You are on page 1of 15

BAGAIMANAKAH TATABAHASA DAPAT DIAJARKAN DENGAN

BERKESAN?

Prof. Dr. Awang Sariyan
Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia - China
Beijing Foreign Studies University

PENDAHULUAN

Tatabahasa sering dianggap orang sebagai subjek yang kering, membosankan, dan
kadangkala menakutkan. Tatabahasa dianggap kering dan membosankan kerana
kononnya tata bahasa hanya terdiri daripada rumus-rumus bahasa, sama halnya
dengan matematik. Bercakap tentang tatabahasa seolah-olah bererti bercakap
tentang soal salah betul penggunaan bahasa semata-mata. Sekian lama pula telah
tertancap pada benak kebanyakan orang bahawa tata bahasa mengekang gaya
bahasa dan kreativiti. Persepsi seumpama semua itulah yang kadangkala menjadikan
orang takut, malah mungkin benci pula akan tatabahasa. Jika timbul rasa takut dan
benci, bagaimanakah tatabahasa dapat menjadi subjek yang menarik di bilik darjah?

Nampaknya tugas pertama saya sebelum memberikan pandangan tentang kaedah
dan teknik pengajaran tata bahasa yang menarik ialah berusaha membetulkan
anggapan salah tentang tatabahasa. Kata pepatah Tak Kenal maka tak cinta.
Mudah-mudahan dengan mengenal hakikat tata bahasa, tumbuhlah rasa cinta
kepadanya. Teringat pula saya akan satu baris dalam lagu Melayu lama yang
berbunyi Kalau hati sudah suka, semua indah saja. Demikianlah mudah-mudahan
tatabahasa akhirnya dapat dilihat sebagai sesuatu yang indah.

TATABAHASA DAN HAKIKAT BAHASA

Untuk mencapai makrifat tentang bahasa, penting sekali kita mengenal hakikat
bahasa. Hakikat bahasa pada asasnya ialah tatabahasa, dengan pengertian yang lebih
dasar dan luas daripada sekadar subsistem yang terdiri daripada morfologi dan
sintaksis. Tata bahasa yang saya katakan menjadi asas hakikat bahasa ialah satu
bentuk potensi akliah yang dikurniakan Tuhan kepada anak-anak Adam (manusia)
sewaktu mereka masih di alam ruh, sebelum dilahirkan ke dunia (al-Quran, al-Araf:
172). Oleh Chomsky, potensi yang ternurani atau innate ini disebut tata bahasa
sejagat (universal grammar). Potensi ini bukan bahasa dalam bentuk lahiriah yang
terdiri daripada fonem, morfem, kata, frasa, klausa, ayat, dan wacana dalam bahasa
yang tertentu, tetapi merupakan satu kemampuan akal yang dapat membentuk
unsur-unsur bahasa yang disebut tadi dalam satu sistem semantik.

Potensi yang disebut tatabahasa sejagat inilah yang menjadi asas bagi semua
manusia berbahasa dalam bahasa masing-masing melalui proses penyesuaian
parameter. Dengan memahami asal usul bagaimana kita berbahasa, terang pada kita
bahawa tata bahasa merupakan asas yang memungkinkan kita berbahasa. Adanya
tata bahasa sejagat pada manusia inilah yang memungkinkan manusia menjadi
kreatif, iaitu dapat menghasilkan unsur-unsur bahasa yang tidak terbatas jumlahnya
dengan berdasarkan prinsip-prinsip yang terhad. Adanya tata bahasa ini jugalah
yang memungkinkan bahasa manusia teracu dalam sistem, tidak seperti haiwan yang
biarpun mungkin dapat menguasai sejumlah unsur bahasa, misalnya kata-kata
melalui latihan intensif tetap tidak mampu menyusun kata-kata itu dalam pola-pola
yang bersistem, kreatif, dan berkonteks.

Daripada tatabahasa sejagat, terbina tatabahasa yang khusus bagi sesuatu bahasa
yang tertentu. Maka itu setiap bahasa ada tatabahasanya yang khusus yang perlu
dipelajari apabila orang ingin menguasai mana-mana bahasa. Jadi, adanya konsep
tatabahasa sejagat tidak bererti bahawa hanya ada satu tatabahasa yang sesuai untuk
semua bahasa manusia seperti yang disalahfahami oleh setengah-setengah orang.
Perihal adanya kepelbagaian bahasa manusia, yang bererti adanya tata bahasa yang
berlainan dijelaskan dalam al-Quran (Surah al-Hujurat, ayat 13 dan Surah al-Rum,
ayat 22). Oleh itu perlu difahami perbedaan tata bahasa sejagat daripada tatabahasa
khusus bagi bahasa yang tertentu.

Hakikat tatabahasa sebagai tunjang bahasa dapat digambarkan dalam hubungannya
dengan penguasaan kemahiran-kemahiran berbahasa. Representasi bahasa yang
diwakili oleh kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis berasaskan
satu kerangka tersembunyi yang menjadi asas pembentukan pola-pola bahasa yang
bermakna. Kerangka tersembunyi itu tidak lain daripada tatabahasa. Tanpa
kerangka itu, tidak dapat manusia bertutur untuk melahirkan idea dan perasaan
kerana kerangka itulah yang menyusun unsur-unsur pertuturan dalam satu sistem
yang teratur dan bermakna. Demikian juga, tanpa kerangka itu tidak mungkin
berlaku proses pembacaan dan penulisan kerana segala sesuatu tertulis dalam satu
sistem yang menimbulkan makna dan si pembaca perlu memiliki keupayaan
menguasai sistem itu. Orang yang hendak menulis pula perlu mempunyai skema
sistem itu dan menterjemahkannya dalam bentuk-bentuk bahasa yang bermakna.
Sesuai kiranya saya sisipkan di sini konsep tatabahasa (gramatikos) yang ditakrifkan
oleh ahli-ahli falsafah Yunani sebagai seni membaca dan menulis, yang dengan
jelas menunjukkan peranan tata bahasa.

Demikianlah selayang pandang penjelasan tentang hakikat tatabahasa. Dengan
bertitik tolak daripada hakikat tatabahasa, yang ternyata bukan sekadar sehimpunan
rumus atau aturan bahasa menurut pengertian yang sempit, baharulah sesuai kita
bincangkan soal menjadikan tatabahasa sebagai sesuatu yang penting dan menarik
untuk diajarkan (oleh guru) dan dipelajari (oleh murid atau pelajar).

PENGAJARAN TATABAHASA: PENYATAAN FENOMENA

Tatabahasa memang kelihatan kering dan membosankan, baik pada guru mahupun
murid, jika diajarkan hanya sebagai aturan-aturan, secara didaktik pula. Memang
tujuan pokok kita mengajarkan tatabahasa ialah agar murid menguasai sistem
bahasa untuk selanjutnya memanfaatkan penguasaan sistem bahasa itu bagi tujuan-
tujuan yang fungsional, seperti pemerolehan ilmu, penghayatan nilai-nilai
masyarakat, dan berinteraksi dengan baik dalam masyarakat. Jadi, terang bahawa
pengajaran tatabahasa ialah prasyarat untuk komunikasi yang berkesan dan juga
untuk tujuan pembinaan diri, terutama melalui pemerolehan ilmu. Pengajaran
tatabahasa tidak patut bernoktah dengan pendedahan sistem semata-mata.
Sebaliknya pengajaran tatabahasa hendaklah dihubungkan secara langsung dengan
aspek-aspek fungsionalnya.

Telah dibahaskan dengan panjang lebar oleh ahli-ahli pendidikan bahasa soal tujuan
pengajaran bahasa, termasuk tatabahasa. Sekurang-kurangnya ada empat mazhab
yang dominan dalam hal ini. Yang pertama ialah mazhab tradisionalis yang
menekankan penguasaan rumus-rumus tata bahasa. Yang kedua ialah mazhab
strukturalis behavioris yang menekankan pembentukan kebiasaan berbahasa
sebagaimana yang berlaku dalam masyarakat. Yang ketiga pula ialah mazhab
rasionalis yang menekankan keupayaan bahasa sebagai lawan pelaksanaan bahasa
(bentuk unggul bahasa lawan realiti penggunaannya). Yang terakhir ialah mazhab
fungsionalis yang menitikberatkan fungsi bahasa dalam komunikasi sosial. Keempat-
empat mazhab itu mewakili pandangan dan sikap yang ekstrem sehingga
menimbulkan salah faham tentang tujuan pengajaran bahasa. Tiga mazhab yang
pertama dilabelkan oleh mazhab keempat sebagai model pengajaran kemahiran
kerana menekankan penguasaan sistem bahasa. Sebaliknya mazhab keempat yang
mengemukakan model pengajaran alamiah terlalu cenderung pada aspek praktis
sehingga agak mengabaikan penguasaan sistem pula.

Dua konsep lain yang turut mempengaruhi gaya pengajaran bahasa, termasuk
tatabahasa ialah keupayaan linguistik dan keupayaan komunikatif. Ahli-ahli
pedagogi yang memberikan perhatian berat kepada penguasaan sistem bahasa
kurang atau sama sekali mengabaikan aspek komunikatif bahasa. Dalam hal
pengajaran tatabahasa, penekanan kepada penguasaan rumus-rumus tatabahasa
menjadikan guru alpa menerapkannya dalam konteks penggunaan yang wajar dan
sesuai. Yang taksub kepada penguasaan aspek komunikatif bahasa pula memandang
remeh akan ketepatan bahasa daripada segi rumus tata bahasa. Kesannya ialah
bahawa yang pertama gagal atau kurang berjaya menjadikan tatabahasa sesuatu
yang bermakna dalam kehidupan murid. Yang kedua pula mungkin menarik kerana
mengaitkan bahasa dengan kehidupan sehari-hari tetapi gagal melahirkan murid
yang berdisiplin daripada segi penggunaan bahasa yang gramatis dan bersistem.

Impian kita kini ialah menciptakan dan menemukan kaedah pengajaran tatabahasa
yang dapat mengukuhkan ketrampilan bahasa murid daripada segi sistem bahasa
dan juga daripada segi pragmatiknya. Murid yang patut kita bentuk ialah yang
menguasai rumus-rumus tatabahasa secara sedar dan sekaligus dapat
menggunakannya untuk komunikasi dengan pengertian yang luas, bukan sekadar
komunikasi biasa yang ditandai oleh laras bahasa terhad (restricted code) bahkan
untuk komunikasi canggih yang ditandai oleh laras bahasa terbina (elaborated
code). Dalam konteks memenuhi peranan bahasa sebagai wahana pembinaan
tamadun, ketrampilan bahasa yang sewajarnya dimiliki ialah yang dapat memenuhi
keperluan asas hingga yang dapat menjadi wadah pemikiran, ilmu, dan budaya
tinggi.

STRATEGI PENGAJARAN TATABAHASA

Selaras dengan konsep pendidikan bersepadu yang diamalkan di negara ini sejak
tahun 1988, maka pengajaran bahasa pun tidak boleh lagi diajarkan menurut cara
lama yang memisah-misahkan aspek-aspek yang diajarkan, misalnya antara satu
kemahiran dengan kemahiran yang lain, antara kemahiran dengan sistem bahasa
dan sebaliknya, serta antara kemahiran dan sistem bahasa dengan isi bahasa,
terutama ilmu dan nilai.

Strategi pengajaran bahasa Melayu menurut pendekatan bersepadu berasas pada
strategi 2P, iaitu penggabungjalinan dan penyerapan. Penggabungjalinan yang
asasnya telah bermula pada lewat 1970-an melibatkan:

a. Penggabungjalinan antara empat kemahiran bahasa, iaitu mendengar, bertutur,
membaca, dan menulis dengan sekurang-kurangnya dua kemahiran
digabungjalinkan.
b. Penggabungjalinan antara kemahiran bahasa dengan sistem bahasa (terutama tata
bahasa) dan sebaliknya.
c. Penggabungjalinan antara peribahasa dengan kemahiran bahasa.

Dalam konteks pengajaran tatabahasa, penggabungjalinan yang berkaitan ialah
penggabungjalinan (b) di atas. Secara ringkas, pengajaran tatabahasa tidak boleh
dipisahkan sama sekali daripada kemahiran. Apabila tatabahasa diajarkan secara
gabung jalin dengan kemahiran, maka dapatlah dielakkan pengajaran yang tertumpu
semata-mata pada rumus-rumus tata bahasa sehingga menimbulkan kebosanan.
Tatabahasa dapat diajarkan bersama-sama dengan aktiviti mendengar, bertutur,
membaca, dan menulis. Selain tidak membosankan, dapat pula murid memahami
penggunaan tatabahasa secara fungsional dan dalam konteks yang sesuai dan wajar.
Hal ini akan dibincangkan lebih lanjut dalam pembicaraan tentang pengajaran
tatabahasa terancang.

Strategi penyerapan pula berkaitan dengan gagasan menyepadukan aspek sistem
bahasa dan kemahiran bahasa dengan kandungan bahasa. Dengan perkataan lain,
pendidikan bahasa di samping menitikberatkan penguasaan tata bahasa serta aspek-
aspek sistem bahasa yang lain dan juga penguasaan empat kemahiran bahasa
(mendengar, bertutur, membaca, dan menulis), perlu turut menekankan aspek
kandungan bahasa.

Secara kasar, yang dimaksudkan kandungan bahasa ialah segala maklumat tentang
kehidupan manusia yang dipelajari dan diwarisi melalui perantaraan bahasa. Dalam
konteks pendidikan bahasa di negara kita, penyerapan melibatkan dua aspek utama,
iaitu ilmu dan nilai. Secara lebih terperinci, ilmu dipecahkan kepada beberapa aspek
lagi, iaitu kandungan mata-mata pelajaran lain, sains dan teknologi, bahasa dan
sastera, budaya dan warisan. Selain itu terdapat pula isu dan hal masyarakat dan
negara, serta isu dan hal ehwal antara bangsa. Nilai-nilai murni pula dibahagi
kepada 16 nilai utama dengan pecahan-pecahannya. Di samping itu perlu diserapkan
juga unsur kewarganegaraan.

Dengan berdasarkan strategi 2P itu, saya yakin bahawa pengajaran tatabahasa dapat
menjadi sesuatu yang menimbulkan minat guru dan murid, menjadi sesuatu yang
betul-betul bererti, dan sekali gus dapat menghakis anggapan salah bahawa tata
bahasa merupakan bidang yang kering dan tidak lebih daripada sehimpunan rumus.
Melalui strategi penggabungjalinan murid diasuhkan menguasai tatabahasa sambil
melakukan aktiviti-aktiviti yang bermakna dalam kemahiran mendengar, bertutur,
membaca, dan menulis. Melalui strategi, penyerapan pula, murid dituntun
menguasai tatabahasa dalam konteks yang bermakna, iaitu sambil mempelajari
beraneka maklumat ilmu, hal ehwal semasa, kegiatan masa lapang, dan nilai-nilai
murni. Dengan demikian, tatabahasa tidak menjadi unsur yang terasing daripada
kehidupan sehingga fahamlah murid mengapa ia perlu mempelajari tatabahasa dan
fahamlah juga guru mengapa ia perlu mengajarkan tatabahasa.

Daripada segi pelaksanaannya, pendekatan bersepadu dalam pengajaran tatabahasa
memerlukan perhatian yang sungguh-sungguh daripada segi perancangan dan
pengajarannya di bilik darjah.

Perancangan

Aspek perancangan yang pertama melibatkan usaha mengenal pasti unsur-unsur
tatabahasa yang perlu diajarkan sepanjang tahun, dengan berdasar pada Risalah
Panduan Pemeringkatan dan Perincian Tatabahasa untuk peringkat sekolah
menengah yang diterbitkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum. Selanjutnya
unsur-unsur tata bahasa itu perlu dimasukkan dalam perancangan tahunan, penggal,
mingguan, dan akhirnya harian. Kesesuaian unsur tatabahasa tertentu dimasukkan
dalam kelompok kemahiran-kemahiran (kecekapan-kecekapan di bawah setiap
kemahiran) bergantung pada beberapa pertimbangan, iaitu mudah sukarnya dan
relevannya dengan bahan pengajaran.

Aspek lain yang perlu diberi perhatian ialah pemilihan bahan pengajaran. Bahan
pengajaran yang dimaksudkan ialah yang dapat digunakan untuk menyampaikan
maklumat tentang unsur atau unsur-unsur tata bahasa yang hendak diajarkan.
Bahan di sini tidak patut disalahertikan sebagai perincian tentang unsur
tatabahasa, misalnya bentuk-bentuk kata ganda berserta huraian tentang makna dan
contohnya untuk unsur kata ganda yang menjadi fokus pengajaran. Bahan yang
dimaksudkan ialah wadah penggunaan bahasa yang hendak diajarkan, atau bahan
yang dapat dijadikan asas untuk mencungkil atau meramalkan unsur-unsur tata
bahasa tertentu. Bahan yang menjadi wadah bahasa ialah pelbagai bentuk wacana,
sementara yang dapat menjadi asas mencungkil unsur tata bahasa ialah ilustrasi.
Dengan perkataan lain, dapatlah kita katakan bahan itu sebagai bahan ransangan.

Beberapa pertimbangan dalam pemilihan bahan untuk pengajaran tatabahasa ialah:

a. Memanfaatkan pelbagai bentuk bahan seperti prosa, puisi dan bahan grafik, sesuai
dengan kepalbagaian konteks penggunaan tata bahasa.

b. Bahan hendaklah meliputi pelbagai bidang ilmu dan maklumat yang sesuai,
selaras dengan konsep penyerapan ilmu.

c. Bahan hendaklah berisi nilai atau nilai-nilai murni, selaras dengan gagasan
penyerapan nilai.

d. Bahan sedapat-dapatnya hendaklah autentik, seperti iklan, borang, risalah, dan
sebagainya.

e. Bahan yang dipilih mestilah bermutu bahasanya, kecuali untuk tujuan analisis
kesilapan.

f. Bahan hendaklah dapat menarik minat murid.

Dengan adanya bahan rangsangan, dapatlah murid diajar tentang tatabahasa dalam
konteks, sama ada konteks ilmu, laras bahasa, mahupun jenis-jenis wacana.
Maksudnya, murid tidak mempelajari tatabahasa tanpa latar. Guru pula dapat
memanfaatkan bahan untuk memberikan contoh unsur tatabahasa yang ada unsur
ilmu dan nilainya. Demikian juga, guru dapat membina latihan daripada bahan
tersebut. Apabila pengajaran guru, termasuk contoh dan latihannya berdasar pada
bahan yang terpilih, maka terlaksanalah pengajaran yang berdasarkan tema.


Pengajaran

Pengajaran tatabahasa di bilik darjah melibatkan pemilihan aktiviti yang sesuai dan
menarik. Pendekatan deduktif yang dilaksanakan dalam bentuk penerangan rumus
tampaknya tidak sesuai untuk pengajaran tatabahasa di peringkat sekolah. Antara
aktiviti yang dapat menimbulkan minat murid termasuklah:

a. Kegiatan penemuan murid mengesan unsur atau unsur-unsur tatabahasa
tertentu dalam bahasa.

b. Kegiatan berdialog dan berlakon murid menggunakan pola-pola tertentu yang
sesuai, seperti jenis ayat (ayat tanya, ayat penyata, ayat seruan, ayat permintaan)
atau kata-kata tanya, kata silaan, kata seru, dan sebagainya.

c. Kegiatan mencungkil unsur bahasa daripada visual murid menamakan objek
atau peristiwa, menyatakan sifat atau keadaan, membina ayat daripada bahan
tersebut, dan sebagainya.

d. Kegiatan berpuisi, bernyanyi, dan bercerita murid menghayati unsur-unsur
bahasa dalam bahan dan boleh juga menghasilkan puisi, seni kata, dan cerita.

e. Kegiatan pentomim murid mengagak nama, perbuatan atau sifat, atau mungkin
ayat yang dibayangkan oleh bahasa badan.

f. Kegiatan main peranan murid diletakkan dalam situasi atau konteks yang
sebenarnya dan menggunakan bahasa yang sesuai dengan konteks itu, misalnya
sebagai wartawan ia menggunakan kata tanya dan ayat tanya yang betul (5W + 1H).

g. Kegiatan permainan bahasa murid berteka-teki, menjawab kuiz, meneka nama,
sifat, perbuatan, teka silang kata, melengkapkan peta minda, memadankan unsur
bahasa (seperti subjek-prediket), melengkapkan ayat, menukar struktur ayat untuk
maksud yang sama, dan sebagainya.

h. Kegiatan penyuntingan murid membuat analisis kesilapan dan membetulkan
bahasa pada bahan autentik (termasuk juga karangan murid).

i. Kegiatan penghasilan murid berkreativiti menggunakan unsur-unsur tatabahasa
untuk menulis iklan, moto, slogan, tema, poster, dan sebagainya.

PENUTUP BICARA

Demikianlah secara umum gagasan tentang bagaimana kira-kira tatabahasa dapat
diajarkan dengan menarik. Asas yang saya gunakan ialah pertama-tama sekali
menimbulkan pengertian bahawa tatabahasa ialah bahagian yang penting dalam
kehidupan kita. Oleh itu pengajaran tata bahasa tidak boleh diajarkan secara
terasing, melainkan hendaklah diajarkan dengan strategi penggabungjalinan dan
penyerapan. Untuk memenuhi strategi tersebut, perlu dibuat perancangan yang rapi,
terutama daripada segi pemilihan bahan untuk menunjukkan konteks yang sesuai
bagi unsur-unsur tata bahasa yang hendak diajarkan. Dalam pengajaran di bilik
darjah pula, guru perlu melaksanakan pelbagai teknik dan aktiviti yang dapat
merangsang murid sehingga pengajaran tata bahasa dapat membantu murid
menguasai tata bahasa dengan tidak berasa tertekan atau terpaksa.
Posted by Mohamed Baba at 10:55 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to TwitterShare to Facebook
8 Penggunaan Perisian

Pembelajaran ialah proses pemerolehan maklumat dan pengetahuan,penguasaan kemahiran dan
tabiat serta pembentukan sikap dan kepercayaan . Proses pembelajaran berlaku sepanjang hayat
seseorang manusia . Proses pembelajaran berlaku di mana-mana tempat dan pada sebarang masa.
Dalam konteks pendidikan, guru biasanya berusaha sedaya upaya mengajar supaya pelajar dapat
belajar dan menguasai isi pelajaran bagi mencapai sesuatu objektif yang ditentukan. Pembelajaran
akan membawa kepada perubahan pada seseorang . Walaubagaimanapun perubahan yang
disebabkan oleh kematangan seperti berjalan dan makan ataupun penyakit dan kelaparan tidaklah
dianggap sebagai pembelajaran. Kamus Dewan mentakrifkan pembelajaran sebagai proses
belajar untuk memperoleh ilmu pengetahuan dan menjalani latihan. Menurut pandangan ahli
kognitif, pembelajaran boleh ditakrifkan sebagai satu proses dalaman yang menghasilkan perubahan
tingkahlaku yang agak kekal. Manakala aliran behavioris pula berpendapat bahawa pembelajaran
ialah perubahan dalam tingkahlaku ,iaitu cara seseorang bertindak dalam suatu situasi. Dalam
psikologi humanis pembelajaran dianggap proses yang dapat membantu seseorang mencapai
sempurna kendiri dan nilai individu.
Pelbagai pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran masih diperlukan memandangkan
perbezaan gaya pembelajaran pelajar. Memandangkan senario abad ke 21, yang membayangkan
kegunaan komputer yang begitu meluas, pengajaran dan pembelajaran berbantu komputer akan
menjadi satu kaedah yang ditumpukan. Ini juga bersesuaian dengan prinsip mastery learning yang
mana pelajar boleh belajar tanpa bimbingan guru. Walau bagaimanapun peranan guru
sebagai muallim, murabbi, muaddib, muhallil, dan qiadi masih kekal, malah perlu dimantapkan
khususnya dalam menghadapi kerenah globalisasi . Di samping itu, terdapat beberapa amalan
profesional yang perlu dikuasai dan dihayati oleh para pendidik bestari:
a) Menterjemah kandungan kurikulum sebagai aktiviti pengajaran pembelajaran yang bermakna.
b) Menguasai dan bijak mengguna alat teknologi terkini di samping dapat memanfaatkannya ke
arah mengoptimumkan proses pengajaran pembelajaran.
c) Pengajaran dan pembelajaran bermakna dan berfikrah melalui penguasaan kemahiran generik.
d) Membantu pelajar mengenalpasti matlamat pendidikan, mendefinisikan hala tuju bagi
pelajarnya, memantau kemajuan pelajar, dan kemudian menyediakan ruang untuk pelajar belajar
mengikut kadar kendiri.
e) Bertanggungjawab menyediakan suasana yang menggalakkan pembelajaran terarah
kendiri yang kreatif dan berdikari.
f) Sumbangan kreatif dan inovatif khususnya dalam menghasilkan pakej pembelajaran bestari
yang boleh membantu proses pembelajaran pelajar ke arah
akses kendiri.
Menurut Tg.Zawawi, pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran perlu dikuasai dan diamalkan
oleh para pendidik bestari. Antaranya strategi inovatif yang berasaskan teknologi seperti
perbincangan dengan rakan yang jauh, pembelajaran jarak jauh, penggunaan data sebagai sumber
maklumat, memproses maklumat dan menghubungkan dapatan; merujuk ensaiklopedia eletronik;
belajar dari courseware eletronik dan komunikasi eletronik. Penekanan perlu diberikan kepada aspek
konteks di dalam meningkatkan kefahaman konsep baru. Untuk itu, aplikasi multimedia
membolehkan pembelajaran dalam konteks digunakan untuk mengajar pengetahuan dan kemahiran
yang relevan. Ciri-ciri ini penting untuk mewujudkan pembelajaran akses kendiri.
Terdapat beberapa teori yang dikemukakan mengenai pembelajaran , setiap
teori mempunyai konsep atau prinsip tersendiri tentang proses belajar. Berdasarkan berbezaan
sudut pandang ini maka teori pembelajaran tersebut dapat dikategorikan kepada beberapa bahagian .
Sejauhmana penggunaan teori dan pentingnya teori-teori yang dibincangkan itu akan menjelaskan
konsep pengajaran dan pembelajaran dalam mereka bentuk perisian PPBK.
a) Teori Tingkahlaku (behavioris)
Mengikut pendekatan teori tingkahlaku , setiap rangsangan menimbulkan tindakbalas dan
pembelajaran yang berlaku akibat kaitan dengan rangsangan dan gerak balas. Sesuatu rangsangan
yang berkaitan dengan rangsangan yang lain akan mendatangkan pembelajaran yang dikenali sebagai
pelaziman. Contohnya dalam pembelajaran asas perkakasan komputer minat pelajar terhadap tajuk
adalah disebabkan cara penyampaian pengajaran yang baik menyebabkan pelajar memberikan
perhatian. Rangsangan yang pertama ialah komputer dan rangsangan kedua ialah cara pengajaran
yang menarik. Oleh kerana perkaitan antara keduanya adalah positif maka gerakbalas yang berlaku
juga positif. Tingkahlaku memberikan perhatian akan dilazimkan ,iaitu pelajar akan terus
memberikan perhatian apabila belajar mengenai komputer. Tumpuan pembelajaran adalah kepada
tingkahlaku luaran yang dipengaruhi oleh peneguhan. Kebanyakkan pembelajaran yang dijalankan
adalah tanggungjawab guru dan dikawal sepenuhnya oleh perekabentuk pengajaran atau sistem
pengajaran seperti komputer yang digunakan. Prinsip utama teori ini ialah rangsangan dan
gerakbalas serta peneguhan .Dalam perisian kursus PPBK , tumpuan objektif penggunaan ialah
hanya pada peringkat kefahaman dan pengetahuan. Teori ini akan berpegang kepada anggapan
bahawa pembelajaran perisian kursus PPBK merangkumi tanggungjawab guru, dan dikawal
sepenuhnya oleh pereka bentuk pengajaran atau sistem pengajaran. Teori ini juga berlandaskan
kepada anggapan bahawa pelajar akan mengekalkan sesuatu tindakan jika peneguhan yang
bersesuaian diberikan kepadanya. Sebagai contoh, apabila seseorang pelajar diberikan ganjaran
selepas menunjukkan sesuatu gerakbalas, ia akan mengulangi tindakbalas tersebut setiap kali
rangsangan yang serupa ditemui.
Dalam proses pengajaran dan pembelajaran perisian PPBK ini, guru perlu memahami
tingkahlaku-tingkahlaku pelajar yang dapat meningkatkan pembelajaran pelajar semasa kegiatan
pembelajaran . Prinsip-prinsip teori tingkahlaku yang diterapkan meliputi:
a) Proses belajar dapat berlaku dengan baik bila pelajar ikut dengan aktif didalamnya
b) Bahan pelajaran disusun dalam urutan yang logik supaya pelajar dapat dengan mudah
mempelajarinya dan dapat memberikan respon tertentu;
c) Tiap-tiap respon harus diberi maklum balas secara langsung supaya pelajar dapat mengetahui
apakah respon yang diberikannya telah benar;
d) Setiap kali pelajar memberikan respon yang benar maka ia perlu diberi ganjaran dan motivasi .
Menurut (Hartley & Davies, 1978 ) beberapa prinsip-prinsip teori tingkahlaku yang banyak
diterapkan di dunia pendidikan meliputi
Setiap kali pelajar memberikan respon yang benar maka ia perlu diberi penguatan.
Beberapa prinsip prinsip utama teori tingkahlaku pelaziman yang yang dikemukakan oleh
Pavlov boleh diaplikasikan dalam merekabentuk perisian PPBK ini ialah .
a) Mengaitkan pengalaman yang positif dan baik dengan tugasan pembelajaran. Guru perlu
menggalakkan aktiviti kumpulan dikalangan pelajar untuk memberikan kesan yang lebih terhadap
pelajar disamping menghilangkan perasaan takut pelajar sekiranya akti viti dijalankan secara
individu.
b) Pelajar boleh mempelajari dengan mengaitkan dengan antara rangsangan dan tindakbalas . Ini
a) Proses belajar dapat berlaku dengan baik bila pelajar ikut dengan aktif didalamnya
b) Bahan pelajaran disusun dalam urutan yang logik supaya pelajar dapat dengan mudah
mempelajarinya dan dapat memberikan respon tertentu;
c) Tiap-tiap respon harus diberi maklum balas secara langsung supaya pelajar dapat mengetahui
apakah respon yang diberikannya telah benar;
d) bermakna tingkahlaku pelajar boleh dilazimkan untuk gerakbalas yang dingini oleh guru.
c) Rangsangan dan gerakbalas diperkukuhkan melalui latihan yang diberikan. Pelajar yang
menerima peneguhan positif seperti bagus , anda berjaya , jawapan anda betul akan
menyebabkan pengguna terus melakukan yang terbaik berterusan walaupun tidak lagi
menerima pujian .
d) Pembelajaran akan dapat dipertingkatkan dengan mengadakan perbincangan , projek dan
aktiviti kumpulan di kalangan pelajar.
e) Motivasi boleh membangkitkan tingkahlaku positif dengan memberikan ganjaran yang sesuai .
Contoh motivasi ialah dengan memberikan pujian yang baik, kata-kata perangsang dan sebagainya
ketika pelajar berjaya memberikan respon kepada jawapan yang disediakan . Motivasi juga boleh
dipertingkatkan dengan menyediakan suasana pembelajaran yang menyeronokkan pelajar.
Menurut Gagne,Briggs& Wager(1992) terdapat sembilan elemen utama untuk sesuatu pengajaran ,
a) menarik perhatian
b) menyatakan objektif pelajaran
c) merangsang proses mengingat semula kandungan lepas
d) bahan-bahan yang boleh menimbulkan rangsangan pelajar
e) memberikan bimbingan
f) tugasan dan soalan
g) membuat penilaian tahap penguasaan pelajar
h) mengekal dan mengembangkan pengetahuan dan kemahiran pelajar.
Dalam merekabentuk perisian PPBK ini ,pendekatan menggunakan teori tingkahlaku di atas dapat
diaplikasikan seperti berikut:
a) Perisian yang dibangunkan oleh penulis haruslah menarik perhatian pengguna . Untuk
mewujudkan suasana ini, pembangunan perisian ini dimasukkan beberapa unsur-unsur grafik yang
bersesuaian dengan persembahan multimedia yang bertujuan untuk mendapatkan
perhatian pengguna. Ini sememangnya sudah menjadi kelaziman kepada manusia yang suka melihat
kepada gaya persembahan yang menarik atau lebih tepat
lagi yang berorientasikan penglihatan . Pepatah Confucious menyatakan bahawa sebuah gambar
mampu menggantikan seribu perkataan. Grafik merupakan blok pembangunan utama dalam
pembangunan multimedia.(Vilamil-Casanova&Molina 1997) Penampilan permulaan yang
menarik dengan memasukkan unsur-unsur grafik,warna dan animasi dalam perisian ini akan
memberikan daya tarikan kepada pengguna untuk terus menggunakan perisian ini dalam
meningkatkan pengajaran dan pembelajaran.
b) Pernyataan objektif pengajaran pembelajaran. Menurut Gagne pernyataan objektif ini merupakan
satu motivasi untuk pelajar mengetahui apakah tugasan pembelajaran yang harus dicapai. Pernyataan
objektif disampaikan dengan beberapa cara yang menarik sama ada melalui teks ataupun dalam
bentuk animasi yang menarik . Dalam perisian ini matlamat dan objektif serta apa yang hendak
dicapai daripada pengguna perisian ini diakhir nanti akan dinyatakan . Keadaan ini
akan memberikan rangsangan kepada pengguna untuk terus mengguna dan mencuba perisian ini
untuk mempelajari serta mendapat pengetahuan dan kemahiran mengenai komponen-komponen
yang terdapat dalam sesebuah sistem komputer sepertimana yang terdapat dalam tajuk asas
perkakasan komputer.
c) Melalui perisian ini pengguna akan dapat mengetahui dan mengenalpasti jenis-jenis komponen-
komponen utama yang terdapat dalam sesuatu sistem komputer., menyenaraikan dan membezakan
jenis komponen serta fungsi bagi setiap komponen komputer secara lisan dan bertulis,dapat
melabelkan komponen-komponen perkakasan yang terdapat pada sesebuah papan induk, mengetahui
beberapa masalah biasa yang sering berlaku kepada komputer dan boleh membuat jangkaan masalah
untuk membaikpulih komputer.
d) Persembahan dalam perisian juga boleh meningkatkan rangsangan kepada pelajar untuk
terus menggunakannya , Oleh sebab itulah dimasukkan juga beberapa elemen-elemen yang boleh
mewujudkan suasana menarik dalam perisian ini antaranya ialah penggunaan ikon ikon tertentu
yang berfungsi untuk memberikan maklumat dan bantuan serta menyediakan panduan kepada
pengguna mengenai perkara tertentu yang diperlukan semasa menggunakannya. Disamping
itu juga terdapat unsur-unsur penggunaan audio yang jelas dan menarik boleh membantu pengguna
untuk memahami sesuatu aktiviti yang dijalankan atau masalah yang dihadapi. Grafik dan animasi
juga berkesan untuk menyampaikan maklumat . Penggunaan grafik dan animasi komponen-
komponen komputer juga dapat menjelaskan pemahaman , menerangkan konsep dan
fakta pengguna terhadap kandungan perisian yang digunakan. Penggunaan audio dan video dalam
perisian ini akan memberikan kesan konkrit dan penegasan dalam menyampaikan maklumat . Audio
dapat disampaikan dalam bentuk suara manusia yang lebih ringkas dan tepat mengenai beberapa
fungsi komponen komputer dapat membantu pengguna khususnya yang sukar untuk membaca teks.
d) Beberapa latihan ataupun tugasan yang berbentuk soalan objketif, subjektif dan kuiz yang
mencabar minda pengguna dimasukkan dalam perisian ini . Tujuannya ialah untuk
mengesan kemajuan ataupun tahap penguasaan pelajar , dapat menilai dan mentaksir kemajuan
yang telah dicapai oleh pengguna khususnya dalam topik-topik tertentu semasa
menggunakan perisian ini . Setiap jawapan kepada soalan latihan akan disediakan
maklumbalas yang positif . maklumbalas komputer ini adalah dalam bentuk grafik,teks,visual dan
audio. Maklumbalas positif ini dapat menimbulkan minat , rangsangan dan motivasi kepada
pengguna untuk terus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka disamping akan dapat
mengaplikasikan ilmu yang dipelajari . Pengguna akan diberi peluang untuk menunjukkan
penguasaannya terhadap sesuatu kemahiran sebelum melangkah ke kemahiran yang lain. Terdapat
beberapa cara yang boleh digunakan oleh pengguna perisian ini untuk memberikan tindakbalas .
Jawapan boleh diberikan melalui penggunaan tetikus atau menekan butang tertentu pada papan
kekunci. Jawapan yang diberikan adalah lebih mencabar. Pengguna juga dikehendaki memberikan
jawapan atau tindakbalas terhadap soslan-soalan dalam jangka masa yang ditetapkan . Jika
pengguna tidak dapat menjawab atau memberikan respon dalam jangkamasa yang ditetapkan ,
komputer akan mengarahkan pengguna menggunakan butang bantuan atau memberikan kebenaran
untuk menjawab semula soalan atau meneruskan aktiviti menjawab soalan lain.
e) Perisian ini juga mengambilkira faktor penilaian akhir peristiwa pengajaran dan
pembelajaran. Melalui aktiviti latihan menjawab soalan objektif dan subjektif serta kuiz dalam
perisian ini. Komputer akan menyediakan maklumbalas,mendiagnosis kelemahan dan kekuatan
pelajar. Penilaian dan maklumbalas tahap penguasaan pelajar ini boleh mengukuhkan ingatan
dan membantu pelajar mengaplikasikan pengetahuannya dalam situasi pengalaman pembelajaran
yang lebih mencabar.
b) Teori Konstruktivisme
Menurut konstruktivisme, pelajar tidak lagi dianggap belajar daripada apa yang diberikan guru
atau sistem pengajaran tetapi secara aktif membina realiti mereka sendiri dan pada masa yang sama
mengubahsuai realiti tersebut. Ini adalah sesuai dengan pengajaran dan pembelajaran PPBK .
Perisian PPBK ini memerlukan pelajar yang aktif mengaplikasikan pengetahuan dalam membina
realiti mereka sendiri. Segala pengetahuan dibina oleh pelajar tidak disokong dari pengetahuan luar.
Dick (1997) menyatakan bahawa konstruktivisme hanya mencadangkan kaedah dalam mana
persekitaran pembelajaran boleh disusun atur dan diurus supaya dapat membekalkan pelajar dengan
konteks terbaik untuk belajar. Pembelajaran akan melibatkan pelajar yang aktif dengan mencari
pengetahuan dan melibatkan kerja-kerja merekabentuk. Teori ini juga beranggapan bahawa pelajar
mampu untuk membuat penyelidikan, menganalisis, mempersembahkan maklumat berkenaan
perisian kursus PPBK
Penggunaan teori konstruktivisme dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan mereka
bentuk perisian PPBK asas perkakasan komputer ini dapat dilihat melalui aktiviti-aktiviti berikut.
a) Pelajar berpeluang mengemukakan pandangannya tentang sesuatu konsep.
b) Pelajar berpeluang berkongsi persepsi antara satu sama lain.
c) Pelajar menghormati pandangan alternatif rakan-rakan mereka.
d) Semua pandangan pelajar dihormati dan tidak dipandang rendah
e) Pembelajaran berpusatkan pelajar
f) Aktiviti berasaskan hands-on dan minds-on
g) Mementingkan kemahiran saintifik dan kemahiran berfikir.
h) Pelajar mengaplikasikan idea baru dalam konteks yang berbeza untuk mengukuhkan
kefahaman idea tersebut.
I) Pelajar menghubungkait idea asal dengan idea yang baru dibina
j) Guru menyediakan alat/bahan yang sesuai
k) Pelajar digalakkan mengemukakan hipotesis dan bukan guru menerangkan teori
l) Guru mengemukakan soalan yang boleh meransangkan pelajar mencari jawapan
m) Guru tidak menyampaikan maklumat secara terus kepada pelajar
n) Pelajar banyak berinteraksi dengan pelajar lain dan guru
o) Guru prihatin terhadap keperluan, kebolehan dan minat pelajar
p) Pelajar bekerja dalam kumpulan

c) Teori Kognitif
Teori kognitif adalah berkaitan dengan ingatan iaitu ingatan jangka panjang dan ingatan jangka
pendek. Salah satu daripada teori kognitif ialah pemprosesan maklumat yang digunakan dalam
pengajaran pembelajaran komputer. Teori ini juga menyediakan pembelajaran aktif dimana pelajar
bertindak secara aktif memperoleh, menstruktur semula dan mengkaji pengetahuan untuk
menjadikannya bermakna. Pelajar memerlukan kepada pemindahan pembelajaran
dan pengetahuan. Teori ini lebih menekan kepada pengetahuan kini dan pengetahuan yang lepas.
Untuk membantu pelajar memperolehi maklumat, rekabentuk perisian hendaklah dalam bentuk
simbol dan lain-lain saluran agar maklumat itu lebih teratur dan mudah diperolehi. Alessi & Trollip
(1991) mempercayai bahawa beberapa bidang dalam teori kognitif sangat penting dalam mereka
bentuk bahan pengajaran terancang berasaskan komputer. Bidang-bidang tersebut ialah pengamatan
dan penanggapan , ingatan , kefahaman pembelajaran secara aktif , motivasi, pemindahan
pembelajaran , dan perbezaan individu .

3.0 Strategi Pengajaran Dan Pembelajaran Dalam Merekabentuk Perisian
PPBK Pelbagai teknologi dan perancangan secara sistematik digunakan semasa proses pengajaran
dan pembelajaran. Penggunaan perisian pengajaran dan pembelajaran berbantukan
komputer memerlukan strategi yang tertentu dan pendekatan yang boleh diterapkan dan digunakan
ke dalam pengajaran dan pembelajaran agar matlamat dan objektif pengajaran tersebut boleh dicapai.
Antara strategi dan pendekatan yang digunakan dalam perisian kursus PPBK ini ialah seperti berikut:
a) Pembelajaran koperatif
b) Pembelajaran kolaboratif
c) Pembelajaran Anjal
d) Pembelajaran Bersepadu
e) Pembelajaran Aktif
f) Pembelajaran Reflektif

a) Strategi Pembelajaran Koperatif
Pembelajaran koperatif adalah satu pendekatan pembelajaran yang melibatkan kumpulan atau
pasukan pelajar. Ia menggunakan.strategi rangkaian komputer untuk menyiapkan tugasan yang
bebas daripada kekangan masa, jarak dan tempat. Konsep kerjasama dan dalam kumpulan telah
diperkenalkan oleh Johnson dan Johnson (1991) dan Salvin (1983). Mereka percaya bahawa pelajar
yang belajar secara bekerjasama dalam kumpulan akan dapat belajar dengan lebih baik dan berupaya
meningkatkan prestasi mereka. Menurut Steven , mendapati bahawa pembelajaran koperatif telah
dapat meningkatkan motivasi pelajar semasa perbincangan dalam kumpulan. Hasil dari peningkatan
motivasi yang ditunjukkan ia akan menyebabkan pelajar lebih berminat kepada perisian yang sedang
dipelajari. Melalui pendekatan koperatif juga pelajar dari pelbagai kebolehan bekerjasama dalam
kumpulan kecil untuk mencapai satu matlamat yang sama . Sasaran adalah tahap pembelajaran yang
maksimum bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga untuk rakan-rakan yang lain.
Melalui perisian kursus bertajuk perkakasan komputer ini ,pelajar akan dapat melaksanakan aktiviti
pembelajaran yang meliputi ,
a. saling bergantung antara satu sama lain secara positif.
b. saling berinteraksi secara bersemuka.
c. akauntabiliti individu atas pembelajaran diri sendiri.
d. kemahiran koperatif.
e. pemprosesan kumpulan
Individu dalam kumpulan dikehendaki menunjukkan kefahaman masing -masing dan memainkan
peranan berbeza bergilir-gilir. Ia juga akan menggalakkan pelajar berinteraksi secara aktif dan positif
dalam kumpulan Cara pembelajaran yang melibatkan interaksi atau penglibatan
individu ini menyumbangkan kadar pemahaman yang tinggi. Pembelajaran secara aktif ini akan
memberikan kesan yang lebih berbanding pembelajaran secara pasif . ganjaran akan diberi kepada
individu dan kumpulan dalam aktiviti yang dijalankan. Ini membolehkan perkongsian idea dan
pemeriksaan idea sendiri dalam suasana yang tidak terancam, sesuai dengan falsafah
konstruktivisme.

b) Strategi Pembelajarn Kolaboratif
Pendekatan ini menekankan proses penyiasatan dan inkuiri. Dalam pembangunan perisian
PPBK perkakasan komputer ini, pelajar akan melibatkan diri dalam aktiviti menjawab soalan terbuka
supaya kemahiran inkuiri boleh dibina. Pendekatan ini akan membolehkan pelajar berpeluang
untuk menambahkan pengetahuan dan kefahaman dan pada masa yang sama membina kemahiran
menyiasat. Semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran berjalan, interaksi berlaku di antara pelajar
dengan perisian , pelajar dengan pelajar dan pelajar dengan tenaga pengajar. Schrage
(1990) menyatakan pembelajaran kolaboratif melebihi aktiviti bekerjasama kerana ia melibatkan
perkongsian hasil penemuan dan hasil yang didapati daripada pembelajaran baru. Menurut Jonassen
(1996), pembelajaran secara kolaboratif dapat membantu pelajar membina pengetahuan yang lebih
bermakna jika dibandingkan dengan pembelajaran secara individu. Dengan menjalankan aktiviti dan
projek pembelajaran secara kolaboratif secara tidak langsung kemahiran-kemahiran seperti
bagaimana berkomunikasi akan dipelajari oleh pelajar.
c) Pembelajaran Anjal
Pengajaran dan pembelajaran menggunakan perisian PPBK perkakasan komputer ini tidak
semestinya dijalankan pada jadual waktu rasmi. Pembelajaran anjal melibatkan masa pelajar belajar
dan kurikulum harus dirancang dengan sebaiknya disamping mewujudkan jadual waktu anjal. Dalam
kaedah pengajaran pendidik perbezaan pelajar itu sendiri amat perlu diambil kira. Penggunaan
perisian PPBK perkakasan komputer ini boleh digunakan oleh pelajar diluar waktu rasmi ,ataupun
diluar waktu pembelajaran kelas biasa. Ini memberikan ruang dan kebebasan kepada pelajar untuk
belajar dan meneroka ilmu pengetahuan baru disamping dapat membantu mengukuhkan kefahaman
yang telah dipelajari semasa di kelas. Pelajar juga dapat maklumbalas dengan cepat dan
positif daripada komputer , keadaan ini akan menimbulkan keseronokan belajar kerana mereka
mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap proses pembelajaran .Ini dapat meningkatkan motivasi
pelajar.
d) Pembelajaran Bersepadu
Sistem Pembelajaran Bersepadu ialah pendekatan pembelajaran yang menggunakan rangkaian
komputer. Penggunaan perisian PPBK perkakasan komputer ini juga memenuhi kehendak dan
keperluan bahan yang berasaskan komputer dan media sokongan yang memenuhi keperluan
pembelajaran individu dan mengikut sukatan pelajaran yang ditetapkan. Dalam pembelajaran ini,
sistem instruksi, pembelajaran dan pengurusan, dikendalikan oleh komputer menggunakan
rangkaian komputer (Yusup & Razmah, 1999)
e) Pembelajaran Aktif
Pelajar secara aktif di dalam aktiviti pembelajaran contohnya, dalam aktiviti mengenalpasti
komponen-komponen utama dalam sistem komputer dan fungsi setiap komponen berkenaan .
Pelajar akan dapat membuat penerangan mengenai komponen-komponen tersebut sepertimana
yang telah dipelajari sebelumnya melalui demonstrasi yang ditunjukkan kepada mereka. Melalui
penglibatan secara aktif ini penekanan pembelajaran dapat diberikan kepada pemikiran konstruktif
oleh semua pelajar, dengan aktiviti biasanya tertumpu kepada pembinaan pengetahuan dan
kemahiran baru . Proses pemindahan dan penerimaan maklumat hanya akan berlaku melalui
penglibatan pelajar secara aktif. Pelajar akan dapat menterjemahkan konsep yang dipelajari melalui
latihan susulan yang diberikan kepada mereka.
f) Pembelajaran Reflektif.
Pembelajaran reflektif membantu pelajar mempelajari bagaimana menggunakan pengetahuan untuk
menyelesaikan masalah, membuat keputusan, pembentukan dan pemahaman konsep, inkuri dan
kesedaran diri,mengenal pasti andaian yang melandasi sesuatu, menilai ketepatan andaian,
kesimpulan dan pegangan, menaakul perbezaan moral dan etika.Pelajar akan mengingat dan
mengkaji semula beberapa langkah mengenai beberapa teknik yang telah
dipelajari. Contohnya dalam aktiviti membuka dan memasang beberapa komponen perkakasan
komputer beberapa urutan kerja perlu difahami oleh pelajar sebelum melaksanakan proses yang
sama berikutnya.

You might also like