You are on page 1of 9

1.

0 PENDAHULUAN
Tugas dan cabaran guru pada masa kini menjadi semakin mencabar seiring dengan arus
peredaran masa pada zaman sekarang. Bagi seseorang yang ingin menjadi seorang guru,
terdapat beberapa proses yang perlu dilalui supaya mendapat kelayakan dan pengiktirafan
sebagai seorang guru, seperti Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan
(PPISMP), Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP), Kursus Perguruan Lepasan
Ijazah (KPLI), Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) dan sebagainya. Selepas
menjalani latihan yang secukupnya, barulah seseorang individu tersebut akan bergelar dan
menjadi guru yang sah.
Guru merupakan aset utama yang berperanan dalam menyahut segala cabaran
pendidikan akan datang. Ciri-ciri guru dalam cabaran globalisasi pendidikan perlu
dititikberatkan oleh semua guru. Dalam hal ini, guru perlulah mempunyai iltizam yang tinggi
iaitu

melibatkan

diri

secara

langsung

dan

bersungguh-sungguh

serta

penuh

bertanggungjawab dalam pelaksanaan tugas melahirkan modal insan kelas pertama. Oleh
hal yang demikian, profesioan perguruan amat memerlukan bakal guru menjalani latihan
dan pendidikan guru di maktab perguruan dan universiti tempatan mengikut kesesuaian
kurikulum masing-masing (Esah Sulaiman, 2003 dalam Azhar Muhammad et. al, 2007).
Dalam mendepani isu dan cabaran yang semakin getir ini, seseorang guru perlulah
berpandangan jauh dan mempunyai visi terutamanya dalam perkembangan pendidikan
demi mencapai matlamat kecemerlangan pendidikan negara dalam alaf baru ini. Pada masa
yang sama, seorang guru perlu sentiasa berfikiran positif dalam apa-apa jua cabaran yang
memperuntukkan elemen-elemen transformasi dan inovasi dalam bidang yang diceburi.

2.0 DISKUSI INTELEKTUAL BERDASARKAN PRAKTIKUM


2.1 Pengenalan
Seigler, Gentry dan Edwards (1979) dalam Lim Khong Chiu et. al (2010) mengatakan
program praktikum telah lama diakui sebagai satu kaedah yang penting untuk persediaan
pelajar menghadapi kerjaya dalam profession masing-masing. Program praktikum bertujuan
untuk memberikan pendedahan kepada para pelajar untuk memahami hal-hal yang
berkaitan dengan alam pekerjaan yang sebenar sebelum mereka menamatkan pengajian
mengikut bidang pengkhususan yang dijurusi. Justeru, program praktikum pelajar
sewajarnya diberikan perhatian yang serius oleh institusi-institusi pengajian tinggi awam
mahupun swasta kerana altihan sedemikian membolehka para pelajar mendapat
pendedahan dan pengalaman bekerja yang amat bernilai (Lim Khong Chui et. al, 2010).
Dalam Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP), praktikum merupakan
satu amalan profesional yang wajib dilalui oleh semua pelajar di bawah naungan Institut
Pendidikan Guru Malaysia Kementerian Pendidikan Malaysia (IPGM-KPM). Program ini
memperuntukkan semua pelajar daripada semester lima hingga tujuh untuk melalui sesi
praktikum sebanyak tiga fasa, iaitu fasa sebulan, fasa dua bulan dan fasa tiga bulan.
2.2 Isu, Cabaran dan Langkah Mengatasinya
Isu pendidikan seringkali menarik perhatian ramai apatah lagi apabila isu yang timbul
melibatkan persoalan nilai, moral dan salah laku dalam kalangan warganya. Setiap kali isu
yang berkaitan dengan pendidikan, khususnya guru sendiri, kes-kes yang digembargemburkan menjadi topik perbualan hangat warganegara Malaysia. Para wartawan dan
penganalisis semasa tidak putus-putus menguar-uarkan laporan dan andaian bagi
menjawab dan merungkai kemelut tersebut.
Namun demikian, bagi sesiapa yang tidak terlibat secara langsung dalam bidang
pendidikan yang sentiasa dipenuhi mehnah dan dugaan dari sekeliling, tidak akan
mengetahui perkara sebenar yang berlaku kepada guru-guru di Malaysia terutamanya.
Bebanan tugasan yang tidak mengira masa, tuntutan kerja untuk menyediakan bahanbahan pengajaran, pemfailan dan perekodan data-data semasa dan sebagainya merupakan
antara perkara yang lazim menjadi igauan kepada para guru, sama ada di sekolah rendah
mahupun di sekolah menengah. Cabaran-cabaran inilah antara punca berlakunya salah laku
2

yang pada dasarnya tidak wajar berlaku. Sepanjang tempoh berpraktikum ini, beberapa isu
berkaitan dengan pendidikan dapat dikesan yang amat memberikan kesan sekiranya tidak
diuruskan dengan sebaik mungkin. Isu yang dibincangkan ialah bertitik tolak pada sesi
praktikum fasa ketiga di Sekolah Kebangsaan Clifford , Kuala Kangsar
2.2.1

Bilangan Kehadiran Murid ke Sekolah yang Tidak Konsisten.

Cabaran yang dihadapi sepanjang berada di sekolah ini ialah bilangan kehadiran murid ke
sekolah yang tidak konsisten. Saya melihat perkara ini sebagai satu isu dan cabaran yang
perlu diselesaikan dengan segera bagi memastikan murid-murid sekolah tidak tercicir dalam
menerima pendidikan yang sewajarnya. Isu ini berlaku ekoran faktor geografi sekolah yang
terletak di kawasan luar bandar. Menurut Siti Masayu Rosliah (2008), masyarakat luar
bandar lazimnya dilabelkan sebagai masyarakat yang hidup miskin. Walaupun kemiskinan
turut berlaku di kawasan bandar, namun lokasi kawasan luar bandar lebih kerap dijadikan
topik dalam perbincangan isu kemiskinan.
Penyataan Siti Masayu ini turut diperkukuhkan lagi dengan data yang diperoleh
daripada Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) yang dibangunkan oleh Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM) menunjukkan hampir 50% murid di sekolah ini mengalami
masalah dalam kesusahan hidup. Sekiranya permasalahan ini terus berlaku, dikhuatiri
murid-murid yang sering tidak menghadirkan diri ke sekolah akan tercicir daripada
pendidikan yang sewajarnya.
Oleh hal yang demikian, pihak sekolah telah mengambil langkah yang proaktif bagi
membendung masalah ini daripada berlaku dengan lebih serius. Pihak sekolah dengan
kerjasama daripada pihak Pejabat Pendidikan Daerah Kinta Selatan telah membuat lawatan
muhibah dari rumah ke rumah murid yang dikategorikan sebagai pemonteng tegar.
Menerusi lawatan ini, pihak sekolah dan pihak PPD dapat bersemuka dan berbincang
mengenai isu ketidakhadiran murid ke sekolah. Selain itu, pihak sekolah menjalankan
program Guru Penyayang yang bertujuan untuk menanamkan sifat kerajinan dan minat
murid hadir ke sekolah. Setiap guru telah ditugaskan untuk menyambut murid ke sekolah di
pintu pagar sekolah selepas dihantar oleh ibu bapa. Secara tidak langsung, program ini
mampu mengurangkan bilangan murid yang ponteng ke sekolah.

2.2.2

Ketidaksungguhan Mempelajari Bahasa dengan Bersungguh-sungguh.

Sebagai seorang guru praperkhidmatan yang mengajarkan mata pelajaran Bahasa


Malaysia, saya turut mendapati murid-murid memperlihatkan ketidaksungguhan untuk
mempelajari Bahasa Malaysia dengan bersungguh-sungguh. Perkara ini perlu dipandang
serius kerana Bahasa Malaysia merupakan mata pelajaran teras dan wajib lulus untuk
memasuki mana-mana sekolah berasrama penuh dan juga kelayakan ke institut pengajian
tinggi (IPT). Mereka menganggap bahawa Bahasa Malaysia suatu perkara yang mudah dan
tidak perlu mempelajarinya. Namun demikian, penguasaan bahasa mereka boleh saya
katakan masih berada pada tahap yang lemah dan tidak setimpal dengan dakwaan diri
sebagai penutur jati bahasa Melayu.
Oleh hal yang demikian, saya berasa terpanggil untuk menarik minat murid-murid ini
mempelajari Bahasa Malaysia dengan penuh kesungguhan. Berbagai-bagai cara dan
pendekatan yang saya gunakan untuk menanamkan minat mempelajari Bahasa Malaysia
dalam kalangan murid di kelas yang saya kendalikan. Saya juga memasukkan elemen didik
hibur seperti nyanyian, lakonan, aktiviti simulasi dan sebagainya bagi membantu murid
memahami konsep dan kandungan yang diajarkan pada hari tersebut. Selain itu, saya juga
menggunakan bahan-bahan ICT seperti komputer riba dan LCD bagi melahirkan keterujaan
dalam diri murid.
Impaknya ialah murid-murid semakin berminat terhadap pembelajaran Bahasa
Malaysia walaupun masih terdapat murid yang tidak boleh menguasai kemahiran yang
diajarkan. Namun demikian, usaha dan langkah pelaksanaan yang efektif menjadi kayu ukur
kepada pengajaran dan pembelajaran yang berkesan sekali gus membantu murid
menambah pengetahuan baharu hasil daripada pembelajaran yang dilalui. Sehubungan
dengan itu, inisiatif untuk mentransformasikan kaedah pengajaran juga menjadi salah satu
penyumbang kepada pembelajaran bahasa yang berkesan. Koh Boh Boon (1981)
menyifatkan penggabungjalinan pengajaran yang menggunakan kaedah tradisional dan
kaedah baharu dapat memberikan kesan yang memberangsangkan terhadap pembelajaran
bahasa di dalam kelas.

2.2.3

Rungutan Mengenai Pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Cabaran pada masa kini yang terbesar dihadapi oleh guru dan sering kali menjadi rungutan
ialah pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Melalui pelaksanaan dasar ini di
4

sekolah, bukan sahaja murid yang akan terbeban sebaliknya guru juga akan turut terbeban
dan merasai impaknya. Guru perlu menyediakan fail-fail yang berkaitan dengan murid dan
sudah pastinya tugas utama iaitu mengajar di dalam kelas akan terganggu. Tugas guru
seolah-olah lebih ke arah pengkeranian dan sudah lari daripada tugas utamanya iaitu
mengajar. Rungutan demi rungutan yang sering kali diluahkan oleh guru ialah terpaksa
berjaga sehingga lewat malam untuk memasukkan markah dan data murid ke dalam sistem
atas talian.
Tambahan pula, capaian jaringan internet tidak mengizinkan ketika memasukkan
data murid seterusnya menyebabkan guru tertekan dengan keadaan kerja yang sedemikian.
Perkara ini pastinya akan memberikan kesan kepada guru semasa berada di sekolah pada
esok harinya. Sebagai contoh, guru akan menjadi letih dan mengantuk kerana tidur lewat
pada malam hari. Kesannya, guru akan menjadi tertekan dan prestasi kerja akan jatuh
merudum.
Oleh hal yang demikian, pihak kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia
telah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mengkaji beban tugas yang berlebihan
ditanggung oleh guru sekolah di seluruh negara. Kesannya, data-data murid yang pada
awalnya perlu dimasukkan ke dalam jaringan sistem atas talian kini telah diubah kepada luar
talian (offline) demi meringankan beban guru untuk bersekang mata semata-mata untuk
memasukkan data tersebut. Selain itu, Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) telah
diberikan penambahbaikan dari segi tatacara pemberian markah yang berteraskan band
sebelum ini, kini dipermudahkan dengan kaedah yang lebih berkesan.

2.2.4

Keadaan Dunia yang Semakin Maju dan Moden

Keadaan dunia yang semakin maju dan moden juga menjadi salah satu cabaran mutakhir
dalam kalangan guru masa kini. Guru perlu berhadapan dengan murid yang mahir dan
menguasai ilmu teknologi maklumat dan komunikasi. Berbeza dengan murid pada zaman
dahulu yang hanya mendapatkan ilmu daripada guru mereka sahaja. Murid zaman
millenium ini sudah mempunyai pelbagai sumber maklumat yang boleh dilayari di internet
dengan menggunakan komputer ataupun telefon pintar. Selain itu, murid berkemungkinan
lebih cekap dan ke hadapan berbanding dengan guru terutamanya guru yang masih tidak
menguasai dunia teknologi maklumat dan komunikasi.

Sejajar dengan kemajuan dunia pada masa kini, pastinya akan timbul kesan yang
negatif seperti penyebaran maklumat palsu yang berleluasa atau melayari laman web yang
lucah. Perkara sedemikian pastinya akan merosakkan akidah dan sahsiah murid yang
sepatutnya suci kerana murid masih bergelar kanak-kanak. Kesannya, akan wujud masalah
disiplin di kalangan murid seperti bergaduh atau buli kerana terpengaruh dengan aksi-aksi di
dalam video yang ditonton.
Seperti yang kita sedia maklum, murid sekolah sememangnya sangat mudah
terpengaruh dengan unsur-unsur yang kurang baik kerana sifat ingin mencuba di dalam diri
murid yang tinggi. Selain itu, murid juga cenderung untuk mencari keseronokan yang
bersifat sementara. Oleh itu, pastinya tugas guru di sekolah menjadi semakin mencabar
kerana perlu berhadapan dengan murid yang sudah terlalu terdedah kepada dunia teknologi
tanpa sempadan. Guru bukan sahaja perlu mengajar tetapi juga perlu menerapkan nilai
murni dalam diri murid agar menjadi insan yang mempunyai sahsiah dan sikap yang terpuji.
Selain itu, guru juga akan sibuk untuk menguruskan masalah disiplin murid yang semakin
menjadi-jadi. Menguruskan disiplin murid bukan hanya tugas guru disiplin tetapi telah
menjadi tugas setiap guru pada masa kini.

2.2.5

Integriti Guru

Integriti disentuh dalam konteks amanah kepimpinan sekolah, guru, ibu bapa dan pelajar
bagi mewujudkan sekolah yang cemerlang, beraspirasi nasional dan mempunyai
persekitaran kondusif kepada setiap warganya. Dalam teras Merapatkan Jurang Pendidikan,
integriti merupakan asas kepada kecekapan sistem penyampaian bantuan dan pembelaan
terhadap golongan yang miskin, berkeperluan khas dan yang tinggal di lokasi yang lebih
terkebelakang dan terpencil. Dalam teras Memartabatkan Profesion Keguruan, integriti
merupakan dorongan dalaman agar guru melaksanakan amanah mendidik anak bangsa
sebaik-baiknya serta berusaha meningkatkan keupayaan diri.
Penerapan nilai integriti bukan sahaja melalui kurikulum semata-mata, kokurikulum
juga bertindak sebagai agen ke arah pembentukan nilai integriti. Hal ini dilakukan melalui
pelaksanaan pelbagai aktiviti persatuan dan pasukan pakaian seragam yang mendedahkan
pelajar dengan amalan-amalan serta sifat-sifat murni seperti jujur, ikhlas, dan amanah yang
menjurus kepada pemupukan integriti dalam diri mereka. Merujuk Norizan Abdul Muhid
(2013), guru amat disarankan untuk membudayakan elemen integriti dan etika secara aktif

dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) sebagai satu usaha membina serta
memelihara generasi masa depan.
Namun begitu, nilai integriti demikian seperti tidak dihiraukan oleh segelintir guru
pada masa kini. Banyak kes yang diwartakan di akhbar yang melibatkan profesioan
perguruan melibatkan integriti dalam pendidikan. Hal ini boleh dilihat menerusi isu terkini
mengenai penangguhan peperiksaan kertas Sains 018 bagi Ujian Pencapaian Sekolah
Rendah (UPSR) 2014 yang berlaku ekoran sikap ketiadaan integriti dalam diri seorang guru.
Penangguhan ini telah dimaklumkan sendiri oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia menerusi
kenyataan akhbar pada 10 September 2014. Hal ini juga boleh disabitkan sebagai jenayah
akademik dalam profesion perguruan. Jenayah akademik menurut Mohamed Yusoff Ismail
(2011) dapat dibahagikan kepada tiga perkara, iaitu pembohongan dalam penulisan biodata,
penipuan dalam penerbitan dan salah laku dalam tugas pengajaran, penyeliaan dan
penyelidikan. Isu pembocoran maklumat soalan ini boleh dikategorikan sebagai jenayah
akademik sekali gus mencalarkan profesion perguruan itu sendiri.
Dalam hal ini, menurut Dr. Lee Boon Hua, Timbalan Rektor IPG Malaysia
menyatakan bahawa guru sepatutnya menjadi suri tauladan dan berperanan besar dalam
merealisasikan aspirasi kerajaan untuk melahirkan generasi Malaysia yang mengamalkan
integriti dalam menjalankan tugas sama ada sektor awam, swasta atau bekerja sendiri.
Merujuk isu yang berlaku ini, seseorang guru perlu memahami perjawatan dan amanah
yang diberikan untuk masa depan diri serta generasi Malaysia yang akan datang.
Soal penerapan budaya berintegriti dalam kalangan guru, banyak usaha dan
prakarsa yang telah dilakukan oleh pihak kementerian bagi memastikan guru-guru
mengamalkan integriti dalam kehidupan seharian. Penganjuran Pertandingan Pidato Integriti
Antara Institut Pendidikan Guru (IPG) Piala Menteri Pelajaran Malaysia dengan kerjasama
Institut Integriti Malaysia (IIM) umpamanya sudah cukup mengatakan usaha tersebut
dilakukan pada peringkat akar umbi, iaitu kepada para bakal guru yang menyertai
pertandingan tersebut.
2.2.6

Mengawal Emosi

Merujuk Mahmood Nazar Mohamad (1992) dalam Azizi Yahaya, Yusof Boon dan Amir
Hamzah Abdul (2008), emosi boleh ditakrifkan sebagai satu keadaan yang dialami oleh
manusia yang melibatkan beberapa perubahan proses fisiologi, diri dan psikologi. Emosi
akan ditonjolkan keluar sebagai satu bentuk bagi memenuhi kehendak seseorang.
7

Masalah disiplin sememangnya boleh menggugat emosi guru. Jika tidak ditangani
dengan baik, mudah sahaja guru cenderung untuk bertindak di luar emosinya. Perguruan
merupakan profesioan yang mudah terdedah dengan tekanan. Tekanan terhadap guru
memang berkecenderungan untuk menyebabkan guru berada dalam keadaan murung,
memgalami tekanan jiwa, kekecewaan dan kebimbangan (Sapora Sipon, 2007). Seorang
guru perlu bijak untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi agar tidak melibatkan
orang lain selain membahayakan diri sendiri. Mengawal emosi dan berdaya tindak terhadap
tekanan kerja dalam kalangan guru kini menjadi semakin penting kerana kegagalan untuk
berdaya tindak boleh memberi kesan negatif kepada kesejahteraan fizikal, mental dan
emosi guru.
Bagi menyelesaikan masalah disiplin dalam kalangan murid umpamanya, guru tidak
boleh bertindak mengikut kehendak emosi yang tidak stabil. Seandainya guru mengambil
tindakan dengan didorong emosi dan amarah, kesan yan tidak baik boleh berlaku terhadap
guru berkenaan seperti dikenakan tindakan tatatertib, didakwa di mahkamah sekiranya
didapati bersalah.

3.0 KESIMPULAN

Dengan memperkasakan peranan guru akan melahirkan modal insan berkualiti. Itulah
adalah antara tujuan terpenting dalam usaha memberikan insentif kepada bidang
pendidikan di negara ini. Oleh itu, dalam melahirkan modal insan peranan kerajaan dan guru
adalah menjadi tonggak utama ke arah kejayaannya.
Dalam era globalisasi guru perlu menghadapi cabaran semasa dalam proses pendidikan antaranya berkaitan integrasi nasional, pendemokrasian pendidikan, tonggak
pendidikan, globalisasi dalam pendidikan, kepelbagaian budaya, pengaruh perkembangan
teknologi maklumat dan komunikasi serta gejala sosial dalam kalangan pelajar merupakan
antara cabaran terbesar yang dilalui dan diuruskan oleh pihak guru.
Justeru, kita sebagai guru haruslah tidak mengambil mudah dan memandang ringan
usaha memperkasa peranan guru dengan memberikan latihan, kursus, ceramah dan juga

motivasi supaya dapat memberikan kesan kepada pelajar melalui pengajaran dan
pembelajaran (P&P) di sekolah.

You might also like