You are on page 1of 4

LAPORAN REFLEKTIF

Unit PISMP Bahasa Arab telah melaksanakan program Bina Insan Guru
khidmat masyarakat bertempat di Pusat Latihan Dakwah Orang Asli, Kok Lanas
Kelantan. Program ini dijalankan selama satu hari sahaja. Kami telah bertolak dari
kampus pada jam 8 setengah pagi. Jika mengikut tentatif asal program, kami
sepatutnya bertolak jam 7 pagi tetapi sedikit kesulitan berlaku apabila bas IPG
mengalami kerosakan. Pada ketika itu, kami hanya mempunyai dua penyelesaian,
iaitu menaiki bas lain yang lebih kecil yang hanya 20 tempat duduk atau kami
menaiki kereta sendiri. Hasil perbincangan bersama, kami telah bersepakat untuk
menggunakan bas yang lebih kecil kerana jika menaiki pengangkutan sendiri kami
bimbang akan risiko keselamatan. Justeru, kami menaiki bas yang kecil dengan
jumlah kerusi yang tidak mencukupi serta barang-barang sumbangan yang banyak.
Saya amat tersentuh apabila ada rakan-rakan yang sanggup berkorban untuk duduk
di atas lantai dan di tangga. Saya percaya bahawa rakan-rakan yang lain turut
merasakan apa yang saya rasa.
Kami sampai di pusat latihan dakwah tersebut pada jam 10. Kami telah
disambut oleh ustaz Khalid selaku ketua di pusat latihan dakwah tersebut. Pada hari
tersebut, kebanyakan guru-guru mempunyai program di Kota Bharu.Justeru
kedatangan kami hanya di sambut oleh beberapa orang tenaga pengajar sahaja.
Kami di anggap menggantikan guru-guru di pusat tersebut kerana guru-guru tidak
berada di situ sehingga petang. Program kami telah dimulakan dengan ice
breaking tetapi sebelum, kami telah melakukan satu permainan iaitu bagi
menaikkan semangat dan minat mereka terhadap aktiviti seterusnya. Kemudian,
kami telah membahagikan mereka kepada lima kumpulan. Fasilitator akan pilih
salah seorang daripada satu kumpulan dan akan minta salah seorang daripada
kumpulan lain untuk berdiri dan diperkenalkan. Jika ahli kumpulan yang
memperkenalkan gagal untuk memperkenalkan seorang lagi, maka dia sendiri akan
memperkenalkan dirinya. Selepas itu, beberapa aktiviti telah dilakukan seperti tepuk
tangan, tangkap jari dan salam semut bagi mengeratkan lagi hubungan sesama ahli
kumpulan.

Selesai sahaja aktiviti ice breaking, aktiviti diteruskan lagi dengan aktiviti
LDK iaitu mencipta pakaian perang Briged Al Qassam berikutan isu perang di
Palestin yang mengundang kerisauan terhadap umat Islam pada ketika itu. Kami
mengharapkan aktiviti sebegini dapat menyuntik semangat keberanian berjuang
untuk agama Islam dalam kalangan pelajar-pelajar di pusat tersebut. Selesai mereka
cipta pakaian perang tersebut, model yang mewakili setiap kumpulan diminta
memperagakan pakaian mereka dan menunjukkan aksi pahlawan di medan perang.
Semasa berlangsungnya aktiviti LDK tersebut, terdapat beberapa guru pelatih
ditugaskan untuk membuat khat. Selain itu, terdapat juga beberapa orang guru
pelatih menguruskan tugasan untuk gotong-royong pada sebelah petang.
Seterusnya, aktiviti diteruskan dengan aktiviti smart solat. Aktiviti ini telah
dikendalikan oleh fasilitator bagi setiap kumpulan. Sebelum memulakan pteori dan
praktikal solat, fasilitator menjelaskan kelebihan solat dan akibat meninggalkannnya.
Aktiviti ini telah memfokuskan kepada rukun wajib dalam solat, terutamanya bacaan
Al-Fatihah. Selain itu, rukun perbuatan juga diberi perhatian supaya yang salah
dapat diperbaiki. Relevan aktiviti ini dilakukan sebelum zohor adalah agar mereka
dapat diaplikasikan semasa solat Zohor.
Pada pukul 1 tengahari, kami dan para pelajar menikmati makanan tengah
hari bersama sama. Kami dapat merasakan betapa jauhnya beza makanan kami
dengan makanan mereka tetapi di wajah mereka tampak gembira dan bersyukur
dengan rezeki yang ada. Kami dapat merasakan kerendahan hati mereka dan kami
sedar bahawa nikmat yang Allah kurniakan kepada kami lebih banyak daripada
mereka. Selain itu, kami cuba meletakkan diri kami di tempat mereka agar kami tidak
berasa bongkak dengan apa yang ada pada diri kami. Selepas itu, kami menunaikan
solat Zohor berjemaah di surau atau dikenali dengan dewan. Selesai solat Zohor
berjemaah, akiviti gotong-royong dijalankan mengikut kumpulan yang telah
diagihkan mengikut tempat tertentu. Pelajar perempuan bergotong royong di asrama
perempuan dibantu oleh beberapa orang guru pelatih. Terdapat juga guru pelatih
yang bergotong-royong di dewan, dewan makan dan asrama lelaki. guru pelatih
yang bertanggungjawab untuk menyiapkan khat bertungkus-lumus menyiapkan khat
sebelum majlis penutupan yang berlangsung pada pukul 5.

Aktiviti gotong-royong telah selesai pada jam 4.30 petang. Kami menunaikan
solat Asar berjemaah terlebih dahulu bersama para pelajar. Kemudian, kami
bergerak ke bilik hypermedia untuk majlis penutupan. Ketika majlis penutupan, kami
telah memberi sedikit cenderahati kepada salah seorang tenaga pengajar pusat
latihan dakwah tersebut sebagai tanda penghargaan dan besar hati kerana memberi
peluang kepada kami selaku guru pelatih untuk menggali sebanyak mungkin
pengalaman sepanjang berada di situ.
Sebelum bertolak balik, kami berpeluang untuk mengambil gambar bersama
para pelajar dan tenaga pengajar pusat dakwah tersebut. Pada kami, program
tersebut sangat bermakna dan bermanfaat kepada kami sebagai salah satu nilai
tambah sebagai seorang guru yang bukan sahaja mengajar malah terlibat dalam
aktiviti kemasyarakatan. Selain itu, kami sangat bersyukur kerana kami memperoleh
kekuatan daripada para pelajar yang mempunyai kesedaran untuk memajukan diri
dan mempelajari Islam dengan lebih mendalam lagi untuk bergiat lebih aktif dalam
aktiviti dakwah seterusnya menimba ilmu pengetahuan dengan bersungguhsungguh. Kami juga berharap sedikit perkongsian dan pemberian kami di pusat
dakwah tersebut mendapat keredhaan Allah. Kami juga amat berharap agar kami
dapat kembali semula ke situ untuk melakukan program bersama para pelajar. Pada
jam 6 petang, kami bertolak pulang ke kampus.
Melalui program BIG, antara kekuatan yang kami kenal pasti ialah kami dapat
mewujudkan komunikasi yang baik sepanjang menjalankan program di pusat
dakwah tersebut. Sebelum ini, kebanyakkan dari kami kurang kemahiran
berkomunikasi walaupun berada dalam kelas. Kami telah membina persefahaman
melalui mesyuarat yang diakan sebelum program dijalankan.
Selain daripada kekuatan, terdapat juga kelemahan yang kami dapati semasa
menjalani program BIG. Sebagai contoh, kami tidak sempat melaksanakan semua
aktiviti yang telah kami rancang bersama pelajar di situ. Kami juga berasa kami
seharusnya berada lebih lama di pusat dakwah tersebut agar kami dapat berkongsi
banyak lagi pengalaman bersama mereka.
Akhir sekali, kami mendapati bahawa kami mendapat banyak peluang baru
daripada program BIG. Sebagai contoh, kebanyakkan dari kami tidak pernah
mengenali orang asli dengan lebih dekat tetapi melalui program ini kami malah dapat

mempelajari bahasa mereka. Selain itu, kami juga dapat mengenali latar belakang
budaya mereka. Kami mendapati pelajar di situ juga mudah untuk didekati. Justeru,
adalah tidak susah untuk melaksanakan program bersama mereka. Ini adalah satu
peluang yang sangat bermakna kepada kami kerana bagi kami tidak semua orang
berpeluang untuk mendekati orang asli dengan lebih dekat.

Disediakan oleh,
......................................
(NUR MASIDAYU BINTI HASSAN)
Setiausaha,
BIG Fasa II,
2 PISMP Bahasa Arab

You might also like