You are on page 1of 3

SEHATI SEJIWA SEBANGSA : KITA

ANAK MALAYSIA!
Tanggal 31 Ogos tahun ini genap 58 tahun negara kita mencapai kemerdekaan,
petanda negara sudah dewasa seharusnya juga jiwa dan pemikiran kita sebagai
rakyatnya. Kedatangan bulan Ogos setiap tahun yang begitu sinonim sebagai
bulan kemerdekaan negara, bulan memperkukuhkan jati diri dan semangat
patriotisme.
Melalui semangat cintakan Negara akan dapat membentuk kearah pembinaan
negara bangsa yang bersatu padu. Sehati sejiwa tema sambutan
kemerdekaan pada tahun ini menggambarkan seribu satu makna bagi bangsa
Malaysia yang berbilang kaum. Keharmonian dan perpaduan hidup
bermasyarakat adalah teras utama yang memacu negara kita untuk terus
mengorak langkah kehadapan.
Generasi pasca merdeka, dilahirkan dapat menghirup udara kebebasan,
dilimpahi curahan kemewahan kehidupan. Saat mata memandang ke atas, KLCC
sudah mencacak tinggi melangit. Hakikatnya, kita generasi pada hari ini tidak
melalui kesusahan, kepayahan dan kegentiran zaman sebelum merdeka, baik
zaman penjajahan British mahupun zaman pendudukan tentera negara
matahari terbit pada Perang Dunia Kedua. Semangat cinta akan negara atau
patriotisme dalam kalangan kita dikatakan semakin luntur.

Logo Hari Kebangsaan 2015

Perubahan ini mencerminkan kurangnya penghayatan erti kemerdekaan yang


sebenar, ada yang menggagap tarikh 31 Ogos hanyalah satu cuti umum
semata-mata. Lebih menyedihkan saban tahun kita dapat menyaksikan
peningkatan jumlah maksiat pada malam hari kemerdekaan. Ini amat
membimbangkan kerana kita adalah generasi yang akan mewarisi tampuk
pemerintahan pada hari ini, aset terpenting negara. Kata Saidina Umar RA: Jika
kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah pemuda pada hari
ini. Kita perlu sedar semangat cinta akan negara tidak akan datang dengan
sendirinya tanpa pemahaman jalur sejarah negara, semangat ini perlu dididik.
Islam sebenarnya telah menggariskan beberapa penekanan untuk memastikan
kelangsungan kemerdekaan yang dikecapi. Nilai dan semangat patriotik cukup
banyak dipersembahkan melalui pengkisahan daripada al-Quran dan hadis.
Sebagai contoh, lihat sahaja kisah yang menggambarkan semangat cintakan
tanah air oleh Nabi Ibrahim AS sebagaimana yang dirakamkan di dalam AlQuran, surah Al-Baqarah ayat 126. Dan ingatlah ketika Ibrahim berdoa: Ya
Tuhanku, jadikanlah negeri ini negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki
dari buah-buahan kepada penduduknya yang beriman di antara mereka kepada
Allah dan hari kemudian.

Malah dalam pembentukan Piagam Madinah oleh Nabi Muhammad SAW disebut
dengan jelas jika Madinah diancam, maka menjadi kewajipan setiap warga untuk
mempertahankannya.
Dalam konteks Malaysia, negara telah melahirkan ramai tokoh pejuang
kemerdekaan yang boleh dijadikan suri teladan. Tidak akan lahir seorang Tok
Janggut jika tidak ada rasa sayang kepada tanah air, tidak akan bangun seorang
Abdul Rahman Limbong jika tiada cinta kepada tanah ibu pertiwi. Mereka,
golongan inilah yang patut kita contohi. Pergolakan di beberapa buah negara
pada hari ini seharusnya dijadikan iktibar buat kita. Semangat juang rakyat
mereka dalam mencapai sebuah keamanan menunjukkan betapa peritnya
dijajah di tanah air sendiri.
Justeru, kita harus sedar disebalik kelegaan hembusan nafas kita pada hari
ini terdapat jutaan pengorbanan generasi datuk nenek kita yang telah berjuang
untuk memastikan anak cucu mereka dapat hidup dalam suasana aman, bebas,
makmur dan merdeka. Kemerdekaan yang kita kecapi pada hari ini bukan
datang secara percuma. Negara terpaksa berhempas pulas selama 446 tahun
untuk kembali merdeka bermula dengan kejatuhan empayar Kesultanan Melayu
Melaka di tangan Portugis pada 1511. Kini kita baru merasai nikmat
kemerdekaan ini selama 58 tahun.
Sanggupkah kita menggadaikan kemerdekaan ini sekali lagi?

You might also like