You are on page 1of 11

PENDIDIKAN BERORIENTASIKAN PEPERIKSAAN DARI PERSPEKTIF PELAJAR

SEKOLAH MENENGAH (TINGKATAN 1 HINGGA TINGKATAN 3)


PENDIDIKAN BERORIENTASIKAN PEPERIKSAAN DARI PERSPEKTIF PELAJAR
SEKOLAH MENENGAH (TINGKATAN 1 HINGGA TINGKATAN 3)[1]

Oleh:
Hj. Bhasah bin Hj. Abu Bakar
Hj. Misnan bin Jemali
Universiti Pendidikan Sultan Idris. Tanjung Malim. Perak.

ABSTRAK

Peperiksaan merupakan satu perkara yang penting dalam hidup seseorang pelajar. Peperiksaan
menentukan halatuju bagi seseorang pelajar dalam dunia pendidikan. Pelajar akan mencari
halatuju masing-masing selepas mendapat keputusan peperiksaan kebangsaan terutamanya dalam
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolah Malaysia atau Sijil Tinggi
Agama Malaysia. Lantaran itu, penekanan yang begitu kuat diberikan kepada peperiksaan oleh
pelajar, ibubapa dan masyarakat. Keputusan peperiksaan akan menjadi mercu tanda kejayaan dan
menjadi sanjungan serta kebanggan sekolah dan keluarga di samping dapat menentukan masa
hadapan pelajar itu sendiri dalam bidang-bidang tertentu. Penentuan yang begitu kuat diberikan
kepada peperiksaan bermula dari sekolah rendah lagi sewaktu murid masih lagi di Tahun 1.
Kajian ini cuba melihat unsur-unsur yang berkaitan dengan orientasi peperiksaan dan melihat
setakat mana pula ciri-ciri tertentu memainkan peranan dalam mendekatkan lagi pelajar kepada
peperiksaan bagi sekolah-sekolah yang dikenalpasti sebagai sekolah cemerlang dan sekolah
bukan cemerlang.

PENGENALAN

Pembelajaran dan peperiksaan merupakan dua aktiviti utama dalam alam persekolahan para
pelajar. Gaya pembelajaran merupakan satu faktor penting yang menentukan pencapaian dan

personaliti pelajar. Seandainya pengajaran dan pembelajaran (P&P) berkenaan adalah untuk
peperiksaan maka gaya pembelajarannya agak berlainan kaedahnya dari pembelajaran yang
berteraskan kepada mendapatkan sebanyak ilmu yang mungkin. Di samping itu, media juga
memainkan peranan dalam meningkatkan pencapaian pelajar dalam peperiksaan. Kini akhbarakhbar harian begitu lumrah mengiklankan atau memperbesarkan keperluan pelajar untuk
mendapatkan Gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil dalam peperiksaan peringkat
nasional. Malahan terdapat iklan yang menjamin pelajar akan mendapat 5A atau lebih ddalam
peperiksaan nasional apabila mengikut kem-kem motivasi yang mereka anjurkan.

Sistem pendidikan di Hong Kong, umpamanya, adalah exam-oriented dan ini telah menimbulkan
beberapa masalah dalam pendidikan mereka dimana (a) pelajar menerima apa sahaja yang diajar
oleh guru tanpa banyak persoalan, (b) pelajar dan guru lebih menekankan kepada apa yang
tercatat dalam kurikulum peperiksaan dan tidak akan membaca bahan yang dianggap tidak
termasuk dalam peperiksaan walaupun ianya penting dan (c) pelajar akan menumpukan tugasan
atau kerja rumah yang hanya akan dinilai dan diberikan markah sahaja. Dalam sistem pendidikan
exam-oriented pelajar akan merasa tertekan kerana mereka terpaksa menelaah banyak perkara
yang akan disoal didalam peperiksaan dan P&P dengan sendirinya akan menjadi bosan. Pelajar
akan dimarahi atau diambil tindakan jika tidak berkebolehan mencapai satu tahap yang telah
ditetapkan. Lantaran itu ramai murid/pelajar akan kehilangan zaman atau alam keanakannya
yang telah diambil alih oleh aktiviti untuk mendapatkan skor yang tinggi menghadiri kelas
tambahan atau tuisyen.

Banyak kajian dibuat tentang kaedah yang perlu pelajari untuk mendapatkan gred yang terbaik,
antaranya termasuklah mengulang kaji nota pelajaran sebaik sahaja pengajaran tamat dan segera
mengatur rancangan belajar (Khalid Mohd. Noor 1993). Selmes (1987) menyenaraikan lima
pendekatan pembelajaran tentang stail pembelajaran pelajar sekolah. Pendekatan-pendekatan ini
ialah pendekatan mendalam (deep), permukaan (surface), organisasi (organisation), motivasi dan
ketekunan. Pembelajaran secara mendalam akan meningkatkan pencapaian, sementara
pembelajaran secara permukaan akan merendahkan pencapaian pelajar dalam peperiksaan di
samping itu motivasi pelajar adalah penting bagi menentukan pencapaian pelajar dalam
peperiksaan.

Guru merupakan faktor penting memainkan peranan dalam meningkatkan mutu pendidikan
terutama dalam menentukan pencapaian cemerlang pelajar. Dalam konteks exam-oriented, guru
akan bekerja keras untuk menghabiskan kurikulum peperiksaan, namun terdapat tajuk-tajuk tidak
dapat diajar yang dianggap kurang penting dan pelajar boleh menelaahnya sendiri. Keadaan ini
mendorong pelajar mencari kelas-kelas tambahan (tuisyen) yang kini wujud seperti cendawan

tumbuh selepas hujan. Menurut Syed Lutri (1994), guru bertanggung jawab untuk
mencemerlangkan pelajar-pelajarnya dengan memperbanyakkan latihan, tunjuk ajar, kelas
tambahan dan sebagainya untuk memastikan pelajar memahami dan memanfaatkan sepenuhnya
apa yang diajar. Namun demikian, dalam sistem exam-oriented pelajar akan menumpukan
sepenuh masa membaca bahan-bahan yang berpotensi akan disoal dalam peperiksaan dengan
meninggalkan bahan-bahan bacaan ringan dan berat (pengetahuan am) yang boleh membantu
mencabar pemikiran mereka dalam masyarakat global masakini.

Keadaan ini agak berbeza dengan P&P sekolah bestari yang bertujuan memberikan pengetahuan
kepada pelajar di samping dapat merangsang mereka untuk berfikir secara kritis dan kreatif.
Pelajar dapat berfikir secara kritikal dengan spontan dan dapat mengeluarkan buah fikiran yang
terbaik sehingga mampu menyoal pendapat guru secara konstruktif. Di samping memberi
peluang untuk pelajar membuat renungan kepada semua perlakuan untuk mengembangkan
minda. Pendekatan bestari ini mengembangkan idea dan cara baru yang lebih baik diterokai,
memberi cabaran kepada yang sedia ada. Keadaan ini akan agak bertentanan dengan pendidikan
yang exam oriented dimana ruang untuk berfikir secara kritis dan kreatif digantikan dengan
pelajar diberikan lebih banyak tugasan dan kerja rumah sebagai latihan dan latih tubi untuk ujian
atau peperiksaan. Pelajar kurang mempunyai kecekapan dan keupayaan menggunakan minda
untuk menilai kewajaran sesuatu ideas dan meneroka pelbagai kemungkinan dalam
menghasilkan sesuatu yang baru dan asli.

TUJUAN KAJIAN

Kajian ini dijalankan untuk melihat pembelajaran pelajar yang exam-oriented dengan pelajar
yang lebih menumpukan kepada belajar untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Konstruk examoriented di tentukan dari tujuan mereka datang ke sekolah. Pendekatan peperiksaan juga penting
sebagai alat mengukur kejayaan dan kecemerlangan pelajar dalam usaha meneruskan
kelangsungan pelajar belajar di sekolah. Sekolah cemerlang ditentukan oleh peratusan pelajar
yang mendapat kelulusan cemerlang dalam sesuatu peperiksaan. Untuk kajian ini, sekolah
cemerlang adalah sekolah yang mendapat peratusan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan
PMR.

KONSTRUK EXAM-ORIENTED

Seseorang pelajar itu dianggap sebagai exam-oriented apabila beliau memberi penekanan yang
berlebihan untuk mencapai kecemerlangan dalam sesuatu peperiksaan. Lantaran itu matlamat
utama seseorang pelajar datang ke sekolah ialah untuk lulus periksa dan mendapatkan gred yang
secemerlang yang boleh. Ibu bapa pula akan berusaha sedaya mungkin untuk membantu anakanak mereka agar mendapat markah yang cemerlang dalam setiap peperiksaan yang diambil.
Guru di sekolah akan menekankan agar semua pelajar mereka mendapat skor yang terbaik dalam
setiap ujian atau peperiksaan yang dikendalikan. Trenda ini kelihatan memuncak apabila terdapat
ibubapa yang menghantar anak mereka yang masih lagi di Tahun 1 ke kelas-kelas tuisyen.
Apabila ditanya ibubbapa berkenaan, mereka memberi jawapan agar anak mereka dapat
meningkatkan lagi pencapaian di sekolah bagi membantu mempercepatkan pembelajaran yang
diajar oleh guru di sekolah.

Dalam kajian ini, penulis ingin melihat persepsi pelajar dari dua aliran: (a) yang datang ke
sekolah untuk mendapatkan sebanyak mungkin ilmu atau pelajaran dari guru mereka
disebutkan bukan exam oriented dan (b) pergi ke sekolah untuk mendapatkan markah yang
cemerlang dalam setiap ujian - di sebut sebagai exam-oriented.

METODOLOGI

Kajian ini telah dijalankan secara kajian tinjauan ke atas sekolah cemerlang dan sekolah bukan
cemerlang di semenanjung Malaysia. Instrumen kajian yang digunakan mengandungi beberapa
item tentang ciri-ciri perlakuan pelajar yang menggambarkan kecenderungan/pendekatan mereka
kepada peperiksaan. Item-item yang digunakan adalah seperti dalam jadual dapatan kajian yang
dikemukakan.

Sampel kajian
Sebanyak 144 buah sekolah menengah yang telah diklasifikasikan sebagai sekolah cemerlang
dan bukan sekolah cemerlang telah dipilih secara rawak. Seramai lebih kurang 10 ke 12
partisipan (pelajar) dari setiap sekolah dipilih secara rawak dari dua jenis sekolah berkenaan
(sekolah cemerlang dan bukan cemerlang). Sampel kajian terdiri dari 909 partisipan dari sekolah
cemerlang dan 636 partisipan dari sekolah bukan cemerlang. Partisipan dari sekolah cemerlang
mengandungi 514 (56.5%) lelaki dan 395 (43.5%) perempuan yang terbahagi kepada 788
(86.7%) partisipan Melayu, 76 (8.4%) Cina, 33 (3.6%) India dan 12 (1.3%) lain-lain. Bagi
sekolah bukan cemerlang pula, terdapat 259 (40.7%) partisipan lelaki dan 377 (59.3%) partisipan

perempuan. Sampel sekolah bukan cemerlang ini mengandungi 492 (77.4%) Melayu, 86 (13.5%)
Cina, 55 (8.6%) India dan 3 (0.5 %) lain-lain.

ANALISIS DATA

Data yang telah dipungut melalui borang soalselidik yang diedarkan dianalisis menggunakan
pakej SPSS Window Version 10. Statistik deskriptif dan inferen telah digunakan untuk
menganalisis semua data kajian termasuklah kekerapan, peratusan dan Khi Kuasa Dua.

DAPATAN KAJIAN

Dapatan kajian ini cuba melihat dari aspek pelajar sama ada wujud atau tidaknya exam-oriented
atau penekanan terhadap peperiksaan dikalangan para pelajar sekolah menengah rendah.
Seseorang pelajar dianggap sebagai exam-oriented jika pelajar berkenaan mempunyai tujuan
untuk mendapatkan markah yang cemerlang dalam setiap ujian yang diambil berbanding dengan
pelajar yang dianggap bukan-exam-oriented yang datang ke sekolah adalah untuk mendapatkan
pengetahuan daripada guru dan kurang memberi penekanan kepada mendapatkan markah yang
cemerlang.

a. Exam oriented di sekolah cemerlang dan bukan sekolah cemerlang


Suasana ini dikaji melalui soal selidik yang dihantar kepada sekolah cemerlang dan bukan
sekolah cemerlang. Peratusan pelajar yang exam oriented adalah lebih tinggi pada sekolah yang
dilabelkan sebagai bukan sekolah cemerlang (71.3%) berbanding dengan sekolah cemerlang
(68.6%). Ujian khi kuasa dua mendapati tidak terdapat pergantungan yang signifikan secara
statistik antara jenis sekolah (sekolah cemerlang dan sekolah bukan cemerlang) dengan tujuan
pelajar datang ke sekolah dimana chi kuasa duanya c2 (dk= 1, p = 0.258) = 1.278.
[1] Telah dibentangkan di Seminar Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan. Koleksi Kertas Kerja. 5
8 Mei 2003 . The Legend Hotel. Kuala Lumpur.

b. Keperhatinan pelajar terhadap jawapan

Item kedua kajian adalah melibatkan keperhatinan pelajar terhadap jawapan mereka dalam
sesuatu ujian. Jadual 2 menunjukkan lebih ramai pelajar yang mengaku bukan-exam oriented
mengkaji jawapan yang diperiksa oleh guru berbanding dengan pelajar yang exam oriented. Ini
dijelaskan lagi dengan ujian khi kuasa dua c2 (dk= 3, p = 0.562) = 2.049 yang menunjukkan
perkadaran yang tidak signifikan secara statistik antara pelajar yang exam-oriented dan bukan
exam-oriented dengan keperhatinan pelajar terhadap jawapan yang mereka berikan semasa ujian
dahulu.

c. Cara mendapatkan maklumat jika tidak fahami


Satu lagi ciri yang dilihat ialah cara pelajar mendapatkan maklumat sekiranya mereka tidak
memahami apa yang diajar oleh guru. Jadual 3 jelas menunjukkan peratusan yang seimbang
antara pelajar yang dikatakan exam-oriented dengan pelajar yang bukan-exam-oriented. Keadaan
ini dapat dilihat di setiap aras perlakuan partisipan dalam mendapatkan maklumat. Dari aspek
bertanyakan guru dan rakan-rakan sekolah mempamerkan peratusan yang hampir seimbang
(Exam-oriented 44.2% dan 46.7%; manakala Bukana-exam-oriented masing-masing 46.1% dan
45.9%). Data deskriptif ini di sokong pula dengan ujian signifikan yang dilakukan bagi
menentukan perkadaran atau pergantungan antara variabel tujuan ke sekolah dengan tindakan
mereka tentang perkara yang mereka tidak faham semasa P&P di bilik darjah. Ujian khi kuasa
dua c2 (dk= 3, p = 0.526) = 2.230 merumuskan tidak terdapatnya pergantungan antara dua
variabel berkenaan.

d. Kepentingan untuk mendapatkan skor tinggi


Kepentingan untuk mendapatkan skor yang tinggi dalam setiap peperiksaan juga merupkan satu
lagi ciri yang dilihat. Jadual 4 menunjukkan bilangan pelajar yang signfikan secara statistik bagi
kumpulan exam-oriented dengan yang bukan exam-oriented (Exam-oriented, sangat penting
85.6%, manakala Bukan-exam oriented sangat penting 73.4%) dimana khi kuasa dua c2 (dk= 3,
p = 0.000) = 28.247. Ini menunjukkan terdapat pergantungan yang signifikan secara statistik
antara exam-oriented dengan Bukan-exam oriented terhadap pentingnya mendapatkan skor yang
tinggi dalam setiap kali ujian diadakan.

e. Pihak yang dirujuk bila menghadapi masalah


Satu lagi ciri yang ingin dilihat perbezaannya ialah orang yang akan pelajar temui sekiranya
mereka tidak faham dalam P&P. Jadual 5 menjelaskan kepada kita tentang hiraki yang pelajar
akan temui untuk menyeleaiakan masalah P&P yang mereka hadapi. Tidak terdapat perbezaan
dari segi mendapatkan nasihat bagi mereka yang exam-oriented (Exam-orientedKawan 48.4%
manakala Bukan-exam orientedKawan 47.5%) dan Bukan exam-oriented. Khi kuasa dua yang
dijalankan mendapati c2 (dk= 3, p = 0.422) = 2.810 tidak signifkan secara statistik.

f. Keseronokan datang ke sekolah


Kajian ini juga ingin melihat keseronokan partisipan untuk datang ke sekolah. Jadual 6
menunjukkan tidak terdapat sebarang perbezaan perkadaran dalam peratusan pelajar yang
seronok untuk datang ke sekolah. Ujian khi kuasa dua dilakukan untuk menentukan perkadaran
antara exam-oriented dan Bukan-exam oriented di dapati c2 (dk= 3, p = 0.951) = 0.346 tidak
signifikan secara statistik.

g. Kesediaan membuat kerja rumah


Satu lagi ciri yang ditentukan untuk membezakan partisipan yang exam-oriented dengan Bukanexam-oriented ialah kesediaan partisipan untuk membuat kerja rumah. Jadual 7 jelas
menunjukkan partisipan yang Bukan-exam oriented (13.6%) adalah lebih rendah aras sangat
suka dalam membuat kerja rumah yang disuruh oleh guru berbamding dengan partisipan yang
exam-oriented (19.7%). Secara umumnya terdapat pergantungan yang signifikan secara statistik
antara non-exam oriented dengan exam oriented dari aspek membuat kerja rumah yang disuruh
oleh guru c2 (dk= 3, p = 0.002) = 14.979

h. Bilangan kawan rapat


Jadual 8 cuba melihat bilangan rakan bagi partisipan yang exam-oriented dengan partisipan yang
bukan-exam- oriented. Partisipan yang exam-oriented (88.0%) dengan partisipan yang bukanexam oriented (88.9%)mempunyai bilangan kawan yang ramai. Ujian khi kuasa dua tidak dapat

menentukan kebergantungan antara tujuan ke sekolah dengan bilangan kawan yagn mereka
punyai. Hasil ujian ini tidak menunjukkan signfikan secara statistik c2 (dk= 3, p = 0.924) = 0.478

i. Ponteng sekolah
Ciri-ciri untuk ponteng sekolah agak tinggi bagi mereka yang exam-oriented (4.1%) berbanding
dengan mereka yang bukan-exam-oriented (1.6%). Situasi ini dapat dilihat melalui Jadual 9.
Ujian khi kuasa dua yang dilakukan mendapati terdapat pergantungan antara tujuan ke sekolah
dengan rasa untuk ponteng sekolah bagi partisipan yang exam-oriented dengan partisipan yang
bukan-exam oriented c2 (dk= 3, p = 0.036) = 8.515.

j. Tanggapan terhadap bilangan guru yang suka mengajar


Jadual 10 menunjukkan ciri-ciri partisipan yang exam-oriented (55.4%) dengan partisipan yang
bukan-exam-oriented (52.8%). Perkadaran partisipan yang exam oriented dan yang bukan-exam
oriented terhadap tanggapan mereka ke atas kesukaan guru mengajar mereka adalah hampir
seimbang. Keadaan ini diperkuatakan lagi dengan ujian khi kuasa dua yang tidak signifikan
secara statistik c2 (dk= 3, p = 0.466) = 2.552.

k. Tanggapan terhadap bilangan guru yang sedia untuk membantu


Jadual 11 menunjukkan tanggapan pelajar terhadap bilangan guru yang sedia untuk membantu
mereka secara khusus. Dari aspek bantuan guru terhadap pembelajaran secara khusus, kajian ini
mendapati, mereka yang exam-oriented (27.6%) mendapat bantuan dari ramai guru berbanding
dengan mereka yang bukan exam-oriented (23.1%). Perbezaan ini dianggap ketara dan bukannya
sesuatu yang melibatkan ralat persampelann. Ujian khi kuasa dua mendapati terdapatnya
pergantungan antara variabel guru membantu pelajar secara khusus dengan tujuan datang ke
sekolah. Nilai khi kuasa dua c2 (dk= 3, p = 0.007) adalah 12.198.

l. Tanggapan terhadap pengajaran guru

Satu lagi ciri yang dilihat ialah menentukan sama ada partisipan suka atau tidak terhadap cara
pengajaran yang dilakukan oleh guru mereka. Jadual 12 menunjukkan peratusan partisipan dari
kumpulan exam-oriented dan bukan-exam-oriented terhadap kaedah pengajaran guru mereka.
Kedua dua kumpulan ini menunjukkan peratusan yang hampir sama dalam dari segi penerimaan
terhadap pengajaran yagn dikendalikan oleh guru mereka (Exam-oriented 64.8% manakala
bukan-exam-oriented 62.2%. Namun demikian terdapat kelebihan sebanyak 2.6% bagi kumpulan
exam oriented berbanding dengan kumpulan yang exam-oriented. Apabila ujian khi kuasa dua
dibuat keatas variabel kajian, mendapati tidak signfikan secara statistik, tidak terdapat
pergantungan antara exam-oriented dan bukan-exam oriented dengan kesukaan partisipan
terhadap cara guru mengajar c2 (dk= 1, p = 0.208) = 7.371.

m. Persepsi terhadap membuat kerja rumah


Jadual 13 memperlihatkan tidak terdapat pertalian yang kuat atau pergantungan antara pelajar
yang exam-oriented dan bukan exam-oriented dengan kesukaan membuat kerja rumah. Ini dapat
dijelaskan daripada ujian Khi kuasa dua yang dilakukan ke atas dua kumpulan ini berdasarkan
membuat kerja rumah di mana c2nya (dk= 3, p = 0.061) ialah 7.37.

n. Tanggapan terhadap kelas tuisyen yang diikuti


Tanggapan partisipan terhadap kelas tuisyen yang mereka ikuti juga merupakan satu ciri yang
ingin dilihat dalam kajian ini. Jadual 14 menunjukkan perbezaan peratusan (9.7%) yang agak
tinggi antara partisipan yang exam oriented (49.0%) berbanding dengan partisipan yang bukanexam oriented (39.3%) dari segi tuisyen sangat membantu mereka. Namun demikian perbezaan
keseluruhan antara exam oriented dengan non-exam oriented ke atas kelas tuisyen adalah tidak
signifikan secara statistik c2 (dk= 3, p = 0.15) = 10.404

Perbincangan dan Kesimpulan

Berdasarkan ciri-ciri yang dikaji, terdapat beberapa ciri sahaja yang boleh digunakan untuk
mengenalpasti mereka yang exam-oriented dengan mereka yang bukan exam-oriented. Ciri-ciri
pembeza itu adalah seperti berikut dimana pelajar-pelajar yang exam-oriented adalah lebih
kepada:
a. Kepentingan untuk mendapatkan skor yang tinggi dalam setiap ujian.
b. Kesediaan pelajar membuat kerja rumah
c. Berpotensi untuk ponteng sekolah.
d. Tanggapan pelajar terhadap bilangan guru yang sedia untuk membantu mereka secara khusus

Dari aspek jenis sekolah, tidak terdapat pergantungan antara jenis sekolah (cemerlang atau
sekolah tidak cemerlang) dengan sama ada seseorang pelajar itu exam-oriented atau tidak.
Pelajar dari kedua-dua jenis sekolah ini menunjukkan kecenderungan yang sama dalam
mendapatkan ilmu dan berusaha untuk mendapatkan skor yang cemerlang dalam peperiksaan.
Walaupun pada umumnya kita kerap diberitahu bahawa sistem pendidikan kita ini adalah
cenderung kepada exam-oriented, namun situasi sebenar dari aspek pelajar, keadaan ini tidak
jelas berlaku. Ini mungkin disebabkan kurikulum yang dibina dan peperiksaan yang ditadbirkan
tidak menjurus kepada pelajar belajar untuk lulus peperiksaan, tetapi mereka juga dimestikan
dapat menggunakan pemikiran dalam menghadapi sesuatu situasi. Di sekolah pelajar di asuh dan
diberikan kemahiran untuk berfikir, membuat keputusan dan bertindak menggunakan minda
mereka secara kritis dan kreatif.

Konstruk exam-oriented ini wujud dalam kedua-dua kumpulan, sama ada pelajar itu pelajar dari
sekolah cemerlang atau bukan sekolah cemerlang. Namun demikian, ciri-ciri ini tidaklah begitu
ketara di Malaysia seperti yang berlaku dalam sistem pendidikan di Hong Kong (2003) dimana
pelajarnya begitu bergantung kepada guru, nota dan buku teks, tidak terdapat ruang untuk
kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dan menjadikan pembelajaran sebagai sesuatu yang
tidak menarik dan menjemukan. Oleh itu, sistem pendidikan kita haruslah berhati-hati supaya
tidak terperangkap dalam kancah pendidikan yang tidak dapat melahirkan insan yang dapat
berfikir secara kritis dan kreatif. Kajian ini dilaksanakan hanya setakat melihat kewujudan

elemen-elemen bagi konstruk exam-oriented dikalangan pelajar sahaja. Adalah dicadangkan agar
satu kajian lanjut dibuat secara global ke atas sistem pendidikan kita. Kajian itu nanti akan
melihat konstruk exam-oriented ini dari berbagai aspek dan aras dalam sistem pendidikan kita
masa kini.

You might also like