seorang guru, Islam telah menggariskan beberapa panduan
dari segi adab yang harus diikuti iaitu:
(a) Guru hendaklah mempunyai rasa belas kasihan kepada pelajar-pelajar dan anggaplah mereka
sebagai anak sendiri. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud Sesungguhnya aku ini
bagimu adalah seumpama seorang ayah bagi anaknya;
(b) Tugas guru adalah amat besar iaitu melepaskan pelajar-pelajarnya dari api neraka, manakala
biasanya usaha kedua-dua ibu bapa melepaskan anak dari neraka dunia;
(c) Guru hendaklah sentiasa ingat bahawa tugas mengajar ilmu, sama ada ilmu akhirat atau ilmu
duniawi adalah semata-mata bertujuan untuk mencapai ke arah kebahagiaan abadi di akhirat;
(d) Mengajar dengan tujuan dunia, maka akhirnya akan binasa dan membinasakan. Berlindunglah
dengan Allah daripadanya;
(e) Tidaklah layak bagi guru itu mencari upah, balasan dan terima kasih hasil dari mengajar itu.
Mengajar itu kerana Allah dan mendekatkan diri kepadaNya;
(f) Guru hendaklah mengajar pelajar-pelajar mengikut susunan dan tertib ilmu pengetahuan,
contohnya ajarlah pelajar-pelajar itu dengan ilmu yang terang dahulu kemudian yang
tersembunyi
(g) Guru hendaklah sentiasa menjelaskan kepada pelajar bahawa maksud menuntut ilmu adalah
untuk mendekatkan diri kepada Allah Taala dan bukan kerana ingin menjadi pemimpin,
kemegahan dan perlumbaan. Terangkan juga akan keburukan sifat-sifat di atas;
(h) Dalam memberi teguran ke atas pelajar yang bersalah, lakukan dengan cara sindiran dan tidak
dengan berterus-terang. Menegur dengan kasih sayang, tidak mengejek-ejek. Teguran yang
terang menyebabkan pelajar hilang takut kepada guru, berani menentang dan suka
meneruskan sifat yang jahat itu;
(i) Seorang guru yang mengajar sesuatu mata pelajaran, tidaklah boleh mempersendakan mata
pelajaran lain di hadapan pelajarnya. Sebaliknya guru hendaklah menggalakkan pelajarnya
mempelajari mata pelajaran lain dengan seluas-luasnya, dan sentiasa mengajar kemajuan
pelajarannya;
(j) Janganlah diajar pelajaran yang belum sampai peringkat pemahaman pelajar, kerana ditakuti
pelajar akan putus asa atau otaknya akan tumpul. Rasulullah S.A.W bersabda yang
maksudnya "Kami para Nabi disuruh menempatkan masing-masing orang pada tempatnya
dan berbicara dengan mereka mengikut tingkat pemikirannya;
(k) Jika didapati pelajar telah faham terhadap pelajaran, kembangkanlah lagi ilmu pengetahuan
itu hingga mendalam;
(l) Pelajar yang singkat atau lambat pemahamannya terhadap pelajaran, berikanlah penjelasan
yang terang dan peringkat yang layak baginya;
(m) Sekiranya ada sesuatu perbahasan yang tidak layak diterangkan kepada pelajar itu, maka
janganlah diberitahu kepadanya tentang adanya perbahasan yang lebih mendalam. Kerana ia
akan menimbulkan kurang keyakinannya dan keinginannya kepada huraian yang ringkas itu,
dan menganggap gurunya kikir (kedekut);
(n) Guru haruslah beramal dengan ilmu pengetahuan itu sepanjang masa kerana tindak-tanduknya
itu sentiasa dilihat oleh pelajar-pelajarnya, menjadi contoh dan keyakinan kepada pelajarnya
pula untuk beramal. Allah Taala berfirman (al-Baqarah:44) yang maksudnya "Adakah kamu
menyuruh orang lain dengan berbuat baik dan kamu lupakan dirimu sendiri.
(o) Tidak melakukan maksiat kerana dosa orang yang berilmu adalah lebih besar dari dosa orang
bodoh melakukan maksiat. Jika orang berilmu (guru) melakukan maksiat, nescaya orang
ramai (pelajarnya) mengikuti tanpa ia sedar bahawa itu dosa. Ali r.a berkata Ada dua orang
yang mendatangkan bala bencana kepada kita, iaitu orang yang berilmu tidak menjaga
kehormatan dan orang yang bodoh kuat beribadat. Orang yang bodoh itu menipu dengan
peribadatannya dan orang yang berilmu itu menipu manusia itu dengan kelengahannya.
Adab-Adab Mengajar
Islam telah mengutarakan beberapa adab-adab mengajar. Seseorang guru hendaklah menjauhkan
diri daripada perasaan bermegah-megah dengan bilangan pelajarnya yang ramai. Dia juga seharusnya
menjauhkan diri daripada membenci pelajar-pelajarnya yang belajar dengan guru-guru yang lain. Keadaan
ini sebenarnya membolehkan guru berkenaan mendapat manfaat daripadanya. Riwayat Abu Muhammad al-
Darimi r.h. daripada Ali bin Abi Talib r.a. yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang menanggung Quran (atau katanya; wahai
pembawa-pembawa ilmu) beramallah dengannya, maka sesungguhnya orang
yang alim itu ialah orang yang beramal dengan apa yang diketahui dan ilmunya
menepati amalannya. Dan akan terdapat beberapa kaum yang membawa ilmu
tidak melebihi tulang selangka mereka bersalahan amalan mereka dengan ilmu
mereka dan batin mereka dengan zahir mereka. Mereka duduk berhalqah (di
dalam lengkungan) bermegah-megah setengahnya terhadap setengah yang lain
sehingga didapati seseorang itu marah terhadap orang yang duduk bersamanya
kerana dia duduk bersama orang (guru) lain serta meninggalkannya. Merekalah
orang-orang yang mana amalan mereka tidak naik kepada Allah Taala dari
majlis-majlis tersebut (iaitu tidak diterima).
(Adab-Adab Berkaitan Dengan Al-Quran, 1989, hal. 33)
Perkara ini telah dikukuhkan daripada Iman Shafie r.a bahawa dia berkata yang maksudnya Ku
ingin semua makhluk yang telah belajar ilmu ini (ilmunya dan kitab-kitabnya) agar tidak disandarkan satu
huruf darinya kepadaku. Para guru sepatutnya dihiasi dengan akhlak-akhlak yang baik seperti yang
disyarakkan, dengan sifat-sifat yang terpuji dan tingkah laku yang diredai yang telah ditunjukkan oleh
Allah kepadanya seperti sifat zahid terhadap dunia, tidak bersifat kebendaan, tidak memperdulikannya,
tidak menghiraukan ahli dunia, bersifat murah hati, dermawan, berakhlak mulia, manis muka yang tidak
sampai ke tahap lucah, lemah lembut, sabar, bersih daripada pekerjaan-pekerjaan yang hina, setia, warak,
khusyuk, tenang, bertatatertib merendah diri, patuh, menjauhi ketawa dan banyak bergurau serta sentiasa
menunaikan tugas-tugas syarak seperti pembersihan dengan menghilangkan kotor-kotor dan bulu-bulu
yang disuruh oleh syarak, membuang bulu-bulu itu dan kekotoran bulu itu seperti menggunting misai,
menyikat janggut, memotong kuku, menghilangkan bau-bauan yang busuk, dan pakaian-pakaian yang
makruh. Dia hendaklah menjauhkan diri daripada sifat dengki, riak, ujub (hairan terhadap diri sendiri) dan
menghina orang lain sekalipun orang itu kurang daripadanya. Guru patut mengamalkan hadis-hadis yang
warid pada tasbih, tahlil dan seumpamanya dari zikir-zikir dan doa-doa. Dia harus sentiasa muraqabah
Allah Taala di waktu sembunyi dan waktu terang serta berkekalan dalam perkara itu dan juga sentiasa
bergantung kepada Allah Taala di dalam semua urusannya.
Guru patut berlembut dengan orang yang membaca (belajar) di hadapannya, mengalu-alukannya
dan berbuat baik kepadanya mengikut keadaan orang itu. Rasulullah S.A.W bersabda seperti diriwayatkan
oleh Tirmizi, Ibnu Majah dan lain dan juga kami telah meriwayatkan seumpamanya dalam Musnad al-
Darimi daripada Abu al-Darda r.a. yang maksudnya Sesungguhnya manusia menjadi pengikut-pengikut
kamu dan sesungguhnya beberapa lelaki akan datang kepada kamu dari merata pelusuk bumi untuk
memahami agama. Maka apabila mereka datang kepada kamu maka hendaklah kamu menerima pesanan
aku agar kamu berbuat baik kepada mereka.
Guru-guru patut juga memberi nasihat kepada para pelajarnya kerana sesungguhnya Rasulullah
S.A.W bersabda yang maksudnya Agama adalah nasihat bagi Allah Taala, bagi kitabNya, bagi RasulNya,
bagi iman-iman muslimin dan bagi orang-orang awam merdeka. Di antara nasihat bagi Allah Taala dan
bagi kitabNya ialah memuliakan pembaca dan penuntutnya serta memujuk dia kepada kepentingannya,
berlembut dan menolong dia dalam pembelajarannya sekadar mampu, serta menjinakkan hati penuntut itu.
Juga bertolak ansur di dalam pengajaran disamping berlemah lembut dan memberi perangsang kepada dia
untuk belajar. Guru juga patut memberi peringatan tentang kelebihan perkara tersebut supaya menjadi
pendorong kepada kecergasan dan menambah kegemaran. Selain itu galakan juga patut diberi supaya
bersifat zahid pada dunia, mengalihkan perhatiannya dari cenderung dan terpedaya dengan dunia. Memberi
peringatan tentang kelebihan mengambil berat dengan Quran dan semua ilmu syarak.
Seorang guru patut bertimbang rasa kepada penuntut disamping mengambil berat tentang
kepentingannya seperti ia mengambil berat tentang kepentingan anak-anak dan dirinya sendiri. Pelajar-
pelajarnya hendaklah diletakkan setaraf dengan anaknya dari segi kasihan belas, bersabar terhadap sifat
tidak mengenang budi dan buruk perangainya serta memberi kemaafan sekiranya terdapat tingkahlaku
kurang sopan pada keadaan-keadaan tertentu. Manusia sentiasa terdedah kepada kekurangan, lebih-lebih
lagi yang muda usianya. Rasulullah bersabda yang maksudnya Tidak beriman seseorang kamu sehingga
dia sukakan bagi saudaranya apa yang dia sukakan bagi dirinya. Juga hadis daripada Ibnu Abbas r.a yang
maksudnya Manusia yang paling mulia di sisi aku ialah orang duduk bersamaku yang melangkah orang
ramai sehingga dapat duduk bersama aku. Jikalau aku berkuasa menahan lalat daripada menghinggap di
mukanya nescaya aku lakukan.
Guru juga tidak sepatutnya menyombong diri terhadap para pelajarnya. Mereka hendaklah
berlemah lembut dan merendah diri kepada mereka. Telah diriwayatkan daripada Nabi S.A.W. bahawa
beliau bersabda yang maksudnya "Berlembutlah kamu bagi orang yang kamu ajar (pelajar) dan bagi orang-
orang yang kamu belajar daripadanya (guru)".
Dalam memperkatakan tentang kaedah mengajar, guru sepatutnya mendidik pelajarnya secara
beransur-ansur, dengan adab-adab yang tinggi murni dan perangai-perangai yang diredai serta melatih diri
dengan sifat-sifat yang halus yang tersembunyi dan membiasakan supaya menjaga semua pekerjaan yang
batin dan lahir. Perlu diingat bahawa aktiviti mengajar adalah fardu kifayah. Namun begitu, sekiranya tiada
yang melakukannya kecuali seorang sahaja yang layak maka ia menjadi fardu ain. Adalah berdosa jika
terdapat sekumpulan tenaga pengajar dan pengajaran yang boleh dilakukan oleh sebahagian daripada
mereka sedangkan mereka semua tidak mengajar.
Guru disunatkan supaya mengambil berat tentang pengajarannya. Disunatkan supaya dia
mengosongkan hatinya dari kesibukan dunia dan disunatkan dia mengambil berat dalam memberi
kefahaman kepada pelajar-pelajarnya. Pelajar harus diajar mengikut kebolehan masing-masing. Tidak patut
dia memberi banyak kepada pelajar yang tidak dapat menanggungnya. Guru boleh memuji pelajar yang
ternyata kecerdikannya selagi tidak ditakuti mendatangkan fitnah kepada dirinya seperti bangga diri dan
sebagainya. Pelajar yang cuai boleh dikenakan sedikit kekerasan selagi tidak membawa kepada kesan-
kesan yang negatif. Pelajar yang datang dahulu hendaklah didahulukan daripada pelajar yang terkemudian
sedikit apabila mereka berhimpun. Guru sepatutnya melahirkan kegembiraan dan bermanis muka, meneliti
keadaan mereka serta bertanyakan khabar pelajar-pelajar yang tidak hadir.
Di antara adab-adab yang dituntut ialah menjaga dua tangan ketika memperdengarkan (mengajar)
bacaan daripada melakukan perkara-perkara yang sia-sia. Mata hendaklah dijaga supaya tidak memandang
kepada perkara-perkara lain yang tidak perlu di samping duduk dalam keadaan bersuci, tertib dan
mengadap kiblat.
Ciri-Ciri Guru yang Baik
Berdasarkan huraian tentang adab dan tugas-tugas guru serta adab-adab ketika mengajar yang
dibincangkan sebelum ini dapatlah disimpulkan bahawa ciri-ciri guru (muslim) yang baik termasuklah
mengetahui dengan jelas akan pelajaran yang diajarnya serta yakin dengan nilai dan keperluan perkara
tersebut. Dalam hubungan ini, guru tidak seharusnya mengetahui sesuatu perkara yang hendak diajarnya
kepada pelajar itu dengan kadar yang terbatas, tetapi lebih daripada itu. Guru tidak boleh berpuas hati
dengan pelajaran yang terdapat di dalam buku teks atau berdasarkan sukatan pelajaran tetapi haruslah cuba
berikan pelajaran tambahan supaya pelajar-pelajar dapat menjawab soalan yang dikemukakan di dalam
peperiksaan akhir.
Jika guru hanya mengetahui sekadar itu sahaja nescaya ia tidak akan dapat mencapai matlamat
pendidikan yang sebenar malah boleh dianggap gagal. Oleh itu guru mestilah sentiasa bercita-cita untuk
menguasai seberapa banyak maklumat yang berhubung dengan subjek yang hendak diajarnya. Misalnya
jika hendak mengajar hadis, guru itu bukan sahaja perlu mengetahui makna dan maksud hadis itu dengan
jelas, malahan ia patut memahami banyak lagi perkara yang lain yang berhubung dengan pelajaran tersebut.
Di samping itu seseorang guru mestilah mempunyai fikiran yang terbuka dan memerhatikan
keupayaan pelajar-pelajar yang menerima pengajarannya. Dengan cara ini dapat mendorong mereka
mencapai kematangan yang lebih tinggi. Justeru, dapatlah disimpulkan bahawa tugas mengajar tidak dapat
dipisahkan sama sekali dengan belajar. Guru harus mempunyai pengetahuan mendalam mengenai perkara
yang diajarnya. Sebenarnya bukan guru sahaja tetapi ahli-ahli profesional yang lain seperti wartawan,
pengulas berita dan pekerjaan-pekerjaan lain yang memerlukan hubungan yang luas, semuanya perlu
mempunyai maklumat yang luas tentang subjek masing-masing. Sekiranya mereka mempunyai maklumat
yang cetek mereka bukan sahaja tidak dapat menerangkannya dengan cara yang menarik malah juga tidak
dapat menyatakannya secara tepat. Anggapan bahawa profesion perguruan hanya sekadar memberi
maklumat adalah kesalahan besar kerana profesion ini juga melibatkan pembentukan sahsiah pelajar-
pelajar.
Seperti mana yang telah disebutkan, maklumat yang luas akan dapat menarik minat pelajar-pelajar
untuk mengikuti pelajaran yang dipelajari. Dalam banyak hal, kita dapati bahawa golongan muda jarang
menyukai pendapat golongan tua. Salah satu daripada sebabnya ialah kerana mereka menganggap orang-
orang tua mempunyai fikiran yang sempit dan terbatas. Anggapan ini boleh dihindarkan sekiranya
golongan tua dapat membuktikan kebenaran pendapat mereka. Ini bermakna sekiranya seorang tua dapat
menceritakan kepada golongan muda mengenai perkara-perkara baru, ganjil atau luar biasa yang belum
pernah mereka dengar maka mereka pasti akan menerimanya dan menghormati serta menyanjungi fikiran
orang tua itu.
Usaha ke arah menperdalamkan maklumat terhadap perkara yang diajar itu adalah suatu usaha
yang memerlukan semangat serta kegigihan sejati. Semangat dan kegigihan terletak kepada sejauh mana
keyakinan seseorang guru itu terhadap nilai-nilai dan keperluan pelajaran yang diajarnya itu. Tanpa sikap
tersebut guru tidak akan dapat menunjukkan sikap yang baik dan tidak akan memperdulikan prinsip-prinsip
pengajaran yang sebenarnya. Ini akan membawa keburukan kepada pengajarannya serta membantutkan
minat pelajar untuk meneroka bidang pengetahuan yang lebih luas. Oleh itu guru mestilah sedar bahawa
mengumpul maklumat dan menyakini nilai-nilai pelajaran dan keperluannya adalah elemen yang paling
penting bagi seorang guru.
Guru harus meminati subjek yang diajar. Tanpa minat, guru tidak akan cuba memperdalamkan
maklumat mengenainya. Oleh itu adalah mustahil bagi seorang guru itu untuk mencapai objektif
pengajarannya jika ia tidak berminat terhadap subjek yang diajarnya. Di antara tanda-tanda yang
menunjukkan bahawa seseorang guru itu tidak berminat dengan subjek yang diajarnya ialah sikap tidak
suka kepada sukatan pelajaran yang diajarnya. Misalnya ia tidak suka jika dia disebut guru Bahasa Melayu
atau ustaz atau ustazah. Sikap seperti ini menunjukkan bahawa ia tidak ikhlas dalam tugasnya. Jika tiada
keikhlasan sukarlah bagi seseorang guru untuk memahami dan memupuk sikap murni ke dalam jiwa
pelajar-pelajar. Biasanya guru seperti ini akan gagal untuk menarik minat pelajar-pelajar kepada pelajaran
mereka. Satu-satunya cara bagi mengatasi masalah ini ialah mengajar secara paksa atau mendenda pelajar-
pelajar dan mengatakan bahawa sesiapa yang tidak mahu belajar pelajaran itu dengan baik akan diseksa di
akhirat kelak.
Rumusan & Kesimpulan
Sesungguhnya, ilmu dan adab adalah saling melengkapi. Kedua-duanya saling berkait di antara
satu sama lain yang membentuk suatu hubungan yang sentiasa bergerak seiringan. Dalam hubungan ini,
Samani dalam Franz Rosenthal (1992) menyatakan Ilmu dan adab merupakan kepunyaan satu sama lain
yang tidak dapat dipisahkan.Ilmu tanpa adab umpama api tanpa kayu api. Adab tanpa ilmu umpama roh
tanpa jasad.
Catatan:
Artikel ini merupakan sebahagian artikel penulis semasa mengikuti pengajian ijazah
pertama di Universiti Utara Malaysia.

You might also like