You are on page 1of 19

Murid Tahun Tiga Dakwa Trauma Ditampar Guru Disiplin

Nama: Chu Yee Shuen


Isu

: Murid Tahun Tiga Dakwa Trauma Ditampar Guru Disiplin

ARTIKEL

"Murid Tahun Tiga Dakwa Trauma Ditampar Guru Disiplin"


Posted on the October 28th, 2009 under Berita Harian
SUBANG JAYA, 27 Okt (Bernama) Seorang murid Tahun Tiga di sebuah
sekolah di Pusat Bandar Puchong mendakwa trauma selepas ditampar hingga
bengkak oleh seorang guru disiplin hanya kerana lewat 10 minit ke sekolah.
Ibu murid itu, V. Kavitah, 29, berkata anaknya turut mendakwa saluran
pendengaran kanannya sedikit terganggu dan demam akibat ditampar hingga
menyebabkan dia tidak mahu ke sekolah kerana trauma dengan kejadian pukul
7.40 pagi semalam.
Kavitah berkata anaknya terlewat tiba di sekolah akibat terperangkap dalam
kesesakan teruk lalu lintas.
Kavitah berkata pagi ini dia membawa anaknya itu ke Pusat Perubatan
Universiti Malaya (PPUM) untuk menjalani pemeriksaan dan anaknya disahkan
mengalami kecederaan dalaman, namun dijangka sembuh dalam tempoh
terdekat.
Tindakan guru itu memukul anak saya tidak sepatutnya berlaku apatah lagi
anak saya seorang perempuan. Saya hanya mendapat tahu mengenai kejadian
ini daripada anak saya ketika menjemputnya pulang dari sekolah selepas
tengah hari semalam, katanya kepada pemberita selepas membuat laporan
polis di Balai Polis Bukit Puchong di sini.

Kavitah kesal guru besar mahupun guru disiplin enggan meminta maaf apabila
beliau ke sekolah berkenaan pagi ini untuk mendapatkan penjelasan berhubung
kejadian itu.
Justeru saya kemudian mengambil keputusan untuk membuat laporan polis
kerana mahu anak saya mendapat keadilan dan supaya guru itu tidak
sewenang-wenangnya memukul pelajar. Saya tidak mahu pelajaran anak saya
terjejas, katanya.

1.0

PENGENALAN
Dunia pendidikan di Malaysia pada masa kini sedang melalui era
transformasi yang sangat dirasai gelombangnya. Profesion perguruan
merupakan profesion tertua di dunia dan kini telah memasuki satu era yang
baharu. Profesion perguruan merupakan badan yang dipertanggungjawabkan
oleh kerajaan untuk menghasilkan rakyat masa depan yang serba canggih
sebagai jentera penggerak negara. Guru, satu profesion yang digeruni kerana
guru dapat melahirkan insan yang berakhlak mulia dan dihormati dimana-mana
jua seseorang guru itu berada.
Masyarakat masa kini sangat prihatin dan mengikuti perkembangan
pendidikan dengan penuh minat dan bersikap kritikal terhadap isu-isu
berbangkit yang berkaitan dengan kemajuan anak-anak mereka. Maka
tanggungjawab profesion perguruan menjadi semakin berat kerana rakyat masa
hadapan yang hendak dihasilkan itu bukan sahaja perlu diterapkan dengan
pelbagai ilmu pengetahuan semata-mata, tetapi perlu juga diseimbangkan
dengan nilai sosial yang baik dari segi moral dan etika yang murni. Dengan kata
lain, profesion perguruan merupakan badan yang dipertanggungjawabkan oleh

kerajaan untuk menghasilkan rakyat atau warga negara yang berperanan positif
terhadap kemajuan serta masa depan negara.
Malangnya, ketika kita bersungguh-sungguh menyahut cabaran masa
kini untuk merealisasikan aspirasi negara, timbul pula isu-isu yang melibatkan
guru. Pepatah ada menyebut bahawa kerana nila setitik, rosak susu
sebelanga. Sejak kebelakangan ini, profesion perguruan ditimpa pelbagai
masalah dan perkara yang negatif (Abdul Rahin Bin Hamdan...[et al]). Berita
guru memukul pelajar, mendera, mencabul dan merogol anak didik sendiri
sering berlaku dan menjadi topik media. Kejadian guru-guru memukul pelajar
sering dipilih untuk dijadikan tajuk utama bagi media massa. Tidak kurang juga
apabila ia menjadi bualan hangat di kalangan masyarakat
Kejadian sedemikian menyebabkan imej profesion keguruan kian tercalar
teruk di mata masyarakat dek kesalahan yang dilakukan oleh segelintir guru.
Sesungguhnya kebanyakan guru menghendaki murid-muridnya mematuhi
segala arahan sekolah, tetapi pada masa yang sama, ada juga guru yang
enggan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kementerian. Apakah
sebenarnya yang sedang melanda sekolah kita? Beberapa perlakuan guru
sekolah terhadap murid mereka dalam tempoh beberapa tahun ini menimbulkan
persoalan mengenai tahap kualiti guru.
Antara kes-kes yang dilaporkan oleh media massa dan media elektronik
berkaitan dengan guru memukul murid yang berlaku di sekolah-sekolah.
Contohnya satu kes yang berlaku di Sekolah Kebangsaan Gayang, Tuaran,
Sabah pada 19 Julai 2008, seorang guru besar digantung kerja selama dua
bulan kerana telah didakwa menampar 22 pelajar tahun empat dari sekolah
berkenaan yang tidak menyiapkan kerja sekolah mereka. Sementara di Alor
Setar pula, seorang guru perempuan didakwa memukul seorang murid tahun
tiga di sebuah sekolah rendah dengan menggunakan pembersih habuk plastik

bertangkai besi kerana murid tersebut tidak membersihkan kelas pada waktu
rehat seperti yang ditetapkan dalam jadual tugasan harian.
Sementara itu di Johor pula, beberapa nota ditulis oleh seorang murid
tahun dua untuk mencurahkan perasaannya selepas dipukul guru Bahasa
Melayu sebagai bukti penderaan terhadapnya di sebuah sekolah rendah di
Batu Pahat. Bukti itu semakin jelas apabila mata kiri murid itu, mengalami
pendarahan beku akibat dipukul guru terbabit. Di samping itu, seorang murid
tahun satu patah tulang bahagian tengah tapak tangan kanannya selepas
dikatakan dipukul oleh seorang guru sebagai hukuman kerana berbuat bising
dalam kelas di Sekolah Kebangsaan Sungai Limau Dalam, Yan pada 31 Julai
2005,. (Utusan, 1 Ogos 2005).
Selain itu, dua murid tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit
Lintang, Ayer Molek cedera di dagu dan kaki kerana didakwa dicubit serta
dipukul oleh seorang guru lelaki pada 14 Januari 2009. (Utusan, 15 Januari
2009). Pada 21 Oktober 2009 pula, seorang pelajar tingkatan 3 Sekolah
Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum mengalami luka di bibir dan lebam
di pipi, selepas mendakwa ditampar sebanyak lima kali oleh guru sekolahnya
gara-gara dituduh ponteng kelas. (Utusan, 22 Oktober 2009).
Di antara pelbagai jenis berita yang dilaporkan ini, ada suatu berita yang
menarik perhatian saya di akhbar Berita Harian. Pada 27 Oktober 2009, di
sebuah sekolah di Pusat Bandar Puchong, Subang Jaya,seorang murid Tahun
Tiga di sebuah sekolah di Pusat Bandar Puchong mendakwa trauma selepas
ditampar hingga bengkak oleh seorang guru disiplin hanya kerana lewat 10
minit ke sekolah.
Ibu murid itu, V. Kavitah, 29, berkata anaknya turut mendakwa saluran
pendengaran kanannya sedikit terganggu dan demam akibat ditampar hingga
menyebabkan dia tidak mahu ke sekolah kerana trauma dengan kejadian pukul

7.40 pagi semalam. Kavitah berkata anaknya terlewat tiba di sekolah akibat
terperangkap dalam kesesakan teruk lalu lintas. Kavitah berkata pagi ini dia
membawa anaknya itu ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk
menjalani pemeriksaan dan anaknya disahkan mengalami kecederaan
dalaman, namun dijangka sembuh dalam tempoh terdekat.
Apakah yang menyebabkan ramai guru bertindak ganas? Wajarkah
seorang guru yang dianggap sebagai satu jawatan yang profesional bersikap
sedemikian terhadap pelajar dan masyarakat? Kesemua soalan tersebut telah
menjadi perbualan hangat di kalangan masyarakat. Apabila masyarakat mula
membincangkan isu ini, sudah tentu bukan sahaja imej guru tersebut yang
tercalar malahan imej profesion keguruan juga turut menerima tempias yang
sama. Selaku seorang guru, kami haruslah menyedari pelanggaran etika
keguruan boleh memberi kesan negatif kepada profesion perguruan dan kita
haruslah cuba mengelakkan diri daripada melakukan sesuatu dalam keadaan
tidak rasional.
Secara ringkas, isu guru bertindak ganas terhadap murid sering dipilih
untuk dijadikan tajuk utama bagi media massa. Kes-kes sedemikian telah
membawa banyak kesan negatif kepada kami semua dan masalah ini perlu
diatasi secepat mungkin.

2.0

PUNCA TINGKAH LAKU BAGI GURU BAGI KES/ ISU TERSEBUT


Setiap perkara yang berlaku mesti ada punca tertentu di
sebaliknya. Menurut pakar pendidikan, Prof. Dr. Robiah Sidin, guru sekarang
berdepan dengan bilangan pelajar yang terlalu ramai ditambah dengan pelbagai
karenah (Rafidahshapuan, 2008). Saya berpendapat punca bagi guru disiplin
tersebut bertindak keterlaluan mungkin disebabkan oleh tekanan jiwa serta
tanggungjawab yang berat di sekolah. Guru pada masa kini bukan sahaja

mempunyai peranan dan tanggungjawab dalam mengajar tetapi juga mengurus


dan mendidik; iaitu membentuk sikap, nilai dan akhlak murid-murid melalui
pengajaran formal, tidak formal dan melalui perlakuan diri sendiri yang baik.
Dengan pertambahan tugas tersebut, ramai guru akan mengalami
tekanan jiwa. Kajian telah menunjukkan kebanyakan tekanan guru berpunca
daripada tugas mereka dan persekitaran mereka. Di samping itu,
Kyriacou(1987) mengenal pasti bahawa punca tekanan ialah tekanan masa,
sikap buruk murid terhadap sekolah dan kurangnya motivasi di sekolah,
masalah pengurusan bilik darjah, bilangan murid yang ramai di dalam bilik
darjah, gaji yang rendah,dan sebagainya. Oleh itu, beban tugas yang semakin
meningkat ditambah pula dengan kerenah murid yang pelbagai turut menjadi
salah satu punca yang mengakibatkan kes guru bertindak ganas terhadap murid
berlaku.
Ahli sosiologi UKM, Dr. Sarifa Zaleha Syed Hassan berpendapat punca
guru bertindak ganas mungkin kerana hilang kesabaran. Ini adalah kerana
murid-murid pada masa kini telah berubah, murid-murid pada masa kini lebih
nakal dan degil. Berbanding dengan guru pada masa lalu, mereka tidak
menghadapi masalah sebegini kerana murid pada masa itu lebih patuh. Saya
yakin guru disiplin tersebut bukan sengaja ingin menimbulkan masalah. Mungkin
guru itu tidak berniat berbuat demikian sehingga perlu mendapatkan rawatan
perubatan, tetapi jika emosi turut memainkan peranan dalam menjalankan
hukuman, biasanya kesan negatif yang berlebihan sebegitu akan terjadi. Setiap
manusia akan mengalami perasaan marah. Namun begitu, kalau sekadar marah
semua orang memilikinya dan pernah melaluinya. Tetapi kalau kadar
kemarahan itu kerap dan terlalu mudah hilang kawalan, bermakna ia adalah
masalah jiwa yang perlu dirawat. (Khamsiah Mohamad, 2010)
Selain daripada personaliti guru yang menjadi punca berlakunya kes-kes
keganasan, malah ibu bapa juga merupakan salah satu pihak yang

mengakibatkan isu ini berlaku. Kebanyakan ibu bapa pada masa kini lebih
berpihak kepada anak-anak mereka. Ini menyebabkan kebanyakan
murid bermaharajalela dengan bertindak sewenang-wenangnya sehingga
menyebabkan guru hilang kesabarannya. Kerap kali, ibu bapa ataupun penjaga
tidak mengetahui perlakuan yang dilakukan oleh anak mereka di sekolah,
mungkin kanak tersebut bersikap baik di rumah tetapi bertindak sebaliknya di
sekolah. Ini akan menyebabkan ibu bapa tidak percaya akan kata-kata atau
komen yang diberikan oleh guru.
Dahulu, guru mempunyai status yang tinggi dalam hieraki hidup
masyarakat tetapi sekarang tidak lagi kerana murid hari ini dimewahkan oleh ibu
bapa mereka. Fenomena yang biasa berlaku ialah guru menunggu bas
manakala murid menunggu pemandu peribadi mereka untuk pulang selepas
sesi sekolah. Keadaan seperti ini menyebabkan guru dipandang rendah dan
seterusnya tidak dihormati murid-murid. Akibatnya, murid-murid tidak takut untuk
melawan guru. selain itu, sikap ibu bapa yang menyebelahi anak-anak juga
merupakan salah satu punca murid melawan guru. Murid-murid tahu bahawa
ibu bapa dia akan menjadi tulang belakang dia sekiranya apa-apa sahaja yang
berlaku. Oleh itu, mereka mungkin berani melakukan sesuatu yang melampau
terhadap guru sehingga mengakibatkan guru memukul mereka.
Munurut seorang kaunselor Universiti Islam Antarabangsa, Asniza
Mamat, salah satu andaian punca guru bertindak ganas terhadap murid ialah
guru itu sendiri tidak berminat kepada profesion perguruan(Rafidahshapuan,
2008). Minat merupakan elemen yang penting dalam kerjaya seseorang
terutamanya profesion perguruan kerana kita perlu mempunyai minat yang
dalam supaya dapat mendidik anak murid kita ke arah yang betul. Jikalau
seseorang itu tidak berminat, maka usaha dalam membentuk murid yang
berkualiti juga akan menurun dan menjejaskan generasi yang seterusnya.

Disebabkan kerja tidak ikhlas, jadi peranan untuk mendidik anak bangsa
dipandang ringan. Tingkah laku tidak mencirikan seorang pendidik turut berlaku.
Golongan ini merupakan nila. Habis satu belanga susu dikerjakan oleh golongan
ini. Bagi aku profession guru adalah kelas pertama. Sekiranya tiada guru maka
tiada doktor, tiada jurutera, tiada arkitek, tiada peguam, malah tiada perdana
menteri. Semua profession lain pernah mendapat didikan seorang yang bergelar
guru. Jadi besar kemungkinan masalah ini adalah disebabkan oleh guru kelas
kedua.

3.0

KESAN JANGKA PENDEK DAN JANGKA PANJANG


Terdapat beberapa peruntukan undang-undang Kanun Keseksaan telah
menyedia dan menetapkan prosedur dan tindakan terhadap mereka yang
mencederakan. Contohnya, di bawah Seksyen 350 iaitu kekerasan jenayah
yang menetapkan bahawa barang siapa dengan sengaja menggunakan
kekerasan kepada seorang lain dengan tidak kerelaan, maka ia telah melakukan
atau dikatakan telah menggunakan kekerasan jenayah (James Ang Jit Eng,
2007). Kesan jangka pendek dalam berita ini terhadap guru itu sendiri ialah ibu
bapa boleh membawa anaknya berjumpa dengan doktor di hospital kerajaan
untuk tujuan rawatan dan laporan kesihatan dan sekiranya telah disahkan oleh
doktor, guru tersebut boleh didakwa.
Kesan jangka pendek dalam berita ini juga menyebabkan guru disiplin
tersebut mengalami tanggungan peribadi di mana guru perlu membuat bayaran
ganti rugi dalam bentuk kewangan seperti membayar denda yang dikenakan
oleh Mahkamah atau wang pampasan di luar Mahkamah. Selain itu, guru
tersebut juga mungkin dikehendaki meminta maaf secara terbuka, mengadakan
jamuan, dan sebagainya sebagai tanda pendamaian supaya masalah tidak
berlarutan. Selain itu, murid tersebut mungkin akan mengalami kemurungan
sehingga menjauhkan diri dari rakan-rakan mahupun ahli keluarganya yang

terdekat. Sekiranya murid tersebut tidak mendapatkan rawatan, keadaan ini


mungkin akan bertambah serius dan menghantui murid tersebut sepanjang
hidupnya.
Justeru itu, kesan jangka masa panjang dalam hal ini ialah rekod
perkhidmatan guru disiplin tersebut akan tercemar kemungkinan besar
disenaraikan dalam senarai nama hitam, maka habislah nama baik guru tersbut.
Guru-guru yang mengambil tindakan disiplin yang keterlaluan dan tidak
dibenarkan dapat dikenakan tindakan tatatertib kerana menjejaskan imej dan
nama baik Perkhidmatan Awam. Rekod yang dicatatkan kekal sepanjang
perkhidmatan guru itu dan keadaan ini menjejaskan peluang kenaikan pangkat,
mendapat biasiswa, melanjutkan pelajaran, berkursus panjang dan sebagainya.
Selain itu, profesion keguruan juga akan terbabit dalam kesalahan yang dibuat
oleh seorang guru yang tidak beretika itu. Imej profesion keguruan akan tercalar
akibat perbuatan sebilangan guru yang tidak beretika itu. Ekorannya,
masyarakat akan hilang keyakinan terhadap para pendidik yang asalnya
bertanggungjawab untuk mendidik dan melahirkan anak-anak yang berakhlak
mulia. Masyarakat mungkin akan menghina dan tidak akan menghormati guruguru lagi.
Masyarakat akan beranggapan guru tidak mampu memenuhi matlamat
profesion pekerjaan ini yang telah digariskan oleh kerajaan untuk memenuhi
kehendak manusia dan rakyat di negara ini (Sufean Hussin, 993:446).
Sekiranya keadaan masyarakat tidak mempunyai keyakinan terhadap para
pendidikan berterusan, ibu bapa mungkin tidak akan berani menghantar anakanak mereka ke sekolah lagi. Mereka mungkin lebih rela untuk mengajar anakanak mereka di rumah jika anak mereka perlu diletakkan di tempat yang
terancam, iaitu sekolah. Bah kata guru kencing berdiri, murid kencing berlari,
tingkah laku guru yang tidak beretika ini mungkin akan terikut-ikut oleh murid
nanti. Guru seharusnya mempunyai peribadi yang mulia, berbudi pekerti dan
perwatakan yang baik.

Oleh itu, tanggungjawab profesion perguruan menjadi semakin berat


kerana rakyat masa hadapan yang hendak dihasilkan itu bukan sahaja perlu
diterapkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan semata-mata, tetapi perlu juga
diseimbangkan dengan nilai sosial yang baik dari segi moral dan etika yang
murni (Rafidahshapuan, 2008). Malangnya, kejadian guru-guru memukul pelajar
sering dipilih untuk dijadikan tajuk utama bagi media massa. Ini secara langsung
telah menjejaskan nama baik profesion perguruan serta guru-guru di negara
kita. Sudah jatuh, ditimpa tangga, begitulah bunyinya peribahasa Melayu bagi
menggambarkan kesusahan yang datang bersilih- ganti.
Ada kalanya Kementerian Pelajaran turut disaman oleh waris ataupun
agen mereka apabila guru mengambil tindakan disiplin yang difikirkan tidak
wajar ke atas anak mereka. Apabila hal ini berlaku, Kementerian Pelajaran
dikatakan menanggung vicarious liability iaitu menanggung liabiliti akibat
daripada tindakan stafnya. Kerajaan akan menyediakan peguam bela untuk
membela guru sekiranya tindakan guru tersebut ada dalam linkungan tindakan
yang dibenarkan; manakala jika guru tersebut bertindak di luar batasan,
kemungkinan besar tidak dapat dipertahankan dan perlu menghadapi sendiri
atas tindakan yang dikenakan.
Selain itu, tindakan guru disiplin tersebut akan memberi kesan buruk
kepada murid dalam tempoh jangka panjang kerana tindakan ini lebih bersifat
mendera, dan bukannya mendidik untuk memperbetulkan kesalahan murid
tersebut. Walaupun murid tersebut bersalah kerana lewat 10 minit ke sekolah,
dia tidak seharusnya menempuh keadaan yang akan menimbulkan perasaan
trauma di sekolah. Tindakan ini jelas melanggar batas kemanusiaan kerana ia
akan memberi kesan jangka panjang kepada murid yang masih berumur 9
tahun.

Tambahan lagi, tindakan disiplin ataupun hukuman yang ekstrem pada


murid-murid mungkin meninggalkan harapan murni yang ada pada murid
terhadap guru-guru di sekolah. Ini mungkin akan menyebabkan murid tersebut
mempunyai perasaan benci dan ingin membalas dendam. Murid-murid dalam
kategori ini mengalami masalah psikologi dimana mereka sentiasa berasa
runsing dan tidak berpuas hati dan mempamerkan tingkah laku seperti ingkar
kepada guru, perbuatan vandalisme, menconteng harta benda guru dan
sekolah, memukul dan melakukan tindakan-tindakan lain yang agresif.
Kemunkinan lain yang akan berlaku pada murid ialah berubah menjadi
pendiam, menyendiri dan antisosial. Murid-murid dalam kategori ini pula adalah
golongan yang sudah patah semangat dan tidak mempunyai keinginan untuk
berjaya kerana merasakan diri mereka selalu ditindas oleh pihak berkuasa.
Maka, kesan yang berlaku di atas murid dalam hal ini akan menyebabkan
seorang murid yang pada asalnya merupakan seorang kanak-kanak yang sihat
telah menjadi seorang kanak yang mempunyai masalah psikologi.

4.0

KOD ETIKA GURU YANG BERKAITAN


Etika ialah satu sistem dasar akhlak, adat atau tingkah laku atau
kesusilaan (Dewan Bahasa&Pustaka, 1995). Bagi menjaga imej profesion,
setiap guru perlu patuh kepada etika profesionalisme, etika pengajaran, etika
tingkah laku dan etika perkhidmatan awam (Abd. Rahim,2007).Kod Etika
Profesion merupakan peraturan untuk membantu para guru yang profesional
mematuhi prinsip-prinsip yang termaktub supaya menjaga imej baik
profesionnya. Oleh itu, setiap guru hendaklah menjalankan tugas tanpa
melanggar etika ini. Menurut Kod Etika Profesion Perguruan kategori seperti
berikut: -

1.

Tanggungjawab Terhadap Pelajar, guru-guru hendaklah mempunyai tingkah


laku yang merupakan tanggungjawabnya terhadap pelajar termasuk lebih
mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar daripada hal lain. Tindakan
guru disiplin tersebut yang menampar anak muridnya sehingga menjejaskan
pendengarannya telah membahayakan kesihatan murid tersebut. Ini secara
tidak langsung telah menjejaskan keselamatan murid di sekolah.

2.

Tanggungjawab Terhadap Ibu Bapa, ia merangkumi menghormati


tanggungjawab utama ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Tanggungjawab
utama ibu bapa adalah menjaga anak-anaknya supaya mempunyai kehidupan
yang sempurna. Dalam hal ini, ibu kepada murid tersebut berasa amat kecewa
atas perbuatan yang dilakukan oleh guru disiplin tersebut kerana telah
menjejaskan kesihatan, pelajaran, serta mental anaknya.

3.

Tanggungjawab Terhadap Masyarakat dan Negara, ia menyeru guru


berpegang kepada tingkah laku yang sopan yang diterima oleh masyarakat dan
menjalani kehidupan kami sehari-hari dengan baik. Dalam berita ini, guru
disiplin tersebut telah bertindak kasar terhadap budak perempuan yang hanya
berumur 9 tahun dengan menamparnya. Sebagai seorang guru, beliau perlu
senantiasa mengawal emosinya dengan baik supaya tidak bertindak kasar
dalam menangani masalah disiplin murid sebaliknya menggunakan cara yang
lebih berkesan terutamanya dari segi psikologi seperti bimbingan dan
kaunseling untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

4.

Tangungjawab Terhadap Rakan Sejawat dan Profesion Keguruan,


termaktub ciri yang menyatakan sentiasa mengawasi diri kami supaya tidak
mencemarkan nama baik profesion keguruan. Dalam berita ini, ia telah tersebar
ke seluruh pelosok di negara. Ini telah menyebabkan nama baik profesion
keguruan telah terjejas dan secara tidak langsung mengakibatkan keyakinan
orang ramai terhadap profesion keguruan semakin menyusut.

Ini jelas menunjukkan guru perlu senantiasa menggunakan etika


perguruan sebagai panduan untuk meningkatkan profesionalismenya sebagai
seorang guru. (Esah Sulaiman, 2003). Ini adalah untuk memastikan pelindungan
dan pembangunan diberi perhatian serius untuk menjaga kebajikan dan
kepentingan kanak-kanak dan menjamin kanak-kanak dapat membesar dengan
sihat dari segi fizikal dan mental. Dengan menyedari betapa besarnya
tanggungjawab membimbing anak muda untuk mencapai kemajuan
sepenuhnya, maka dengan ini para guru perlu menyempurnakan profesionnya
ke taraf kesusilaan yang setinggi-tingginya.

5.0

CADANGAN MENGATASI TINGKAH LAKU NEGATIF


Isu tentang guru yang bertingkah laku negatif semakin serius, namun
saya percaya di mana kemahuan, di situ ada jalannya. Oleh itu, seluruh
masyarakat perlu berganding bahu untuk menilai semula dan mencari jalan
penyelesaian supaya gejala sebegini dapat dibendung dan mengelakkannya
daripada melurat ke tahap yang lebih buruk.
Tokoh pendidikan, Tan Sri Prof. Dr. Awang Had Salleh mencadangkan
agar Jabatan Pendidikan Negeri mengenalpasti guru-guru yang menghadapi
masalah psikologi dan mengatasinya dengan segera(Rafidahshapuan, 2008).
Bengkel-bengkel boleh diadakan bukan sahaja untuk menaikkan imej dan kualiti
guru, tetapi membantu mereka menghadapi situasi kerja yang semakin rumit
serta mengendalikan perasaan tertekan. Pada pendapat saya, bagi guru yang
menghadapi tekanan jiwa atas beban kerja yang banyak sehingga melakukan
keganasan terhadap murid boleh menolak tanggungjawab tambahan sekiranya
tidak mampu menghadapinya. Saya percaya pihak sekolah akan bertimbang
rasa atas keadaan guru yang berkenaan.

Selain itu, bagi guru-guru yang menghadapi masalah emosi pula, mereka
boleh meluahkan perasaan mereka kepada orang yang dipercayai kerana cara
ini kadangkalanya merupakan cara yang paling efektif bagi menenangkan fikiran
kita. Guru haruslah sentiasa mengawal emosi diri apabila menghadapi sesuatu
masalah, fikir dahulu sebelum bertindak supaya tidak melakukan sesuatu yang
tidak rasional. Dengan kata lain, guru haruslah sentiasa berfikir secara positif
dan bijak mencari penyelesaian agar semua masalah dapat diselesaikan
dengan segera tanpa kesan negatif. Satu lagi cara yang boleh membantu guru
untuk mengatasi masalah emosi ialah berjumpa dengan kaunselor untuk
mendapatkan bimbingan dan mempelajari cara mengawal emosi yang baik.
Di samping itu, guru yang inginkan tali persahabatan yang baik dengan
pelajarnya hendaklah cuba mengelakkan daripada mendenda atau menghukum
pelajar dengan keterlaluan (Saedah Siraj...[et al], 1996). Guru boleh
memberitahu penjaga atau ibu bapa murid tentang sikap anak mereka. Dengan
membuat satu panggilan telefon kepada ibu bapa pelajar, guru dapat
mengelakkan dirinya daripada mengenakan denda yang mungkin keterlaluan.
Selain itu, untuk mendisiplinkan murid, terlebih dahulu guru sendiri perlu
mendisiplinkan dirinya supaya kumpulan murid dalam kelasnya sentiasa
menghormatinya. Guru boleh menjalankan sesi bimbingan dan kaunseling yang
bersesuaian untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi. Dengan ini, guru
lebih mudah mengawal emosinya untuk menyelesaikan masalah murid.
Isu guru adalah masalah negara yang perlu diberi perhatian dengan
menaikkan taraf profesion perguruan dengan cara yang berkesan. Kian hari,
syarat-syarat pengambilan guru pelatih semakin longgar sehingga
menyebabkan ramai orang yang memohon hanya kerana profesion perguruan
merupakan profesion yang senang dimohon serta dijamin peluang pekerjaan.
Inilah masalah kualiti guru kesan daripada pengambilan yang bertujuan hanya
untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru. Ujian minat atau career
test perlu diadakan dalam proses pengambilan guru atau semasa pengajian di

institut perguruan ataupun di IPT. Ini untuk menentukan calon yang benar-benar
berminat sahaja diambil sebagai guru kerana tanggungjawab yang bakal
mereka pikul nanti bukan dianggap sebagai beban tetapi sebagai satu amanah
besar yang wajib dilaksanakan dengan penuh keikhlasan.
Dalam usaha menyelesaikan isu-isu keganasan, ibu bapa juga perlu
memainkan peranan penting. Ibu bapa haruslah memberi lebih perhatian
tentang anak dan bukannya hanya memenuhi keperluan material mereka
sahaja. Kadangkala sikap ibu bapa yang hanya menyebelahi anak mereka
cuma tahumenyalahkan guru walaupun anak mereka yang telah melakukan
kesalahan. Pada pendapat saya, ibu bapa haruslah mencari punca anak
mereka dipukul sebelum membawa isu tersebut ke media massa. Sekiranya
anak mereka didera, sudah tentu semua pihak akan bersetuju dengan tindakan
mereka yang ingin membawa guru tersebut ke sisi undang-undang. Selain itu,
ibu bapa juga perlu bertanggungjawab untuk mendidik anak mereka di rumah
supaya mereka tidak akan melakukan sesuatu yang negatif sehingga
mengakibatkan dendaan.
Justeru itu, guru sewajarnya sentiasa menghayati dan mengamalkan
Tatasusila Profesion Penguruan. Guru perlu mengelakkan diri daripada nafsu
marah dan jauhkan daripada membuat kesimpulan terburu-buru tanpa
penyelidikan terlebih dahulu seperti yang digariskan dalam buku Panduan
Tatacara Disiplin Sekolah Untuk Guru Besar dan Guru. Guru-guru juga perlu
senantiasa memotivasikan diri sendiri dari pelbagai bidang dari semasa ke
semasa supaya mempunyai pengetahuan yang luas dalam profesion yang
diceburi.

6.0

Kesimpulan

Guru ibarat pelita yang membakar diri untuk menerangi orang lain. Anak
murid pula ibarat berlindung di bawah cahaya pelita supaya hidupnya terang
benderang. Guru memainkan peranan penting dan merupakan nadi kepada
pembentukan manusia. Pembangunan insan harus diseimbangkan agar nilainilai moral masyarakat supaya sentiasa terpelihara. Guru-guru dituntut agar
mempunyai sahsiah dan akhlak yang boleh diteladani oleh pelajar dan
masyarakat di samping menguasai pelbagai ilmu, antara lain dalam bidang yang
berkaitan dengan teknologi maklumat, bahasa dan kemahiran berkomunikasi.
Usaha menangani gejala disiplin murid di sekolah bukan sahaja berfokus
kepada strategi-strategi kawalan semata-mata tetapi perlu dikembangkan bagi
merangkumi penggunaan strategi lain. Banyak tokoh-tokoh pendidikan
mencadangkan penggunaan peneguh-peneguh positif bagi menangani
masalah disiplin murid. Sebagai seorang guru, kita harus senantiasa
memperkayakan pengetahuan dalam diri sendiri dengan ilmu-ilmu yang
berkenaan dengan cara-cara menangani masalah murid. Pengurusan disiplin
yang sistematik mungkin akan membantu murid bertingkah laku dengan lebih
baik.
Menurut Abdul Shukor (1999), asuhan guru yang berkesan meninggalkan
ingatan dan menjadi amalan yang berpanjangan bagi setiap murid. Seseorang
guru perlu senantiasa bertindak secara rasional dan seboleh-bolehnya bertindak
mengikut garis panduan tindakan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran.
Murid yang dikenakan tindakan disiplin perlu diberi kesedaran sama ada
sebelum ataupun selepas tindakan supaya mereka dapat menerima hukuman
yang dikenakan secara positif dan tidak mengulanginya.
Tindakan disiplin tidak harus menimbulkan sifat marah ataupun dendam
yang mendalam kerana keadaan ini menggagalkan tujuan sebenar hukuman
dikenakan. Guru-guru sepatutnya memiliki sifat-sifat penyayang seorang
pendidik dan sabar melayani gelagat dan kelakuan murid. Walaupun ini

merupakan satu cabaran yang amat ketara di kalangan guru pada masa kini,
tetapi kesabaran dan daya tahan yang tinggilah yang dapat mempamerkan erti
kata profesion yang sebenar dalam diri sendiri guru tersebut.
Tindakan disiplin yang dikenakan perlulah bersifat pengajaran dan guru
dapat memisahkan perbuatan salah laku dengan orang yang melakukannya.
Tindakan dikenakan ke atas salah laku kerana perbuatan tersebut menyalahi
peraturan sekolah tetapi guru masih menyayangi murid sebagai individu dan
anak muridnya walaupun tindakan terpaksa diambil ke atas kelakuannya.
Seorang guru yang berdedikasi terhadap kerjanya hanya bertindak kerana
kebaikan murid. Tiada guru yang sengaja memukul atau mendera anak
muridnya kerana guru yang dilatih adalah seorang guru yang menjalankan
tugasnya dengan penuh amanah, iltizam dan ikhlas.
Profesion perguruan adalah salah satu profesion yang mencabar dan
amat mendesak. Guru diharap mengetahui serba serbi tingkah laku manusia
dan memainkan pelbagai peranan untuk menjadikan dirinya seorang pendidik
yang berkesan. (Abdul Rahin Bin Hamdan...[et al]). Biar apapun bebanan tugas
dan disiplin murid yang dihadapi, guru mesti berpegang pada nilai murni. Usaha
mendidik dan membangunkan nilai manusia tidak semudah membina
bangunan. Dengan ini guru akan disanjung kerana maruah dan disiplin
keilmuan. Akhir kata, jangan nila setitik rosak susu sebelanga.

Kena tampar lewat 10 minit


undefinedundefined
SUBANG JAYA: Hanya 10 minit lewat tiba ke sekolah, seorang murid Tahun
Tiga Sekolah Kebangsaan Pusat Bandar Puchong 2, di sini bukan saja
mengalami trauma, malah pendengaran telinga kanannya turut terjejas selepas
ditampar guru disiplinnya kelmarin.
Ibunya, Kavitah Vathamalai, mendakwa tindakan melampau guru itu hanya
diketahuinya selepas anak perempuannya yang berusia sembilan tahun
mengadu telinga kanannya sakit hingga mengalami kesukaran untuk tidur,
selain demam.
Bila diperiksa, telinga kanannya didapati bengkak. Bagi mengelak keadaan
lebih teruk, saya terus membawanya mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan
Universiti Malaya (PPUM). Pada mulanya, dia cuba merahsiakan apa yang
berlaku.
Bagaimanapun, selepas didesak berulang kali, dia akhirnya mengaku ditampar
guru disiplin pada sesi perhimpunan kerana lewat hadir ke sekolah, katanya
kepada pemberita semalam sambil memberitahu anaknya disahkan mengalami
kecederaan dalaman di telinga kanannya.

Beliau menganggap tindakan guru terbabit sebagai tidak wajar, lebih-lebih lagi
selepas anaknya menjelaskan sebab kelewatannya tiba di sekolah.
Lagipun, anak saya seorang perempuan. Saya pun tidak tahu apa yang
difikirkan oleh guru terbabit ketika mengambil tindakan itu. Sedangkan,
kesalahan dilakukannya cuma tiba lewat 10 minit ke sekolah, katanya.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu sudah ke sekolah anaknya untuk
mendapatkan penjelasan berhubung kejadian itu, namun apa yang berlaku
adalah sebaliknya apabila tidak dilayan oleh guru besarnya, selain dihalang
bertemu guru disiplin terbabit.
Sebagai ibu, saya mempunyai hak untuk mendapatkan penjelasan berhubung
kejadian itu. Bagaimanapun, guru besar terbabit tidak memberi kerjasama
sepatutnya, malah tidak mahu mengalah langsung dan mempertahankan
tindakan guru disiplinnya, katanya.
Sehubungan itu, katanya, beliau membuat laporan berhubung kejadian
berkenaan di Balai Polis Bukit Puchong kira-kira jam 9.30 pagi semalam.
Insiden ini akan turut dimaklumkan kepada Kementerian Pelajaran. Semua
tindakan ini saya buat untuk memastikan anak saya mendapat keadilan, selain
sebagai peringatan kepada guru terbabit supaya tidak sewenang-wenangnya
memukul pelajar mereka, katanya.
Bayangkan, hanya disebabkan kejadian ini, anak saya sekarang trauma dan
enggan ke sekolah. Ini boleh menjejaskan pelajarannya, katanya.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar
ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan
kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Berita Harian Online: 28 Oktober 2009

You might also like