You are on page 1of 10

KEPIMPINAN INSTRUKSIONAL PENGETUA DALAM PELAKSANAAN

PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)


Nor Azni Abdul Aziz, Foo Say Fooi, Soaib Asimiran & Aminuddin Hassan
Fakulti Pengajian Pendidikan
Universiti Putra Malaysia
azniaziz3@gmail.com

Abstrak
Perubahan pendidikan berlaku apabila terjadinya perubahan yang pesat dari segi ekonomi, sosial,
politik dan teknologi maklumat di peringkat global. Seiring dengan program transformasi negara,
pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan satu perubahan pendidikan ke arah
penambahbaikan kaedah penilaian murid sedia ada bagi memantapkan kualiti pengajaran dan
pembelajaran di sekolah. Dengan transformasi sistem pendidikan yang berlaku bagi
mempertingkatkan kualiti pendidikan negara, sekolah memerlukan kepimpinan yang dinamik dan
berani bagi membangunkan modal insan yang berkualiti. Pengetua sebagai pemimpin instruksional
adalah merupakan agen perubahan yang perlu menyediakan iklim sekolah yang kondusif bagi
melaksanakan PBS di sekolah. Sehubungan itu, pengetua perlu bersedia untuk menghadapi segala
cabaran dalam mengimplementasikan perubahan baru dalam sistem PBS bagi mencapai
kecemerlangan sesebuah sekolah. Justeru, kertas konsep ini membincangkan konsep kepimpinan
instruksional pengetua dan peranannya dalam pelaksanaan sistem PBS di sekolah. Di dalam kertas
konsep ini, kepimpinan instruksional adalah merujuk kepada segala amalan tingkah laku
perancangan pengetua yang jelas disampaikan bertujuan untuk mempengaruhi, memberi
bimbingan, dan dorongan kepada guru dan murid dalam usaha menambah baik dan meningkatkan
program-program berkaitan proses pengajaran dan pembelajaran bagi mencapai matlamat
akademik sekolah yang ditetapkan. Ini termasuklah dalam memastikan pelaksanaan perubahan
sistem PBS berjaya mencapai matlamatnya. Tiga dimensi utama kepimpinan instruksional pengetua
dalam melaksanakan PBS turut dibincangkan iaitu menentukan misi sekolah, menguruskan program
pengajaran, dan mewujudkan iklim pembelajaran sekolah. Manakala sepuluh fungsi kepimpinan
instruksional dalam melaksanakan PBS iaitu merangka matlamat sekolah, menyampaikan matlamat
sekolah, menyelia dan menilai pengajaran, menyelaras kurikulum, memantau kemajuan murid,
mengawal waktu pengajaran, mengekalkan ketampakan, menyediakan insentif untuk guru,
menggalakkan pembangunan profesional, dan menyediakan insentif untuk pembelajaran akan turut
dihuraikan. Adalah diharapkan kertas konsep ini dapat dijadikan rujukan dan sebagai penambahan
literatur dalam aspek berkaitan kepimpinan instruksional pengetua serta peranan pengetua dalam
melaksanakan perubahan dalam sistem PBS.

Kata Kunci :
Perubahan Pendidikan, Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), Kepimpinan
Instruksional Pengetua

Proceeding of the Global Summit on Education GSE 2014 (e-ISBN 978-967-11768-5-6)


4-5 March 2014, Kuala Lumpur, MALAYSIA. Organized by WorldConferences.net

516

1. Pengenalan
Dalam mencapai kecemerlangan pendidikan bertaraf global, pelbagai perubahan dalam bidang
pendidikan telah berlaku di Malaysia. Menurut Boohene & Williams (2012), Chase (2009), Drzensky,
Egold, & Dick (2012) dan Jainabee & Jamelaa (2011), perubahan adalah sesuatu yang semula jadi
dan perubahan pendidikan akan berlaku apabila terjadinya perubahan yang pesat dari aspek
ekonomi, sosial, politik, dan teknologi maklumat di dalam dunia. Sehubungan itu, bidang pendidikan
perlu bersedia dengan cabaran untuk menyediakan generasi muda masa kini bagi menangani
cabaran globalisasi terutamanya dalam persaingan mencari ilmu pengetahuan. Ini adalah kerana
pendidikan adalah faktor utama yang menjadi asas bagi merealisasikan aspirasi negara (Pelan
Strategik Interim, 2012).
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah merancang dan melaksanakan pelbagai perubahan dan
inovasi pendidikan di sekolah. Dalam usaha pihak KPM menambah baik sistem pendidikan negara,
Pelan Strategik Interim 2011-2020 telah dilancarkan bagi melaksanakan beberapa transformasi
pendidikan. Daripada 14 inisiatif strategik yang digariskan, sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah
(PBS) merupakan satu teras strategik ke arah penambahbaikan kaedah penilaian murid sedia ada.
Pelaksanaan PBS ini menjadi salah satu agenda utama dalam perubahan pendidikan masa kini. Dan
sebagai satu kesinambungan kepada proses perubahan dalam sistem PBS, menerusi Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), telah digariskan beberapa transformasi termasuk yang
berkaitan dengan sistem PBS (Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, 2013). Ini menunjukkan
bahawa proses perubahan yang dijalankan di dalam sistem pendidikan di negara kita adalah
berterusan dan ditambah baik dari masa ke semasa. Oleh itu, seluruh warga pendidik perlulah
melibatkan diri secara menyeluruh dalam memastikan perubahan pendidikan yang dilaksanakan
mencapai matlamat dari segi pemikiran, sikap, nilai, dan amalan kerana perubahan ini memberikan
impak kepada situasi pengajaran dan pembelajaran, situasi persekitaran bilik darjah selain peranan
guru dan pelajar (Tan, 2010).

2. Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)


Berdasarkan kepada Pelan Strategik Interim 2011-2020 dan PPPM 2013-2025, pelaksanaan PBS
adalah merupakan satu proses perubahan KPM ke arah penambahbaikan kaedah penilaian murid
sedia ada bagi memantapkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Pelaksanaan PBS
adalah seiring dengan program transformasi negara untuk menghasilkan modal insan yang boleh
bersaing di peringkat global (Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, 2013). Berdasarkan kepada
pencapaian murid Malaysia dalam peperiksaan peringkat antarabangsa iaitu Trend in Mathematics
and Science Study (TIMSS) dan Programme for International Student Assessment (PISA), dapatan
menunjukkan sistem pentaksiran sedia ada perlu berubah kepada satu sistem pentaksiran yang
lebih holistik. Ini adalah kerana, sistem pendidikan negara sedia ada adalah berorientasikan
peperiksaan atau exam oriented dan penekanannya adalah kepada pencapaian dalam peperiksaan
dan tidak bersifat menyeluruh (Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, 2013).
PBS adalah satu bentuk pentaksiran yang bersifat holistik yang menilai aspek kognitif (intelek),
afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan. Terdapat empat komponen dalam sistem PBS iaitu Pentaksiran Pusat, Pentaksiran
Sekolah, Pentaksiran Psikometrik dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
Pentaksiran Pusat dan Sekolah menekankan aspek akademik manakala Pentaksiran Psikometrik dan
Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PASJK) adalah aspek bukan akademik.

Proceeding of the Global Summit on Education GSE 2014 (e-ISBN 978-967-11768-5-6)


4-5 March 2014, Kuala Lumpur, MALAYSIA. Organized by WorldConferences.net

517

Pentaksiran pusat dilaksanakan dengan berpandukan garis panduan Lembaga Peperiksaan dan ini
melibatkan kerja kursus dan ujian lisan. Pentaksiran sekolah dilaksanakan sepenuhnya oleh sekolah
dan melibatkan mata pelajaran teras dan elektif. Sementara itu, pentaksiran psikometrik adalah
bertujuan untuk mengukur kebolehan semula jadi, kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan
masalah, minat, kecenderungan, sikap, dan personaliti murid. Pentaksiran yang dilakukan bagi
mendapatkan maklumat tentang potensi jasmani, sukan dan kokurikulum murid ialah pentaksiran
aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum (PAJSK). Bagi tujuan pemantauan, perubahan juga berlaku
di mana semua hasil kerja murid termasuk ujian dan peperiksaan di simpan dalam portfolio yang
disimpan sepanjang sesi persekolahannya supaya boleh dirujuk oleh guru dan ibu bapa. Guru-guru
juga perlu menilai tahap pembelajaran murid berdasarkan kepada standard prestasi murid mengikut
band yang ditetapkan.

3. Kepimpinan Instruksional Pengetua


Konsep kepimpinan instruksional telah dikaji dengan meluas dalam tahun 1980an dan 1990an
(Hallinger, 2003, 2012). Kajian sekolah berkesan, pelaksanaan perubahan, dan penambahbaikan
sekolah yang telah dijalankan di pelbagai negara oleh pengkaji-pengkaji terdahulu menjadi asas
kepada konsep kepimpinan instruksional (Hallinger, 2003; Hallinger, Taraseina, & Miller, 1994). Ini
sekali gus telah mengukuhkan kepercayaan di kalangan penggubal dasar dan pengamal dasar
bahawa kepimpinan instruksional adalah faktor utama yang menjadikan sekolah-sekolah berkesan
(Hallinger, 2011). Apabila perubahan pendidikan berlaku, pengetua sebagai pemimpin instruksional
di sekolah perlu menggalakkan guru untuk mencapai matlamat akademik sekolah, berusaha lebih
gigih di dalam kerjanya, dan bersedia untuk mengerahkan usaha dalam melaksanakan perubahan di
sekolah. Ini menunjukkan pemimpin instruksional merupakan faktor utama untuk kejayaan
perubahan sekolah dan pencapaian sekolah (Carrier, 2011; Sahin, 2011).
Menurut Hallinger dan Murphy (1985) kepimpinan instruksional merujuk kepada segala tingkah laku
pengetua yang dilaksanakan dengan tujuan memajukan dan menambah baik proses pengajaran dan
pembelajaran di sekolah yang melibatkan guru, murid, ibu bapa, perancangan sekolah, pengurusan
sekolah, kemudahan sumber, dan budaya sekolah. Menurut mereka lagi, kepimpinan instruksional
merujuk kepada tiga dimensi iaitu pertama menentukan misi sekolah di mana terdapat dua fungsi
dalam dimensi ini iaitu merangka matlamat sekolah dan menyampaikan matlamat sekolah. Dimensi
kedua ialah menguruskan program pengajaran dengan tiga fungsi iaitu menyelia dan menilai
pengajaran, menyelaras kurikulum, dan memantau kemajuan murid. Dimensi ketiga adalah
mewujudkan iklim pembelajaran sekolah dengan lima fungsi iaitu mengawal waktu pengajaran,
mengekalkan ketampakan, menyediakan insentif untuk guru, menggalakkan pembangunan
professional, dan menyediakan insentif untuk pembelajaran.
Kepimpinan instruksional juga ditakrifkan di bawah dua tema utama iaitu pemimpin instruksional
berkomunikasi dengan guru-gurunya untuk meningkatkan refleksi diri dan menggalakkan
perkembangan profesionalisme guru-guru (Blase & Blase, 2002). Pengetua instruksional yang
berkesan berkomunikasi dengan guru bagi tujuan meningkatkan refleksi diri dengan menggunakan
strategi seperti memberikan cadangan, memberikan maklum balas, menunjukcara, bertanya dan
berkongsi pendapat, dan memberikan penghargaan kepada pengajaran yang berkesan di kalangan
guru-guru. Bagi mewujudkan peluang perkembangan profesionalisme di kalangan guru-guru pula,
terdapat enam strategi yang diamalkan oleh pengetua instruksional yang berkesan. Guru-guru
digalakkan menyertai kursus pembangunan staf yang menekankan tentang pengajaran dan
pembelajaran, menyokong tindakan bekerjasama di antara guru-guru, menggalakkan sistem
pembimbing guru, mewujudkan budaya pembelajaran sepanjang hayat, dan melaksanakan program
kajian tindakan di kalangan guru-guru. Strategi-strategi yang dinyatakan di atas bukan sahaja dapat
Proceeding of the Global Summit on Education GSE 2014 (e-ISBN 978-967-11768-5-6)
4-5 March 2014, Kuala Lumpur, MALAYSIA. Organized by WorldConferences.net

518

meningkatkan daya kreativiti dan inovasi guru, malah terdapat kesan positif ke atas tahap motivasi,
efikasi, dan keyakinan diri guru.
Di dalam buku Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti
(2010), telah digariskan bahawa pengetua adalah sebagai pemimpin instruksional di mana pengetua
akan menerajui pelaksanaan kurikulum dan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang
menggalakkan pemupukan budaya belajar di kalangan muridnya. Mengikut garis panduan ini,
sebagai pemimpin instruksional, pengetua perlu melaksanakan tugas-tugas seperti: 1) menentukan
matlamat dan ketetapan yang jelas, tepat dan berfokus mengenai pelaksanaan kurikulum sekolah; 2)
mengajar sejumlah waktu yang ditetapkan; 3) menjadi rujukan berkaitan teori pembelajaran,
pedagogi dan memimpin pelaksanaan pengajaran secara berkesan di samping menyebarkan amalan
terbaik pengajaran dan pembelajaran kepada gurunya di peringkat sekolah; 4) mencerap pengajaran
dan pembelajaran semua guru di mana pengetua menggunakan maklum balas pencerapan untuk
meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran; 5) menyelia hasil kerja dan pencapaian murid
secara sistematik dan berterusan; 6) menyelia perancangan pengajaran dan semua hasil kerja guru
berkaitan pengajaran dan pembelajaran secara tekal; 7) mewujudkan suasana pembelajaran yang
kondusif secara menyeluruh bagi menyokong pengajaran dan pembelajaran yang berkesan bagi
meningkatkan pencapaian akademik dan sahsiah murid; 8) mewujudkan budaya belajar yang dapat
diperlihatkan oleh hampir keseluruhan warga sekolah.
Secara keseluruhannya daripada perbincangan di atas dapatlah disimpulkan bahawa kepimpinan
instruksional ialah segala amalan tingkah laku perancangan pengetua yang jelas disampaikan
bertujuan untuk mempengaruhi, memberi bimbingan, dan dorongan kepada guru dan murid dalam
usaha menambah baik dan meningkatkan program-program berkaitan proses pengajaran dan
pembelajaran bagi mencapai matlamat akademik sekolah yang ditetapkan. Ini termasuklah dalam
memastikan pelaksanaan sesuatu perubahan pendidikan berjaya mencapai matlamatnya di sekolah.

4. Model Kepimpinan Instruksional Hallinger & Murphy (1985)


Model Kepimpinan Instruksional Hallinger dan Murphy (1985) telah dibangunkan oleh Philip
Hallinger dan Joseph Murphy dengan menggariskan tiga dimensi utama kepimpinan instruksional
iaitu (1) menentukan misi sekolah, (2) menguruskan program pengajaran, dan (3) mewujudkan iklim
pembelajaran sekolah. Terdapat sepuluh fungsi kepimpinan bagi dimensi kepimpinan instruksional
di dalam model ini iaitu merangka matlamat sekolah, menyampaikan matlamat sekolah, menyelia
dan menilai pengajaran, menyelaras kurikulum, memantau kemajuan murid, mengawal waktu
pengajaran, mengekalkan ketampakan, menyediakan insentif untuk guru, menggalakkan
pembangunan profesional, dan menyediakan insentif untuk pembelajaran. Model tersebut adalah
seperti Rajah 1:

Proceeding of the Global Summit on Education GSE 2014 (e-ISBN 978-967-11768-5-6)


4-5 March 2014, Kuala Lumpur, MALAYSIA. Organized by WorldConferences.net

519

Menentukan misi
sekolah

Menguruskan
Program Pengajaran

Mewujudkan Iklim
Pembelajaran
Sekolah

Merangka
matlamat
sekolah

Menyelia dan
menilai
pengajaran

Mengawal
waktu
pengajaran

Menyampaikan
matlamat
sekolah

Menyelaras
kurikulum

Mengekalkan
ketampakan

Memantau
kemajuan murid

Menyediakan
insentif untuk
guru

Menggalakkan
pembangunan
profesional
Menyediakan
insentif untuk
pembelajaran

Rajah 1: Model Kepimpinan Instruksional Hallinger & Murphy (1985)


Hallinger dan Murphy (1985) telah menerangkan tentang tiga dimensi dan sepuluh fungsi
kepimpinan yang terdapat dalam model kepimpinan instruksional mereka. Dimensi pertama iaitu
menentukan misi sekolah yang mempunyai dua fungsi iaitu pengetua merangka matlamat sekolah
serta menyampaikan matlamat sekolah. Kedua-dua fungsi ini adalah untuk memastikan pengetua
bekerjasama dengan guru-guru bagi menentukan misi yang jelas dan boleh dicapai terutamanya
dalam bidang akademik pelajar. Sehubungan itu, adalah menjadi tanggungjawab pengetua sebagai
pemimpin instruksional menyampaikan matlamat sekolah dengan berkomunikasi supaya diketahui
oleh semua warga sekolah termasuk ibu bapa pelajar. Ini dapat dilakukan dengan saluran
komunikasi formal dan tidak formal seperti melalui bahan edaran, mesyuarat mingguan sekolah,
perhimpunan sekolah, perbincangan dengan guru dan staf, papan kenyataan sekolah, dan
sebagainya.
Manakala dimensi kedua iaitu menguruskan program pengajaran di mana pengetua perlu memberi
tumpuan pada penyelarasan dan kawalan arahan dan kurikulum. Ini merangkumi tiga fungsi iaitu
menyelia dan menilai pengajaran, menyelaras kurikulum, dan memantau kemajuan murid.
Berdasarkan kepada tiga fungsi yang disebutkan, pengetua mesti melibatkan diri secara menyeluruh
dalam bidang pembangunan akademik di sekolah. Dalam model ini, pembangunan akademik pelajar
merupakan aspek utama yang menjadi tanggungjawab utama pengetua. Pengetua harus melibatkan
usaha bersama guru dalam mengurus bidang kurikulum sekolah. Selain itu, pengetua juga perlu
membuat lawatan bagi tujuan penyeliaan guru bagi menyelaraskan amalan-amalan guru dalam bilik
darjah. Seterusnya, pengetua juga perlu memantau kemajuan pelajar berdasarkan kepada
keputusan analisa peperiksaan supaya program-program kemajuan akademik dapat dibuat
penambahbaikan agar matlamat sekolah tercapai.
Dimensi ketiga iaitu mewujudkan iklim pembelajaran sekolah merangkumi lima fungsi iaitu
mengawal waktu pengajaran, mengekalkan ketampakan, menyediakan insentif untuk guru,
menggalakkan pembangunan professional, dan menyediakan insentif untuk pembelajaran.
Menerusi dimensi ini, ia menyokong pendapat berkaitan sekolah yang berkesan akan mewujudkan
tekanan akademik bagi memastikan tahap dan jangkaan yang tinggi perlu dicapai dengan usaha
penambahbaikan yang berterusan (Hallinger, 2011). Pengetua juga seharusnya terlibat bersamasama dengan guru dan murid bagi menjayakan setiap program dan aktiviti sekolah. Pemimpin
Proceeding of the Global Summit on Education GSE 2014 (e-ISBN 978-967-11768-5-6)
4-5 March 2014, Kuala Lumpur, MALAYSIA. Organized by WorldConferences.net

520

instruksional perlu memberikan galakan dan bimbingan kepada guru serta memberikan insentif
kepada guru-guru dan murid-murid. Pengetua turut mempunyai tanggungjawab kepimpinan
instruksional untuk menyelaraskan piawaian dan amalan sekolah berdasarkan misi dan mewujudkan
sokongan terhadap iklim pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
5. Kepimpinan Instruksional dalam Melaksanakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)
Apabila sesuatu perubahan diperkenalkan di sekolah seperti sistem PBS, pengetua sebagai
pemimpin instruksional adalah dipertanggungjawabkan bagi mengimplementasikan perubahan
tersebut. Berjaya atau gagal perubahan itu bergantung kepada pengetua sesebuah sekolah
(Hussein, 2008). Pengetua mesti bersedia untuk menghadapi segala cabaran dan melaksanakan
perubahan demi kecemerlangan organisasi sekolah. Pendapat ini turut disokong oleh Azhari (2002)
di mana dinyatakan pengetua adalah agen perubahan di peringkat sekolah dan sebagai agen
perubahan, pengetua bertanggungjawab untuk memberi sokongan, membantu, membimbing dan
menggalakkan guru-guru untuk mengamalkan serta melaksanakan sesuatu perubahan dan inovasi
pendidikan di sekolah secara berkesan agar matlamat yang hendak dicapai terlaksana dan dapat
memberi manfaat kepada murid-murid khasnya.
Dalam memainkan peranannya sebagai pemimpin instruksional, pengetua perlu merangka dan
menyampaikan matlamat yang hendak dicapai apabila berlakunya perubahan seperti dalam sistem
PBS. Ini dapat dilakukan dengan menggunakan kaedah formal dan tidak formal seperti
menggunakan data keputusan peperiksaan sekolah, mendapatkan input daripada para guru, dan
menjalankan penyelidikan bagi membangunkan satu set matlamat yang berfokus berkaitan perkara
yang hendak dicapai dalam PBS di sekolah. Green & Cypress (2009) turut menyokong dengan
menyatakan bahawa terdapat beberapa faktor yang penting untuk diberi perhatian semasa
melaksanakan perubahan di sekolah. Ini termasuk pengetua perlu menyediakan suatu pelan
tindakan berdasarkan kepada penyelidikan di sekolah tentang perubahan yang perlu dilaksanakan
serta bersedia untuk mengubah suai pelan tindakan mengikut keperluan perubahan. Seterusnya,
matlamat yang dibina perlulah difahami oleh guru-guru supaya para guru dapat menterjemahkannya
dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Sehubungan itu, para guru perlu
dimaklumkan tentang tugas dan tanggungjawab yang jelas bagi menjalankan sistem PBS. Peranan
pengetua adalah untuk melibatkan semua pihak bagi memahami dan berkongsi matlamat dalam
melaksanakan aktiviti-aktiviti sekolah dan bilik darjah dalam sistem PBS. Oleh itu, struktur organisasi
yang dibentuk dengan jelas tentang tugasan dan matlamat tugasan adalah penting bagi
melaksanakan perubahan yang diperlukan.
Tanggungjawab pengetua sebagai pemimpin instruksional adalah untuk memastikan matlamat PBS
yang telah dibina disebarkan kepada seluruh warga sekolah dengan cara menyampaikannya dengan
berkesan secara meluas dengan pelbagai media seperti di dalam mesyuarat guru, perhimpunan
sekolah, perbincangan dengan guru-guru dan murid-murid serta dipamerkan matlamat tersebut di
papan kenyataan di sekitar sekolah. Ini bertepatan dengan laporan Green & Cypress (2009) dan
McEwan (2002) di mana dinyatakan pengetua juga mestilah berpengetahuan, berpengalaman, dan
mampu untuk menjelaskan matlamat sekolah kepada guru-guru bagi membina kepercayaan untuk
perubahan serta menghindarkan perasaan kerisauan dan ketakutan untuk melakukan perubahan di
sekolah. Hubungan komunikasi perlu wujud bagi memastikan segala matlamat perubahan difahami
di antara pihak pengetua, guru-guru, dan murid-murid.
Seterusnya, pengetua instruksional hendaklah menguruskan program pengajaran yang perlu
dijalankan berdasarkan sistem PBS di sekolah. Ini termasuklah menyelia dan menilai pengajaran
guru, meyelaras kurikulum, dan memantau kemajuan murid. Apabila pengetua menyelia dan
menilai pengajaran guru, beliau perlu memastikan keutamaan yang ditekankan oleh guru dalam bilik
darjah adalah selari dengan matlamat PBS yang telah dibina. Pencerapan secara tidak formal boleh
Proceeding of the Global Summit on Education GSE 2014 (e-ISBN 978-967-11768-5-6)
4-5 March 2014, Kuala Lumpur, MALAYSIA. Organized by WorldConferences.net

521

dilakukan bagi memantau proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah termasuklah
menyemak buku latihan murid bagi memastikan para guru melaksanakan PBS di dalam bilik darjah.
Selepas pencerapan dilakukan, pengetua perlu memaklumkan kepada para guru tentang kekuatan
dan kelemahan amalan pengajaran mereka supaya amalan-amalan pengajaran guru adalah selaras
dengan matlamat PBS yang hendak dicapai. Malah di dalam buku panduan Standard Kualiti
Pendidikan Malaysia (SKPM) oleh pihak Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (2010), telah digariskan
bahawa pengetua di sekolah Malaysia adalah sebagai pemimpin instruksional di mana pengetua
akan menerajui pelaksanaan kurikulum dan menjalankan pencerapan terhadap guru serta
menggunakan maklum balas pencerapan bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.
Mattar (2012) turut menyatakan pemimpin instruksional melibatkan guru-guru dalam perancangan
dan persediaan bahan pengajaran, berbincang hal-hal berkaitan pengajaran, dan mengadakan
lawatan ke kelas bagi tujuan penyeliaan.
Di dalam memastikan pelaksanaan PBS berjalan lancar, pengetua perlu bekerjasama dengan semua
pihak di peringkat pentadbiran di sekolah seperti penolong kanan, ketua bidang, dan ketua panitia
bagi menetapkan individu yang bertanggungjawab menyelaras pelaksanaan PBS di sekolah. Malah
pengetua boleh melibatkan guru pada peringkat perancangan dan pembuatan keputusan dalam
melaksanakan proses perubahan di mana ini akan meningkatkan tahap kesediaan perubahan (Alas,
2008) di kalangan guru di sekolah. Segala keputusan berkaitan pelaksanaan PBS perlu dibincangkan
bersama pihak pentadbiran sekolah supaya pelaksanaanya adalah mencakupi objektif kurikulum
sekolah dan tidak bertindih antara objektif kurikulum sekolah dengan pencapaian murid dalam ujian
sekolah. Penglibatan pengetua secara aktif juga perlu bagi menilai semula bahan-bahan yang
digunakan oleh para guru semasa pelaksanaan PBS di dalam bilik darjah. Ini menunjukkan bahawa
sokongan dan bantuan daripada pengetua dapat memastikan pelaksanaan PBS dijalankan dengan
lebih berkesan. Ini disokong oleh satu kajian yang dijalankan oleh Fullan (1991) di mana beliau
mendapati pengetua yang berperanan sebagai pemimpin instruksional dapat melaksanakan
perubahan di sekolah dengan berkesan kerana mereka mementingkan aktiviti pengajaran, membina
budaya kerja bekerjasama di kalangan guru, menyediakan bantuan, memantau kemajuan
perubahan, dan menyokong guru dalam melaksanakan perubahan.
Adalah menjadi tanggungjawab pengetua instruksional untuk memastikan kemajuan murid-murid di
sekolah dipantau dalam menjalankan PBS di dalam bilik darjah. Ini termasuklah dengan
mengadakan perbincangan dengan guru secara individu bagi mengenal pasti perkembangan prestasi
pencapaian murid dalam PBS supaya dapat dijalankan program-program pemulihan dan pengukuhan
bagi murid-murid yang memerlukannya. Pengetua juga perlu menggunakan keputusan prestasi
pencapaian murid dalam PBS bagi menilai kemajuan terhadap matlamat sekolah seperti yang telah
ditetapkan. Makluman secara lisan dan bertulis berkaitan keputusan prestasi sekolah perlu
disampaikan kepada guru-guru dan murid-murid pada masa yang ditetapkan.
Bagi mewujudkan iklim pembelajaran sekolah yang berfokus kepada PBS, pengetua instruksional
perlu memainkan peranan untuk mengawal waktu pengajaran, mengekalkan ketampakan,
menyediakan insentif untuk guru, menggalakkan pembangunan profesional, dan menyediakan
insentif untuk pembelajaran. Di dalam melaksanakan PBS, terdapat banyak aktiviti yang perlu
dilaksanakan oleh murid-murid di dalam bilik darjah. Sehubungan itu, bagi memastikan tumpuan
murid-murid adalah terhadap aktiviti PBS yang dijalankan di dalam bilik darjah, pengetua perlu
mengawal gangguan terhadap masa pengajaran dan pembelajaran seperti yang disebabkan oleh
pengumuman awam, murid di panggil ke pejabat, atau gangguan aktiviti kokurikulum semasa sesi
pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung. Pengetua perlu pastikan murid-murid yang
lewat atau ponteng kelas diambil tindakan akibat kehilangan masa pembelajaran supaya mereka
sedar tentang kepentingan berada di dalam bilik darjah semasa aktiviti pengajaran dan
pembelajaran berlangsung. Para guru juga perlu digalakkan untuk menggunakan masa pengajaran
sepenuhnya dengan menjalankan aktiviti-aktiviti PBS dengan menggunakan kemahiran yang baru
Proceeding of the Global Summit on Education GSE 2014 (e-ISBN 978-967-11768-5-6)
4-5 March 2014, Kuala Lumpur, MALAYSIA. Organized by WorldConferences.net

522

untuk menarik perhatian murid-murid. Oleh itu, pengetua harus memainkan peranan sebagai
pemimpin instruksional dalam melaksanakan perubahan pendidikan bagi menyediakan iklim
sekolah yang kondusif untuk pembelajaran murid (Hallinger, 2003).
Bagi mendapatkan pandangan daripada guru-guru dan murid-murid berkaitan pelaksanaan PBS,
pengetua instruksional perlu meluangkan masa untuk berinteraksi dengan mereka semasa waktu
rehat atau mengadakan lawatan terus ke bilik darjah. Pengetua boleh mengambil alih bilik darjah
sementara menunggu guru yang tiba lewat atau guru ganti, malah boleh mengajar murid-murid di
dalam bilik darjah. Selain itu, semasa aktiviti kokurikulum dijalankan, pengetua perlu menghadiri
dan mengambil bahagian dalam aktiviti tersebut bersama-sama guru dan murid-murid bagi tujuan
mengekalkan ketampakan di sekolah. Dapatan kajian Jamelaa (2012) menunjukkan kepentingan
membentuk suasana sekolah yang mesra oleh pengetua di mana ia merupakan pemboleh ubah
peramal yang tertinggi dan menyumbang sebanyak 59.2% bagi sikap terhadap perubahan (=0.420,
R2=0.592, t= 11.0064 dan p=0.000). Ini menunjukkan bahawa adalah penting bagi pengetua
instruksional untuk sentiasa berinteraksi dengan warga sekolah supaya sikap mereka adalah positif
terhadap pelaksanaan perubahan PBS. Selain itu, bagi meningkatkan motivasi para guru untuk
menjalankan PBS dengan lancar, pengetua instruksional perlu memberikan insentif yang sesuai
untuk para guru. Ini termasuklah dengan memberikan peneguhan ke atas prestasi cemerlang guru
melalui pelbagai kaedah seperti di dalam mesyuarat guru, menghantar memo, atau menerusi
penerbitan buletin sekolah. Pengetua juga boleh memberikan pujian kepada guru secara peribadi
serta mengiktiraf prestasi cemerlang guru secara bertulis untuk disimpan di dalam fail peribadi guru.
Guru-guru yang gigih berusaha dalam melaksanakan PBS turut perlu diberikan penghargaan dan
ganjaran dengan mewujudkan peluang kemajuan profesional di atas sumbangan mereka kepada
sekolah.
Di dalam menggalakkan pembangunan professional guru, pengetua perlu pastikan kursus latihan
dalam perkhidmatan (LADP) yang dihadiri oleh guru adalah selari dengan matlamat yang hendak
dicapai di dalam PBS di sekolah. Sokongan dan galakan yang kuat perlu diberikan kepada guru-guru
untuk menggunakan kemahiran baru yang diperoleh daripada kursus LADP yang dihadiri apabila
mengendalikan PBS di dalam bilik darjah. Pengetua perlu mengetuai dan menghadiri kursus LADP
yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran PBS yang dianjurkan di sekolah bagi
mendapatkan penyertaan guru-guru. Ini adalah penting supaya guru-guru dapat berbincang dan
berkongsi idea atau maklumat semasa kursus LADP dijalankan bersama pengetua. Hussein (2008)
merumuskan pengetua instruksional yang menyokong perubahan di sekolah akan menyediakan
maklumat dan latihan bagi meningkatkan kreativiti dan motivasi para guru. Ini turut disokong oleh
kenyataan bahawa pengetua instruksional perlu memberikan sokongan serta menyediakan peluang
perkembangan profesional kepada guru-guru agar mereka lebih bersedia dengan kemahiran yang
diperlukan seterusnya akan mewujudkan komitmen untuk melaksanakan perubahan yang
diperlukan di sekolah (Hallinger, 2003; Hallinger & Heck, 1998).
Sebagai pengetua instruksional, pengetua juga perlu memberikan dorongan dan pengiktirafan
kepada perkembangan pembelajaran murid-murid di sekolah. Pengetua perlu memberikan insentif
kepada pembelajaran murid-murid dengan mengiktiraf murid-murid yang menunjukkan hasil kerja
yang cemerlang dan tingkah laku yang terpuji dalam melaksanakan PBS dengan memaklumkannya
semasa perhimpunan sekolah serta menyampaikan sijil pencapaian atau sijil penghargaan kepada
mereka sebagai tanda galakan dan sebagai contoh kepada murid-murid yang lain. Selain itu, muridmurid yang menunjukkan peningkatan presatsi atau pencapaian cemerlang dalam PBS boleh juga
dipanggil ke pejabat untuk diberikan kata-kata penghargaan daripada pengetua secara peribadi.
Malah ibu bapa murid-murid juga perlu dihubungi bagi memaklumkan tentang peningkatan
pencapaian atau sumbangan mereka dalam menjalankan PBS di dalam bilik darjah. Akhirnya,
pengetua instruksional juga perlu menyokong kuat guru-guru dalam mengiktiraf sumbangan dan
kejayaan murid-murid semasa pelaksanaan PBS di dalam bilik darjah.
Proceeding of the Global Summit on Education GSE 2014 (e-ISBN 978-967-11768-5-6)
4-5 March 2014, Kuala Lumpur, MALAYSIA. Organized by WorldConferences.net

523

6. Kesimpulan
Kepimpinan instruksional pengetua dilihat sebagai kepimpinan yang memberi kesan yang positif
dalam menyediakan guru-guru ke arah melaksanakan perubahan (Hallinger, 2003; Hallinger & Heck,
1998; Jainabee & Jamelaa, 2011; Jamelaa & Jainabee, 2011; Kursunoglu & Tanrogen, 2009).
Pengetua yang berkesan adalah proaktif, terutamanya berkaitan dengan pengajaran dan
kepentingan murid-murid serta bertindak sebagai pemimpin instruksional (Leithwood &
Montgomery, 1982). Keupayaan pemimpin sekolah yang mampu melaksanakan perubahan di
sekolah turut menjadi petunjuk yang membezakan antara sekolah yang berjaya dengan sekolah yang
sebaliknya (Tuan Roslina, 2008). Dengan sistem pendidikan yang berkembang dan berubah, peranan
yang dijangka daripada pengetua sekolah sebagai pemimpin instruksional telah menjadi semakin
kompleks. Pengetua sekolah perlu sedar bahawa mereka harus berubah dahulu bagi melaksanakan
transformasi di sekolah dan menunjukkan sokongan terhadap perubahan ini. Sebarang perubahan
pendidikan yang dilaksanakan mempunyai kesan terhadap beberapa perubahan peranan dan
tingkah laku pengetua yang terlibat dengan perubahan tersebut. Oleh itu, pengetua instruksional
sebagai agen perubahan mesti menguasai kecekapan-kecekapan baru yang diperlukan bagi
melaksanakan perubahan tersebut. Proses ini melibatkan amalan seperti mengetepikan amalan
amalan lama dan dalam masa yang sama menguasai kemahiran-kemahiran baru dan
mengamalkannya.

Rujukan
Alas, R. (2008). The Impact of Work-Related Values on the Readiness to Change in Estonian
Organizations. Journal of Business Ethics, 86(2), 113124.
Azahari, J. (2002). Persepsi Guru Terhadap Peranan Pengetua Sebagai Agen Perubahan: Satu Kajian
di Sebuah Sekolah di Jasin, Melaka. Laporan Penyelidikan Sarjana, Universiti Malaya.
Blas, J., & Blas, J. (2002). Teachers' Perception of Principals' Instructional Leadership and
Implications. Leadership and Policy in Schools, 1 (3), 256-264.
Boohene, R., & Williams, A. A. (2012). Resistance to Organisational Change: A Case Study of Oti
Yeboah Complex Limited. International Business and Management, 4(1), 135145.
Carrier, L. (2011). What Is Instructional Leadership And What Does It Look Like In Practice? A MultiCase Case Study Of Elementary School Principals Who Have Led Schools From Being Identified
As Under Performing To Performing. Doctoral Dissertation.University of Massachusetts
Amherst.
Chase, L. M. (2009). Instrument Development: Assessing Solutions for Managing Change and
Organizational Readiness. Doctoral Dissertation. Colorado State University.
Drzensky, F., Egold, N., & Dick, R. V. (2012). Ready for a Change? A Longitudinal Study of
Antecedents, Consequences, and Contingencies of Readiness for Change. Journal of Change
Management, 12(1), 95111.
Fullan, M. (1991). The New Meaning of Educational Change. 2nd edition. New York: Teachers College
Press.
Green, R. L., & Cypress, S. L. (2009). Instructional Leadership: A Model for Change in Alternative
Middle Schools. Middle Grades Research Journal, 4(3), 1941.
Hallinger, P. (2003). Leading Educational Change: Reflections on the Practice of Instructional and
Transformational Leadership. Cambridge Journal of Education, 33(3), 329352.
Hallinger, P. (2011). A Review of Three Decades of Doctoral Studies Using the Principal Instructional
Management Rating Scale: A Lens on Methodological Progress in Educational Leadership.
Educational Administration Quarterly, 47(2), 271306.
Proceeding of the Global Summit on Education GSE 2014 (e-ISBN 978-967-11768-5-6)
4-5 March 2014, Kuala Lumpur, MALAYSIA. Organized by WorldConferences.net

524

Hallinger, P. (2012). A Data-Driven Approach To Assess And Develop Instructional Leadership with
the PIMRS. In Shen, J., Tools for improving principals work (pp. 4769). New York: Peter Lang
Publishing.
Hallinger, P., & Heck, R. H. (1998). Exploring the Principals Contribution to School Effectiveness:
19801995. School Effectiveness and School Improvement, 9(2), 157191.
Hallinger, P., & Murphy, J. (1985). Assessing the Instructional Management Behavior of Principals.
The Elementary School Journal, 86(2), 217247.
Hallinger, P., Taraseina, P., & Miller, J. (1994). Assessing the Instructional Leadership of Secondary
School Principals in Thailand. School Effectiveness and School Improvement, 5(4), 321348.
Hussein, M. (2008). Kepimpinanan dan Keberkesanan Sekolah. Edisi Kedua. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Jamelaa, B. A. (2012). Amalan Kepimpinan Instruksional dan Sikap Terhadap Perubahan Dalam
Kalangan Pengetua Sekolah Menengah di Negeri Pahang. Tesis Dr. Fal. Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Jamelaa, B. A. & Jainabee, M. K. (2011). Instructional leadership and Attitude towards Organizational
Change among Secondary Schools Principal in Pahang, Malaysia. Procedia - Social and
Behavioral Sciences, 15(2011), 33043309.
Jainabee, M. K., & Jamelaa, B. A. (2011). Promoting Learning Environment and Attitude towards
Change among Secondary School Principals in Pahang Malaysia: Teachers Perceptions. Procedia
- Social and Behavioral Sciences, 28(2011), 4549.
Kursunoglu, A., & Tanrogen, A. (2009). The Relationship between Teachers Perceptions towards
Instructional Leadership Behaviors of their Principals and Teachers Attitudes towards Change.
Procedia - Social and Behavioral Sciences, 1(1), 252258.
Leithwood, K., & Montgomery,D. (1982). A Framework for Planned Educational Change: Application
to the Assessment of Program Implementation. Educational Evaluation and Policy Analysis, 4(2),
157-167.
Mattar, D. (2012). Instructional Leadership in Lebanese Public Schools. Educational Management
Administration & Leadership, 40(4), 509531.
McEwan, E. K. (2002). Seven Steps to Effective Instructional Leadership. Thousand Oaks, California:
Corwin Press.
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (Pendidikan Prasekolah hingga Lepas
Menengah). (2013). Putrajaya: Kementerian Pelajaran Malaysia.
Pelan Strategik Interim Kementerian Pelajaran Malaysia 2011-2020. (2012). Putrajaya: Kementerian
Pelajaran Malaysia.
Sahin, S. (2011). Instructional Leadership In Turkey And The United States: Teachers Perspectives.
Problems of Education In The 21st Century, 34(2011), 122137.
Standard Kualiti Pendidikan Malaysia 2010. (2010). Putrajaya: Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti.
Tan Huat Tian. (2010). Peranan Pengetua Sebagai Fasilitator Perubahan Dalam Mengurus Integrasi
ICT Sebagai Satu Inovasi Pendidikan. Tesis Dr. Fal. Universiti Sains Malaysia.
Tuan Roslina. (2008). Peranan Pengetua Sebagai Pemimpin Pengajaran Di Sekolah Berkesan di
Seremban. Laporan Penyelidikan Sarjana. Universiti Malaya.

Proceeding of the Global Summit on Education GSE 2014 (e-ISBN 978-967-11768-5-6)


4-5 March 2014, Kuala Lumpur, MALAYSIA. Organized by WorldConferences.net

525

You might also like