You are on page 1of 7

ABU HASSAN ASYAARI

Personaliti Abu Hassan Asyaari:

Beliau ialah Abu Hassan Ali bin Ismail daripada keturunan Abu Musa Asyaari sahabat
Rasulullah SAW. Beliau dilahirkan di Basrah pada tahun 270 Hijrah. Selepas sahaja bapanya
meninggal dunia, ibunya berkahwin dengan bapa Ali Jubbaie, ketua penganut fahaman
Muktazilah pada masa itu dengan membawa panji-panji fahaman ini. Beliau dibesarkan dalam
lingkungan fahaman Muktazilah sehinggalah pada mulanya beliau telah belajar ilmu dengan Ali
Jubbaie, menjadi penggantinya, menjadi orang kepercayaannya dan penjaga amanahnya.

Abu Hassan sentiasa mempertahankan pendapat-pendapat fahaman Muktazilah selama hampir 40


tahun. Pada suatu hari, pemahaman beliau telah berubah dengan tiba-tiba, menyebabkan jiwanya
merasa tidak tenang dan fikirannya risau terhadap fahaman Muktazilahnya yang sedang dianuti
pada masa itu. Dengan tidak disedarinya, beliau telah mendapat beberapa fakta yang tepat untuk
mendebat semula segala takwilan fahaman Muktazilah. Selepas itu, beliau telah mendalami
beberapa hukum qias dan membandingkan dengan akal fikirannya. Beliau merasakan semua
penganut fahaman Muktazilah mentafsirkan ajaran agama Islam menggunakan akal fikiran
semata-mata dan ilmu mantik buatan manusia yang berlandaskan kepada dua faktor
muqaddimah. Perkara-perkara asas (usul) pada pendapat fahaman Muktazilah adalah satu perkara
yang tepat, malahan mereka mentakwilkan al-Qur’an dengan pendapat-pendapat mereka semata-
mata. Pada akhirnya, beliau merasakan pihak yang berada di dalam kebenaran ialah para Sahabat
RA dan para ulamak solafus soleh. Inilah natijahnya daripada beberapa penelitian dan
pengamatan yang beliau lakukan secara terperinci, selepas beliau mengembara dalam masa yang
panjang, membuat beberapa buah kajian yang berterusan dan membuat beberapa siri perdebatan
yang banyak. Akhirnya, beliau percaya dengan sepenuhnya, para Sahabat RA semuanya
mempunyai beberapa kelebihan dan mempunyai akidah yang betul, kerana para Sahabatlah yang
dapat menerima keilmuan secara langsung daripada Rasulullah SAW.

Daripada beberapa kajian dan penelitian yang panjang, Abu Hassan Asyaari telah mengalami
percaturan pemikirannya sendiri. Kerana itu, beliau telah mengurung diri dalam rumahnya
selama 15 hari untuk meneruskan kajiannya, penelitiannya, memutalaah dan akhirnya beliau
bersembahyang istikharah sehinggalah beliau menjadi tenang kembali seperti sedia kala. Beliau
mengambil keputusan untuk menetapkan segala pendapatnya dan berusaha untuk mengiklankan
perubahan pandangannya daripada fahaman Muktazilah seperti sebelumnya untuk rujuk kepada
mazhab Salaf dan mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah. Beliau berkeyakinan, pendapat yang tetap
betul adalah sebagaimana yang terkandung dalam mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana
mazhab itu bebas daripada sebarang kesalahan, tidak ada takwilan yang melulu dan tidak ada
sebarang perkara nifaq. Beliau terus keluar menuju ke sebuah masjid jamik di Basrah, naik ke
atas sebuah kerusi di situ, lantas berteriak dengan suara yang tinggi seraya berkata, “Siapa yang
mengenali aku, dia tetap akan mengenali diri aku selamanya dan siapa sahaja yang tidak kenal
diri aku sebelum ini, aku akan perkenalkan diri aku sebentar lagi. Aku adalah Ali bin Ismail.
Sebelum ini aku mengatakan kitab al-Qur’an adalah makhluk, Allah tidak akan dapat dilihat oleh
sesiapa pun di syurga dan semua perbuatan kejahatan aku yang memperbuatnya. Dari sekarang,
aku bertaubat dan tidak akan berpendapat seperti kenyataan di atas. Aku akan bersedia mendebat
segala pendapat Muktazilah untuk mengeluarkan daripada kekejiannya dan kecelakaannya.”
Daripada hari itu, Abu Hassan Asyaari berubah pendirian, menjadi pendebat terbesar untuk
membenteras fahaman mazhab Muktazilah, menjadi orang yang paling banyak menyalahkan
fahaman itu dan semua pengikut mazhabnya. Belliau telah mengubah usaha serta latihannya dari
segi akal pemikiran dan hujah-hujahnya yang kuat untuk terus mempertahankan mazhab Ahli
Sunnah Wal Jamaah dan mazhab Solafus Soleh.

Memperjuangkan Akidah Salaf:

Selepas Abu Hassan Asyaari berubah pendapatnya kepada mazhab Salaf dan menyebarkan
mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah, beliau terus berdakwah dengan penuh bersemangat dan penuh
keimanan untuk menolak segala pendapat yang terkandung dalam mazhab Muktazilah. Beliau
terus mengikuti majlis-majlis dan tempat markaz para ulamak Muktazilah untuk mendebat
pendapat-pendapat mereka dan seterusnya memperbetulkan kepada mazhab Ahli Sunnah Wal
Jamaah serta mazhab Salaf. Semangatnya untuk memperbetulkannya semakin bertambah kuat
daripada sebelumnya semasa beliau menganut fahaman mazhab Muktazilah. Beliau sentiasa
mengikuti jejak mereka sehingga di mana jua pun mereka berada untuk bermunaqasah dengan
mereka sehinggakan ada di antara para ulamak Ahli Sunnah Wal Jamaah sendiri yang menegur
usaha beliau dengan berkata, “Mengapa kamu mendekati orang yang sentiasa mengamalkan
pendapat-pendapat bid’ah dan sentiasa menemui mereka tanpa berteman, sedangkan agama Islam
sendiri menyuruh kita menjauhi mereka?” Dengan tegas, beliau menjawab, “Puak-puak mazhab
Muktazilah kebanyakannya adalah ahli politik serta ahli pentadbiran, bahkan ada sebahagiannya
yang memegang jawatan pemerintah dan menjadi qadhi. Kepemimpinan mereka juga menguasai
kedudukan para ulamak kebenaran. Sekiranya saya sendiri tidak memperbetulkan mereka dengan
menzahirkan kebenaran agama, bagaimanakah kebenaran akan terserlah di atas muka bumi,
sedangkan kamu semua juga tahu mazhab Ahli Sunnah adalah mazhab yang paling benar!?”

Pemikiran dan Martabatnya Dalam Keilmuan:

Abu Hassan mempunyai kelebihan dari segi kekuatan berfikir, latihannya dari segi perbahasan
dan pengambilan dalil segi sesebuah nas. Beliau sentiasa menyibukkan diri dengan mengkaji
bidang ilmu kalam dan seterusnya mendebat mazhab Muktazilah. Beliau juga mempunyai
kelebihan dan kepintaran dari segi perbincangan dan perdebatan, kuat menentang sesebuah
pendapat yang dirasakan salah dengan hujah-hujah yang amat bernas sekali.

Beliau telah mengikhlaskan diri untuk terus mempertahankan agama dan seterusnya berpindah
kepada mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah. Sehinggakan pernah dicatatkan oleh seorang penulis
kitab pada zamannya, beliau mempunyai kedudukan pemikiran yang tinggi sehingga tidak dapat
dicapai kefahaman keilmuannya oleh ahli bijak pandai pada masa itu. Daripada pengalamannya
itulah, beliau dapat mengkritik dan mendebat akidah-akidah mazhab Muktazilah dengan begitu
mudah sekali, seolah-olah seperti seorang guru yang telah menjawab dan menyalahkan pendapat
anak-anak muridnya, sekaligus memperbetulkan permasalahan mereka selama ini.

Peristiwa ini pernah dicatatkan oleh anak murid beliau yang bernama Abu Abdullah bin Kathif
Syirazi dalam kitab Tabyinu Kazbil Muftari ( ‫ )تبيين كذب المفتري‬dalam halaman 94 hingga 95
dengan katanya, “Pada suatu hari, aku pergi ke Basrah untuk menemui tuan guru Abu Hassan
Asyaari semoga aku mendapat beberapa tunjuk ajar dan pengajaran daripada beliau. Tiba-tiba
aku lihat beliau sedang berada di dalam satu majlis perdebatan. Di dalam majlis itu, terdapatnya
sekumpulan ulamak Muktazilah sedang mendebat Abu Hassan. Bila mereka habis melontarkan
segala hujah, Abu Hassan menjawab satu-persatu segala hujah mereka dengan begitu mudah
sekali. Bila beliau bangun dari tempat duduknya, aku terus mendapatkannya. Setelah beliau
mengetahui aku mengikutinya, beliau bertanya kepada aku, apa ... kamu juga hendak mendebat
saya? Dengan segera aku terus berkata kepadanya, alangkah indahnya percakapanmu, alangkah
tepatnya segala perbicaraanmu, cekapnya pendengaranmu dan pantasnya pandanganmu! Beliau
ketawa seraya bertanya, kamu dari mana? Aku menjawab, aku dari Syiraz. Semenjak dari
peristiwa itu, aku terus mendampinginya.”

Abu Hassan adalah seorang imam yang bertaraf mujtahid dalam bidang ilmu kalam dan beliau
juga salah seorang pengasas ilmu kalam yang dikenali dengan mazhab Asyaari, selain daripada
mazhab Maturidi. Kebanyakan ulamak selepasnya telah mengikut fahaman mazhab beliau dari
segi ilmu mutakallimin kerana kepintarannya, membicarakan setiap hujah keilmuan dengan teliti,
setiap pendapatnya yang bernas dan segala pemikirannya yang tepat.

Diriwayatkan daripada Imam Abu Hassan Bahili (beliau juga pakar dalam ilmu kalam) dengan
katanya, “Ketika saya berada di sebelah Imam Abu Hassan Asyaari, saya rasakan seperti setitik
air yang berada di sebelah sebuah lautan yang tersangat luas”. Imam Abu Bakar Baqilani (beliau
juga pernah dikenal sebagai lidah penyampai keilmuan umat) juga pernah dikatakan di hadapan
beliau, “Percakapanmu adalah lebih baik dan lebih jelas daripada keterangan Abu Hassan
Asyaari”, lantas beliau menjawab, “Kelebihan aku sekarang ini adalah dengan sebab aku
memahami keterangan yang disampaikan oleh Abu Hassan Asyaari”.

Mazhab dan Sumbangannya Dalam Bidang Ilmu:

Kita tidak dapat mengelak tentang rahsia keagungan Imam Abu Hassan Asyaari di dalam catatan
sejarah, begitu juga tentang kepintarannya ketika mengendalikan segala perkhidmatan keilmuan.
Ketokohannya dalam mempertahankan mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan pertahanan
yang bersungguh-sungguh untuk mendebat segala pendapat mazhab Muktazilah telah lama
terserlah dalam ingatan para pengkaji tokoh ulamak mutakallimin Ahli Sunnah. Rahsia
keagungannya dan kepintarannya adalah disebabkan beliau mengambil satu mazhab yang
pertengahan antara mazhab Muktazilah dan mazhab para Muhaddithin.

Beliau tidak bermazhab seperti mazhab Muktazilah yang sentiasa mengagungkan akal pemikiran
dalam semua bidang permasalahan kehidupan tanpa merujuk kepada nas-nas al-Qur’an serta
Hadis terlebih dahulu. Beliau juga tidak berpendapat seperti kebanyakan ulamak seangkatan
dengannya yang hanya mempertahankan agama dan akidah Islamiah dengan nas-nas sahaja
sehingga mengkesampingkan akal pemikiran dan kekuatan daya saing untuk mengambil
kesimpulan daripada segala keterangan yang telah diutarakan dalam kedua-dua perundangan
Islam terulung. Beliau berpendapat, bila para ulamak tidak memperjelaskan tentang hakikat
kebenaran ajaran Islam mengikut apa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, mazhab Muktazilah
nantinya akan terus memperluaskan sayapnya tanpa disedari oleh orang ramai.

Oleh sebab itulah, beliau terus bergiat cergas untuk menghapuskan mazhab Muktazilah, kerana
fahaman yang tidak diiktiraf oleh agama ini sedikit sebanyak telah menggoncangkan dan
menggegarkan akidah Islamiah, malah mengakibatkan rami di antara umat Islam sendiri yang
sudah mula pudar kepercayaannya terhadap kemurniaan ajaran Islam.

Beliau memperbahaskan fahaman Muktazilah dan ahli-ahli falsafah, seterusnya mendebat mereka
dengan menggunakan bahasa istilah mereka dan perbincangan ilmiah yang selalu digunakan
mereka. Ini adalah berdasarkan kepada kata-kata Sayyidina Ali RA yang bermaksud, “Kamu
semua hendaklah bercakap dengan manusia mengenai sesuatu perkara yang mereka mengetahui
tentang perkara itu. Apakah kamu hendak mendustakan Allah dan RasulNya?”.

Seolah-olahnya beliau berpendapat, sekiranya seorang ahli bijak pandai hendak bercakap dan
memberikan sebarang keterangan kepada orang ramai dengan perkataan yang tidak difahami
mereka, malah menggunakan istilah-istilah yang lebih tinggi kedudukannya, kemungkinan besar
mereka akan mengingkari perbicaraan yang disampaikan.

Begitu jugalah, sekiranya seorang penceramah memberikan taujihat kepada mereka yang telah
mengetahui, orang yang cerdik pandai atau orang yang sentiasa berada dalam keraguan tanpa
menyesuaikan penerangan itu dengan bahasa serta taraf keilmuan yang dicapai oleh mereka,
akhirnya akan menimbulkan perkara yang samar, malah kadang-kadang mereka akan menolak
dan mengingkari perkara kebenaran.

Oleh sebab itulah, beliau memahami konsep wasiat yang penuh dengan segala kehikmahan ini
dengan pemahaman yang seluas-luasnya, seterusnya melakukannya dengan pelaksanaan yang
sesempurna mungkin. Dengan demikian, Abu Hassan telah berkhidmat untuk ketinggian agama
Islam dengan penuh perhatian, menumpukan jiwa raganya serta akal pemikirannya dengan penuh
kepercayaan terhadap kemurnian agama Islam, seterusnya beliau sentiasa mengkaji segala
masalah yang tercetus dengan penuh semangat kejituan.

Abu Hassan Asyaari merupakan seorang pengkritik mazhab Muktazilah dengan secara terang-
terangan. Beliau telah menerangkan kepada kumpulan mazhab Muktazilah, mereka telah
mengikutkan hawa nafsu ketika memahami dan mempelajari ajaran agama. Mereka sentiasa
mengikut ajaran pemimpin-pemimpin mereka serta orang yang terdahulu dari mereka secara
membuta tuli sahaja tanpa membuat kajian yang terperinci. Mereka tidak membuat rujukan
kepada al-Qur’an dan Sunnah sebagai bahan rujukan utama untuk memperbetulkan akidah serta
pendapat mereka.

Malah, sekiranya mereka mendapati setiap pendapat mereka bercanggah dengan setiap apa yang
dipaparkan dalam al-Qur’an, mereka berani mentakwilkan ayat-ayat al-Qur’an mengikut
kehendak akal dan nafsu mereka.

Imam Abu Hassan Asyaari berkata di dalam kitabnya yang bernama ‫ اإلبانة في أصول الديانة‬iaitu
sebuah kitab yang dikarangnya selepas sahaja beliau keluar daripada berpegang dengan mazhab
Muktazilah, “Sesungguhnya, sebahagian daripada puak-puak yang tersesat daripada jalan
kebenaran adalah puak Muktazilah dan puak Qadariah. Pendapat mereka sentiasa condong
kepada arahan ketua mereka dan orang yang terdahulu daipada mereka. Mereka mentakwilkan
ayat-ayat al-Qur’an dengan menggunakan akal pemikiran secara takwilan yang tidak dibenarkan
oleh syarak, malah takwilan mereka tidak disertai dengan dalil-dalil yang dinukilkan daripada
Rasulullah SAW serta daripada para ulamak muktabar yang terdahulu”.

Imam Abu Hassan Asyaari percaya, tempat rujukan akidah dan permasalahan yang berkaitan
dengan keTuhanan serta masalah semulajadi adalah al-Qur’an dan Sunnah, juga apa jua yang
diterangkan oleh para Rasul, bukannya berpandukan kepada akal, qias dan metafizika bangsa
Yunani semata-mata tanpa dirujukkan kepada bahan rujukan syarak. Beliau juga tidak akan
membiarkan dan terus mengkaji tentang perbahasan yang berkaitan dengan berlakunya peredaran
zaman, juga percampuran umat ini dengan umat-umat lain, pelbagai bangsa serta falsafah asing
sehingga menyebabkan agama boleh terkeliru dengan pelbagai macam asas agama.

Beliau berpendapat, sekiranya para ulamak Islam tidak mengkaji masalah ini dan seterusnya
menerangkan kepada umat Islam keseluruhannya, kesulitan ini akan membahayakan agama Islam
itu sendiri, kehebatan Sunnah Rasulullah SAW akan luput begitu sahaja, seterusnya akan
membawa kelemahan pengamalan Sunnah Nabawiah serta keputusan yang boleh diambil
daripada perlakuan kenabian.

Seterusnya beliau berpendapat, sekiranya para tokoh agama yang mampu mengkaji masalah ini
tidak berusaha dengan gigih untuk menghadapi aliran ini dan terus mendebat kesalahan serta
kekeliruannya, aliran Muktazilah yang sesat akan terus bermaharajalela dan turut mengeruhkan
akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Wabak racun yang boleh menjahanamkan akidah umat Islam akan tersebar luas di merata tempat,
kebanyakan umat merasa ragu-ragu dengan kepercayaan mereka, seterusnya akan menyebabkan
ramai daripada pemuda-pemudi akan terus terjerumus ke lembah kehancuran akidah yang tidak
dapat dikawal lagi.

Beliau juga berpendapat, masalah yang bersangkut-paut dengan akal dan perasaan tidak ada
kaitan langsung dengan kebenaran akidah serta kemurnian agama. Tetapi, beliau merasa pelik,
mengapa puak Muktazilah sanggup mencampur-adukkan antara keduanya. Mereka menjadikan
akal sebagai sumber rujukan harian dan kepintaran hujah ketika membahaskan masalah agama.

Oleh sebab itulah, Imam Abu Hassan Asyaari berpendapat, siapa tidak mahu mengkaji tentang
masalah akal serta perasaan dengan alasan keduanya tidak ada sangkut-paut dengan agama serta
akidah adalah satu pendapat yang tidak tepat sama sekali. Beliau berkata, ulamak kebenaran
seharusnya mempertahankan kebenaran agama dan Sunnah untuk mendebat mereka, seterusnya
menegakkan mazhab ahli hak dan kebenaran.

Kitab-kitab Karangannya:

Imam Abu Hassan Asyaari tidak hanya melibatkan diri dalam bidang perdebatan dan
pertentangan melawan puak-puak yang sesat, bahkan beliau telah berusaha mengarang seberapa
banyak kitab semata-mata untuk mempertahankan Sunnah.

Beliau telah mensyarahkan kitab Akidah Hasanah (‫ )العقي دة الحس نة‬, malah beliau telah
menafsirkan al-Qur’an dalam satu himpunan kitab yang terdiri daripada 30 jilid. Sebahagian
daripada ulamak telah menyebutkan, karangan beliau mencapai ke angka 300 buah kitab dan
sebahagian besarnya berkisar dalam masalah mendebat fahaman mazhab Muktazilah,
menyalahkan pelbagai mazhab serta aliran salah lainnya.

Kitab beliau yang bernama kitab Fusul ( ‫ )الفصول‬semata-mata dikarang untuk mendebat ahli-
ahli falsafah, aliran yang berfahaman dengan tabiat semulajadi, Yahudi, Nasrani, Majusi dan
lainnya yang terdiri daripada 12 buah kitab.

Ibnu Hilkan menyebutkan, sebahagian kitab karangannya yang lain ialah Lumak ( ‫)اللمع‬, Mujiz (
‫)المجيز‬, Idhohul Burhan (‫)إيضاح البرهان‬, Tabyin an Usuliddin ( ‫)التبيين عن أصول الدين‬, Syarah wat
Tafsil Fi Rad Ala Ahli Ifki Wa Tadlil ( ‫ )الشرح والتفصيل في الرد على أهل اإلفك والتضليل‬. Beliau
juga mengarang kitab-kitab dalam bidang syariah, iaitu seperti kitab al-qias ( ‫)كتاب القياس‬, kitab
al-ijtihad (‫)كت اب اإلجته اد‬, Khobar Wahid (‫ )خ بر الواحد‬dan kitab Fi Rad Ala Ibni Rawandhi Fi
Ingkarihi Littawaturi (‫ )كتاب في الرد على ابن الرواندي في إنكاره للتواتر‬.

Di dalam kitabnya yang bernama Amdu ( ‫)العمد‬, kitab-kitab karangannya yang telah
diselesaikannya sehingga tahun 320 Hijrah, iaitu 4 tahun sebelum beliau wafat, adalah sejumlah
68 buah kitab karangan. Kebanyakannya adalah terdiri daripada 10 jilid. Di dalam kitabnya yang
bernama Maqalat Islamiyin ( ‫ )مقاالت اإلسالميين‬telah menyerlah, beliau bukan setakat ahli dalam
bidang mutakallimin sahaja, malahan beliau juga pakar dalam bidang mencatatkan sejarah ilmu
akidah.

Kesungguhannya Beribadah:

Imam Abu Hassan Asyaari bukan setakat seorang ulamak yang pakar dalam menggunakan
keilmuan yang dipelajarinya, akal pemikirannya, perbahasannya serta perdebatannya sahaja,
malahan beliau mencapai ke peringkat darjat ulamak yang boleh berijtihad dan taraf imam dalam
membahaskan sesuatu keilmuan.

Beliau juga sentiasa bersungguh-sungguh dalam setiap perlakuan ibadahnya serta dihiasi dengan
akhlak yang sangat mulia. Dengan sifat-sifat yang terserlah dalam peribadi beliau itulah, beliau
diiktiraf sebagai seorang ulamak yang sangat mementingkan akhlak dan keperibadian yang
tinggi.

Kesibukannya mencari ilmu pengetahuan tidaklah menghalang beliau untuk membanyakkan


ibadahnya kepada Yang Maha Kuasa dan sentiasa menjaga ketaatannya kepada landasan syariat
Ilahi.

Ahmad bin Ali Faqeh pernah berkata, “Aku pernah berkhidmat dengan Imam Abu Hassan
Asyaari di Basrah selama beberapa tahun dan juga pernah bergaul dengan beliau di Baghdad
sehinggalah beliau meninggal dunia. Aku dapati, tidak ada seorang pun pada masa itu yang
sewarak beliau, malah beliau sentiasa menjaga matanya daripada memandang perkara yang
diharamkan. Aku juga tidak pernah melihat seorang ulamak pun pada masa itu yang bersifat
terlebih malu daripada beliau untuk melaksanakan perkara-perkara yang bersifat keduniaan.
Malah beliau sentiasa bersemangat melaksanakan pelbagai ibadah yang berbentuk keakhiratan”.

Ibnu Hilkan mencatatkan, Imam Abu Hassan Asyaari memakan daripada bijian asal seperti
datuknya sendiri yang bernama Bilal bin Abi Burdah bin Abi Musa. Beliau menafkahkan
sebanyak 15 dirham pada setiap hari.

Kewafatannya:

Imam Abu Hassan Asyaari telah meninggal dunia pada tahun 324 Hijrah dan dikebumikan di
kota Baghdad. Semasa itu, ada suara yang meneriakkan kepada jenazahnya dengan kata yang
lantang, “Pada hari ini, telah meninggal seorang ulamak yang mempertahankan ajaran Sunnah”.

You might also like