You are on page 1of 2

Antara kelemahan yang dinyatakan oleh Wang (2000) dipetik daripada Daliyanie Mat Saaid

(2011), pelajar seolah-olah dibentuk melalui mesin (kurikulum). Kaedah pembelajaran ini
menjadikan pelajar sebagai produk yang dibentuk dan pembelajaran akan berlaku secara
terpaksa. Maka, ia tidak akan membantu pelajar dalam membentuk keyakinan diri. Kelemahan
lain yang turut dinyatakan ialah penekanan pembelajaran yang lebih tertumpu kepada buku
sebagai bahan rujukan kedua selepas guru. Pelajar akan menumpukan kepada konsep-konsep
yang dipelajari dan terhad untuk mengatasi masalah tertentu sahaja. Kaedah ini menjadikan
pembelajaran tidak disepadukan dengan dunia luar dan tidak mempedulikan isu-isu semasa.
Dengan ini, pelajar akan menggunakan kaedah latih tubi dalam menguasai konsep matematik
untuk cemerlang dalam peperiksaan.

Untuk menguasai ilmu matematik, pelajar seharusnya menguasai isi kandungan matapelajaran
dan didedahkan kepada kemahiran dan strategi penyelesaian matematik yang luas. Seperti yang
dinyatakan oleh Johari Hassan & Yeong (2010), "Ketrampilan isi kandungan adalah perlu tetapi
bukan wajib untuk penyelesaian masalah, sebaliknya pengalaman dan pendedahan kepada
kemahiran dan strategi penyelesaian masalah mungkin adalah faktor yang lebih penting." Namun
begitu, masih ramai guru yang hanya memberi tumpuan kepada kandungan sukatan
matapelajaran matematik dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik
darjah. Ini dapat dibuktikan melalui kajian yang dilakukan oleh Lim dan Zhao pada tahun 2005
bertajuk: Assessment and Examination System: A Comparative Study between Malaysia and
Shanghai (China), di mana menyatakan terdapat beberapa faktor yang menyebabkan prestasi
pelajar dalam matapelajaran matematik di China lebih baik daripada di Malaysia walaupun
terdapat banyak persamaan di antara sistem peperiksaan di kedua-dua negara ini. Antara faktor
tersebut ialah ketinggian tahap kandungan pengajaran di negara China.

Menurut mereka, di China, guru matematik cenderung untuk mengajar lebih daripada apa
kandungan kurikulum yang diperlukan. Kandungan matapelajaran yang diajar oleh guru adalah
lebih sukar berbanding buku teks sekolah dan kurikulum yang dirancang dan mereka percaya
jika pelajar-pelajar diajar lebih daripada kandungan yang disediakan ia akan membawa kepada
skor yang lebih baik dalam peperiksaan. Akan tetapi, di Malaysia, seperti yang dinyatakan dalam
kajian yang sama, guru-guru hanya mengajar kandungan yang ditetapkan oleh sukatan pelajaran
walaupun kandungan yang dinyatakan bertujuan untuk mencapai kecekapan minimum. Malah,
sesetengah guru mungkin memilih untuk mengorbankan beberapa kandungan atau topik-topik di
mana mereka merasakan terlalu sukar untuk pelajar-pelajar mereka dan mereka hanya menumpu
pada topik yang terhad untuk memastikan pelajar-pelajar mereka boleh menguasai topik-topik ini
dan seterusnya lulus dalam peperiksaan.

Jika pelajar-pelajar didedahkan dengan kemahiran dan strategi penyelesaian masalah selain yang
terdapat dalam sukatan matapelajaran yang ditetapkan, mereka akan lebih cemerlang tanpa perlu
memberi penekanan terhadap bentuk soalan peperiksaan dan latih tubi. Penilaian pada asalnya
mempunyai kepentingan dalam meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.
Namun begitu, satu budaya yang terlalu berorientasikan peperiksaan mungkin mencipta kesan
negatif ke atas pencapaian pelajar.

You might also like