You are on page 1of 3

ARKIB : 14/05/2014

Guru dan cabaran semasa


Oleh DR. AMINUDIN MANSOR

DENGAN memperkasakan peranan guru akan melahirkan modal insan


berkualiti. Itulah adalah antara tujuan terpenting dalam usaha
memberikan insentif kepada bidang pendidikan di negara ini.
Oleh itu, dalam melahirkan modal insan peranan kerajaan dan guru
adalah menjadi tonggak utama ke arah kejayaannya.
Dalam era globalisasi guru perlu menghadapi cabaran semasa dalam
proses pendidikan antaranya berkaitan integrasi nasional,
pendemokrasian pendidikan, tonggak pendidikan, globalisasi dalam
pendidikan, kepelbagaian budaya, pengaruh perkembangan teknologi
maklumat dan komunikasi serta gejala sosial dalam kalangan pelajar
merupakan antara cabaran terbesar yang dilalui dan diuruskan oleh pihak
guru.
Justeru, kerajaan tidak mengambil mudah dan memandang ringan usaha
memperkasa peranan guru dengan memberikan latihan, kursus, ceramah
dan juga motivasi supaya dapat memberikan kesan kepada pelajar
melalui pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah.
Usaha mentransformasikan profesion keguruan menjadi profesion pilihan
sedang dilaksanakan dengan mengetatkan syarat kemasukan guru mulai
2013 supaya terdiri daripada kalangan graduan 30 peratus teratas.
Kajian pada 2011 menunjukkan bahawa Malaysia disenaraikan di tempat
ke-11 oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan
Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai negara paling menarik dari
segi perkhidmatan pendidikan.
Seterusnya, kajian itu juga mendapati kira-kira 90,000 pelajar daripada
130 negara yang sedang menyambung pengajian di negara ini.
Sebahagian besar pelajar asing ini berasal dari China, Indonesia, Iran dan
Nigeria. Ini membuktikan Malaysia tempat paling menarik dan sesuai
untuk menyambung pengajian di peringkat tinggi.
Bagi memperkasa pendidikan negara, Melalui Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 sebanyak RM500 juta peruntukan
diluluskan meliputi program meningkatkan kemahiran guru Bahasa
Kebangsaan, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains dan penubuhan
Education Delivery Unit (EDU).
Sebagai guru pemahaman terhadap hasrat dan tujuan PPPM sangat
penting bagi merealisasikan dan mewujudkan kecemerlangan dalam
sistem pendidikan negara.

Ibu bapa meletakkan harapan tinggi dan majikan menyuarakan


kebimbangan atas keupayaan sistem pendidikan melengkapkan generasi
muda dengan persediaan secukupnya bagi menghadapi cabaran abad ke21. Menyedari hakikat bahawa sistem pendidikan adalah kompleks dan
rencam, tempoh yang panjang diperlukan untuk melihat impak
transformasi yang dilaksanakan.
Ini juga memastikan setiap murid dan pelajar menguasai kemahiran
dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dan digalakkan mempelajari
bahasa tambahan. Di samping itu mentransformasikan profesion
keguruan menjadi profesion pilihan. Ini antara dua daripada 11 anjakan
untuk transformasi sistem.
Kejayaan dan kecemerlangan murid dan pelajar banyak bergantung pada
kehebatan P&P guru di dalam kelas. Jika guru dapat menyampaikan isi
pengajaran dengan baik dan berkesan murid dan pelajar mudah
memahaminya serta dapat menjawab soalan dalam peperiksaan dengan
cemerlang.
Sebanyak 11 anjakan utama untuk mentransformasikan sistem
pendidikan negara dalam PPPM dan juga teras dan dasar pembangunan
insan mestilah difahami oleh semua terutama guru sebagai pelaksana
dalam pendidikan anak bangsa bagi memperkasa generasi muda pada
masa depan.
* Melaksanakan penambahbaikan terhadap sistem penyampaian
pendidikan dan latihan supaya ia berkualiti dan relevan dengan keperluan
semasa;
* Memperkasakan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan utama
rakyat Malaysia yang berbilang kaum bagi meningkatkan perpaduan
negara
* Melaksana langkah bagi merapatkan jurang prestasi antara sekolah luar
bandar dan bandar, termasuk mempertingkatkan kualiti pengajaran,
prasarana dan kemudahan serta menempatkan guru berpengalaman di
sekolah luar bandar;
* Membangunkan universiti bertaraf antarabangsa dan memastikan
pendidikan dan latihan di peringkat tertinggi memenuhi keperluan
pasaran;
* Menyediakan lebih banyak peluang dan akses kepada pendidikan latihan
dan pembelajaran sepanjang hayat yang berkualiti di semua peringkat;
* Membangunkan masyarakat inovatif dan kreatif, yang mempunyai
pengetahuan dan keupayaan sains dan teknologi yang kukuh serta
memiliki kemampuan memperoleh dan menggunakan pengetahuan;
* Memperkukuhkan perpaduan nasional dan membangunkan masyarakat
yang mempunyai perspektif progresif, budaya prestasi tinggi, sistem nilainilai murni serta menghargai tradisi dan warisan; dan

* Memperluaskan dan memperkemaskan forum perbincangan dan


perundingan antara kerajaan, sektor swasta, ibu bapa dan masyarakat
dalam pembangunan modal insan.
Oleh itu, pihak kerajaan sebagai badan perancang utama menyediakan
bajet dan peruntukan untuk membangunkan modal insan. Manakala para
guru adalah pihak yang akan melaksanakan tujuan ke arah
membangunkan modal insan yang berkualiti untuk pemimpin negara pada
masa akan datang.
Ingatlah bahawa guru yang paling baik adalah guru yang paling banyak
belajar daripada muridnya. Tujuan tertinggi perguruan bukanlah sematamata untuk mencari ilmu pengetahuan, tetapi mendidik muridnya dengan
perbuatan yang baik dalam kehidupan.
PENULIS ialah Pengamal media, berkelulusan PhD Persuratan Melayu,
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140514/re_07/Guru-dan-cabaransemasa#ixzz3fil4eEjT
Utusan Melayu (M) Bhd

You might also like