You are on page 1of 2

Kata tunggal

Oleh Muhammed Salehudin Aman


DALAM pembentukan kata bahasa Melayu, terdapat 4 proses. Proses ini menghasilkan bentuk-bentuk kata tunggal,
kata terbitan, kata majmuk, dan kata ganda.
Kata tunggal (primary word) ialah kata yang terbentuk daripada satu morfem bebas tanpa menerima sebarang
imbuhan, sama ada awalan, sisipan, akhiran atau apitan. Contoh kata tunggal: ini, itu, sana, sini, bakal, dan lain-lain.
Kata tunggal dapat mengandungi satu suku kata atau lebih daripada satu suku kata. Sesuatu suku kata pula
terbentuk daripada satu huruf vokal sahaja, atau satu huruf vokal yang disertai satu atau beberapa huruf konsonan.
Konsonan itu dapat hadir di hadapan vokal atau di belakangnya, atau di hadapan vokal dan di belakangnya.
Kata tunggal bahasa Melayu yang terdiri daripada hanya satu huruf vokal dan satu huruf konsonan (sebagai satu
bentuk suku kata) tidak ada. Tetapi dalam bahasa lain, bentuk kata yang begini memang wujud. Maksudnya, ada
kata yang dapat terbentuk daripada satu huruf vokal sahaja. Misalnya: a bermaksud sesuatu (bahasa Inggeris), o
bermaksud atau (bahasa Tagalog), dan i bermaksud lalat (bahasa Tamil).
Bentuk kata daripada satu konsonan sahaja tidak dapat membentuk satu kata tunggal melainkan konsonan itu
berganding dengan huruf vokal, sama ada di hadapan atau di belakangnya. Contohnya: kata am (VK), dan yu,
ya (KV).
Dalam bahasa Melayu, terdapat sekurang-kurangnya dua jenis kata tunggal, iaitu kata tunggal yang mengandungi
satu suka kata, dan kata tunggal yang mengandungi dua suku kata atau lebih.
Dari segi penyukuan kata, perkataan bahasa Melayu dapat mengandungi satu suku kata atau beberapa suku kata.
Sesuatu suku kata itu pula boleh terdiri daripada satu huruf vokal (V), satu vokal disertai satu huruf konsonan (VK),
atau satu huruf vokal dengan beberapa huruf konsonan (VKK). Unsur-unsur itu pula hadir di belakang vokal, atau di
hadapan vokal dan di belakangnya secara serentak (VK atau KV). Ada konsonan yang dapat hadir secara bergugus
(KK).
Selain kata Melayu asli, ada antara sesuatu kata tunggal itu merupakan serapan daripada bahasa asing,
terutamanya bahasa Inggeris dan bahasa Arab. Ada juga kata tunggal wujud daripada kependekan bagi perkataanperkataan daripada dua suku kata atau lebih. Misalnya kata ku untuk aku, mu untuk kata kamu, tu untuk kata itu.
Namun demikian, perkataan-perkataan itu tidaklah dianggap satu suku kata melainkan kata yang disingkatkan ejaan
atau sebutannya.
Yang berikut dikemukakan contoh-contoh kata tunggal bahasa Melayu dengan satu suku kata, dan dua suku kata
atau lebih. Kehadiran suku-suku kata itu terbentuk daripada beberapa pola gabungan huruf konsonan dan vokal.

Daripada kata tunggal dengan satu suku kata, terdapat 7 pola gabungan konsonan vokal, iaitu pola KV, VK, KVK,
KKVK, KKKV, dan KKKVK. Contohnya kata yu (KV), am (VK), stor (KKVK), bank (KVKK), skru (KKKV), dan
skrip (KKKVK).
Tentang kata wang, jong, gong, spring dan kata-kata lain yang seumpamanya, bentuk ng dalam kata-kata tersebut,
sebenarnya, mewakili satu bunyi bahasa yang lambang fonetiknya ialah [?]. Oleh itu, semua kata tersebut berpola
KVK.
Harus diingat, pola-pola yang mengandungi gugus konsonan seperti bentuk kata draf, seks, skru dan skrip
merupakan pengambilan perkataan-perkataan daripada bahasa asing, iaitu bahasa Inggeris. Sebenarnya, bahasa
Melayu tidak mempunyai pola-pola KKVKK dan beberapa pola lagi yang wujud dalam beberapa bahasa asing.
Antara contoh kata tunggal dengan dua suku kata termasuklah kata ibu (V+KV), air (V+VK), orang (V+KVK), asli
(VK+KV), indah (VK+KVK), rua (KV+V), leka (KV+KV), sumbu (KVK+KV), dan jemput (KVK+KVK).
Pola susunan konsonan vokal kata tunggal dengan tiga suku kata agak banyak; banyak daripadanya ialah kata
serapan. Antaranya: kata cuaca (KV+V+KV), buapak (KV+V+KVK), barua (KV+KV+V), mentua (KVK+KV+V), aqidah
(V+KV+KVK), akaun (V+KV+VK), maksimum (KVK+KV+KVK), dan kumandang (KV+KVK+KVK).
Terdapat sebilangan kecil kata tunggal dengan empat suku kata atau lebih. Kebanyakannya terdiri daripada kata
ambilan. Antara kata yang dimaksudkan: keluangsa (KV+KV+VK+KV), kerempagi (KV+KVK+KV+KV), sandiwara
(KVK+KV+KV+KV), singgahsana (KVK+KVK+KV+KV), universiti (V+KV+KVK+KV+KV), dan maharajalela
(KV+KV+KV+KV+KV+KV).
Selain itu, kata akronim juga tergolong dalam jenis kata tunggal juga. Akronim ialah singkatan kata yang dibentuk
dengan cara menggabungkan huruf awal suku kata atau gabungan kombinasi huruf awal dengan suku kata daripada
satu rangkai kata. Kata akronim ditulis dan dilafazkan sebagai kata yang wajar, contohnya: kugiran (kumpulan gitar
rancak), Mara (Majlis Amanah Rakyat), Gapena (Gabungan Penulis Nasional), Bernama (Berita Nasional Malaysia)
dan ubahsuai (ubah suai).
Demikian perbincangan tantang bentuk kata tunggal bahasa Melayu.

You might also like