You are on page 1of 17

SENI MUZIK DALAM INSTITUSI RAJA MELAYU:

KAJIAN JENIS, PERKEMBANGAN DAN PERALATAN MUZIK DALAM


KONTEKS TRADISI ISTANA

Oleh: Azhar Bin Abdul Latiff

1. Pengenalan

Institusi Raja Melayu melalui tradisi istana telah melahirkan pelbagai genre seni
persembahan yang menjadi warisan dan kebanggaan bangsa Melayu pada masa kini. Seni
persembahan yang lahir daripada tradisi istana ini kaya dengan pelbagai elemen persembahan
seperti seni muzik, teater , tarian, dan peralatan persembahan yang memiliki nilai estetika
yang unik dan amat tinggi nilainya. Antara seni muzik yang lahir daripada tradisi istana ialah
Nobat, muzik Makyung, dan Muzik Gamelan. Ciri-ciri unik kesenian ini dan nilai estetikanya
boleh dilihat melalui jenis, perkembangan, dan peralatan yang digunakan.

Esei ini berfokus kepada perbincangan mengenai jenis, perkembangan dan peralatan
muzik di dalam institusi Raja Melayu. Perkembangan – dahulu – dapat dilihat melalui catatan
mengenai tradisi istana Raja-raja Melayu. Jenis muzik istana dalam konteks budaya dan
masyarakat di Malaysia. Selain itu, peralatan yang digunakan untuk menghasilkan alat muzik
di istana – sebagai artifak budaya dalam institusi Raja Melayu yang mendukung seni muzik
di istana . Antara muzik tradisional yang akan dilihat ialah seni muzik yang berasal daripada
tradisi istana Raja Melayu iaitu nobat, muzik makyung, muzik Gamelan, dan lain-lain seni
persembahan.

2. Latar Belakang Seni Muzik dan Institusi Raja-raja Melayu

Institusi Raja Melayu yang ada pada masa kini di Malaysia adalah hasil peninggalan warisan
kegemilangan Empayar Kesultanan Melayu Melaka yang diasaskan pada kurun ke -15 yang
berpusat di negeri Melaka. Daripada kewujudan empayar berkenaan, lahirlah institusi Raja
Melayu di sembilan buah negeri di Malaysia iaitu Selangor, Kedah, Perak, Perlis,
Terengganu, Kelantan, Pahang, Johor, dan Negeri Sembilan. Kesemua institusi-institusi ini
menerima pengaruh sistem beraja dan tradisi istana yang diwarisi daripada Empayar
Kesultanan Melayu Melaka.

Institusi Raja Melayu telah melahirkan pelbagai jenis seni persembahan yang wujud
hasil daripada tradisi istana seperti muzik Nobat, Joget Gamelan, Tarian Asyik, persembahan
Makyung dan sebagainya. Seni muzik yang wujud hasil daripada tradisi istana ini bukan
sahaja berfungsi memberi hiburan kepada masyarakat istana, malah turut menjadi alat
kerajaan dan menjadi simbol kepada sistem sosial dan politik institusi beraja melalui
aplikasinya di dalam upacara adat serta adat istiadat diraja. Fungsi simbolik perajaan institusi
Raja Melayu berkait rapat dengan konsep ‘daulat’,

Di dalam institusi Raja Melayu, konsep ‘daulat’ sangat penting dalam konteks
sosiopolitik berkerajaan dan melambangkan kedaulatan seorang raja yang memerintah. Ia
harus dilihat dari segi tradisi penerusan institusi berkerajaan Melayu pra-Melaka dan pra-
Islam dalam periode Sriwijaya. Seorang tokoh yang memerintah dan digelar raja akan
dikaitkan kepadanya unsur kudus, luhur dan suci, dan mungkin juga seperti kedudukan raia-
raja Jawa dahulu kala, unsur yang luar biasa menjadi sesuatu yang penting dalam
kepercayaan rakyat atau orang kebanyakan dalam tradisi politik berkerajaan. Oleh yang
demikian wujudlah konsep dewa-raja. Konsep dewa-raja ialah kepercayaan dan salasilah
raja-raja yang diwujudkan secara ciptaan tadi (secara lisan ataupun tradisi tulisan) dikaitkan
dengan dewa-dewa dari kayangan; penjelmaan daripada Shiva, Vishnu atau Brahma,
lelembut, mambang atau makhluk-makhluk halus yang tidak dapat dipandang mata dari sudut
asal usul dan tradisi keturunan nenek moyang mereka. Ini sebenarnya warisan dari tradisi
Hindu-Melayu. (Mohamad Yusof, 1987)

Semenjak zaman Kesultanan Melayu Melaka, daulat di dalam institusi Raja Melayu
dibina dan dihubungkan dengan konsep dan peranan simbol dalam tradisi perajaan. Simbol
ini wujud untuk memberikan beberapa taraf dan hak istimewa kepada raja yang memerintah
berbanding dengan taraf dan hak rakyat. Antara simbol tersebut ialah i) peralatan budaya, ii)
bahasa, iii) undang-undang, iv) warna, dan v) protokol dan adat istiadat. Peralatan budaya
merupakan alat-alat yang boleh dilihat, dan diadakan untuk menjadi ‘penyokong’ kepada
karisma raja yang sedang memerintah. Dengan adanya alat-alat ini di samping kehadiran raja
bagi semua upacara rasmi ialah untuk menunjukkan ia mempunyai nilai dan unsur kebesaran
secara simbolik. Oleh itu alat-alat ini dinamakan sebagai alat kebesaran raja.

Peralatan kerajaan juga termasuklah alat muzik tradisional yang dibunyikan untuk
acara-acara dan adat rasmi yang berkaitan dengan istana dan yang berhubungan dengan adat
istiadat kerajaan. Peralatan ini digunakan sebagai ‘alat kerajaan’. Alat bunyi-bunyian ini ialah
seperti gendang, gong, serunai, nafiri, negara dan madeli. Alat-alat inilah yang membentuk
kumpulan nobat. Raja sahaja yang berhak untuk memiliki dan menggunakan alat-alat tersebut
untuk upacara yang bercorak peribadi dan yang berhubungan dengan istiadat istana dan
kerajaan.

Kepentingan alat muzik dalam istana Melayu lama memang tidak asing. Semenjak
zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi, satu set gendang nobat dimainkan sepanjang acara
pertabalan. Malah beberapa jenis alat muzik – misalnya, dalam nobat yang meliputi gendang,
nafiri, nagara, gong, serunai medali – telah menjadi sebahagian daripada perkakas raja atau
alat kerajaan. Alat muzik nobat ini jugalah yang menyambut surat atau tetamu agung negara
yang sama taraf. Misalnya, kerajaan Melayu Melaka akan menjemput wakil kerajaan Haru,
Pasai dan Perlak dengan alat muzik tersebut. Selain itu, paluan peralatan muzik seperti tabuh,
gong, dan canang juga digunakan sebagai cara perhubungan untuk memberitahu atau
menyampaikan berita secara langsung dari istana kepada rakyat jelata.

Muzik umum yang membawa erti, ‘lagu, irama, bunyi-bunyian, pancaragam, tanji (Zainal
Abidin, peny. 1980:1194) memang tidak terlepas juga dalam budaya Melayu Nusantara.
Berdasarkan aspek persembahan kesenian tradisional Melayu, perkataan muzik tidak pernah
tercatat dalam sebarang sumber tradisi, terutama dari sudut sastera lisan. Pemahaman paling
asas dapat dikutip dalam teks Sastera Tradisi Melayu seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang
Tuah, Misa Melayu, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Acheh, Tuhfat Ul-Nafis, dan
Salasilah Melayu Bugis yang mencatat sejarah dan kisah raja-raja Melayu. Dapat difahami
beberapa alat yang dibunyikan ialah gendang, nagara (dipalu), nafiri (ditiup). Gabungan alat
yang dibunyikan menimbulkan irama yang dapat dikategorikan sebagai bunyi-bunyian sesuai
dengan makna muzik yang kita fahami kini (Siti Zainon: 2000). Selain itu, teks-teks tradisi
juga turut menyebut tentang pelbagai permainan dan peralatan yang diperbuat daripada
berbagai bahan, dari alam semula jadi, batang padi, buluh, kayu hinggalah alat dari logam,
dimainkan atau dibunyikan dengan cara pukulan, titir, tiupan dan gesekan seperti yang
ditunjukkan dalam Jadual 1. Peralatan muzik Melayu juga tidak dapat dipisahkan daripada
upacara adat dan adat istiadat. Malah alat muzik Melayu boleh di kategori mengikut cara alat
itu dimainkan iaitu 1) alat paluan, 2) alat tiupan, dan 3) alat gesekan.

Jadual 1: Jenis alat bunyi-bunyian Melayu berdasarkan sumber teks

Judul Teks Lagu/Irama Alat Alat Tiupan Alat Gesekan


paluan/canang/titir
1.Sejarah “bunyi-bunyian Gendang, nagara, Nafiri, serunai, Rebab
Melayu Melayu” gong, kopak, mendeli
ceracap, calempong,
dandi
2. Hikayat Hang “gendang Gendang, nagara, Nafiri
Tuah arakan/ nobat” gong
3. Misa Melayu Gendang “Gendang, gong
Perang
4. Hikayat Gendang, gong, Nafiri, serunai, Hebab, kecapi
Merong nahara, kopok, muri, seruling,
Mahawangsa dandi serdam, bangsi
5. Hikayat “genderang Gendang besar,
Acheh perang, nekara, geduk,
kesukaan, tambuh, lengkara,
keberangkatan, tifa, dap
nobat”
6. Tufat Ul- “main-main Gendang, gong, alat
Nafis Joget Jambi” gamelan
7. Salasilah “gendang Tawak-tawak, trompet
Melayu Bugis perang Malayu” tambur
“gendang
kanjar” Bugis

Seni muzik istana memainkan peranan yang penting dalam upacara adat dan adat istiadat
di istana raja-raja Melayu. Secara umum adat sering dihubungkan dengan hukum hidup.
Sebagai sistem sosial segala perlakuan dan tingkah laku manusia memang tidak dapat
dipisahkan daripada kelompok masyarakatnya. Ia merangkumi nilai, norma dan sistem
kepercayaan yang telah diwarisi sejak lampau. Sesuai dengan perkembangan sejarah dan
budaya, aneka peralatan budaya yang dicipta, diubah suai berdasarkan keperluan sehingga
berkembang digunakan dalam upacara adat istiadat raja-raja Melayu seperti:

1. Adat istiadat pertabalan, kemangkatan


2. Adat istiadat perkahwinan
3. Adat istiadat menerima tamu/surat dan memberi anugerah.

Teks-teks tradisi Melayu juga ada mencatat cara persembahan muzik dan penggunaan alat
di dalam upacara adat dan adat istiadat Melayu. Cara permainan muzik di institusi Raja
Melayu turut dipengaruhi oleh struktur organisasi dan sosial. Kedudukan dan martabat sama
ada individu mahupun negara mempengaruhi cara muzik itu dipersembahkan. Seperti yang
dicatat di dalam Sejarah Melayu, sekiranya adat istiadat itu melibatkan raja, maka sambutan
akan diiringi dengan alat kerajaan seperti gendang, serunai, nafiri dan nagara. Peralatan yang
sama akan digunakan untuk mengiringi negeri-negeri yang sedarjat dengan Melaka seperti
Pasai dan Haru. Upacara-upacara lain yang dicatat teks-teks berkaitan adalah seperti
ditunjukkan pada Jadual 2. Melalui catatan tersebut dapat dipastikan bahawa seni muzik
telah diaplikasikan di dalam institusi Raja Melayu sejak dari dahulu lagi.
Jadual 2: Istiadat Kerajaan Melayu Melaka, Melayu-Acheh, Melayu Johor-Riau: Selangor,
Perak, Kedah, Pahang, Terengganu

Adat Istiadat Bunyian Acara/Peristiwa Cara Persembahan/Alat


“Mengadap nobat” Bulan Syawal/Ramadan 1) Hulubalang di kiri kanan
(Melaka) gendang, jika Raja Muda
mengadap nobat dipersilakan
oleh bentara. Diikuti tiupan
nafiri tiga kali (A. Samad
Ahmad, SM:75)
2) Orang besar-besar dari kiri
gendang, rang kecil dari kanan
gendang.
“genderang nobat Sultan Acheh menabal Syah Alam duduk di tahta kerajaan/
tabal” (Acheh) diri setelah mengalahkan ...maka genderang nobat pun dititir
Johor (Teuku Iskandar: HA:179)
Perarakan diraja 1) Hari raya Sultan di usung ke dalam / diarak
(Melaka) kecil/besar Penghulu Bendahara, rakyat di balai
menjelang arakan berdiri ‘gendang dimula’ dipalu tujuh
ke masjid ragam, setiap ragam disambut nafiri.
Setelah tujuh ragam beraraklah sultan
ke masjid (ibid: 74)

2) Perkahwinan Raja Melaka naik gajah


Sultan Mansur kenaikan/payung iram 40 warna
dengan Raden terkembang/cogan alamat diiringi alat
Mas Ayu bunyian gendang, serunai, nafiri,
madali, merangu, sekati, kopok,
ceracap 40 bagai ragam (Kassim,
HHT:139)
(Aceh) 3) Sultan Acheh Pelbagai bunyian dengan mengucap
berarak selawat seperti guruh/iringan gong,
genderang, dap (Tenku Iskandar
HA:106)
(Melayu Johor-Riau) 4) Mengarak Mempelai raja berusungan, diiringi
mempelai penganjur perempuan/orang berebana
berdikir (A.Samad 1985:59-60)
(Negeri Perak) 5) Perkahwinan Paluan gong, gendang, serunai,nafiri,
bangsi, biola/biduan memukul rebana
(Raja Chulan, MM:40)/...rebab
Genderang arakan Menyambut 1) Menyambut bingkisan ke
(Melaka) surat/bingkisan perahu diarak dengan gajah,
jika raja besar diarak dengan
nobat, nafiri, nagara (Ibid:91)
2) Surat dari Pasai dan Haru
disambut dengan gendang,
serunai, nafiri dan nagara
(SM:71)
“Genderang perang” 1) Perang Acheh Genderang perang dengan alat
(Melayu Siak-Bugis) dengan Johor gendang besar, tambur, rebana
(HA:176)

2) Perang Bugis – Genderang perang Melayu Siak,


Siak di Johor gong, gendang, tawak-
Lama tawak/gendang kanjar Bugis
(SMdB:174)
HA= Hikayat Acheh (De Hikayat Atjeh; HTT = Hikayat Hang Tuah; MM=Misa Melayu;
SMdB (Salasilah Melayu dan Bugis; SM=Sulatus Salatin/Sejarah Melayu
3. Muzik Istana dalam Konteks Budaya dan Masyarakat di Malaysia

Sejak daripada dahulu lagi, Kepulauan Melayu dan wilayah Nusantara meliputi negara
Malaysia, Indonesia, sebahagian negara Thai, Kampuchea dan Filipina telah menerima
pengaruh unsur-unsur muzik dari India, China, Timur Tengah dan Eropah. Pengaruh-
pengaruh ini datang hasil daripada pelbagai proses pertembungan dan penyebaran budaya
melalui penjajahan, penaklukan, perdagangan, dan sebagainya Selain itu, pertembungan dan
perkembangan kebudayaan juga berlaku di antara wilayah serantau melahirkan ciri-ciri asli
tempatan yang unik dan tersendiri. Proses yang berlaku selama beratus-ratus tahun ini telah
membawa kepada kewujudan pelbagai bentuk kebudayaan dan kesenian di rantau ini dan
tidak terkecuali juga seni muzik tempatan (Mohammad Ghouse Nasuruddin). Bentuk muzik
di Malaysia yang terhasil pada masa kini adalah cerminan ciri-ciri asli serta juga pengaruh
luar yang telah menyerap ke dalam masyarakat dan boleh diklasifikasikan kepada jenis-jenis
tertentu bergantung kepada keadaan sosial, ekonomi, politik dan jenis budaya di mana seni
muzik diperkembangkan. (Patricia Martusky & Tan Sooi Beng, 1997:1-4)

Pengistilahan ‘budaya rakyat’ dan ‘budaya istana’ yang juga merujuk kepada ‘tradisi
rakyat’ dan ‘tradisi istana’ telah digunakan oleh ahli antropologi untuk menonjolkan ciri-ciri
sesuatu peradaban termasuklah seni muzik. Kedua-dua tradisi ini saling bergantung dan
sentiasa mempengaruhi di antara satu sama lain. Tradisi kecil diperturunkan secara lisan di
kampung-kampung dan kawasan desa secara bersahaja. Tradisi kecil yang dihubungkaitkan
dengan budaya rakyat didukung oleh masyarakat yang biasanya tinggal di kawasan desa.
Komunikasi secara lisan di antara anggota-anggota dalam masyarakat lebih diutamakan
ataupun sistem bertulis boleh diwujudkan. Oleh sebab itu, kesedaran sejarah kurang jelas asal
usul tradisinya diperturunkan secara lisan sahaja. Perhubungan dan perlakuan anggota-
anggota budaya rakyat dikawal oleh undang-undang yang dipersetujui bersama sesama
mereka. Tambahan pula, masyarakat dalam tradisi kecil mengalami perubahan yang
perlahan-lahan sahaja dalam masa yang panjang. Bekerjasama, berusaha dan bertindak secara
komunal merupakan satu lagi ciri yang khas dalam tradisi kecil dan budaya rakyat.
Berlainan dengan tradisi kecil, tradisi besar merujuk kepada tradisi yang berkembang
melalui penulisan yang diajar secara sedar dan sistematis di sekolah-sekolah, masjid atau
rumah berhala, dan istana. Tradisi besar biasanya terdapat di kalangan masyarakat yang
tinggal di kawasan bandar. Komunikasi secara bertulis dan juga kegunaan teknologi semasa
di antara anggota-anggota dalam masyarakat lebih diutamakan. Oleh itu kesedaran teori dan
sejarah diketahui dengan jelas. Tradisi ini menonjolkan ciri-ciri kehalusan dan profesional
dalam masyarakat bandar atau istana yang mengutamakan kepentingan institusi sosial dan
kerajaan. Masyarakat bandar ini boleh mengalami perubahan secara pantas yang
mementingkan daya cipta individu. Budaya rakyat juga telah lama berhubung dengan budaya
istana yang menjadi pusat-pusat pemikiran dan perkembangan institusi sosial, ekonomi dan
masyarakat sejak beratus-ratus tahun. Dalam konteks budaya rakyat dan budaya istana ini,
seni muzik di Malaysia boleh dibahagiakan kepada beberapa jenis iaitu i) muzik klasik, ii)
muzik rakyat, iii) muzik sinkretik, iv) muzik seni kontemporari, dan v) muzik popular.

Muzik klasik di Malaysia biasanya melibatkan muzik yang berkait dengan kawasan
bandar atau istana institusi Raja Melayu. Dalam muzik klasik, asas sejarah dan teori muzik
agak kukuh dan biasanya dipelajari. Sekumpulan lagu-lagu tertentu dikenali sebagai repertior
dalam bentuk (genre) muzik yang tertentu. Pemain-pemain dilatih mengikut cara yang
tersusun, dan proses latihan yang teratur dinaungi oleh golongan istana atau agensi-agensi
kerajaan. Idea terhadap profesionalisme diketahui antara pemain-pemain itu. Tradisi muzik
klasik itu biasanya diketahui oleh sebahagian sahaja daripada komuniti tertentu. Satu
fenomena yang menarik juga ialah muzik rakyat merupakan kategori muzik yang memberi
inspirasi dan kerap kali menjadi dasar kepada muzik klasik itu yang diperkembangkan dalam
keadaan bandar mahupun dalam istana.

Di dalam institusi Raja Melayu, terdapat beberapa bentuk seni muzik yang telah
dikembangkan oleh institusi berkenaan melalui tradisi persembahan istana. Muzik istana juga
dapat dianggap muzik klasik Melayu yang menampilkan ciri-ciri khas alat muzik tempatan
ataupun pertembungan dan adaptasi daripada unsur luar yang telah disesuaikan hingga
menampilkan nada Melayu. Berdasarkan peranan dan penggunaan di dalam tradisi istana,
seni muzik istana boleh dibahagikan kepada dua ciri utama (Siti Zainon, 2007:212) iaitu:
1. Muzik adat istiadat, iaitu nobat dan
2. Muzik hiburan istana, termasuk makyung, dan gamelan

4. Muzik Nobat

Muzik nobat dimainkan di dalam upacara nobat yang menjadi elemen yang penting dalam
adat istiadat pelantikan raja atau sultan sesebuah kerajaan (Siti Zainon, 2007:213). Adat ini
dapat dikesan sejak munculnya kerajaan Melayu di Bukit Seguntang lagi. Bukti tentang
pertama kali muzik nobat dimainkan telah diterangkan melalui teks klasik yang
menggambarkan peristiwa pelantikan Sang Sapurba yang telah dibaca ‘ciri purbakala’ dan
diberi gelaran Sang Sapurba Tribuana Tradisi ini telah dibawa ke Melaka dan seluruh jajahan
takluk Melaka. Tetapi pada masa itu masih belum terbukti kewujudannya alat muzik nobat.
Setelah Sultan Muhammad yang mengatur adat istiadat istana Melaka, baharu nobat mula
diperikan. Ini dibuktikan dengan peristiwa pertabalan Raja Muzaffar, putera Sultan Mahmud
yang dilantik menjadi Raja Perak yang pertama. Baginda juga telah dinobatkan dengan nobat
Melaka walaupun ketika itu Sultan Melaka iaitu Sultan Mahmud Syah sudah berada di Riau.
Manakala Sultan Alauddin putera Sultan Mahmud mangkat di Kampar telah dinobatkan di
Pahang, sebagai waris takhta nobat Melaka, dan Sultan Alauddin anakanda baginda di
Kampar, dinobatkan dahulu di Melaka (nobat Melaka). Pada hari ini terdapat beberapa negeri
yang mewarisi nobat Melaka, iaitu Pahang, Perak, Selangor, Terengganu dan Kedah.

Beberapa peralatan nobat itu sendiri memang mempunyai unsur-unsur Parsi.


Perkataan nobat (naubat) itu sendiri berasal daripada perkataan-perkataan Parsi dan sudah
tersebar ke negara-negara Islam seperti Iraq, Iran Turki, Mesir dan Selatan Sepanyol
(Andalusia). Tradisi nobat inilah dikembangkan ke Bentan dan seterusnya ke Melaka.
Mengikut Mubin Sheppard (1983:18-19), Permaisuri Bentan menabalkan dirinya dengan
naubat yang dibawa oleh Sheikh Ismail yang datang ke Pasai pada tahun 1295. Pada tahun
1414, kerajaan Pasai telah membawa peralatan nobat ke Melaka sempena perkahwinan puteri
baginda dengan Parameswara yang kemudian diislamkan dan diberi nama gelaran Megat
Iskandar Syah. Nobat pertama kali dimainkan sempena kemangkatan baginda dan sekali gus
diadakan pada masa pertabalan Sultan Muhammad Syah – yang menggantikan Megat
Iskandar Syah itu. Pada masa pemerintahan Sultan Mahmud, nobat telah dikembangkan pula
ke Kedah, iaitu setelah peristiwa rombongan istana Kedah dihadiahkan peralatan nobat.

Riau Lingga juga mewarisi nobat daripada kerajaan negeri Melaka. Sehingga
mangkatnya Sultan Mahmud IV di Lingga, nobat berada di bawah jagaan Tengku Hamidah di
Penyengat.Selangor juga mewarisi nobat dari Perak apabila ditabalkan pada tahun 1765.
Terenggnu juga menerima nobat melalui hubungan dengan kerajaan Johor-Riau-Lingga
terutamanya dalam pemerintahan Sultan Zainal Abidin III (1881-1914). Gendang Negara dari
Riau telah dibawa ke Terengganu dan orang Terengganu telah belajar memalu nobat dengan
nada asal Melayu-Lingga- yang memang berasal daripada Melaka dan Johor Lama – tetapi
akhirnya Terengganu mula menghasilkan Negara oleh pandai logam mereka sendiri.

Beberapa kerajaan Melayu lain yang mempunyai set nobat ialah Pattani dan Brunei.
Alat muzik nobat ini telah melangsungkan tradisi yang panjang dan masih wujud sebagai
simbol pertabalan diraja khususnya di Selangor, Kedah dan Perak. Di Kelantan walaupun
mewarisi seni budaya kerajaan Melayu-Pattani tetapi tidak pula mewarisi nobatnya.
Sebaliknya muzik pertabalan disebut Pasukan Gong Gendang Besar Diraja (Sheppard, 1972:
20).

Antara peralatan gendang nobat yang penting ialah Negara (iaitu gendang yang
diperbuat daripada logam) dan nafiri (berasal dari Parsi-India). Manakala gendang dapat
dianggap sebagai ciri asal tempatan. Pentingnya alat nobat istana dibuktikan dengan
penjagaannya yang rapi, dipimpin oleh Orang Kalur dan pemain-pemain pula memang
diwarisi daripada satu generasi ke satu generasi. Beberapa peralatannya pula mendapat nama
yang berbeza berdasarkan wilayah yang mengembangkan muzik tersebut. Misalnya, negara
dikenali dalam nobat Kedah dan Pattani; di Perak alat itu disebut mengkara; manakala nafiri,
trompet daripada gangsa dikenali di Melaka, Selangor dan Perak tetapi disebut aboe (serunai)
di Kedah. Beberapa lagu nobat yang popular di seluruh istana Melayu ialah Raja Berangkat
dan Raja Bertabal.
5. Muzik Makyung

Makyung ialah persembahan istana, dan perkembangannya telah mencapai kemuncak di


istana Pattani pada abad ke -17. Makyung juga wujud di istana Kelantan, dan sehingga
menjelang Perang Dunia Kedua, khususnya semasa kependudukan Jepun pada tahun 1942,
makyung berada di bawah kelolaan Tengku Temenggung – salah seorang kerabat diraja
Kelantan.

Makyung yang pada asalnya popular di kalangan rakyat (tradisi rakyat) telah diangkat
menjadi tradisi istana apabila di bawa masuk ke istana dan mendapat naungan institusi diraja.
Di Kelantan istilah tradisi istana merujuk kepada kumpulan makyung yang dipelihara oleh
Tengku Temenggung. Tengku Temenggung sendiri ialah ahli lagu, muzik dan tarian
makyung. Sebagai karya seni tradisional, tidak ada catatan tentang lagu dan muzik yang telah
dibukukan di istana. Pengetahuan dan pengalaman hanya ulang tutur setiap kali
dipersembahkan sehingga pelakonnya hafal dengan sekali setiap patah lagu atau lirik yang
dinyanyikan.

Persembahan makyung memang tidak dapat dipisahkan daripada seni suara. Seni
suara itu disampaikan melalui dialog dan nyanyian para pelakonnya, terutama pakyung Raja
yang dilakonkan oleh wanita dan dayang-dayang pengiring puteri atau permaisuri.

Alat muzik yang paling dominan ialah rebab yang diperbuat daripada kayu nangka.
Rebab mengeluarkan bunyi irama dengan gesekan tali ke atas tiga tali halus yang memanjang
daripada kepala sehingga ke perut rebab. Pada masa lalu, talinya diperbuat daripada serat
sabut kelapa. Pada masa moden rebab menggunakan tali nilon.Alat muzik lain adalah dua
gendang (ibu dan anak), sebuah gong dibawa dari Jawa atau Sumatera, dan serunai yang
meniru persembahan menora (Malm 1974: 338). Rebab merupakan alat muzik utama sejak
awal persembahannya diadakan dengan diiringi lagu mengadap rebab. Semua penari dan
pelakon makyung menghadap bomoh rebab. Upacara ini diketuai oleh pakyung (raja) atau
pakyung Muda (anak Raja). Irama solo rebab digesek oleh bomoh tersebut dianggap kepala
lagu, iaitu lagu mohon restu agar persembahan yang akan diadakan dapat berjalan dengan
baik . Beberapa buah lagu makyung merujuk kepada cerita yang bakal dipersembahkan.
Antara lagu yang terkenal ialah Kijang Emas dan Sedayung Makyung. Penyampaian lagu-
lagu ini diiringi oleh korus “dan don dang” (Malm, 1974: 339). Beberapa lagu lain ialah lagu
Mengulit Raja Nak Tidur dengan irama campak bunga, pandan wangi, timang-timang Welu,
Buluh Serus, Cagak Manis dan Lagu Mengambor (Sheppard, 1972:39).

6. Muzik Gamelan Terengganu

Muzik gamelan Melayu baru berkembang di Terengganu pada awal abad ke-19. Hubungan
baik antara raja Pahang, Terengganu dengan pusat Kerajaan Melayu Johor-Riau telah
mengembangkan kesenian alat logam gangsa ke Pahang dan Terengganu hingga menjadi
warisan budaya Melayu. Sejarah perkembangan muzik gamelan berlaku serentak dengan
perkembangan seni tari atau joget gamelan itu sendiri. Keistimewaan alat muzik gamelan
ialah penggunaan alat gangsa yang dipukul=ketuk (percussion) yang terdiri daripada gong,
saron penerus, saron demung, bonang, kenong, gong, gambang kayu dan gendang. Muzik
gamelan Terengganu tidak diiringi rebab seperti gamelan Jawa. Malah, walaupun alat muzik
intu dibawa dari Jawa ke Jambi dan Riau, sebelum tiba ke Pahang dan Terengganu gamelan
telah dicipta semula atau diselaraskan berdasarkan nada Melayu.

7. Lain-lain Muzik Istana

Tradisi seni persembahan selain daripada muzik Nobat, muzik Makyung, dan muzik Gamelan
turut berlangsung dalam aneka persembahan kesenian khususnya yang membawa citra
kebesaran raja. Antaranya ialah Wayang Kulit Melayu yang membawa cerita Mahabrata dan
Panji Jawa, Tarian Asyik, dan Tarian Terinai yang menceritakan tentang puteri-puteri di
taman istana/kayangan. Kesenian-kesenian ini diiringi dengan alunan muzik tersendiri dan
menjadi warisan kesenian istana yang memenuhi ruang persembahan seni budaya Melayu
lebih 500 tahun lalu.
Tarian asyik dan muziknya dipersembahkan untuk hiburan istana Kelantan dan
dipercayai berasal dari istana Patani pada kurun ke 17. Dipersembahkan bagi sempena
menyambut hari keputeraan Sultan, majlis perkahwinan diraja, dan lain-lain perayaan
diserikan dengan persembahan tarian Asyik. Penari dan pemuzik tarian Asyik mendapat
naungan dan dilatih oleh pihak istana. Pada asalnya dipersembahkan oleh sekumpulan penari
perempuan dan seorang penari solo lelaki, diiringi lagu Asyik yang dinyanyikan oleh
penyanyi perempuan sambil duduk di rebana besar . Tradisi ini kehilangan sokongan istana
pada suku ketiga abad ke 20. Tarian Asyik pada masa kini tidak lagi ditampilkan dalam
bentuk yang asal dan telah menjadi tradisi rakyat.

Orkestra tradisional asyik terdiri daripada hanya tiga alat muzik, dua daripadanya
tidak digunakan untuk tujuan lain. Satu daripadanya ialah sebuah gendang silinder kecil satu
muka yang dipanggil Gedombak Asyik: diletakkan secara menegak dan bahagian berkulit
(kulit kambing) dititir/dipalu menggunakan jari kedu-dua belah tangan. Sebelas buah
gendang jenis ini digunakan. Alat muzik kedua ialah xylophone kayu yang dinamakan
Gembang, kemungkinan berasal daripada Cambodia walaupun namanya berasal daripada
Indonesia. Alat muzik ketiga ialah alat muzik bergesek iaitu Rebab, alat yang memainkan
peranan yang penting di dalam Makyung. Kesemua alat muzik ini kecuali Rebab dimainkan
oleh wanita yang juga menyanyikan Pantun dengan gaya persembahan Makyung. Satu-
satunya pemuzik lelaki ialah pemain Rebab dan kebiasaannya orang yang pertengahan
umurnya.

Tarian dan muzik Terinai merupakan genre kesenian istana di Perlis, Kedah dan
Kelantan. Kesenian ini dipersembahkan di majlis perkahwinan diraja dan persembahannya
diadaptasi daripada cerita kehidupan di istana. Tarian ini ditarikan menggunakan lilin dan
melibatkan penari-penari wanita. Terdapat juga beberapa variasi tarian Terinai termasuk
Terinai Mengadap dan Layang Emas yang dipersembahkan oleh wanita, dan Ketam Bawa
Anak dan Dewa Raja yang dipersembahkan oleh lelaki. Semua pergerakan tarian mempunyai
hubungan dengan alam semula jadi dan imaginasi alam. Layang Emas pergerakan diambil
daripada pergerakan burung layang-layang. Di Perlis dan Kedah, ensambel yang mengiringi
persembahan ini terdiri daripada serunai, sepasang gendang keling dan dua tetawak. Di
Kelantan pula, tarian terinai dipersembahkan di majlis perkahwinan dan cenderung
menampilkan aksi akrobatik. Ensembel muziknya terdiri daripada serunai, gendang, tetawak,
canang (6 biji) dan kesi.

Wayang kulit Melayu dipersembahkan di istana Kelantan dan menggunakan cerita


Panji Jawa sebagai cerita asas. Kesenian in merupakan contoh seni persembahan tradisional
Malaysia yang wujud di bawah naungan istana pada tahun 1920-an apabila dalangnya telah
dihantar ke Jawa oleh pihak istana untuk mempelajari Wayang Kulit di tanah Jawa.
Bagaimanapun, kesenian ini telah disesuaikan dengan pengaruh tempatan. Terdapat sebelas
lagu di dalam repertoire muziknya, iaitu Katokan, Kelayong, Asyik, Jubang, Kemucap,
Kijang Mas, Gandang-gandang, Dandang Semawa, Sasang, Bujuk Ina, dan Kadok Manis.

Ensambel muzik wayang kulit Melayu terdiri daripada sebuah rebab bertali dua,
sepasang gendang ibu dan anak, sebiji mong, canang atau kelenang (6 biji), kesi dan sepasang
gong. Rebab pada asasnya merupakan alat melodi tetapi tidak berperanan seperti dalam
makyung. Ia hanya menyediakan iringan ritma dengan mengulangi frasa utama berkali-kali
dan pada ketika yang lain ia bertidak sebagai alat drone. Gendang pula menyediakan rentak
paluan bertingkah, kesi dan mong mengetuk rentak dan kelenang membentuk ritma tersendiri
dengan mengubah nada utama sesuatu lagu sementara sepasang gong berperanan sebagai
penanda masa.
Penutup

Seni muzik istana memainkan peranan yang penting di dalam institusi Raja Melayu sejak
dari dahulu sehinggalah pada masa kini sebagai 1) mengiringi upacara dan adat istiadat
diraja, dan 2) hiburan istana. Dalam konteks budaya dan masyarakat Malaysia, seni muzik
istana merupakan muzik klasik yang wujud melalui tradisi istana Raja-raja Melayu. Tradisi
ini mendapat naungan institusi Raja Melayu dan dikembangkan di istana. Terdapat juga
muzik rakyat (tradisi rakyat) yang diangkat menjadi muzik istana (tradisi istana) oleh institusi
Raja Melayu seperti muzik Makyung, dan muzik Wayang Kulit

Alat muzik yang digunakan untuk mengiringi muzik istana bukan sahaja menjadi
artifak budaya yang menghasilkan bunyi semata-mata, malah berperanan sebagai alat
kerajaan yang membawa simbol ‘daulat’ melalui tradisi nobat. Sehingga kini institusi Raja
Melayu seperti di Kedah, Perak, Terengganu, dan Selangor masih mengiktiraf peralatan nobat
sebagai alat kebesaran diraja.

Pelestarian seni muzik istana dan peralatannya sangat penting bagi memastikan
keutuhan institusi Raja-raja Melayu khususnya di Malaysia. Tradisi ini perlu dipastikan tidak
pupus dan dikembangkan dalam konteks dunia masa kini supaya tidak dilupakan oleh
masyarakat. Antara langkah yang boleh dilakukan ialah usaha pemeliharaan melalui
dokumentasi digital dan kajian teknikal terhadap seni muzik istana dan peralatan yang
digunakan. Usaha sebegini diharap dapat direalisasikan oleh pihak yang berkaitan demi
memastikan tradisi yang penting ini dapat dipertahankan.
Rujukan

Matusky, Patricia & Tan Sooi Beng. 1997. Muzik Malaysia: Tradisi Klasik, Rakyat dan
Sinkretik. The Asian Centre, Pulau Pinang.

Muhammad Yusof Hashim.1989. Kesultanan Melayu Melaka. Kajian Beberapa Aspek


tentang Melaka pada Abad ke-15 dan Abad ke-16 dalam Sejarah Malaysia. Dewan Bahasa
dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur.

Siti Zainon. 2000. Peranan dan Penggunaan Alat Muzik Tradisional Dalam Adat Istiadat
Melayu. Dalam Alat Muzik Tradisional: Daya dan Bunyi. Perbadanan Kemajuan Kraftangan
Malaysia. Kuala Lumpur.

Siti Zainon. 2007. Seni Suara dan Muzik dalam Asas Kebudayaan dan Kesenian Melayu.
Penyunting Anwar Din. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi.

Sheppard, Mubin. 1972. Taman Indera (A Royal Pleasure Ground): Malay Decorative Arts
And Pastimes. Oxford University Press.

You might also like