You are on page 1of 16

Jerebu 3

Dalam mendepani realiti baru dunia yang pantas dan berkembang ini, masyarakat pada hari ini
sering berhadapan dengan masalah jerebu yang bagaikan bangkai gajah yang tidak dapat ditutup
dengan nyiru lagi. Fenomena jerebu ini seolah-olah telah termaktub dalam takwim ramalan cuaca
negara kerana telah acapkali melanda negara kita. Pada tahun 2005, kebakaran hutan di Sumatera
dan Kalimantan telah menyebabkan jerebu yang teruk di Semenanjung Malaysia terutamanya di
sekitar Lembah Kelang. Di samping itu, Kuala Selangor dan Pelabuhan Kelang telah diiystiharkan
darurat kerana Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kedua-dua kawasan itu telah melebihi 500, iaitu
tahap darurat. Pada tahun 2006, masalah jerebu turut berlaku sekali lagi. Masalah jerebu yang
banyak mengundang kontroversi ini, sebenarnya disebabkan oleh beberapa punca, persis kata orang
tua-tua , jikalau tiada angin, masakan pokok bergoyang .
Faktor dominan yang menyumbang kepada masalah jerebu ialah pembakaran hutan secara besar-
besaran. Sebenarnya, keadaan cuaca di kawasan hutan hujan tropika memang terlalu panas
sehingga boleh menyebabkan tumbuh-tumbuhan terbakar dengan sendirinya akibat suhu
meningkat . Hal ini berlaku demikian kerana fenomena pemanasan global yang sedang berlaku di
muka bumi ini. Di negara jiran kita, Indonesia pembakaran hutan sering berlaku kerana pihak
Indonesia ingin membina infrastruktur yang baharu seperti bangunan, sekolah dan lebuh raya. Hal
ini mengakibatkan pembakaran hutan secara berleluasa. Apabila angin bertiup dari Sumatera ke
Malaysia, angin tersebut akan membawa jerebu bersama-sama ke negara kita. Natijahnya, udara
kita semakin tecemar sementelahan pula Indeks Pencemaran Udara di negara kita melebihi paras
berbahaya. Oleh itu, pembakaran hutan akan menyebabkan asap dan debu serta bahan yang telah
separuh bakar berterbangan di atmosfera lalu berlakulah jerebu.
Seterusnya, masyarakat yang melakukan pembakaran secara terbuka tanpa kawalan juga
menyebabkan keadaan jerebu menjadi-jadi. Pembakaran terbuka ini dilakukan oleh pihak yang ingin
menghapuskan sesuatu seperti sampah sarap. Sesetengah rakyat negara pula melakukan
pembakaran terbuka di belakang kawasan rumah mereka sendiri. Mereka telalu malas untuk
membawa sampah sarap mereka ke tempat pembuangan sampah atau pusat pengitaran sampah
semula. Jadi, mereka telah mengambil jalan mudah dengan membakar sampah sarap mereka tanpa
kisah jika asap daripada pembakaran terbuka itu yang sedikit demi sedikit membawa kepada
masalah jerebu. Ada pula sesetengah petani yang membakar jerami padi untuk membersihkan
kawasan sawahnya sebelum melakukan penanaman semula. Mereka tidak sedar bahawa asap dari
pembakaran ini tidak akan berada di suatu tempat sahaja tetapi akan ditiup angin dan meliputi
kawasan yang amat luas. Natijahnya, pembakaran terbuka ini melepaskan asap ke udara dan
mengakibatkan jerebu.
Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan juga
telah mengakibatkan masalah jerebu di Malaysia. Di Malaysia, terdapat 9.3 juta buah kenderaan di
jalan raya. Kenderaaan yang tidak dilengkapi pengubah pemangkin telah menyebabkan 16.2 tan
karbon monoksida dan dua tan sodium dioksida dikeluarkan setiap hari. Kesesakan lalu lintas
menyebabkan kenderaan tidak bergerak tetapi mengeluarkan asap pencemar. Gas-gas pencemar ini
merupakan bahan terampai yang memenuhi udara. Gas-gas yang dibebaskan pula tidak dapat
dibebaskan ke atmosfera dan sebaliknya terperangkap dalam lapisan bumi. Kejadian gas-gas yang
terperangkap ini bagai selimut yang menutupi bumi. Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya
akan menyebabkan jumlah asap yang dikeluarkan dari paip ekzos kenderaan meningkat dan
berlegar-legar di atmosfera dan terperangkap di lapisan ozon serta tidak dapat keluar ke angkasa
lepas. Hal ini menyebabkan udara menjadi tebal dan berlakulah jerebu di negara kita.
Selain itu, masalah jerebu juga berpunca daripada kegiatan industri yang tidak terkawal. Hal ini
berlaku demikian kerana sesebuah negara banyak bergantung pada bidang perindustrian yang
mengaut keuntungan yang lumayan demi kemajuan negara. Malangnya, sikap pengusaha kilang
yang bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing menyebabkan asap-asap dari
kilang yang dilepaskan ke udara telah mencemarkan udara di negara kita. Mereka tidak sanggup
membelanjakan wang yang banyak untuk mendapatkan alat penapisan asap untuk menapis asap
yang dikeluarkan dari kilang mereka sedangkan asap-asap yang dikeluarkan ini mengandungi sulfur
dioksida dan nitrogen yang boleh mengakibatkan udara menjadi berjerebu. Situasi ini bertambah
buruk apabila ada pihak pengusaha kilang yang memasang corong asap yang terlalu rendah sehingga
menyalurkan asap beracun ke udara. Pelepasan asap kilang yang tidak terkawal dan tidak mengikut
prosedur tertentu akan memburukkan keadaan jerebu di negara kita lagi.


















Sambutan Hari Kemerdekaan 4
Merdeka! Merdeka! Merdeka! Itulah laungan penuh semangat oleh Allahyarham Bapa Kemerdekaan
kita sewaktu negara menikmati kebebasan daripada belenggu penjajah. Laungan yang sama akan
terus berulang. Namun, kelihatankah lagi bauran perasaan sayu, insaf dan gembira seperti dulu?
Atau kita sekadar tidur sebantal, tetapi dilamuni mimpi masing-masing?
Sambutan hari kemerdekaan pada 31 Ogos setiap tahun memang membawa makna yang besar
kepada masyarakat dan negara. Sambutan ini memberi makna bahawa kita memiliki sebuah negara
berdaulat. Usia kemerdekaan yang sudah mencapai 52 tahun ini tidak seharusnya melalaikan kita
daripada mengingati negara. Sambutan ini diadakan agar rasa cinta akan negara di kalangan generasi
baru dapat terus disemai Rasa cinta yang mendalam di kalangan rakyat akan menjanjikan negara
terus mencapai kemajuan. Sebarang bibit perpecahan dan ancaman terhadap kestabilan negara
akan dapat ditangkis.
Namun, sambutan hari kemerdekaan yang cuma sekali setahun itu begitu rapuh fungsinya dalam
membina perasaan cinta akan negara. Usaha-usaha awal lagi berterusan pada semua peringkat usia
perlu diadakan. Lantaran itulah, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengesyorkan agar langkah
membina semangat patriotik ini dimulakan di peringkat tadika lagi. Pengajaran mudah tentang
negara, raja, pemimpin dan kemerdekaan, misalnya akan mampu membangkitkan rasa setia dan
kasih mereka kepada negara. Bukankah melentur buluh itu mesti bermula daripada rebung
Selain itu, langkah menanamkan rasa kasih dan cinta akan negara juga boleh disemadikan melalui
sekolah ataupun universiti. Guru berperanan membantu pelajar menghormati bendera Jalur
Gemilang dan lagu Negaraku yang dinyanyikan sewaktu perhimpunan. Manakala mata pelajaran
Pendidikan Moral, Pendidikan Agama Islam dan Sejarah pula mempunyai potensi besar dalam
memupuk rasa cinta dan jihad demi negara. Di peringkat lebih tinggi, Pasukan Latihan Pegawai-
pegawai Simpanan (PALAPES) boleh diperluas ke Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) dan kolej.
Dengan latihan dan disiplin yang tinggi, mereka mampu keluar sebagai tenaga profesional yang
menghayati erti sebenar kemerdekaan.
Masyarakat juga harus digerakkan agar mencintai negara. Hal ini dapat dilakukan dengan
memperluas penubuhan dan peranan Rukun Tetangga (RT), Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKK)
dan lain-lain. Menerusi motivasi dan program-program latihan khusus, mereka mampu dilentur
sebagai ahli masyarakat yang berdisiplin dan patriotik. Walaupun peranan mereka agak kecil, namun
hares diingat daripada perasaan cinta kepada kampung dan penduduk sekitarlah berputiknya rasa
cinta terhadap negara.
Akhir sekali, kempen-kempen dan aktiviti-aktiviti berkaitan dengan hari kemerdekaan perlu
diperluas agar diterima oleh semua lapisan rakyat. Kempen-kempen dan aktiviti perlu diadakan
sepanjang masa dan bukan hanya terhad pada Bulan Kemerdekaan sahaja. Hal ini kerana perasaan
cinta kepada negara perlu dipupuk dan disemai dalam jangka masa panjang agar terus subur. Media
massa seperti televisyen dan radio perlu kerap menyiarkan lagu-lagu patriotik. Aktiviti
mempamerkan Jalur Gemilang di institusi pendidikan perlu diteruskan agar murid-murid mengenali
dan mencintai bendera negara mereka. Program-program Larian Merdeka dan Perayaan Bulan
Merdeka, misalnya holeh menarik minat masyarakat menghayati erti sebenar kemerdekaan.
Kerjasama pihak swasta seperti Petronas yang mendermakan Jalur Gemilang dan Projek Lebuh Raya
Utara Selatan (PLUS) yang meraikan anak-anak merdeka akan meningkatkan lagi rasa cinta rakyat
kepada negara.
Kesimpulannya, rasa cinta rakyat kepada negara sukar dipupuk dengan hanya menyambut hari
kemerdekaan sahaja. Hari kemerdekaan yang disambut setiap 31 Ogos itu seharusnya menjadi
klimaks daripada rasa cinta yang telah dipupuk menerusi pelbagai cara sebelum ini. Usaha
bersepadu dan berterusan perlu dilakukan oleh semua pihak agar semangat nasionalisme di
kalangan rakyat terus bersinar.






















Program Latihan Khidmat Negara 4
Program Latihan Khidmat Negara telah diperkenalkan dan dilaksanakan bebepada tahun yang lalu.
Pelaksanaan program ini telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat. Kerajaan
telah berusaha untuk meyakinkan masyarakat bahawa program ini mempunyai banyak kebaikan,
khususnya kepada golongan remaja dan umumnya kepada negara. Namun begitu, sehingga kini
banyak pihak belum mendapat penjelasan yang sebenar akan kebaikan-kebaikan yang terhasil
daripada pelaksanaan program tersebut. Sesungguh, jika dihalusi secara mendalam Program Latihan
Khidmat Negara menjanjikan pelbagai manfaat kepada rakyat Malaysia.
Program Latihan Khidmat Negara bakal melahirkan warga negara yang cinta akan tanah air. Selama
ini warga negara ini, khususnya golongan remaja tidak memberi perhatian terhadap perkara ini.
Pada anggapan mereka negara ini ditadbir oleh kerajaan tanpa melibatkan rakyat jelata. Selain itu
golongan muda hari sudah pudar semangat cinta akan air kerana kemewahan hidup, keamanan, dan
kemudahan yang cukup, telah melalaikan mereka. Oleh itu semangat cinta akan tanah air perlu
diterapkan dengan kaedah yang lebih berkesan supaya jiwa golongan remaja kembali diisi dengan
semangat patriotisme yang tinggi, bak kata pepatah melentur buluh biar dari rebungnya. Jadi,
program ini merupakan satu kaedah yang sesuai untuk melahirkan warga negara yang cinta akan
tanah air.
Selain itu Program Latihan Khidmat Negara juga akan menerapkan semangat kepimpinan dalam
kalangan remaja lepasan sekolah. Semangat kepimpinan sangat penting kerana pemimpin yang baik
bakal mempengaruhi kestabilan sesebuah negara. Kepemimpinan yang baik juga dapat menjamin
hasrat negara untuk menjadi sebuah negara yang maju, di samping mengekalkan nilai-nilai murni
dan budaya masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Golongan muda perlu didedahkan dengan
konsep kepimpinan yang dapat menjamin kelangsungan kemerdekaan sesebuah negara. Golongan
muda ialah generasi yang bakal mewarisi pentadbiran negara suatu hari nanti. Justeru, mereka perlu
memiliki semangat kepimpinan bagi memenuhi keperluan kepimpinan negara pada masa hadapan.
Satu lagi kebaikan program ini ialah pemupukan semangat perpaduan dalam kalangan remaja
pelbagai kaum. Seperti yang diketahui umum, perpaduan merupakan satu aset penting ke arah
kemajuan negara. Perpaduan bakal menentukan iklim politik, ekonomi, sosial, dan sebagainya
berada pada tahap yang selesa. Tanpa perpaduan, negara ini akan kucar-kacir dan bakal
mencetuskan kekacauan. Pihak luar sudah pasti mengambil peluang daripada ketidakstabilan negara
kerana bersatu kita teguh bercerai kita roboh. Isu perpaduan sangat penting dalam sesebuah negara
yang mempunyai masyarakat majmuk seperti negara ini. Remaja pelbagai kaum perlu disedarkan
peranan masing-masing dalam memelihara semangat perpaduan agar negara terus aman. Oleh itu,
program yang membolehkan remaja pelbagai kaum bergaul sesama sendiri dilaksanakan agar
semangat perpaduan terus mekar dan menjadi sebahagian daripada amalan hidup mereka.
Program Latihan Khidmat Negara akan membentuk disiplin dalam kalangan peserta iaitu golongan
remaja. Program ini dikendalikan dalam bentuk separa ketenteraan serta menerapkan sebahagian
cara hidup seorang anggota pasukan keselamatan. Disiplin yang agak ketat bakal membentuk
masyarakat yang berwibawa dan bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan kepada
mereka, bak kata pepatah bagaimana acuan begitulah bentuknya. Masyarakat yang memiliki disiplin
yang baik, bakal mengurangkan masalah kerajaan dalam menangani gejala sosial, seperti penagihan
dadah, gangsterisme, buli, peras ugut, dan sebagainya. Golongan remaja perlu diterapkan dengan
disiplin yang baik kerana mereka sering terdedah kepada unsur-unsur atau pengaruh-pengaruh yang
tidak sihat, Jadi, program berkenaan dapat membentuk remaja dengan disiplin yang utuh.
Program Latihan Khidmat Negara juga akan mengurangkan gejala sosial dalam kalangan remaja
lepasan sekolah. Gejala sosial berlaku apabila golongan remaja menghabiskan waktu dengan cara
melepak bersama-sama rakan di tempat-tempat awam. Remaja lepasan sekolah biasanya
mempunyai masa terluang yang banyak sementara menanti peluang melanjutkan pelajaran atau
memenuhi pasaran kerja. Oleh yang demikian, mereka memerlukan aktiviti-aktiviti yang
membolehkan masa diisi dengan berfaedah sebelum mereka terjerumus ke kancah gejala sosial yang
lebih parah, atau sebelum kudis menjadi tokak. Dengan adanya program ini, golongan remaja yang
terpilih akan ditempatkan di kem latihan sepenuh masa selama tiga bulan. Oleh itu pergerakan
mereka akan terhad di sekitar kawasan yang dikhususkan kepada mereka. Mereka tidak dibenarkan
keluar dan menghabiskan masa di luar tanpa tujuan. Hasilnya, gejala sosial dapat dibendung dengan
jayanya jika golongan remaja menyertai program berkenaan.
Tambahan pula program ini mendedahkan golongan remaja kepada kerja-kerja yang bercorak
kebajikan. Golongan remaja masa kini biasanya hidup dalam keadaan mewah dan hanya
mementingkan gaya hidup yang bebas. Mereka jarang diajak untuk menabur bakti dengan
melakukan kerja-kerja kebajikan. Dalam program ini model khidmat masyarakat yang melibatkan
kerja-kerja kebajikan diperkenalkan supaya peserta dalam memberikan sumbangan ke arah
melahirkan masyarakat penyayang. Mereka dihantar untuk bekerja membersihkan kawasan
perumahan, rumah-rumah kebajikan, rumah anak yatim, dan sebagainya. Dengan cara ini golongan
remaja akan menjadikan kerja-kerja kebajikan sebagai sesuatu yang boleh dilakukan sepanjang masa
dan bukan pada masa-masa tertentu sahaja.
Kesimpulannya, Program Latihan Khidmat negara mendatangkan pelbagai manfaat kepada golongan
remaja. Oleh itu semua pihak tidak perlu mempertikaikan kewajaran pelaksanaan program
berkenaan. Sebagai rakyat Malaysia, kita tidak mahu golongan remaja masa kini terus terjebak
dalam gejala-gejala yang tidak sihat. Remaja hari ialah pemimpin pada masa akan datang. Dengan
pelaksanaan program ini, kita berharap golongan remaja hari ini akan menjadi tonggak penting
dalam memenuhi keperluan modal insan yang cemerlang, gemilang, dan terbilang.









Buruh kanak-kanak 5
Tenaga buruh amat diperlukan dalam berbagai bidang pembangunan seperti perkilangan, pertanian,
pembinaan dan sebagainya. Umumnya, tenaga buruh ini terbahagi kepada pekerja mahir dan
pekerja tidak mahir. Bagi tenaga buruh mahir, mereka lazimnya memiliki kepakaran dan kelulusan
tertentu seperti peguam, jurutera, guru, pegawai esekutif dan sebagainya. Manakala bagi tenaga
buruh tidak mahir, mereka ini hanya memiliki kelulusan minima dan terlibat dalam pekerjaan am
seperti buruh kontrak, pekerja ladang, pelayan hotel dan seumpamanya. Pada hari ini tenaga buruh
banyak digantikan dengan penggunaan mesin dalam berbagai industri pembangunan. Namun begitu,
akibat dari peningkatan kos dalam pengeluaran seperti pembayaran gaji bagi pekerja mahir, banyak
industri beralih kepada tenaga buruh yang murah. Di antara sumber tenaga buruh yang murah
adalah menggunakan tenaga buruh kanak-kanak.
Hasil dapatan dari kajian oleh Maplecroft, sebuah agensi bebas mengenai penggunaan buruh kanak-
kanak berpengkalan di United Kingdom, menunjukkan berlaku peningkatan di kalangan syarikat
besar dunia dalam menggunakan kanak-kanak sebagai buruh. Laporan tahunan yang dikeluarkan
oleh badan itu menunjukkan pada tahun 2012, sebanyak 76 buah negara terlibat dalam penggunaan
kanak-kanak sebagai buruh. Jumlah ini meningkat dari tahun sebelumnya iaitu sebanyak 68 buah
negara. Jumlah 76 buah negara itu merupakan negara yang berada di peringkat ekstrim dalam
penggunaan kanak-kanak sebagai tenaga buruh. Di antara negara yang ekstrim dalam penggunaan
buruh kanak-kanak ialah Myanmar, Korea Utara, Somalia, Republic Congo, Zimbabwe, Afghanistan,
Burundi, Pakistan dan Ethiopia. Laporan itu juga menyebut terdapat potensi beberapa negara lain
menggunakan kanak-kanak sebagai tenaga buruh. Negara seperti Filipina, Vietnam, Indonesia,
Mexico dan BRIC (Brazil, Russia, India dan China), dikenalpasti antara negara yang bakal terlibat
dalam menggunakan kanak-kanak sebagai buruh dalam berbagai bidang pembangunan.
Meneliti laporan yang dikeluarkan oleh badan bebas itu, didapati antara sebab mengapa kanak-
kanak menjadi buruh pada usia muda adalah disebabkan oleh factor kemiskinan. Faktor kemiskinan
ini pula berpunca dari banyak sebab seperti ketidaksetabilan ekonomi, politik dan social. Negara
seperti Myanmar misalnya, sudah terperangkap dalam sistem politik autokratik regim tentera (baru-
baru ini sudah membuka sedikit pintu kepada proses demokrasi), dan mengamalkan dasar ekonomi
tertutup. Akibat dari dari dasar yang diamalkan oleh negara Myanmar itu, kebanyakan rakyat negara
itu terperangkap dalam putaran ganas kemiskinan. Sumber ekonomi yang tidak berkembang
disebabkan pemerasan oleh pihak pemerintah menyebabkan kegiatan ekonomi tidak bebas
sekaligus menghalang kemasukan pelabur asing. Hal ini memberi kesan kepada pertumbuhan
ekonomi negara kerana kadar pengangguran meningkat disebabkan ketiadaan peluang pekerjaan.
Kesan jangka pendek menyaksikan ketua isi rumah tidak mempunyai pekerjaan tetap dan berupaya
menampung keperluan perbelanjaan keluarga. Justeru itu, bagi mengatasi masalah kekurangan
sumber kewangan, kanak-kanak (anak-anak ketua isi rumah) terpaksa keluar mencari sumber
kewangan.
Kanak-kanak seharusnya berada di bangku sekolah dan bukannya keluar mencari pendapatan untuk
membantu kehidupan berkeluarga. Namun realiti hari ini menyaksikan ramai kanak-kanak di negara-
negara tertentu tidak ke sekolah, sebaliknya berkerja sebagai buruh dalam lapangan tertentu
misalnya dalam sektor pertanian. Pada 2010, hasil kajian sekumpulan penyelidik dari Universiti
Tulane, New Orleans, Amerika Syarikat di bawah geran penyelidikan kerajaan negara itu
menunjukkan 1.8 juta kanak-kanak berusia dari 5 hingga 17 tahun terlibat dalam industri pertanian
koko di Ivory Coast dan Ghana. Penglibatan kanak-kanak dalam industri koko di kedua-dua buah
negara itu mengakibatkan tekanan fizikal, emosi, pemikiran dan moral kepada kanak-kanak terbabit.
Laporan itu turut menyatakan bahawa lebih 40 peratus kanak-kanak yang terlibat dalam industri
koko di Ivory tidak memasuki persekolahan. Lebih malang lima peratus dari jumlah itu tidak dibayar
gaji oleh majikan yang mengambil mereka sebagai pekerja.
Data yang dikeluarkan oleh penyelidik dari Universiti Tulane, New Orleans, Amerika Syarikat itu,
menggambarkan bagaimana kanak-kanak telah dizalimi oleh kerajaan dan majikan yang mengambil
mereka berkerja. Hak mereka untuk mendapatkan pendidikan sempurna telah dinafikan oleh sistem
kehidupan di sekeliling mereka. Oleh kerana tidak bersekolah, kanak-kanak tersebut tidak mendapat
pelajaran secara formal. Perkembangan mental dan fizikal mereka terjejas. Mereka tidak mendapat
didikan dari guru yang terlatih sebagaimana rakan mereka di negara lain. Mereka juga dinafikan hak
untuk bersosial melalui kokurikulum yang bersistematik. Sebaliknya mereka dilonggokkan dengan
persekitaran social yang kasar di ladang-ladang koko di negara masing-masing. Akibat dari
pendedahan yang tidak sepatutnya diterima pada usia semuda itu, ramai dari kalangan mereka
apabila dewasa mewarisi tradisi kemiskinan keluarga. Ini kerana kekurangan pendidikan
menghadkan diri mereka kepada pekerjaan yang lebih baik. Sebaliknya mereka lebih didedahkan
kepada suasana pekerjaan bergaji rendah dan keadaan persekitaran kerja yang kotor dan kasar.
Di India dilaporkan oleh Child Labour News, sejumlah buruh kanak-kanak telah diselamatkan oleh
pasukan polis negara itu dari menjadi mangsa penindasan di tempat kerja. Buruh kanak-kanak itu
dibayar gaji yang sangat rendah iaitu pada sekitar Rs 130 hingga Rs 160 sehari (RM 7.50 9.33).
Jumlah ini sangat rendah berbanding jumlah pendapatan upah minimum di Delhi, India. Buruh
kanak-kanak ini berusia di antara 13-17 tahun turut melakukan kerja berbahaya yang sepatutnya
hanya dilakukan oleh lelaki dewasa. Mereka menjalankan kerja memotong besi, kerja melibatkan
kuasa elektrik dan menjadi tukang paip. Selain itu, mereka sering mengalami kesakitan dan luka-luka
di tubuh badan kerana tercedera semasa menjalankan kerja. Mereka juga tidak tinggal di rumah
pekerja yang sempurna, sebaliknya hanya menghuni rumah kongsi yang tidak teratur dan terurus
dengan baik.
Biarpun pihak polis berjaya menyelamatkan buruh kanak-kanak itu dari terus dieksplotasi oleh
majikan yang tidak bertanggungjawab, dipercayai banyak kes seumpama itu yang gagal dibanteras
oleh pihak berkuasa. Berdasarkan jumlah kadar upah yang rendah, persekitaran kerja yang tidak
kondusif, kecederaan yang sering dialami oleh kanak-kanak dan sebagainya, menunjukkan majikan
sama sekali tidak takut untuk menggunakan kanak-kanak sebagai buruh. Ini kerana permintaan
kepada pekerjaan sangat tinggi, justeru itu majikan mempunyai banyak pilihan dan semestinya
sumber buruh yang murah menjadi pilihan mereka. Manakala di pihak kanak-kanak pula, kemiskinan
yang membelenggu kehidupan menyebabkan mereka tidak mempunyai banyak pilihan untuk
meneruskan kehidupan. Oleh yang demikian, suasana di tempat kerja, gaji yang rendah dan
terdedah kepada kecederaan tidak menjadi penghalang untuk mereka mendapatkan sedikit upah.
Penggunaan kanak-kanak sebagai tenaga buruh kini sudah menjadi salah satu industri yang
menguntungkan kepada pihak yang membekalkan kanak-kanak tersebut. Akhbar New York Times
melaporkan pada 2010, kerajaan China berjaya membongkar sendikit membekalkan kanak-kanak
sebagai buruh kepada industri perkilangan di negara itu. Pihak berkuasa China melaporkan mereka
berjaya menyelamatkan lebih seratus kanak-kanak dan menahan beberapa orang yang terlibat
membekalkan buruh kanak-kanak di beberapa wilayah di negara itu. Di Dongguan, terletak dalam
wilayah Guangdong sebuah kawasan industri terkenal membekalkan barangan elektronik ke seluruh
dunia, pihak berkuasa menyelamatkan ratusan buruh kanak-kanak berusia di antara 13-15 tahun.
Mereka ini diperdaya dan sesetengahnya diculik oleh sendikit dan dipaksa berkerja bagi memenuhi
keperluan tenaga buruh di kilang-kilang. Masalah seumpama ini turut berlaku di beberapa wilayah
lain seperti di Shanxi dan Henan. Penderaan kanak-kanak berlaku disebabkan oleh faktor seperti
kekurangan tenaga buruh dalam industri, kadar inflasi yang tinggi, dan meningkatnya kadar tukaran
wang. Justeru itu sebagai langkah keluar dari kemelut itu, ramai majikan di kilang-kilang mengambil
kanak-kanak sebagai tenaga buruh untuk mengurangkan kos dan meningkatkan keuntungan syarikat
masing-masing.
Masyarakat dunia menyedari negara China sejak lebih sedekad lampau mula membuka pintu kepada
syarikat multinasional untuk melabur di negara itu. Ramai penganalisis ekonomi dunia meramalkan
negara itu akan muncul menjadi persaing utama ekonomi dunia. Dari satu segi, kemunculan negara
China menjadi kuasa ekonomi dunia sekurang-kurangnya dapat mengimbangi kuasa ekonomi dunia
sedia ada seperti Amerika Syarikat dan beberapa buah negara Eropah. Namun begitu, laporan
akhbar New York Times sebagaimana yang dibincangkan di atas begitu mengejutkan dan menambah
satu lagi episod sedih dalam dunia kanak-kanak di seluruh dunia. Kanak-kanak di negara itu bukan
sahaja dipaksa berkerja sebagai buruh tetapi lebih teruk mereka diculik, dan dijadikan barangan
dagangan. Negara China kini terlibat dalam sistem kapitalis yang bukan sahaja melibatkan ekonomi
negara itu, tetapi turut merebak dalam sistem sosial masyarakat. Terdapat segelintir kelompok
manusia dalam masyarakat negara itu yang menjadikan pertimbangan kewangan mengatasi sifat
perikemanusiaan. Mereka hanya berfikir untuk mencari keuntungan semata-mata tanpa
mempedulikan nasib kanak-kanak yang seharusnya dibela. Oleh itu, kerajaan China seharusnya
mengadakan peraturan ketat berkaitan penggunaan buruh dari kalangan kanak-kanak. Mereka yang
didapati terlibat dalam kes penyalahgunaan kanak-kanak sebagai buruh harus dihukum seberat
mungkin sebagai pengajaran kepada mereka yang lain.
Kerajaan Amerika Syarikat mengenakan hukuman berat kepada mereka yang didapati bersalah
menggunakan kanak-kanak sebagai buruh dalam sebarang perusahan. Akhbar New York Times
melaporkan di Postville, Iowa, Amerika Syarikat mereka yang didapati bersalah dalam kes
menggunakan kanak-kanak sebagai buruh boleh dikenakan denda di antara $500,000 hingga $1 juta
dollar. Mereka yang terlibat dalam kes menggunakan buruh kanak-kanak boleh juga didakwa atas
kesalahan menggunakan kanak-kanak sebagai buruh dalam industri yang dilarang ke atas mereka,
mendedahkan mereka kepada persekitaran kerja yang merbahaya dan membenarkan kanak-kanak
berkerja dengan alatan merbahaya seperti pisau dan gergaji. Dakwaan di atas merupakan antara
yang diambil kira oleh pihak berkuasa negara itu disamping undang-undang pekerjaan dan imigresin.
Di Amerika Syarikat, menggunakan kanak-kanak sebagai buruh adalah satu kesalahan jenayah.

Di mana-mana negara sekalipun mempunyai undang-undang mengawal dan mencegah penggunaan
kanak-kanak sebagai buruh. Terdapat negara yang mengenakan hukuman berat kepada pesalah
seperti memenjarakan pesalah-pesalah. Ada juga yang mengenakan hukuman denda yang bernilai
tinggi. Namun apa yang penting ialah mengadakan pendidikan untuk menyedarkan masyarakat
bahawa kanak-kanak harus mendapat pendidikan dan bukannya mempergunakan mereka sebagai
tenaga buruh. Jika hukuman yang dikenakan kepada pesalah begitu berat sekali, tetapi tanpa
kesedaran bahawa kanak-kanak sangat berharga kepada negara nescaya hukuman itu tadi tidak
memberi kesan baik kepada negara. Justeru itu, setiap negara harus mempunyai sistem pendidikan
untuk menyelamatkan kanak-kanak dari menjadi tenaga buruh. Sistem pendidikan ini bukan sahaja
menjurus kepada menyedarkan majikan, sendikit, dan kanak-kanak sahaja, tetapi lebih penting
dapat menyedarkan ibu bapa kanak-kanak terbabit.

Ahli sosiologi melihat antara sebab yang menjadi punca berlakunya penindasan ke atas kanak-kanak
ialah kerakusan negara maju dan syarikat-syarikat mereka mengaut keuntungan tanpa mengambil
kira soal perikemanusiaan. Menerusi sistem ekonomi pasaran bebas (sistem kapitalis) syarikat dari
negara maju lebih mementingkan keuntungan dengan kos yang paling minima. Mereka melihat
faktor berlakunya kemiskinan yang mendorong kepada penggunaan kanak-kanak sebagai buruh
adalah kerana kebanyakan negara miskin masih terbelenggu dengan nilai lama, teknologi kuno, dan
masyarakat yang berfikiran primitif. Oleh yang demikian, mereka kekal dengan kemiskinan kerana
faktor ekonomi yang tidak membangun dan berkembang. Justeru itu, sebagai jalan keluar dari
masalah kemiskinan, negara miskin disaran melipat ganda usaha ekonomi dengan menggunakan
segala sumber dengan secekap mungkin. Bagaimanapun idea ini ditentang oleh kelompok ahli
sosiologi yang melihat bahawa negara maju telah mengeksploitasi negara-negara miskin. Mereka
berhujah bahawa apa yang dibawa oleh negara maju bukanlah kemajuan sepenuhnya tetapi dalam
jangka panjang negara miskin dipaksa bergantung kepada negara maju. Teori pergantungan
(Dependency Theory) menjelaskan perkara ini dengan idea utama mereka bahawa pengawalan
ekonomi oleh negara maju menyebabkan negara miskin bergantung kepada mereka. Malah
pergantungan ini bukan sahaja melibatkan soal ekonomi semata-mata tetapi turut menjalar ke
dalam bidang politik dan sosial.

Penggunaan kanak-kanak sebagai tenaga buruh merupakan tindakan tidak bertanggungjawab dan
hanya mementingkan keuntungan semata-mata. Kanak-kanak bukan sahaja dinafikan hak mereka
untuk mendapatkan pendidikan tetapi lebih mereka juga sudah hilang kehidupan sebagai kanak-
kanak. Tindakan majikan di beberapa buah negara yang mengeksploitasi kanak-kanak harus
dihentikan serta merta; dan mereka perlu mendapat hukuman setimpal atas perbuatan masing-
masing. Oleh yang demikian, pendidikan mengenai kepentingan kanak-kanak kepada pembangunan
negara wajar diberi perhatian oleh semua negara dunia. Hanya dengan pendidikan sahaja akan
dapat menyelesaikan banyak masalah dan lebih penting pendidikan itu meliputi kaedah formal dan
tidak formal. Ini kerana pendidikan itu perlu disebar luas bukan sahaja kepada kanak-kanak tetapi
turut perlu mendapatkannya ialah masyarakat itu sendiri.




Hak pekerja wanita harus dilindungi 5
Arus pembangunan yang pesat menyebabkan nasib kaum wanita turut berubah. Kini, kaum wanita
telah berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lelaki. Mereka telah mencapai tahap
kemajuan yang amat membanggakan. Ini adalah hasil daripada pelbagai dasar yang telah
dilaksanakan oleh kerajaan. Oleh itu, kerajaan harus meneruskan peranannya dalam mengangkat
martabat kaum wanita dengan mengamalkan beberapa nilai di bawah.
Kerajaan harus menerapkan nilai menghormati hak wanita dalam dasarnya, iaitu amalan melindungi
wanita supaya kaum wanita mendapatkan hak yang sama rata dengan kaum lelaki.Sebagai contoh,
pihak kerajaan sentiasa menggalakkan penglibatan kaum wanita dalam pembangunan negara kerana
pihak kerajaan percaya bahawa potensi kaum wanita adalahsetanding dengan kaum lelaki.
Tambahan pula, amalan nilai ini mendidik pihak kerajaan agar mengiktiraf wanita sebagai individu
yang boleh memberi sumbangan dalam pembangunan keluarga, masyarakat dan juga negara.
Sebagai contoh, pihak kerajaan memberi peluang kepada kaum wanita untuk mengemukakan
pendapat dalam penggubalan dasar negara khususnya dariaspek pendrafan undang-undang, seperti
yang diperkatakan dalam Dasar Wanita Negara.
Di samping itu, pihak kerajaan harus menanamkan nilai keadilan dalam pelaksanaan dasarnya, iaitu
mengambil tindakan dan keputusan yang saksama terhadap kaum wanita seperti yang diberikan
kepada kaum lelaki bagi menjamin keseimbangan hak wanita dan lelaki.Sebagai contoh, pihak
kerajaan telah mengambil tindakan yang wajar sekiranya ia mendapati sebarang hal-hal yang
membawa kepada ke tidak seimbangan kuasa antara kaum wanita dan lelaki. Pihak kerajaan juga
patut melaksanakan tindakan dan keputusan yang tidak berat sebelah supaya kaum wanita dan
kaum lelaki mendapat hak dan layanan yang sama rata.Sebagai contoh, pihak kerajaan telah
meletakkan banyak usaha dalam sistem kehakiman supayadapat menegakkan keadilan dan
memastikan golongan wanita dan golongan lelaki mendapat pembelaan yang sewajarnya.
Kerajaan perlu mempunyai nilai bertanggungjawab bukan sahaja terhadap kaum lelaki,malah
terutamanya kaum wanita. Pihak kerajaan haruslah sanggup memikul tugas sebagai pihak yang
sebenar dengan mengikuti peraturan dan undang-undang yang ditetapkan, terutamanya peraturan
dalam Dasar Wanita Negara. Sebagai contoh, kerajaan Malaysia akan melaksanakan tugasnya
dengan mengikuti arahan yang telah ditetapkan dan tidak mengingkarinya. Di sampingitu, pihak
kerajaan haruslah mempunyai kesanggupan untuk melaksanakan tugas serta kewajipan dengan
sempurna supaya dapat menjamin masa depan kaum wanita yang cerah.Sebagai contoh, pihak
kerajaan perlulah bijak mengekalkan hak wanita dalam masyarakat.






Malaysia sebagai Negara berperlembagaan 6
Di Malaysia, rakyat boleh menganuti agama lain walaupun agama rasmi negara ialah agama Islam.
Kerajaan bertindak demikian mengikut Perlembagaan Malaysia. Oleh itu, kerajaan Malaysia harus
mengamalkan nilai-nilai di bawah.
Kerajaan Malaysia harus menanamkan nilai kebebasan beragama dalam pentadbirannya supaya
rakyat jelatanya yang pelbagai kaum bebas menganut dan mengamalkan ajaran agama masing-
masing . Pihak kerajaan haruslah membolehkan rakyat untuk bebas menganuti agama masing-
masing supaya rakyat jelata dapat menyambut pelbagai jenis perayaan pada setiap tahun.Sebagai
contoh, masyarakat India juga menyabut pesta menuai yang biasanya disambut oleh suku kaum
Kadazan di Sabah . Selain itu, kerajaan Malaysia juga membenarkan rakyatnya untuk bebas
mengamalkan tuntutan agama masing-masing. Contohnya, setiap kumpulan agama yang terdapat di
Malaysia berhak menguruskan hal-hal ehwal agama mereka sendiri dan juga dibenarkan
menubuhkan serta menyelenggarakan yayasan bagi maksud agama atau khairat .
Nilai sikap ke erbukaan juga merupakan nilai yang harus diterapkan oleh kerajaan Malaysia . Pihak
kerajaan harus bersedia memberi pandangan, pembahuruan dan kritikan dalam hal-hal yang
berkaitan dengan keagamaan . Sebagai contoh, pihak kerajaan sentiasa memberi idea dan cadangan
yang pelbagai dalam dasar keagamaan agar rakyat jelatanya dapat bebas menganuti agama yang
disukainya . Tambahan pula , nilai ini membolehkan pihak kerajaan Malaysia mendidik diri agar
menerima pandangan, pembaharuan dan kritikan daripada pihak-pihak luar, terutamanya rakyatnya.
Sebagai contoh, kerajaan sentiasa bersikap terbuka ketika mengendalikan hal-hal yang berasaskan
keagamaan dan bertungkus lumus membaik pulihkan dasar pentadbirannya dari segi keagamaan
selepas menerima kritikan daripada rakyat jelata.
Di samping itu, nilai toleransi harus diamalkan oleh kerajaan Malaysia dengan mengamalkansikap
bertolak ansur dalam pelaksanaan dasar keagamaan untuk kesejahteraan rakyatnya.Sebagai contoh,
kerajaan Malaysia sentiasa mementingkan kebahagiaan dan keselesaan hiduprakyatnya dengan
menjamin kemakmuran agama-agama yang terdapat di dalam kalangan masyarakat Malaysia supaya
rakyat jelata dapat menganuti agama masing-masing dengan penuh kegembiraan. Selain itu , pihak
kerajaan Malaysia juga harus bersikap sabar dalam menangani sebarang konflik yang berkaitan
dengan hal keagamaan dengan mencari penyelesaian yang sesuai. Sebagai contoh, kerajaan
Malaysia mengambil masa yang ada untuk fikir masak-masak tentang cara untuk menangani
pertelingkahan yang melibatkan dua agama yang berlainan.







Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen 6
Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan perlembagaan demokrasi sejak
mendapatkan merdeka daripada penjajah British. Dalam perlembagaan demokrasi,rakyat berhak
memilih pemimpin-pemimpin yang mereka disukai melalui pilihan raya sama ada kecil atau besar.
Dalam perlembagaan demokrasi,rakyat mempunyai pelbagai hak yang dapat menjamin kehidupan
mereka lebih selamat dan harmonis Oleh itu,setiap rakyat Malaysia seharusnya mengetahui hak-hak
yang diperuntukkan dalam perlembagaan Malaysia serta memahaminya.
Dalam prinsip demokrasi,rakyat mempunyai hak kebebasan beragama. Mereka bebas menganuti
dan mengamalkan agamanya yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia. Mereka juga harus
memahami dan menghormati agama lain. Contohnya,mereka tidak boleh mengganggu pengaut
agama lain semasa majlis bersembahyang dijalankan. Justeru,rakyat Malaysia juga berhak
merayakan pelbagai upacara keagamaan bagi setiap agama mereka.
Selain itu,rakyat Malaysia juga mempunyai kebebasan bersuara. Mereka mempunyai kebebasan
berucap dan mengeluarkan fikiran dengan batasan tertentu bagi menjaga keselamatan dan
ketenteraman. Walaupun mereka mempunyai kebebasan berucap,tetapi ada haknya. Mereka tidak
boleh mengatakan bahan yang sensitif kepada orang lain kerana ini boleh membawa
kepecahan,kehancuran dan kemusnahan sesama kaum di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang
kaum.
Seterusnya,rakyat Malaysia juga haruslah mematuhi peraturan dan undang-undang. Mereka perlu
menerima dan mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditentukan tanpa mengira
sesiapa dan di mana seseorang itu berada. Dalam perlembagaan demokrasi,rakyat diberi kebebasan
sepenuhnya asalkan tidak melanggar peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan dalam
perlembagaan. Secara kesimpulannya,rakyat Malaysia digalakkan penglibatan diri dalam
pembangunan negara. Mereka bebas melibatkan diri dalam aktiviti pembangunan dengan mematuhi
undang-undang dan perlembagaan supaya negara kita boleh mencapai wawasan 2020 dan dapat
menjadikan Malaysia terkenal di seluruh dunia. Untuk mencapai wawasan 2020,rakyat Malaysia
seharusnya hidup bersama dengan antara satu sama lain tanpa mengira agama,bangsa dan budaya.









Semangat kejiranan 7
Kejiranan didefinisikan sebagai hubungan erat di kalangan masyarakat yang hidup berbaik-berbaik,
bertolak ansur, tolong menolong dan bekerjasama dengan jiran tetangga . Jiran adalah orang yang
tinggal berdekatan dengan rumah kita. Masyarakat yang mengamalkan sikap kejiranan dapat
mewujudkan suasana harmoni dan aman sesame mereka dan juga paling penting kepada negara
dalam usaha membangun dan memajukan negara baik ketika senang mahupun susah .
Salah satu kepentingan semangat kejiranan ialah kita dapat mewujudkan masyarakat yang bersatu
padu . Hal ini dapat dilaksanakan melalui budaya ziarah-menziarahi semasa perayaan besar seperti
sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Hari Krismas, Hari Gawai dan Deepavali . Selain itu
kita juga boleh berkunjung ke rumah jiran ketika mereka mendapat musibah atau sakit.Ini dapat
menujukan kita mengamalkan nilai Hidup bersama secara aman iaitu hidup berbaik-baik antara satu
sama lain dengan mengutamakan kedamaian dan keharmonian hidup tanpa mengira bangsa, agama ,
dan budaya.
Selain itu,semangat kejiranan juga dapat merapatkan jurang dalam komuniti.Pada masa kini,ramai
masyarakat yang sibuk bekerja demi mengejat kehendak dan keselesaan hidup yang semakin
terdesak dan menyebabkan mereka tidak mempunyai masa yang terluang untuk meenziarahi
sahabat jirannya.Masyarakat seharusnya mengamalkan nilai saling membantu dan berkerjasama
selaras dengan masalah ini.Mereka seharusnya mempunyai usaha yang baik dan membina yang
dilakukan bersama pada peringkat individu,komuniti atau negara untuk mencapai sesuatau
matlamat.
Di samping itu,semangat kejiranan dapat mewujudkan intergrasi nasional.Hal ini demikian kerana
negara kita terdiri daripada pelbagai komposisi kaum dan etnik.Semangat kejiraan amat penting
untuk mencapai wawasan negara dan kedamaian sesama masyarakat.Oleh itu,nilai toleransi amat
perlu kita diamalkan.Masyarakat Malaysia seharusnya sanggup bertolak ansur,sabar dan mengawal
diri bagi mengelakkan berlakunya pertelingkahan dan perselisihan faham demi kesejahteraan hidup.
Secara tuntasnya,budaya kejiranan teras kejayaan wawasan negata.lantaran itu,setiap rakyat
malaysia harus bertanggungjawap untuk memupuk semangat kejiranan ini kerana ada ungkapan
yang menyatakan bahawa apabila datang kesusahan dan keupayaan,di situlah nyatakan kawan dan
lawan.







Kepentingan perpaduan 7
1 Malaysia, slogan yang telah diperkasa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak
membawa seribu erti kepada negara. Pengalaman Malaysia mengekalkan formula perpaduan antara
kaum dan amalan tolak ansur agama selama ini pastinya dapat diperkukuhkan dengan laungan
slogan 1 Malaysia. Sensitiviti pihak kerajaan yang sentiasa berusaha menyuburkan semangat
perpaduan dalam masyarakat heterogen perlu diberi pujian. Bagaimanakah perpaduan kaum
menatijahkan impak positif kepada negara? Tuntasnya, tepuk dada tanya selera.
Secara dominan, kepentingan mengamalkan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat ialah
dapat mewujudkan masyarakat yang harmoni. Keharmonian sesebuah negara pastinya sentiasa
disokong oleh kestabilan politik yang jelasnya akan membuka ruang untuk masyarakat dan
pemimpin bersatu tenaga dan idea bagi memajukan negara. Hal ini pastinya mampu mewujudkan
sebuah entiti masyarakat yang mementingkan kerjasama bak kata pepatah ke bukit sama didaki, ke
lurah sama dituruni serta secara tidak langsung dapat mengikis sikap individualistik. Tamsilnya,
organisasi masyarakat yang berbeza latar belakang, agama dan adat resam mampu duduk semeja
berjuang mempertahankan keharmonian negara daripada dicabuli pihak tertentu. Hal ini pastinya,
dapat mengeratkan perpaduan kaum di negara kita dan negara bertambah gah di persada dunia.
Nama negara juga akan disanjungi dan meningkatkan imej negara di mata dunia. Malaysia pastinya
akan menjadi role model kepada negara-negara di pentas dunia, seterusnya akan dapat
meningkatkan imej negara. Di negara lain, perpaduan berkemungkinan berada pada tahap yang
amat rendah jika dibandingkan dengan negara kita yang mempunyai masyarakat yang bersatu padu.
Contohnya pada 31 Oktober 2006, dilaporkan bahawa mantan Timbalan Perdana Menteri Britain
mempelajari pengalaman Malaysia mengekalkan formula perpaduan. Oleh hal yang demikian,
sebagai rakyat yang cinta akan watan, kita perlu melaksanakan langkah-langkah proaktif bagi
mengekalkan perpaduan antara kaum kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
Selain itu dapat memajukan ekonomi negara dan seterusnya ekonomi Malaysia pasti
bertambah mantap apabila perpaduan kaum dapat dikekalkan. Sektor ekonomi Malaysia yang
mantap dan masih mampu bertahan jika dibandingkan dengan negara serantau yang berhempas
pulas menghadapi kepincangan ekonomi. Seterusnya pelabur asing tidak bimbang untuk melabur di
Malaysia kerana keadaan negara kita yang aman dan damai, sekali gus dapat menjana ekonomi
supaya terus berkembang. Sebagai contohnya rakyat yang bersatu padu akan berusaha mengerah
keringat bagi memastikan negara terus maju dan menggembeleng tenaga memulihkan ekonomi
negara. Oleh itu, rakyat Malaysia amat diharapkan agar asas perpaduan yang telah lama bertapak
mampu diperkukuhkan dan diperkasakan lagi.
Di samping itu, kepentingan mengamalkan perpaduan kaum dalam masyarakat juga dapat menarik
kedatangan pelancong ke Malaysia. Sudah terang lagi bersuluh, salah satu sumber ekonomi negara
adalah dalam sektor pelancongan yang dapat menjana ekonomi negara. Asas perpaduan yang kukuh
dan kebudayaan yang unik di samping kepelbagaian adat resam yang membentuk identiti sesebuah
masyarakat dapat memikat hati pelancong untuk berkunjung. Sebagai tamsilnya, pelancong amat
tertarik dengan kepelbagaian kaum di negara kita iaitu terdiri daripada tiga kaum yang terbesar iaitu
Melayu, Cina dan India yang dapat menonjolkan imej negara. Hal ini, seterusnya mampu menarik
kedatangan pelancong dan dapat menjana ekonomi Malaysia secara tidak langsung.
Konklusinya, terdapat pelbagai kepentingan mengamalkan perpaduan kaum dalam kalangan
masyarakat di negara ini. Rakyat Malaysia amat diseru agar mempertahankan maruah bangsa hingga
ke titisan darah yang terakhir dan memakmurkan bumi Malaysia melalui perpaduan. Ingatlah,
Keranamu Malaysia, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Oleh itu, semua pihak perlu
menggembeleng tenaga bagi memurnikan dan mengekalkan perpaduan antara kaum.

You might also like