You are on page 1of 4

PENGENALAN

Abdul Rahim bin Salim Kajai merupakan seorang pejuang bangsa yang terkenal sebelum
Perang Dunia Kedua. Beliau menggunakan medium penulisan sebagai wadah untuk
membangkitkan semangat kebangsaan dalam kalangan orang Melayu pada ketika itu. Tidak
keterlaluan jika kita mengangkat beliau sebagai seorang perintis semangat nasionalis dalam
kalangan masyarakat pada ketika itu. Terkenal dengan nama panggilan Rahim Kajai atau
Kajai, beliau merupakan seorang wartawan dan karyawan yang hebat semasa zamannya.
Kemahiran beliau untuk memikat hati pembaca dalam kalangan masyarakat Melayu pada
ketika itu amat dikagumi sehingga ke hari ini. Tanpa hebahan yang meluas semasa
berkhidmat dalam syarikat akhbar, Rahim Kajai masih mampu menerapkan semangat
kebangsaan dalam kaum bumiputera pada ketika itu. Oleh itu, tidak hairanlah jika Rahim
Kajai dianggap sebagai Bapa Kewartawanan Melayu dan Pelopor Cerpen Melayu Moden
oleh sebilangan besar masyarakat pada hari ini.
Tokoh cerpenis yang terkenal ini telah menulis dan menghasilkan sebanyak 48 buah
cerpen sejak dari tahun 1930 hingga tahun 1942. Kebanyakan karya Rahim Kajai yang
dihasilkan banyak berkisar tentang semangat kebangsaan dalam kalangan bumiputera.
Pendekatan yang diambil Rahim Kajai dilihat sesuai dengan keadaan masyarakat Melayu
yang sangat lemah dalam penguasaan ekonomi dan politik di negara sendiri sewaktu zaman
penjajahan. Menghasilkan karya berdasarkan pengalaman dan penelitian terhadap isu
masyarakat pada zaman itu, Rahim Kajai mengkritik hebat sikap masyarakat kaum
bumiputera dengan menghasilkan karya yang menarik. Disebabkan keistimewaan dalam
bidang penulisan, kebanyakan cerpen yang dihasilkan Rahim Kajai amat diminati oleh
sebahagian besar orang Melayu.
Secara keseluruhannya, Rahim Kajai menghasilkan karya yang bermutu demi tatapan
bangsanya. Beliau turut memperlihatkan kepekaannya sebagai wartawan dengan memerhati,
melapor, mengupas, mengkritik dan menganalisis pola masyarakat dalam karya-karya
cerpennya. Keistimewaan inilah yang menjadikan karyanya amat diminati ramai ketika itu.
Perjuangan Rahim Kajai melalui akhbar dan penulisan cerpen sememangnya memberikan
impak yang besar dalam dunia persuratan Melayu. Sumbangan beliau agak merosot ketika
zaman penjajahan Jepun, namun usahanya dalam menggangkat martabat kaumnya sedikitpun
tidak luntur sehingga ke penghujung nyawanya. Oleh itu, pemergian beliau pada tanggal 5
Disember 1943 sememangnya suatu kehilangan yang besar kepada tanah air ketika itu.
1

LATAR BELAKANG
Rahim Kajai atau nama sebenarnya Abdul Rahim Bin Salim Kajai dilahirkan di Setapak,
Kuala Lumpur pada tahun 1894. Asal usul nama Kajai itu adalah berasal dari sebuah
kampung yang bernama Kampung Kajai yang terletak di Minangkabau, Sumatera, Indonesia.
Kampung tersebut merupakan tempat tinggal asal bagi kedua ibu bapa Rahim Kajai. Selain
itu, bapanya berasal dari sebuah keluarga yang mewah dan juga mempunyai pegangan
agama yang kuat. Bapanya bekerja sebagai seorang Syeikh di Mekah. Beliau mula mendapat
pendidikan awal di Sekolah Melayu, Setapak, Kuala Lumpur pada tahun 1900. Semasa di
sekolah beliau dianggap sebagai seorang murid yang cergas. Hal ini terbukti apabila beliau
telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di sekolah Inggeris secara percuma. Namun
begitu, ibu bapa beliau tidak membenarkan Kajai untuk bersekolah di sekolah Inggeris kerana
mereka tidak mahu Kajai lahir daripada sistem pendidikan Inggeris. Oleh sebab itulah,
mereka menghantar Kajai ke Mekah untuk belajar tentang Islam selama tiga tahun setelah
tamat darjah lima di Sekolah Melayu, Setapak, Kuala Lumpur pada tahun 1906. Namun,
keinginan beliau untuk melanjutkan pelajaran di sekolah Inggeris amat tinggi kerana beliau
berpendapat bahawa pengetahuan yang bakal diperoleh dari sekolah Inggeris mungkin dapat
memberikan manfaat kepada dirinya suatu hari nanti. Oleh sebab itulah, beliau telah
mengambil inisiatif dengan mempelajari sendiri bahasa Inggeris setelah hasratnya untuk
melanjutkan pelajaran di sekolah Inggeris terhalang.
Ketika berada di Mekah pada tahun 1906, Kajai tinggal bersama dengan bapa serta
ibu tirinya. Beliau berkesempatan untuk mempelajari bahasa Arab serta membaca Al-Quran
dengan baik dari bapanya. Di samping itu, beliau juga mempelajari pelajaran lain yang
berkaitan seperti Usuluddin dan juga Fikah. Setelah pulang ke Kuala Lumpur pada tahun
1909 beliau telah memulakan kerjayanya sebagai penjilid dan kemudiannya menjadi pengatur
huruf Melayu di Pejabat Cap Kerajaan di Kuala Lumpur selama tiga setengah tahun. Pada
tahun 1912-1913 pula beliau telah pergi ke Singapura untuk bekerja sebagai pengatur huruf
Inggeris (English Compositor) di Syarikat Malaya Publishing House.
Namun kerjayanya di Malaya Publishing House tidak bertahan lama setelah beliau
mengambil keputusan untuk berhenti kerja dari syarikat itu setelah beberapa bulan bekerja di
syarikat itu untuk mencari pekerjaan yang lebih baik. Beliau pulang kembali ke Kuala
Lumpur pada akhir 1913 dan menjadi pelukis pelatih di sebuah pejabat Jurutera Bangunan.
Kemudian beliau bekerja pula dengan kerajaan sebagai pelukis sementara di Jabatan Ukur
2

Kuala Lumpur untuk beberapa bulan sahaja kerana beliau terpaksa pulang ke Mekah setelah
bapanya meninggal dunia pada tahun 1913 untuk menjaga adik tirinya iaitu Maryam dan juga
meneruskan pekerjaan ayahnya sebagai Syeikh Haji. Namun begitu, pendapatannya sebagai
Syeikh Haji merosot ekoran dari kesan Perang Dunia Pertama dan beliau telah mengambil
keputusan untuk pulang semula ke Tanah Melayu pada tahun 1917 dan urusan Syeikh Haji
diserahkan kepada ibu tirinya. Sekembalinya Kajai ke Tanah Melayu beliau tidak mempunyai
pekerjaan yang tetap. Beliau hanya menolong untuk menguruskan perniagaan menjual getah
di Setapak.
Menjengah tahun 1920 beliau telah pulang kembali ke Mekah untuk menguruskan
urusan perniagaan arwah bapanya. Di samping menjadi Syeikh Haji di Mekah beliau mula
menjadi wakil wartawan bagi akhbar Idaran Zaman yang mula diterbitkan di Pulau Pinang
pada Januari 1925. Kajai telah menyumbangkan berita yang menarik dari Mekah dan juga
makalah lebih kurang tiga tahun. Pada tahun 1928, Ibu beliau telah meninggal dunia dan
beliau telah mengambil keputusan untuk menetap serta menjalankan kehidupan baru sebagai
penulis di Tanah Melayu.
Pada tahun 1930, Kajai telah bertugas sebagai penolong pengarang Saudara dan
seterusnya dinaikkan pangkat ke jawatan sebagai pengarang akhbar Saudara. Seterusnya
beliau mengambil keputusan untuk berhenti kerja dengan Saudara dan bekerja di akhbar
Majlis pada tahun 1931 juga sebagai pengarang. Walau bagaimanapun, pada tahun 1935,
Kajai telah berhenti berkhidmat dari akhbar Majlis dan bekerja di syarikat Warta Malaya
sebagai wakil akhbar dan juga sebagai pengarang dalam akhbar tersebut. Semasa menjadi
wakil akhbar Warta Malaya beliau banyak menumpukan perhatian terhadap liputan mengenai
pentadbiran kerajaan, perkara yang dibahaskan dalam Majlis Mesyuarat Persekutuan, hal
ehwal mahkamah dan sebagainya.
Pada tahun 1936 pula, Kajai telah dilantik sebagai pengarang di Warta Malaya di
Singapura kerana pengalamannya yang luas dalam dunia kewartawanan melayu. Seterusnya
pada tahun 1939 sebuah lagi syarikat akhbar berjaya ditubuhkan iaitu akhbar Utusan Melayu
yang dimiliki sepenuhnya oleh orang melayu jati dan Kajai telah ditawarkan untuk
berkhidmat di Utusan Melayu. Kajai bersetuju untuk berkhidmat dengan Utusan Melayu
memandangkan syarikat tersebut dimiliki sepenuhnya oleh orang Melayu. Namun begitu,
pada permulannya Kajai hanya menyumbangkan khidmat secara rahsia kerana masih belum
ada orang yang dapat menggantikan tempatnya di Warta Malaya. Setelah ada pengganti
3

yang menggantikan tempatnya, barulah beliau meletakkan jawatan secara rasmi di Warta
Malaya. Walaupun pendapatan yang diperoleh tidak sama ketika berkhidmat dengan Warta
Malaya namun beliau berpuas hati kerana beliau sudah lama memasang niat untuk
menyokong dan memajukan orang Melayu.
Syarikat Utusan Melayu menjadi semakin maju setelah Utusan Zaman mula
diterbitkan pada November 1939. Memandangkan akhbar Utusan Zaman dan Utusan Melayu
mendapat sokongan dari orang ramai pihak berkuasa telah mengambil keputusan untuk
menerbitkan majalah Mustika. Oleh itu, Kajai telah diberi tanggungjawab menjaga dan
mengetuai sidang pengarang syarikat Utusan Melayu. Setelah berlakunya peperangan antara
British dan Amerika pada 8 Disember 1941 Kajai telah mengambil keputusan untuk tidak
kembali ke Singapura. Seterusnya pada Mac 1941 Haji Othman, Kajai dan Haji Dahlan telah
bersepakat untuk menerbitkan akhbar di Selangor Press. Akhbar tersebut telah dinamakan
sebagai Perubahan Baharu setelah dicadangkan oleh pihak Jepun. Kajai turut menjadi
pengarang dalam akhbar tersebut. Di samping itu, Kajai juga terpaksa menterjemahkan berita
dan rencana tersebut ke dalam bahasa Inggeris untuk kegunaan pihak polis tentera Jepun.
Atas dasar penghargaan dan penghormatan kepada Kajai dari pemerintahan Jepun,
Kajai telah dipilih untuk menghadiri perjumpaan di kalangan wartawan Sumatera dan Malaya
di Singapura. Beliau telah dilantik sebagai jurucakap bagi pihak wartawan yang hadir dengan
pihak pemeintah Jepun. Kemuncak kepada karier beliau telah diminta oleh pihak Jepun untuk
bertugas sebagai pengarang Berita Malai yang berpusat di Singapura.
Pada Julai 1943, Abdul Rahim Kajai diserang penyakit yang mempunyai kaitan
dengan jantung hingga memaksanya berhenti kerja di Berita Malai. Beliau telah
menghembuskan nafas yang terakhir pada 5 Disember 1943 di Kampung Geylang, Singapura,
setelah lima bulan menderita kesakitan.

You might also like