You are on page 1of 13

Reka Bentuk Pengajaran

1.0PENGENALAN
Berdasarkan matlamat pendidikan negara, antara misi utama para guru ialah
membentuk pelajar kamil iaitu pelajar yang seimbang dari segi JERIS iaitu jasmani,
emosi, rohani, intelek dan sosial. Dalam mencapai matlamat ini, para guru perlu
memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan agar berkesan supaya
pelajar dapat memahami dan mengingati setiap isi pelajaran yang diajar. Oleh yang
demikian, persediaan yang sesuai perlulah dirancang bagi mencapai tahap
keberkesanan yang dimaksudkan. Sehubungan dengan itu, semua guru
bertanggungjawab untuk menyediakan satu perancangan yang dipanggil Persediaan
Mengajar bagi menstruktur sesi pengajaran yang sesuai.
Berdasarkan modul OUM Prinsip Teknologi Pengajaran, persediaan mengajar ialah
satu perancangan harian yang disediakan oleh guru untuk satu waktu pengajaran. Ia
mengandungi maklumat tentang pelajar, matlamat yang ingin dicapai, isi kandungan
yang akan disampaikan dan penentuan pencapaian matlamat.
Penyediaan persediaan mengajar adalah penting, ini kerana disebabkan oleh beberapa
faktor. Antaranya ialah untuk menentukan objektif pengajaran, merancang kaedah
pengajaran yang sesuai mengikut kebolehan pelajar, menbantu dalam pemilihan alat
dan bahan bantu mengajar, menentukan isi pelajaran yang sesuai dengan masa yang
diperuntukkan. Selain dari itu persediaan mengajar juga dapat membantu guru
merancang tugasan atau aktiviti serta membantu guru mengawal bilik darjah.
Persediaan mengajar biasanya disediakan mengikut format-format tertentu bergantung
pada sistem sekolah berkenaan. Namun begitu, pada asasnya persediaan mengajar
boleh dibahagikan kepada tiga komponen iaitu persediaan, penyampaian dan penutup.
Pada peringkat awal iaitu peringkat persediaan, guru perlulah mengambil kira semua
aspek yang berkaitan sebelum memulakan pembelajaran. Antara perkara-perkara
tersebut ialah maklumat am yang merangkumi tarikh, masa, tingkatan atau tahun,
bilangan pelajar, mata pelajaran dan tajuk yang akan diajar. Maklumat am tersebut
kemudiannya diikuti oleh pengetahuan sedia ada pelajar, objektif pengajaran, isi
pelajaran, nilai murni, sumber pembelajaran dan akhir sekali ialah langkah-langkah
keselamatan.
Selain itu guru juga akan menyusun perkara yang akan diajar dalam satu-satu masa
pengajaran dan perkara-perkara tersebut akan dimasukkan di bahagian penyampaian
pengajaran. Penyampaian pengajaran dimulakan dengan induksi set, iaitu aktiviti yang
berfungsi mengorientasikan fikiran dan perhatian pelajar. Selepas induksi set
dijalankan, bermula pula proses perkembangan yang meliputi beberapa kemahiran
yang perlu dikuasai oleh guru. Kemahiran-kemahiran tersebut ialah kemahiran
peneguhan, kemahiran menerangkan, kemahiran menggunakan papan hitam,
kemahiran variasi ransangan dan kemahiran menyoal.
Proses yang terakhir ialah penutup. Antara perkara yang terdapat dalam penutup ialah
kesimpulan, penilaian, tugasan serta ulasan diri. Sekiranya persediaan mengajar dapat
dilaksanakan dengan sempurna, maka proses pengajaran dan pembelajaran juga
mampu meninggalkan kesan yang positif kepada guru serta pelajar.

2.0REKA BENTUK PENGAJARAN
Untuk memastikan pengajaran yang baik dapat dilaksanakan, reka bentuk pengajaran
telah dipilih. Reka Bentuk pengajaran ialah suatu proses sistematik untuk mereka
bentuk, membangun, melaksana dan menilai pengajaran, Dick dan Reiser (1989).
Selain itu, reka bentuk pengajaran juga boleh didefinisikan sebagai sains untuk
mencipta spesifikasi pengajaran dengan terperinci untuk pengembangan, penilaian dan
penyelenggaraan suatu keadaan yang boleh memudahkan pembelajaran sesuatu unit
pelajaran tidak kira kecil atau besar dalam sesuatu pelajaran, Richey (1986).

2.1 Model Reka bentuk Pengajaran
Reka bentuk pengajaran dapat dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu model
berorientasikan bilik darjah, model berorientasikan produk dan model berorientasikan
sistem, Gustafon (1991). Namun begitu, asas-asas yang digunakan untuk membina
sesuatu reka bentuk pengajaran adalah sama iaitu menentukan keperluan pelajar,
menentukan objektif dan matlamat, membina prosedur penilaian, mereka bentuk dan
memilih strategi penyampaian, mencuba sistem pengajaran dan menilai keseluruhan
sistem. Oleh kerana pengajaran yang dibuat adalah berasaskan bilik darjah, maka saya
telah memilih model berorientasikan bilik darjah, antaranya ialah model ASSURE dan
model Dick dan Reiser.

2.2 Model ASSURE
Untuk mencapai objektif pengajaran yang telah ditetapkan, maka saya telah memilih
reka bentuk pengajaran ASSURE. Model reka bentuk pengajaran yang berorientasikan
bilik darjah merupakan model reka bentuk pengajaran yang beskala kecil dan tertumpu
kepada perancangan bagi satu masa pengajaran sahaja, Dr. Wan Abdul Kader Wan
Ahmad, Dr. Ramlah Hamzah dan Dr. Rosini Abu (2005). Reka bentuk pengajaran yang
sesuai adalah penting untuk menghasilkan pengajaran yang berkesan. Selain itu, reka
bentuk pengajaran juga dapat melahirkan guru yang berkeyakinan, berkompeten dan
tepati masa. Model ASSURE digubal untuk menyediakan panduan merancang dan
pengendalikan pengajaran yang memerlukan penggunaan media, Heinich (1982).
Melalui model ASSURE terdapat enam perkara penting yang perlu dititikberatkan.
Pertama ialah analyse learner atau analisis pelajar.
2.21 Analisis Pelajar
Analisis merangkumi tiga perkara iaitu ciri-ciri umum, kompetensi khusus peringkat
masuk dan stail pembelajaran. Ciri-ciri umum meliputi umur, tahap, tingkatan dan latar
sosioekonomi. Berdasarkan rancangan pengajaran ciri-ciri umum yang boleh diperolehi
ialah melibatkan murid-murid tahun satu yang berumur tujuh tahun. Manakala
kompetensi khusus peringkat masuk merupakan pengetahuan sedia ada pelajar
tentang tajuk dan kandungan pelajaran. Stail pula merupakan trait psikologi seperti
persepsi. Di sini adalah seperti tahap kecerdasan yang pelbagai iaitu lemah, sederhana
dan pandai.
2.22 Nyatakan Objektif
Kedua ialah state objective atau nyatakan ojektif. Objektif pengajaran merupakan
penyataan yang menentukan tingkah laku spesifik yang boleh diukur dan dilakukan
pelajar setelah mengikuti sesuatu pengajaran. Menyatakan objektif dapat membantu
guru dalam merancang pengajaran. Selain itu, ia juga dapat membantu guru mengenal
pasti kaedah, bahan, tugasan, aktiviti serta ujian yang sesuai. Objektif yang dibuat
dalam rancangan pengajaran ialah di akhir pengajaran, murid dapat mengenal pasti tiga
dari lima nama anggota badan seekor haiwan dengan betul. Selain itu , dengan
menggunakan kad gambar dan kad perkataan, murid dapat memadankan empat dari
tujuh gambar anggota badan dan namanya denagn tepat dan objektif terakhir ialah
dalam situasi kumpulan yang dibentuk, murid dapat melengkapkan gambar haiwan
dengan betul.
2.23 Pilih Kaedah, Media Dan Bahan
Perkara yang ketiga ialah select method, materials and media atau pilih kaedah, media
dan bahan. Pemilihan kaedah, media dan bahan adalah berdasarkan tingkat kebolehan
pelajar dan objektif pengajaran. Oleh kerana kelas tersebut terdiri dari murid pelbagai
kebolehan, maka kaedah yang dipilih ialah penyoalan, perbincangan, berkumpulan dan
pengajaran secara kelas. Media yang dipilih pula ialah kad imbasan, boneka dan
persembahan power point. Manakala bahan yang dirancang ialah lembaran kerja.
2.24 Guna Media Dan Bahan
Langkah seterusnya ialah utilise media and materials atau guna media dan bahan.
Penggunaan media adalah penting supaya mesej yang hendak disampaikan dapat
dipersepsikan dengan tepat oleh pelajar. Antara cara yang boleh dilaksanakan untuk
menggunakan media dengan baik ialah, pertama beri gambaran awal tentang bahan
yang akan digunakan, kemudian sediakan bahan, sediakan persekitaran yang sepadan
untuk pengajaran yang menggunakan bahan yang dipilih, seterusnya sediakan pelajar
menerusi set induksi atau penyataan objektif dan akhir sekali ialah sediakan
pengalaman pembelajaran supaya pengajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan
dan diingati oleh pelajar. Berdasarkan rancangan pengajaran harian yang dibuat, media
pengajaran yang digunakan sewaktu set induksi ialah boneka. Manakala sewaktu
proses pengajaran kad imbasan dan persembahan power point digunakan.
2.25 Libatkan Pelajar
Langkah yang kelima ialah require learner participation atau libatkan pelajar. Ia adalah
penting untuk memastikan pembelajaran benar-benar berlaku. Aktiviti-aktiviti yang
boleh dijalankan untuk libatkan pelajar ialah seperti latih tubi, latihan, kuiz dan
sebagainya. Guru juga melibatkan murid dalam kaedah berkumpulan. Selain itu,
penglibatan murid juga dibuat melalui kaedah perbincangan. Bukan itu sahaja, murid-
murid juga dilibatkan melalui aktiviti penilaian yang dirancang seperti murid-murid
diminta memadankan kad gambar dan kad perkataan.
2.26 Nilai Dan Semak
Yang terakhir dalam model ASSURE ialah evaluate and revise atau nilai dan semak.
Nilai dan semak adalah penting untuk melihat keberkesanan sesuatu perkara serta
untuk menyediakan langkah-langkah untuk meningkatkan keberkesanannya. Penilaian
yang dibuat meliputi pencapaian pelajar berdasakan kemahiran, sikap dan objektif.
Selain itu media, kualiti media, pembelajaran, penggunaan guru dan murid turut
disemak. Untuk penilaian, guru mengedarkan kertas lembaran kerja yang meminta
murid-murid menyuaikan gambar anggota haiwan dengan namanya.

3.0 PENDEKATAN PENGAJARAN
Untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan
berkesan dengan mengambil kira kebolehan pelajar yang pelbagai, beberapa
pendekatan yang sesuai telah dipilih.

3.1 Kaedah Penyoalan
Antaranya ialah kaedah penyoalan. Kaedah penyoalan adalah sesuai untuk
menggalakkan pemikiran dan pembelajaran murid. Penyoalan boleh dibahagikan
kepada enam tahap berdasarkan Taksonomi Bloom. Bagi peringkat awal, murid-murid
akan diajukan dengan soalan dari kategori pengetahuan. Soalan sebegini berperanan
untuk memastikan murid-murid boleh mengenal pasti dan mengingati kembali sesuatu
maklumat. Contohnya, dalam rancangan pengajaran harian yang telah dibuat,
pengajaran dimulakan dengan guru menyoal fungsi anggota badan seekor haiwan.
Dengan ini murid-murid akan mengingati kembali fungsi anggota badan haiwan yang
diketahui. Selain itu soalan ini juga dapat memberi gambaran awal tentang tahap
kebolehan seseorang pelajar. Selain dari soalan mengenai pengetahuan, soalan
aplikasi juga sesuai diberi kepada murid-murid. Soalan ini sesuai diajukan setelah
berlaku proses pengajaran dimana pada peringkat ini murid akan diminta
mengaplikasikan maklumat yang telah diperolehi. Murid-murid juga akan menggunakan
peraturan atau proses untuk menyelesaikan masalah. Ia juga sesuai untuk
meningkatkan tahap pemikiran murid. Berdasarkan rancangan pengajaran harian, guru
meminta murid memadankan kad gambar dengan kad perkataan yang sesuai. Ini dapat
membantu murid untuk menggunakan isi pelajaran yang telah dipelajari untuk
memadankan kad imbasan tersebut.
3.2 Pengajaran Secara Kelas
Kaedah seterusnya ialah pengajaran secara kelas. Pengajaran secara kelas bermaksud
penyampaian pengajaran guru kepada seluruh kelas, Mok Soon Sang (1991). Seperti
kaedah penyoalan, kaedah ini juga sesuai kerana isi pelajaran, latihan dan kerja dapat
diberikan sama kepada semua pelajar. Guru pula dapat mengenal pasti murid yang
lemah bagi memudahkan langkah pemulihan dibuat. Terdapat beberapa kelebihan
menggunakan kaedah pengajaran secara kelas. Antaranya guru dapat menjimatkan
masa dan tenaga. Guru dapat menjelaskan konsep dan kemahiran kepada semua
murid dalam satu masa sahaja. Selain itu kebanyakkan murid suka belajar beramai-
ramai. Oleh yang demikian, ia adalah amat sesuai terutamanya bagi murid-murid tahap
satu. Menerusi kaedah ini juga minat murid dapat diransang kerana mereka lebih
cenderung dan gemar belajar bersama-sama. Pada masa yang sama semua murid
dapat berkerjasama dalam aktiviti-aktiviti pembelajaran dan yang akhir sekali murid-
murid dapat bertanding antara satu sama lain disamping dapat melatih murid-murid
yang sederhana dan lemah mencontohi rakan-rakan mereka yang cerdas. Seperti
dalam rancangan pengajaran harian yang disediakan, pengajaran secara kelas dibuat
apabila guru memaparkan persembahan power point yang mengandungi gambar
haiwan yang telah dilabelkan bahagian-bahagian anggota badannya serta guru
mengajar murid-murid menyebut nama anggota badan haiwan secara beramai-ramai di
dalam kelas.

3.3 Kaedah Kumpulan
Oleh kerana kelas terdiri daripada murid-murid yang pelbagai kebolehan, kaedah
kumpulan adalah salah satu kaedah yang sesuai kerana murid-murid tersebut boleh
dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang terdiri daripada murid-murid yang
pelbagai kebolehan dalam setiap kumpulan. Contohnya dalam satu-satu kumpulan
terdiri daripada murid cerdas, sederhana dan lambat. Pengajaran secara berkumpulan
baik kerana ia membolehkan murid-murid belajar mengikut kebolehan masing-masing.
Melalui kaedah berkumpulan juga murid-murid cerdas akan terus maju melalui aktiviti
pengayaan manakala murid-murid lambat dapat menguasai kemahiran asas melalui
aktiviti pemulihan. Pengajaran berkumpulan juga membolehkan guru merancang aktiviti
pembelajaran mengikut kebolehan kebolehan dan memudahkan guru dalam memberi
bimbingan kepada murid-murid. Bukan itu sahaja, murid-murid juga mendapat peluang
untuk mengembangkan potensi masing-masing selain dari dapat membina semangat
kerjasama, bertanggungjawab dan bertoleransi. Aktiviti berkumpulan yang dibuat dalam
rancangan pengajaran harian ialah guru membahagikan murid-murid kepada tujuh
kumpulan dimana setiap kumpulan mengandungi lima orang murid yang terdiri pelbagai
kebolehan dan seterusnya guru mengedarkan lukisan seekor haiwan yang tidak
lengkap dan meminta mereka melengkapkan gambar tersebut dengan melukis
bahagian anggota badan yang tiada.

3.4 Perbincangan
Kaedah terakhir yang digunakan ialah perbincangan. Perbincangan merupakan satu
kaedah dan teknik mengajar yang melibatkan aktiviti perbualan di antara guru dan
murid-murid dalam kelas, atau suatu jenis aktiviti pembelajaran secara bertukar-tukar
fikiran atau idea atau berkongsi maklumat tentang sesuatu perkara melalui perbualan di
bawah penyeliaan seorang guru, Mok Soon Sang (1991). Antara tujuan perbincangan
dilaksanakan ialah untuk menggalakkan perkembangan mental murid supaya dapat
menyumbangkan idea. Pada masa yang sama murid juga dilatih berfikir dengan teliti
dan berkomunikasi dengan berkesan. Seterusnya ia juga mampu memupuk semangat
kerjasama antara murid. Antara rancangan yang meliputi aktiviti perbincangan di dalam
kelad ialah guru membuat penyoalan secara terbuka dan dijawab oleh murid. Di
samping itu, guru akan memberi penerangan sekiranya terdapat murid tidak faham.

4.0 MEDIA PENGAJARAN
Media ialah sebarang cara fizikal yang membolehkan mesej pengajaran disampaikan,
Reiser dan Gagne (1983). Selain itu media juga diberi takrifan sebagai alat atau
perkakasan yang biasa digunakan untuk menyampaikan maklumat dikalangan
manusia, Muhamad Hassan Abdul Rahman (2000). Manakala media pengajaran pula
ialah media yang membawa mesej tentang pengajaran, Heinich (2002). Media
pengajaran juga dikatakan sebagai audio visual dan bahan-bahan yang berkaitan
dengannya yang berfungsi dalam perlaksanaan sesuatu pengajaran. Namun begitu,
media pengajaran adalah segala sesuatu yang dapat digunakan untuk menyalurkan
pesanan daripada pengirim kepada penerima sehingga dapat meransang fikiran,
perasaan, perhatian, minat serta perhatian pelajar sehingga dan seterusnya terjadinya
proses pembelajaran, Dr. Wan Abdul Kader Wan Ahmad, Dr. Ramlah Hamzah dan Dr.
Rosini Abu (2005). Oleh kerana murid-murid tediri dari pelbagai kebolehan, maka
pemilihan media yang sesuai adalah penting supaya proses pengajaran dan
pembelajaran dapat berjalan dengan berkesan. Media pengajaran yang baik dapat
memperjelaskan mesej terutamanya mesej yang disampaikan secara simbol verbal.
Selain itu, media juga sepatutnya dapat mengatasi batasan ruang, waktu dan
pancaindera, dapat menimbulkan minat, kefahaman dengan penggunaan media
pengajaran secara betul dan bervariasi serta dapat menyediakan pengalaman dan
persepsi yang sama kepada semua murid. Kepelbagaian kebolehan murid
menyebabkan saya memilih media yang mengandungi unsur-unsur seperti audio dan
visual.

4.1 Boneka
Untuk melaksanakan set induksi, saya telah memilih model tiga dimensi iaitu boneka
sebagai media pengajaran. Boneka dipilih kerana ia mempunyai bentuk sebenar
sesuatu objek. Oleh itu rujukan yang lebih konkrit dapat disediakan berbanding dengan
simbol verbal kerana ia boleh dipegang dan dirasa. Berdasarkan isi pengajaran yang
hendak diajar, boneka seekor binatang seperti ikan digunakan untuk menunjukkan
bahagian-bahagian anggota badannya.

4.2 Persembahan Power Point
Selain boneka, saya juga menggunakan media tayang kaku iaitu persembahan power
point. Power point digunakan untuk menunjukkan objek sebenar. Ini adalah sesuai
kerana ia dapat mengukuhkan lagi kefahaman murid dimana ia merupakan gambaran
objek sebenar dan ia juga merupakan satu pendedahan kepada keadaan sebenar.
Menerusi media jenis ini, saya akan menghasilkan satu persembahan power point yang
mengandungi gambar beberapa ekor binatang yang sudah dilabel. Untuk
menambahkan keberkesanan persembahan ini, label-label yang digunakan boleh
dimasukkan kesan khas seperti gerakan dan warna supaya lebih menarik dan
seterusnya dapat meransang minat murid-murid.
4.3 Kad Imbasan
Media pengajaran terakhir yang digunakan ialah media pengajaran dari jenis gambar
kaku iaitu kad imbasan. Kad imbasan adalah sesuai untuk penilaian. Ini kerana murid-
murid akan diminta untuk memadankan kad gambar dengan kad perkataan. Kad
imbasan amat sesuai untuk penilaian kerana kad imbasan merupakan media
pengajaran yang menyediakan rujukan simbolik. Maka, murid-murid akan belajar untuk
menyesuaikan pembelajarannya dengan pelbagai keadaan.

5.0 PENGURUSAN TINGKAH LAKU DALAM BILIK DARJAH
Pengurusan tingkah laku murid dalam bilik darjah adalah amat penting untuk
menyediakan murid yang berminat untuk mengikuti proses pengjaran dan pembelajaran
yang dijalankan.

5.1 Faktor Masalah Tingkah Laku Dalam Bilik Darjah
Terdapat beberapa faktor yang mencetuskan masalah tingkah laku dalam bilik darjah.
Antaranya ialah suasana persekitaran rumah yang kurang selesa. Selain itu suasana
persekitaran sekolah yang tidak kondusif, aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang
membosankan. Keadaan fizikal sekolah yang kurang kondusif serta pengurusan
sekolah yang bercorak autokratik juga boleh menimbulkan masalah tingkah laku dalam
bilik darjah. Masalah tingkah laku dalam bilik darjah juga disebabkan oleh pendapat dan
pandangan murid tidak mendapat perhatian dari pihak sekolah serta penilaian negatif
yang mewujudkan permusuhan nyata dengan membalas dendam. Oleh yang demikian
pengurusan tingkah laku dalam bilik darjah sangat penting dan salah satu cara untuk
menguruskannya ialah dengan memantau perlakuan murid.

5.2 Pemantauan Tingkah Laku Dalam Bilik Darjah
Dua kategori perlakuan yang penting dalam bilik darjah ialah penglibatan murid dalam
aktiviti pembelajaran seperti perhatian semasa pengajaran, perbincangan dan lain-lain
tugasan dan yang kedua ialah pematuhan murid kepada peraturan bilik darjah, Emmer
dan rakan-rakan (1989). Pemantauan tingkah laku boleh dibuat sekiranya guru boleh
melihat semua murid dalam bilik darjah. Antara cara-caranya ialah guru bergerak antara
barisan murid dan memberi fokus kepada beberapa murid sahaja. Selain itu
pemantauan juga boleh dibuat dengan bergerak dari satu murid kepada murid yang lain
untuk mengatahui kemajuan dan memberi maklum balas. Pada masa yang sama guru
juga perlu bangun dan berjalan untuk menyelia dan memastikan murid mengikuti
arahan. Namun begitu tedapat beberapa perkara yang perlu dielakkan oleh guru.
Antaranya ialah bercakap dengan papan tulis, menyelia murid yang memerlukan
bantuan atau yang mengangkat tangan sahaja, mengambil masa yang lama pada satu
tempat atau murid. Untuk memantau murid pada peringkat awal membuat tugasan
individu, pastikan semua mulakan aktiviti serta meletakkan semua bahan yang
diperlukan di atas meja. Murid juga hanya akan memulakan latihan atau menjawab
soalan setelah guru memberikan arahan dan lakukan perbincangan untuk menyemak
jawapan supaya guru dapat mengetahui sama ada murid memahami apa yang
dipelajari.

5.3 Ketekalan
Untuk menguruskan tingkah laku dalam bilik darjah guru juga perlu tekal. Ketekalan
bermakna mengekalkan harapan perlakuan yang sesuai dan tidak sesuai dalam aktiviti
tertentu, ianya juga bermakna bahawa harapan ini adalah untuk semua murid dalam
semua keadaan, Emmer dan rakan-rakan (1989). Tedapat faktor-faktor yang
mempengaruhi ketidaktekalan, iaitu peraturan yang tidak sesuai, guru gagal memantau
murid dan tidak dapat mengesan tingkah laku yang tidak sesuai. Guru yang merasakan
bahawa penguatkuasaan peraturan adalah penting juga menyebabkan berlakunya
ketidaktekalan. Sekiranya murid didapati tidak tekal guru bolehlah mengambil beberapa
langkah, salah satunya ialah menjelaskan semula peraturan. Bukan itu sahaja guru juga
boleh mengubahsuai peraturan dan memperkenalkan semula kepada murid. Namun
begitu sekiranya peraturan sedia ada adalah tidak sesuai, ia boleh dibatalkan dan
diganti dengan peraturan yang baru.

5.4 Pengurusan Segera Kepada Tingkah Laku Negatif
Cara terakhir dalam menguruskan tingkah laku dalam bilik darjah ialah pengurusan
segera kepada tingkah laku negatif. Ini adalah penting supaya tingkah laku negatif tidak
terus merebak. Contoh-contoh tingkah laku negatif ialah kurang penglibatan dalam
aktiviti pembelajaran, mengambil masa yang lama untuk membuat tugasan, tidak
memberi perhatian penuh dan sentiasa mengelak dari tugasan yang diarahkan. Oleh
sebab itu guru perlu mengambil langkah segera untuk membanteras tingkah laku
tersebut dengan mengarah semula perhatian murid kepada tugasan sekiranya mereka
tidak menyiapkan tugasan. Selepas itu guru perlu menyemak kemajuan mereka
selepas beberapa minit. Guru juga perlu bergerak ke arah murid berkenaan, guna
isyarat badan untuk membetulkan tingkah lakunya sehinggalah dia akur. Seandainya
murid masih bertingkah laku negatif, ingatkan dia tentang peraturan kemudian tanya
atau beritahu murid supaya berhenti bertingkah laku sedemikian.

6.0 JENIS-JENIS SOALAN
Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, tahap pemahaman murid boleh diuji
dengan soalan-soalan yang sesuai. Berdasarkan Domain Kognitif Bloom, terdapat
beberapa jenis soalan yang boleh digunakan untuk menguji kefahaman murid.

6.1 Pengetahuan
Pengetahuan merupakan peringkat yang paling rendah dalam hierarki Bloom.
Pengetahuan di tahap ini ialah pengetahuan yang telah dipelajari. Oleh sebab itu, aras
ini menguji kebolehan murid mengingati kembali fakta, erti, istilah, prinsip, hukum dan
definisi. Contoh-contoh soalan yang digunakan ialah manakah, apakah, siapakah dan
bilakah. Antara soalan yang diajukan berdasarkan aras pengetahuan ialah burung
makan dengan apa?, ayam berjalan dengan apa?. Soalan-soalan yang diberikan ini
ditujukan untuk semua murid supaya mereka dapat mengingat kembali pengetahuan
sedia ada mereka untuk menghubungkaitkan dengan isi pengajaran yang akan diajar.

6.2 Kefahaman
Aras yang seterusnya ialah kefahaman. Oleh kerana ia merupakan peringkat yang
menunjukkan kebolehan memberi interpretasi, menterjemah dan menerangkan dengan
perkataan sendiri, maka soalan-soalan yang digunakan pada peringkat ini biasanya
berkaitan dengan mengulas, mentafsir, merumus dan merancang.

6.3 Aplikasi
Selain itu murid juga boleh diuji mengenai kebolehan menggunakan maklumat seperti
prinsip, teori dan konsep kepada situasi baru dan dalam situasi yang berlainan melalui
aras aplikasi. Antara keadaan-keadaan yang sesuai untuk mengemukakan soalan-
soalan berkaitan aplikasi ialah dalam pengiraan, menterjemah, mengilustrasi,
menyusun, mempraktik dan menjangka. Oleh yang demikian, soalan-soalan yang biasa
digunakan ialah tunjukkan, kirakan, selesaikan, demonstrasikan, susunkan, uruskan,
gunakan. Selepas murid-murid mengikuti pengajaran, mereka diberi penilaian yang
berbentuk penyoalan berdasarkan aras aplikasi di mana mereka diminta memadankan
kad gambar dengan kad perkataan berkaitan tajuk yang dipelajari. Jenis penyoalan ini
adalah ditujukan kepada semua murid dengan harapan agar murid pandai, lemah dan
sederhana dapat mengapilikasikannya dan juga meningkatkan lagi kefahaman murid
lemah.

6.4 Analisis
Untuk peringkat yang lebih tinggi, soalan berkaitan analisis amat sesuai digunakan.
Analisis ialah kebolehan memecahkan perkara yang telah dipelajari kepada bahagian-
bahagian tertentu sehingga kefahaman hubungan struktur organisasi diperolehi, Dr.
Wan Abdul Kader Wan Ahmad, Dr. Ramlah Hamzah dan Dr. Rosini Abu, (2005). Pada
aras ini murid diuji membanding dan menghuraikan faktor-faktor kesamaan, perbezaan
dan perhubungan di antara satu sama lain dan soalan-soalannya seperti bezakan,
bandingkan, asingkan, tafsirkan dan bahagikan. Untuk soalan dari aras analisis murid-
murid diberi tugasan untuk membezakan anggota badan yang dimiliki oleh haiwan yang
berlainan. Soalan ini diberikan kepada semua murid dengan harapan agar murid yang
lemah dapat menggunakan isi pengajaran yang dipelajari pada tahap yang lebih
khusus.

6.5 Sintesis
Untuk menguji kebolehan murid dalam mengintegrasikan bahagian-bahagian kecil
kepada satu bahagian besar yang baru soalan dari aras sintesis sesuai digunakan.
Bentuk-bentuk soalan dari aras ini biasanya gabungkan, bentukkan, kumpulkan,
gubahkan dan susunkan. Soalan dari aras sintesis telah diberikan pada semua pelajar
dengan harapan dapat menguji kefahaman murid lemah dan seterusnya dapat
meningkatkan tahap kefahaman murid pintar. Contoh soalan yang dikemukakan ialah
murid-murid disuruh melengkapkan gambar seekor haiwan dengan melukis bahagian
anggota badan yang tiada. Dengan adanya soalan ini diharap agar murid lemah dapat
mengenal pasti setiap anggota badan haiwan dengan tepat.

6.6 Penilaian
Penilaian merupakan aras yang paling tinggi dalam hierarki Bloom. Aras ini menguji
kebolehan murid membuktikan, menilaikan, mengesahkan, mengkritik, merumuskan
atau memberi pendapat sesuatu penyataan, karya, prinsip, teori dan sebagainya. Oleh
yang demikian soalan-soalan yang digunakan ialah nilaikan, rumuskan, tafsirkan dan
buktikan.

7.0 KESIMPULAN
Sebagai kesimpulan, dapat dirumuskan bahawa penyediaan persediaan mengajar
merupakan satu langkah penting dalam pengajaran. Persediaan mengajar yang
meliputi pemilihan reka bentuk pengajaran, pendekatan yang sesuai, perancangan
media yang baik dan bentuk soalan yang sesuai, dapat menyediakan guru yang lebih
berkeyakinan dan seterusnya dapat meningkatkan keberkesanan dalam pengajaran.

You might also like