Professional Documents
Culture Documents
ABSTRAK
Lukisan projek merupakan aspek paling utama dalam pembinaan. Tanpa lukisan
pembinaan tidak akan dapat dilaksanakan dengan sistematik. Dalam kebanyakan
projek, perbezaan di antara lukisan projek semasa tender dengan lukisan siap bina
projek kerap berlaku. Perbezaan ini berlaku disebabkan beberapa pindaan kepada
lukisan projek semasa kerja-kerja pembinaan dilaksanakan. Kajian kes ini di buat ke
atas lima projek pembinaan di Kampus UKM Bangi iaitu Bangunan PALAPES dan
SUKSIS, Bangunan Mahkamah MOOT Fakulti Undang-Undang, Bangunan
Tambahan Fakulti Sains dan Teknologi, Kompleks Penyelidikan dan Kompleks
Pelajar. Objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti perbezaan di antara lukisan
tender dengan lukisan siap bina, mengenal pasti faktor-faktor yang menyebabkan
pindaan lukisan tersebut berlaku dan mengenal pasti pendekatan yang dibuat oleh
pihak Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP) UKM dan pihak Jabatan
Kerja Raya Selangor (JKR) sebagai agensi pelaksana dalam mengawal pindaan yang
berlaku untuk memastikan perubahan tersebut tidak akan menjejaskan kos projek.
Kaedah yang dilaksanakan untuk mencapai objektif kajian ini adalah dengan
mendapatkan senarai pindaan pada lukisan projek dan menjalankan sesi temu bual
dengan pegawai JPP UKM dan JKR. Ini adalah bagi mengetahui punca pindaan
lukisan yang telah dibuat dan implikasi kewangan yang terlibat. Hasil kajian ini
menunjukkan bahawa permintaan pelanggan/pengguna, kesilapan perunding dalam
menyediakan lukisan, kesilapan kontraktor dan keadaan tapak yang tidak diketahui
adalah di antara beberapa sebab berlaku pindaan kepada lukisan tender. Perkara ini
berlaku mungkin kerana pelanggan/pengguna tidak dilibatkan dalam beberapa
keputusan projek yang telah dibuat, kekurangan maklumat tentang keadaan tapak
projek dan kesilapan dalam lukisan. Ini telah menyebabkan berlakunya perubahan
kerja yang telah meningkatkan kos projek dan memanjangkan tempoh pembinaan.
Beberapa cadangan telah diberikan di akhir kajian ini dari segi cara untuk
mengelakkan perubahan kerja pembinaan, di antaranya ialah penglibatan pihak
pengguna semasa penyediaan rekabentuk dan spesifikasi projek, serta keperluan
kajian tapak projek yang terperinci.