You are on page 1of 3

Sahabat

..marilah kita hayati erti cinta yang sebenarnya...Hasil karya: ahmadfadhli oleh
: ahmadfadhli, 1 Oktober 2002)

“Enti menangis..?” “Untuk apa ana menangis, bukankah akh selalu pesan, jangan
menangis kerana manusia.”“Habis, mata enti berair?” “Mata ana masuk habuk.
Kebelakangan ni, selalu sangat mata ana ni berair.” Aku tersenyum.

Alasan ni dah lapuk sebenarnya, seingat aku semasa aku berumur 7 tahun, aku
sudah tidak percaya alasan ‘masuk habuk’ yang menyebabkan mata seseorang berair.
Filem-filem Melayu yang mengajar aku.“Ana tahu enti menangis..” “Tidak…!! Tak
faham-faham ke?!” Dia tiba-tiba membentak. “Oklah.. oklah.. mata enti masuk
habuk. Ginilah, kapal terbang akan bertolak besok pukul 7.00 petang. Kalau enti
nak hantar pun hantarlah. Kalau tak nak pun, kapal terbang tu tetap akan
bertolak. Ana pergi cuma 2 tahun, tak lama..” “Insya-Allah ana akan hantar. Tapi
kalau ana tak hantar pun, ana harap akh tidak kecil hati. Ana takut berlalu
fitnah. Maklumlah, kita bukannya diikat dengan ikatan yang sah lagi. Sekadar
pertunangan…” “Pertunangan bukannya ikatan yang sahkah..?” “Bukan itu maksud
ana, namun setidak-tidaknya ia kan boleh putus bila-bila masa sahaja. Sekali
dihempas ombak, sekali pantai berubah..” “Pantai berubah kerana ombaklah
tunangnya. Cuba jika bulan menjadi gerhana, atau matahari hilang sinarnya,
berubahkah pantai?” Aku berfalsafah. Dan memang dia akan selalu kalah kalau
beradu bahasa denganku. Temannya yang sering dibawa apabila berjumpa denganku
tergelak kecil. Satu sokongan moral untukku. “Akh punya pasallah. Ana nak pergi.
Jumpa lagi besok. Assalamualaikum..” Aku tidak menjawab salamnya. Bukankah
menjawab salam dari seorang wanita yang bukan mahram hukumnya makruh?

*** “Ana tak setuju dengan pandangan ustaz!!” Seorang muslimah bangun membentak.
Aii.. ada juga yang berani rupanya. “Bukankah demokrasi telah lama memperdayakan
kita? Adakah Rasulullah SAW berjuang untuk mendapatkan kuasa baru dilaksanakan
syariah seperti yang terdapat dalam hukum demokrasi..?” Dia berhenti seketika.
Mengambil nafas rasanya. Ini baru kali pertama aku melihat dia bangun berucap di
khalayak. “Kalaulah demokrasi boleh gagal di Turki, boleh gagal di Algeria,
kenapa tidak di negara kita? Ustaz bercakap terlalu yakin dengan demokrasi. Di
mana pula komitmen ustaz terhadap pembinaan tanzim seperti yang diajar oleh
Hassan Al-Banna dan Syed Qutb?”

Suasana semakin bising. Apabila seorang pembentang kertas kerja seperti aku
ditentang di khalayak ramai, ia satu kejanggalan yang ketara. Sekalipun Dewan
Badar ini sudah cukup sejuk, namun ia tetap ‘hangat’ pada malam ini. “Ana rasa
ustazah sudah silap faham terhadap pandangan ana. Ana cuma ingin menyatakan,
kadang-kadang demokrasi boleh digunakan untuk mendapatkan kuasa selagi mana
diizinkan. Ciri demokrasi yang paling ketara ialah pemilihan pemimpin melelaui
majoriti. Bukankah Abu Bakar sendiri dipilih melalui majoriti dan bai’ah?
Bezanya, bai’ah dahulu dengan tangan, manakala sekarang dengan menggunakan
kertas undi. Yang penting, kerelaaan!” “Baiklah. Cuma ana ingin bertanya, adakah
ustaz berpandangan bahawa demokrasi ialah satu-satunya cara untuk memastikan
kedaulatan Islam di bumi kita?” “Hmmm.. sehingga sekarang, ya. Kita masih boleh
bergerak bebas, gunakanlah ruang yang ada sekadar yang termampu.” “Maaflah
ustaz. Ana tidak mampu untuk bersetuju dengan pandangan ustaz.” Dia menamatkan
‘soalannya’ lalu mengambil tempatnya kembali. Aku terkasima sendirian.

***“Kau kenal dia Abdullah?” Aku memulakan pertanyaan yang sekian lama tertanam
di dalam benakku. Abdullah berhenti menyuap nasi, memaku matanya ke wajahku.
Sekarang aku nekad, sekurang-kurangnya aku harus mengenali orang yang begitu
berani menongkah pendapatku di tengah khalayak. Suasana di restoran sup tulang
yang biasanya sibuk dengan pelanggan malam ini nampaknya begitu lengang seolah-
olah memberikan ruang yang cukup untukku berbicara dari hati ke hati dengan
Abdullah. “Ini kali pertama kau bertanyakan soalan kepadaku tentang perempuan.
Hai, sudah kau jualkah prinsip kau selama ini. Kau kan tak mahu menjadi hamba
cinta?!” Memang hebat Abdullah kalau diberikan peluang untuk menyindir. Mungkin
dia terlupa bahawa dia hanya menumpang keretaku untuk datang ke sini atau dia
sudah bersedia untuk balik dengan hanya berjalan kaki. “Jawab soalan aku dulu..”
“Rupa-rupanya, manusia berhati batu macam kau pun tahu erti cinta…” Abdullah
belum puas lagi menyindir nampaknya. “Jawab soalan aku dulu..” Aku memohon untuk
kali kedua. “Baiklah Muhammad, aku tahu sejak malam tu kau sebenarnya ingin
mengenali dia. Orang seperti kau ni Muhammad hanya akan ‘kalah’ dengan kaum yang
spesis dengan kau saja. Maksud aku, yang boleh diajak berbincang tentang
perkara-perkara yang kau minati yang kebanyakannya adalah membosankan!” “Jawab
soalan aku dulu..” Aku ulangi permintaanku untuk kali seterusnya. “Ok.. dia,
namanya kau sudah tahu. Seorang yang pendiam dan suka menulis. Menurut kakakku
yang sebilik dengannya, dia ni sering bangun awal. Sebelum pukul 5 sudah di atas
tikar sejadah. Bukan macam… “ “Aku? Hai.. kau ni silap tuju. Kau yang bangun
lewat Abdullah.. ok, teruskan.” “Kalau kat asrama, dia ni suka baca Al-Quran,
tak suka bersembang kosong, tak suka jalan-jalan dan banyak lagi yang dia tak
suka..” Abdullah dengan selamba menceritakan segala-galanya. ‘Lagi..
negatifnya?” “Negatifnya.. banyak..” Abdullah tersenyum sejenak. Lalu
menyambung, “Negatifnya.. pelajaran dia agak sederhana. Tapi bagi aku, itu tidak
menjadi masalah. Cuma.. aku tak pasti adakah kau akan setuju dengannya jika aku
menyatakan sesuatu.” “Apa dia..? Negatifkah.” “Tidaklah negatif sangat, namun
bertentang dengan aliranmu. Dia terlibat dengan satu pergerakan… rahsia! Maksud
aku, pergerakan yang memperjuangkan sesuatu yang tidak selari dengan undang-
undang demokrasi.” “Gerakan militankah?” “Mungkin, namun aku tak pasti. Sebab
aktiviti mereka terlalu rahsia. Kau mungkin maklum, manhaj mereka berasaskan
semangat ‘hazar’ yang dididik oleh gerakan Ikhwanul-Muslimin. Ketaatan mereka
kepada amir mereka melebihi ketaatan mereka kepada sesiapa saja.. termasuklah
ibubapa mereka sendiri!!” “Sampai begitu sekali.. matlamat mereka?” “Sama macam
kau, memperjuangkan Islam! Tapi mereka lebih praktikal. Mereka dilatih dengan
marhalah-marhalah tarbiyyah mereka sendiri. Dan mereka menyintai syahid. Tidak
macam kita rasanya, kita bercakap tentang Islam, tapi kita berehat lebih banyak
dari bekerja! Dan kau jangan terkejut kalau mereka sebenarnya mempunyai hubungan
dengan rangkaian peringkat nasional malah antarabangsa termasuk gerakan Hamas
dan Briged Aqsa di Palestin!”
“Kalaulah.. aku memilihnya menjadi teman hidupku, adakah ketaatannya kepada
jemaahnya melebihi ketaatan kepadaku sebagai suami?” Aku mengutarakan soalan
bonus untuk Abdullah. “Aku pasti, dia akan memenuhi tanggungjawab sebagai isteri
dan ibu. Namun kalau kau harap dia akan memecahkan rahsia gerakannya dan
menderhakai bai’ahnya kepada jemaah, lebih baik kau bercinta dengan bulan
sahaja!”

***Aku tidak tahu kenapa aku harus memilih dia. Dia bukanlah yang tercantik di
bumi ini. Aku pasti. Tidak juga yang terkaya. Jauh sekali dari yang terbijak di
dalam pelajaran. Namun aku yakin, dia yang terbaik untukku. Ciri-ciri muslimah
sejati terserlah ketara pada dirinya yang membuatkan diriku terasa tenang sekali
apabila memandangnya. Langkahnya yang teratur dan pandangannya yang dijaga
adalah benih-benih keimanan yang terserlah dari hati yang dididik dengan
ketaqwaan. Tapi persoalan yang dibangkitkan oleh Abdullah membuatkan aku
termenung sejenak. Bolehkah aku hidup dengan orang yang berlainan aliran
perjuangannya denganku. Bahagiakah aku? “Ustaz sudah fikirkan masak-masak..?”
“Bukan setakat masak, ana rasa sudahpun rentung. Cuma bagi pihak ustazah, adakah
ustazah setuju menerima ana. Maksud ana, dengan segala kekurangan yang ana
miliki.?” “Ustaz orang famous. Siapalah ana. Ana rasa tak layak sebenarnya.” Dia
merendahkan diri namun dalam intonasi suara yang masih terkawal. “Ini bukan soal
famous atau tidak. Sekurang-kurangnya, sebelum ana ke bumi ambiya’ ana sudah
mempunyai ‘ikatan’ di sini. Dan ana memilih ustazah yang ana yakini boleh
menjadi ibu kepada anak-anak ana nanti.” Aku berterus-terang. Dari mana
datangnya kekuatan untuk berbuat demikianpun aku tidak tahu. “Ustaz tidak main-
mainkan ana?” “Hanya orang yang tidak ada perasaan sahaja yang sanggup main-
mainkan perasaan orang lain.” “Jemputlah ke rumah, jumpa dengan ibu ayah ana..”
Dia terus mematikan talian telefon. Pantas dan cepat. Kak Yang yang aku tugaskan
untuk menjadi ‘perisik’ku memang sudah memberikan amaran kepadaku, orang ini
jarang sekali bergayut di telefon apatah lagi dengan lelaki bukan mahramnya.

***Sudah lima bulan aku di bumi ambiya’, suasana pembelajaran di sini jauh lebih
mencabar dari yang kuperolehi di bumi Malaysia. Benarlah kata orang, bumi
ambiya’ ini mengajar kita berdikari. Hilang seketika soal cinta dari benak
fikiranku. Namun kekadang bayangannya tetap mendatangi ruang mata terutama
ketika aku merebahkan badan. Namun seperti yang sering kutegaskan padanya..
“Mungkin cinta ana pada enti sudah cukup besar, namun cinta ana pada ilmu dan
juga kepada Allah jauh lebih besar..” dan dia akan terus menyambung, “Mungkin
ketaatan ana pada akh cukup dituntut, namun ketaatan ana pada perjuangan dan
jemaah lebih-lebih lagi dituntut..” Dan biasanya aku akan ‘cemburu’ dengan kata-
katanya. Namun akan terus kubisikkan kepada diriku, bukankah dia taat kepada
perjuangan dan kenapa aku harus cemburu. Dia juga berjuang dan perjuangannya
juga kerana Allah. Cuma, apa yang menjadi rahsia ialah langkah-langkah
pergerakannya yang sehingga kini masih menjadi misteri bagiku. Hari itu, selepas
menadah kitab Al-Umm dengan seorang senior di Rumah Melayu, aku bergegas ke
Cyber Café yang menjadi rumah ‘kedua’ku. Ku buka laman web Utusan o-nline, satu
tajuk berita yang cukup menarik perhatianku, “SEORANG WANITA MALAYSIA TERLIBAT
DALAM SERANGAN BERANI MATI DI TEL AVIV’ Ku tinggalkan seketika pelayar web
tersebut apabila satu lagi pelayar web menunjukkan mesej : “you have 1 unread
message’ namun jangkaanku meleset apabila inboxku hanya dihiasi dengan e-mail
dari Abdullah dan bukan dari si dia yang kunanti-nantikan. “Muhammad, kau apa
khabar? Muhammad, aku ada satu khabar penting. Aku harap kau tidak terkejut.
‘Dia’ yang kau amanahkan padaku untuk ‘tengok-tengok’ telah diperintahkan
bersama-sama kawan-kawannya untuk ke Palestin membantu Gerakan Briged Aqsa
melakukan serangan istisyhadiah ke atas Israel. Ini kerana rakyat Malaysia yang
memasuki Israel tidak akan diysaki apa-apa kerana dianggap sebagai pelancong.
Muhammad, kau lihat tajuk berita hari ini, wanita yang terkorban dalam serangan
istisyadiah itu ialah ‘dia’, tunang kau yang kau perintahkan untukku menjaganya.
Maafkan aku Muhammad..!!” Serta merta ku teringat panggilan telefon darinya
beberapa hari yang lepas, “Akh, kalaupun cinta kita tidak bertaut di dunia,
biarlah ia bertaut di syurga. Kerana cinta kita ialah cinta perjuangan..!!”
Seterusnya, aku rebah dari kerusi dan kudapati alam di sekelilingku gelap
gelita! - TAMAT –

Inilah cinta kita...cinta mereka yang inginkan cinta Allah..cinta yang tida
taranya..cinta yang mengatasi segala apa di dunia..cinta syahid yang
membara..cinta bertemu di syurgaNya...inikah cinta kita?...tepuk selera tanya
iman di dada..

You might also like