You are on page 1of 2

Soalan;

Hampir setiap minggu media massa memaparkan kes pembuangan bayi.


Kebanyakannya yang ditemui mati dalam keadaan yang menyedihkan dan ada
yang bernasib baik ditemui dalam keadaan masih hidup. Telah banyak usaha
yang dilakukan oleh kerajaan untuk menbasmi gejala ini. Namun usaha ini tidak
menampakkan hasil,malah gejala ini semakin menjadi-jadi sehingga tidak dapat
dibendung lagi. Bincangkan punca-punca dan langkah-langkah untuk
membendung gejala buruk ini.
___________________________________________________________________________
Jawapan;
Sedasawarsa ini,isu pembuangan bayi semakin hangat diperdebatkan di negara
kita. Hal ini dapat dilihat menerusi pemaparan oleh media massa hampir setiap
saat dan ketika,laporan kes pembuangan bayi terus kepada rakyat.
Akibatnya,gejala yang tidak bermoral seperti ini seolah-olah mencerminkan sikap
segelintir masyarakat Malaysia yang selama ini bertopengkan syaitan. Segelintir
belia,khasnya yang merupakan pelaku utama jenayah ini,jelas memperlihatkan
identiti diri mereka yang sememangnya kian rapuh dirajai nafsu. Kita sering
dihidangkan dengan berita kematian bayi yang amat menyayat hati,malah
terdapat segelintir yang sanggup mengepam janinnya ke dalam tangki hanya
untuk melupuskan bukti kelahiran,tanpa rasa bersalah sedikitpun. Penelitian
punca-punca yang menunjangi kebejatan masalah ini serta langkah-langkah
yang boleh diambil akan mewarnai fokus perbincangan kita.
Kita tidak dapat menyangkal bahawa pengaruh media massa merupakan faktor
perdana kepada permasalahan ini. Dalam era ledakan teknologi maklumat
ini,sebarang maklumat pornografi boleh dimuat turun dengan mudah menerusi
jaringan internet,tanpa perlu bersusah payah untuk mendapatkan video cakera
padat di pasaran. Walau bagaimanapun,masih terdapat sesetengah saluran
televisyen yang memaparkan aksi lucah yang tidak ditapis terutamanya dalam
drama bersiri barat. Nilai-nilai seperti ini jelas menolak unsur ketimuran dan
remaja yang sememangnya mempunyai rasa ingin tahu yang menebal akan
terdorong untuk meniru aksi yang telah ditonton oleh mereka bersama pasangan
berlainan jantina. Kesannya pula akan dirasai oleh si gadis kerana keterlanjuran
itulah yang mengundang kepada segala permasalahan. Remaja yang tidak
berfikir panjang pula akan cuba menghapuskan kelahiran luar nikah itu dengan
sebarang cara sekalipun membunuh. Maka,pengaruh media massa adalah
sesuatu yang tidak dapat disangkal lagi dalam menunjangi permasalahan ini.
Seterusnya,keluarga yang bermasalah juga turut menyumbang kepada
permasalahan sosial ini. Hal ini telah dibuktikan menerusi satu kajian yang
mengatakan bahawa rata-rata remaja yang terlibat dalam penyakit sosial ini
adalah mangsa keruntuhan institusi keluarga. Sikap ibu bapa yang terlalu obses
mengejar materialistik bagi menampung kos sara hidup yang semakin tinggi
telah menjadikan mereka lalai dalam menjalankan tanggungjawab terhadap
anak-anak. Remaja yang dahagakan kasih sayang pastinya akan mencari jalan
mudah dengan mencari hiburan yang mampu meleraikan kegersangan
mereka,dan ini akan memandu mereka ke kancah maksiat. Setelah terjebak ke
kancah sosial yang tiada penamatnya itu,pastinya kes mengandung anak luar

nikah akan terjadi. Jalan singkat yang difikirkan,pastinya pengguguran mahupun


membuang sahaja bayi tersebut kerana gusar akan dicemuh oleh masyarakat.
Selain itu,sudah terang lagi bersuluh,pastinya kurang penghayatan terhadap nilai
agama dan tiada pengetahuan tentang batas-batas pergaulan merupakan
pemacu kepada polemik ini. Asas didikan agama yang mapan dan cukup adalah
elemen yang terpenting ke arah memacu kehidupan seseorang manusia.
Penghayatan terhadap nilai-nilai agama pula mampu menjadi benteng kepada
individu itu bertindak atas norma kehidupan manusia kerana individu tersebut
sedar akan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan seperti penzinaan yang
pastinya akan mengundang kehamilan luar nikah. Maka,ketiadaan penghayatan
terhadap nilai agama mampu mewujudkan polemik sosial ini.
Bagi membendung masalah ini dari terus menjadi barah dalam kalangan remaja
kita,amnya,langkah yang spesifik,drastik dan holistik perlu diimplementasikan
sewajarnya agar pemasalahan ini dapat diatasi. Perkara pertama yang perlu
diberi perhatian adalah peranan ibu bapa remaja itu sendiri ke arah
menyediakan didikan yang cukup terhadap anak-anaknya. Didikan haruslah
diterapkan sejak kecil lagi sesuai dengan peribahasa melentur buluh biarlah
daripada rebungnya. Pendidikan yang diberikan haruslah seimbang dari aspek
rohani dan jasmani supaya setelah dewasa kelak mereka mampu menghadapi
segala anasir-anasir luar. Perhatian yang sepenuhnya juga harus diberikan agar
anak-anak tidak terasa terabai dan dihargai. Pemerhatian juga perlu dilakukan
sentiasa terhadap aktiviti kanak-kanak supaya terkecuali dari melakukan
sebarang gejala negatif seperti seks bebas,seterusnya pembuangan bayi.
Akhir sekali,pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan juga perlu bekerjasama
untuk membantu mengurangkan masalah ini. Baru-baru ini,cadangan penubuhan
Tabung DNA merupakan satu langkah yang perlu disokong oleh seluruh rakyat
kerana menerusi pelaksanaan ini,ibu bapa yang terlibat dalam kes pembuangan
bayi akan lebih mudah untuk dikesan kerana setiap bayi yang dilahirkan akan
diambil sampel DNAnya untuk simpanan pihak hospital. Selain itu,pihak
Kementerian Pelajaran dengan kerjasama badan-badan bukan kerajaan perlulah
menggiatkan lagi program-program kesedaran yang sedia ada bermula dari
sekolah rendah lagi agar kesedaran timbul lebih awal dalam diri pelajar. Hai ini
dikatakan mampu menjadi perisai kepada mereka kerana telah mempunyai
maklumat tentang perkara yang sepatutunya dilakukan. Jika perlu,pengenalan
subjek pendidikan seks juga boleh diambil kira.
Kesimpulannya,isu pembuangan bayi ini haruslah diberi perhatian yang
sewajarnya oleh setiap pihak supaya gejala ini tidak terus-menerus menjadi
barah yang mampu menjejaskan imej negara satu hari kelak. Segelintir rakyat
kita seolah-olah telah hilang pedoman diri sehingga sanggup menganiayai
nyawa bayi yang tidak berdosa. Segala agenda dan langkah yang telah dirangka
oleh kerajaan haruslah difahami dan dilaksanakan oleh semua pihak agar gejala
pembuangan bayi tidak lagi menjadi nanah yang terus mencengkam kehidupan
masyarakat.

You might also like