You are on page 1of 15

Latar Belakang Hidup Informan

Pok Jok Rodat atau nama sebenarnya Razak Bin Senik adalah anak jati Kampung Surau
Panjang yang terletak dalam lingkungan daerah Marang. Beliau cukup dikenali ramai dengan
nama Pok Jak Rodat atau Pok Jak Wayang Kulit kerana penglibatannya dalam kedua-dua bidang
kesenian tersebut. Pok Jak ketika ini giat dan aktif membuat persembahan rodat, wayang kulit
dan silat bersama-sama anak-anak buahnya di seluruh negeri Terengganu. Beliau biasa
mengadakan persembahan di lain-lain negeri di Semenanjung Malaysia. Beliau juga pernah
berkunjung ke Singapura dan Taiwan bagi mengadakan persembahan Wayang Kulit Pok Sof
anjuran Kerajaan Negeri Terengganu.

Pok Jak mula menceburi bidang itu sejak berusia 16 tahun daripada seorang pelopor seni
itu yang digelar sebagai `Pok Mi’ di kalangan penduduk kampung. Seni rodat yang
dipersembahkan Pok Mi dan kumpulannya ketika itu menyebabkan kawasan sesak dengan
penduduk tempatan yang setia menanti hingga tamat persembahan. Katanya, ketika itu rodat
membawa banyak lagu dan mengambil masa sehingga enam dan tujuh jam lamanya, berbanding
sekarang hanya sejam atau lebih dalam satu-satu persembahan kebudayaan dan majlis
keraian.Menurut Pok Jak, selepas dua tahun mengikut tunjuk ajar Pok Mi, Pok Jak kemudiannya
menurunkan pula ilmu kepada rakan sebaya serta golongan muda yang lain dengan hasrat seni
itu terus berakar umbi hingga bila-bila. Sambil itu beliau turut mempelajari 'Silat Tarian Serama'
dan telah mula membuat peralatan muzik tradisional. Dalam bidang kesenian wayang kulit pula,
beliau telah diajak turut serta dalam Wayang Kulit Pok Sof oleh Allahyarham Pok Sof sendiri
yang begitu terkenal ketika itu dengan kumpulan wayang kulitnya. Kini, beliau giat mengadakan
kelas rodat di sebuah bangsal berdekatan rumahnya di Kampung Surau Panjang. Beliau
mempunyai lebih kurang 10 orang pada satu-satu masa yang mengikuti kelas yang dibina atas
usaha sendiri tanpa bantuan daripada mana-mana pihak.

Beliau turut berkata bahawa kesenian rodat masih lagi berjaya dipertahankan kerana
beliau terus memperjuangkannya sehingga kini.“Saya sayangkan seni warisan ini. Malah, saya
tekun memberi latihan dua kali seminggu kepada anak muda dan mereka mampu menguasai
kemahiran persembahan rodat dengan tunjuk ajar saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di
Kampung Surau Panjang, baru-baru ini.
Umumnya persembahan rodat terdiri daripada beberapa peringkat atau fasa persembahan.
Namun pada dasarnya di awal penubuhan kumpulan rodat di Terengganu hanya terdapat dua
watak atau kumpulan utama iaitu kumpulan pengadi selaku penepuk tar yang terdiri daripada
golongan lelaki dan kumpulan pelenggok sebagai penyanyi dan penari yang juga daripada
golongan lelaki.

Perubahan telah berlaku di era 40-an dengan memperkenalkan watak Mak Inang sebagai
penari dan penyanyi yang terdiri daripada golongan wanita. Sehinggalah hari ini, corak
persembahan rodat telah banyak mengalami perubahan sama ada dari segi struktur organisasi,
lagu dan juga cara persembahan.Menurut Pok Jak, biasanya struktur kumpulan utama rodat yang
dipeloporinya terdiri daripada enam hingga lapan orang pengadi (pemukul rebana), lapan
pelenggok (penari) dan lima orang mak inang.“Kebiasannya, persembahan rodat dimulakan
dengan kumpulan pengadi bersama pelenggok akan menyampaikan sebuah lagu pembuka
pentas,” kata Pok Jak yang bekerja tetap sebagai penjaja keropok .Katanya, lagu yang sering
digunakan ialah lagu selawat yang dipersembahkan dalam posisi duduk selama kira-kira lima
belas minit. Setelah lagu pembukaan pentas dinyanyikan, lazimnya ketua pengadi akan
memulakan persembahan dengan `Bismillahi Muala Nab Tadaina’ iaitu sebuah bentuk zikir
selepas lagu selawat dinyanyikan. Kemudian para pengadi akan mengulangi fasa ini sambil
disahut oleh pelenggok. Begitulah seterusnya di mana lagu-lagu berbentuk puji-pujian kepada
Allah SWT dan Rasulullah SAW yang dinyanyikan secara beramai-ramai oleh pelenggok sambil
sesekali disahut oleh pengadi dengan iringan paluan rebana tar.

Seorang pelapis seni berkenaan yang juga anak didik Pok Jak, Mohd Hafizi Din, 16,
berkata dia amat meminati seni rodat dan sudah empat tahun berjinak-jinak dengan seni itu
sebagai pengadi (pemukul rebana).“Saya tak mau seni ini hilang begitu saja tanpa ada
pewarisnya. Sebab itulah saya bersungguh-sungguh menyertai kumpulan rodat ini dan akan
meneruskannya sehingga dewasa kelak. Malah, saya harap lebih ramai rakan sebaya
menyertainya,” katanya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Mansor
Kuala Terengganu.

Dalam pada itu, Kumpulan Rodat Kampung Surau Panjang sudah menyertai pelbagai
pertandingan dan persembahan peringkat nasional mahupun antarabangsa seperti di Hong Kong,
Taiwan dan Singapura. Menurut Pok Jak, seni yang mengetengahkan lagu-lagu yang bersahut-
sahutan yang diungkap dalam bahasa Arab yang dipetik dan disalin daripada kitab Hadrah.

Oleh yang demikian, sesetengah pendapat ada menyatakan bahawa seni persembahan
rodat ini berasal dari Tanah Arab. Kenyataan ini diperkukuhkan lagi apabila dilihat perkataan
rodat itu sendiri wujud dalam perbendaharaan kata Arab yang membawa maksud berulang-alik,
bersahut-sahutan, bersatu kembali atau juga berbalas-balas.“Seni tradisional rodat ini adalah
keunikan dari segi persembahan dan mesej yang ingin disampaikan serta diperkuatkan lagi
dengan seni yang berunsurkan Islam serta sangat dihormati kerana merakamkan pujian kepada
Tuhan dan sejarah hidup para Rasul, “kata Pok Jak lagi.

Kesenian hasil kerja tangannya pada pembuatan perkakasan serta peralatan muzik seperti
gendang rebana serta watak-watak wayang kulit begitu ketara sehingga beliau telah
dianugerahkan ‘Anugerah Seni Negeri Terengganu 2005 - Kategori Karyawan Seni (Seni
Muzik)’ oleh Kerajaan Negeri Terengganu yang mana anugerah tersebut telah disampaikan oleh
Menteri Besar Terengganu ketika itu iaitu Y.A.B. Dato’ Seri Idris Jusoh di Dewan Besar Wisma
Darul Iman dalam satu majlis keramaian Kerajaan Negeri Terengganu.

Hasil kerja tangannya ini begitu mendapat tempat di kalangan pengiat seni muzik
tempatan yang mana beliau selalu mendapat tempahan daripada dalam dan luar Negeri
Terengganu seperti dari Kelantan, Pahang, Melaka dan lain-lain lagi.
Lagu Rodat

Persembahan seni Rodat dikatakan mempunyai 50 hingga 60 jenis lagu,namun pada suatu
ketika dahulu antara lagu yang masih popular dimainkan sehingga kini yang terkandung dalam
kitab Hadrah adalah seperti berikut:

 Ya Hayyum Ya Qayyum
(Nama-nama tuhan yang menghidupkan)
 Allah La illa ha illallah
(tiada tuhan yang disembah melainkan Allah)
 La illa ha illa Ya Karim
(tidak ada tuhan melainkan Engkau)
 Ya Rasul Ya RAsulullah
(wahai Rasul wahai Pesuruh Allah)
 Zikri Nabi Al-Mukhtar
(nabi yang terpuji)
 Sillatullah
(hubungan dengan tuhan)

Saya melihat pada awal penubuhan kumpulan Rodat, lagu-lagu yang dipersembahkan pada
umumnya adalah berbentuk puji-pujian kepada Allah s.w.t serta Nabi dan Rasulullah s.a.w.
Senikata lagu-lagunya pula dinyanyikan dalam bahasa Arab. Namun,pada ketika itu struktur
kumpulan Rodat yang ada hanya terdiri daripada kaum lelaki sahaja bersesuaian dengan apa
yang disampaikan melalui lagu-lagu dalam persembahan Rodat tadi. Berikut adalah satu
daripada senikata sebuah lagu berbahasa Arab yang popular dan yang diberi oleh En. Razak bin
Senik dalam tugasan ini.

Ya La Mu Yahayun

Muyya La Na Qayyum

Mu Yahaye Allah Qalu La Bitaya


Ni Ashallilana Lana Ladihama

Bia Duniwa, Allah Niwa Ladunia

Jika dilihat dalam lagu-lagu Rodat, fungsi lagu itu sendiri dalam masyarakat adalah untuk
menyampaikan nasihat, pengajaran dan mesej-mesej puji-pujian kepada Allah s.w.t dan Rasul
kerana dalam lagu Rodat itu sendiri terdapat unsur-unsur nasihat dan pengajaran. Hal ini dapat
dilihat daripada salah satu nyanyian lagu Rodat yang terkandung dalam kitab Hadrah sebagai
lagu permulaan persembahan yang dinyanyikan selepas lagu selawat (pembukaan pentas).
Maksudnya adalah lebih kurang berikut:

1. Tuhanku sesungguhnya aku memohon dengan namaMu yang Agung dan ketinggian
darjatMu yang mulia, penuhilah segala permintaan kami terhadapMu.

Dengan nama Allah Maha Pelindung, kami mulakan,


Segala puji-pujian di atas nikmatMu kami ungkapkan,

Kami berhubung denganMu setiap perkara,


agar dikurniakan limpahan kebaikan tuhan sekalian alam,

Dan dengan nama-namamu yang terungkap di dalam Nas (Al-Quran, di sebalik yang
terselindung itu menyimpan segala kebaikan dan kebenaran,

Dengan setiap kitab yang dinuzulkan oleh-Nya jua,dan Al-Quran sebagai penawar buat
orang mukmin semua,

Dan di puncak yang sunyi, kami berhubung denganMu agar dikurniakan ketenangan,
kerana inilah tradisi yang diamalkan oleh nabi-nabi dan rasul-rasul kami,

Dan ahli keluarga dan sahabat-sahabat semuanya, kami berhubung serta mengikut segala
petunjuk pada tabi in segalanya,

Setiap golongan pemerintah itu kami berseru,setiap yang diramal itu Allah jua yang
mengetahui segalanya,

Dan para Ulama’ itu pesuruh Allah, kami muliakan, Apatah lagi setiap wali dan para
solihin,

Dan khususnya buat imam-imam yang menyebarkan kebenaran, gambaran dan darjat
yang tinggi buat Islam (agama),
Dan disusunkan ajaran itu dengan susunan yang kukuh, dan kumpulkan syariat itu agar
dikekalkan selamanya.
Maksudnya adalah lebih kurang berikut:
2. Kami menyebut serta membesarkan penghulu dengan semulia-mulia,
Maka golongkan hati- hati kami ini daripada golongan orang-orang yang benar,

Dengan kesucian agamaMu dan kehidupannya itu adalah benar, maka tentukanlah kami
di dalamnya dan yang masih berpegang dengannnya,

Dan sesungguhnya kami sentiasa melupai akan segala sifat kesempurnaanmu (pemberi
kebahagiaan dunia dan akhirat), yang menyempurnakan segala hal dan mengawal segala
hamba-Nya,

Sesungguhnya kami memohon kepadaMu tuhan Yang Maha Agung agar diampunkan
segala dosa-dosa kami dan hamba-hambamu yang lain,

Kerana dengan sifat lemah-lembutnya itu sempurna dari segala keadaan nyata mahupun
rahsia(sulit), dan kami memohon keampunan daripada-Mu sekiranya tergolong daripada
golongan orang yang berdosa,

Wahai Tuhan yang Agung, Engkau akhirlah kami ini dengan sebaik-baik urusan, kerana
Engkaulah yang selayak-layak ketentuan buat kami semua, Di sebalik arasyMu yang
terlindung itu, maka engkau gambarkan kepada kami, sesungguhnya pandangan kami ini
tidak layak buat pandanganMu,

BuatMu ya Allah kami sudahi dengan berselawat ke atas kekasihMu Muhammad, imam
segala, sebaik-baik pemberi syafaat,

Ya Allah, Engkaulah yang menghidupkan segala-galanya dan Engkaulah pentadbir,


hidupkanlah hati kami dengan kehidupanmu, Perbaikilah bagi kami segala amalan-
amalan kami sama ada dalam hal agama dan dunia,

Jauh sekali kami mengadu, wahai yang mengidupkan segal-galanya,


Jika Engkau kehendaki seseorang itu hidup, maka Engkau hidupkan dia,

Kami tidak diminta untuk dikekalkan berkekalan, kerana setiap yang kekal itu akan
sempurna segal-galanya,

Dan sesungguhnya kami berharap agar kami diberi petunjuk dan pertolongan agar
sempurna dalam kehidupan sedia kala,

Setiap jarak yang dipisahkan itu ada sebabnya kerana ia ditenrukan olehNya,

Setiap yang satu tetap menjadi satu, semoga berada adlam pertemuan yang satu,

Sesungguhnya petunjukMu itu sebagai satu petanda, bagi yang menjalani kehidupan,

Dan sesungguhnya sifatMu yang berkekalan itu akan muncul dalam keadaan pembantu
atau penolong.
Nyanyian lagu berbahasa Arab yang didendangkan adalah melibatkan paduan suara
antara pengadi dan pelenggok. Struktur dan rentak nyanyian ini pada dasarnya masih dikekalkan
hingga ke hari ini.

Namun, perubahan masa telah menyaksikan banyak kisah-kisah di dalam lagu ini
mengalami pengubahsuaian demi mengikut tuntutan para penonton yang menyaksikan
persembahan Rodat. Daripada kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa terdapat perbezaan
sebutan (Arab) daripada beberapa kumpulan Rodat yang ada sekarang yang mungkin disebabkan
oleh bilangan kitab Hadrah yang terhad dan sukar diperoleh. Tambahan pula, para pelapis yang
ada pula diajar dengan nyanyian Arab ini secara lisan sahaja.

Bentuk penyampaian ini juga turut ditambah dengan pantun-pantun Melayu dan menjadi
sebahagian daripada agenda dalam persembahan Rodat. Bentuk pantun Melayu ini dikatakan
mula diperkenalkan bersama-sama watak Mak Inang iaitu pada tahun 1940-an.

Jika dilihat, situasi berbalas pantun lazimnya berlaku dalam dua keadaan. Pertamanya,
situasi berbalas-balas pantun antara kumpulan pengadi, pelenggok dan mak inang manakala
situasi kedua berlaku hanya melibatkan kumpulan pelenggok dan mak inang sahaja.Pantun-
pantun yang disampaikan juga biasanya berbentuk empat kerat di mana rangkap-rangkap pantun
yang disampaikan itu ada hubungkaitnya dengan tempat-tempat yang menarik dan bersejarah di
negeri Terengganu khususnya. Di samping itu juga, apa yang lebih penting adalah mesej-mesej
yang ingin disampaikan adalah berunsur nasihat, pengajaran, teguran dan jenaka. Hingga kini,
persembahan Rodat telah diteruskan dengan persembahan pantun-pantun Melayu dan para
pemuisi terkenal di Terengganu turut menyumbangkan puisi pantun untuk persembahan Rodat.

Pada segmen permulaan, ianya akan dimulakan oleh pengadi. Sambil menepuk tar,
mereka mendendangkan lagu dan disambut oleh pelenggok secara bergilir-gilir dan bersahut-
sahutan dan diikuti dengan zikir petikan dari kitab Hadrah sebagaimana berikut:

Maula Sola…Tullah
Ya Lahu Ala Ya La Ahadi
Allah Ya La Ahami
Ya Allah Ya Hamila

Ya Allah Ya Rasulullah

Maulal Ima…Imamula a
Ya Lahabi Ya Iwal Mu Ala Rasalli
Ya Allah Salilla

Ya Allah Ya Rasulullah

Lagu seterusnya merupakan zikir petikan daripada halaman permulaan kitab Hadrah. Pada
segmen kedua atau pertengahan juga akan dimulakan oleh pengadi dan disambut oleh pelenggok
tetapi perbezaannya adalah di akhir segmen ini menyaksikan penyertaan mak inang yang akan
menari dan menyanyi lagu diiringi paluan tar oleh pengadi dan disambut oleh pelenggok dengan
lagu sebagaimana berikut:

Ya La Mu Yahayun…
Muyya…La Na Qayyum…
Mu Yahaye…Allah Qalu La Bitaya
Ni…Ashallilana….Lana Ladihama
Bia Duniwa, Allah Niwa…Ladunia

Lagu berikutnya merupakan zikir petikan daripada kitab Hadrah. Seterusnya diikuti dengan
ungkapan sebagaimana di bawah:

Shalula Bi nabab…Bima Ya Ulana


Di Allah Kari Ya Maula…Saya La Disana
Wasala di Kiya…Bima Ya La Ulana
Hadi Allah Wa Wa… Saliu Ya Rasulullah
Lagu berikutnya merupakan zikir petikan daripada kitab Hadrah.

Persembahan berikutnya akan diteruskan dengan nyanyian lagu yang berbentuk pantun oleh Mak
Inang dan disambut oleh pelenggok secara bergilir-gilir diiringi paluan tar oleh pengadi. Bentuk
pantun (lagu) yang sering disampaikan oleh Mak Inang adalah seperti berikut:

Hai Mudik ke hulu bersama yang lah rakit (2x)


Sambil merakit memancing ikanlah toman…Ya Allah (2x) Mak Inang
Negarilah cantik budaya menarik (2x)
Itulah tanda Terengganulah Darul Iman…Ya Allah

Ya La Mu Yahayun…
Muyya…La Na Qayyum…
Mu Yahaye…Allah Qalu La Bitaya Pelenggok
Ni…Ashallilana…Lana Ladihama
Bia Duniwa,Allah Niwa…Ladunia

Hai jikalah tuan pergilah yang ke Dungun


Hai belikan saya lah tuan bunga kemboja Mak Inang
Jikalah tuan matilah dahulu
Nantikanlah saya di pintu syurga…..

Begitulah seterusnya. Pelenggok dan Mak Inang akan selang-seli dalam menyanyikan lagu
tersebut.

Segmen seterusnya adalah segmen penutup dan biasanya didendangkan lagu Anak Ayam oleh
pengadi dan disambut oleh pelenggok sebagaimana berikut.

Anak ayam turun sebelas


Matilah satu tinggal sepuluh
Bagaimana hati tak belas
Menyelak fajar waktu lah subuh

Anak ayam turun sepuluh


Matilah satu tinggal sembilan
Menyelak fajar waktulah subuh
Ambil la wudhu lalu sembahyang

Anak ayam turun sembilan


Matilah satu tinggalah lapan
Ambil la wudhu’ lalu sembahyang
Minta la doa kepada Tuhan

Anak ayam turunlah lapan


Matilah satu tinggallah tujuh
Minta la doa kepada Tuhan
Minta tertutuplah neraka tujuh

Anak ayam turunlah tujuh


Matilah satu tinggalah enam
Minta tertutuplah neraka tujuh
Minta lepaskan neraka jahanam

Anak ayam turunlah enam


Matilah satu tinggalah lima
Minta lepaskan neraka jahanam
Minta mati dalam agama
Anak ayam turunlah lima
Matilah satu tingglah empat
Minta mati dalam agama
Minta tunjuk jalan makrifat

Anak ayam turunlah empat


Matilah satu tinggalah tiga
Minta tunjuk jalan makrifat
Minta terbukalah pintu syurga

Anak ayam turunlah tiga


Matilah satu tinggalah dua
Minta terbukalah pintu syurga
Syurga bernama jannatul makwa

Anak ayam turunlah dua


Matilah satu tinggalah yang satu
Syurga bernama jannatul makwa
Minta terbuka segala pintu

Anak ayam turunlah Satu


Satu mati habislah ghaib
Minta terbuka segala pintu
Di situ tempat saya nak balik

Persembahan Rodat akan diakhiri dengan lagu sebagaimana berikut:


Ya Allah Ya Rahmat
Nabi kita nabi akhir zaman
Nabi beranak malam Isnin
Rabiul Awal bulan pertama

*Jika dilihat dalam lagu anak ayam, boleh dikatakan nyanyian lagu berbentuk pantun kerana
ianya terdiri daripada rangkap-rangkap berasingan yang terbina dari baris yang sejajar dan
berasingan. Setiap baris juga mengandungi antara 4-5 patah perkataan dan suku-katanya dalam
lingkungan 8-12 sebaris. Pantun tersebut merupakan pantun empat kerat dengan setiap stanza
mempunyai dua bahagian iaitu pembayang dan maksud. Contohnya dapat dilihat di atas iaitu
pada dua baris teratas dalam rangkap merupakan pembayang dan dua baris terbawah merupakan
maksud yang ingin disampaikan. Ia juga mempunyai skema rima akhir yang tetap iaitu ab-ab
dengan sedikit variasi aa-aa : ab-aa : ab-ba. Sudut tema yang terdapat dalam pantun di atas ialah
agama dan kepercayaan.

Jika dilihat dari segi fungsinya, ternyata ia merupakan salah satu alat untuk komunikasi untuk
menyampaikan nasihat kepada masyarakat. Namun begitu mesej di sebalik pengolahan bentuk-
bentuk pantun ini adalah untuk membawa pemikiran masyarakat ke arah satu bentuk pendidikan
yang tidak formal iaitu sebagai satu cara untuk member nasihat secara halus kepada masyarakat
yang tidak hanya dikhaskan kepada golongan-golongan tertentu sahaja.

Puisi di atas juga merupakan satu permintaan atau pengharapan yang dinyanyikan dalam bentuk
lagu (pantun) untuk menimbulkan kesedaran kepada dirinya dan juga kepada masyarakat.

You might also like