You are on page 1of 6

Fakta-Fakta Penyakit Denggi

APA ITU PENYAKIT DENGGI?


Penyakit denggi adalah suatu penyakit berjangkit yang merbahaya yang boleh
membawa maut kerana sehingga kini belum ada ubat untuk mengubati penyakit
ini.
Denggi biasa terjadi di kalangan orang dewasa dan kanak-kanak akibat dari
gigitan nyamuk Aedes.
Penyakit ini biasanya berlangsung selama 10 hari dan kadang-kadang
memerlukan masa yang lama untuk sembuh sepenuhnya.
Penyakit denggi kerap berlaku di kawasan bandar jika dibandingkan dengan luar
bandar.



JENIS-JENIS PENYAKIT DENGGI

Terdapat 2 jenis penyakit denggi iaitu:
a. Demam denggi klasikal.
Pesakit menunjukkan gejala demam, ruam, sakit badan, sakit sendi dan
sakit otot. Gejala penyakit ini biasanya tidak teruk dan jarang
menyebabkan kematian. Demam jenis ini juga pernah dinamakan 'demam
patah tulang' atau 'breakbone fever'.
b. Demam denggi berdarah.
Biasanya terjadi di kalangan kanak-kanak terutama dalam lingkungan
umur 2-13 tahun. Pada tahap awal (selama 2-4 hari) gejala yang dihidapi
adalah sama seperti demam denggi klasikal dan diikuti oleh tahap yang
lebih teruk dengan gejala seperti tekanan darah rendah, ruam dan bintik-
bintik merah di badan, perdarahan gusi, berak berdarah (najis berwarna
hitam) disertai dengan sawan dan tidak sedar diri. Ia sering menyebabkan
kematian jika rawatan tidak diberikan dengan segera. Ia juga dipanggil
sebagai 'demam berdarah Filipina'.



AGEN PENYEBAB PENYAKIT DENGGI

Penyakit denggi disebabkan oleh sejenis kuman virus yang dipanggil virus denggi.
Virus ini tergolong di dalam keluarga Togaviridae. Ia merupakan virus yang
berkembang biak dalam serangga. Terdapat 4 jenis 'serotype' virus yang telah
dikenalpasti iaitu Den 1, Den 2, Den 3 dan den 4. Semua jenis serotype ini boleh
meransang pembentukan antibodi yang berbeza-beza. Namun begitu kekebalan
yang dihasilkan oleh pertahanan badan tidak menyeluruh terhadap semua jenis
virus denggi. Ia akan hanya melindungi individu untuk jenis virus tersebut sahaja.
Virus ini masuk ke dalam peredaran darah manusia melalui gigitan nyamuk Aedes
dan boleh didapati dalam tempoh yang singkat sahaja iaitu 4-5 hari pada tahap
awal penyakit.



PEMBAWA AGEN PENYAKIT DENGGI

Nyamuk Aedes merupakan pembawa bagi kuman virus denggi. Gigitan nyamuk
merupakan satu cara penyebaran virus denggi dari seorang ke seorang yang lain.
Daripada 1 gigitan ia boleh menghisap darah sebanyak 2-4 mg darah iaitu 1.5 kali
berat badannya.Nyamuk Aedes ini boleh dikenali dengan tanda belang hitam dan
putih di kaki.Terdapat 2 jenis nyamuk Aedes yang membawa virus denggi iaitu:
1. Aedes aegypti
Ciri-ciri: Tanda putih-perak bentuk kecapi dikepala.
2. Aedes albopictus
Ciri-ciri: garisan putih-perak disepanjang pertengahan kepala dan
badan.
Nyamuk Aedes aegypti berterbangan di sekitar rumah dan tinggal di tempat-
tempat gelap di dalam rumah. Ia bertelur dan berkembang biak di dalam bekas
buatan di dalam dan di luar rumah.
Nyamuk Albopictus pula terdapat di kawasan perumahan di bandar, kebun dan
juga di hutan. Ia biasa terdapat di luar rumah pada tumbuh-tumbuhan dan
menggigit manusia di luar rumah. Kadang-kadang ia memasuki rumah untuk
menggigit manusia. Disamping bekas buatan nyamuk ini juga boleh berkembang
biak dalam berbagai-bagai bekas alamiah seperti lubang pada pokok, tunggul
pokok, buluh, ketiak daun seperti daun pandan dan nenas dan lain-lain tempat
yang boleh air bertakung.
Jarak terbang kedua-dua jenis nyamuk ini biasanya tidak melebihi 350 meter.



CARA JANGKITAN

Manusia dijangkiti kuman virus denggi melalui gigitan nyamuk. Virus denggi ini
hidup dan berkembang biak di dalam air liur nyamuk. Ia memerlukan masa
pengeraman selama 8-10 hari untuk berkembang biak dan terkumpul di dalam air
liur nyamuk. Nyamuk yang telah dijangkiti akan terus membawa virus denggi
sepanjang hidupnya. Apabila nyamuk Aedes betina menggigit manusia atau
haiwan ia akan memasukkan sekali virus denggi yang ada di dalam air liurnya ke
dalam sistem aliran darah manusia. Apabila nyamuk Aedes betina menghisap
darah manusia yang mengandungi virus denggi ia akan melengkapi kitaran hidup
virus tersebut dan menyebarkan kepada orang lain.
Penularan virus denggi boleh juga terjadi apabila nyamuk aedes betina sedang
menghisap darah orang yang dijangkiti virus denggi diganggu dan nyamuk itu
dengan segera menggigit orang lain pula. Ini akan menyebabkan virus yang
terdapat dalam belalai nyamuk tersdebut akan masuk ke dalam peredaran darah
orang kedua tanpa memerlukan masa pengeraman. Cara ini dipanggil 'Penularan
Mekanikal'.
Selain dari cara-cara di atas jangkitan virus denggi boleh juga berlaku melalui
penularan transovari dimana ia merupakan suatu proses penularan agen penyakit
daripada serangga betina melalui telur, jentik-jentik hingga kepada serangga
dewasa generasi berikutnya.
Penularan transovari sangat penting bagi virus denggi kerana proses ini
membolehkan virus tersebut berkekalan di persekitaran. Melalui proses penularan
ini nyamuk bukan sahaja berperanan sebagai agen pembawa tetapi juga sebagai
perumah kepada agen penyakit.

Cara jangkitan penyakit denggi


TEMPAT PEMBIAKAN

Nyamuk Aedes membiak di dalam takungan air jernih di dalam dan di luar rumah.
Ia tidak boleh membiak di dalam air yang kotor.

A. Di dalam rumah
1. Ia membiak di dalam piring alas pasu bunga.
2. Tadahan air seperti kolah mandi, tempayan atau baldi.
3. Perangkap semut.

B. Di luar rumah
1. Di dalam tayar buruk.
2. Saluran air hujan.
3. Tin-tin kosong atau botol.
4. Bata bangunan atau kawasan pembinaan
5. Cawan getah
6. Lubang pokok
7. Tunggul buluh
8. Ketiak daun seperti -pandan dan nenas

AWAS!!!! ANDA AKAN DIDENDA JIKA DIDAPATI MEMBIAK NYAMUK AEDES DI
KAWASAN RUMAH.



TANDA-TANDA ATAU GEJALA

1. Demam Denggi Klasikal
Tanda-tanda demam denggi ini bergantung kepada usia pengidap tersebut. Pada
bayi atau kanak-kanak ciri utama ialah ruam yang disertai oleh demam panas.
bagi orang dewasa dan remaja pula demam kuat yang muncul dengan tiba-tiba
yang berlangsung selama 2-7 hari, sakit kepala, sakit di belakang mata, sakit otot
dan sendi yang diikuti oleh ruam yang timbul pada hari ke3-4. Bintik-bintik merah
di bawah kulit juga boleh didapati.
Penemuan makmal: Jumlah leukosit dan platlet dalam darah menurun.
2. Demam Denggi Berdarah
Demam denggi berdarah mempunyai 4 ciri klinikal yang utama seperti demam
yang sangat panas, perdarahan, pembesaran hati dan kegagalan sistem
peredaran darah.
Perdarahan yang berlaku adalah seperti bintik-bintik merah di bawah kulit,
perdarahan hidung, gusi, darah dalam najis(najis berwarna hitam), kencing
berdarah dan kadang kala mendapat haid yang berlebihan.
Pembesaran hati terjadi pada peringkat awal penyakit. Pembesaran hati ini boleh
mencapai 2-4cm di bawah tulang rusuk kanan.
Kegagalan atau gangguan peredaran ditunjukkan melalui tanda-tanda seperti
kesejukan dan kongesti kulit, kebiruan dan peningkatan kadar nadi. Mereka juga
kelihatan resah dan lemah dan kemudian dengan cepat mengalami renjatan atau
sawan. Keadaan ini juga dipanggil sebagai 'Dengue Shock Syndrome'(DSS).
Penemuan makmal: Thrombositopenia yang disertai dengan hemokonsentrasi
yang ditunjukkan oleh peningkatan nilai hematokrit.



DIAGNOSIS PENYAKIT DENGGI

Diagnosis demam denggi secara klinikal kadangkala menyebabkan kekeliruan .
Oleh itu diagnosis makmal adalah sangat penting. Terdapat 3 teknik untuk
mendiagnosis denggi di makmal iaitu secara isolasi virus, serologi dan
mengenalpasti DNA virus denggi. Kini terdapat satu peralatan komersial yang
dipanggil 'Dengue Blot' yang digunakan untuk tujuan yang sama.
1. Isolasi virus denggi
Isolasi virus denggi dari darah atau spesimen tisu adalah cara yang paling
konklusif untuk diagnosis denggi. Walaubagaimanapun tatacara ini bukanlah
mudah kerana virus ini tidak hidup dengan baik di dalam binatang dan kultur sel.
Satu cara yang telah dimodifikasikan supaya keputusan didapati dengan mudah
dan lebih cepat adalah dengan mengisolasikan virus melalui inokulasi larva
'Toxorhynchites splendens' (Lam 1993). Pusat Demam Denggi dan Demam Denggi
berdarah di Universiti Malaya dengan kerjasama WHO telah menggunakan teknik
kombinasi inokulasi nyamuk dan kultur sel nyamuk
2. Serologi
Kebanyakan makmal menggunakan teknik serologi bagi mengenalpasti penyakit
denggi. Ujian piawaian bagi penyakit denggi adalah 'Haemagglutination Inhibition
Test'(HI). Ujian ini berdasarkan kepada keupayaan antibodi seseorang
menghalang virus denggi dari mengaglutinasikan sel-sel darah merah yang
tertentu. Selain dari memastikan jangkitan denggi ujian HI ini juga berupaya
memastikan samada jangkitan adalah primer atau sekunder berdasar kepada
tahap antibodi. WHO telah menetapkan titer bagi jangkitan sekunder sebagai
1:2560, manakala Malaysia pula menggunakan titer1:1280.
Ujian yang lebih cepat ialah pengesanan denggi IgM melalui 'Enzyme-Linked
Immunoabsorbent Assay'(ELISA). IgM ini didapati hanya seketika pada jagkitan
primer dan sekunder dan pengesanan IgM di dalam serum menunjukkan kepada
jangkitan aktif atau jangkitan yang baru. Lebih dari 6,000 sampel serum telah diuji
dengan ujian HI dan ELISA dan didapati kedua-dua ujian adalah sama dari segi
spesifisiti dan sensitiviti. Namun begitu ELISA lebih cepat, hanya memakan masa
beberapa jam bagi jangkitan sekunder dan 7 hari untuk jangkitan primer.
3. Dengue Blot
Dengue Blot adalah satu peralatan komersial yang telah dimodifiaksikan dari ujian
ELISA. Kajian yang telah dilakukan bagi mengetahui keberkesanan Dengue Blot
mendapati ia mempunyai sensitiviti 100% bagi jangkitan sekunder dan hanya 28.6%
bagi jangkitan primer. Oleh itu ujian ini berguna sebagai ujian saringan terutama
sekali di negeri-negeri yang endemik dimana sebilangan besar penduduk telah
dijangkiti virus denggi. Sampel-sampel yang negatif perlu dibuat ujian serologi
yang lain (Lam 1993).
4. Pengesanan asid nuklik virus
Ini merupakan satu teknik yang baru dengan menggunakan teknik 'Polymerase
Chain reaction'(PCR). PCR telah dapat memastikan beberapa kematian akibat
denggi apabila teknik-teknik lain gagal berbuat demikian.



RAWATAN

Setakat ini tiada rawatan yang spesifik bagi membunuh virus denggi.
1. Rawatan Demam Denggi Klasikal
Rawatan yang diberi adalah untuk menstabilkan pesakit bergantung kepada
keadaan pesakit iaitu:
a. mengurangkan demam(suhu badan)
b. mengelakkan dari perdarahan berlaku
2. Rawatan Demam Denggi Berdarah
a. Demam yang sangat panas, kehilangan selera makan dan muntah
menyebabkan dehidrasi. Pesakit digalakkan supaya minum air lebih banyak.
b. Demam yang sangat panas meningkatkan risiko terjadinya sawan, oleh itu
demam patut dikawal dengan antipiretik.
c. Pesakit juga diawasi supaya gejala perdarahan dan sawan dapat dikesan awal.
Masa yang paling genting ialah pada hari ke 3 hingga hari ke 7.
d. Pemberian aliran intravena perlu jika sekiranya kiraan hematokrit meningkat
kerana ia menggambarkan darjah kehilangan plasma.


Cara Mencegah Aedes dan Denggi
1. Salin air dalam tempayan, pasu-pasu bunga, kolam mandi tiap-tiap minggu dan
basuhlah sehingga bersih sebelum mengisi air yang baru
2. Buangkan air dari pinggan-pinggan alas pasu bunga seminggu sekali dan gosok
pinggan-pinggan itu hingga bersih untuk memusnahkan telur nyamuk
3. Tutup semua bekas menyimpan air dengan rapat untuk mencegah nyamuk daripada
bertelur
4. Bekas yang tidak digunakan hendaklah dikumpulkan dan dibuang ke dalam tong
sampah atau ditanam
5. Periksa saluran bumbung rumah seminggu sekali untuk membersihkan daun yang
menyekat air daripada mengalir
6. Masukkan garam sebanyak 2 sudu teh ke dalam perangkap semut untuk mencegah
pembiakan nyamuk
7. Peliharalah ikan seperti Ikan Gupi, puyu di dalam tangki besar kerana akan memakan
jentik-jentik.
8. Masukkan ubat pembunuh jentik-jentik (mengikut sukatan yang betul) ke dalam
semua bekas menyimpan air, tiga bulan sekali

You might also like